Thursday, May 1, 2014

Rejab Bulan Perdamaian

0
Masyarakat Arab Jahiliah pada zaman sebelum kerasulan Muhammad s.a.w., terlibat di dalam pelbagai konflik yang kerap kalinya berakhir dengan perang-perang yang tidak berkesudahan.

Oleh kerana terlalu kerap bergaduh, merompak dan berperang, maka aspek kemajuan kehidupan serta pembangunan ekonomi dan masyarakat menjadi terbantut. Asyik bergaduh 24 jam, 7 hari seminggu, 356 hari setahun, mana mungkin dapat membangunkan umat yang produktif.



Maka puak-puak yang berperang dan bergaduh ini kemudian bersepakat untuk melakukan suatu konsensus untuk kebaikan bersama. Mereka mengisytiharkan 4 bulan di dalam setahun sebagai bulan haram. Mereka diharamkan berperang di dalam bulan-bulan tersebut supaya aktiviti perkembangan ekonomi dapat berjalan lancar.

Maka bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam dipilih sebagai bulan-bulan diharamkan berperang. Semasa bulan-bulan inilah aktiviti ekonomi di pasar 'Ukaz, Mujannah dan Zil Majaz sibuk dengan aktiviti ekonomi. Malah bakat-bakat tanah Arab juga mengambil kesempatan pada bulan ini untuk menyampaikan syair2 mereka. Malah ada yang mengambil tempat di sana dengan berpidato dan sebagainya.

Segasar-gasar jahiliah Arab, mereka sendiri sedar tentang kepentingan mempunyai ruang damai bagi membolehkan umat fokus kepada perkembangan dan kemajuan.

Berbeza dengan Arab jahiliah, kita Melayu Muslim di sini bergaduh sesama sendiri kerana perpecahan politik hampir saban hari setiap tahun. Makan politik, tidur politik, lapar politik, kenyang juga politik. Kita tidak memberikan ruang langsung kepada umat kita ini untuk bernafas di dalam keadaan aman biarpun seketika untuk bertenang memberi fokus kepada kemajuan umat.

Jika bangsa Arab yang jahiliah juga tahu tentang kepentingan untuk mengadakan ruang bertenang untuk kemajuan umat, kenapa kita Melayu Muslim terbawa-bawa dengan perasaan permusuhan sesama saudara kita tanpa mengenal erti penat lelah?

Bulan Rejab telah sekali lagi datang. Jika orang-orang Arab Jahiliah dahulu pun boleh berdamai barang sebentar dengan kedatangan bulan ini, kenapa kita yang dipersaudarakan dengan dua kalimah syahadah tidak boleh mengambil jalan yang sama untuk kepentingan kita secara bersama?

Harus kita malu dengan jahiliah Arab jika kita cenderung terus bergaduh sesama sendiri semasa bulan Rejab ini. Berilah sedikit ruang untuk kita berbaik sesama kita. Mana tahu, dari sebulan berbaik, kita dapat memupuk semangat persaudaraan untuk lebih banyak bulan dalam setahun.

Bagi yang mahu terus berkonfrontasi, terpulanglah.

Selamat Datang bulan Rejab...
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: