Thursday, August 9, 2012

Hak Untuk Wanita Islam Bersuara Di Negara Islam

4

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Oleh kerana ruangan komen terlalu sempit untuk memuatkan penjelasan berkenaan isu hak asasi wanita yang dipertikaikan di negara-negara Islam seperti Arab Saudi, maka saya muatkan sedikitpenjelasan ringkas berkenaan hak bersuara dan larangan pemanduan kenderaan yang dikuatkuasakan di Arab Saudi bagi tujuan pencerahan kepada kegusaran Udee.Azeela.

Terdapat perbezaan yang besar antara apa yang Islam dan Rasulullah s.a.w. anjurkan muslim perbuat dan apa yang diperbuat muslim. Tidak ada satu negara Islam di dunia kini yang benar-benar mengikuti apa yang dianjurkan Islam dan sunnah kenegaraan yang dibentuk Rasulullah s.a.w. Jika, ada, tentu sahaja merekalah yang terawal menghantar angkasawan untuk meneroka angkasa dan menguasai perkembangan ilmu sains dan teknologi dunia seperti yang pernah berlaku sebelum kurun ke 14 dahulu.


Islam mengiktiraf hak bersuara golongan wanita. Hak bersuara itu terlalu luas cakupannya. Islam memberikan hak yang merangkumi semua hak bersuara kepada wanita bermula pada zaman Rasulullah s.a.w.

Wanita telah dibenarkan memberi pendapat, menjadi penasihat, mengubah polisi & sistem sosial masyarakat, menegur secara terus pemerintah, belajar , mengajar termasuk kepada golongan lelaki, berjuang dan termasuk menjadi ketua kepada golongan lelaki di dalam kes-kes tertentu di dalam zaman Rasulullah s.a.w. dan generasi sahabah.

Kembali kita merujuk Sirah tentang bagaimana kaum wanita mendapat hak sepertimana yang saya sebutkan di atas satu persatu.

1.       Hak Untuk Memberikan Pendapat
a.       Rasulullah s.a.w. sejak dari awal pelantikan baginda sebagai Nabi dan kemudian rasul, sentiasa mendapat sokongan serta mendapatkan pendapat serta nasihat isteri baginda tentang apa yang baginda hadapi dan situasi yang dilalui. Pendapat golongan wanita tidak ditolak malah diberikan perhatian dan diambil tindakan. Malah ada keadaannya nasihat yang diberikan itu meredakan situasi tegang sepertimana yang pernah berlaku di dalam kisah selepas termetarainya Perjanjian Hudaibiyyah. Muslim rata-ratanya melihat perjanjian tersebut seolah seperti berat sebelah dengan lebih banyak kelebihan diberikan kepada kaum Musyrikin Mekah. Tetapi, perancangan Allah melalui perjanjian tersebut memberikan kelebihan kepada pihak Islam di dalam jangka masa panjang. Situasi semasa perjanjian damai tersebut menegang apabila Abu Jandal bin Suhail memohon perlindungan daripada kem Rasulullah s.a.w., tetapi terpaksa ditolak atas kepentingan umat yang lebih besar.  Malah berlakunya beberapa hasutan yang menyebabkan timbulnya rasa tidak senang antara kumpulan-kumpulan muslim. Beberapa perkara yang berlaku menyebabkan rombongan umrah yang bersama Rasulullah s.a.w. menolak untuk menyembelih serta bercukur apabila diarahkan Rasulullah s.a.w.. Ia sebagai tanda mereka akan berangkat pulang. Sedih dengan perkara tersebut, Rasulullah s.a.w. kembali ke khemahnya. Ummu Salamah r.a., isteri baginda yang mempunyai kecerdasan pemikiran yang tinggi, apabila melihat keadaan sedemikian rupa kemudiannya mengusulkan supaya Rasulullah s.a.w. sendiri yang keluar dan menyembelih korban dan kemudian bercukur.  Orang-orang Islam, ketika melihat Rasulullah s.a.w. berbuat demikian, mereka kemudian turut serta dan kemudian berangkat pulang ke Madinah. Konflik telah berjaya dielakkan dengan pendapat daripada seorang wanita diberikan perhatian dan diambil tindakan. Sila rujuk hadis yang menceritakan cerita perjanjian damai Hudaibiyyah ini di dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim.

2.       Hak Bersuara Dan Aduan Yang Mengubah dan Memperbaiki Polisi dan Sistem Sosial Masyarakat
a.       Khaulah binti Tsa’labah pernah mengadu di dalam doanya kepada Allah berkenaan suaminya. Ia berkaitan hukum Zihar. Allah mendengar aduannya dan mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w. ayat 1 hingga 7 di dalam surah Mujadaalah. Bermula dari situ, keadilan sosial serta sistem sosial masyarakat Muslim berubah dari praktis biasa yang diamalkan masyarakat Jahiliah kepada satu sistem yang lebih baik dan adil. Surah al Mujaadalah atau juga dikenali dengan nama surah al Mujaadilah ini dinamakan sempena peristiwa Khaulah binti Tsa’labah yang melakukan bantahan terhadap ketidakadlian dalam amalan system masyarakat jahiliah yang meluas pada ketika itu. Prof. Dr. HAMKA menyatakan, surah ini terkadangnya disebut sebagai al Mujadilaah yang membawa maksud perempuan yang membantah 1.  

3.       Hak Untuk Bersuara dan Menegur Pemerintah
a.       Umar al Khattab r.a. ketika di dalam perjalanan ke satu destinasi ditahan seorang wanita berusia. Umar ketika itu merupakan Amirul Mukminin. Beliau berhenti setelah ditahan.  Yang menahannya ialah Khaulah binti Tsa’labah r.a., wanita yang suaranya didengar oleh Allah s.w.t. sehingga mengubah system sosial dan keadilan ke atas wanita seperti yang disebut di dalam perkara 2 di atas. Para sahabat pengawal yang mengiringi Umar pada ketika tersebut mahu mengahalang, tetapi Umar r.a. melarang lantas memarahi mereka dengan berkata,” Inilah wanita yang aduannya didengari oleh Allah SWT - maka pantaskah Umar tidak mendengar darinya?”. Khaulah menasihati Umar r.a. dengan nasihat supaya beliau tidak lupa diri dan asal usulnya, walaupun apa jua kedudukan Umar r.a. pada ketika itu, Khaulah menasihatkan diri Umar r.a. supaya sentiasa bertakwa kepada Allah di dalam hal kesejahteraan rakyat. Umar r.a. setelah ditegur Khaulah r.a. turut berkata kepada pengiring-pengiringnya yang hendakkan kepastian tentang Khaulah, “Demi Allah! Sekiranya ditahannya  aku sejak dari pagi hingga petang hari, tidaklah aku akan bergerak dari tempatku berdiri kecuali untuk sembahyang lima waktu kerana takut kepada Allah,” 2.

4.       Hak Untuk Belajar
a.       Berbanding umat Kristian (rujuk penulisan saya di sini http://satuhala.blogspot.com/2007/07/aurat-muslimah-satu-penindasan-atau.html), kaum Muslimah sentiasa mendapat peluang untuk belajar. Malah Rasulullah s.a.w. mengkhususkan satu hari dalam setiap minggu untuk pelajaran yang hanya dihadiri oleh kaum wanita.

Hadis dari riwayat Bukhari :
Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a. katanya, “Beberapa orang wanita memajukan permohonan kepada Nabi : “Kami tidak memperolehi waktu untuk belajar dari Anda kerana semua waktu telah diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu sediakanlah barang sehari untuk kami agar kami pula dapat belajar.”
Maka Nabi menjanjikan kepada mereka suatu hari khusus untuk pengajian wanita, di mana Nabi mengajar dan menyampaikan perintah-perintah Allah......”
5.       Hak Untuk Mengajar
a.       Saiditina Siti A’isyah r.a. meriwayatkan sebahagian besar hadis.
b.      Saiditina Siti A’isyah r.a. dilantik menjadi salah seorang daripada ahli ijtihad di zaman para sahabat.
c.       Malah ramai sahabah dan tabi’in mendapatkan pelajaran berkenaan hadis dari isteri Rasulullah s.a.w. ini selain dari isteri baginda yang lain.

6.       Hak Untuk Menjadi Ketua
a.       Umar r.a. pernah melantik Asy Syifa sebagai Ketua Perbandaran di zaman pemerintahannya 3.
b.      Aisyah r.a. pernah menjadi ketua turus salah satu pasukan tentera di dalam perang Jamal.
c.       Al Qur’an menyebut tentang Puteri Saba’ yang memerintah negeri Saba’. Beliau hanya diajak kepada Islam dan kemudian memeluk Islam tetapi penguasaan negeri Saba’ tetap di bawah pemerintahannnya di bawah naungan Sulaiman a.s.

Apa yang disebutkan merupakan contoh-contoh yang ringkas. Hak bersuara dan terlibat di dalam penetapan polisi di dalam Negara sentiasa dihormati di dalam Islam. Negara Islam Madinah mengamalkannya serta mempraktikkannya dengan adil. Sebagaimana yang telah saya sebutkan sebelum ini, telah berlaku kemerosotan seperti yang disebutkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w. seperti berikut:

Beliau juga bersabda, “Sebaik-baik umat manusia adalah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang yang mengikuti mereka (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang mengikuti mereka lagi (tabi’ut tabi’in).” (Muttafaq ‘alaih)

Apa yang dipraktikkan kerajaan Arab Saudi berkisar tentang pemerhatian mengikut zaman yang dibuat pihak mereka ke atas hak dan kedudukan golongan wanita di sana. Pepatah Melayu, lain padang lain belalangnya. Manusia-manusia juga wujud di dalam bentuk-bentuk sikap dan pemikiran berbeza sesuai dengan kedudukan negara mereka, iklim yang dialami serta bangsa yang menjadi majoriti di sesuatu tempat tersebut. Hukum, undang-undang dan sistem sosial masyarakat perlu disesuaikan mengikut keadaan dan zaman dan harus berada di dalam kerangka luas syariat yang dibenarkan.

Berkenaan dengan hak untuk memandu , jika memandu dijadikan ukuran kemajuan, entah kenapa gerangannya hampir semua wanita yang berjaya di dunia barat dan timur yang dibaratkan menggunakan pemandu untuk bergerak? Begitu juga dengan syarikat syarikat multinasional yang besar yang menyediakan pemandu untuk staf-staf lelaki dan wanita mereka yang berkedudukan tinggi. Ia bukan satu lambang kemunduran tetapi suatu anugerah kehormatan yang diberikan. Kenapa untuk bergerak menggunakan pemandu di negara-negara maju dianggap sebagai suatu privilege dan kehormatan, tetapi apabila wanita Arab Saudi perlu bergerak dengan menggunakan pemandu dianggap sebagai kolot dan ketinggalan zaman? Perhatikan bagaimana pemikiran kita telah diprogramkan untuk terus menerus menerima propaganda seperti ini tanpa kita mahu memberi ruang untuk berfikir sejenak.

Islam secara praktisnya sejak zaman Rasulullah s.a.w., mahukan golongan wanita Islam menjadi wanita yang progresif, kuat serta independent. Rasulullah s.a.w. memuji golongan wanita Quraisy yang pandai menunggang kenderaan di dalam hadis seperti yang saya petik di bawah :

 “Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita solehah dari kaum Quraisy. Paling sayang terhadap anak-anak mereka dan paling perhatian terhadap suami mereka. (Bukhari dari Abu Hurairah)
Dari A’isyah R.a., “Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar, sebab rasa malu tidak menghalang mereka untuk mendalami ilmu agama.” (Bukhari)

Rasulullah s.a.w. menganjurkan kaum wanita pada ketika itu meniru keupayaan serta kehebatan wanita-wanita Ansar yang sangat berani, progresif dan tidak takut untuk kehadapan dalam menuntut ilmu dan kehebatan wanita Quraisy yang hebat menunggang unta tetapi tidak melupakan kepada tanggungjawab utama mereka. Jika memandu kenderaan itu sesuatu yang dilarang, tentu sahaja nabi s.a.w. tidak akan bersabda dengan sabda yang sedemikian berkenaan wanita Quraisy. Tentu sahaja kehormatan keluarga dan tanggungjawab terhadap keluarga menjadi ikatan penting yang disimpulkan kepada kemuliaan wanita penunggang unta dari kalangan Quraisy seperti di dalam hadis yang dipetik di atas.

Itu bezanya antara negara Islam yang menjadi model kepada umat Islam dan negara-negara umat Islam pada zaman ini yang sedang cuba dengan sedaya upaya mendekati kesyumulan negara Islam Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabah.

Negara Islam ialah negara yang telah didirikan oleh Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda di Madinah dan kemudian ditadbir perintah pula oleh khalifah ar Rasyidin yang empat. Kualiti negara Islam itu merosot dari masa ke semasa mengikut generasi muslim yang berubah sehingga ke hari ini. Ia bersesuaian dengan hadis nabi seperti yang saya petik sebelum ini.

Jadi apabila berbicara mengenai negara Islam, hanya negara Islam Madinah di zaman nabi dan para sahabah yang seharusnya menjadi rujukan. Negara-negara umat Islam yang ada pada hari ini sedang mencuba sedaya upaya untuk mendekatkan kualiti pentadbiran negara mereka menghampiri contoh model negara Islam tersebut. Dalam percubaan yang dilakukan, tentu sahaja ada buruk baiknya yang kelihatan dan perlu sentiasa diperbaiki. Ini dinamakan progresif. Progresif ke arah satuhala jalan menuju kesempurnaan negara Islam sepertimana negara Islam Madinah yang dibina Rasulullah s.a.w.

Jadi adalah tidak adil bagi kita untuk menggunakan salinan yang kabur untuk mengkritik sebuah sistem yang secara asalnya elok. Ibarat mengkritik si pelukis lukisan yang hebat dengan hanya merujuk kepada lukisan fotokopi yang dibuat yang kelihatan kabur dengan strok yang tidak kemas dan jelas.

Arab Saudi sedang cuba memperbaiki sistem mereka supaya mendekati model terbaik negara Islam sepertimana yang dijalankan serta ditadbir Rasulullah s.a.w. di Madinah. Pautan link di bawah ini menunjukkan mereka sedang melakukan perubahan. Untuk mendekati negara Islam sebenar jalannya sangat panjang:


Begitu juga dengan negara barat seperti Amerika Syarikat yang masih bertatih lagi berusaha untuk memberikan hak yang lebih adil kepada wanita. Bukankah Akta Lily Ledbetter yang baru diluluskan pada 2011 untuk membenarkan golongan wanita mendapat upah kerja setimpal dan menghapuskan syarat aduan 180 hari dari tarikh permulaan kerja hanya baru tahun ini diluluskan?. Semua Negara di dunia ini sedang mencuba ke arah itu, hanya negara Islam di bawah pentadbiran Rasulullah s.a.w. berjaya membawa pembaharuan demi pembaharuan dalam perjuangan hak asasi wanita. Berkiblatkan model tersebut, kita semua sedang berusaha ke arah itu. Wallhua’lam.


Rujukan :
1)       Prof. Dr. HAMKA, Tafsir al Azhar, Juzu’ 28,29-30, (1985), Pustaka Panjimas, Jakarta, m/s 4.
2)      Ibid, m/s 15.
3)      Institut Kefahaman Islam Malaysia, Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, (2005), IKIM, m/s 100.

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

4 comments:

Anonymous said...

Assalammualaikum wbt tuan,
Alhamdulillah saya sangat berterima kasih dengan penerangan panjang lebar mengenai hak wanita dalam Islam yang kini dikelabukan dengan keegoan lelaki atas alasan mengikut sunah.

Contohnya dalam topik poligami saya suka menguji mana-mana lelaki untuk melihat kefahaman dan cara mereka berfikir samada mereka memberi peluang atau tidak kepada wanita memberi pendapat. Tetapi malangnya kemahiran mendengar agak kurang bagi pihak lelaki dan ego mencanak naik apabila topik itu disentuh.

Jadi saya menyimpulkan kemahiran mendengar dan berlapang dada semakin kurang dikalangan masyarakat kita menyebabkan Islam dipandang jumud dan kaku.

Saya suka cara tuan memandang dan mengulas wanita memandu di Arab Saudi itu. Apa salahnya wanita Islam dimuliakan sebegitu rupa.

Adila_Alim

hasanah said...

alhamdulillah.. thanks 4 d sharing... moga2 semua lelaki muslim berfikiran spt tuan yang begitu menghormati wanita dlm kehidupan.. spt yg saudari adila_alim ajukan kebanyakan lelaki mpunyai ego yg tinggi.. sbb itu kdg kala mrk tidak boleh menerima pdpt wanita wpun pdpt tsbt baik.. moga2 Allah membuka hati para lelaki muslim utk mbimbing wanita ke arah yg lebih baik..!! aminn..!!

satuhala said...

Wa'alaikumsalam w.r.b.t. Adila,
Lelaki secara fitrahnya mmg mcm tu. Brtambah teruk jika didikan semenjak kecil mrk dirumah tak mendapat sentuhan kasih sayang dr seorang ibu yg sepatutnya sentiasa hampir dan dekat kpd mrk.

Semuanya bermula dr didikan ibu di rumah. Jika ibu itu gagal untuk membentuk anak lelakinya menjadi seorang yg boleh dapat menghormati wanita, maka anak-anaknya akan masuk ke dalam sistem masyarakat sbg insan yg langsung tiada rasa hormat kepada kaum hawa.

Kita akan tgk fenomena spt yg Adila sebut tu akan berlaku dgn lebih meluas lagi dalam satu dua dekad akan datang. Ini kerana peranan ibu sebagai pembentuk generasi masa depan dan pemimpin2 masa depan bermula di rumah, telah diambilalih oleh pembantu2 rumah.

Jadi, wanita yg paling hampir dgn mereka semenjak mereka kecil ialah pembantu2 rumah mereka. Wanita yang menjadi pembantu rumah ini tidak semuanya dilayan dengan penuh hormat. Jadi perkenalan antara anak-anak ini dgn golongan wanita pertama yg hampir dgn mereka, telah membentuk dalam persepsi pemikiran mereka ialah, wanita2 adalah golongan yg perlu berkhidmat kepada mereka, menurut setiap arahan dan permintaan mereka dan sebagainya.

Itu jadinya bilamana si ibu sebenar sedang sibuk mengejar dunia dan terlepas peluang keemasan utk membentuk generasi pemimpin masa depan. Tetapi kesalahan tentu sahaja perlu diletakkan di atas bahu sang suami yg tidak mampu serta berkeupayaan untuk memastikan ibu kepada anak2nya diberikan upah yang setimpal dgn kelayakan akedemik dan kepintaran si ibu utk menjadi surirumah sepenuh masa.

Jadi lelaki yg menjadi suami, perlu berusaha keras supaya keperluan isteri yg menjadi si ibu kepada anak-anaknya dipenuhi dgn adil dan saksama.

Hanya ketika perkara ini berlaku, barulah perubahan ke atas rasa hormat kepada wanita generasi baru lelaki yang dilahirkan akan berlaku dgn meluas...

Benar kata Adila dalam komen berkenaan hak utk kaum wanita Arab Saudi diberikan pemandu.. Apa salahnya wanita Islam dimuliakan sedemikian rupa..

satuhala said...

Hasanah,
Segala puji bg Allah.. saya hanyalah seorg lelaki yg menjadi produk didikan seorang surirumah dan seorang lelaki yg berusaha keras utk anak-anaknya dibesarkan, dibelai serta dididik dengan kasih sayang ibu sendiri.

Lelaki ego itu satu fitrah.. tetapi fitrah itu boleh diubah melalui kasih sayang seorang wanita bergelar ibu yg mahu meluangkan masa mendidik generasi anak2nya supaya menghormati wanita semenjak kecil..

Lelaki hanya boleh membimbing wanita yg berada di dalam generasinya, tetapi nasib dan halatuju pemikiran generasi masa depan terletak pada tangan golongan wanita utk membentuknya.. malang sekali ramai yg melepaskan peluang ini kerana kabur pandangan dan salah hitung kiblat keutamaan di dalam kehidupan..