Monday, December 10, 2007

Bolehkah kita melihat Allah? Bahagian 2.

1

oleh Muhammad Ibn 'Az

(artikel ini merupakan bahagian kedua dari artikel bertajuk Bolehkah kita melihat Allah? Untuk membaca bahagian pertamanya, sila klik sini.)

Mendengarkan soalan-soalannya saja, saya sudah boleh mengagak yang si pemuda Cina ini merupakan antara hamba-hamba Allah yang menggunakan akalnya sebagaimana yang Allah s.w.t. mahu kita lakukan. Setiap manusia, apabila dia mula menggunakan akalnya, nescaya Islam itu menjadi pilihan muktamadnya. Islam itu penuh dengan kebenaran dan tidak memerlukan apa-apa kepalsuan untuk membuktikan yang ianya agama sebenar yang diredhai Allah. Kepalsuan dalam agama yang direka-reka semata-mata untuk membuatkan orang lain percaya dengan Islam sebenarnya lebih merupakan kepada penghinaan kepada daya akal manusia yang menerimanya itu sendiri. Manusia yang bergantung kepada bukti-bukti palsu untuk beriman dengan Allah dan segala perkara ghaib merupakan manusia yang paling malas menggunakan akal. Atau pun mungkin akal mereka itu tak pernah digunakan langsung. Kita bukanlah puak evangelist yang cara dakwah mereka penuh dengan segala cerita-cerita, bukti-bukti serta doktrin-doktrin palsu. Mengapa ramai yang memeluk Islam dibarat? Ini kerana mereka berjumpa dengan segala perkara yang benar terdapat dalam Islam dan meninggalkan segala agama mereka yang lama yang penuh dengan ajaran yang menghina daya akal mereka. Kenapakah kita kini pula memerlukan segala bentuk kepalsuan untuk menerima dan beriman kepada perkara ghaib? Apakah kita ini bebal, bodoh dan lembab? Pada saya, bagi Mukmin, mereka telah lama merasakan nikmat 'melihat' Allah dan meyakini kewujudan Allah kerana mereka ini adalah golongan yang menggunakan akal fikiran. Terlalu banyak ayat dalam Al-Qur'an, menganjurkan muslim untuk menggunakan akal yang diberikan untuk melihat dan memerhatikan persekitaran mereka termasuk diri mereka supaya mereka dapat dekat dengan Allah. Berbalik kepada cerita pemuda Cina tersebut, dia meminta kami menjelaskan mengenai hujah saya yang mengatakan bahawa mukmin tidak langsung perlu untuk melihat Allah semata-mata untuk yakin beriman kepada Allah dan mengenali Allah. Cukup dengan dengan Al-Qur'an dan sunnah serta akal fikiran yang sentiasa digunakan dalam zikrullah, semua mukmin pasti akan dapat mengenal Allah tanpa sebarang masalah. Lalu saya memberikan contoh-contoh berikut kepadanya suapaya dapat dia fahami bahawa bergantung kepada deria penglihatan sebagai methodology untuk membenarkan Wujudnya Allah itu amatlah tidak boleh digunapakai langsung. Bagi yang menyatakan setiap yang wujud itu seharusnya dapat dilihat, maka mereka sebenarnya sedang memperbodohkan akal mereka sendiri. Berikut huraian yang akan saya buat bagi menunjukkan iman itulah yang penting dalam semua aspek kehidupan supaya tidak tertipu dengan keupayaan terhad deria-deria kita terutamanya deria penglihatan.


TIDAK SEMUA YANG KITA NAMPAK ITU BENAR-BENAR WUJUD:

Contohnya warna air laut
Warna air laut jika dilihat dengan menggunakan mata kasar kita, kelihatan seperti berwarna hijau, biru sebagainya. Tetapi hakikatnya, apabila diisi sahaja air laut tersebut ke dalam gelas kaca yang lutsinar, barulah kita sedar dan mendapati bahawa air laut itu sebenarnya jernih dan tidak berwarna. Warna air laut yang kelihatan biru dan hijau sebelum ini hanyalah merupakan pantulan cahaya dari langit. Jelas sekali warna biru dan hijau yang kita nampak sebagai warna air laut sebentar tadi rupanya langsung tidak wujud dalam bentuk yang dijangkakan tetapi lebih kepada pantulan warna langit. Jadi kesimpulannya disini, kita telah tertipu dengan penglihatan kita, cuma pengetahuan kita saja dapat memberikan gambaran sebenar mengenai apa sebenarnya warna air laut. Pengetahuan mengenai ilmu sains yang diyakini itu sama maksudnya dengan ‘beriman’ dengan ilmu sains yang dipelajari. Bagi manusia biasa yang tiada pengetahuan dan hanya memberikan pendapat berdasarkan apa yang dilihat mata mereka, bila ditanyakan mereka perihal warna air lat, tentulah mereka akan memberikan jawapan ianya bewarna kebiruan atau kehijauan. Tetap bagi yang ‘beriman’ dengan ilmu sains, pasti mereka akan menyatakan sebaliknya iaitu air laut tidak berwarna meskipun penglihatan mereka menyatakan sesuatu yang berbeza. Jadi perkataan siapa yang lebih betul? Yang bergantung kepada penglihatan atau yang bergantung kepada ‘keimanan’?



Mirage/Maya di padang pasir.

Jika kita pernah berjalan atau bergerak di jalanraya yang panas, pasti kita pernah melihat lopak-lopak air yang terbentuk jauh di ufuk (horizon) jalan tar. Apabila semakin dihampiri, lopak-lopak air tersebut terus hilang. Apakah penglihatan kita menipu atau kita tertipu dengan penglihatan kita? Perkara sebegini selalunya dialami oleh penjelajah-penjelajah atau mereka-mereka yang mengembara merentas di padang pasir yang amat panas. Seringkali dalam perjalanan mereka, mereka terpandangkan wujud sebuah oasis di ufuk penglihatan mereka, seolah-olah wujud sebuah tasik dengan pokok-pokok untuk berteduh di situ. Apabila dihampiri, ternyata apa yang mereka lihat sebelum ini, rupanya tidak wujud sama sekali. Ia hanyalah sekadar maya akibat dari biasan cahaya yang membentuk tasik dan pokok-pokok tersebut. Bagi yang tiada pengetahuan tentulah agak mengecewakan apabila dihampiri ‘oasis’ tersebut. Tapi ianya biasa sahaja bagi mereka yang arif dan cekap atau ‘beriman’ tentang selok belok pengembaraan di padang pasir. Jadi siapa yang akan kecewa? Mereka yang bergantung kepada penglihatan untuk menilaikan kewujudan sesuatu atau mereka yang ‘beriman’ dengan selok belok pengembaraan di padang pasir?



Warna Sebenar Langit
Warna langit? Apa warna sebenar langit? Jika dilihat dengan mata, langit itu kelihatan biru. Bagi mereka yang berpegang kepada methodology sesuatu yang wujud itu sepatutnya dapat dilihat, mereka pasti akan tertipu kembali dengan perihal warna langit. Sains memberitahu kita bahawa langit itu tidak bewarna. Warna biru yang kelihatan pada mata kita cumalah biasan cahaya matahari yang melalui lapisan atmosfera yang mengandungi berbagai gas. Antara gas yang menyumbangkan kepada pembentukan warna biru ialah gas oksigen yang terkandung dalam atmosfera kita. Semakin kita merapati langit semakin kita mengetahui bahawa biru itu bukan warnanya dan semakin tinggi kita hendak mencapai langit semakin menghitam pula warnanya dan apabila keluar saja kita dari atmosfera, barulah kita sedar yang kita telah tertipu dengan penglihatan kita. Bukankah kitab-kitab sains telah memberitahu kita bahawa langit itu tidak bewarna. Beruntunglah bagi mereka yang ‘beriman’ dengan kitab-kitab sains tersebut. Sekurang-kurangnya mereka tidak tertipu dengan penglihatan mereka.
Begitulah juga dengan Allah. Kita mengenaliNya dengan beriman dengan kitabullah, Al-Qur’an, yang disampaikanNya melalui perantaraan Ruhul Quddus kepada Rasulullah s.a.w. Dalam Al-Qur’an, penuh dengan ayat yang menyatakan serta menerangkan siapa itu Allah, Tuhan Sekelian Alam. Bagi yang tidak beriman dengan kitabullah, janganlah harap akan dapat mengenali Allah. Sama seperti kes di atas, jika hanya berharap kepada penglihatan dan lojik akal yang tak berapa lojik, maka selamanya kita tidak akan mengenali siapa itu Allah. Hanya mereka yang berilmu dan menggunakan akal menurut syariat dapat mengenali dan ‘melihat’serta beriman kepada Allah.

TIDAK SEMUA YANG WUJUD ITU KITA BOLEH NAMPAK:

Medan Magnet
Medan magnet merupakan antara perkara yang wujud dan tidak mampu kita lihat dengan mata kasar kita. Kita mengetahui kehadirannya melalui eksperimen-eksperimen yang dilakukan saintis dan kemudiannya menyatakannya dalam buku-buku sains. Bagi yang ‘beriman’ dengan apa yang dinyatakan dalam buku-buku sains tersebut, bukanlah satu masalah bagi mereka sekiranya ada orang yang tiada atau jahil pengetahuan mendakwa bahawa medan magnet itu tidak wujud kerana kita tidak dapat melihatnya. Bagi yang bergantung kepada penglihatan untuk mempercayai kewujudan sesuatu, pasti mereka akan tertipu dengan keadaan ini kerana medan magnet ini tidak kelihatan kewujudannya pada mata kasar. Kehadirannya paling mudah untuk dibuktikan dengan menaburkan serbuk-serbuk besi disekeliling magnet tersebut. Bentuk medan tersebut akan kelihatan tetapi kita masih lagi tidak dapat melihat medan tersebut dalam bentuk asalnya. Hanya kehadiran atau kewujudannya dapat kita sedari dengan memerhatikan kesan yang terbentuk pada serbuk besi yang ditaburkan tadi.

Begitu jugalah dengan Allah s.w.t. Walaupun kita tidak mampu dan mempunyai keupayaan untuk melihatNya, tetapi kewujudanNya serta Adanya Dia dapat kita rasai serta imani dengan memerhatikan penciptaan-penciptaanNya disekeliling kita termasuk diri kita sendiri. Hanya bagi yang menggunakan akal, mereka akan mengetahui serta beriman kepadaNya.



Gelombang Elektromagnet bagi radio dan TV.
Kita sehari-hari menonton t.v. dan mendengar siaran radio. Tetapi tahukah kita bahawa siaran itu semuanya dibawa oleh gelombang elektromagnet pada frekuensi-frekuensi tertentu yang membolehkan kita menonton dan mendengar siaran kegemaran kita. Kita semua tahu bahawa gelombang elektromagnet itu tidak dapat dilihat oleh mata kasar kita, yang kelihatan di t.v. dan kedengaran di radio hanyalah kesan penggunaan gelombang elektromagnet ini untuk membawa maklumat yang akhirnya diproses supaya dapat ditonton dan didengarai kita melalui alat tersebut. Gelombang elektromagnet ini berada disekeliling kita tanpa kita menyedari kehadirannya, tanpa kita dapat melihatnya dan tanpa kita dapat merasainya. Kita hanya mengetahui kehadiran dan kewujudannya melalui buku-buku sains yang menyatakan mengenainya. Heinrich Rudolf Hertz menemui gelombang elektromagnet ini melalui eksperimen-eksperimen yang dilakukannya pada 1888. Gelombang ini bergerak dalam kelajuan cahaya. Jarak gelombang dan frekuensinya yang menentukan fungsi kegunaannya. Sebagai contoh, sinar X yang digunakan dalam X ray mempunyai frekuensi 10, 000 TeraHz (10,000,000,000,000,000 Hertz) manakala gelombang radio yang digunakan untuk memancarkan siaran radio, t.v. dan telefon bimbit pula terdapat dalam frekuensi antara 10 KHz (10,000 Hz) ke 10 MHz (10,000,000 Hz). 1 Hz bersamaan dengan kitaran lengkap bagi satu pusingan gelombang dalam satu saat. Dalam contoh mudah, jika anak anda menaiki buaian di taman permainan dan anda menghayunkannya, satu pusingan lengkap ayunan buaian tersebut bermaksud posisi kedudukan buaian anak anda itu dari tempat anda mula menghayunkannya, dia berayun pergi dan kembalinya dia kepada anda. Ini dinamakan pusingan lengkap. Hz bermaksud berapa kali ayunan lengkap tersebut dapat dilakukan dalam jarak masa satu saat. Selamanya dengan mata kasar, kita tak akan dapat melihat gelombang radio ini. Kita hanya mengetahui mengenainya melalui pembacaan dan ‘berimannya’ kita dengan buku-buku sains.

Radiasi
Radiasi juga merupakan satu bentuk gelombang elektromagnet yang mempunyai frekuensi tinggi dan boleh mengakibatkan kemudaratan bagi mereka yang terdedah dengannya. Kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Mereka yang berurusan dengan bahan yang memancarkan radiasi diwajibkan terlebih dahulu untuk menghadiri kursus cara-cara pengendalian bahan-bahan tersebut. Mereka yang menghadiri kursus tersebut seharusnya ‘beriman’ dengan apa yang mereka pelajari walaupun sinaran atau pancaran radiasi itu tak dapat dilihat dengan mata mereka sendiri. Di dalam kursus tersebut, mereka telah diberitahu dan diterangkan mengenai kesan dan akibat dari pendedahan kepada radiasi yang berlebihan. Kesannya akan menyebabkan kemudaratan dan mutasi gen yang teruk serta boleh menyebabkan barah atau lebih teruk lagi kematian. Semua ini pastinya ‘diimani’ oleh mereka kerana mereka diperlihatkan segera kesannya melalui contoh-contoh yang ada seperti mangsa letupan loji Nuklear di Chernobyl di USSR 20 tahun lepas dan mangsa bom atom di Hiroshima.

Kesan buruk akibat tidak beriman apa yang disampaikan dalam kursus pengendalian bahan radioaktif tadi akan kelihatan atau dirasai dalam waktu terdekat apabila pelanggaran batasan yang ditetapkan itu berlaku. Bezanya dengan peringatan dalam Al-Qur’an, kesan dan akibat dari tidak beriman kepada apa yang dinyatakan Allah melaluinya, hanya akan kelihatan dan dirasai diakhirat nanti.

Graviti
Graviti juga merupakan antara perkara yang sampai bila pun kita tidak akan dapat melihatnya dengan mata kasar. Hanya ketidakhadirannya dapat dirasai apabila kita keluar dari bumi ini. Pada ketika itu, barulah kita sedar akan nikmat hidup dalam suasana bergraviti. Untuk makan, minum malah membuang air sangat sukar bila tiada graviti. Jadi adalah tidak masuk akal untuk menafikan kewujudan graviti hanya kerana kita tidak dapat melihatnya. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan melakukan kajian dan belajar mengenai kewujudannya, barulah kehadirannya dapat diyakini biarpun sampai bila-bila kita tidak akan dapat melihatnya dalam bentuk asal. Begitulah juga dengan Allah. Kita hanya mengenaliNya melalui jalan memahami kitabullah dan memerhatikan alam disekeliling kita. Bagi yang malas menggunakan akal dan belajar, maka selama-lamalah dia akan hidup dalam kegelapan minda dan kejahilan yang tiada kesudahan itu.

TIDAK SEMUA YANG WUJUD DAN NAMPAK ITU KITA MAMPU MELIHATNYA:

Matahari
Sebuah ciptaan Allah yang wujud, dan kita nampak tetapi kita tidak berkemampuan untuk melihatnya. Melihatnya saja akan membakar retina mata kita dan akan mengakibatkan kita menjadi buta. Tidak sampai beberapa saat cuba merenung kepadanya membuatkan daya penglihatan kita menjadi rosak. Para astronomer yang mengkajinya memerhatikannya dengan menggunakan teleskop khas yang dipasang dengan pelbagai lapisan penapis(filter) cahaya. Sampai bila-bila pun kita tidak akan mampu melihatnya dalam bentuk asal. Gambar-gambar cahaya matahari yang diambil dengan menggunakan berbagai penapis ini hanyalah merupakan sebahagian sahaja dari rupa bentuk matahari yang asal. Untuk melihatnya tanpa menggunakan penapis-penapis ini, ianya amatlah mustahil dan tidak langsung mungkin boleh dilakukan.



TIDAK SEMUA YANG WUJUD DAN KITA BOLEH NAMPAK ITU, KITA DAPAT MELIHATNYA DALAM BENTUK ASAL:

Keindahan Alam Disaksikan Mata Burung Mata burung boleh melihat warna ultraungu (ultraviolet) yang cahayanya tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Betapa indahnya sekuntum bunga dan keseluruhan alam ini yang dilihat oleh seekor burung, sampai bila-bila pun kita tidak akan mampu melihatnya. Ini oleh kerana reseptor warna dalam retina mata manusia hanya dapat memproses dan melihat campuran warna merah, hijau dan biru. Sedangkan burung-burung pula mempunyai reseptor warna ke empat dalam retina mata mereka dan dapat melihat warna ke empat iaitu ultraungu yang diluar keupayaan mata manusia untuk melihatnya. Kebolehan melihat empat gabungan warna ini dinamakan sebagai tetrachromatic. Keupayaan manusia melihat warna dinamakan dengan trichromatic. Untuk membantu anda memahami apa yang dinyatakan dalam contoh ini bahawa burung dapat melihat alam lebih indah daripada apa yang dapat kita lihat, saya membuat perbandingan keindahan alam yang dapat dilihat dengan mata manusia biasa dengan keupayaan penglihatan seekor kuda yang hanya mempunyai dua reseptor warna, kurang satu dari manusia. Saya menggunakan contoh penglihatan kuda bagi membuat satu demonstrasi bagaimana kekurangan satu reseptor warna boleh mengubah keindahan sesuatu gambar atau pemandangan. Bandingkan antara kedua-dua gambar dibawah. Gambar A menunjukkan bagaimana seekor kuda melihat dunia. Gambar B pula menunjukkan bagaimana seorang manusia melihat dunia yang sama.



Dari contoh ini, kita dapat mengetahui bahawa penglihatan burung ke atas alam ini berkali-kali lebih indah daripada apa yang dapat serta mampu kita lihat. Tiada contoh yang dapat diberikan dengan menggunakan apa teknologi sekalipun untuk menggambarkan dunia pada mata burung. Cuma dari perbandingan dengan makhluk yang daya penglihatan warnanya kurang dari kita, dapat kita ketahui bahawa tentulah dunia ini lebih indah dengan pandangan mata burung.

Winston Churchill, bekas Perdana Menteri Brittain pernah berkata bahawa jika ada kelahiran semula, dia ingin menjadi seekor burung dan melihat dan menikmati pandangan dunia melalui mata burung. Maka bolehkah kita mendakwa apa yang kita lihat sekarang ini dalam rupa bentuk asal dan menafikan keindahan yang tak pernah mampu kita nampak? Jadi, siapakah kita pula untuk menafikan kewujudan Allah semata-mata di atas alasan kita tidak pernah melihatNya.

Bersambung di bahagian 3, Klik sini.

© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

1 comment:

Anonymous said...

sy amat jelas dengan penerangan ini, terharu dan saya amat berterima kasih kerana telah membuka mata hati sy dgn penerangan ini. saudara muhammad ibn 'az besar sungguh nilai penerangan ini. sy percaya ramai pembaca yg meyakini dan semakin kuat kepercayaan kepada Allah (S.W.T). semoga Allah(S.W.T) merahmati saudara dunia akhirat dan semua muslimin dan muslimat di seluruh dunia.