Oleh : Imran Haaz/M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem..
Manusia dilahirkan dengan tidak tahu apa-apa. Perjanjian
Ruh antara diri mereka dengan Tuhan juga tidak mereka ingati. Saya pernah
menulis tiga artikel mengenai Perjanjian Ruh. Berminat boleh membacanya di sini
(Perjanjian Ruh, Perjanjian Ruh II, Socrates & Perjanjian Ruh). Lalu Allah berikan pendengaran,penglihatan dan kemudian menghidupkan
hati manusia.
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu
dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran
dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur. (an Nahl 78)
Pendengaran distimulasikan dengan alunan
zikir dan ayat-ayat Allah di dalam al Qur'an semenjak dari dalam perut.
Kemudian diperdengarkan azan dan iqamat semasa dilahirkan. Semuanya bagi tujuan
menghidupkan mata hati.
Gerakan Dajjal cuba membuatkan manusia tertutup
mata hati. Kerana mereka faham bahawa mata hati itu apabila tertutup,
pendengaran dan penglihatan tidak lagi akan memberikan sebarang manfaat kepada
manusia.
(Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana
mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana
Allah tidak memberi hidayah pertunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar
(kepada kebahagiaan di akhirat). Mereka
itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan
pendengaran mereka serta penglihatan mereka dan merekalah orang-orang yang
lalai. (an Nahl ayat 107 hingga 109)
Bagaimana mata hati manusia ditutup? Melalui
cinta dunia dan takut mati. Cinta dunia dan takut mati bermula dari makanan
haram dan yang syubhah, banyak gula, hiburan yang melampau sehingga lebih
banyak berhibur dari bermuhasabah, rasa cinta yang dibangkitkan melalui media
(buku, novel, drama, filem) yang tidak
tentu hala dan masa, dan setiap masa dan ketika bergelak ketawa. Kesemuanya ini
akan kemudiannya menimbulkan rasa bagus di dalam hati dan membuatkan diri menjadi
semakin takbur dan bongkak. Lalu takwa yang seharusnya menjadi pakaian terbaik
di dalam jati diri muslim, mula tertanggal.
Jika dulu, benteng terakhir untuk umat Islam menyelamatkan diri dari semua
punca kepada kematian mata hati ialah dengan mendapatkan perlindungan dengan
mendekatkan diri dengan jalan-jalan agama. Malang sekali kini, benteng terakhir
itu telah ditembusi tanpa ramai yang sedar. Filem Islami disuntik dengan
adegan-adegan cinta yang melampau. Novel Islami dirasuki cerita-cerita cinta,
dosa yang melebihi isikandungan Islami di dalamnya. Makanan umat Islam kini
dicemari dengan pelbagai unsur haram dan syubhah. Umat Islam kini banyak
memakan gula yang dimasukkan dengan banyak tetapi dinamakan dengan pelbagai
nama saintifik yang tidak disedari mereka.
Maka tinggallah, benteng terakhir untuk umat
Islam menyelamatkan hati mereka dari mati ialah dengan menghadirkan diri di
taman-taman syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis di dalam riwayat
at Thabrani berikut:
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila melewati taman
syurga, hendaklah engkau duduk di situ. Istirahatlah kamu di situ." Para
sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apa taman syurga itu?" Nabi
menjawab, "Majlis-majlis ilmu.”
Namun, sepertimana yang telah dijangkakan akan
berlaku di akhir zaman ini, benteng terakhir ini juga kini telah ditembusi
dengan program bawah sedar yang dijalankan bagi tujuan mematikan mata hati umat
Islam. Kini hilai dan tawa bukanlah sesuatu yang asing di dalam majlis-majlis
ilmu. Tidak salah untuk sedikit senyum dan tertawa kecil yang dicetus
cerita-cerita yang dibangkitkan di dalam mana-mana kuliah agama. Tetapi yang
menjadi masalahnya ialah bilamana ia menjadi tarikan utama dan menguasai hampir
sepenuhnya majlis ilmu seumpama itu.
Majlis ilmu yang seharusnya berperanan mengasah
mata hati menjadi tajam, kritis, teguh dan terang kini telah diresapi
unsur-unsur yang menjadikannya bertindak sebaliknya. Majlis ilmu yang
sepatutnya menjadi tempat hati dirawat, kini menjadi tempat yang mana penyakit
mata hati yang mati itu menjadi lebih parah lagi.
Hati-hatilah kamu, jangan sampai banyak tertawa kerana
sesungguhnya tertawa itu mematikan hati dan menghilangkan sinar penduduk
syurga. ( Riwayat Ibnu Majah)
Perhatikan contoh ini. Seorang lelaki yang
mempunyai masalah organ hati yang tidak berfungsi dengan betul. Lalu dia menuju
ke hospital untuk mendapatkan rawatan. setelah didiagnosis memang benar dia
menghadapi penyakit hati, lalu si doktor menetapkan preskripsi ubat-ubatan yang
perlu dimakan olehnya. Malang sekali ubat yang diberikan oleh doktor tersebut,
langsung tidak mengubati, tetapi lebih menjadikan sakit organ hati pesakit
tersebut menjadi lebih parah. Maka, pertemuan pesakit ini dengan doktor tadi
tidak membuahkan hasil yang dimahukan. Pesakit mahu merawat hatinya, tetapi
sang doktor pula memberikan ubat yang menjadikan penyakitnya menjadi lebih
parah. Bukankah ini satu tragedi yang malang?
Begitulah juga keadaannya dengan nasib malang
umat Islam pada waktu ini. Mereka sedar bahawa mereka sedang menghadapi masalah
penyakit kematian mata hati. Lalu mereka segera teringat dengan pesan
orang-orang tua. Jika mahu menghidupkan mata hati, dekatilah ilmu-ilmu agama
melalui pelajaran dan mengamalkan apa yang disuruh oleh al Qur'an dan as
Sunnah. Lalu guru-guru agama dicari. Malang sekali, penyakit hati mereka, tidak
diubati sebagaimana yang mereka mahukan. Ketika mana guru yang seharusnya
memberikan mereka remedi kepada penyakit mata hati mereka, racun pula yang
mereka terima lalu menjadikan keadaan mereka lebih parah.
Satu soalan, jika Rasulullah s.a.w. melawat
majlis-majlis ilmu di masa kini yang penuh hilaian ketawa sehingga
terbahak-bahak, malah ada diantaranya sampai ternga-nga mengalirkan air mata
kerana ketawa, apa agaknya kata Rasulullah s.a.w.?
Alasan mereka, dengan lawak jenaka, maka
ramailah orang akan datang ke majlis-majlis ilmu. Mereka mengatakan bahawa jika
tanpa jenaka dan gelak ketawa, pasti orang-orang Islam dan bukan Islam tidak akan tertarik
kepada ‘majlis-majlis ilmu’ sebegini. Maka kehendak manusia harus diletakkan
pada aras yang sama dengan kehendak Allah. Pada mata fikir mereka, manusia
perlu mendapat bahagian yang disukainya supaya boleh dipujuk dia untuk dekat
dengan jalan Allah. Maka kehendak Allah perlu dipersekutukan dengan kehendak
manusia. Allah mahu manusia membebaskan diri dari kejahilan, tetapi segolongan
manusia tidak mahu membebaskan diri dari kejahilan jika tidak ditawarkan kepada
mereka hiburan yang diingini mereka. Lalu semua ini dikompromi.
Mereka merasakan ribuan jumlah manusia yang hadir
berlenggang dan terhibur di dalam majlis-majlis sebegini menunjukkan kejayaan
mereka di dalam gerakan dakwah.
Benarkah kuantiti sebegini yang Allah mahukan
dari kalangan manusia untuk masuk menjadi hamba-hamba yang bakal menjadi
tentera-tenteraNya? Jawapannya tidak sama sekali. Kuantiti dalam kualiti
sebegini sentiasa memusnahkan. Al Qur’an memberikan contoh yang konsisten semenjak
zaman para nabi dan rasul Bani Israel sehingga Muhammad s.a.w.
2 dari 600,000
Jiwa Bani Israel.
Selepas peristiwa laut terbelah, Bani Israel
bersama Musa a.s. mengembara di gurun. Lama sesudah itu mereka diperintahkan
Allah untuk memasuki Tanah Yang Dijanjikan iaitu tanah milik orang-orang
Canaan, Amorites dan Amelikites. 12 orang pengintip diutus Musa a.s. Setiap
seorang dilantik dari setiap satu suku Bani Israel.
Sekembalinya pengintip-pengintip ini, 10 dari
mereka memberikan perkhabaran buruk. Bani Israel, menurut pemerhatian mereka
telah diperintahkan Tuhan mereka untuk berperang dengan kaum-kaum yang kuat dan
gagah. Menurut mereka lagi, Bani Israel tidak mempunyai keupayaan untuk berperang
dengan umat-umat yang gagah seperti itu. Meskipun sebelum ini, telah
ditunjukkan kuasa Allah melalui mukjizat yang diberikan Allah s.w.t. kepada
Musa a.s.
Laut pun Allah telah belah ketika mereka menurut
perintah Allah untuk keluar dari Mesir. Ini semua disaksikan dan dialami secara
sedar oleh mereka. Tetapi mereka masih sangsi dengan janji-janji Allah.
Lalu dihasut Bani Israel untuk tidak berperang
dengan kaum-kaum asal di tanah Palestin yang dijanjikan. Lantas, mendengar
hasutan 10 pengintip tersebut, Bani Israel mengarahkan Musa a.s. untuk pergi ke
tanah tersebut bersama TuhanNya dan berperang bagi pihak mereka. mereka hanya
mahu menunggu di situ dan membiarkan Musa a.s. bersama TuhanNya berperang bagi
pihak mereka. Hanya dua dari 12 pengintip masih bertekad mahu memujuk Bani
Israel berperang sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada mereka. Mereka
kemudiannya menjadi mangsa ugutan Bani Israel.
Allah s.w.t. murka kepada tindakan mereka.
Mereka dihukum Allah menjadi sesat di gurun tersebut. Al Qur’an tidak menyebut
mengenai jumlah mereka. Bible mencadangkan jumlah mereka yang sesat dan
kemudian mati gurun tersebut berjumlah lebih 600,000 jiwa. Sarjana mereka sendiri tidak sependapat mengenai jumlah sebenar. Ia diletakkan di sini bagi tujuan perbandingan. Kesemua mereka diharamkan memasuki
tanah Palestin selagi hayat dikandung badan. Daripada jumlah ini, dinyatakan
hanya dua orang dari 600,000 orang Islam (Bani Israel) pada waktu itu
dipanjangkan umur oleh Allah dan dibenarkan memasuki tanah Palestin tersebut.
Mereka ialah dua orang pengintip yang bersungguh-sungguh mahu mengikut arahan
Allah dan melaksanakan perintah Allah sepertimana yang telah diarahkan. Dua
manusia beriman ini dinamakan Yusya’ bin Nun (Joshua son of Nun) dan Khalib
(Caleb). Musa a.s. meninggal dunia sebelum Bani Israel pada generasi yang baru
dilahirkan berjaya menawan Palestin. Itu sebahagian dari perancangan Allah dan
bukanlah kerana Allah murka kepadanya seperti yang difitnahkan oleh Bani Israel
dan ahli kitab. Saya telah menjawab pertuduhan dan fitnah tersebut di dalam
penulisan bertajuk ‘Menyamak Dosa Bani Israel Dengan Memfitnah Musa a.s.’ (Kliksini).
Jelas sekali, bukanlah jumlah yang Allah
mahukan. Kualiti umat sebenarnya yang Allah mahukan. Allah akan menapis kesemua
mereka-mereka ini biarpun sehingga tinggal 2 orang dari 600,000 orang. Ini
kerana mereka menurut kehendak Allah meskipun kehendak manusia dan hati manusia
lain pada ketika itu mahukan kesenangan, kelapangan dan sesuatu yang lebih
santai.
313
dari 32,000 Jiwa Bani Israel
Kita rujuk pula kisah peperangan antara pasukan
Thalut (Saul di dalam Bible) dan Jalud (Goliath di dalam Bible). Saya percaya
ramai yang tahu akan kisah ini. Saya juga percaya ramai yang turut gemar
bercerita tentang kisah ini. Tetapi malangnya hanya sedikit yang mahu mengambil
pelajaran.
Saya tidak mahu menulis panjang. Jika mahu tahu
tentang peristiwa ini, boleh rujuk mana-mana tafsir al Qur’an untuk kisah tersebut.
Saya juga pernah menulis tentangnya bagi memperbetulkan kesilapan yang terdapat
di dalam Book of Judges mengenai perang dengan Midian yang mereka tidak sedari
merujuk kepada peperangan yang dilalui oleh Thalut. Boleh ke pautan berikut
jika berminat untuk mendalaminya dan membacanya.
Pasukan Thalut dikatakan mempunyai ribuan
tentera. Al Qur’an tidak menyebut tentang jumlahnya. Ini kerana jumlah yang
ramai tetapi tanpa kualiti yang diinginkan itu, tidak penting untuk disebutkan.
Bible yang wujud pada hari ini meletakkan jumlah tentera Thalut berada
membentuk pasukan dengan ketumbukan 32,000 orang.
Mereka kemudian ditapis Allah dengan ujian
dahaga dan sebatang sungai. Daripada 32,000 orang tentera yang dikatakan
bersama Thalut untuk memerangi pasukan Jalud, hanya 313 orang sahaja yang
mengikuti arahan Allah yang diberikan kepada Thalut supaya tidak berhenti minum
di sebuah sungai di mana pasukan mereka berhenti. Mereka yang mementingkan
nafsu, isi perut dan kemahuan diri mereka melebihi kemahuan Allah, maka mereka
ini akan sentiasa ditapis keluar dari jemaah yang bakal memikul beban
perjuangan yang ikhlas kerana mengharapkan redha Allah s.w.t. semata-mata.
Jumlah tidak pernah menjadi masalah. Yang penting
kualiti. Allah menjanjikan kepada umat Islam, jika mereka benar-benar memenuhi
kualiti yang dimahukan Allah, Allah akan memberikan kekuatan yang mereka
perlukan. Allah akan campakkan kegerunan di dalam hati musuh-musuh Islam
biarpun tentera-tentera Islam tidak mempunyai kekuatan bilangan dan teknologi
tempur yang canggih. Ia telah terbukti semenjak zaman Rasulullah s.a.w.
Ujian
Isra’ dan Mikrak
Muslim pada dekad awal perkembangan Islam di
Mekkah juga tidak terkecuali menerima ujian dan dugaan oleh Allah. Dari penyeksaan,
pemboikotan ekonomi sehingga ke pemulauan ahli keluarga semua itu dilalui oleh
generasi sahabat-sahabat yang kuat dan gigih dalam menjaga kekuatan iman
mereka.
Tetapi untuk memastikan generasi muslim yang
pertama akan membentuk negara Islam pertama di Madinah merupakan umat yang
terbaik, Allah s.w.t. sekalilagi menguji mereka dengan salah satu tujuannya
ialah bagi tujuan penapisan. Hanya yang paling berkualiti akan menjadi
sebahagian dari golongan muhajirin yang berhijrah ke Madinah.
Ujian Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian yang
besar. Hanya mereka-mereka yang beriman sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya
dapat menerima peristiwa Rasulullah s.a.w. bergerak dari Baitullah ke Baitul
Maqdis di dalam satu malam. Kita pada hari ini tidak hairan dengan perjalanan
dalam kepantasa sedemikian rupa. Ini kerana kita hidup di dalam era jet jumbo
dan roket-roket ke angkasa. Tetapi perkara itu mencabar lojik akal kepada umat
Islam dan manusia-manusia dengan keimanan biasa-biasa pada zaman tersebut. Ramai
yang sangsi sehingga menyebabkan mereka mendesak Rasulullah s.a.w.
menggambarkan gambaran Baitul Maqdis pada ketika itu.
Tidak cukup dengan ujian tersebut, mereka sekali
lagi dikejutkan dengan berita dari Muhammad s.a.w. bahawa baginda tidak hanya berlepas
dari Baitullah di Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin dalam satu malam, malah
baginda juga menyatakan bahawa baginda telah diangkat ke langit paling tinggi
dan di bawa bertemu dengan Allah di Sidratun Muntaha.
Dengan berita ini, mereka-mereka dengan
iman-iman yang goyah mengambil keputusan
untuk tidak bersama dengan pejuangan nabi. Lalu tertapislah serta terpisahlah
mereka-mereka yang mempunyai iman yang berkualiti berbanding sebelum ini. Bersama
golongan yang tinggal inilah negara Islam pertama di Madinah didirikan. Amat jelas
bahawa Allah s.w.t. tidak pernah memandang kepada kuantiti tetapi kualiti.
Jadi, jumlah yang banyak itu bukanlah satu
jaminan kemenangan malah mungkin lebih banyak memusnahkan. Semua ini harus
dikawal semula supaya institusi yang seharusnya menjadi tempat di mana
penyakit-penyakit mata hati dirawat, tidak bertukar menjadi tempat di mana mata
hati itu diracuni untuk segera mati. Tanpa mata hati yang hidup, bagaimana
mungkin generasi umat ini akan selamat dengan penipuan input-input indera di
dalam akhir zaman kini? Kita semua perlu memperbaiki keadaan ini. Wallahua’lam.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.