Oleh : Imran Haaz/M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Oleh kerana
ruangan komen terlalu sempit untuk memuatkan penjelasan berkenaan isu hak asasi
wanita yang dipertikaikan di negara-negara Islam seperti Arab Saudi, maka saya
muatkan sedikitpenjelasan ringkas berkenaan hak bersuara dan larangan pemanduan
kenderaan yang dikuatkuasakan di Arab Saudi bagi tujuan pencerahan kepada
kegusaran Udee.Azeela.
Terdapat perbezaan yang besar antara apa yang Islam dan Rasulullah s.a.w.
anjurkan muslim perbuat dan apa yang diperbuat muslim. Tidak ada satu negara
Islam di dunia kini yang benar-benar mengikuti apa yang dianjurkan Islam dan
sunnah kenegaraan yang dibentuk Rasulullah s.a.w. Jika, ada, tentu sahaja
merekalah yang terawal menghantar angkasawan untuk meneroka angkasa dan
menguasai perkembangan ilmu sains dan teknologi dunia seperti yang pernah
berlaku sebelum kurun ke 14 dahulu.
Islam mengiktiraf hak bersuara golongan wanita. Hak
bersuara itu terlalu luas cakupannya. Islam memberikan hak yang merangkumi
semua hak bersuara kepada wanita bermula pada zaman Rasulullah s.a.w.
Wanita telah dibenarkan memberi pendapat, menjadi penasihat, mengubah polisi
& sistem sosial masyarakat, menegur secara terus pemerintah, belajar ,
mengajar termasuk kepada golongan lelaki, berjuang dan termasuk menjadi ketua kepada
golongan lelaki di dalam kes-kes tertentu di dalam zaman Rasulullah s.a.w. dan
generasi sahabah.
Kembali kita merujuk Sirah tentang bagaimana
kaum wanita mendapat hak sepertimana yang saya sebutkan di atas satu persatu.
1.
Hak Untuk Memberikan Pendapat
a.
Rasulullah s.a.w. sejak dari
awal pelantikan baginda sebagai Nabi dan kemudian rasul, sentiasa mendapat
sokongan serta mendapatkan pendapat serta nasihat isteri baginda tentang apa
yang baginda hadapi dan situasi yang dilalui. Pendapat golongan wanita tidak
ditolak malah diberikan perhatian dan diambil tindakan. Malah ada keadaannya
nasihat yang diberikan itu meredakan situasi tegang sepertimana yang pernah
berlaku di dalam kisah selepas termetarainya Perjanjian Hudaibiyyah. Muslim
rata-ratanya melihat perjanjian tersebut seolah seperti berat sebelah dengan
lebih banyak kelebihan diberikan kepada kaum Musyrikin Mekah. Tetapi,
perancangan Allah melalui perjanjian tersebut memberikan kelebihan kepada pihak
Islam di dalam jangka masa panjang. Situasi semasa perjanjian damai tersebut
menegang apabila Abu Jandal bin Suhail memohon perlindungan daripada kem Rasulullah
s.a.w., tetapi terpaksa ditolak atas kepentingan umat yang lebih besar. Malah berlakunya beberapa hasutan yang
menyebabkan timbulnya rasa tidak senang antara kumpulan-kumpulan muslim. Beberapa
perkara yang berlaku menyebabkan rombongan umrah yang bersama Rasulullah s.a.w.
menolak untuk menyembelih serta bercukur apabila diarahkan Rasulullah s.a.w.. Ia sebagai tanda mereka akan berangkat pulang. Sedih dengan perkara tersebut,
Rasulullah s.a.w. kembali ke khemahnya. Ummu Salamah r.a., isteri baginda yang
mempunyai kecerdasan pemikiran yang tinggi, apabila melihat keadaan sedemikian
rupa kemudiannya mengusulkan supaya Rasulullah s.a.w. sendiri yang keluar dan
menyembelih korban dan kemudian bercukur. Orang-orang Islam, ketika melihat Rasulullah
s.a.w. berbuat demikian, mereka kemudian turut serta dan kemudian berangkat
pulang ke Madinah. Konflik telah berjaya dielakkan dengan pendapat daripada seorang
wanita diberikan perhatian dan diambil tindakan. Sila rujuk hadis yang
menceritakan cerita perjanjian damai Hudaibiyyah ini di dalam Kitab Sahih
Bukhari dan Muslim.
2.
Hak Bersuara Dan Aduan Yang Mengubah
dan Memperbaiki Polisi dan Sistem Sosial Masyarakat
a.
Khaulah binti Tsa’labah pernah
mengadu di dalam doanya kepada Allah berkenaan suaminya. Ia berkaitan hukum Zihar.
Allah mendengar aduannya dan mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w. ayat 1 hingga
7 di dalam surah Mujadaalah. Bermula dari situ, keadilan sosial serta sistem sosial
masyarakat Muslim berubah dari praktis biasa yang diamalkan masyarakat Jahiliah
kepada satu sistem yang lebih baik dan adil. Surah al Mujaadalah atau juga dikenali dengan nama surah al Mujaadilah ini dinamakan
sempena peristiwa Khaulah binti Tsa’labah yang melakukan bantahan terhadap ketidakadlian
dalam amalan system masyarakat jahiliah yang meluas pada ketika itu. Prof. Dr.
HAMKA menyatakan, surah ini terkadangnya disebut sebagai al Mujadilaah yang
membawa maksud perempuan yang membantah 1.
3.
Hak Untuk Bersuara dan Menegur
Pemerintah
a.
Umar al Khattab r.a. ketika di
dalam perjalanan ke satu destinasi ditahan seorang wanita berusia. Umar ketika
itu merupakan Amirul Mukminin. Beliau berhenti setelah ditahan. Yang menahannya ialah Khaulah binti Tsa’labah
r.a., wanita yang suaranya didengar oleh Allah s.w.t. sehingga mengubah system sosial
dan keadilan ke atas wanita seperti yang disebut di dalam perkara 2 di atas. Para
sahabat pengawal yang mengiringi Umar pada ketika tersebut mahu mengahalang,
tetapi Umar r.a. melarang lantas memarahi mereka dengan berkata,” Inilah wanita
yang aduannya didengari oleh Allah SWT - maka pantaskah Umar tidak mendengar
darinya?”. Khaulah menasihati Umar r.a. dengan nasihat supaya beliau tidak lupa
diri dan asal usulnya, walaupun apa jua kedudukan Umar r.a. pada ketika itu,
Khaulah menasihatkan diri Umar r.a. supaya sentiasa bertakwa kepada Allah di
dalam hal kesejahteraan rakyat. Umar r.a. setelah ditegur Khaulah r.a. turut
berkata kepada pengiring-pengiringnya yang hendakkan kepastian tentang Khaulah, “Demi
Allah! Sekiranya ditahannya aku sejak
dari pagi hingga petang hari, tidaklah aku akan bergerak dari tempatku berdiri
kecuali untuk sembahyang lima waktu kerana takut kepada Allah,” 2.
4.
Hak Untuk Belajar
Hadis
dari riwayat Bukhari :
Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a. katanya, “Beberapa orang wanita memajukan
permohonan kepada Nabi : “Kami tidak memperolehi waktu untuk belajar dari Anda
kerana semua waktu telah diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu sediakanlah barang
sehari untuk kami agar kami pula dapat belajar.”
Maka Nabi menjanjikan kepada mereka suatu hari khusus untuk pengajian
wanita, di mana Nabi mengajar dan menyampaikan perintah-perintah Allah......”
5.
Hak Untuk Mengajar
a.
Saiditina Siti A’isyah r.a.
meriwayatkan sebahagian besar hadis.
b.
Saiditina Siti A’isyah r.a.
dilantik menjadi salah seorang daripada ahli ijtihad di zaman para sahabat.
c.
Malah ramai sahabah dan tabi’in
mendapatkan pelajaran berkenaan hadis dari isteri Rasulullah s.a.w. ini selain
dari isteri baginda yang lain.
6.
Hak Untuk Menjadi Ketua
a.
Umar r.a. pernah melantik Asy
Syifa sebagai Ketua Perbandaran di zaman pemerintahannya 3.
b.
Aisyah r.a. pernah menjadi
ketua turus salah satu pasukan tentera di dalam perang Jamal.
c.
Al Qur’an menyebut tentang
Puteri Saba’ yang memerintah negeri Saba’. Beliau hanya diajak kepada Islam dan
kemudian memeluk Islam tetapi penguasaan negeri Saba’ tetap di bawah pemerintahannnya
di bawah naungan Sulaiman a.s.
Apa yang disebutkan merupakan contoh-contoh yang
ringkas. Hak bersuara dan terlibat di dalam penetapan polisi di dalam Negara sentiasa
dihormati di dalam Islam. Negara Islam Madinah mengamalkannya serta
mempraktikkannya dengan adil. Sebagaimana yang telah saya sebutkan sebelum ini,
telah berlaku kemerosotan seperti yang disebutkan di dalam hadis Rasulullah
s.a.w. seperti berikut:
Beliau juga bersabda, “Sebaik-baik umat manusia adalah
generasiku (sahabat), kemudian orang-orang yang mengikuti mereka (tabi’in) dan
kemudian orang-orang yang mengikuti mereka lagi (tabi’ut tabi’in).” (Muttafaq
‘alaih)
Apa yang dipraktikkan kerajaan Arab Saudi
berkisar tentang pemerhatian mengikut zaman yang dibuat pihak mereka ke atas
hak dan kedudukan golongan wanita di sana. Pepatah Melayu, lain padang lain
belalangnya. Manusia-manusia juga wujud di dalam bentuk-bentuk sikap dan
pemikiran berbeza sesuai dengan kedudukan negara mereka, iklim yang dialami
serta bangsa yang menjadi majoriti di sesuatu tempat tersebut. Hukum,
undang-undang dan sistem sosial masyarakat perlu disesuaikan mengikut keadaan
dan zaman dan harus berada di dalam kerangka luas syariat yang dibenarkan.
Berkenaan dengan hak untuk memandu , jika
memandu dijadikan ukuran kemajuan, entah kenapa gerangannya hampir semua wanita
yang berjaya di dunia barat dan timur yang dibaratkan menggunakan pemandu untuk
bergerak? Begitu juga dengan syarikat syarikat multinasional yang besar yang
menyediakan pemandu untuk staf-staf lelaki dan wanita mereka yang berkedudukan
tinggi. Ia bukan satu lambang kemunduran tetapi suatu anugerah kehormatan yang
diberikan. Kenapa untuk bergerak menggunakan pemandu di negara-negara maju
dianggap sebagai suatu privilege dan kehormatan, tetapi apabila wanita Arab
Saudi perlu bergerak dengan menggunakan pemandu dianggap sebagai kolot dan
ketinggalan zaman? Perhatikan bagaimana pemikiran kita telah diprogramkan untuk
terus menerus menerima propaganda seperti ini tanpa kita mahu memberi ruang
untuk berfikir sejenak.
Islam secara praktisnya sejak zaman Rasulullah s.a.w., mahukan golongan wanita
Islam menjadi wanita yang progresif, kuat serta independent. Rasulullah s.a.w.
memuji golongan wanita Quraisy yang pandai menunggang kenderaan di dalam hadis
seperti yang saya petik di bawah :
“Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah
wanita solehah dari kaum Quraisy. Paling sayang terhadap anak-anak mereka dan
paling perhatian terhadap suami mereka. (Bukhari dari Abu Hurairah)
Dari A’isyah R.a., “Sebaik-baik
wanita ialah wanita Ansar, sebab rasa malu tidak menghalang mereka untuk mendalami
ilmu agama.” (Bukhari)
Rasulullah s.a.w. menganjurkan kaum wanita pada
ketika itu meniru keupayaan serta kehebatan wanita-wanita Ansar yang sangat
berani, progresif dan tidak takut untuk kehadapan dalam menuntut ilmu dan kehebatan wanita Quraisy yang hebat menunggang unta tetapi tidak melupakan kepada tanggungjawab utama mereka. Jika
memandu kenderaan itu sesuatu yang dilarang, tentu sahaja nabi s.a.w. tidak
akan bersabda dengan sabda yang sedemikian berkenaan wanita Quraisy. Tentu sahaja
kehormatan keluarga dan tanggungjawab terhadap keluarga menjadi ikatan penting
yang disimpulkan kepada kemuliaan wanita penunggang unta dari kalangan Quraisy
seperti di dalam hadis yang dipetik di atas.
Itu bezanya antara negara Islam yang menjadi
model kepada umat Islam dan negara-negara umat Islam pada zaman ini yang sedang
cuba dengan sedaya upaya mendekati kesyumulan negara Islam Madinah pada zaman
Rasulullah s.a.w. dan para sahabah.
Negara Islam ialah negara yang
telah didirikan oleh Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda di Madinah dan kemudian
ditadbir perintah pula oleh khalifah ar Rasyidin yang empat. Kualiti negara
Islam itu merosot dari masa ke semasa mengikut generasi muslim yang berubah sehingga ke hari ini. Ia bersesuaian
dengan hadis nabi seperti yang saya petik sebelum ini.
Jadi apabila berbicara mengenai
negara Islam, hanya negara Islam Madinah di zaman nabi dan para sahabah yang seharusnya
menjadi rujukan. Negara-negara umat Islam yang ada pada hari ini sedang mencuba
sedaya upaya untuk mendekatkan kualiti pentadbiran negara mereka menghampiri
contoh model negara Islam tersebut. Dalam percubaan yang dilakukan, tentu
sahaja ada buruk baiknya yang kelihatan dan perlu sentiasa diperbaiki. Ini
dinamakan progresif. Progresif ke arah satuhala jalan menuju kesempurnaan
negara Islam sepertimana negara Islam Madinah yang dibina Rasulullah s.a.w.
Jadi adalah tidak adil bagi kita untuk
menggunakan salinan yang kabur untuk mengkritik sebuah sistem yang secara
asalnya elok. Ibarat mengkritik si pelukis lukisan yang hebat dengan hanya
merujuk kepada lukisan fotokopi yang dibuat yang kelihatan kabur dengan strok
yang tidak kemas dan jelas.
Arab Saudi sedang cuba memperbaiki
sistem mereka supaya mendekati model terbaik negara Islam sepertimana yang
dijalankan serta ditadbir Rasulullah s.a.w. di Madinah. Pautan link di bawah
ini menunjukkan mereka sedang melakukan perubahan. Untuk mendekati negara Islam
sebenar jalannya sangat panjang:
Begitu juga dengan negara barat seperti
Amerika Syarikat yang masih bertatih lagi berusaha untuk memberikan hak yang
lebih adil kepada wanita. Bukankah Akta Lily Ledbetter yang baru diluluskan
pada 2011 untuk membenarkan golongan wanita mendapat upah kerja setimpal dan menghapuskan
syarat aduan 180 hari dari tarikh permulaan kerja hanya baru tahun ini diluluskan?. Semua Negara di dunia ini
sedang mencuba ke arah itu, hanya negara Islam di bawah pentadbiran Rasulullah
s.a.w. berjaya membawa pembaharuan demi pembaharuan dalam perjuangan hak asasi
wanita. Berkiblatkan model tersebut, kita semua sedang berusaha ke arah itu.
Wallhua’lam.
Rujukan :
1) Prof. Dr. HAMKA, Tafsir
al Azhar, Juzu’ 28,29-30, (1985), Pustaka Panjimas, Jakarta, m/s 4.
2) Ibid, m/s 15.
3) Institut Kefahaman Islam Malaysia, Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, (2005), IKIM, m/s 100.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.