Monday, October 1, 2012

Perjanjian Ruh

2

Oleh M.I.A./Imran Haaz

Bismillahir Rahmanir Raheem..

Sebelum ini, saya telah menyentuh sedikit mengenai Perjanjian Ruh di alam arwah. Ia merupakan sebuah perjanjian di antara kita semua dengan Allah s.w.t., Pencipta, Pemilik serta Pentadbir sekelian alam ini sebelum Ruh dimasukkan ke dalam jasad kita sebagai manusia. Perjanjian Ruh ini termuat di dalam beberapa tempat di dalam al Qur’an. Salah satu ayat yang menyentuh tentangnya ialah ayat yang menceritakan tentang ciri-ciri manusia yang Allah sebutkan sebagai layak memasuki Syurga ‘Adn. Syarat pertama seperti yang dinyatakan ialah manusia itu memenuhi janji tidak akan mempersekutukan Allah dengan apa jua pun sebagaimana dia pernah persaksikan di alam arwah.

Perjanjian ini ada disebutkan di dalam al Qur’an dan kitab-kitab agama lain termasuk kitab-kitab golongan sofis sejak zaman berzaman . Ia menunjukkan sejak zaman-berzaman, pengetahuan tentang terdapatnya satu perjanjian antara ruh manusia dan penciptaNya bukanlah sebuah subjek yang pelik untuk dibicarakan. Allah membenarkan tentang adanya perjanjian sedemikian rupa.  Terdapat penjelasan mengenai bila perkara itu berlaku serta apa intipati perjanjian tersebut yang sentiasa menjadi subjek yang dipertuturkan oleh golongan manusia yang berfikir sejak zaman berzaman. Pertama, biar saya jelaskan apa kata Allah di dalam al Qur’an mengenai Perjanjian Ruh ini.


Telah berlaku satu perjanjian antara Ruh dan Allah sebelum dari Ruh kita semua dimasukkan ke dalam jasad yang diciptakan kemudiannya di dalam turutan yang dijelaskan di dalam ayat 172 hingga 174 surah ar a’raaf seperti berikut :

Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka, iaitu anak cucu mereka, dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka, “Bukankah Aku ini Tuhanmu?”, mereka menjawab : “Betul, kami menjadi saksi,”, (ia diperingatkan supaya) tidak kamu mengatakan di hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami terhadap hal-hal ini (keesaan Allah) adalah orang-orang yang lalai,”. 172

Atau agar kamu tidak mengatakan : “Sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedangkan kami ini adalah anak-anak keturunan yang datang sesudah mereka, maka apakah Engkau akan membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang sesat dahulu?” 173

Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu agar mereka kembali. 174

Prof Dr. HAMKA, menjelaskan Perjanjian Ruh ini merupakan antara subjek yang seharusnya diberikan perhatian dan diberikan perhatian khusus. Ini kerana umumnya manusia terlupa. Akan terbit rasa tidak tenteram dan hilang ketenangan di dalam jiwa setiap manusia sekiranya mereka tidak kembali diperingatkan tentang butir utama perjanjian yang pernah dimeterai antara kita dengan Allah s.w.t.

Rumah, kereta, kemewahan serta keluarga yang besar tidak menjanjikan sebuah ketenangan kepada jiwa. Jiwa itu sentiasa meronta-ronta cuba mencari sebab kenapa rasa gundah serta tidak gembira itu masih hadir ketika kehidupan kita berterusan dikelilingi dengan segala apa yang ditafsirkan sebagai kemewahan.
Seolah-olah terdapat satu ruang kosong yang meruntun perasaan. Seolah-olah jiwa itu sedang mencari sesuatu tetapi tidak diketemukan. Ia sangat pelik, lalu segala yang dipandang sebagai nikmat-nikmat yang dikejar-kejar sebelum ini, mula kelihatan tidak memberikan kepuasan sepenuhnya terhadap remedi bagi kekosongan yang dicari. Pada sangkaan awal, pasangan hidup yang cantik, harta, rumah yang besar, kenderaan mewah, serta anak pinak yang disangka dapat mengubat resah di dalam jiwa itu gagal menghadirkan dirinya. Perasaan tersebut hadir seolah-olah ia mmberitahu kepada hati dan perasaan kita bahawa terdapat satu tanggungjawab atau tugasan yang masih belum diselesaikan.

Lalu kita cuba untuk mencari jawapan. Perlahan-lahan kita menyelidiki apa yang tidak kena dengan diri kita pada waktu tersebut. Secara zahir, segalanya kelihatan tidak bermasalah. Kemudian barulah terdetik, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan sisi dalaman di dalam diri. Ia mungkin ada kena mengena dengan jiwa yang tidak tenang.

Lalu, barulah disedari bahawa jiwa itu terdiri dari tubuh yang dihidupkan dengan ruh. Kombinasi keduanya menjadikan tubuh itu berfungsi dan dapat menjalani kehidupan. Mana mungkin manusia itu mendapat ketenangan jikalau ruhnya tidak mendapat makanan yang tepat. Kehendak ruh atau rohani inilah yang menyebabkan ramai manusia merasakan diri mereka kosong walaupun hidup dikelilingi dengan pelbagai nikmat dan kemewahan.

Ruh berkehendakan supaya janji yang pernah dimeterai antara mereka dan Tuhan ditepati. Kehendak inilah yang mana jika tidak dipenuhi akan menghantui setiap jiwa manusia yang akan sentiasa dihambat rasa kekosongan kerana hidup bertuhankan segala perkara lain kecuali Allah. Manusia mengejar harta, kedudukan, publisiti dan pangkat seolah-olah itulah tujuan utama mereka hidup di dalam dunia. Itu merupakan trajektori pemikiran yang silap jika kehidupan bahagia menjadi destinasi yang ingin ditujui.
Tetapi Allah tidak pernah membiarkan manusia itu terkapai-kapai di dalam mencari jawapan. Lantas pada setiap kali umat manusia hilang panduan, Allah s.w.t. mengutuskan para nabi dan rasul untuk mengajak serta mengingatkan kembali dasar tauhid yang menjadi intipati utama perjanjian antara ruh kita dengan Allah s.w.t., Pencipta dan Pentadbir sekelian alam.

Itulah yang menjadi intipati kepada ayat 172 hingga 173 surah al A’raaf. Rasul dikirimkan kepada umat manusia supaya manusia tidak mengatakan kembali bahawa mereka tidak pernah diperingatkan tentang perjanjian untuk tidak menyekutukan Allah dengan segala sesuatu yang lain.
Menepati Perjanjian Ruh ini menjadi syarat utama bagi manusia-manusia yang dikira layak untuk layak memasuki syurga. Di dalam surah ar Ra’d ayat 19 hingga 26, Allah s.w.t. menyebut tentang penghuni Syurga ‘adn.

Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabb-mu itu benar sama seperti orang yang buta? Sesungguhnya yang mahu mengambil pelajaran itu hanyalah orang-orang yang berakal sahaja. 19

Iaitu orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosakkan perjanjian. 20 

Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (iman, silaturrahim) dan mereka yang takut kepada Rabb mereka dan takut kepada hisab yang buruk. 21

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Rabbnya, dan mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik. 22

Syurga ‘Adn, yang mereka masuk ke dalamnya dengan orang-orang yang saleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedangkan malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari setiap pintu. 23

Kesejahteraan buat kalian berkat kesabaran kalian, maka alangkah baiknya tempat kesudahan ini. 24

Banyak mufassir serta ulama’ cuba mentafsirkan bagaimana perjanjian tersebut dimeterai. Perkara itu cuba dijauhkan dari penulisan ini kerana ianya diluar daripada bidang keupayaan manusia untuk mendapatkan gambaran sebenarnya. Malah cara bagaimana perjanjian itu dimeterai antara ruh dan Tuhan yang menciptakannya juga akan dijauhi sedapatnya. Yang penting, intipati kepada perjanjian itu diketahui dan bagaimana cara perjanjian itu boleh dipenuhi telah dijelaskan sepenuhnya di dalam al Qur’an.
“Mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakanlah: ‘Ruh itu termasuk urusan Rabbku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit’.” (Al-Isra: 85)
Cuma penulisan ini digarapkan atas tujuanbagi menunjukkan bahawa perkara Perjanjian Ruh ini merupakan sebuah subjek yang turut menjadi sentuhan dan perbincangan manusia-manusia yang menamakan diri mereka manusia beragama sejak zaman berzaman.

Al Qur’an secara jelas menyatakan bahawa semua agama yang wujud dimukabumi ini pada hari ini sejak semalam jauh, berasal dari satu agama yang sama. Agama yang asal itu ialah Islam yang diperkenalkan kepada manusia semenjak zaman Nabi Adam a.s.

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka) dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan pertunjuk kepada orang-orang y ang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi pertunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang di kehendakiNya ke jalan yang betul-lurus (menurut undang-undang peraturanNya). (al Baqarah ayat 213)

Ruh, Pembalasan Akhirat dan Syariat Awal Manusia
Anak-anak Adam a.s. telah mengetahui mengenai beberapa syariat ringkas. Ia melibatkan beberapa hukum asas dan pengetahuan bahawa setiap perbuatan itu akan mendapat balasan yang setimpal diakhirat. Kerana itulah, apabila diugut untuk dibunuh dengan tindakan zalim oleh Qabil, Habil hanya menyatakan perkara berikut kepada saudara kandungnya. Surah al Maidah ayat 27 hingga 29 berikut.

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.

Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.
Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli Neraka dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim.

Pewaris nabi yang terawal, Habil, tidak mahu bertindak zalim di atas kezaliman yang bakal ditimpakan ke atasnya. Maka jadilah dia korban pertama demi mempertahankan prinsip yang dipegangnya bahawa semua perbuatan jahat itu akan mendapat balasan dari Allah. Tetapi untuk memaksanya bertindak zalim dan ganas sebagai balasan kepada perbuatan zalim yang bakal ditimpakan saudara kandungnya ke atasnya, ianya tidak menjadi pilihannya sama sekali. Sempurna mendapat didikan dari ayahandanya yang merupakan ayahanda kepada kita semua, dia menolak untuk mengambil jalan bermusuhan dengan saudaranya sekalipun saudaranya secara jelas menzalimi dirinya. Betapa kualiti ini, tidak kelihatan lagi di dunia ini kecuali pada pewaris nabi yang sedikit jumlahnya.

Melalui kisah yang cukup ringkas diceritakan di dalam Al Qur’an ini, terlalu banyak maklumat yang diperolehi mengenai kehidupan keluarga manusia terawal di dunia. Pertama, mereka telah bercucuk tanam dan memelihara binatang ternak sebagai makanan. Jelas mereka telah mempunyai sistem tugasan dan teknik bagi mencukupkan keperluan asas iaitu makanan.  Mereka telah mempunyai sistem hidup yang sistematik dan membahagi-bahagikan tugas sebagaimana manusia dengan pemikiran yang  bertamadun melakukannya. Mereka juga menyelesaikan perebutan dan konflik melalui sistem timbang tara yang pada waktu itu diadili oleh Allah s.w.t. dengan korban salah seorang dari mereka diterima Allah bagi menyelesaikan isu yang timbul sesama mereka. Mereka telah mempunyai pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang buruk untuk dikerjakan. Mereka telah mempunyai set undang-undang yang menunjukkan bahawa setiap perbuatan itu akan mendapat balasan yang setimpal. Mereka juga telah mengetahui mengenai kematian dan destinasi yang bakal dituju selepas kematian.

Mereka telah mengetahui mengenai aspek rohani bahawa setiap jiwa itu terdiri dari ruh dan jasad. Ia difahami apabila Habil berkata kepada Qabil, bahawa dia akan kembali membawa dosa-dosanya dan dosa dia membunuh Habil apabila berhadapan dengan Allah diakhirat nanti. Jelas di sini, Habil mengetahui bahawa apabila mati nanti, jasadnya mungkin akan disimpan bumi, tetapi ruh tetap hidup dan akan dibangkitkan kembali diakhirat nanti.

Itulah kehebatan al Qur’an, dapat menjelaskan pelbagai perkara hanya di dalam 3 ayat ringkas. Di dalam 3 ayat sebegini ringkas, hampir seluruh sistem hidup keluarga manusia yang terawal di dunia dijelaskan hampir sepenuhnya. Banyak mitos tentang aspek kehidupan manusia terawal yang seringkali dikaitkan dengan bidang arkeologi yang berkiblatkan barat menjadi tidak relevan dan dapat diperbetulkan hanya melalui 3 ayat ringkas dan mudah ini. Sebenarnya kisah Habil dan Qabil tidak berakhir pada ayat 29 surah al Maidah tersebut, tetapi ianya dilanjutkan sehingga ayat 31. Banyak lagi lapis pengetahuan yang boleh digali melalui penelitian ke atas dua ayat tambahan tersebut. Jika mula mengambil serius dengan al Qur’an, Allah s.w.t. akan membuka jalan-jalan pemahaman yang lebih dalam. Tahukah sahabat-sahabat pengunjung blog satuhala ini, di dalam kisah Adam a.s. dan keluarganya yang dicatatkan di dalam al Qur’an, terdapat pelbagai ilmu lagi selain  yang boleh dijadikan panduan kepada pelbagai bidang dari bidang serius seperti arkeologi hingga ke bidang glamor seperti fesyen. Tahukah sahabat-sahabat pengunjung bahawa al Qur’an dan Sunnah memberikan panduan bagaimana untuk membezakan yang mana satu antara beberapa tengkorak di bawah ini merupakan tengkorak manusia lampau dan mana satu yang bukan? Jika Nabi secara jelas dapat memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang diberikan kepadanya melalui bantuan Allah, seharusnya pewaris nabi turut menjadi kemuncak pusat rujukan untuk semua umat Islam di dalam pelbagai bidang supaya mereka dapat menjalankan usaha mereka mengikut jalan yang betul dan tidak sia-sia membuang masa.



Tahukah sahabat-sahabat pengunjung blog bahawa Allah s.w.t. menjelaskan peringkat-peringkat ketamadunan manusia menggunakan keadah yang lebih spesifik berbanding kaedah pembahagian zaman yang longgar digunakan ahli arkeologi yang hanya membezakan zaman mengikut peralatan yang digunakan manusia seperti zaman Neolitik, Paleolitik, Logam, Besi dan sebagainya?

Tahukah sahabat-sahabat pengunjung blog, bahawa al Qur’an mengatakan imaginasi pengembaraan angkasa sebagaimana yang digambarkan James Cameron di dalam filem Avatar itu silap kaedahnya? Tahukah tuan-tuan bahawa kaedah pengembaraan angkasa serta perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian kepada manusia yang mengembara jauh diangkasa yang sedang diselidiki NASA itu sudah pun ada panduan jelasnya bagaimana untuk melakukannya di dalam al Qur’an? Tahukah sahabat-sahabat pengunjung, bahawa segala panduan yang sangat bermanfaat di dalam al Qur'an itu tidak akan memberikan sebarang untung kepada umat Islam selagi mereka tidak mengambil serius tentang al Qur'an dan selagi mereka tidak kembali bersatu atas satu jemaah yang bersatu atas satu persamaan iaitu kita semua mengucapkan dua kalimah syahadah dan kembali menjernihkan semua perselisihan yang diwujudkan musuh-musus agama kita ke atas kita?

Tahukah sahabat-sahabat kenapa ilmu-ilmu itu semua tidak kita ketahui ada di dalam al Qur’an selama ini sedangkan akses kepada semua pengetahuan hebat dan panduan kepada semua manusia yang mengejar segala bentuk ilmu sudah lebih seribu tahun diberikan kepada kita melalui al Qur’an? Ini kerana al Qur’an sudah lama berada di dalam tangan majoriti manusia-manusia yang hanya berminat untuk menggunakannya sebagai sarung tinju bagi menjatuhkan lawan. Mereka tidak mahu menggunakan al Qur’an sebagai panduan yang menguatkan tetapi semakin membinasakan. Tidakkah kita sebagai umat Islam semakin pelik apabila semakin ramai dihantar anak-anak muda kita keluar negara untuk belajar ilmu agama, majoriti daripada mereka pulang dengan tujuan untuk mengurangkan jumlah umat Islam di dalam negara. Pulang sahaja dari belajar, mereka sudah bersedia untuk menjadi algojo. Habis semua umat Islam dilabelkan mengikut kumpulan-kumpulan tertentu. Semakin hari semakin kecil jumlah umat Islam akibat dilabelkan dan dikelompok-kelompokkan. Semakin bertukar zaman, semakin banyak kumpulan umat Islam dilabelkan. Sehinggakan kini umat Islam dilihat tidak lebih dari jutaan buih-buih dipukul ombak ditepian pantai. Sampai bila semua ini akan berhenti?

Jika ada umur yang panjang, kesempatan serta keberkatan masa dan kelapangan ekonomi, InsyaAllah saya akan jelaskan semua perkara yang saya sebutkan di atas di dalam blog satuhala ini dan di dalam medium-medium yang saya rasakan sesuai.

Berbalik kepada Perjanjian Ruh antara ruh manusia dengan Allah, jelas prinsip kefahaman tentang kewujudan ruh yang akan dibangkitkan kembali bersama jasad sudah sedia wujud sejak zaman Adam a.s. lagi. Ia seperti yang disebut di dalam ayat yang menyentuh kisah Habil dan Qabil di atas.

Apabila manusia mula jauh dari jalan agama dan menuju jalan yang tersasar, Allah s.w.t. akan mengirimkan nabi dan rasul bagi membantu manusia kembali ke jalan yang sepatutnya. Variasi pelbagai agama yang wujud pada hari ini, semuanya berakar kepada Islam. Yahudi, Nasrani, Hindu dan sebagainya berakar kepada jalan tauhid yang asal yang membentuk agama Islam di zaman silam sebelum ia dilengkapkan semasa Muhammad s.a.w. diutuskan sebagai nabi dan rasul.

InsyaAllah, penulisan-penulisan seterusnya selepas ini saya akan menjelaskan butiran mengenai Perjanjian Ruh di dalam sebuah kitab agama yang didakwa pengikut mereka sebagai kitab agama yang tertua di dunia untuk agama yang masih wujud di dalam dunia kini. Ia berkenaan syarat perjanjian Ruh yang terdapat di dalam kitab Bhagavad Gita. Kemudian saya akan berkongsi tentang kisah perjanjian Ruh yang menjadi subjek bicara golongan ahli falsafah Greek dan dalam masa yang sama menjelaskan aspek perjanjian ini di dalam konteks Yahudi dan disempurnakan apabila Islam dilengkapkan.

InsyaAllah bahagian seterusnya akan dimuatkan pada 15 Oktober 2012, tepat jam 11:30 malam. Sebahagian penulisan tersebut di dalam bentuk ‘pra-matang’ telah saya muatkan di dalam akaun facebook saya. Bagi yang berminat, boleh ke sana untuk membaca penulisan yang belum diedit sepenuhnya. 

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

2 comments:

shamsadis said...

berat nie kene hati2 takut ramai tak faham

satuhala said...

InysaAllah Sham,
Saya cuba elakkan dari menulisnya terlalu berat..