"Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya)." ( An Nur : 1)
Begitulah permulaan ayat pertama bagi surah An Nur, yang mana terkandung dalamnya beberapa hukum dan perintah Allah s.w.t. ke atas manusia yang wajib dilaksanakan, sebagaimana yang di nyatakan didalam terjemahan ayat tersebut diatas.
Di dalam surah ini juga terdapat dua ayat yang menyentuh mengenai perintah memelihara pandangan dan aurat bagi lelaki dan wanita yang beriman. Bermula dengan ayat ke 30 iaitu ayat pertama dalam dua ayat yang menyentuh mengenai aurat ini, Allah s.w.t. menekankan terlebih dahulu batasan pandangan dan aurat bagi lelaki yang beriman supaya dipelihara, sekaligus menunjukkan hukum pemeliharaan pandangan dan aurat dititikberatkan terlebih dahulu keatas lelaki.
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (An Nur : 30)
Setiap apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. adalah dipenuhi dengan hikmah dan kebaikan bagi mereka yang memerhatikan dengan akal dan iman. Setiap lelaki yang menundukkan pandangan, dengan izin Allah akan memelihara diriya dari bisikan syaitan, nafsu serta dorongan ke arah perkara yang memudaratkan iman dan kemanusiaannya. Boleh dikatakan bahawa majoriti wanita yang berhias adalah untuk mendapatkan perhatian dari golongan adam dan ini kerana perasaan sedemikian itu merupakan satu fitrah dalam diri mereka yang telah Allah tetapkan dalam diri mereka.
Fitrah bagi lelaki pula suka memandang sesuatu yang menyedapkan pandangan serta cantik tetapi seringkali mereka terlupa bahawa secantik-cantik perhiasan dunia ialah isteri yang solehah. Dengan menundukkan pandangan, maka berkuranglah wanita yang memilih untuk tidak menutup aurat. Ini boleh diibaratkan dengan contoh seorang pemilik panggung wayang yang tiada pelanggan yang datang untuk menonton filem yang dinobatkan 'hebat' dipanggungnya, sehebat mana pun filem yang dimainkan , jika tiada yang datang menonton, lambat laun akan tutup juga premis panggung tersebut.
Begitulah dengan apa yang berlaku ke atas fitrah manusia, psikologi yang disebutkan Allah s.w.t. di dalam ayat 30 ini menunjukkan bahawa setiap permulaan kepada kebaikan dan pematuhan kepada perintah Allah s.w.t. itu sepatutnya bermula dengan lelaki.
Mengapa mesti lelaki? Persoalan mudah ini boleh dijawab dengan bermulanya tanggungjawab seorang lelaki sebagai ketua keluarga, wali bagi saudara-saudara perempuannya serta saudara kepada muslimin dan muslimat seluruhnya. Jika tanggungjawab ini dijalankan dengan betul dan amanah, maka tidaklah menjadi sesuatu yang pelik sekiranya generasi yang dilahirkan dari dan selepas itu merupakan satu generasi yang beriman, berakhlak serta maju dalam dalam setiap bidang yang diceburi. Dari generasi inilah bakal lahir golongan pemuda-pemuda Islam yang menghormati serta memandang samarata ke atas kaum wanita dan tidak menganggap golongan wanita hanya sebagai objek yang boleh diperdagangkan, dipermainkan, alat pemuas nafsu dan dilayan sebagai kelas dua. Pemudi-pemudi Islam dari generasi ini akan sama-sama menjadi tonggak serta tulang belakang kepada kekuatan ummah. Allah s.w.t. meletakkan persamaan hak diantara lelaki dan wanita tetapi hak dan tanggungjawab setiap dari yang tersebut tadi adalah tidak sama ke atas keduanya.
Di dalam artikel ini, penulis ingin menekankan kepada pemahaman ayat sambungan dari ayat 30 surah An Nur seperti yang tersebut tadi.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An Nur : 31)
Ayat 31 surah An Nur di atas menjelaskan perintah supaya menjaga pandangan bagi mereka-mereka yang beriman dan batasan aurat bagi muslimah yang beriman. Perintah Allah inilah yang selama ini menjadi bahan gurauan dan sendaan masyarakat barat dalam liberasi feminisme mereka terhadap Islam. Lebih malang lagi, kini budaya sendaan ini menular dan berakar umbi pula dalam generasi muslimah liberal yang mengadaptasikan cernaan dangkal akal fikiran liberasi feminisme barat dan semakin terbawa-bawa dakyah ini dalam kehidupan seharian mereka.
Persoalannya, benarkah batasan aurat bagi muslimah Islam yang beriman itu satu bentuk penindasan ke atas kaum wanita dalam Islam? Perkara ini hanya kelihatan benar dalam pemikiran cetek yang tidak pernah cuba kenal atau memahami perintah Allah s.w.t. secara keseluruhannya. Retorik dan tembelang mereka dalam menyatakan bahawa mereka beriman dan setiap hari membaca terjemahan Al Quran sebagai panduan nyata terbongkar apabila membicarakan mengenai perintah Allah dalam pemeliharaan aurat ini. Masing-masing melenting membela pendapat akal mereka yang diracuni gerakan membuta tuli liberasi feminisme barat.
Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf dan diredhai Allah sebagaimana yang tersebut didalam surah Al Maidah ayat 23 :
…….Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.…. (Al Ma'idah : 3)
Islam juga merupakan sebuah agama bagi orang-orang yang bijak dan berakal sempurna. Seorang doktor atau saintis yang pandai dalam bidangnya tidak boleh dikatakan cerdik atau bijak jika menganggap sesuatu yang diukir oleh tangan manusia sendiri, bulan, bintang, binatang, pokok dan sebagainya sebagai tuhan mereka yang memberikan mereka rezeki dan dapat memudaratkan mereka. Maka perkara seupama ini yang menghina daya akal, kekuatan dan kebijaksanaan akal fikiran manusia tidak terdapat dalam Islam.
Bagi mereka yang boleh berfikir dengan waras, tentulah mereka menyedari bahawa semua objek tersebut tidak dapat memberikan mereka manfaat atau pun kemudaratan biar pun sebesar zarah. Maka Islam menunjukkan jalan yang benar dalam mengenali Siapa Pencipta seluruh alam yang sepatutnya disembah.
Sebagai agama yang diredhai Allah s.w.t., setiap apa yang datang bersama agama tersebut akan dapat membantu menyelesaikan semua persoalan dan permasalahan yang telah, sedang atau bakal dihadapi oleh manusia sebagai khalifah di muka bumi ini sehingga kiamat.
Maka dalam setiap perintah dan hukum yang terdapat di dalam Al Qur'an, ada penjelasan baik dari segi pemahaman tersurat atau tersirat bagi setiap faedah pelaksanaannya.
Bagi yang hanya dapat melihat atau memahami perintah pematuhan kepada hukum memelihara aurat ini dari segi pemahaman literasi, ayat 31 surah An- nur ini telah dengan jelas menyatakan bahawa salah satu dari faedah dari pelaksanaannya ialah mereka-mereka iaitu muslimin dan muslimat yang beriman kepada perintah Allah ini akan memperolehi kejayaan. Satu lagi sebab yang dinyatakan dalam Al-Qur’an mengenai kelebihan menutup aurat ini ialah ianya dapat membezakan antara wanita-wanita yang beriman dan menjaga kehormatan serta memelihara muslimah tersebut dari ganguan sepertimana yang dinyatakan dalam surah Al-Ahzab ayat 59.
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al Ahzab :59)
Jika tidak difahami dengan betul surah An Nur ayat 31, maka pernyataan kejayaan yang bakal dicapai oleh golongan ini akan segera menjadi klise dan dikaitkan dengan balasan pahala dan mendapat tempat di dalam syurga di akhirat dan terselamat dari seksaan dalam neraka kelak selepas mati. Sebenarnya tidak hanya demikian! Kejayaan yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. tersebut bermula dari sisi kehidupan dunia lagi dan ayat ini merupakan satu dalil bagi gerakan pembebasan muslimah dari kongkongan karut marut yang meletakkan mereka sebagai warga kelas dua yang tidak layak untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan golongan lelaki dalam semua bidang yang mampu diceburi.
Bermula dengan perintah Allah s.w.t. membataskan aurat muslimah hanya kepada sesama muslimah, telah pun membuka satu lembaran dalam pembebasan dari kongkongan mendapatkan pendidikan supaya fardu kifayah dapat dipenuhi.
Bayangkan jika para muslimah dikekang dan dihalang dari mendapat pendidikan dan hak untuk memajukan diri dalam karier, maka dengan secara automatiknya kaum muslimah dan kaum muslimin rigid atau jumud itu sendiri akan mengalami masalah bila berhadapan dengan masalah kesihatan dan terpaksa mendapatkan khidmat dari doktor dari jantina berlawanan. Maka ini dengan sendiri akan menimbulkan rasa kurang selesa bagi mukminat yang cuba menjaga batasan aurat seperti yang diperintahkan Allah s.w.t..
Satu contoh lagi, bagaimana pula dengan khidmat kaunselor professional? Sebagaimana yang kita sedia maklum, setiap sesi kaunseling bagi individu yang mempunyai masalah akan dibuat secara sendirian dengan kauselor professional terlibat. Bukankah perkara seumpama ini akan menimbulkan masalah bagi mukminat yang memahami hukum-hukum batasan aurat dan pergaulan dalam hidup sehari-hari. Disinilah timbulnya kepada keperluan bagi umat Islam mempunyai Doktor, Kaunselor Professional, Pensyarah, Guru, Jurutera dan professional-professional muslimah yang lain bagi memenuhi dan membantu muslimah lain dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t.
Tentunya semua ini bermula dengan mendapat pendidikan awal sehingga tinggi yang tidak dikekang oleh golongan jumud yang terperangkap dalam dunia mereka sendiri. Islam datang membawa keluar golongan wanita dari segala kongkongan lelaki seterusnya meletakkan wanita di atas jalan serta hak-hak mereka sendiri tanpa merendahkan martabat mereka.
Maka 1400 tahun dahulu, wanita-wanita Islam telah lama dapat menikmati semua hak-hak kesamaan biarpun wanita-wanita lain diseluruh dunia masih ditindas pemerintah dan dibelengu hukum-hukum agama yang dianuti masing-masing. Hanya sekitar abad ke 20 barulah wanita-wanita di barat tersedar akan sekatan-sekatan hak yang mereka alami, iaitu setelah muslimah-muslimah diberikan kemuliaan dan hak-hak 1300 tahun lamanya oleh Allah s.w.t., maka gerakan pembebasan feminisme mula bergerak di barat bertunjangkan perjuangan dengan meletakkan kaum adam sebagai penanda aras kejayaan. Semua ini adalah kerana mereka-mereka ini mengenepikan Tuhan dalam asas perjuangan mereka. Tanpa mereka sedari, kedudukan mulia serta semua keistimewaan yang Allah s.w.t. letakkan serta berikan kepada mereka, diketepikan mereka dan mereka-mereka ini sendiri merendahkan martabat mereka dengan meletakkan golongan Adam sebagai penanda aras kejayaan mendapatkan hak-hak asasi mereka.
Kejayaan dalam liberasi feminisme barat yang diperjuangkan sekadar hanya berjaya melacurkan kembali maruah wanita sebagai objek seks semata-mata serta meletakkan kembali wanita di bawah penindasan kaum adam. Perhatikan saja dalam klip-klip video artis-artis barat, di mana untuk mendapatkan kontrak rakaman serta untuk menjual album, maka perkara pertama yang harus dilakukan ialah menanggalkan pakaian mereka untuk diperagakan tubuh mereka dalam klip-klip video tersebut. Diskriminasi seperti ini tidak pula berlaku ke atas artis lelaki. Maka bagaikan kupu-kupu malam yang mencari pelanggan, mereka ini, menjatuhkan maruah mereka sendiri dalam perjuangan tanpa arah ini. Begitu juga jika diperhatikan mana-mana saja iklan dalam mana-mana media sekalipun, biarpun apa sahaja objek yang hendak dijual, tidak kira mesin cetak, motosikal, kereta atau apa sahaja, maka akan kelihatan seorang wanita dengan pakaian menjolok mata yang menghina maruah wanita itu sendiri disertakan. Apakah ini yang diperjuangkan sebagai hak wanita? Bukankah ini tidak lebih dari eksploitasi yang bertopengkan hak-hak asasi dan seni?
Tetapi ini tidak berlaku kepada kaum muslimah kerana kejayaan didunia dan akhirat bagi mereka, diukur melalui usaha mereka dan ketaatan mereka kepada perintah-perintah Allah s.w.t.. Tiada lelaki diletakkan langsung sebagi penanda aras kejayaan bagi muslimah. Mengapa mesti menghinakan diri sendiri setelah banyak kemuliaan Allah berikan kepada kaum hawa?
Perhatikanlah, setiap anak adam pasti membawa satu parut kekal pada tubuh mereka yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka kedunia ini adalah melalui rahim seorang wanita yang bergelar ibu. Setiap lelaki dan wanita mempunyai pusat sebagai peringatan tentang betapa bergantungnya hidup setiap insan terhadap ibu, iaitu wanita yang mengandungkan, melahirkan, menyusukan seterusnya memelihara dan menjaga kita sehingga kita dapat berdikari sendiri.
Betapa Allah itu Tuhan Yang Maha Adil, diperingatkanNya tentang jasa seorang ibu dengan parut kekal ini supaya setiap individu itu tidak terlupa bahawa wanita merupakan tonggak kekuatan ummah.
Wanita di serata dunia telah dinafikan hak lama sebelum kedatangan Islam. Tamadun Babylon misalnya, wanita dinafikan segala hak dan direndahkan martabatnya di bawah undang-undang Babylon. Jika terdapat seorang lelaki membunuh seorang wanita, lelaki yang membunuh perempuan tersebut tidak dihukum sebaliknya isterinya pula yang akan dijatuhkan hukuman bunuh.
Satu contoh lagi Tamadun greek, tamadun yang dinobatkan sebagai sebuah tamadun yang paling gemilang di antara tamadun-tamadun silam. Di bawah ketamadunan yang ‘gemilang’ ini, wanita-wanita mereka dinafikan segala hak dan dipandang rendah. Dalam mitologi Greek, seorang ‘perempuan jelmaan’ bernama ‘Pandora’ dikatakan sebagai punca bagi semua kecelakaan dan musibah yang dihadapi manusia. Golongan Arab jahiliah lebih kejam dalam memberi layanan kepada golongan wanita. Mereka ini dianggap sebagai pencemar maruah keluarga serta satu beban dan kebanyakan dari kanak-kanak perempuan di kalangan Arab jahiliah ini ditanam hidup-hidup oleh ibu bapa mereka.
Kedatangan Islam, menghapuskan segala amalan karut marut dan penindasan ke atas wanita di seluruh dunia. Kitab Bible sendiri menyatakan bahawa adalah sesuatu yang tidak sopan bagi wanita-wanita untuk bersuara dalam majlis ilmu di gereja-gereja, jika terdapat apa-apa persoalan mengenai apa yang dipelajari, mereka tidak dibenarkan langsung dari bertanyakan hal tersebut secara langsung dan dinasihatkan pula untuk mendapatkan penjelasan dari suami-suami mereka di rumah. Maka, hal sebegini tentulah menjadi satu masalah bagi wanita-wanita yang ingin menuntut ilmu dan tidak mempunyai suami. Arahan tersebut terdapat dalam kitab perjanjian baru 1 Corinthians Bab 14 ayat 34 dan 35.
1 Corinthians : 14
14:34 Let your women keep silence in the churches: for it is not permitted unto them to speak; but they are commanded to be under obedience as also saith the law.
14:35 And if they will learn any thing, let them ask their husbands at home: for it is a shame for women to speak in the church
Terjemahannya,
14:34 Perempuan-perempuan harus berdiam diri dalam gereja-gereja. Sebab mereka tidak diperbolehkan untuk berbicara. Mereka harus menundukkan diri, seperti yang dikatakan juga oleh hukum.
14:35 Jika mereka ingin mengetahui sesuatu, baiklah mereka menanyakannya kepada suaminya di rumah. Sebab tidak sopan bagi perempuan untuk berbicara dalam pertemuan Jemaat.
Begitu juga dengan ayat dalam Kitab Perjanjian Baru, 1 Timothy bab 2 ayat 11 dan 12 yang membawa pengertian kepada arahan tunduknya wanita di bawah kuasa lelaki dan halangan bagi mereka untuk bersuara.
1 Timothy : 2
{2:11} Let the woman learn in silence with all subjection. {2:12} But I suffer not a woman to teach, nor to usurp authority over the man, but to be in silence.
Terjemahannya,
2:11 Seharusnyalah perempuan berdiam diri dan menerima ajaran dengan patuh.
2:12 Aku tidak mengizinkan perempuan mengajar dan juga tidak mengizinkannya memerintah laki-laki; hendaklah ia berdiam diri.
Pada ketika wanita di gereja-gereja dan synagogue-synagogue dikekang hak-hak mereka untuk bersuara dalam majlis-majlis ilmu, ummul mukminin Saiditina Aisha r.a. menjadi tempat rujukan hukum-hukum agama dan menjadi antara periwayat hadis terbanyak dalam sejarah Islam. Rasulullah s.a.w. sendiri memperuntukkan satu hari khas dalam seminggu bagi memberi peluang kepada muslimah-muslimah merebut peluang mendalami ilmu daripadanya. Ini dilakukan setelah muslimah-muslimah ini mengadu kepada baginda bahawa agak sukar bagi mereka untuk belajar disebabkan hari-hari pengajaran yang lain telah dipenuhi oleh para sahabat lelaki Rasulullah s.a.w. yang lain. Ini diriwayatkan dalam Sahih Bukhari :
Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a. katanya, “Beberapa orang wanita memajukan permohonan kepada Nabi : “Kami tidak memperolehi waktu untuk belajar dari Anda kerana semua waktu telah diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu sediakanlah barang sehari untuk kami agar kami pula dapat belajar.”
Maka Nabi menjanjikan kepada mereka suatu hari khusus untuk pengajian wanita, di mana Nabi mengajar dan menyampaikan perintah-perintah Allah......”
Pelajaran bagi wanita dalam Islam tidak hanya terhad kepada golongan muslimah yang merdeka malahan digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. supaya tuan-tuan kepada hamba-hamba wanita yang dimiliki supaya mengajarkan kepada hamba-hamba wanitanya itu ilmu pengetahuan kemudian memerdekakan mereka dan memuliakan mereka dengan perkahwinan. Perkara ini dinyatakan ada diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahih Bukharinya :
Dari Abu Burdah r.a. dari bapanya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ada tiga jenis orang yang mendapat dua pahala sekaligus. Iaitu :
- Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang percaya kepada Nabinya dan percaya pula kepada Muhammad s.a.w..
- Hamba sahaya, apabila dibayarkan kewajipannya kepada Allah dan kewajipan kepada majikannya, dan
- lelaki yang mempunyai hamba sahaya perempuan, diajarkannya berkesopanan dan disempurnakan pengajaran kesopanan itu; diajarkannya ilmu pengetahuan dan disempurnakan pelajaran itu dan dikahwininya.
Maka ketiga jenis orang itu mendapat dua pahala.”
Tetapi ini tidak berlaku kepada kaum muslimah kerana kejayaan didunia dan akhirat bagi mereka, diukur melalui usaha mereka dan ketaatan mereka kepada perintah-perintah Allah s.w.t.. Tiada lelaki diletakkan langsung sebagi penanda aras kejayaan bagi muslimah. Mengapa mesti menghinakan diri sendiri setelah banyak kemuliaan Allah berikan kepada kaum hawa?
Perhatikanlah, setiap anak adam pasti membawa satu parut kekal pada tubuh mereka yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka kedunia ini adalah melalui rahim seorang wanita yang bergelar ibu. Setiap lelaki dan wanita mempunyai pusat sebagai peringatan tentang betapa bergantungnya hidup setiap insan terhadap ibu, iaitu wanita yang mengandungkan, melahirkan, menyusukan seterusnya memelihara dan menjaga kita sehingga kita dapat berdikari sendiri.
Betapa Allah itu Tuhan Yang Maha Adil, diperingatkanNya tentang jasa seorang ibu dengan parut kekal ini supaya setiap individu itu tidak terlupa bahawa sebahagian dari setiap insan yang wujud di muka bumi ini lahir dari pengorbanan sesorang wanita yang bergelar ibu. Wanita merupakan tonggak kekuatan ummah dan janganlah menghinakan serta mencemar maruah wanita kembali dengan segala perjuangan liberasi kosong berkiblatkan barat yang akhirnya mencampakkan wanita lebih 1400 tahun kebelakang.
Rencana ini dipetik dan diolah dari eNovel Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist. Untuk mendapatkannya, klik sini.