(artikel ini merupakan bahagian terakhir (ke empat) dari artikel bertajuk Bolehkah kita melihat Allah? Untuk membaca bahagian pertamanya, sila klik sini.)
Di bawah ini saya berikan dua lagi contoh bagi anda semua untuk memahami bagaimana iman itu berfungsi menyelamatkan kita dan diri kita dari penipuan terutamanya penipuan penglihatan. Saya memfokuskan kepada aspek penglihatan adalah berdasarkan kepada pengalaman serta pemerhatian saya melihatkan kecenderungan golongan yang menolak agama yang menyatakan bahawa Allah itu tidak wujud kerana manusia tak dapat melihatNya. Contoh yang saya bakal saya gunakan ini, merujuk kepada pemahaman lojik. Mencontohi bagaimana pendekatan Allah untuk mendidik hamba-hambaNya untuk medekatkan diri mereka kepadaNya. Cara dakwah yang paling berkesan ialah dengan cara meniru sunnah yang Allah sendiri gunakan serta wahyukan kepada para Nabi dan Rasul-RasulNya. Sebagai contoh, di zaman Nabi Salleh a.s., masyarakat pada ketika itu sangat menggilai unta. Unta menjadi satu kebanggaan dan ketaksuban bangsa mereka pada ketika itu. Maka Allah memberikan satu mukjizat kepada Nabi Salleh a.s. dengan membolehkannya menunjukkan kepada kaumnya satu keajaiban di mana seekor unta betina keluar daripada batu. Begitu juga dengan zaman Nabi Musa a.s., masyarakat diwaktu zamannya amat menggilai sihir, mana-mana ahli sihir yang handal akan disanjung. Maka Allah menghantar Nabi Musa a.s. kepada Firaun yang sudah melampaui batas dengan mengaku dirinya sebagai tuhan untuk dinasihati supaya dia bertaubat dan kembali beriman kepada Allah s.w.t. Pendekatan yang Allah s.w.t. gunakan pada waktu tersebut ialah dengan membekalkan kepada Nabi Musa a.s. dengan mukjizat yang dapat mengalahkan semua sihir dari kalangan ahli-ahli sihir Firaun yang terhebat. Hasilnya, kesemu ahli-ahli sihir tersebut akhirnya beriman kepada Nabi Allah Musa a.s. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. pula, syair menjadi kegilaan masyarakat Arab pada ketika itu. Diturunkan Allah s.w.t. Al-Qur'an dalam Bahasa Arab yang sangat indah gaya bahasanya sehinggakan mengalahkan mana-mana syair yang pernah ditulis oleh manusia. Al-Qur'an kekal mukjizat teragung sepanjang zaman. Isikandungannya boleh digunakan dalam apa saja bentuk dakwah kerana ia datang dari Pencipta segala kebijaksanaan yang wujud di seluruh langit dan bumi. Hanya masa dan kemajuan pemikiran manusia yang akan menetapkan bagaimana saluran dakwah itu seharusnya digunakan. Bagi kita yang ingin berdakwah, kita seharusnya peka dengan kemampuan serta minat seseorang atau kumpulan yang akan menjadi sasaran dakwah kita. Untuk berdakwah dengan komuniti serta peminat sastera, dakwah dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi kefahaman sains tinggi seharusnya dielakkan. Bukan kerana mereka tidak faham, mereka memahaminya tetapi minat mereka lebih kepada keindahan bahasa, tuturcara dan seni-seni ayat yang indah. Perkara-perkara inilah yang akan membangkitkan minat dan rasa teruja dalam hai mereka untuk mendekati Al-Qur’an. Begitu juga dengan komuniti sains, mereka lebih teruja apabila sesuatu ayat Al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka mengandungi pengetahuan sains tinggi yang tidak pernah tercapai oleh manusia sebelum abad ke 21 ini. Jadi bagi memudahkan semua pihak memahami apa yang cuba disampaikan di sini, saya mengambil pendekatan logik untuk mebuktikan yang keimanan dengan kitabullah itulah yang akan membantu manusia memahami serta mengenali Allah Rabbul ‘Alamin.
Sebagai contoh, saya ingin meminta anda semua merenung komputer di hadapan anda ini selama sepuluh saat bermula dari sekarang.
-
-
-
-
-
-
-
-
-
Apakah ada apa-apa perubahan dengan kedudukan komputer anda dari saat pertama tadi? Tentu tiada kan? Bagaimana jika saya katakan kepada anda bahawa komputer anda itu bergerak lebih dari seinci pada ketika saat pertama anda mengira sambil merenung kepadanya? Tidak nampak......? Bagaimana pula jika saya katakan kepada anda bahawa komputer yang anda renung sebentar tadi telah bergerak sejauh 150 kilometer dari tempat ia duduk sepanjang sepuluh saat dalam kiraan anda tadi? Tentu anda tidak percayakan, malah mungkin juga ada yang mengatakan saya gila kerana berkata demikian......
Sebenarnya itulah yang berlaku dan sedang berlaku sekarang ini. Komputer di depan mata anda termasuk diri anda sendiri sedang bergerak pada kelajuan 30 km sesaat. Tak percaya? Allah telah berfirman dalam surah An Naml :
An Naml ayat 88
Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
1400 tahun yang lalu telah Allah s.w.t. wahyukan kepada Rasulullah s.a.w. mengenai pergerakan bumi yang sangat laju, tetapi baginda dituduh manusia kufur pada ketika itu sebagai orang gila. Tapi siapakah yang sebenarnya gila kini? Si kufur atau Rasulullah s.a.w. bersama orang mukmin itu sendiri? Mereka yang kufur dan engkar ini menolak ayat-ayat Allah yang dibawakan Rasulullah s.a.w. hanya berdasarkan apa yang mereka lihat dan tahu, sedangkan pengetahuan mereka pada ketika itu amatlah cetek.
Komuniti sains dunia, sehingga abad ke 15 masih lagi dibelengu dengan pemahaman songsang bahawa bumi merupakan pusat sistem solar dengan semua objek termasuk matahari, planet-planet lain dan bulan berpaksi dan mengelilingi bumi. Al-Qur’an yang diwahyukan pada abad ke 6 masihi dengan jelas menunjukkan bahawa bumi itu bergerak dan tidak statik sepertimana yang saya petik dalam ayat 88 surah An Naml tadi. Jika gunung-ganang dalam ayat itu dikatakan bergerak laju, ia juga membawa maksud bumi ini yang mana gunung-ganang tersebut sebahagian daripadanya juga bergerak dalam kelajuan yang sama. Gunung-ganang juga ada kalanya bergerak dengan sendirinya hasil kegiatan seismik akibat dari pergerakan kerak bumi yang melepaskan tekanan lalu menghasilkan gempa. Apabila sahaja Rasulullah s.a.w. membawakan berita-berita dan ayat-ayat sebegini, baginda langsung ditertawakan oleh manusia-manusia yang berotak tetapi otaknya digunakan tidak lebih dari bagaimana seekor binatang ternak menggunakannya.
Al A’raf 179
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
Sehinggalah apabila Nicholas Copernicus pada abad ke 15 mengemukakan teori Heliocentric dalam bukunya yang bertajuk De revolutionibus orbium coelestium (On the Revolutions of the Celestial Spheres) (terjemahan ; Berkenaan Pusingan Objek-objek Sfera Angkasalepas).
Komuniti sains dunia seakan-akan terkejut dari lamunan tidur mereka yang lama, yang hanya bergantung kepada teori salah mengenai pusat system solar. Mereka mengambil masa hampir 1000 tahun lamanya untuk beriman dengan fakta sebenar bahawa bumi ini bukan pusat sistem solar. Sikap dan sifat golongan komuniti sains dari Kristian Eropah, iaitu golongan Roman Katolik (gerakan Protestanism sedang membina asasnya pada ketika ini) pada ketika itu yang cuba menafikan apa-apa sumber dari pihak sarjana Muslim, sedangkan hasil karya sarjana-sarjana Muslim menjadi antara rujukan utama mereka. Sikap ini jelas kelihatan apabila mereka hanya mengangkat De revolutionibus orbium coelestium sebagai permulaan Revolusi Sains dunia dengan mengelarkan revolusi tersebut dengan nama Copernican Revolution. Nicholas Copernicus sendiri merujuk hasil-hasil karya sarjana-sarjana Islam seperti Nasir al-Din Tusi, Mo'ayyeduddin Urdi, Ibn al-Shatir, Ibn Batutta dan Ibn Rushd. Tetapi tiada langsung kredit diberikan.
Yang paling menarik mengenai penemuan Nicholas Copernicus ini ialah, pihak gereja Roman Katolik mengharamkan penerbitannya pada 1616 sehinggalah ianya disunting pada 1620. Ini kerana pihak gereja Roman Katolik pada ketika itu mendakwa penemuan Copernicus itu sangat bertentangan dengan kandungan kitab suci mereka iaitu Bible yang mana menurut Bible, bumi itu tidak bergerak. Ini antara bunga-bunga yang memulakan dasar pemisahan komuniti sains dan pihak gereja kerana terlalu banyak percanggahan fakta antara penemuan sains dan cerita-cerita serta kandungan kitab suci Kristian. Bagi pihak gereja pada waktu tersebut, Sains merupakan satu bentuk bidaah sesat yang bertentangan dengan perkataan ‘Tuhan’ mereka. Maka selepas saja Galileo Galilei dikenakan perintah tahanan di rumah seumur hidupnya atas hasil kerja sainsnya, komuniti sains Eropah kemudian dari itu ditindas pihak gereja atas dasar penemuan-penemuan sains sangat bercanggah dengan ajaran Kristian. Pihak gereja menjadi seperti sebuah pemadam api kepada api kemajuan sains pada ketika tersebut.
Berbeza dengan Kristian, Islam pula menjadi catalyst (pemangkin) seperti bahan bakar yang memajukan lagi kelompok sains tanpa ada sebarang percangghannya sehingga kini. Cuma kita kini agak lembab disebabkan sikap kita sendiri yang hanya suka menunggu sesuatu dari
Al-Qur’an juga dengan jelas pada seribu tahun sebelum revolusi Copernicus menyatakan bahawa matahari itu merupakan pusat sistem solar.
Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
Jika bumi tidak berputar, maka bayang-bayang akan menjadi tetap dan tidak bergerak dan semua hidupan pada bahagian bumi yang menghadap matahari akan mati dalam satu jangka masa tertentu akibat dari radiasi UV berlebihan ke atas mereka. Manakala bagi bahagian yang terlindung dari cahaya matahari, mereka mengalami kegelapan selama-lamanya dan juga akan mati dalam jangka waktu tertentu akibat dari kesejukan yang melampau dan kekurangan bekalan oksigen dan makanan kerana tiada tumbuh-tumbuhan dapat hidup pada persekitaran sebegini. Bumi yang berputar dan bergerak mengelilingi matahari menghasilkan perubahan ketara kepada bayang-bayang objek di bumi. Dan matahari menjadi tanda membawa maksud bahawa ia menjadi pusat kepada ‘tawaf’ bumi mengelilinginya sebagaimana ‘hajar aswad’ menjadi petanda bagi mengira bilangan tawaf mengelilingi Kaabah. Sangat menarik apabila melihatkan perbuatan muslim dalam tawaf semasa haji. Cara mereka beribadat sama seperti seluruh makhluk Allah dalam dunia ini beribadat. Elektron-elektron bergerak mengelilingi sebuah nukleus atom zarah dalam pergerakan seperti bertawaf. Bulan pula bergerak mengelilingi bumi sebagaimana pergerakan Muslim bertawaf di Mekah. Bumi pula ‘bertawaf’ di sekeliling matahari sebagai tasbih dan ibadatnya menurut perintah Allah ke atasnya. Matahari pula dengan kekuasaannya ke atas sistem solar ‘bertawaf’ mengelilingi pusat galaksi bimasakti (milkyway) pada kelajuan 300 km sesaat sebagai mematuhi arahan Allah ke atasnya sebagaimana yang sering kita baca dalam Al-Qur’an bahawa makhluk-makhluk Allah termasuk atom, bumi, matahari, bulan dan sebagainya sentiasa bertasbih memuji Allah dan menurut perintahNya pada setiap saat dan masa. Tidak pernah ia lewat walau sesaat dalam mematuhi arahan Allah supaya ‘bertawaf’ secara berterusan sehingga datang perintah terbaru dariNya. Perintah terbaru itu akan datang tidak lama lagi, samada manusia bersedia atau tidak ianya tetap akan datang. Pada ketika Israfil dipanggil memulakan tugasnya yang telah lama dia tunggu, maka terhentilah semua ibadat ‘tawaf’ ini dengan pekikan bingit yang menghancurkan alam. Pada ketika itu, tiadalah guna harta, pangkat, kemewahan, suami isteri, anak pinak dan sebagainya. Ianya diluputkan seperti debu-debu beterbangan. Yang tinggal hanyalah amalan dan keimanan yang akan diungkit satu persatu tanpa sekelumit kecil pun ditinggalkan.
Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.
Dosa-dosa akan dipamerkan kepada semua makhluk yang ada tidak kira suka atau pun tidak. Jika malu di dunia boleh disembunyikan, di akhirat nanti segalanya akan dipertontonkan dan akan disaksikan dosa-dosa kita kepada semua yang kita kenal, seperti suami, isteri, ibubapa kita, datuk nenek kita, sahabat handai kita dan sebagainya. Bersediakah kita untuk dimalukan? Jika tidak, bertaubatlah.. selagi masih di dunia, doa dan taubat di terima Allah tidak kira apa dosa kita. Samada dosa berzina, mabuk, membunuh, memfitnah dan termasuk syirik (terdapat syarat tambahan utk bertaubat dalam dosa2 syirik) akan diampunkan Allah jika kita bertaubat dengan sesungguhnya. Allah tidak memandang seorang penyesal akan dosa yang dilakukannya dengan pandangan jijik, tetapi penuh kasih sayang kerana terdetik dihatinya bahawa apa yang dilakukannya selama ini sangat besar kesalahannya kepada Allah dan manusia lainnya. Allah memandang seorang yang bertaubat dan merayu kepadanya dengan pandang kasih sayang kerana Dialah Al‘Afuwwu (Yang Maha Pemaaf), kerana Dialah Al Ghafoor (Yang Maha Pengampun) dan kerana Dialah At Tawwabu (Yang Maha Menerima Taubat). Dia bukanlah Raja yang menghalau hambaNya yang hina serta yang kotor bergelumang dengan dosa. Pintu rahmatNya sentiasa terbuka bagi yang mengetuknya. Dia telah lama menunggu di situ menunggu kita mengetuknya memohon ampun kepadaNya. Dia sentiasa menunggu kita dengan limpahan Rahmat dan kasih sayangNya. Tetapi kita ini merupakan makhlukNya yang amat sombong dan bongkak. Hanya pintuNya tertutup bagi yang berputus asa dengan rahmatNya.
Jadi kesimpulan dari contoh tadi ialah, penglihatan dan pemerhatian melalui deria adalah tidak mencukupi bagi membolehkan kita menilaikan sesuatu itu sebagaimana ia wujud dan kelihatan. Seperti contoh renungan ke atas komputer anda yang saya nyatakan tadi. Pada zahirnya, memang kita tidak melihat sebarang pergerakan berlaku ke atas objek tersebut. Tetapi hakikatnya, ianya telah bergerak begitu jauh meninggalkan tempat di mana ia berada pada ketika tadi. Hanya yang beriman dengan Al-Qur’an dan ilmu sains sahaja dapat memahami keadaan ini. Sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat melihat pergerakannya kecuali kita melihatnya dengan ‘keimanan’. Contoh yang sama saya muatkan dalam eBook Syahadah saya dengan menggunakan contoh pasu bunga di stesen keretapi yang disuruh kepada watak utama dalam novel tersebut, seorang gadis bernama Rini, untuk merenungkannya sepertimana yang saya buat dalam contoh posting ini. Ini bagi membantu serta meyakinkan bahawa Allah itu hanya boleh dikenali melalui keimanan kita kepada Kitabullah.
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
Contoh kedua ini pula lebih mudah, Cuma saya harap anda semua dapat memaksimumkan saiz ‘window’ video dibawah dengan klik ikon youtubenya kemudia sila tekankan butang ‘play’ untuk merenung kesan ilusi optik bagi membuktikan bahawa, jika kita tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sesuatu itu, maka seluruh deria kita akan cuba menipu kita apabila kita mula hilang fokus.
Kesimpulannya, jika kita memandang dengan mata, mata itu akan menipu kita, jika kita memandang dengan akal dan iman, walaupun mata itu cuba menipu kita, tapi kita tidak akan tertipu kerana kita sudah benar yakin yang titik-titik tersebut tidak hilang, yang hilang hanya pada pandangan, realiti dan iman yang meneguhkan hati kita menyatakan bahawa titik itu tidak hilang biarpun penglihatan menyatkan yang sebaliknya.
Jadi persoalan terakhir sebelum saya menamatkan posting ini ialah... bilakah masanya kita boleh melihat Allah dalam rupabentuk asalNya?
Allah s.w.t. telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya dalam Al-Qur’an bahawa, manusia dan Jinn itu tidak boleh melihatNya.
Al An’aam ayat 103
Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
Setelah semua contoh yang diberikan bagi membangkitkan kefahaman mengenai pentingnya iman sebagai langkah permulaan mengenali Allah, maka seharusnya pada ketika ini, dengan semua contoh yang diberi, kita semua dapat memahami bahawa untuk melihat Allah, ianya memerlukan kita memenuhi beberapa syarat-syarat seperti yang telah Dia tetapkan. Sepertimana contoh seorang astronomer untuk melihat matahari, dia perlu menyediakan pelbagai persiapan bagi membolehkannya memerhatikan matahari tanpa sebarang masalah. Dalam menyediakan kelengkapannya yang berupa teleskop, satelit, filter dan sebagainya, dia juga seharusnya mematuhi beberapa larangan yang tidak boleh langsung baginya untuk melakukannya seperti memerhatikan secara terus matahari tanpa menggunakan filter. Dengan melanggar arahan ini, maka retina matanya akan dibakar oleh teriknya cahaya matahari tersebut dan akan mengakibatkan kebutaan kepadanya.
Begitulah juga dengan prasyarat untuk melihat Allah secara terus. Syarat yang pertama ialah Dua Kalimah Syahadah. Syarat yang kedua ialah membuktikan Ikhlasnya kita dalam Syahadah yang kita ikrarkan dalam syarat yang pertama tadi. Membuktikannya ialah dengan mematuhi segala syarat yang terkandung dalam rukun-rukun Islam dan Rukun-rukun Iman dan meninggalkan segala apa bentuk laranganNya ke atas kita. Syarat yang ketiga ialah mati (bukan dengan cara yang tidak diredhai Allah seperti jalan mencabut nyawa sendiri dan seumpama dengannya) dan dibangkitkan semula untuk dinilaikan sama ada kita benar-benar ikhlas dengan Syahadah yang kita ikrarkan sebelum itu. Hanya itu saja syaratnya. Mudah kan? Tiada yang hidup melainkan yang dihidupkan semula selepas mati dan dinilaikan amal perbuatannya akan mendapat peluang terindah dalam hidup seorang makhluk untuk menghadap dan merenung wajah Penciptanya. Ini seharusnya diingat bahawa tiada manusia atau Jinn yang hidup dapat melihat Allah dalam hayat mereka itu. Ingatlah peringatan ini kerana akan tiba waktunya di satu ketika yang amat sukar dan susah, akan muncul seorang manusia yang berkeupayaan menurunkan hujan, menyuburkan lembah yang mati, mematikan lalu menghidupkan kembali orang yang dibunuhnya, mengembalikan ‘ibu bapa’ kita yang telah mati serta berbagai lagi keajaiban yang mampu dilakukannya dengan izin Allah, dan dia mengakui dirinya sebagai tuhan. Ingatlah, bahawa manusia yang hidup tidak akan sama sekali berpeluang melihat Allah dalam jangka waktu hidupnya melainkan setelah mereka mati dan dihidupkan diakhirat. Manusia tersebut yang berkeupayaan sebegini telah diingatkan oleh setiap Rasul dan Nabi mengenai kemunculannya diakhir zaman nanti. Tiada Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah melainkan bersama mereka satu tugasan mengingatkan manusia tentang kemunculan insan ini. Insan ini namanya Al Masih Dajjal. Kemunculannya tidak lama saja lagi. Dia sudah pun ada di sini dan hanya menunggu masa dan keizinan dari Allah untuk merosakkan menggoyah iman semua yang ada dimuka bumi ini. Sehingga saat itu tiba, hendak kita sentiasa menyediakan segala bentuk kelengkapan, amal serta mendalami ilmu supaya kita tidak akan tergolong dalam golongan yang berjaya disesatkannya. Perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dimain-mainkan. InsyaAllah saya akan membuat satu posting panjang mengenai Dajjal ini. Seperti mana yang pernah disebut, Dajjal akan muncul pada ketika di dunia ini sudah tiada lagi mimbar-mimbar masjid memberikan peringatan mengenai kemunculannya selama lebih setahun. Sepanjang pengamatan saya, selama dua tiga tahun ini, mimbar masjid di kawasan saya juga telah lama menyepi dari peringatan ini. Yang ada hanyalah khutbah-khutbah rethorik yang memperkatakan perkara-perkara yang sangat remeh seperti adab berwuduk dan sebagainya. Jumaat bukanlah gelanggangnya untuk khutbah seumpama itu. Kita sebenarnya sedang merosakkan kekuatan umat kita dengan khutbah-khutbah lullaby sebegini. Khutbah seperti membelai bayi untuk menidurkannya ini seharusnya diperbaiki. Ramai jemaah yang tidur kerana hilang semangat dengan khatib-khatib syok sendiri yang berkhutbah bagaikan berdondang sayang. Sedangkan Allah s.w.t. telah menyediakan platform bagi kita di mana boleh digunakan ‘forum’ Jumaat ini untuk menyampaikan berita-berita serta peluang-peluang menguatkan ummah serta amaran-amaran dan ancaman-ancaman yang sedang dihadapi oleh ummah dikawasan tersebut. Di sinilah semua muslim berkumpul saban minggu tidak kira yang sembahyang cukup lima waktu, atau seminggu sekali, semuanya berkumpul di sini menghulurkan leher mereka untuk dikhutbahkan oleh khatib-khatib ini. Alangkah ruginya kita mensia-siakan platform terbaik yang tidak ada pada sebarang agama lain. Seharusnya disinilah dikhutbahkan dan dibakar semangat anak-anak muda untuk bangkit memajukan ummah dan diberitakan peluang-peluang dan ruang-ruang yang ada bagi mereka memperbaiki diri dan ummah. Sangat merugikan apabila khutbah-khutbah yang ada kini hanya disambut dengan makmun yang saban minit menguap. Saya sangat berharap agar satu ketika nanti, semua khatib-khatib yang berkhutbah memahami apa yang dikutbahkan mereka dan tidaklah semacam blurr di atas mimbar.
Akhir sekali, sebagai berita baik, saya muatkan sebuah petikan dari sebuah hadis yang menyatakan dengan jelas mengenai pertemuan kita dengan Allah diakhirat nanti.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Dapatkah kita melihat Tuhan kelak di hari kiamat?” Tanya Rasulullah s.a.w., “Sulitkah bagi kamu melihat matahari di tengahari yang cerah?” Jawab mereka ,“Tidak!” Tanya Rasulullah s.a.w. ,”Sulitkah bagimu melihat bulan di malam purnama tidak berawan?” Jawab mereka, “Tidak!”, sabda baginda, “Maka demi Allah yang jiwaku berada dalam kuasaNya, kamu tidak akan mendapat kesulitan sedikit jua pun melihat Tuhanmu sebagaimana tidak sulitnya bagimu melihat matahari dan bulan tersebut,"
(Hadis Riwayat Muslim)
Persoalannya, apakah kita layak untuk berada ditempat tersebut sesudah semua amalan kita dinilaikan? Semoga posting ini memberi manfaat kepada anda dan saya juga kerana sepanjang menulisnya, saya mendapat berbagai respons positif dan dalam masa yang sama ilham-ilham baru diberikan Allah kepada saya untuk posting-posting seterusnya. Terima kasih atas sokongan dan dorongan anda... wassalam...
© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.
eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...
Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)