oleh Muhammad Ibn 'Az
Assalamualaikum warahmatullah… Segala Puji Tertentu bagi Allah Tuhan sekelian Alam. Selawat dan salam bagi Rasulullah s.a.w. Saya mulakan posting ini dengan memetik ayat penuh dari surah Al Asr yang sentiasa menjadi retorik di mulut mereka-mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pendakwah dan Muslim yang benar-benar beriman.
Al Asr 1-3
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Mengapa ianya menjadi satu retorik? Saya menyatakannya kerana masih ramai lagi muslim yang diluar sana terutamanya Mat-Mat dan Minah-Minah Forward dan juga dari kalangan pendakwah dan ustaz-ustaz yang masih bermentalitikan matlamat menghalalkan cara. Bagi mereka dakwah itu satu kemestian. Saya puji apa yang mereka percaya ini. Dakwaan mereka lagi tidak apa berdakwah dengan kepalsuan asalkan dapat didekatkan Muslim dan manusia kepada Allah dan Islam. Apakah benar dakwaan mereka? Sedangkan Allah s.w.t. telah dengan jelas menyatakan mereka-mereka yang tidak kerugian hanyalah mereka-mereka yang beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Tidak termasuk dalam kategori dakwah mereka-mereka yang menggunakan bukti-bukti palsu semata-mata untuk meyakinkan manusia dengan ajaran Islam terutamanya perkara-perkara ghaib. Berapa kali sudah saya nyatakan dalam blog satuhala ini, bahawa Islam bukanlah seperti Mossad dan Kristian Evangelist yang memerlukan bukti-bukti palsu semata-mata untuk menarik minat manusia kepada agama mereka. Mereka yang memerlukan bukti-bukti palsu untuk meyakini sesuatu yang Allah s.w.t. nyatakan dalam Al-Qur'an dan melalui Hadis merupakan antara golongan manusia yang mempunyai akal fikiran dan iman yang sangat korup. Yang paling menyedihkan ialah apabila sudah di bawa keterangan dalam penjelasan yang panjang lebar untuk memberi kefahaman kepada mereka, mereka masih lagi seakan tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan kepada mereka. Seolah-olah mereka ini orang-orang celik yang minta dipimpin untuk melintas jalan.
Shoutbox blog ini terkadang diisi juga oleh komen-komen yang selayaknya ditongsampahkan, dan itulah yang dilakukan saya. Kekadang saya membiarkan juga komen-komen seperti itu terpampang dalam shoutbox bagi pelawat laman ini dapat menyaksikan sendiri bagaimana akal-akal hamba-hamba Allah ini berfungsi. Itulah antara bukti kebesaran Allah. Dia menciptakan makhluk-makhlukNya dengan berbeza keupayaan akal. Ada yang bijak, ada yang bila disampaikan kepadanya terus saja dia faham, ada juga yang apabila disampaikan kepadanya diperlukannya lagi penjelasan supaya dapat dia faham. Golongan ini bagi saya merupakan golongan yang benar-benar ingin mencari kebenaran, ilmu dan hidayah. Tidak kisah lah berapa kali penjelasan harus dibuat sekiranya mereka ini ikhlas dalam mengejar ilmu.
Tetapi yang paling menyedihkan ialah golongan yang berkali-kali diberitahukan serta dijelaskan kepada mereka sesuatu isu, mereka masih lagi bertekad dengan kefahaman songsang dan sesetengah daripadanya seakan-akan tidak pernah mahu mengambil pengajaran disebabkan taksub dengan fahaman masing-masing. Ada juga golongan yang seakan-akan masuk ke sini dan tidak pernah membaca isikandungannya lantas membuat kesimpulan dan pertanyaan kelabu hanya berdasarkan prejudis dan kemalasan minda mereka. Untuk dilayan, ia hanyalah membuang masa. Biarkanlah, ramai lagi yang ingin mengambil pengajaran dan mereka inilah yang seharusnya diutamakan. Cukup setakat ini, pada kali ini saya ingin berkongsi maklumat dan cerita bagi mereka-mereka yang ingin mengambil pengajaran dan mengamalkan apa yang dipelajari. Harapan saya, apa yang saya sampaikan serta usahakan disini akan memberi manfaat kepada saudara-saudara Muslim dan bukan Muslim diluar sana.
Kali ini, saya ingin mengupas suatu isu yang bagi saya ianya sering terbit dalam kata hati mana-mana manusia yang berakal fikiran. Setiap manusia yang berakal pasti akan bertanyakan persoalan ini. Apakah Tuhan itu wujud dan dapatkah kita melihatNya? Saya sudah menjelaskan perkara ini dalam eBook Syahadah saya dengan mendalam, begitu juga dengan dialog saya dengan beberapa orang bukan Islam dan 'Islam' yang menolak agama berdasarkan kenyataan bahawa mereka tidak mahu menyembah Tuhan yang tidak dapat mereka lihat dan buktikan yang Dia wujud. Setiap kali persoalan sebegini dikemukakan, setiap kali itulah saya mendapat satu dua ilham untuk cuba membantu menjawab dengan jawapan yang berlainan tetapi menuju maksud yang sama. Pertama kali saya diajukan pertanyaan seumpama ini ialah pada ketika saya bekerja part time, mengumpul duit untuk membeli gitar akustik sewaktu masih lagi menuntut ITM. Muzik menjadi kegilaan saya waktu itu. Pada ketika tersebut saya bekerja bersama dengan rakan saya yang saya kenal sudah hampir 20 tahun. Masing-masing student. Dia mengambil jurusan Undang-Undang di UKM dan saya pula waktu itu mengambil Dip. Kejuruteraan Elektronik di ITM (sekarang UiTM). Kami bekerja dalam satu kumpulan yang terdiri dari beberapa individu berlainan bangsa dan agama. Terdapat seorang pemuda Cina yang agak rapat dengan kami pada waktu tersebut. Dia juga waktu itu student dari UTM. Oleh kerana waktu itu, kami bekerja dalam bulan puasa, pada setiap waktu rehat tengahari saya bersama rakan saya akan pergi ke kawasan gudang syarikat tersebut untuk berehat dan menunaikan solat. Cuma yang tidak kami sedari ialah pergerakan kami sering diperhatikan oleh pemuda Cina terbabit. Suatu hari, mungkin kerana desakan perasaan ingin tahunya, dia mengekori kami yang pergi menunaikan solat di kawasan gudang tersebut.
Kehadirannya hanya kami sedari selepas habis bersolat. Terkejut dengan kehadirannya, saya bertanyakan kepadanya apakah dia sudah makan atau pun belum. Jawapannya membuatkan saya dan rakan saya terkejut sekali lagi. Dia memberitahu saya dia belum makan. Apabila ditanyakan kepadanya apakah dia tidak cukup wang untuk membeli makanan, dia menyatakan bahawa dia ada wang yang cukup, cuma sengaja dia pada hari tersebut tak mahu makan. Bila ditanyakan motifnya, dia berkata dia sedang bereksperimen untuk merasa apakah yang dirasai oleh orang-orang yang berpuasa dan bekerja pada hari yang sama. Rakan saya bertanyakan pula bagaimana rasanya menahan lapar, dia menjawab sedikit meletihkan tetapi fikirannya terasa segar. Kemudian si pemuda Cina tersebut bertanyakan pula kepada kami apa yang kami lakukan tadi. Kami nyatakan kepadanya bahawa kami bersolat. Dia menyatakan yang dia tahu apa yang kami lakukan, tapi persoalannya kenapa di sini iaitu di gudang syarikat tidak di surau sahaja. Oleh kerana kami sebagai pekerja sementara dengan kontrak pendek dengan syarikat tersebut, maka banyak daripada kawasan dalam syarikat itu menjadi kawasan larangan bagi kami. Kawasan iu termasuk juga surau yang disediakan. Jadi bagi menjalankan tanggungjawab kami atas perintah Allah ini, maka kawasan gudang yang sunyi tersebut menjadi tempat bagi kami bersolat. Beralaskan kotak, rukun Islam kedua tersebut ditunaikan. Mendengar penjelasan tersebut, pemuda Cina itu hanya tersenyum seakan faham. Kemudian kami bersembang dengannya mengenai berbagai perkara mengenai dunia dan sesekali menyentuh mengenai agama. Hinggalah pada ketika si pemuda Cina ini mengeluarkan satu soalan yang tidak pernah terjangka kami dia menuturkannya. Oleh kerana Faizal yang menjadi imam kepada solat tadi, pemuda Cina tersebut bertanyakan kepadanya, 'Faizal, you sembahyang tuhan apa?' Faizal, rakan baik saya tersebut yang kini merupakan Kapten dalam Tentera Udara setelah dia meninggalkan bidang guaman mengejar minatnya dengan bidang ketenteraan, hanya sekadar menjawab Allah. Seakan jawapan tersebut tidak memuaskan hati, si pemuda Cina tersebut bertanyakan kembali, ‘Mengapa sembah Dinding jika Allah tuhan awak?’ Mungkin disebabkan tiada pengetahuan dia bertanyakan soalan sedemikian. Lalu saya memberitahu padanya bukan dinding yang kami sembah, tapi Allah.
Dia bertanyakan lagi, mana dia Allah, yang nampak hanya dinding sewaktu kami sujud dalam solat jemaah tadi. Untuk memastikan dia tidak keliru, rakan saya menyatakan bahawa Allah tidak dapat dilihat, yang kami lakukan sebentar tadi cuma melakukan apa yang diperintahkan Allah s.w.t. Solat boleh dilakukan dimana saja asalkan tempat tersebut bersih, tak kiralah samada ada dindind ataupun tidak, malah di tempat lapang sekalipun soalat boleh dikerjakan. Pemuda Cina itu masih sangsi lalu dia bertanyakan satu lagi soalan, jika Allah tak boleh dilihat, siapa Allah yang kami bayangkan sewaktu solat. Sebelum menjawab soalannya, saya bertanyakan dia dulu apa agama yang dianutinya. Dia hanya menjawab freethinker. Bapanya Cina Kristian yang Kristiannya hanya pada nama, manakala ibunya Tao. Bila ditanyakan dia cenderung ke arah mana, dia hanya menyatakan bahawa dia hanya mengikut saja. Bila saya tanyakan pernah tak dia sembahyang, dia hanya menjawab ‘Occassionally’, hanya mengikut keadaan. Dia juga menyatakan dia bersembahyang di semua tempat mengikut ke mana saja ibunya pergi termasuk kuil-kuil Hindu. Jadi jelas bagaimana jawapan harus diberikan kepadanya. Saya menerangkan kepadanya bahawa bukan Allah yang kami bayangkan dilihat dalam solat, tapi setiap kali dalam solat, kami mengingatkan diri kami bahawa kami sedang diperhatikan Allah. Dia kemudian bertanya, bagaimana boleh bagi tumpuan jika keadaannya sebegitu, rakan saya menjawab, tumpuan atau khusyuk itu datang apabila kita faham apa yang kita baca dalam solat. Setiap pergerakan solat itu mengandungi doa-doa kita kepada Allah. Dia yang masih kebingungan, menyatakan lebih senang dia fahami jika yang disembah dapat dibayangkan, dia berikan berhala sebagai contoh. Katanya, jika rupa tuhan kita kenal, maka lebih senang untuk khusyuk dan yakin yang tuhan itu ada di depan kita. Saya kemudiannya bertanyakan kepadanya apakah benar apa saja yang kita dapat lihat itu semuanya wujud termasuk berhala yang dia jadikan contoh tersebut?
Dia lalu menyatakan bahawa berhala tersebut cuma manifestasi kewujudan tuhan yang dijelmakan dalam bentuk ukiran patung bagi memudahkan penganut-penganut agama tertentu mencapai kekhusyukan dalam berdoa kepada tuhan. Katanya lagi, ianya perlu kerana hanya para swami dan pundit-pundit sahaja mempunyai keupayaan khusyuk dalam berdoa dan tidak memerlukan berhala untuk membayangkan tuhan-tuhan mereka. Bagi orang biasa, mereka masih lagi memerlukan berhala-berhala untuk menguatkan ingatan mereka terhadap tuhan-tuhan tersebut dalam sembahyang mereka. Cuma satu perkara yang dia sangat tidak berkenan ialah terlalu banyak tuhan yang harus disembah dan setiap satu tuhan hanya akan melayan doa dalam bidang kuasanya. Baginya, perkara sedemikian itu sedikit menyusahkan. Lalu ia bertanyakan kembali, apakah hanya Allah sahaja yang orang Islam sembah? Lalu saya menjelaskan bahawa, memang hanya Allah sahaja selayaknya di sembah dan tiada tuhan lain. Berdasarkan jawapan saya ini, dia meminta saya memperkenalkan Allah kepadanya. Oleh kerana waktu tersebut pengetahuan agama kami sendiri tidak cukup untuk menceritakan kepadanya dengan tepat Siapa itu Allah, maka kami hanya menceritakan tentang sifat-sifat Allah dan beberapa AsmaNya (namaNya) yang kami tahu. Bila diterangkan nama-nama Allah tersebut kepadanya dia menjadi bertambah keliru. Lalu dia bertanyakan kepada kami satu lagi soalan, jika tadi kami mengatakan Allah itu satu kenapa pula sekarang kami menyatakan Allah mempunyai banyak nama. Apa perlu Allah mempunyai berbagai nama sekiranya Dia hanya Yang Esa iaitu Tunggal dan Satu. Lalu saya pun memberikannya beberapa contoh yang agak mudah untuk dia memahaminya, saya memberikan contoh termudah iaitu Tunku Abdul Rahman. Jika disebutkan Tunku Abdul Rahman, tentu saja kita terbayangkan susuk raut dan tubuh seorang berkacamata, bersongkok dan serupa dengan gambar-gambarnya yang pernah kita lihat. Jika disebut pula Perdana Menteri Malaysia Yang pertama, tentulah wajah yang sama terbayang difikiran kita iaitu Tunku Abdul Rahman juga. Jika disebut pula dengan nama Bapa Kemerdekaan, tiada wajah lain yang terbayang melainkan merujuk kepada orang dan personaliti yang sama. Semua nama-nama yang diberikan ini merujuk kepada orang yang sama. Tidak pernah sekalipun apabila disebutkan orang Bapa Kemerdekaan atau Perdana Menteri Malaysia yang pertama, kita membayangkan individu lain selain dari Tunku Abdul Rahman. Begitu juga dengan Allah s.w.t., semua nama-namaNya yang indah yang 99 nama kesemuanya menggambarkan kepada Allah yang Maha Esa. Nama-namaNya itu sesuai dengan keagungan dan kehebatanNya. Ianya tidak merujuk kepada selain daripadaNya. Sama macam contoh Tunku Abdul Rahman yang saya berikan kepadanya tadi. Syukur dia faham akan penjelasan tersebut.
Lalu timbul satu lagi soalan maut daripadanya, jika demikianlah penjelasan saya, maka benarlah konsep Trinity dalam Kristian yang dia sangsikan selama ini. Dia menyatakan kepada saya, dia agak keliru dengan konsep Trinity sebelum ini, tetapi setelah mendengar penjelasan saya berkenaan nama-nama Allah tadi, dia seakan dapat memahami konsep Trinity dalam Kristian. Masya Allah! Selesai satu masalah timbul satu masalah lain pula. Saya menjelaskan kepadanya kembali bahawa konsep Trinity itu tak sama dengan penerangan saya mengenai nama-nama Allah tersebut. Lalu dia bertanyakan kembali kepada saya kenapa pula saya cakap macam tu sedangkan Jesus Christ itu satu manifestasi Tuhan, Holy Ghost (Ruhul Quddus) itu juga satu manifestasi Tuhan dan Tuhan Bapa juga sebagai manifestasi Tuhan dan ketiga-tiganya merupakan Tuhan yang satu dalam pergabungan mereka. Menurutnya ketiga-tiganya tidak merujuk kepada yang lain selain kepada Tuhan yang sama. Apa yang dinyatakannya membuatkan kami semua keliru kembali. Saya pun bertanyakan kepadanya bagaimana 3 personaliti tersebut boleh dikatakannya sebagai satu? Dia kemudianya memberikan contoh yang saya berikan tadi, sama juga macam kenyataan saya yang menyatakan 99 nama Allah itu merujuk kepada Allah Yang Satu, maka samalah juga dengan Konsep Trinity di mana ketiga-tiganya dalam fahaman tersebut merujuk Tuhan Yang satu dalam pergabungan mereka. Akhirnya Allah s.w.t. menyelamatkan kami dalam situasi tersebut dengan membuka minda saya yang agak terkejut dengan sabitannya mengenai Trinity dengan konsep 99 nama-nama Allah dengan hujah berikut. Saya kembali teringat kepada ceramah Sheikh Ahmed Deedat (semoga Allah merahmatinya atas segala usaha yang dia lakukan dalam memperjuangkan Islam melalui jalan hikmah dan intelektualism) yang pernah saya tonton dari video yang di pinjam dari suami sepupu saya, seorang mualaf yang kembali ke Islam dari agama asalnya Hindu. Lalu saya menggunakan satu hujah yang pernah digunakan Sheikh Ahmed Deedat dalam debat-debatnya dengan penganut-penganut Kristian. Saya pun kembali menggunakan contoh Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang saya nyatakan sebagai contoh tadi untuk dibuat hujah yang menyatakan Konsep Trinity itu tidak sama dengan konsep 99 nama-nama Allah. Lalu saya bertanyakan kepadanya, apabila di sebut nama Tunku Abdul Rahman, siapa yang terbayang pada fikirannya. Dia menjawab tentulah gambaran raut wajah tunku Abdul Rahman yang terbayang. Begitu juga dengan pertanyaan saya yang menyusul iaitu siapa yang dia bayangkan apabila disebutkan kepadanya Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan Bapa Kemerdekaan Malaysia, dia menjawab gambaran Tunku Abdul Rahman yang sama. Sebagai contoh saya sertakan grafik di bawah bagi memudahkan kefahaman anda tentang apa yang sedang saya cuba jelaskan kepadanya.
Kemudian saya tanyakan kepadanya siapa yang dia bayangkan bila disebut nama Jesus Christ, dia menjawab bahawa gambaran seorang pemuda berbangsa Yahudi dengan hidung mancung serta rambut yang ikal tergambar di fikirannya. Bila bertanyakan kepadanya apa yang dia bayangkan jika disebutkannya sebagai Holy Ghost, dia hanya berkata gambaran samar-samar tubuh badan seorang lelaki seakan-akan roh, tetapi kebanyakan kali daripadanya dia bayangkan seekor burung merpati putih yang sering digunakan dalam illustrasi-illustrasi gereja untuk menggambarkan Holy Ghost. Bila ditanyakan kepadanya siapa yang dia bayangkan apabila disebutkan kepadanya Tuhan Bapa (God the Father), dia membayang seraut wajah orang tua yang masih gagah dalam imej seperti manusia sebagaimana yang disebut dalam Bible, Book of Genesis 1 : 27 So God created man in his own image, in the image of God created he him; male and female created he them. (terjemahannya 1:27 Maka Tuhan menciptakan manusia itu menurut rupabentukNya, menurut rupabentuk Tuhan diciptakan-Nya dia; laki-laki dan perempuan diciptakan-Nya mereka.) Bagi memudahkan anda memahami apa yang dibayangkannya, saya sertakan di bawah ini gambar yang dipetik dari illustrasi-illustrasi gereja yang menggambarkan Trinity ini.
Lalu saya nyatakan kepadanya, bahawa bukankah ianya sangat berbeza dengan contoh Tunku Abdul Rahman yang saya berikan tadi. Dalam contoh Allahyarham Tunku Abdul Rahman, ketiga-tiga nama panggilannya membawa kepada hanya satu individu. Tetapi nama-nama dalam konsep Trinity, merujuk kepada individu-individu berbeza, masakan sama antara kedua-dua konsep tersebut? Sangat besar jurang perbezaanya. Hujah ini membuatkan pemuda Cina tersebut kembali keliru. Kemudian, dia berkata, sekurang-kurangnya dalam semua konsep agama lain imej Tuhan jelas dinyatakan dan digambarkan tetapi tidak pula dalam Islam. Pertanyaannya lagi, jadi bagaimana untuk umat Islam yakin dengan Allah sekiranya mereka tidak pernah langsung melihatNya atau pernah mengenali imejNya? Saya nyatakan kepadanya bahawa semua orang mukmin mengenali Allah tanpa perlu melihat kepadaNya. Saya nyatakan lagi bahawa semua mukmin tidak perlukan imej Allah untuk yakin dan beriman kepada Allah. Lalu pemuda itu mengajukan satu lagi permintaan, ‘Boleh awak buktikan apa yang awak katakan itu betul? Apakah benar mukmin tidak perlukan itu semua untuk beriman kepada Allah?’
Sebahagian kisah ini telah saya olahkan dan masukkan dalam eNovel saya Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist (kini sudah diterbitkan dengan tajuk Syahadah Gadis Ateis dan akan memasuki pasaran tidak lama lagi.. klik untuk info) yang merupakan sebuah kompilasi pengalaman dan semua peristiwa yang terjadi kepada saya sepanjang sepuluh tahun ini bermula dengan pertemuan saya dengan pemuda Cina ini, diikuti oleh dialog saya dengan seorang gadis melayu yang mempunyai masalah dengan agamanya dan banyak dialog saya dengan rakan-rakan bukan Islam dan Islam yang lain serta jawapan-jawapan saya terhadap kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap Islam. Semuanya saya olahkan menjadi sebuah novel berasaskan cerita-cerita dan pengalaman-pengalaman ini. Boleh dapatkannya sekiranya berminat dengan klik banner jualanya di bawah ini.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.
eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...
Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)