oleh Muhammad Ibn 'Az
Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Posting ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Seha pada 28 November 2007 melalui shoutbox satuhala. Berikut entry dari Seha, saya membahagikan entrynya kepada dua bahagian, pertama bewarna biru yang akan saya jelaskan dan yang bahagian kedua dalam font merah, merupakan bahagian yang tidak akan saya ulas tetapi saya akan jelaskan sebab mengapa saya berbuat demikian.
assalamualaikum..nak bertanya tentang nabi adam a.s dan siti hawa..macam mana mereka berkahwin, boleh ceritakan sedikit..sebab siti hawa
Wa'alaikumsalam Seha…Terima kasih kerana saudari antara yang setia berkunjung ke sini. Sebelum saya menghuraikan jawapan bagi pertanyaan saudari tersebut, saya ingin menasihatkan saudari agar berhati-hati dengan cara menggunakan fikiran kerana akal fikiran juga mempunyai batas-batasan yang tidak boleh dilewati. Sebagai hamba Allah yang dikurniakan keupayaan akal dan kemampuan analitik, kita seharusnya menggunakan nikmat ini sebagaimana yang Allah mahukan kita menggunakannya, iaitu dengan cara yang mana boleh mendekatkan kita lebih dekat kepadaNya serta dapat memberikan faedah besar kepada kita dan seluruh kemanusiaan. Dalam kita menikmati keupayaan akal ini, seharusnya kita juga mengetahui batas-batasan daerah yang telah Allah s.w.t. telah tegah kita lewati. Bagi yang beriman, cukup apa yang dinyatakan kepada mereka melalui sumber-sumber Allah iaitu Al-Qur'an dan pesuruhNya Muhammad s.a.w. Larangan ini bukanlah bagi tujuan menyekat kebebasan keupayaan minda manusia tetapi lebih kepada sifat RahimNya kepada hamba-hambanya yang bertakwa. Sebagai Al ‘Aliim (Yang Maha Mengetahui) dan Al Al Hakeem (Yang Maha Bijaksana) Allah s.w.t. mengetahui apa bentuk keupayaan maksima terhadap akal yang dianugerahkannya kepada kita. Sebagai Al Khaliq (Yang Maha Pencipta), tentu saja Dia lebih mengetahui mengenai apa saja yang diciptakanNya.
Sebagai contoh seorang jurutera yang membina kereta, tentu saja dia mengetahui apa keupayaan kereta binaannya tersebut dan had-had kegunaan yang harus dipatuhi. Sebagai pencipta kereta tersebut, tentu saja dia telah sedia menggariskan beberapa panduan bagi si pengguna atau pembeli keretanya tentang had-had dan cara penggunaan dan penyelenggaraan yang betul supaya kereta yang dibeli mereka nanti tidak akan menghadapi apa-apa masalah dihari kemudian. Jika saudari mempunyai kereta yang baru dibeli, tentu saudari diberikan sama jadual waktu penyelenggaraan yang telah ditetapkan di dalam kitab manual kereta oleh si pembuat kereta. Pada 5,000 km yang pertama, minyak enjin harus ditukar dan kereta harus dihantar servis. Dalam manual tersebut juga telah dinyatakan dengan jelas had-had penggunaan kereta yang harus di patuhi. Pencipta kereta tersebut juga telah menggariskan beberapa perkara yang dilarang dan tidak boleh dilakukannya. Sebagai contoh, pemanduan bagi kereta berkapasiti 1600 c.c. sepatutnya tidak melebihi kelajuan 200 km/ jam dan jangan sekali-kali melangkaui capaian r.p.m. pada 6500 r.p.m. (putaran per minit). Sebagai jurutera yang menciptakan kereta tersebut, jelas mereka sangat mengetahui mengenai had-had keupayaan ciptaan mereka. Jadi tindakan pemilik kereta yang melampau dan melanggar had-had yang ditetapkan, akan dianggap sebagai tindakan yang amat tidak bijak. Bukan setakat itu sahaja, tindakan tidak bijak dan melampaui batas yang telah ditetapkan oleh si pencipta kereta tersebut, iaitu jurutera yang merekabentuknya, juga akan mengundang masalah kepada si pemilik kereta itu sendiri nanti. Masalah kerosakan enjin pasti akan terjadi dan ini pastinya akan menyusahkan si pemilik kereta tersebut, tidak jurutera yang membinanya. Jurutera kereta itu sedikit pun tidak terkesan dengan akibat perbuatan si pemilik kereta yang yang melampaui batasan yang telah ditetapkan olehnya. Yang menanggung akibat hanyalah si pemilik kereta. Dengan kos pembaikan yang harus di tanggung sendiri dan masalah ketiadaan pengangkutan dan sebagainya hanya ditanggung oleh si pemilik kereta yang melampaui batas. Sebagai Jurutera yang bertanggungjawab, dia telah menggariskan panduan-panduan, cara-cara penjagaan dan batasan-batasan penggunaan yang tidak harus dilanggari oleh mana-mana pemilik kereta.
Begitulah juga dengan kita sebagai manusia. Allah s.w.t. Tuhan yang menciptakan kita semua telah pun di atas sifat Maha MengasihiNya memberikan kita semua sebuah ‘manual’ cara bagaimana untuk kita menjaga diri kita sendiri dalam kehidupan kita di dunia dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda di akhirat nanti. Sebagaimana manual untuk kereta, Al-Qur’an pula merupakan satu bentuk cara dan panduan hidup bagi sekelian manusia untuk memahami bagaimana dunia dan makhluk-makhluknya berfungsi. Dalam Al-Qur’an telah dijelaskan segala-galanya dengan begitu jelas. Ianya difahami oleh yang beriman dan berilmu dengannya. Tiada apa yang ditinggalkan kecuali ia meninggalkan mereka-mereka yang meninggalkannya.
Hidup sebagai manusia juga seumpama sebuah kereta. Sebuah kereta hanya akan memberi manfaat kepada tuannya apabila ia dijaga dengan betul, mengikut jadual penyelenggaraan yang betul dan dipatuhi segala batas-batas kepenggunaannya. Jurutera yang membina kereta yang berasaskan bahan bakar petrol, melarang pemilik ciptaannya dari mengisi minyak diesel sebagai gantian bahan bakar terbabit, meskipun harga diesel itu lebih murah. Ini kerana selaku pencipta, tentunya dia lebih mengetahui mengapa dia melarang si pemilik kereta ciptaannya dari mengisi diesel sebagai gantian bahan bakar. Oleh kerana si pemilik kereta tersebut merasakan dirinya lebih pandai dan bijaksana daripada jurutera terbabit dan hanya menggunakan lojik akalnya untuk mengurangkan kos bahan bakar, dia pun mengisikan diesel sebagai langkah penjimatan kos. Akhirnya, keretanya itu langsung tidak dapat bergerak dan mengalami masalah kerosakan enjin yang teruk. Bukankah bodoh tindakannya itu? Sedangkan jutureranya yang bijaksana sudah pun memberikan garis panduan yang betul tetapi si pemilik kereta tersebut masih berdegil dengan menggunakan lojik akal kurang cerdiknya.
Begitulah juga dengan semua larangan Allah ke atas manusia. DilarangNya manusia membuat dosa kerana dosa itu memudaratkan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. DiharamkanNya memakan babi oleh kerana banyak kemudaratan daripada kesan memakannya yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan manusia itu sendiri. Dilarang Allah supaya kita tidak memikirkan perkara-perkara yang diluar kemampuan akal manusia untuk memikirkannya kerana sebagai Pencipta yang Maha Bijaksana, hanya Dia selayaknya tahu tahap maksima keupayaan akal manusia.
Allah s.w.t. menasihatkan semua manusia dalam Al Qur’an supaya tidak memikirkan perkara-perkara ghaib dengan mendalam kerana semua itu di luar bidang keupayaan manusia. Hanya Dia saja yang tahu akibat perbuatan melanggar batasan yang telah Dia tetapkan. Sebagai manusia yang merupakan ‘produk’ ciptaanNya, kita seharusnya patuh kepada segala nasihatNya yang disampaikan melalui Al-Qur’an dan Sunnah RasulNya. Telah Allah s.w.t. berfirman :
Al Israa’ 85
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
Al An’aam 59
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.
Berkenaan dengan soalan saudari mengenai lojik disebalik perkahwinan Nabi Adam a.s. dan Hawa yang menurut pertanyaan saudari tidak sepatutnya berlaku kerana mereka diciptakan dari materi yang sama dan seharusnya dikira sebagai mahram. Sebenarnya sering kita terlupa dalam melayan karenah akal yang dibisiki syaitan, bahawa kita sebenarnya sedang diperkudakannya yang sedang bergelak ketawa menghinakan kemuliaan kita di atasnya. Manusia itu mulia apabila akalnya berfikir sempurna. Manusia menjadi lebih hina dari syaitan yang diperintahkan Allah untuk sujud kepada kita sewaktu penciptaan mula bangsa kita ini apabila akalnya dapat diakali pula oleh syaitan. Syaitan ini besar tipu dayanya tetapi dia hanya berkuasa di atas manusia-manusia yang tidak mahu menggunakan akal.
Mahram itu sendiri hanya kita ketahui batasannya melalui ayat-ayat Allah. Sekiranya tiada ayat Allah berkenaan mahram, maka bukanlah satu masalah bagi kita untuk memahami permasalahan ini. Ketahuilah bahawa pada setiap satu generasi bangsa manusia itu, Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, menggariskan syariat-syariat yang sesuai dan bertepatan dengan kemajuan bangsa manusia itu sendiri. Pada setiap peringkat kewujudan manusia di alam ini, telah Allah s.w.t. tetapkan syariat yang berbeza-beza untuk manusia patuhi. Kita pada zaman akhir setelah kewafatan utusanNya yang terakhir, terikat dengan peraturan yang membataskan perkahwinan sesama mahram. Hukum mahram itu sendiri datangnya dari Allah. Jadi, kenapa pula ia mesti menjadi satu kemusykilan untuk kita bandingkan dengan sekumpulan manusia yang tidak langsung Allah perintahkan untuk mematuhi hukum tersebut? Apakah bijak bagi kita mempersoalkan kebijaksanaan Allah dalam meletakkan sesuatu hukum itu?
An Nisaa' 1
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.
Az Zumar 6
Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); ….
Pada setiap umat ada syariat-syariat tertentu yang harus mereka ikuti dan patuhi. Syariat yang Allah s.w.t. tetapkan ke atas Adam a.s. dan pasangannya ialah untuk memastikan generasi manusia berkembangbiak dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Perkara ini di firmankan Allah dalam ayat 67 surah Al Hajj
Al Hajj 67
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
Seorang pencipta yang mencipta dan menghasilkan botol dari material plastik, telah dengan kebijaksanaannya juga menciptakan tudung penutupnya dari material yang sama iaitu plastik. Tiada manusia lain membantah keputusannya menciptakan tudung botol itu dari plastik. Pasti kita pernah membeli air mineral dalam botol dari mana-mana kedai
Begitu juga dengan pembuat dan pencipta bolt dan nut. Kedua-duanya diciptakan dari material yang sama oleh penciptanya, tetapi kedua-duanya dihasilkan dalam dua bentuk berbeza. Untuk berfungsi dengan optimum, tidak boleh kita hanya menggunakan bolt atau hanya menggunakan nut. Kedua-duanya diciptakan untuk saling melengkapi antara satu sama lain, walaupun diciptakan mereka dari bahan (material) yang sama. Tidak ada langsung manusia mempersoalkan kebijaksanaan si pencipta bolt & nut itu tadi menggunakan bahan yang sama untuk dua hasil kerja yang berbeza, sedangkan si penciptanya itu hanyalah manusia biasa yang tidak sempurna dan sering melakukan kesilapan. Jadi apakah bijak bagi kita pula untuk mempersoalkan syariat Allah dan ketetapanNya menjadikan Hawa dari Adam dan seterusnya mengahwinkan mereka bagi tujuan pembiakan spesis manusia, sedangkan 'perkahwinan' antara bolt & nut yang diciptakan manusia dari material yang sama tidak pula dipersoalkan? Bukankah Allah itu Tuhan yang Maha Mengetahui dan Tidak Pernah Lupa dan Silap? Bukankah manusia itu pula seorang yang pelupa dan cenderung melakukan kesilapan?
Berkenaan Hawa yang diciptakan dari rusuk Adam, tidak terdapat dalam mana-mana ayat Al-Qur'an yang merujuk kepada material dari bahagian mana Hawa dicipta. Yang ada cuma petikan ayat seperti ayat 1 surah An Nisaa' yang dipetik di atas. Yang Allah ceritakan cuma, Hawa itu diciptakan dari Adam. Bahagian spesifiknya tiada yang mengetahuinya melainkan Allah sahaja. Tetapi perihal ciptaan Hawa dari rusuk kiri Adam ada dinyatakan dalam beberapa hadis Sahih. Ulama berbeza pendapat mengenai hadis-hadis ini.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi s.a.w. bersabda: “Siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, maka apabila dia menyaksikan suatu peristiwa, hendaklah dia menanggapinya dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita, kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannya yang paling bengkok ialah sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah. Tetapi jika engkau biarkan, dia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Saya tidak ingat ini perkataan dari siapa, tetapi saya selalu mengingatkan diri saya mengenai quote ini yang datangnya dari seorang Mat Saleh yang saya terlupa namanya. "An idle mind is the devils' workshop" yang membawa maksud, otak dan minda yang dibiarkan kosong itu merupakan tempat Iblis bekerja. Seharusnya kita sedar bahawa kita sudah lewati batas kebijaksanaan akal apabila kita membiarkan akal dan minda kita ditunggangi dan diperkudakan oleh Iblis dan syaitan. Mereka ini sentiasa menunggu peluang untuk menunjukkan kepada Allah bahawa anak cucu Adam ini lebih hina dari mereka. Jika dulu mereka diperintahkan Allah untuk sujud kepada kita, mengapa harus kita biarkan mereka menunggangi kita dengan membiarkan akal kita kosong dan sebagainya.
Apabila tiba idea-idea merepek dan tak masuk akal langsung menerjah minda kita, hendaklah kita dengan segera memohon perlindungan Allah dari syaitan yang direjam. Kerana jika dilayan, ia kelak akan menghinakan kedudukan kita ke tahap paling hina disisi Allah dan semua makhluk. Itu memang tujuan utama Iblis dan syaitan semenjak dari zaman Adam a.s. lagi. Berkenaan pertanyaan perihal kenduri Adam dan jemputannya, tak perlulah dijawab kerana ianya sangat jelas satu permainan syaitan yang
© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.
eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...
Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)