Oleh : Imran Haaz/M.I.A.
Sebelum ini telah dimuatkan di dalam blog ini
penulisan mengenai berita tentang bakal munculnya Muhammad s.a.w. di dalam
kitab yang diimani oleh golongan Yahudi dan Nasrani. Penulisan di bawah tajuk
yang sama iaitu Muhammad di dalam Bible sebelum ini, menceritakan bagaimana
peristiwa kemunculan wahyu yang pertama kepada Muhammad s.a.w. telah
diberitahukan akan berlaku. Peristiwa di Gua Hira’ tersebut telah dimaklumkan hampir
1,300 tahun lamanya sebelum kemunculan Muhammad s.a.w. yang menjadi penutup
kepada segala nabi dan rasul. Untuk membaca penulisan tersebut, sila klik
pautan ini.
Ayat yang merujuk kepada peristiwa tersebut boleh
dirujuk di dalam Kitab Isaiah fasal 29 ayat 11 hingga 12 seperti di bawah:
Akan
ditunjukkan kepada kamu, segala yang menyerupai ayat-ayat di dalam Ha Sefer He Khatum, yang mana mereka berikan kepada dia yang berpengetahuan tentang Ha
Sefer Sefer (tulisan Kitab ini), dan
Kami katakan padanya, Bacalah, maka dia berkata : Aku tidak mampu, kerana kitab
itu tertutup.
Lalu
diberikan Sefer tersebut kepada dia yang tidak mempunyai pengetahuan, lalu
dikatakan kepadanya: Bacalah, maka dia berkata : Aku tidak tahu membaca.
Penulisan kali ini akan menghujahkan beberapa
perkara berikut bagi membuktikan memang benar ayat tersebut merujuk kepada
peristiwa di dalam Gua Hira’ di atas Bukit Nur.
i.
Peristiwa yang berlaku itu akan
menamatkan keistimewaan Bani Israel untuk dipimpin oleh nabi-nabi dan pendita-penditanya
yang sentiasa mempunyai karamah.
ii.
Apa yang dimaksudkan dengan
Sefer Ha Khatom?
iii.
Kitab itu akan disampaikan oleh
‘lelaki’?
iv.
Kitab itu disampaikan kepada
dia yang mempunyai pengetahuan tentang Ha Sefer Sefer.
v.
Kitab itu akan disampaikan
kepadadia yang tidak mempunyai pengetahuan.
vi.
Apakah ayat tersebut tidak
pernah diubah untuk dimanipulsai maksudnya?
i.
Penamatan
Keistimewaan Bani Israel Untuk Dipimpin Oleh Golongan Nabi dan Pendita.
Sebelum ayat 11 dan 12 yang
memuatkan kisah bagaimana Kitab tersebut akan disampaikan, ayat 10 di dalam
Kitab Isaiah fasal menceritakan bagaimana sebaik penurunan wahyu tersebut, Bani
Israel akan kehilangan hak serta keistimewaan yang selama ini dinikmati mereka
sebagai umat pilihan Tuhan. Isaiah fasal 29 ayat 10 seperti yang dipetik di
bawah :
For the LORD hath poured out upon you the spirit of
deep sleep, and hath closed your eyes: the prophets and your rulers, the seers
hath he covered. (Terjemahannya
: Kerana
Tuhan akan menyebabkan kamu mengantuk dan tidur lena; (Dia) akan menutup mata
nabi-nabimu dan pemimpin-pemimpinmu, begitu juga Dia akan menudungi mata para
peramal.) (Isaiah fasal 29 ayat 10).
Sebagaimana konteks
Isaiah fasal 29 yang telah disebutkan di dalam penulisan sebelum ini,
disebabkan kedegilan Bani Israel dalam mematuhi hukum serta perintah Tuhan,
Tuhan telah berjanji akan mematikan hati mereka yang tidak mengikut
ketetapanTuhan. Keadaan ini dinamakan sebagai mereka bakal mengalami satu tidur
(spiritual) yang sangat mendalam. Mereka seolah-olah manusia yang tidak lagi
hidup dengan pedoman. Lalu mereka digambarkan sebagai manusia-manusia yang
kelihatan mabuk tetapi tidak disebabkan oleh minuman keras. Mereka juga
digambarkan sebagai manusia yang sentiasa terhuyung-hayang sedangkan mereka
tidak mabuk kerana arak.
Tiba keadaan ini nanti,
Tuhan akan menutupi mata para Nabi Bani Israel dan pendita-penditanya yang
diberikan karamah. Ia bermaksud bahawa, keistimewaan Bani Israel sebagai satu
umat yang sentiasa diperintah oleh kalangan nabi-nabi akan ditarik balik.
Keadaan ini bakal berlaku pada ketika berlakunya satu peristiwa di mana sebuah
Kitab yang tertutup diberikan kepada lelaki yang berpengetahuan tetapi tidak
boleh membaca yang juga tidak mempunyaipengetahuan tentang kitab-kitab yang
berada di dalam tangan mereka.
Nabi s.a.w. pernah bersabda di
dalam beberapahadis yang direkodkan bahawa Bani Israel merupakan satu umat yang
sentiasa dipimpin oleh golongan para nabi. Jika seorang nabi wafat, terbunuh
atau dibunuh, mereka akan digantikan oleh nabi-nabiyang lain pula. Malah
Rasulullah s.a.w. juga mengesahkan bahawa dikalangan orang-orang biasa Bani
Israel, ada terdapat segolongan manusia yang diberikan Allah kelebihan dalam
bentuk karamah dan ilham. Hadis-hadis yang dipetik berikut memperkatakan
mengenai situasi ini.
Dari
Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Bani Israel itu dipimpin (diperintah) oleh
Nabi-nabi. Setiap seorang Nabi mati, digantikan Nabi yang lain. Tetapi tidak
ada Nabi sesudahku, dan akan ada Khalifah-khalifah. Mereka itu sampai
banyak." Sahabat-sahabatnya bertanya: "Maka apakah perintah tuan
kepada kami? Beliau bersabda: "Tepatilah baiah (perjanjian) yang pertama,
kemudian yang berikutnya. Berikanlah hak mereka, sesungguhnya Tuhan akan
menanyai mereka tentang pimpinan (pemerintahan) yang mereka jalankan".
(Hadis Riwayat Bukhari)1
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi sesungguhnya
di antara orang-orang sebelum kalian terdapat sejumlah manusia yang mendapat
ilham. Apabila salah seorang daripada umatku mendapatkannya maka ‘Umarlah orang
itu. (Riwayat Bukhari)
Satu lagi hadis yang membawa
maksud hampir sama diriwayatkan sepertimana berikut :
Dari
Sa’ad bin Abi Salamah dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, bersabda Rasulullah
s.a.w.; “Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian dikalangan Bani Israel, ada
yang diberikan ilham walaupun mereka bukan nabi, jika salah seorang dari umatku
mendapatkannya, maka Umarlah orangnya.” (Riwayat Bukhari)2
Dan
engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum
turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu
(kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi
orang-orang kafir yang menentang(mu) - akan merasa ragu-ragu (tentang
kebenaranmu). (al Ankabut ayat 48)
Tetapi, sebagaimana yang telah
dijanjikan kepada Bani Israel sepertimana yang disebutkan di dalam Isaiah fasal
29 ayat 10, semua kelebihan umat itu untuk dipimpin oleh golongan nabi dan
pendita-pendita yang mempunyai karamah dikalangan mereka akan dihapuskan serta
ditarikbalik. Ianya akan berlaku sebaik sahaja Ha Sefer He Khatum diberikan kepada seorang insan yang bakal muncul
lebih dari 1,300 tahun selepas ayat tersebut diwahyukan. Bani Israel telah
diberikan amaran yang cukup di dalam sela masa yang mencukupi bahawa sekiranya
mereka berterusan menolak ketetapan Tuhan sepertimana yang telah diwajibkan ke
atas mereka, kedudukan mereka sebagai umat pilihan akan ditamatkan serta
digantikan.
Sebaik Ha Sefer He Khatum diwahyukan, tiada lagi akan wujud nabi-nabi
dikalangan Bani Israel dan pendita-pendita mereka tidak akan lagi diberikan
kelebihan yang sama sepertimana yang telah mereka nikmati sejak ribuan tahun
lamanya.
Persoalannya, apakah Sefer Ha
Khatom yang dimaksudkan dalam ayat tersebut 11 dan 12 di dalam kitab Isaiah
fasal 29 tersebut.
ii.
Ha
Sefer He Khatum (הספר החתום
) : Kitab Yang Termetarai atau
Kitab Penutup?
Sefer di dalam bahasa Hebrew
membawa maksud buku atau kitab. Ia kata
tunggal (mufrad/singular).
Bentuk jamaknya ditambah dengan perkataan ‘iym’ yang membentuk kata Sefarim
(Kitab-kitab) 3.
Khatum (חתום)
seperti yang dijelaskan di dalam buku Hebrew Grammar mempunyai
akar kepada perkataan Khatam 4.
Khatum merupakan kata terbitan
yang diambil dari perkataan Khatam yang membawa maksud meterai, lengkap serta
tertutup. Khatam pula menurut Ancient Hebrew Lexicon merupakan kata yang
berasal dari perkataan Tam yang membawa
maksud ‘seseorang atau sesuatu yang menyeluruh, lengkap dan penuh’ 5.
Terdapat pelbagai pendapat yang
dikemukakan sarjana Bible mengenai Ha Sefer he Khatum ini.
Kumpulan Pendapat Pertama : Ha Sefer He Khatum membawa maksud
tersirat.
Ha Sefer He Khatum dapat difahami sebagai
merujuk kepada metafora yang digambarkan serta
disampaikan oleh umat Yahudi dan Nasrani di dalam pengajian Bible
mereka. Mereka menjelaskan bahawa Sefer atau kitab yang bakal dibawakan kepada
lelaki yang tidak boleh membaca tersebut merupakan kitab yang telah dimeterai
dan tertutup dari pengetahuan Bani Israel. Tertutupnya kitab itu menurut
penjelasan mereka, adalah disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh Bani
Israel sehinggakan pengetahuan tentang ayat-ayat Tuhan tidak lagi dapat
menusuki hati dan perhatian Bani Israel.
Walaupun mereka biasa
dan tahu akan segala hukum Tuhan yang telah diberikan kepada mereka, apabila
sahaja tiba masanya disampaikan Ha Sefer He Khatum, mereka tidak lagi akan
mampu memahami atau membacanya.
Pendapat ini jika
diperhatikan adalah mengikut konteks Isaiah fasal 29 tersebut. Kitab atau Ha Sefer He Khatum tersebut akan
tertutup dari pengetahuan serta capaian indera mereka. Walaubagaimanapun mereka
tidak menjelaskan secara lanjut apa itu Ha
Sefer He Khatum yang dimaksudkan apa bentuk konteks peristiwa yang akan
mengiringi pemberian Ha Sefer He Khatum tersebut.
Perhatikan pendapat
kedua pula seperti yang dimuatkan di bawah.
Pendapat Kedua : Ha
Sefer He Khatum Membawa Maksud Tersurat
Terdapat sekumpulan lagi
sarjana Bible yang menafsirkan ayat 11 dan 12 Isaiah fasal 29 itu dengan
penafsiran literal dengan merujuk kepada Sefer atau kitab yang dimaksudkan
tersebut memang benar-benar telah ditutup dengan cara pemeteraian sepertimana
dokumen-dokumen rahsia dan sulit dimeterai. Atas kerana sebab itulah, tiada
siapa pun boleh membacanya kerana ianya telah dimeterai dan tidak terbuka untuk
dibaca. Baik si dia yang boleh membaca dan faham dengan isikandungan
kitab-kitab Tuhan sepertimana yang disebutkan di dalam Isaiah fasal 29 ayat 11,
mahupun si dia yang tidak tahu membaca serta
tidak mempunyai pengetahuan tentang pengajaran kitab-kitab mereka, kesemuanya
tidak dapat membacanya kerana ianya tertutup. Pendapat ini cuba menegaskan Ha Sefer
He Khatum itu merupakan satu bentuk Sefer atau Kitab atau dokumen yang
wujud secara zahir atau fizikal dan penulisan yang terkandung di dalamnya telah
terlindung dari bacaan oleh sesiapa sahaja
kerana ianya telah dimeterai (sealed) atau dikhatamkan.
Bersandarkan pemerhatian
yang dekat dan rapat kepada konteks penggunaan meterai di dalam kitab-kitab
serta dokumen yang disebutkan di dalam Bible, kebenaran pendapat kedua ini akan
ditelitikan. Persoalan yang cuba dirungkaikan ialah, benarkah Sefer atau kitab
yang atau dokumen yang telah dimeteraikan itu tidak dapat dibaca kerana ia
tertutup?
Untuk persoalan ini,
kita merujuk kembali kepada bagaimana bentuk dokumen-dokumen di dalam zaman
Bani Israel dimeterai. Salah satu contoh yang boleh dirujuk ialah bagaimana
kisah di dalam Kitab Jeremiah menunjukkan penggunaan meterai ke atas dokumen
perjanjian.Ia dikenali sebagai double
sealed document. Kisah yang dimuatkan di dalam kitab Jeremiah menceritakan
bagaimana Nabi Jeremiah membuat tuntutan ke atas tanah yang menjadi milik
keluarganya dengan mengemukakan dokumen perjanjian yang termeterai ini.
Mengikut undang-undang
Yahudi, setiap dokumen perjanjian yang dibuat akan ditulis di atas kertas
papyrus dan akan dipersaksikan oleh beberapa orang saksi yang dilantik. Kertas
papyrus tersebut merupakan sehelai kertas papyrus yang besar dan kemudiannya
dibahagikan kepada 2 bahagian. Perjanjian yang mahu didokumentasikan itu akan
ditulis sepenuhnya pada satu bahagian.
Setelah siap,
isikandungan perjanjian yang telah ditulis pada bahagian yang pertama itu tadi,
akan disalin semua setiap patah perkataan dan segala yang terdapat di dalamnya
pada bahagian kertas papyrus yang kedua. Bahagian pertama ini kemudiannya akan
digulung dan dilipatkan. Setelah digulung dan dilipatkan, bahagian kedua ini
akan diikat dan kemudiannya ikatan tersebut akan dimeterai. Dokumen yang
disalin pada bahagian kedua tidak dimeteraikan. Ia akan disimpan oleh pemilik
dan akan digunakan atau boleh dibaca pada bila-bila masa apabila keperluan
untuk menggunakannya timbul. Hanya bahagian pertama tersebut dimeteraikan dan
dijadikan sebagai sebuah dokumen salinan yang hanya akan digunakan apabila timbul
pertikaian atau dokumen bahagian kedua tersebut rosak. Dokumen yang dimeterai
hanya boleh dibukan meterainya dihadapan hakim yang dilantik mengadili sebarang
pertikaian atau pembuktian berkenaan legitimasi dokumen tersebut.
Cara penyedian dokumen
yang dimeterai ini boleh dilihat di dalam video yang saya muatkan di bawah.
Link kepada video penuh berkenaan perkara ini boleh diperolehi dengan klikkepada pautan ini.
Jelas disini, jika kita
melihat kepada praktikal kepada penggunaan dokumen yang termeterai di dalam
tardisi Yahudi dan Bani Israel, dokumen yang termeterai tersebut tetap boleh
diakses dan dibaca sekiranya pihak yang memberikannya kepada pihak kedua atau
pihak ketiga mahukan ianya dibaca.
Jadi dari sini, kita
dapat fahami bahawa pendapat pertama yang menyatakan Ha Sefer He Khatum itu kitab yang tertutup itu membawa maksud
tersirat adalah lebih dekat dengan maksud yang cuba dibawakan dalam ayat 11 dan
12 Isaiah fasal 29.
Menilai konteks ayat di
dalam Isaiah fasal 29, Sefer yang dimaksudkan secara jelas merujuk kepada Sefer
yang bakal mengandungi wahyu-wahyu Tuhan. Wahyu-wahyu yang dimaksudkan adalah
merupakan kesinambungan kepada apa yang telah serta pernah disampaikan kepada
Bani Israel. Perbezaannya cuma nanti, ialah wahyu-wahyu yang bakal disampaikan
di dalam Sefer itu nanti, tidak akan lagi dapat difahami hatta oleh golongan
pendita-pendita Bani Israel sekalipun.
Pada hari diwahyukan
Sefer tersebut nanti, kenabian serta segala nikmat yang selama ini dinikmati
oleh Bani Israel sebagai umat pilihan Tuhan akan dibatalkan. Mereka tidak lagi
istimewa kecuali mereka mengikut ketetapan yang telah Tuhan mereka tetapkan.
Iaitu kembali kepada ajaran mereka yang asal yang menyatakan, apabila sahaja
nabi terakhir iaitu Muhammad s.a.w. dilantik, mereka perlu beriman kepadanya
sebagai satu-satunya jalan selamat di dalam kehidupan mereka di dunia dan
akhirat.
Sefer tersebut disifatkan
dengan nama Ha Sefer He Khatum. Kitab
yang termetarai. Termeterai di sini bukanlah kepada sifat fizikalnya. Ia
sudahpun dihujahkan pada bahagian penulisan di atas. Tetapi termeterainya Kitab
atau Sefer tersebut ialah pada butir-butir isikandungan serta ajaran dan
ayat-ayat yang terkandung di dalamnya. Sefer ini bakal mempunyai ayat-ayat yang
akan dipelihara dari sebarang bentuk pencabulan, pengubahan, kacau ganggu
tangan manusia serta penambahan serta pengurangan ayat yang dibuat oleh
manusia. Pendek kata, Ha Sefer He Khatum
ini merupakan kitab yang terpelihara.
Bertolak dari sini, kita
akan cuba memahami apa kepentingan maksud perkataan Khatum yang disifatkan kepada Sefer yang bakal diberikan itu nanti
kepada ‘dia yang tidak dapat membaca’.
Untuk ini, saya
membawakan kepada tuan-tuan untuk merujuk bagaimana kepentingan maksud
perkataan Khatum dan bagaimana ianya
disifatkan dengan dokumen-dokumen serta perjanjian sepertimana yang pernah
disebut di dalam Bible itu sendiri.
Saya bawakan perhatian
sahabat-sahabat pengunjung blog satuhala ini kepada ayat yang tercatat di dalam
Kitab Esther fasal 8 ayat 8. Ia berkenan titah raja yang dimeterai dengan
meterai Si raja yang tidak akan ditarik balik dan merupakan satu ultimatum. Ia
sesuatu yang muktamad dan tidak dapat ditarik balik. Esther fasal 8 ayat 8
seperti di bawah:
Now you write to the Jews as
you see fit, in the king's name, and seal it with the king's signet ring; for a
decree which is written in the name of the king and sealed with the king's
signet ring may not be revoked."
Tidak adil sekiranya
saya memetik ayat di atas tanpa memperjelaskan konteks bagaimana ayat tersebut
diceritakan di dalam fasal 8 kitab Esther. Esther bermula fasal satu hingga 8
saya ringkaskan di dalam sub-topik di bawah.
Kisah Esther
Kisah Esther bermula
apabila Raja Ahasuerus yang dikuasai kemabukan (Ahasywerus) menceraikan
isterinya kerana tidak mahu menurut kehendak dirinya supaya isterinya Vashti
memperlihatkan kecantikannya dihadapan para tetamunya. Keengganan Vashti menyebabkan
Raja murka dan nasihat yang diberikan kepadanya oleh pembesarnya mencadangkan
supaya Vashti dilucutkan kedudukannya sebagai Ratu. Ini kerana jika Raja tidak
berbuat apa-apa, nescaya menurut kata mereka, para wanita di dalam negeri akan
beramai-ramai bangkit memberontak dan tidak akan lagi menghormati suami-suami
mereka. setelah diceraikan, tiada ratu lagi menemani baginda. Lalu diadakan
satu arahan supaya anak-anak gadis yang cantik dari keluarga-keluarga yang
mulia di dalam negeri jajahannya dihantar ke istana untuk dipilih sebagai Ratu.
Terdapat kumpulan Yahudi yang mendiami jajahan yang menjadi naungan kerajaan
Ahusereus.
Terdapat seorang Yahudi
bernama Mordechai. Dia mempunyai seorang anak saudara yang dipeliharanya yang
mempunyai rupa paras yang cantik. Anak gadis ini bernama Esther. Lalu Mordechai
mengarahkannya untuk bersiap dan menghantarnya ke istana untuk bersama dengan
gadis-gadis yang cuba mendapatkan kedudukan di istana. Dipendekkan cerita,
apabila raja terpandang kepada rupa parasnya, raja menjadi berkenaan dan
menjadikan dirinya sebagai ratu. Mordechai menasihati Esther supaya menyimpan
rahsia tentang asal usul keturunannya sebagai orang Yahudi.
Mordechai selalu berada
dekat dengan istana. Dijadikan cerita, pada suatu hari dia terdengar tentang
sebuah komplot oleh dua orang sida-sida yang merancang untuk membunuh raja.
Mordechai segera memberitahukan kepada Esther supaya disampaikan kepada raja.
Melalui tips yang diberikan dan siasatan yang dijalankan, sida-sida itu
kemudiannya dihukum. Dengan jatuhnya hukuman ke atas mereka, raja kemudiannya
melantik Haman anak kepada Hammedhata, orang Aga ke jawatan tertinggi di dalam
kerajaan.
Kedudukan ini
menyebabkan Haman menjadi bongkak. Setiap kali dia memasuki gerbang istana,
mengikut adat, semua orang perlu menundukkan tubuh dan tunduk hormat kepadanya.
Walaubagaimanapun, di dalam ramai-ramai manusia yang berada berhampiran istana,
hanya Mordechai sahaja yang tidak turut sama tunduk memberikan penghormatan
kepada Haman. Haman menjadi berang. Lalu disiasat asal usul Mordechai. Setelah
berkali-kali dipaksa untuk tunduk dan ditolak Mordechai, Haman yang dirasuk
kebencian, merancang untuk membunuh Mordechai. Tetapi tiada gunanya membunuh
Mordechai seorang kerana masih terdapat ramai lagi Yahudi di dalam negeri. Lalu
Haman, mengambil keputusan untuk menghasut Raja supaya mengeluarkan arahan
supaya semua manusia berbangsa Yahudi di dalam negeri tersebut dibunuh.
Dia menghasut raja
dengan berkata, “"Ada suatu bangsa yang hidup tercerai-berai dan terasing
di antara bangsa-bangsa di dalam seluruh daerah kerajaan tuanku, dan hukum
mereka berlainan dengan hukum segala bangsa, dan hukum raja tidak dilakukan
mereka, sehingga tidak patut bagi raja membiarkan mereka berleluasa. Jikalau
baik pada pandangan raja, hendaklah dikeluarkan surat titah untuk membinasakan
mereka...” (Esther fasal 3 ayat 8 hingga 9).
Raja yang termakan
pujukan kemudiannya membuka cincin meterai pada jarinya dan diberikan kepada
Haman untuk diperlakukan semahunya mengikut kebijaksanaannya (Esther 3 :10).
Haman kemudiannya menulis surat arahan yang kemudiannya dihantar ke segenap
pelusuk negeri dengan arahan supaya semua manusia berbangsa Yahudi dimusnahkan
pada hari-hari dan ketetapan yang telah ditentukan.
Mendengar tentang
perintah yang dikeluarkan serta arahan yang telah ditampalkan ditempat-tempat
awam, Mordechai mengenakan pakaian berkabung dan menangisi nasib yang bakal
menimpa kaumnya. Dia kemudian ke istana dengan pakaian berkabung. Permintaannya
untuk memasuki istana ditolak kerana pakaiannya. Esther mengetahui tentang
kehadiran Mordechai.
Lalu persalinan baru dihantar supaya Mordechai
mengenakannya. Mordechai menolak. Lalu dikirimkan sida-sida bernama Hatah untuk
berbincang dengan Mordechai. Segalanya mengenai arahan Haman bersama surat
perintah tersebut disampaikan Mordechai supaya dibawa kepada perhatian Esther.
Setelah berdialog melalui perantaraan Hatah, akhirnya Esther bersetuju untuk
menolong bangsanya dan memenuhi permintaan Mordechai biarpun nyawanya nanti
menjadi taruhan.
Esther kemudian memasuki
pelataran raja. Melihat Esther yang berdiri di sana, hati raja menjadi lembut
lalu raja bertanya kepadanya apakah perkara yang dimahukan Esther. Raja berkata
sekiranya pemintaannya itu melibatkan raja perlu menyerahkan separuh dari negerinya
kepada Esther sekalipun, raja itu sanggup penuhi. Tetapi bukan itu yang dipinta
Esther. Esther kemudiannya membuat permintaan supaya rajamenghadiri jamuan diraja yang akan disediakannya dan
menjemput Haman untuk sama menyantap bersama dengan mereka selama dua hari.
Permintaan itu dipenuhi. Haman diberitahukan.
Haman yang seronok
tentang jemputan itu tidak sabar untuk memenuhinya. Bagaimanapun setiap kali
dia ke istana, pasti kelibat Mordechai yang tidak mahu tunduk memberi hormat
kepadanya menjengkelkannya. Pulang ke rumah, dia berbincang tentang hal itu
dengan isterinya. Lalu isterinya mencadangkan buah fikiran yang bakal
menyaksikan Mordechai akan dirujuk kepada sang raja supaya dapat disula
dihadapan istana.
Tetapi dalam masa yang
sama, si raja yang sedang berada di istana merasakan dirinya tidak tenteram.
Lalu dia membuka buku rekod raja dan membacanya. Dalam catatan yang dibuat, dia
ternampak nama Mordechai dicatatkan sebagai orang yang bertanggunjawab membantu
menyelamatkannya di dalam kes komplot pengkhianatan yang telah dirancang oleh
sida-sidanya satu ketika dulu. Apabila ditanyakan kepada para pembesarnya
apakah bentuk ganjaran yang diberikan kepada Mordechai yang pernah
menyelamatkan nyawanya. Pegawainya mengatakan tidak ada ganjaran yang pernah
diberikan. Takdir kini berpusing 180 darjah, sebelum sempat Haman mencadangkan
kepada raja supaya Mordechai disula, Mordechai kemudiannya dipanggil kepada
Raja untuk dianugerahi kedudukan yang tinggi di dalam kerajaan. Apabila Haman
hadir di sana, raja bertanyakan kepadanya tentang apa yang perlu diberikan
kepada orang yang raja berkenan memberikan kemuliaan ke atasnya. Pada mata
fikir Haman, dirinya sndirilah orang yang selayaknya dimaksudkan raja sebagai
orang yang bakal diberikan kemuliaan dan kehormatan dari raja. Tanpa berfikir
panjang, Haman menyatakan “Mengenai orang yang raja berkenan menghormatinya,
hendaklah diambil pakaian kerajaan yang biasa dipakai oleh raja sendiri, dan
lagi kuda yang biasa dikendarai oleh raja sendiri dan yang diberi mahkota
kerajaan di kepalanya, dan hendaklah diserahkan pakaian dan kuda itu ke tangan
seorang dari antara para pembesar raja, orang-orang bangsawan, lalu hendaklah
pakaian itu dikenakan kepada orang yang raja berkenan menghormatinya, kemudian
hendaklah ia diarak dengan mengendarai kuda itu melalui lapangan kota sedang
orang berseru-seru di depannya: Beginilah dilakukan kepada orang yang raja
berkenan menghormatinya!" (Esther 6 : 9 hingga 10).
Tanpa berlengah, raja
kemudiannya mengarahkan Haman untuk melakukan apa yang dia katakan tersebut dan
mempersiapkan Mordechai. Haman nyata kecewa kerana bukanlah dia yang
dimaksudkan raja. Dia kembali ke rumahnya dan mengadu kepada isterinya.
Isterinya berkata, jika sorang Yahudi seperti Mordechai boleh membuat seperti
ini kepadanya, apatah lagi kaum-kaumnya yang lain.
Sedang berdialog dengan
isterinya, datang sida-sida raja menjemput Haman untuk ke jamuan yang
disediakan Esther pada hari kedua. Pada jamuan tersebut, raja bertanyakan
kepada Esther apakah permintaan yang sangat-sangat dimahukan Esther untuk
diperkenankan oleh raja. Esther menyatakan bahawa hanya satu yang dia pinta,
iaitu dia dan kaumnya tidak dibunuh dan diapa-apakan. Esther memberitahu bahawa
terdapat arahan yang dikeluarkan bagi pemusnahan besar-besaran bangsa Yahudi.
Lalu raja bertanya kepadanya, siapakah yang mengeluarkan arahan sedemikian
rupa. Esther kemudiannya menunjukkan kepada Haman yang berada di situ. Raja
menjadi murka kepada Haman, lantas raja keluar dari perjamuan tersebut. Haman
yang takut tidak keluar bersama raja tetapi merayu memohon nyawanya dilindungi
dengan merayu kepada Esther. Dia melutut kepada Esther ditempat Esther
berbaring. Raja yang kemudian memasuki istananya kembali, apabila melihat
situasi sedemikian rupa, menjadi semakin murka. "Masih jugakah ia hendak
menggagahi sang ratu di dalam istanaku sendiri?" (Esther 7 : 10)
Mendengar murka sang
raja, pembesar istana meluru dan mencadangkan supaya Haman disula pada tiang
sulaan yang telah didirikannya berhampiran rumahnya yang pada awalnya diniatkan
supaya Mordechai disula di situ. Takdir berubah 180 darjah. Haman disula. Lalu
raja mengeluarkan surat perintah membatalkan arahan Haman supaya kaum Yahudi
dibunuh kesemuanya di negeri tersebut. Lalu raja berkata kepada Esther dan
Mordechai, bahawa baginda menitahkan supaya arahan Haman itu ditarik balik dan
arahan baru yang dikeluarkan baginda yang dimeterai (Khatum) dengan meterai diraja, tidak akan dapat ditarik balik
kembali.
Jadi, itulah kisah yang
menceritakan konteks penuh bagaimana Khatum
yang dimaksudkan itu membawa maksud sesuatu yang telah ditetapkan serta tidak
akan diubah lagi setelah ia dikhatamkan atau dimeterai.
Ha Sefer He Khatum
Merujuk Kepada al Qur’an
Jelas sepertimana di
dalam konteks yang dipersembahkan, Ha Sefer He Khatum itu secara jelasnya
merujuk kepada sebuah kitab yang akan diberikan kepada seorang lelaki yang
tidak dapat membaca, dan bersama perlantikannya, tiada lagi tunas kenabian yang
akan tumbuh serta segala keistimewaan yang pernah diberikan kepada Bani Israel
akan ditamatkan. Malah kitab itu sendiri merupakan sebuah kitab yang terpelihara
dan tidak akan dapat diubah oleh sesiapa sahaja. Ini kerana yang
mengkhatamkannya ialah Raja kepada segala Raja iaitu Allah, Tuhan Pencipta
serta Pentadbir sekelian alam.
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan
Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (al Hijr ayat 9)
Terdapat banyak bukti
yang Bible pada hari ini telah diubah dan dimanipulasikan ayatnya supaya sedapat
mungkin ia menyembunyikan perihal serta berita-berita tentang kemunculan
Muhammad s.a.w. dan pelengkap agama Islam bersama al Qur’an yang merupakan
kitab perjanjian terkahir yang akan diwahyukan kepadanya. Menilai semua konteks
ini dan di dalam segala bentuk kekelabuan yang cuba dijalankan bagi
menyelindungkan konteks serta rujukan sebenar mengenai ayat-ayat seumpama ini,
kebenaran tetap akan muncul dengan izin Allah pada ketika Dia mengizinkan ianya
berlaku.
Bersambung nanti..
InsyaAllah.. sebelum 11:45 malam 24
September 2012.
Rujukan :
1)
Ibnu Kathir, al Bidayah wan Hinayah, m/s 175
2)
Ibid.
3)
Miles V. Van Pelt & Gary D.
Practico, The Vocabulary Guide to
Biblical Hebrew,(2003), Zondervan, Grand Rapids, Michigan, m/s
4)
Ibid,
m/s
5)
Jeff A. Benner, The Ancient Hebrew Lexicon of The Bible
:Hebrew Letters. Words and Roots Defined Within Their Ancient Cultural Context,
(2005), Virtualbookworm.com,
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.