Walaupun seruan Azan di bawah ini tidak seindah yang disampaikan Bilal sehingga menyebabkan para sahabah menangis terisak-isak, tetapi ia tetap dipersembahkan dengan indah supaya kita semua kembali kepada dasar rindu kita kepada Allah dan Muhammad s.a.w. yang dikasihiNya.
Telah diceritakan bahawa setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., Bilal tidak dapat lagi mampu menanggung kesedihan apabila masuknya waktu solat untuk didengarkan azan. Pada kalimah, Muhammadar Rasulullah di dalam setiap laungan azannya, ia membuatkan Bilal menangis dan tidak dapat menahan kesedihan kerana merindui Rasulullah s.a.w.
Lalu, Bilal bertemu dengan Khalifah Abu Bakar r.a. memohon izin supaya beliau tidak lagi dilantik sebagai muazzin dan ingin segera berpindah keluar dari Madinah. Keluar bukan kerana benci, tetapi tekanan rindu yang menyebabkan Bilal tidak sanggup tinggal dalam tempoh yang lama berdekatan dengan semua kenangan dan suasana yang setiap masa mengundang rindu yang terlalu mendalam kepada manusia teragung bernama Muhammad s.a.w. yang sudah tiada lagi.
Abu Bakar As Siddiq r.a. tidak mengizinkan. Bilal meneruskan tugasannya di Madinah setelah mengenangkan Abu Bakar as Siddiq r.a. merupakan orang yang membebaskan dirinya dari perhambaan. Bilal berterusan mengumandankan azan di sana sehingga Abu Bakar r.a. dijemput kembali kepada Allah. Apabila Umar r.a. diangkat sebagai Khalifah, Bilal sekali lagi mendekati Khalifah memohon keizinan untuk keluar dari Madinah dan menyertai pasukan pejuang yang akan pergi jauh dari Madinah yang memberi tekanan rindu terhadap Rasulullah s.a.w. kepada Bilal.
Umar r.a. menolak pada awalnya, setelah didesak dan dipujuk beberapa kali, akhirnya Umar r.a. mengalah. Umar r.a. kemudiannya bertanyakan kepada Bilal r.a., siapakan yang akan menggantikannya sebagai muazzin di Madinah setelah kepergiannya? Untuk pertanyaan itu, Bilal r.a. mengusulkan supaya Sa'ad al Quraz dilantik menggantikannya. Cadangan ini dibuat Bilal r.a. kerana Sa'ad juga pernah dilantik mendengarkan azan semasa Rasulullah s.a.w. masih ada. Umar ra.. bersetuju dengan cadangan tersebut. Bilal r.a. kemudiannya bertolak ke Syam (1). Semenjak dari hari itu, Bilal r.a. tidak lagi melaungkan azan hatta di mana jua dia berada.
Selang beberapa lama selepas pemergian Bilal ke Syam, ekspansi pasukan muslim telah memasuki daerah-daerah yang dahulu bukan di bawah pemerintahan Khilafah. Kejayaan membawa daerah-daerah yang lebih luas ke bawah naungan Khilafah dan pemerintahan Islam kemudiannya menyebabkan Islam tersebar luas ke daerah-daerah yang semakin luas dan jauh dari pusat pemerintahan di Madinah.
Suatu ketika, Umar r.a. sebagai Khlaifah yang kedua mengambil keputusan untuk mengadakan lawatan bagi menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang timbul di setiap kawasan baru yang termasuk dibawah naungan negara Islam.
Telah diceritakan Ibnu Kathir di dalam Kitab al Bidayah wan Nihayahnya :
Sekeras mana hati sahabah dan sehebat mana keperwiraan mereka di medan jihad, tidak dapat terbendung rasa sedih yang teramat di dalam hati setiap seorang dari mereka apabila lantunan kalimah pertama azan dari suara Bilal r.a. memecah keheningan hari tersebut. Jiwa setiap seorang dari mereka lantas dibawakan terus kepada kenangan ketika Rasulullah s.a.w., manusia paling mulia dan kekasih Allah masih berada disamping mereka. Dikatakan Umar r.a. yang terkenal tegas dan begitu garang merupakan orang yang paling hebat tangisannya.
Bilal r.a. pernah kembali ke Madinah setelah lama bepergian jauh dari kota kesayangan Rasulullah s.a.w.. Ia berlaku setelah Baitul Maqdis berjaya dibebaskan oleh pasukan Islam di bawah Umar r.a.
Ia bermula apabila pada suatu ketika di dalam tidurnya, Rasulullah s.a.w. hadir di dalam mimpi Bilal r.a. dan berkata kepadanya, 'Bilal, sudah lama kita tidak bertemu, diri engkau amat aku rindukan," Lantas, segera di dalam mimpi itu, Bilal r.a. menjawab, "Ya, Rasulullah s.a.w., engkau terlalu amat aku rindukan untuk bertemu, malah ciuman kepada haruman tubuhmu itu juga sesuatu yang amat aku rindu,"
Terkejut dengan mimpi tersebut, Bilal r.a. bingkas bangun dan terhambat satu perasaan yang terlalu rindu kepada Rasulullah s.a.w. membungkus segenap hatinya. Hanya satu jalan untuk mengubati kerinduan tersebut. Bilal r.a. lantas bersiap dan bergerak tanpa tangguh menuju ke Madinah, kota pengubat rindu yang menyimpan jutaan kenangan bersama manusia teragung ini.
Tiada tempat lain yang pertama dituju Bilal r.a. melainkan terus ke makam insan yang paling dia kasihi. Sampai di sana, Bilal r.a. menghempaskan diri ke atas makam tersebut dan mula menangis dengan tangisan yang sangat mendalam.
Tidak lama sesudah itu, Saidina Hassan dan Hussein r.a., cucu kepada baginda Rasulullah s.a.w. terserempak dengan Bilal r.a. yang baru sahaja memasuki Madinah. Maka melurulah kedua cucunda Rasulullah s.a.w. itu kepada Bilal r.a. lantas memeluknya dengan satu pelukan yang paling erat. Melihat kelibat Bilal r.a. di situ, segera ingatan mereka menerjah kepada kasih sayang datuk mereka, Muhammad s.a.w.
Mereka berpelukan di dalam satu tangisan yang menelusuri segenap pembuluh darah ke dasar jiwa. Bilal r.a. juga begitu apabila berpeluang bertemu dengan cucunda yang disayangi Rasulullah s.a.w.
Melihat Bilal r.a. sudah pun berada di sana, Saidina Hassan dan Hussein r.a., kemudiannya membuat satu permintaan kepada Bilal r.a.. "Sudikah tuan mengumandangkan azan sepertimana yang pernah tuan lakukan semasa bersama Rasulullah s.a.w.?" Mana mungkin Bilal r.a. menghampakan permintaan insan-insan yang amat disayangi Rasulullah s.a.w. Beliau lantas bersetuju.
Maghrib itu, berlaku satu kegemparan di Madinah apabila secara tiba-tiba seluruh benak dan perasaan penduduknya disentap oleh satu suara yang sangat-sangat mereka kenal. Bagaikan mimpi, semuanya segera menuju ke masjid dengan tangisan yang tidak terbendung. Seolah Rasulullah s.a.w. telah kembali kepada Kota mereka setelah kepergiannya yang jauh. Begitu sekali kesannya dirasakan apabila zan dikumandangkan oleh Bilal r.a. setelah lama kota suci itu suci dari azan yang dilaungkan muazzin lantikan Rasulullah s.a.. ini.
Madinah pada hari itu hiba. Bukan bersedih kerana duka, tetapi bersedih kerana rindu yang bersangatan. Suara Bilal r.a. segera mengubat rindu mereka kepada Rasulullah s.a.w.
Rindu Rasulullah s.a.w. kepada umat akhir zaman..
Rasulullah s.a.w. pernah berkata ketika baginda berada dikelilingi para sahabahnya bahawa baginda teramat rindukan saudara-saudaranya (ikwannya). Apabila ditanyai para sahabah kepada baginda apakah mereka yang ketika itu berada bersamanya ialah ikhwan yang dimaksudkan, Rasulullah s.a.w. menjawab dengan lembut dengan mengatakan bahawa mereka adalah sahabah baginda.
Yang dimaksudkan baginda dengan orang-orang yang dirujuk sebagai saudara kepada baginda ialah manusia-manusia yang beriman kepada kerasulan baginda di akhir zaman. Golongan ini dikatakan baginda mempunyai kedudukan iman yang hebat kerana mereka beriman tanpa mereka pernah bertemu dengan baginda. Iman yang dikatakan Rasulullah s.a.w. sebagai antara kedudukan iman yang tinggi. Iman Malaikat beriman kepada Allah tidaklah menghairankan kerana mereka sentiasa dekat dengan kebesaran Allah dan berurusan secara langsung dengan Allah, Tuhan pencipta, pemilik serta pentadbir sekelian alam.
Iman para sahabah kepada Allah dan kerasulan baginda juga tidak menghairankan kerana mereka dapat melihat dengan dekat dan merasai bagaimana kehidupan tinggal serta duduk berdekatan serta bertemu sehari-harian dengan Rasulullah s.a.w.
Tetapi, menurut Rasulullah s.a.w., keimanan yang amat menghairankan ialah apabila segolongan manusia di akhir zaman, yang langsung tidak pernah bertemu dengan baginda, tetapi bertekad keras dan keimanan serta kecintaan diri mereka kepada Allah dan RasulNya dalam setiap masa kehidupan mereka. Mereka inilah golongan yang Rasulullah s.a.w. pernah katakan baginda rindukan untuk bertemu.
Persoalannya, apakah selayaknya kita menggambarkan diri kita sebagai 'ikhwan' Rasulullah s.a.w.?Benarkah kita mencintai serta merindui Rasulullah s.a.w. sepertimana baginda rindukan kepada umat akhir zaman? Jika benar kenapa kita membiarkan baginda dihina tanpa berbuat apa-apa? Jika benar kenapakah kita sampai sanggup mengubah ayat-ayat Allah serta menyembunyikannya dari pengetahuan umat di kala rakan bukan Islam di dalam persatuan yang kita berpakat di dalamnya menghina agama Allah dan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya? Kenapa si harbi dicintai melebihi cinta kepada al Qur'an dan sunnah? Boleh sahaja menipu segenap manusia dengan slogan, pakaian dan butir bicara yang mengatakan diri amat menyintai Allah dan rasulNya sedangkan kasih sayang serta redha si harbi itu tadi lebih ditagih dan ternampak jelas pada butir perlakuan mereka.
Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa baginda merindui 'ikhwan' baginda yang akan muncul selepas jauh dari kewafatannya. Persoalannnya, apakah kita layak untuk menganggap diri kita sebagai 'ikhwan' baginda sedangkan kita membiarkan sahaja dan sedap berselimut dan tidur sebantal dengan musuh baginda yang nyata? Nafikan persekongkolan ini dan semua itu melalui perbuatan dan bukan percakapan. Jika tidak, kita hanyalah satu umat bermuka-muka yang sangat perasan.
Mungkin azan di bawah ini tidak dapat menyamai kehebatan azan yang dikumandangkan Bilal bin Rabbah r.a.. Tetapi sekurang-kurangnya diharapkan ia dapat segera menampar hati-hati kita untuk segera sedar dan mengeluarkan penyakit hati dan perasan diri bagus yang telah menjangkiti diri kita dalam jangkitan yang kronik.
Rindu kepada baginda tidak dapat dibuat-buat. Ia hadir dan bertunas dari sebuah jiwa dan perasaan yang amat dekat dan benar-benar mencintai baginda, sunnah baginda dan al Qur'an yang baginda sampaikan sepenuh hati dan jiwa melampaui kepada kecintaan kita kepada puak-puak yang kita berpakat di dalamnya. Sesungguhnya seorang 'ikhwan' tidak akan berdiam sekiranya saudarany yang amat dicintai dilukai... di mana kedudukan kita sebenarnya?
Jawab persoalan ini melalui tindakan dan bukan retorik dalam silat permainan lidah dan lisan... ini kerana lisan itu akan terkunci diakhirat nanti.. Terpulanglah...
Rujukan :
1) Abdul Aziz Ash Shanawi, The Ministers Around The Prophet, (2004), Maktaba Dar-Us-Salam, Riyadh, m/s 136 hingga 137.
2) Ibnu Kathir, al Bidaya wan Hinayah (Masa Khulafa' ar Rasyidin), (2004), Darul Haq, Djakarta, m/s 201 hingga 202.