Pagi tadi, selepas bersarapan, saya berbual dengan seorang kakak di ofis. Dia bersungut perkara yang sering isteri saya sungutkan. Ia berkenaan telekung di masjid dan surau. Ia juga ada kena mengena dengan pusat pemikiran lelaki muslim.
Mereka sungutkan keadaan telekung di masjid yang sangat kotor. Sebab itu mereka biasakan membawa bersama telekung sendiri untuk bersolat. Terdapat kemungkinan di sesetengah tempat, telekung di masjid tidak dicuci berbulan lamanya. Teori telekung tidak dicuci dalam tempoh tersebut dibuat berdasarkan pemerhatian mereka sendiri yang mengatakan, setiap kali bersolat, para wanita tentu sahaja akan membersihkan diri dengan wuduk. Jadi untuk telekung menjadi berbintik-bintik seperti harimau bintang, sekurang-kurangnya ia memerlukan masa yang begitu lama ianya tidak dicuci.
Persoalan mereka, bukankah masjid itu rumah Allah dan bukankah Allah itu sendiri menyukai akan kebersihan. Tetapi kenapa lelaki-lelaki yang diberikan tanggungjawab menjaga dan memelihara rumah Allah ini, tidak pernah mengambil berat untuk memberikan keadilan serta rasa selesa kepada kaum wanita untuk bersolat di dalamnya? Dalam sepuluh masjid yang dimasuki, mungkin dua atau tiga sahaja yang mempunyai telekung dan persekitaran yang bersih. Bagi yang membawa telekung bersama dengan mereka, ianya tidaklah menjadi masalah. Tetapi, telekung yang kotor dan masam itu sedikit sebanyak mengganggu pemikiran jemaah. Itu belum diambil kira kolah, tandas dan persekitaran masjid yang kotor. Seolah-olah lelaki-lelaki yang diamanahkan untuk memelihara dan menjaga masjid tersebut, tidak pernah mengambil peduli tentang aspek kebersihan. Jika benar mereka cintakan Allah, tentu sahaja rumah Allah akan dijaga mereka dan dibersihkan sehingga ia selesa bagi tetamu-tetamu Allah yang datang.
Apa sebenarnya yang tidak kena dengan jawatankuasa masjid di sesetengah tempat? Cakap-cakap kedai kopi menyatakan, kebanyakan dari lelaki yang ditempatkan di situ tidak lagi aktif dan menggunakan waktu senggang lepas pencen untuk beribadat di sana. Tetapi, mereka tidak peka kepada perihal kebersihan dan tanggungjawab-tanggungjawab lain dalam memastikan rumah Allah sentiasa menarik perhatian. Perhatian mereka sentiasa tertarik kepada aktiviti solat jenazah, tahlil arwah dan sebagainya. Tetapi bila masuk bab pengurusan masjid untuk memperindahkan serta mengimarahkannya, seolah berlaku kegagalan di situ. Rasanya, sesuatu perlu dilakukan untuk mereformasikan pemikiran pemegang-pemegang amanah ini.
Begitu juga perhatian perlu diberikan kepada kebersihan bahagian solat wanita. Apakah pemikiran male centric yang sudah tertanam di dalam diri mereka sehinggakan kepetingan serta hak-hak wanita di dalam masjid sentiasa dipandang enteng. Harap diperhatikan sama masalah ini. Boleh jadi suatu hari nanti, kita boleh menggunakan kebersihan telekung di masjid-masjid di dalam kariah sebagai tolok untuk mengukur betapa prihatinnya masyarakat di sesuatu kariah itu dengan golongan wanitanya.
Bukankah lelaki-lelaki yang mengunjungi masjid itu antara lelaki-lelaki yang terbaik di dalam kariah? Jika lelaki-lelaki terbaik di dalam kariah sendiri pun tidak dapat memberikan keadilan kepada kaum wanita, apatah perkara lain yang boleh diharap dari lelaki-lelaki lain di dalam kariah.Jika telekung di masjid-masjid mereka kotor, maka kesimpulan yang dapat dibuat kepada lelaki-lelaki lain di dalam daerah tersebut ialah, mereka juga tidak prihatin kepada nasib serta kebajikan dan keselamatan wanita di kariah mereka. Mungkin penyakit sosial dalam masyarakat mereka juga berlaku kerana mereka tidak prihatin dengan wanita mereka. Sesuatu perlu dilakukan secara bersama untuk memperbaiki keadaan ini.
Bukankah antara pesan akhir Rasulullah s.a.w. di dalam khutbah terakhir baginda direkodkan seperti berikut:
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik!
Jadi, sudahkah kita melayan mereka dengan baik sepertimana yang Rasulullah s.a.w. tekankan? Jika sudah, kenapa masih ada telekung berbintik dan berbau seperti harimau bintang berbulan tidak mandi? Banyak perkara lagi kita perlu perbaiki dan kita harus berkejar mengerjakannya.