Sekian lama blog ini ditulis di dalam nada
defensif dan tekadangnya ofensif. Bukan disengajakan, tetapi dinukilkan sesuai
dengan keadaan. Keadaan di mana kita tidak boleh membiarkan ramai dikalangan
kita terleka dengan delusi bahawa Islam dan umat Islam selamat di negara ini.
Mana mungkin tidak defensif jika agama yang
diagungkan diri diterjang bertubi ke aras asfal. Mana mungkin senyum, jika
sehari-hari disogokkan dengan segolongan muslim yang seolah tenggelam dalam tekanan
golongan yang hanya berjumlah sedikit tetapi berupaya mengapung diri di atas permukaan
tanahair.
Tidak berdaya sebenarnya untuk berselindung
pada maya yang kelabu demi menuntun trafik dan gerak pembaca. Itu bukan kiblat
yang dicari. Apa yang perlu dinyatakan, akan dinyatakan. Tiada apa yang menjadi
alasan melainkan takut diherdik Pemilik hari muka. Munafik, hipokrit, sekerat
ular dan sekerat belut. Apa itu disanggupi sebagai label rujukan Pemilik Seru
Sekelian alam nanti? Na’uzubillahi Min Dzaalik.
Kita tidak bersembahyang mencari akal dan
rukuk memasang kira-kira. Apa yang dilakukan, ialah sedaya upaya cuba memainkan
peranan watak kecil di celah-celah manusia yang pelbagai warna dan rupa. Bukan mudah
mahu merempuh kejalangan manusia. Lebih lagi yang berselindung dibalik perisai santun
dan pakaian malaikat. Manusia-manusia yang sentiasa berkelambu pada legitimasi
persalinan, takut digigit nyamuk-nyamuk yang mula tersedar perlakuan sumbaleweng
mereka. Apa yang dilihat matahati bagai lusuhan itu, dilihat sorga oleh
khalayak murba.
Terlalu defensif terkadang menyebabkan yang
membacanya berkerut. Jika yang membacanya berkerut, ingatlah sentiasa, kerutan
itu turut juga menjadi cerminan kepada apa yang berlaku kepada yang
menukilkannya.
Memandangkan Ramadhan yang berbaki separuh
purnama, ingin sahaja tona defensif ini dikuarantinkan buat sementara waktu. Biar
ia beku sebelum ia dibakar kembali. Sekurang-kurangnya memberi ruang kepada
blog ini meneruskan apa yang biasa ia perbuat selama ini. Menunaskan semula pemikiran-pemikiran
terkehadapan Islam untuk direjuvenasikan semula.
InsyaAllah, jika tiada berlaku mana-mana
tekanan mendesak, warna penulisan blog ini akan kembali normal sama sepertimana
ia bermula 6 tahun sudah. 304 artikel dalam tempoh 6 tahun, bukanlah satu
jumlah yang banyak. Tetapi, Alhamdulillah ia tetap berjalan walaupun merangkak.
Defensif, Ofensif atau diwarnakan positif,
semuanya bergantung kepada keadaan. Cuma di dalam Ramadhan yang berbaki ini,
ingin nanti blog ini dilakar dengan tona sepertiman ia biasa dilagukan. In Sya
Allah..