Friday, January 3, 2014

Generasi "Undo"

0
oleh : Imran Haaz

Pemikir dari golongan ahli Antropologi gemar membahagikan generasi manusia yang ada pada masa sekarang kepada beberapa generasi. Bermula dengan Baby Boomers untuk generasi yang dilahirkan selepas Perang Dunia ke II, diikuti oleh Generasi X untuk kumpulan yang dilahirkan bermula 1964 hingga 1979 dan Generasi Y untuk mereka yang dilahirkan selepas itu sehingga tahun 2000. Generasi selepas tahun 2000 dinamakan dengan Generasi Z atau Generasi Senyap. Betulkah generasi yang terhidangkan dan sedang berkembang dihadapan kita ini merupakan satu generasi senyap? Nama-nama ini tidak memberikan justifikasi yang adil kepada sisi pemikiran atau dimensi psikologi dan pembentukan pemikiran golongan yang sedang membesar dihadapan serta bersama kita.


Kita sedang berhadapan bukan dgn Generasi Y atau Z. Kita sebenarnya sedang berhadapan dengan Generasi Undo. Terminologi  yang saya ciptakan sendiri melalui pemerhatian yang dilakukan saban hari ke atas sisi psikologi manusia-manusia muda pada zaman ini.  Terma Undo itu sendiri terbit dengan merujuk kepada wujudnya fungsi butang undo pada perisian pemprosesan kata pada awal kewujudannya. Lance A. Miller dan John C. Thomas merupakan mereka yang bertanggungjawab mencadangkan kewujudan satu fungsi seperti fungsi Undo sebagai sesuatu yang mungkin membantu di dalam kerja-kerja programming. Setelah kewujudan butang yang seharusnya memudahkan pekerjaan manusia itu, manusia kini tidak lagi berhati-hati di dalam berfikir dan mengambil keputusan.

Semuanya telah diprogramkan ke dalam minda bawah sedar mereka untuk percaya bahawa sebarang kesalahan dan segala sesuatu boleh diundokan dgn sekali klik. Semua kesalahan dapat dihapuskan dengan kedatangan tahun baru. Semua rekod buruk tahun lepas seolah boleh diundokan dengan letupan mercun malam tahun baru. Inilah generasi yang terhidang di hadapan kita. Sebuah generasi yang percaya semua kesilapan itu perlu dipandang enteng kerana sudah terbiasa diprogramkan dengan betapa mudahnya kesilapan pada masa lepas dapat diperbetulkan semula dengan sekali klik pada butang undo.


Sebuah pemikiran yang diimport dari kesesatan golongan yang menyesatkan golongan Nasrani. Inilah doktrin Atonement yg berjaya ditanam di dalam pemikiran manusia generasi undo. Butang undo itu tidak salah. Tetapi bersama kemudahan itu datangnya kesan pengaruh psikologi pada minda bawah sedar manusia untuk tidak berasa apa-apa masalah jika melakukan kesalahan.  Tidak apa untuk melakukan kesalahan. Segala-galanya boleh diundokan dengan kedatangan tahun baru.

Ini generasi yang rosak dengan pemikiran yang rosak. Mereka tidak dididik dengan pengisian erti-erti kepayahan.

Mereka tidak merasa bagaimana peritnya melakukan satu kesalahan. Bayangkan zaman penggunaan mesin taip dahulu. Tiada butang undo, tetapi untuk setiap kesalahan taip biarpun satu perkataan, hampir seluruh mukasurat perlu ditaip semula untuk mencapai kesempurnaan. Mereka tidak merasa apa itu perit melakukan kesilapan. Yang mereka tahu, segala-galanya boleh diundokan.



Mengandungkan anak dara orang di malam tahun baru, boleh saja undokan masalah tersebut dengan melempar bayi itu ke tepi longkang. Hilang dara, boleh sahaja mereka undokan dengan pembedahan plastik bagi yang kaya dan berjumpa bomoh pemulih dara bagi yang tidak berduit lagi terpedaya. Gulingkan mana-mana kerajaan, boleh saja mereka undokan dengan pemilihan semula di dalam basahan fantasi mereka. Malas belajar, boleh saja mereka undokan dengan merobek poket ibu dan bapa untuk menyekolahkan mereka semula di sekolah-sekolah swasta. Tidak memberikan kasih sayang yang secukupnya untuk si isteri untuk tempoh 364 hari setahun, mereka boleh undokan dosa pengabaian tersebut dengan sekeping kad pada hari kekasih. Meninggalkan ibu bapa tanpa menjenguk dan bertanya khabar setelah berkerjaya, boleh saja mereka undokan dengan mengirim wang setiap bulan sebagai atonement penghapus dosa.

Mahu tahu apa yang Confucius cakap tentang mereka-mereka yang sekadar memberi makan kepada kedua orang tua, tanpa menunaikan tanggungjawab sebagai anak yang sepatutnya menyayangi mereka? Bacalah sendiri petikan di bawah :

2:7 Tzu Yu asked the meaning of filial piety. The Master (Confucius) said, "The filial piety of the present day merely means to feed one's parents, but even one's dogs and horses receive their food. Without reverence, wherein lies the difference?" 1

Memberi wang tanpa menjenguk dan memberikan kasih sayang kepada orang tua, tiada bezanya dengan memberi makan kepada anjing-anjing serta kuda belaan. Itukah yang kita lakukan kepada ibu bapa kita? Kesibukan kerja menjadi alasan? Kenapa pula ibu bapa kita dahulu tidak pernah menggunakan alasan mereka sibuk untuk terlupa membesarkan kita dengan penuh kasih sayang?

Al Qur’an dan Sunnah mempunyai adab-adab yang perlu kita jalankan untuk memastikan tanggungjawab kita sebagai anak tidak diabaikan kepada para ibu bapa. Tetapi malangnya generasi hari ini terlalu sibuk dengan kecanduan hiburan. Jika mahu belajar agama sekalipun, yang tetap mereka mahukan ialah, ianya mesti di dalam bentuk serta pengisian seperti sebuah pesta hiburan. 17 kali sehari kita memohon kepada Allah supaya dijauhkan jalan-jalan yang ditempoh golongan Nasrani yang sesat dan jalan-jalan hidup Yahudi yang dimurkai Allah, entah di mana silapnya, jalan itulah yang sedang pantas ditujui oleh sebahagian besar dari kita.

Inikah generasi yang akan memimpin dan akan membesarkan pemimpin untuk masa depan kita kelak? Seorang sahabat yang rapat bertanyakan kepada saya, kenapakah dengan program agama dan begitu ramainya manusia kelihatan seolah-olah berminat dengan agama, tetapi kenapa generasi ini masih dan semakin rosak berlipat kali ganda hari demi hari?

Soalan itu tidak habis di situ, disambung lagi dengan persoalan berikut. Kenapakah kita melihat orang pantas bertaubat dan menyalin pakaian rasmi taubatnya sebagai uniform, tetapi  masih lagi melakukan dosa semalam di dalam pakaian serta penampilan baru? Terus terang saya tidak mempunyai jawapannya. Apa yang dicoretkan di atas adalah apa yang diperhatikan. Untuk soalan sahabat tadi, saya masih tidak mempunyai jawapan.

Semoga Allah melindungi kita dan membimbingi kita dalam membesarkan generasi anak-anak cucu kita supaya mereka mempunyai resiliensi tinggi terhadap segala kekarutan dunia dan fantasi songsang jalan menuju akhirat. Berpegang kepada Al Qur’an dan Sunnah. Kekal dengan kedua tersebut sehingga akhir hayat. Merekalah penolong yang sebenar-benarnya  dekat di zaman penuh delusi ini. Wallahua’lam.

Rujukan :
1. Confucius, The Analects (Unabridged), (1995), Dover Publications, Inc, N.Y., United States of America, m/s 6 

2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: