Sunday, July 21, 2013

Kisah 4 Pemuda, Pencuri dan Pintu Pagar

6
Oleh : M.I.A/Imran Haaz

Ini sebuah kisah kiasan yang direkasaya kerana melihat kecenderungan gaya berfikir sesetengah dari kita yang gagal mengetahui secara tepat bagaimana untuk menentukan keutamaan di dalam mengambil tindakan. Ia sebuah kisah khayal tetapi mempunyai cerminan di dalam realiti masa yang sedang kita harungi pada waktu ini. Tiada haiwan yang dicederakan di dalam pembikinan cerita ini. Jika haiwan tidak diapa-apakan, apatah lagi insan yang seharusnya mempunyai tingkat keupayaan akal yang berkali ganda lebih tinggi. Jika ada pun yang tercedera di dalam pembikinan kisah fiktif ini, mungkin mereka dari golongan hibrid yang sentiasa dirujuk sebagai binatang politik.

Mereka insan, tetapi berkelakuan seperti haiwan bila syahwat dunia mereka menguasai organ perut dan kelamin. Penampilan zahir mereka bagai malaikat baru turun dari langit. Tetapi sisi pemikiran dan batin mereka, persis haiwan yang tidak mengenal sempadan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh diperlakukan.

Maaf jika penulisan ini bernuansa fiktif dan tidak serius seperti selalunya. Ini kerana dapatan dari pemerhatian yang dijalankan, berhadapan dengan umat yang selama ini disogokkan dengan candu serta khayal hiburan, hatta di dalam kuliah-kuliah agama, maka terpaksalah sedikit candu fiktif pemikiran dimasukkan bagi memudahkan proses untuk menelan. Junkie khayal tidak mahu berfikir tanpa dorongon bahan. Bagi yang mampu menyaring, saringlah sehingga kontang. Apa yang tinggal itulah pati sebenar yang mahu disampaikan.

Kisah terjadi di sebuah kampung terpencil. Jauh dari perhatian manusia lainnya. Sebuah kampung yang sentiasa damai dan harmoni sehinggakan penduduknya sering lupa bahawa damai tidak semestinya menjanjikan ketenangan yang berpanjangan. Terlalu lama hidup di dalam damai, mereka kerap kali terlupa dengan ancaman-ancaman yang mungkin datang mengetuk pintu secara mengejut pada bila-bila masa. 

Proses alami menjadikan mereka tidak mahu untuk bersedia menghadapi hari-hari berisiko. Faktor masa damai yang terlalu panjang menjadikan mereka leka dan sentiasa menduga bahawa semua manusia itu sama sifat dan perangai seperti wajah yang berkeliling kepada mereka.

Sebuah rumah didiami empat pemuda. Masih bujang. Memilih untuk berkongsi kediaman bersama bukan bermaksud mereka dari golongan penyondol pintu belakang. Itu harus ditekankan di dalam era jantan mengancam kehormatan jantan lain di tandas-tandas awam. Apa? Fiktif ini bernuansa homophobic? Suka hatilah. Apa kebebasan bersuara hanya terpakai kepada luncuran lisan dan penulisan dengan senandung budaya binatang? Gelarkan apa saja, homophobic, anti homoseksual dan sebagainya, itu lebih disukai dari merekodkan diri bersetuju dengan perbuatan yang memudaratkan kemanusiaan itu sendiri.

Rumah mereka dipagar pagar kayu yang semakin lusuh kekuatannya. Doktrin kampung yang sentiasa damai menyebabkan tiada siapa ambil peduli  tentang kekukuhan benteng pertama rumah tersebut dari pencerobohan. Jubela, Jubelo, Jubelom dan Ahmad. Ke empat-empat mereka, manusia tipikal biasa. Indoktrinasi proses pemikiran mereka berlansung tanpa kawalan sedar mereka. Kecuali Ahmad yang sentiasa kembali merujuk kepada dua yang ditinggal Nabi, akal fikiran mereka yang selebihnya dibentuk melalui proses persepsi tanpa observasi yang lantas diterjemah menjadi budaya perlakuan yang membentuk diri mereka sebagaimana siapanya mereka pada hari ini. Bila sampai takdir berlaku, ia akan berlaku. Lalu dicerobohi kediaman aman tersebut oleh empat orang penceroboh.

Jubela, Jubelo, Jubelom dan Ahmad sedar rumah mereka dicerobohi. Lalu mereka mengungsi ke sebuah bilik kecil yang selamat dan mengunci diri di dalam. Mereka ada situasi. Situasi yang memerlukan mereka perlu berfikir tentang pelan tindakan yang paling wajar pada ketika itu. Mereka tidak pasti samada penceroboh-penceroboh itu bersenjata atau pun tidak. Mereka nampak melalui celahan lubang, pencuri-pencuri itu berfizikal besar dan sedang berlegar-legar di dalam rumah. Lalu mereka berbincang sesama mereka tentang apa yang perlu dilakukan segera. Baru sahaja membuka mulut, sudah tercetus argumen pertama.

Apakah mereka yang memasuki rumah tersebut itu pencuri atau pun tidak? Tanya Jubela. Jubelo menjawab ya. Jubelom hanya ternga-nga. Ahmad pula berkata selagi mereka tidak meninggalkan rumahtersebut dengan barangan yang bukan milik mereka, mereka tidak boleh dirujuk sebagai pencuri. Mereka membuang masa di situ dengan argumentasi yang tidak kena pada tempat dan masa. Masa untuk bertindak semakin suntuk. 

Banyak masa terbuang sedangkan situasi tersebut memerlukan tindakan. Lalu Ahmad mencadangkan supaya mereka melupakan perkara tersebut. Ia bukannya perkara penting untuk dibincangkan pada masa itu. 

Keutamaan yang perlu dibincangkan pada masa ini ialah untuk mengambil tindakan.  Sila berikan cadangan masing-masing. Itu permintaan Ahmad.

Cadangan Pertama : Sampaikan Keindahan Islam
Jubela, dengan bulatan halo bersinar di atas kepala mencadangkan, mereka keluar kepada penceroboh tersebut dan memberikan nasihat yang baik. Kebaikan Islam perlu ditonjolkan kepada penceroboh tersebut. Pasti mereka akan tertawan dengan sikap baik yang ditonjolkan. Kebenaran Islam perlu disampaikan kepada mereka. Bukankah Islam itu cenderung kepada bersikap baik? Itu tanya Jubela. Ya, jawab Ahmad.

Tetapi, Ahmad menjelaskan, kebaikan yang mahu ditonjolkan harus bertempat dan kena pada situasinya. Semua di dalam Islam ialah untuk kebaikan. Tiada yang tidak baik di dalam Islam. Menyempitkan sisi kebaikan Islam kepada HANYA penonjolan perbuatan bermanis mulut, bercakap tentang rahmat dan pahala serta balasan syurga pada masa dan waktu yang salah ialah satu perkara yang malang yang telah menimpa dan merasuk pemikiran umat Islam pada masa sekarang.  Mereka tidak nampak bahawa sisi ketegasan undang-undang Islam sebagai satu kebaikan yang harus ditonjolkan apabila kena pada masanya. Mereka tidak nampak sisi bertindak tegas dan pantas dan terkadang keras sebagai satu sisi kebaikan Islam yang perlu ditonjolkan apabila kena pada gaya dan masa ia diperlukan.

Bukankah, sistem perundangan serta tindakan pantas membendung kekacauan dan mudarat di dalam Islam juga untuk kebaikan? Bukankah Islam itu syumul. Apakah kebaikan itu hanya mampu ditafsirkan dengan berjalan terkepit, dengan kedua tangan digayakan seperti kumpulan nasyid sedang membuat persembahan dan lisan diperhias flora bahasa dengan intonasi mendatar rendah sahaja? Inilah sempitan pemikiran umat Islam yang kini menjadi rebakan penyakit di dalam masyarakat. Mereka ingin jadi baik tidak bertempat. 

Sedangkan sisi tindakan tegas, pantas dan terkadang keras itu juga adalah sisi kebaikan Islam yang perlu ditonjolkan bila kena gaya dan masa ianya diperlukan. Jubela diceramahkan Ahmad. Ahmad mendapati sisi lojik dalam menentukan keutamaan di dalam penentuan mengambil tindakan di dalam pemproses pemikiran Jubela didapati rosak. Cadangan Jubela bukanlah salah, tetapi diberikan pada masa yang salah dan situasi salah. Dalam situasi perompak ganas sudah pun berada di dalam rumah, Islam juga ada sisi kebaikan untuk kedua pihak, iaitu hak untuk mangsa dan pemangsa.

Giliran Jubelo memberikan cadangan.

Cadangan Kedua : Keluar mendedahkan diri dan belasah penceroboh tersebut
Jubelo terkenal dengan tindakan keras. Seorang yang baran dan hanya boleh bersabar ketika berdengkur tidur . Dia mencadangkan supaya mereka keluar membelasah ke empat-empat penceroboh tersebut. Empat lawan empat, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Ke semua mereka menempelak Jubelo. Ini merupakan tindakan tidak masuk akal, kecuali apabila berada di dalam situasi diserang, benar-benar terancam dan terdedah kepada tindakan yang memudaratkan. Dengan menyerang perompak tanpa mereka menyerang, mereka pastinya telah menjalankan tindakan mendahului keperluan untuk berbuat demikian. Situasi tersebut masih kabur samada mereka yang menceroboh tersebut, silap masuk atau sebarang alasan lain yang mungkin menyebabkan mereka memasuki rumah tersebut.

Di dalam Islam, seorang perompak atau pencuri, tidak akan dikenakan tuduhan mencuri atau merompak selagi dia tidak meninggalkan kawasan yang dicerobohnya dengan barang curi. Dia tidak akan dihukum dengan had Allah sekiranya beberapa perkara berikut tidak memenuhi hak-hak mereka untuk dihukum dengan had Allah. Pertama, mereka seharusnya tahu dan faham bahawa kesalahan yang dilakukan itu akan dihukum dengan had Allah. 

Kedua, barang yang dicuri atau dirompak mempunyai nilai material tidak kurang dari satu per empat dinar serta bukan barang-barang yang cepat rosak seperti daging, buah-buahan dan makanan yang tidak tetap. Juga tidak dihukum dengan had Allah sekiranya yang dicuri ialah tanah, racun, burung, minuman keras, alat muzik dan seumpamanya. 

Ketiga, sekiranya perompakan atau pencurian itu berlaku atas desakan survival hidup dan nyawa, hukuman had kepada mereka akan digugurkan serta diganti dengan hukuman yang lebih ringan. 

Ke empat, sekiranya pencurian dan perompakan itu dilakukan di dalam situasi kacau bilau, order sosial yang runtuh seperti di Mesir dan Syria, dalam keadaan kebuluran dan kemarau, serta situasi di mana kehidupan normal dengan batasan manusia-manusia yang menghormati undang-undang semakin terhakis, maka had hukuman digugurkan dan digantikan dengan hukuman yang lebih ringan.

Ke lima, pencurian dan perompakan dilakukanke atas premis yang menggoda mereka untuk melakukan perompakan. Maksudnya, sebuah premis yang tidak dilindungi dengan pertahanan keselamatan yang cukup untuk menyampaikan mesej kepada bakal-bakal perompak bahawa pemilik serius mahu melindungi barang milikannya. Merompak beg tangan yang ditinggalkan di dalam raga motosikal, mencuri emas di dalam rumah yang tidak berkunci, membiarkan tingkap rumah terbuka dan meletakkan barang-barang berharga pada tempat yang tidak sepatutnya ia berada, jika semua perkara ini dan seumpama dengannnya dilakukan, had untuk memotong tangan perompak atau pencuri tersebut digugurkan kerana pemilik telah menggoda si pencuri dan perompak untuk melakukan jenayah. Mereka akan dihukum dengan hukuman yang lebih ringan kerana kesalahan diletakkan di atas bahu pemilik dan perompak kerana membiarkan perkara tersebut berlaku. 

Ke enam, perompak yang merompak harta yang dimiliki oleh baitulmal, kerajaan, hasil percukaian, khazanah Negara dan seumpamanya. Had digugurkan kerana perompak yang merompak harta yang mana sebahagian dari harta tersebut juga ditafsirkan sebagai bercampur miliknya kerana hak Negara adalah dimiliki oleh rakyat. 

Ke tujuh, tidak dikenakan had jika mencuri barang milik orang yang mempunyai hubungan nasab (kekeluargaan). Kerana berkemungkinan dia juga masih mempunyai sejumlah hak ke atas barang yang dicurinya. 

Ada beberapa perkara lagi yang boleh menggugurkan hak untuk dijalankan had potong tangan ke atas pencuri dan perompak tersebut, tetapi yang paling utama seperti apa yang disebutkan di atas.

Dengan mengambil nasihat Jubelo untuk terus menyerbu serta membelasah dan mencederakan penceroboh, mereka telah melakukan suatu perkara di luar batas keperluan untuk berbuat demikian. Mereka selamat di dalam bilik tersebut dan tidak perlu mendedahkan kedudukan mereka. Benar kedudukan mereka di dalam situasi darurat, tetapi mereka tidak boleh bertindak menafsirkan keadaan darurat mereka melebihi keadaan situasi sebenar. Menurut Dr. Wahbah Az Zuhaily, al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuh, menangani situasi darurat hendaklah ditentukan dengan tindakan yang wajar dan menepati kadarnya yang diperlukan sahaja (iaitu tidak berlebih-lebihan). Di dalam sistem Islam, kita mempunyai cukup panduan untuk menangani semua situasi dari keadaan paling aman hingga paling mudarat. Apa yang perlu ialah, kita tahu menggunakan panduan ini sesuai dengan situasi yang sedang dihadapi.

Cadangan Ketiga : Keluar Memperbaiki Pagar
Jubelom cuba bertindak ala Einstein. Dia menjelaskan kepada ke semua mereka bahawa tindakan penceroboh itu memasuki rumah mereka adalah berpunca dari pagar rumah mereka yang rosak. Ia sudah lama dibiarkan rosak tanpa diperbaiki. Jadi masalah pencerobohan ini adalah berpunca dari pagar yang rosak tersebut. Lalu dengan rambut yang dikusutkannya seperti Einstein, dia memberikan cadangan berikut. Mereka berempat perlu keluar segera untuk memperbaiki pagar rumah. Tinggalkan sahaja penceroboh di dalam rumah. Memperbaiki pagar itu harus diutamakan pada ketika itu.

Ke semua mereka memandang wajah Jubelom dengan rasa pelik. Jika cadangan itu diberikan seminggu lebih awal, mungkin masih lojik untuk menerimanya dan melakukan tindakan pembaikan. Ataupun cadangan tersebut diberikan selepas semua penceroboh itu meninggalkan rumah, ia masih lojik untuk dijalankan kerana tindaka itu akan menghalang sebarang bentuk pencerobohan dilakukan pada masa hadapan. Tetapi, cadangan itu amatlah tidak praktikal ketika penceroboh sedang berada di dalam rumah, dan mereka sendiri terperangkap di dalam situasi yang memerlukan mereka bertindak bijak.

Lalu cadangan tersebut ditolak. Ia cadangan yang baik dan benar tetapi tidak kena pada situasi, tempat dan masa.

Cadangan Ketiga : Telefon Polis
Melihat kecanggungan pemikiran sahabat-sahabatnya, Ahmad bertanyakan kepada ke semua mereka, kenapa tidak ada seorang pun daripada mereka mencadangkan supaya pihak berkuasa dihubungi. Ini bukan tahun 80 ‘an di mana penceroboh boleh memotong wayar telefon rumah. Ke semua mereka memiliki telefon bimbit bersama mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah mendail nombor kecemasan dan melaporkan situasi tersebut kemudian tunggu sehingga polis datang menguruskan situasi.

Dalam keadaan ini, mereka selamat serta tindakan mereka juga tidak akan menyebabkan mereka berada di dalam situasi yang mengancam keselamatan. Penceroboh-penceroboh tersebut juga akan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan untuk diberikan hak dan keadilan ke atas perlakuan mereka.
Ke semua akhirnya diam dan bersetuju. Secara lojik ia tindakan yang tepat dengan situasi.

Apa yang berlaku kepada Jubela, Jubelo, Jubelom dan Ahmad merupakan satu cerminan kepada pemerhatian komen-komen manusia yang memberi reaksi kepada perlakuan pasangan Alvavi kerana menghina Islam. Semua cuba memberikan pendapat mereka. Tetapi kebanyakannya tidak kena dengan situasi yang sedang dihadapi.

Ada yang mencadangkan ditunjukkan kebaikan Islam dengan menyampaikan Islam dengan santun kepada pasangan ini. Sedangkan pasangan ini telah didekati dengan santun sejak kes gambar lucah disebarkan mereka sejak tahun lepas lagi. Mereka sudah diberikan penjelasan tentang sensitiviti, aspek perundangan serta kesan tindakan mereka ke atas masyarakat umum. Tetapi, mereka masih lagi berulang kali melakukan perkara yang sama berkali-kali tanpa rasa sesal. Ketika facebook menutup akaun mereka, mereka bertindakbalas dengan memaki orang-orang Islam. Jadi, pendekatan menyampaikan keindahan Islam kepada mereka ketika situasi mental dan fizikal mereka dipusatkan kepada menentang Islam dengan jalan keras dan biadab, adalah satu cadangan dari manusia yang tidak memahami tingkat keutamaan di dalam menentukan tindakan yang sesuai dengan situasi dan masa yang dihadapi. Sama seperti watak Jubela di dalam situasi rumah dicerobohi dalam fiktif di atas.

Ada pula yang mencadangkan supaya mereka dibelasah sama seperti cadangan Jubelo di dalam fiktif di atas. Ikut sentimen dan bakaran perasaan, memang itu yang dirasakan majoriti Muslim. Ikut perasaan mahu sahaja kedua-dua wajah biadab tersebut diterajang dengan jurus sepak takraw Sri Langka.Tetapi Islam mengajar orang-orang Islam supaya tidak melakukan tindakan di luar batasan. Rasulullah s.a.w. berpesan di dalam hadis berikut :

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Menguasai diri pula tidaklah sampai ke tahap melakukan pula tindakan yang tidak dapat menangani situasi yang sedang dihadapi. Ada pihak cuba bertindak dengan menekankan kepada aspek yang menjadi punca kenapa perkara seumpama ini berlaku. Jelas dilihat, perpecahan Islam serta tidak kuatnya amalan dan pegangan umat Islam kepada agama menjadi antara punca kedudukan Islam menjadi lemah dan ditafsirkan sebagai lemah di dalam masyarakat. Lalu dicadangkan supaya fokus diberikan kepada pembaikan perkara tersebut dan melupakan serta memaafkan Alvavi. Jelas mereka ini sedang keliru dan celaru tentang kebaikan menyeluruh di dalam Islam. Sama seperti yang dicadangkan Jubelum untuk memperbaiki pagar ketika rumah sedang dicerobohi. Ia sangat tidak kena dengan situasi serta keutamaan mengambil tindakan. Islam sedang diceroboh kehormatannya dan kita masih berkhayal dengan keindahan serta kebaikan Islam di dalam tafsiran yang sempit. Cadangan ini bukanlah salah malah benar, tetapi tidak kena dengan masa, tempat dan situasinya.

Yang perlu dilakukan ialah membawa mereka-mereka yang biadab ini ke muka pengadilan untuk diberikan hak dan keadilan perundangan ke atas mereka. Setelah tindakan ini diambil, kita harus dalam masa yang sama bingkas bangun memperbaiki ‘pagar-pagar’ yang rosak serta ‘mengecat dan melakukan renovasi’ semula kepada imej Islam yang cuba diburukkan mereka.

Di dalam Islam ada Tasyri’. Tasyri’ ialah hak Allah s.w.t.. Satu jalan yang telah ditetapkan Allah mengenai apa yang harus disantuni manusia di dalam setiap cabang perlakuan kehidupan mereka di dalam berakidah, bermuamalat dan sebagainya. Tasyri’ di dalam Islam amat mementingkan penghormatan ke atas hak milik peribadi. Manusia secara umumnya bebas selama kebebasan itu tidak mengganggu kemaslahatan serta kepentingan umum. Dalam Tasyri’ Islam, ada lima perkara yang menjadi hal utama untuk dipertahankan. Ia digelarkan sebagai Kulliyatul Khamsi (lima hal yang mendasar) yang mana dengan menjaganya akan menjadikan manusia memperoleh tingkat-tingkat kemuliaan.kelima-limanya ialah Agama/AKidah, nyawa, akal, harga diri dan harta. Kerana kepentingan penjagaan inilah maka Tasyri’ Islam mewajibkan adanya hukuman ke atas setiap perbuatan yang mengancam kelima-limanya.

Tahu meletakkan di mana keutamaan untuk mengambil tindakan akan meletakkan Islam dan umatnya sebagai golongan manusia yang adil, bijak, disegani serta tidak mudah untuk diperkotak-katikkan. Berhati-hatilah dengan Jubela, Jubelo dan Jubelum yang berada dikalangan kita. Mereka telah diprogramkan untuk berfikiran sedemikian rupa supaya menimbulkan kekeliruan serta merosakkan Islam dari dalam. Kembali kepada dua yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w., nescaya kita akan selamat dunia dan akhirat.  Itu sahaja untuk kali ini. Wallahua’lam.

© 2007 - 2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

6 comments:

hasanah said...

betul3...
bila nafsu menguasai fikiran, mmg susah untuk mengawal diri sendiri... apa2 pun kene rujuk pada yang pakar supaya perbuatan kita tidak melebihi batas.. :)

Anonymous said...

Salam MIA :)

Yup hukum saja Alvbavbi itu..
Cemana Pigtrick bole terlepas
patot Pigtrick dpt balasan sama
at least jentik la sket pigtrick tu.

Alvavi patut kena sebat

takda ka surat kabar di Tanah Melayu ni nak publish tulisan ini.

PEMIKIR said...

Penulisan yang bernas. Baru tadi baca surat khabar alvavi dapat ikat jamin. Mula2 angin jugak. Sekali tengok syarat2 pembebasan dia barulah terasa tenang sikit. Sikit je la.

satuhala said...

Hasanah..
Musuh seorang manusia yang terbesar ialah diri mereka sendiri..

Terdorong dgn nafsu yg tidak terkendali, maka apa sahaja bisikan jahat yng cuba membawa manusia melakukan perkara2 yg memusnahkan diri, orang sekeliling dan masa depan,akan diturut tanpa difikirkan terlebih dahulu.

Kita ada panduan, dan kita harus gunakan panduan dalam menentukan setiap tingkat jalan perlakuan kita yang seterusnya.

satuhala said...

Tanpa Nama July 23, 2013 at 9:58 PM,

Susah utk akhbar publish tulisan dlm tona ni.

Tp x jd masalah.

Kita terus bercakap sampai lebih ramai org bercakap dgn tona yg serupa. lambat laun riak kecil tersebut akan jd gelombang yg besar dan sampai kepada pemerintah.

Bab pendakwaan selektif, kita tak mahu lagi wujud selepas ni.Kes Star dengan Alvavi tu sama, tp. Star lepas sebab dipunyai MCA dan berselindung disebalik alasan teknikal tidak sengaja dsb.

Jika mahu serius, siapa sj yg melakukannya perlu dibawa ke muka pengadilan.

satuhala said...

Pemikir,

Jangan sumbatan mrk ke dalam penjara tempohari selama seminggu mengangkat status mrk ke tahap wira oleh penyokong2 mrk.

Penjara mempunyai 2 kesan terhadap seseorang yg dipenjarakan.

1) Ia memberi keinsafan serta rasa takut utk berbuat kesalahan semula.

2) Ia memberikan status wira kepada mrk2 yg melihat kedua org ini sebagai wira mrk.

Kesudahan kedua perlu dielakkan dengan menghukum secara konsisten jika didapati bersalah.

Jgn kes ini dimasukkan ke dalam peti sejuk utk disejukkan sebelum kedua ini dibebaskan atas alasan teknikal.

Pejabat peguam negara semenjak di bawah Gani Pathail kerap kali dilihat gagal membawa kes-kes spt ini sehingga ke peringkat dihukum. kebanyakannya lepas begitu sahaja atas alasan teknikal dan ketidakupayaan pendakwa memberikan hujah2 yg diyakini oleh sistem keadilan. Hakim2 juga kini dilihat utk cenderung berat sebelah dalam kes-kes tertentu terutamanya melibatkan pertembungan umat Islam dan bukan Islam. Ada sesuatu yg mungkin tidak kena dengan sistem keadilan kita pada hari ini.