Oleh : M.I.A/Imran Haaz
Ini sebuah kisah kiasan yang direkasaya
kerana melihat kecenderungan gaya berfikir sesetengah dari kita yang gagal
mengetahui secara tepat bagaimana untuk menentukan keutamaan di dalam mengambil
tindakan. Ia sebuah kisah khayal tetapi mempunyai cerminan di dalam realiti
masa yang sedang kita harungi pada waktu ini. Tiada haiwan yang dicederakan di
dalam pembikinan cerita ini. Jika haiwan tidak diapa-apakan, apatah lagi insan yang
seharusnya mempunyai tingkat keupayaan akal yang berkali ganda lebih tinggi.
Jika ada pun yang tercedera di dalam pembikinan kisah fiktif ini, mungkin
mereka dari golongan hibrid yang sentiasa dirujuk sebagai binatang politik.
Mereka insan, tetapi berkelakuan seperti
haiwan bila syahwat dunia mereka menguasai organ perut dan kelamin. Penampilan zahir
mereka bagai malaikat baru turun dari langit. Tetapi sisi pemikiran dan batin
mereka, persis haiwan yang tidak mengenal sempadan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh diperlakukan.
Maaf jika penulisan ini bernuansa fiktif
dan tidak serius seperti selalunya. Ini kerana dapatan dari pemerhatian yang
dijalankan, berhadapan dengan umat yang selama ini disogokkan dengan candu
serta khayal hiburan, hatta di dalam kuliah-kuliah agama, maka terpaksalah
sedikit candu fiktif pemikiran dimasukkan bagi memudahkan proses untuk menelan.
Junkie khayal tidak mahu berfikir tanpa dorongon bahan. Bagi yang mampu
menyaring, saringlah sehingga kontang. Apa yang tinggal itulah pati sebenar
yang mahu disampaikan.
Kisah terjadi di sebuah kampung terpencil.
Jauh dari perhatian manusia lainnya. Sebuah kampung yang sentiasa damai dan
harmoni sehinggakan penduduknya sering lupa bahawa damai tidak semestinya menjanjikan
ketenangan yang berpanjangan. Terlalu lama hidup di dalam damai, mereka kerap
kali terlupa dengan ancaman-ancaman yang mungkin datang mengetuk pintu secara
mengejut pada bila-bila masa.
Proses alami menjadikan mereka tidak mahu untuk
bersedia menghadapi hari-hari berisiko. Faktor masa damai yang terlalu panjang
menjadikan mereka leka dan sentiasa menduga bahawa semua manusia itu sama sifat
dan perangai seperti wajah yang berkeliling kepada mereka.
Sebuah rumah didiami empat pemuda. Masih
bujang. Memilih untuk berkongsi kediaman bersama bukan bermaksud mereka dari
golongan penyondol pintu belakang. Itu harus ditekankan di dalam era jantan mengancam
kehormatan jantan lain di tandas-tandas awam. Apa? Fiktif ini bernuansa
homophobic? Suka hatilah. Apa kebebasan bersuara hanya terpakai kepada
luncuran lisan dan penulisan dengan senandung budaya binatang? Gelarkan apa
saja, homophobic, anti homoseksual dan sebagainya, itu lebih disukai dari
merekodkan diri bersetuju dengan perbuatan yang memudaratkan kemanusiaan itu
sendiri.
Rumah mereka dipagar pagar kayu yang
semakin lusuh kekuatannya. Doktrin kampung yang sentiasa damai menyebabkan
tiada siapa ambil peduli tentang
kekukuhan benteng pertama rumah tersebut dari pencerobohan. Jubela, Jubelo, Jubelom
dan Ahmad. Ke empat-empat mereka, manusia tipikal biasa. Indoktrinasi proses
pemikiran mereka berlansung tanpa kawalan sedar mereka. Kecuali Ahmad yang
sentiasa kembali merujuk kepada dua yang ditinggal Nabi, akal fikiran mereka
yang selebihnya dibentuk melalui proses persepsi tanpa observasi yang lantas
diterjemah menjadi budaya perlakuan yang membentuk diri mereka sebagaimana
siapanya mereka pada hari ini. Bila sampai takdir berlaku, ia akan berlaku.
Lalu dicerobohi kediaman aman tersebut oleh empat orang penceroboh.
Jubela, Jubelo, Jubelom dan Ahmad sedar
rumah mereka dicerobohi. Lalu mereka mengungsi ke sebuah bilik kecil yang
selamat dan mengunci diri di dalam. Mereka ada situasi. Situasi yang memerlukan
mereka perlu berfikir tentang pelan tindakan yang paling wajar pada ketika itu.
Mereka tidak pasti samada penceroboh-penceroboh itu bersenjata atau pun tidak.
Mereka nampak melalui celahan lubang, pencuri-pencuri itu berfizikal besar dan
sedang berlegar-legar di dalam rumah. Lalu mereka berbincang sesama mereka
tentang apa yang perlu dilakukan segera. Baru sahaja membuka mulut, sudah
tercetus argumen pertama.
Apakah mereka yang memasuki rumah tersebut
itu pencuri atau pun tidak? Tanya Jubela. Jubelo menjawab ya. Jubelom hanya
ternga-nga. Ahmad pula berkata selagi mereka tidak meninggalkan rumahtersebut
dengan barangan yang bukan milik mereka, mereka tidak boleh dirujuk sebagai
pencuri. Mereka membuang masa di situ dengan argumentasi yang tidak kena pada
tempat dan masa. Masa untuk bertindak semakin suntuk.
Banyak masa terbuang
sedangkan situasi tersebut memerlukan tindakan. Lalu Ahmad mencadangkan supaya
mereka melupakan perkara tersebut. Ia bukannya perkara penting untuk
dibincangkan pada masa itu.
Keutamaan yang perlu dibincangkan pada masa ini
ialah untuk mengambil tindakan. Sila
berikan cadangan masing-masing. Itu permintaan Ahmad.
Cadangan Pertama : Sampaikan Keindahan
Islam
Jubela, dengan bulatan halo bersinar di
atas kepala mencadangkan, mereka keluar kepada penceroboh tersebut dan
memberikan nasihat yang baik. Kebaikan Islam perlu ditonjolkan kepada
penceroboh tersebut. Pasti mereka akan tertawan dengan sikap baik yang
ditonjolkan. Kebenaran Islam perlu disampaikan kepada mereka. Bukankah Islam
itu cenderung kepada bersikap baik? Itu tanya Jubela. Ya, jawab Ahmad.
Tetapi, Ahmad menjelaskan, kebaikan yang
mahu ditonjolkan harus bertempat dan kena pada situasinya. Semua di dalam Islam
ialah untuk kebaikan. Tiada yang tidak baik di dalam Islam. Menyempitkan sisi
kebaikan Islam kepada HANYA penonjolan perbuatan bermanis mulut, bercakap tentang
rahmat dan pahala serta balasan syurga pada masa dan waktu yang salah ialah satu perkara yang malang yang
telah menimpa dan merasuk pemikiran umat Islam pada masa sekarang. Mereka tidak nampak bahawa sisi ketegasan
undang-undang Islam sebagai satu kebaikan yang harus ditonjolkan apabila kena
pada masanya. Mereka tidak nampak sisi bertindak tegas dan pantas dan terkadang
keras sebagai satu sisi kebaikan Islam yang perlu ditonjolkan apabila kena pada
gaya dan masa ia diperlukan.
Bukankah, sistem perundangan serta tindakan
pantas membendung kekacauan dan mudarat di dalam Islam juga untuk kebaikan? Bukankah
Islam itu syumul. Apakah kebaikan itu hanya mampu ditafsirkan dengan berjalan
terkepit, dengan kedua tangan digayakan seperti kumpulan nasyid sedang membuat
persembahan dan lisan diperhias flora bahasa dengan intonasi mendatar rendah
sahaja? Inilah sempitan pemikiran umat Islam yang kini menjadi rebakan penyakit
di dalam masyarakat. Mereka ingin jadi baik tidak bertempat.
Sedangkan sisi
tindakan tegas, pantas dan terkadang keras itu juga adalah sisi kebaikan Islam
yang perlu ditonjolkan bila kena gaya dan masa ianya diperlukan. Jubela
diceramahkan Ahmad. Ahmad mendapati sisi lojik dalam menentukan keutamaan di
dalam penentuan mengambil tindakan di dalam pemproses pemikiran Jubela didapati
rosak. Cadangan Jubela bukanlah salah, tetapi diberikan pada masa yang salah
dan situasi salah. Dalam situasi perompak ganas sudah pun berada di dalam rumah,
Islam juga ada sisi kebaikan untuk kedua pihak, iaitu hak untuk mangsa dan
pemangsa.
Giliran Jubelo memberikan cadangan.
Cadangan Kedua : Keluar mendedahkan diri
dan belasah penceroboh tersebut
Jubelo terkenal dengan tindakan keras.
Seorang yang baran dan hanya boleh bersabar ketika berdengkur tidur . Dia mencadangkan
supaya mereka keluar membelasah ke empat-empat penceroboh tersebut. Empat lawan
empat, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Ke semua mereka menempelak Jubelo. Ini merupakan
tindakan tidak masuk akal, kecuali apabila berada di dalam situasi diserang,
benar-benar terancam dan terdedah kepada tindakan yang memudaratkan. Dengan menyerang
perompak tanpa mereka menyerang, mereka pastinya telah menjalankan tindakan
mendahului keperluan untuk berbuat demikian. Situasi tersebut masih kabur
samada mereka yang menceroboh tersebut, silap masuk atau sebarang alasan lain
yang mungkin menyebabkan mereka memasuki rumah tersebut.
Di dalam Islam, seorang perompak atau
pencuri, tidak akan dikenakan tuduhan mencuri atau merompak selagi dia tidak meninggalkan
kawasan yang dicerobohnya dengan barang curi. Dia tidak akan dihukum dengan had
Allah sekiranya beberapa perkara berikut tidak memenuhi hak-hak mereka untuk
dihukum dengan had Allah. Pertama, mereka seharusnya tahu dan faham bahawa
kesalahan yang dilakukan itu akan dihukum dengan had Allah.
Kedua, barang yang
dicuri atau dirompak mempunyai nilai material tidak kurang dari satu per empat
dinar serta bukan barang-barang yang cepat rosak seperti daging, buah-buahan
dan makanan yang tidak tetap. Juga tidak dihukum dengan had Allah sekiranya
yang dicuri ialah tanah, racun, burung, minuman keras, alat muzik dan
seumpamanya.
Ketiga, sekiranya perompakan atau pencurian itu berlaku atas
desakan survival hidup dan nyawa, hukuman had kepada mereka akan digugurkan
serta diganti dengan hukuman yang lebih ringan.
Ke empat, sekiranya pencurian
dan perompakan itu dilakukan di dalam situasi kacau bilau, order sosial yang
runtuh seperti di Mesir dan Syria, dalam keadaan kebuluran dan kemarau, serta
situasi di mana kehidupan normal dengan batasan manusia-manusia yang
menghormati undang-undang semakin terhakis, maka had hukuman digugurkan dan
digantikan dengan hukuman yang lebih ringan.
Ke lima, pencurian dan perompakan
dilakukanke atas premis yang menggoda mereka untuk melakukan perompakan. Maksudnya,
sebuah premis yang tidak dilindungi dengan pertahanan keselamatan yang cukup
untuk menyampaikan mesej kepada bakal-bakal perompak bahawa pemilik serius mahu
melindungi barang milikannya. Merompak beg tangan yang ditinggalkan di dalam
raga motosikal, mencuri emas di dalam rumah yang tidak berkunci, membiarkan
tingkap rumah terbuka dan meletakkan barang-barang berharga pada tempat yang
tidak sepatutnya ia berada, jika semua perkara ini dan seumpama dengannnya dilakukan,
had untuk memotong tangan perompak atau pencuri tersebut digugurkan kerana
pemilik telah menggoda si pencuri dan perompak untuk melakukan jenayah. Mereka akan
dihukum dengan hukuman yang lebih ringan kerana kesalahan diletakkan di atas
bahu pemilik dan perompak kerana membiarkan perkara tersebut berlaku.
Ke enam,
perompak yang merompak harta yang dimiliki oleh baitulmal, kerajaan, hasil
percukaian, khazanah Negara dan seumpamanya. Had digugurkan kerana perompak yang
merompak harta yang mana sebahagian dari harta tersebut juga ditafsirkan
sebagai bercampur miliknya kerana hak Negara adalah dimiliki oleh rakyat.
Ke tujuh,
tidak dikenakan had jika mencuri barang milik orang yang mempunyai hubungan nasab
(kekeluargaan). Kerana berkemungkinan dia juga masih mempunyai sejumlah hak ke
atas barang yang dicurinya.
Ada beberapa perkara lagi yang boleh menggugurkan
hak untuk dijalankan had potong tangan ke atas pencuri dan perompak tersebut,
tetapi yang paling utama seperti apa yang disebutkan di atas.
Dengan mengambil nasihat Jubelo untuk terus
menyerbu serta membelasah dan mencederakan penceroboh, mereka telah melakukan
suatu perkara di luar batas keperluan untuk berbuat demikian. Mereka selamat di
dalam bilik tersebut dan tidak perlu mendedahkan kedudukan mereka. Benar kedudukan
mereka di dalam situasi darurat, tetapi mereka tidak boleh bertindak menafsirkan
keadaan darurat mereka melebihi keadaan situasi sebenar. Menurut Dr. Wahbah Az
Zuhaily, al-Fiqh al-Islamy wa
Adillatuh, menangani situasi darurat
hendaklah ditentukan dengan tindakan yang wajar dan menepati kadarnya yang diperlukan
sahaja (iaitu tidak berlebih-lebihan). Di dalam sistem Islam, kita
mempunyai cukup panduan untuk menangani semua situasi dari keadaan paling aman
hingga paling mudarat. Apa yang perlu ialah, kita tahu menggunakan panduan ini
sesuai dengan situasi yang sedang dihadapi.
Cadangan
Ketiga : Keluar Memperbaiki Pagar
Jubelom cuba bertindak ala Einstein. Dia menjelaskan
kepada ke semua mereka bahawa tindakan penceroboh itu memasuki rumah mereka
adalah berpunca dari pagar rumah mereka yang rosak. Ia sudah lama dibiarkan
rosak tanpa diperbaiki. Jadi masalah pencerobohan ini adalah berpunca dari
pagar yang rosak tersebut. Lalu dengan rambut yang dikusutkannya seperti
Einstein, dia memberikan cadangan berikut. Mereka berempat perlu keluar segera
untuk memperbaiki pagar rumah. Tinggalkan sahaja penceroboh di dalam rumah. Memperbaiki
pagar itu harus diutamakan pada ketika itu.
Ke semua mereka memandang wajah Jubelom
dengan rasa pelik. Jika cadangan itu diberikan seminggu lebih awal, mungkin
masih lojik untuk menerimanya dan melakukan tindakan pembaikan. Ataupun cadangan
tersebut diberikan selepas semua penceroboh itu meninggalkan rumah, ia masih
lojik untuk dijalankan kerana tindaka itu akan menghalang sebarang bentuk
pencerobohan dilakukan pada masa hadapan. Tetapi, cadangan itu amatlah tidak
praktikal ketika penceroboh sedang berada di dalam rumah, dan mereka sendiri
terperangkap di dalam situasi yang memerlukan mereka bertindak bijak.
Lalu cadangan tersebut ditolak. Ia cadangan
yang baik dan benar tetapi tidak kena pada situasi, tempat dan masa.
Cadangan
Ketiga : Telefon Polis
Melihat kecanggungan pemikiran
sahabat-sahabatnya, Ahmad bertanyakan kepada ke semua mereka, kenapa tidak ada
seorang pun daripada mereka mencadangkan supaya pihak berkuasa dihubungi. Ini
bukan tahun 80 ‘an di mana penceroboh boleh memotong wayar telefon rumah. Ke semua
mereka memiliki telefon bimbit bersama mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah
mendail nombor kecemasan dan melaporkan situasi tersebut kemudian tunggu
sehingga polis datang menguruskan situasi.
Dalam keadaan ini, mereka selamat serta
tindakan mereka juga tidak akan menyebabkan mereka berada di dalam situasi yang
mengancam keselamatan. Penceroboh-penceroboh tersebut juga akan ditangkap dan
dibawa ke muka pengadilan untuk diberikan hak dan keadilan ke atas perlakuan
mereka.
Ke semua akhirnya diam dan bersetuju. Secara
lojik ia tindakan yang tepat dengan situasi.
Apa yang berlaku kepada Jubela, Jubelo, Jubelom
dan Ahmad merupakan satu cerminan kepada pemerhatian komen-komen manusia yang memberi
reaksi kepada perlakuan pasangan Alvavi kerana menghina Islam. Semua cuba
memberikan pendapat mereka. Tetapi kebanyakannya tidak kena dengan situasi yang
sedang dihadapi.
Ada yang mencadangkan ditunjukkan kebaikan
Islam dengan menyampaikan Islam dengan santun kepada pasangan ini. Sedangkan
pasangan ini telah didekati dengan santun sejak kes gambar lucah disebarkan
mereka sejak tahun lepas lagi. Mereka sudah diberikan penjelasan tentang sensitiviti,
aspek perundangan serta kesan tindakan mereka ke atas masyarakat umum. Tetapi,
mereka masih lagi berulang kali melakukan perkara yang sama berkali-kali tanpa
rasa sesal. Ketika facebook menutup akaun mereka, mereka bertindakbalas dengan
memaki orang-orang Islam. Jadi, pendekatan menyampaikan keindahan Islam kepada mereka
ketika situasi mental dan fizikal mereka dipusatkan kepada menentang Islam
dengan jalan keras dan biadab, adalah satu cadangan dari manusia yang tidak
memahami tingkat keutamaan di dalam menentukan tindakan yang sesuai dengan
situasi dan masa yang dihadapi. Sama seperti watak Jubela di dalam situasi
rumah dicerobohi dalam fiktif di atas.
Ada pula yang mencadangkan supaya mereka
dibelasah sama seperti cadangan Jubelo di dalam fiktif di atas. Ikut sentimen
dan bakaran perasaan, memang itu yang dirasakan majoriti Muslim. Ikut perasaan
mahu sahaja kedua-dua wajah biadab tersebut diterajang dengan jurus sepak
takraw Sri Langka.Tetapi Islam mengajar orang-orang Islam supaya tidak
melakukan tindakan di luar batasan. Rasulullah s.a.w. berpesan di dalam hadis
berikut :
Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya
orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (HR Ahmad,
Bukhari dan Muslim)
Menguasai diri pula tidaklah sampai ke
tahap melakukan pula tindakan yang tidak dapat menangani situasi yang sedang
dihadapi. Ada pihak cuba bertindak dengan menekankan kepada aspek yang menjadi
punca kenapa perkara seumpama ini berlaku. Jelas dilihat, perpecahan Islam
serta tidak kuatnya amalan dan pegangan umat Islam kepada agama menjadi antara
punca kedudukan Islam menjadi lemah dan ditafsirkan sebagai lemah di dalam
masyarakat. Lalu dicadangkan supaya fokus diberikan kepada pembaikan perkara tersebut
dan melupakan serta memaafkan Alvavi. Jelas mereka ini sedang keliru dan celaru
tentang kebaikan menyeluruh di dalam Islam. Sama seperti yang dicadangkan
Jubelum untuk memperbaiki pagar ketika rumah sedang dicerobohi. Ia sangat tidak
kena dengan situasi serta keutamaan mengambil tindakan. Islam sedang diceroboh
kehormatannya dan kita masih berkhayal dengan keindahan serta kebaikan Islam di
dalam tafsiran yang sempit. Cadangan ini bukanlah salah malah benar, tetapi
tidak kena dengan masa, tempat dan situasinya.
Yang perlu dilakukan ialah membawa
mereka-mereka yang biadab ini ke muka pengadilan untuk diberikan hak dan
keadilan perundangan ke atas mereka. Setelah tindakan ini diambil, kita harus
dalam masa yang sama bingkas bangun memperbaiki ‘pagar-pagar’ yang rosak serta ‘mengecat
dan melakukan renovasi’ semula kepada imej Islam yang cuba diburukkan mereka.
Di dalam Islam ada Tasyri’. Tasyri’ ialah
hak Allah s.w.t.. Satu jalan yang telah ditetapkan Allah mengenai apa yang
harus disantuni manusia di dalam setiap cabang perlakuan kehidupan mereka di
dalam berakidah, bermuamalat dan sebagainya. Tasyri’ di dalam Islam amat
mementingkan penghormatan ke atas hak milik peribadi. Manusia secara umumnya
bebas selama kebebasan itu tidak mengganggu kemaslahatan serta kepentingan
umum. Dalam Tasyri’ Islam, ada lima perkara yang menjadi hal utama untuk
dipertahankan. Ia digelarkan sebagai Kulliyatul
Khamsi (lima hal yang mendasar) yang mana dengan menjaganya akan menjadikan
manusia memperoleh tingkat-tingkat kemuliaan.kelima-limanya ialah Agama/AKidah,
nyawa, akal, harga diri dan harta. Kerana kepentingan penjagaan inilah maka
Tasyri’ Islam mewajibkan adanya hukuman ke atas setiap perbuatan yang mengancam
kelima-limanya.
Tahu meletakkan di mana keutamaan untuk
mengambil tindakan akan meletakkan Islam dan umatnya sebagai golongan manusia
yang adil, bijak, disegani serta tidak mudah untuk diperkotak-katikkan. Berhati-hatilah
dengan Jubela, Jubelo dan Jubelum yang berada dikalangan kita. Mereka telah
diprogramkan untuk berfikiran sedemikian rupa supaya menimbulkan kekeliruan serta merosakkan Islam dari
dalam. Kembali kepada dua yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w., nescaya kita
akan selamat dunia dan akhirat. Itu
sahaja untuk kali ini. Wallahua’lam.
© 2007 - 2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.