Monday, October 15, 2012

Perjanjian Ruh II


Oleh : Imran Haaz\M.I.A.

Gerakan keagamaan yang dinamakan sebagai Orphism muncul sekitar kurun ke 6 sebelum masihi di Greek. Ia merupakan salah satu kemunculan gerakan keagamaan yang tidak miskin dengan dogma serta nilai yang penting.

Ajaran Orphic pada ketika itu turut member penekanan kepada persoalan Ruh. Malah, ramai golongan yang dipandang sebagai ahli falsafah Greek seperti Pindar, Pythagoras, Empedocles dan Plato kemudiannya melanjutkan perbincangan serta memberi sumbangan pengajaran berkenaan isu persoalan ruh sepertimana yang telah dibuka jalannya melalui ajaran Orphic.

Secara tepat, tempat kemunculannya serta apa yang menyebabkan timbulnya ajaran Orphic masih belum dapat disimpulkan. Tetapi antara pusat perkembangan Orphic terawal yang pesat ialah di Croton, Italy. Manakala di Athens, Greek, ajaran terawal Orphic dikatakan disampaikan oleh tiga pelopor terawal yang dihantar ke sana. Mereka aktif di laman Pisistratus-Onomacritus. Onomacritus dan sekutu-sekutunya menjadi pemangkin kepada perkembangan ajaran Orphic di Athens, Greek.


Tiada bukti kukuh yang boleh disandarkan bagi satu kesimpulan yang jelas dapat dibuat untuk menunjukkan bagaimana organisasi Orphic dikembangkan dan diuruskan. Tetapi di dalam era selanjutnya di dalam sejarah Greek, di zaman Plato secara khususnya, pengembang-pengembang ajaran Orphic sentiasa dirujuk sebagai wali atau orang suci.

Golongan Orphic sepertimana kelompok masyarakat Pythagorean, tidak memisahkan agama dengan politik kenegaraan. Kekurangan sumber dari bukti sejarah menyebabkan zaman kemuncak pengaruh Orphic di Greek tidak dapat ditentukan dengan tepat. Tetapi melalui sumber-sumber yang berbaki, boleh dikatakan ajaran Orphic ini mencapai kemuncaknya di Greek pada kurun ke 4 atau 5 sebelum kelahiran Isa a.s.

Kebanyakan tulisan-tulisan Empedocles dan Plato digunakan sebagai sumber bagi mendapatkan gambaran serta fakta mengenai ajaran-ajaran Orphic pada kurun-kurun sebelumnya. Kajian yang dilakukan melalui bukti-bukti yang ditemui melalui aktiviti arkeologi juga turut sedikit sebanyak membantu untuk membongkar kesan-kesan ajaran Orphic terutamanya yang berkenaan dengan perihal kewujudan ruh, serta destinasi ruh selepas kematian.

6 keping tablet yang diperbuat emas yang mengandungi tulisan berkenaan ajaran-ajaran Orphic pernah ditemui melalui aktiviti arkeologi di Sybaris, sebuah bandar yang menjadi saingan kepada Croton yang diperolehi dari beberapa makam. Begitu juga dengan sebuah lagi tablet yang hampir sama berdekatan dengan Rom.

Isikandungan tablet-tablet sepertimana yang dicatatkan di dalam buku bertajuk Prolegomena To Greek Religion oleh Harrison menyentuh perihal alam selepas kematian. Menurut Harrison, isikandungan tablet-tablet tersebut adalah hampir sama dan dijumpai dalam keadaan yang hampir sama iaitu ianya ditanam bersama-sama dengan si mati. Tablet-tablet tersebut menyentuh mengenai perkara atau lebih tepat lagi panduan sebenarnya kepada si mati mengenai dunia baru yang bakal ditempuhnya selepas mati. Termasuk juga saranan-saranan yang dicatatkan di dalam tablet tersebut mengenai perkara yang digalakkan supaya dilakukan supaya memberikan kelebihan kepada ruh, rukun-rukun yang perlu dijalankan, persaksian atau perakuan mengenai agama anutan (confession of faith), amalan-amalan yang perlu dijalankan dan sebagainya. Menurut Harrison di dalam bukunya, tablet-tablet tersebut seolah merupakan vade mecum (kitab panduan yang sentiasa di bawa bersama) untuk panduan di alam ruh.

Sebelum menjelaskan mengenai perihal eskatologi di dalam ajaran Orphic, doktrin teologi ajaran tersebut mungkin perlu sedikit sebanyak perlu disentuh. Tuhan di dalam ajaran Orphic yang masih diperingkat primitif digambarkan sebagai Zeus. Di dalam salah satu syair dicatatkan Zeus sebagai berikut:

Zeus, the First and the Last, the head and the middle, out of whom all things are created.

Jika kita biasa dengan kitab-kitab suci pelbagai agama, kita akan mendapati bahawa petikan ayat di atas sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan apa yang pernah dicatatkan di dalam Taurat, Bhagavad Gita dan kemudian diperbetulkan kembali pemahamannya di dalam al Qur’an.

Bandingkan ayat-ayat berikut dan satu kesimpulan yang dapat kita lakukan ialah, terdapat keyakinan yang jelas bahawa semuanya berakar kepada satu sistem teologi yang sama iaitu Islam semenjak zaman Nabi Adam a.s.

Walaupun tafsiran (exegesis) yang dibuat kepada ayat berkenaan Zeus tersebut oleh pendukung-pendukung falsafah Greek sejak zaman berzaman, seolah-olah menjadikan ayat tersebut berubah dari mempunyai pemahaman yang berakar kepada tauhid yang jelas kepada kesamaran yang sangat mengkaburkan. Tokok tambah yang cuba menjelaskan ayat tersebut menyaksikan guru-guru falsafah Greek menceritakan bagaimana alam ini dicipta dengan cara yang bercanggah. Zeus dikatakan mereka menelan Phanes yang merupakan anak kepada  Telur-Dunia dan dari sana terpancar semua benih-benih kehidupan. Sabitan yang pelik seperti ini, malah disangsikan oleh pengkaji-pengkaji falsafah Greek terutamanya James Adam, penyusun buku yang mana sebahagian besar maklumat mengenai ajaran Orphic ini diambil untuk penulisan ini.

Ajaran Orphic memberikan pengaruh yang besar kepada sistem pemikiran dan falsafah Greek terutamanya di dalam perkara yang membicarakan perihal ruh.

Socrates pernah disabitkan berkata bahawa ‘tubuh itu merupakan penjara kepada ruh’. Malah di dalam Phaedo, Socrates pernah disebutkan Plato sebagai berkata, kematian itu sebenarnya permulaan kehidupan sebenar. Plato pernah direkodkan berkata , “Tidaklah aku berasa hairan, sekiranya Euripides berkata benar apabila dia mengatakan ‘Siapa tahu kehidupan itu mungkin satu kematian dan kematian pula itu sebenarnya (permulaan) kehidupan?,’ ” 1

Orphism, iaitu ajaran Orphic disepakati oleh sarjana pemikiran falsafah Greek sebagai sebuah agama yang tujuan utamanya ialah bagi menyuluh jalan selamat kepada manusia.

Tiga persoalan yang diberikan perhatian di dalam ajaran Orphic berkenaan ruh.
1.       Apa yang diajarkan oleh ajaran Orphic berkenaan perihal keadaan ruh sebelum ia dilahirkan?
2.       Apa keadaannya semasa ruh dibebaskan dari tubuh yang menjadi penjara kepada dirinya?
3.       Apa destinasi ruh setelah meninggalkan jasad?

Perjanjian Ruh Di Dalam Kepercayaan Orphic
Persoalan ini membawakan kita menemui bukti bahawa subjek mengenai Perjanjian Ruh ini, secara realitinya bukanlah sebuah subjek asing yang dibicarakan di dalam al Qur’an. Tetapi, ia merupakan sesuatu yang telah diketahui oleh golongan manusia-manusia yang berakal dan mempunyai pemikiran bijak. Ketiga-tiga persoalan di atas membawakan kita kepada pengenalan subjek ruh yang membentuk asas kepada kepercayaan falsafah Greek.

Ajaran Orphic menyatakan ruh itu berasal dari Tuhan dan bukan dari alam zahir ini 2. Ia hadir di hadapan Tuhan dan lantas mengucapkan perkara berikut sebagai ikatan janji antara ia dan Tuhan yang menciptakannya sebelum ia dilepaskan turun memasuki jasad yang bakal menempatkannya.
‘From Heaven is my descent, as ye yourselves know also, for I, too, claim to be of your blest race,’ (Terjemahan : Di sisi Syurga aku berasal, dan sebagaimana yang Kamu ketahui, aku akui yang aku akan pastikan aku menjadi umatMu yang diberkati.’) 3

Falsafah Greek cuba menjelaskan bagaimana kemasukan ruh itu berlaku dari turunnya ruh di sisi Tuhan kepada jasad manusia yang ada di bumi. Dua penjelasan dari Empedocles dan Aristotle mengenai cara bagaimana ruh memasuki jasad adalah sebagaimana berikut.

Teori ruh turun dalam keadaan berbungkus oleh Empedocles.
Empedocles menyatakan ruh turun dari langit dan berasal dari zat Tuhan dan turun menuju ke bumi dalam keadaan ia terbungkus di dalam satu bentuk lapisan daging yang pelik.

Teori Panspermismus Yang Disabitkan kepada Aristotle
Aristotle pula disabitkan berkata, ruh itu di bawa ke sana ke mari oleh angin. Ia memasuki jasad melalui resapan nafas pertama jasad manusia. Penyusun buku  Library of Religious And Philosophic Thought, James Adam, cuba untuk menyatakan bahawa apa yang Aristotle maksudkan ialah, perkara kemasukan ruh ke dalam jasad itu berlaku semasa kelahiran bayi. Nafas pertama yang disedut si bayi semasa dilahirkan, menarik masuk ruh-ruh yang dikatakan berkeliaran di serata tempat. Inilah yang dinamakan sebagai Panspermismus yang menyatakan ruh (atau asal kehidupan) ada di mana-mana dan bergerak bebas.

Kita berpegang dengan sumber Islam, yang kekal memperbetulkan perselisihan demi perselisihan yang wujud di dalam ilmu pengetahuan manusia tidak kira apa jua bentuk ilmu yang manusia miliki. Sumber Islam membahagikan peristiwa kemasukan ruh ke dalam jasad manusia kepada dua bahagian. Yang pertama melibatkan Adam a.s. sebagai manusia yang pertama. Dan kedua proses kemasukan ruh kepada manusia secara umumnya. (Perbincangan ini tidak termasuk kes-kes khusus seperti kemasukan ruh dengan cara mukjizat seperti yang berlaku di dalam peristiwa penghakiman kes bunuh dikalangan bani Israel di zaman Musa a.s. (al Baqarah 67 hingga 73), Umat Nabi Hizkil (Ezekiel) yang dimatikan kemudian dihidupkan kembali (al Baqarah 243), orang mati dihidupkan kembali melalui mukjizat yang dikurniakan kepada Isa a.s. (Ali Imran ayat 49), Kisah Uzair (al Baqarah 249) dan beberapa kes lagi sepertimana yang disebut di dalam al Qur’an).

Di dalam al Qur’an, dinyatakan Allah dengan jelas bahawa ruh kepada Adam a.s. ditiupkan sebaik jasad Asam a.s. yang mulia disempurnakan. Ia di dalam ayat-ayat al Qur’an berikut :

Surah al Hijr ayat 26 hingga 29.
26. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.
27. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas. 
28. Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk
29. Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan kedalamnya ruh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.

Surah Shaad ayat 71 hingga 73
71. (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah." 
72. Maka apabila telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya." 
73. Lalu seluruh malaikat-malaikat itu bersujud semuanya, 

Bagi keturunan manusia yang berasal dari Adam a.s., ulama terutamanya daripada Mazhab Hanafi dan Syafie pendapat tentang saat dan waktu ruh dimasukkan ke tubuh manusia berlaku selepas 120 hari dari hari pertama persenyawaan . Ia disandarkan kepada beberapa hadis seperti yang dipetik di bawah:
Dari Zaid bin Wahb, ia mengatakan,”Abdulah mengatakan,’Rasulullah saw. telah menceritakan kepada kami dan beliau itu benar dan dibenarkan, bahwa setiap orang dari kalian itu dikumpulkan kejadian penciptaannya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, lalu menjadi alaqah selama itu pula, dan menjadi mudghah selama itu pula. Lalu Allah mengutus malaikat, dan diperintahkan tentang empat perkara; tuliskanlah amal, ajal, kecelakaan dan kebahagiaannya dan ditiupkanlah padanya ruh.(Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Abdullah bin Mas’ud ra berkata bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Sesungguhnya setiap kamu dibentuk di perut ibunya selama 40 hari, kemudian berbentuk ‘alaqah seperti itu juga, kemudian menjadi mudhghah seperti itu juga. Kemudian Allah mengutus malaikat untuk meniupkan ruh dan menetapkan 4 masalah…. {HR.Bukhari, Ibnu Majah, At-Tirmizy}

Hudzaifah bin Usaid, ia berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila nutfah telah berusia empat puluh dua malam, maka Allah mengutus malaikat, lalu dibuatkan bentuknya, diciptakan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan tulangnya. Kemudian malaikat bertanya, ra Rabbi, laki-laki ataukah perempuan?’ Lalu Rabb-mu menentukan sesuai dengan kehendak-Nya, dan malaikat menulisnya, kemudian dia (malaikat) bertanya, Ya Rabbi, bagaimana ajalnya?’ Lalu Rabb-mu menetapkan sesuai dengan yang dikehendaki-Nya, dan malaikat menulisnya. Kemudian ia bertanya, ‘Ya Rabbi, bagaimana rezekinya?’ Lalu Rabb-mu menentukan sesuai dengan yang dikehendaki-Nya, dan malaikat menulisnya. Kemudian malaikat itu keluar dengan membawa lembaran catatannya, maka ia tidak menambah dan tidak mengurangi apa yang diperintahkan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis yang diterima dari Hudzaifah bin Usaid seolah menjelaskan malaikat diutuskan dan dibuatnya bentuk bagi nutfah setelah berusia 42 hari bukan setelah berusia seratus dua puluh hari sebagaimana disebutkan dalam hadits Ibnu Mas’ud sebelum ini. Ulama’ sebahagiannya menyatakan kesemua hadis-hadis berkenaan kemasukan ruh ke tubuh melengkapi hadis-hadis tersebut dengan mengatakan bahwa malaikat itu diutus beberapa kali, pertama pada waktu nutfah berusia empat puluh hari, dan kali lain pada waktu berusia empat puluh kali tiga hari (120 hari) untuk meniupkan ruh.

Bersandarkan pengetahuan yang didapati melalui al Qur’an dan As Sunnah, bukanlah teori Panspermismus yang cuba dimaksudkan oleh Aristotle sebagaimana yang dijangkakan James Adam, tetapi, apa yang mungkin Aristotle cuba gambarkan, ialah peristiwa di mana Nabi Adam a.s. diberikan nyawa. Mana mungkin golongan manusia yang sentiasa digambarkan sebagai golongan pemikir tidak dapat mengetahui bahawa bayi sudah mula boleh dirasai pergerakannya di dalam kandungan seawal bulan ke lima kelahiran.  

Selepas ini, penulisan akan menyentuh beberapa persoalan mengenai Perjanjian Ruh di dalam tradisi keilmuan ahli Falsafah Greek bagi tujuan perbandingan dan menunjukkan bahawa topik Perjanjian Ruh ini bukan sesuatuyang asing dari sentuhan pemikiran golongan manusia yang berakal sejak sekian lama.

Oleh kerana terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, sambungan yang sepatutnya dimuatkan pada 29 Okt 2012, saya cuba menyiapkan, InsyaAllah dalam tempoh terdekat ini. Maaf atas penangguhan yang tidak dapat dielakkan ini.

Rujukan :
1.       James Adam, The Religious Teacher of Greece (Being Gifford Lectures On Natural Religion Delivered At Aberdeen), 1965, Reference Book Publishers, Inc., New Jersey,  pg.97.
2.       ibid, pg.99.
3.       ibid, pg. 99.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda


1 comments:

assalamualaikum ya akhi . apa khabar ? harap sihat walafiat hendaknya . saya sangat tertarik dengan penulisan sahabat dan meminta jika tidak keberatan untuk sahabat berkongsi ilmu tentang apa itu Luh Mahfuz dengan para pembaca semua . harap sahabat pertimbangkan . minta maaf jika ada salah silap saya dalam menulis komen ini . yang buruk datang dari saya dan yang baik datang dari Allah S.W.T
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email