Monday, September 10, 2012

Pewaris Nabi atau hanya sekadar Ahli Kitab?

0
Oleh : M.I.A./Imran Haaz

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Perjuangan umat ini merupakan satu perjuangan yang sangat sukar. Tetapi Allah telah memuliakan daya akal kita berbanding umat-umat sebelumnya dengan satu perkara. Kita ini merupakan satu umat yang boleh menjaga diri sendiri tanpa kehadiran seorang nabi atau rasul di sisi. Tetapi keupayaan itu sangat bergantung kepada keupayaan kita memahami serta melengkapkan diri kita dengan bekalan ilmu yang telah disampaikan dengan penuh amanah oleh generasi-generasi ulama jujur yang tanpa sebarang kepentingan lain selain mengharap redha Allah secara turun temurun.
Ilmu-ilmu yang mempunyai rantaian hubungan terus kepada sumber wahyu yang diamanahkan kepada Rasulullah s.a.w. ini disampaikan dengan penuh jujur. Kita Islam pada hari ini juga berkat usaha nenek moyang kita dalam perjuangan mereka yang melibatkan kehilangan darah, harta dan nyawa semata-mata untuk memastikan segala anak cucu mereka menerima Islam di dalam bentuk yang tidak tercemar dan dipesongkan. Pernahkah kita meluangkan sedikit masa memikirkan sejenak betapa jalan perjuangan kita kini sebenarnya sebuah jalan yang mudah tetapi telah disukarkan oleh sikap-sikap mereka-mereka yang tidak beramanah dari kalangan kita sendiri.


Nabi Adam a.s. diuji Allah dengan berhadapan keluarga dan kehendak dan kemahuan dirinya sendiri. Kemudian Nuh a.s., rasul yang pertama berhadapan pula tentangan keluarga dan umatnya yang sesat. Berhadapan dengan sebuah umat yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan melainkan ikut-ikutan, mereka membina dan menamakan patung-patung sempena orang-orang yang mulia yang pernah hidup dikalangan mereka.  Tahun berganti tahun, kurun berganti kurun, tanpa sistem tulisan dan kaedah menyimpan rekod, timbul perselisihan demi perselisihan mengenai agama yang dianuti oleh nenek moyang mereka semenjak Adam. Al Qur’an menceritakan tentang kaum Nuh yang tersesat jalan. Wadd, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr merupakan manusia-manusia soleh semasa hayat mereka. Generasi awal yang bertemu mereka berasa kagum dengan segala kebaikan mereka. Menurut Ibnu Abbas, sebaik mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum mereka supaya mendirikan patung-patung sebagai tanda ingatan terhadap Wadd, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr. Patung-patung ini tidak disembah pada mulanya. Pertukaran generasi ke satu generasi kemudiannya menyaksikan ilmu-ilmu yang diajarkan mula dilupakan. Dari objek kekaguman, kelima-lima patung itu mula menjadi objek sembahan dan ia dilakukan secara tegar. Al Qur'an secara jelas menceritakan asal usul manusia-manusia yang kafir serta mensyirikkan Allah itu bermula dengan ketaksuban melampau mereka terhadap manusia-manusia yang beriman disekeliling mereka. Lantas Nuh a.s. diutus untuk memperbaik itu semua. 950 tahun berusaha keras dan gigih, hanya sekumpulan kecil menerima ajakannya untuk kembali kepada Allah dan jalan yang benar. Itu perjuangan Nuh a.s. Dia berhadapan dengan maruah diri sendiri, tentangan keluarga dan masyarakatnya demi menegakkan agama Allah yang diamanahkan kepadanya untuk disampaikan.

Selepas itu, kita dingatkan tentang perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Rasul yang hebat sehingga Allah mengiktirafkan keupayaannya seolah-olah Ibrahim dengan dirinya sendiri mempunyai kekuatan sebuah umat. Ibrahim a.s. ditentang bapanya, masyarakatnya dan kerajaan yang memerintah. Dia berseorangan diri berdakwah sehingga nyawanya terancam dan dia sendiri dihalau keluar dari negeri kelahirannya, Ur Chaldean. Dari Ibrahim a.s. lahirlah Ismail a.s. dan Ishak a.s.

Keturunan Nabi Ismail melahirkan keturunan Arab manakala melalui Ishak lahirnya Bani Israil menerusi anaknya Yaakob a.s. Jika sebelum ini, para nabi dan rasul dibekalkan dengan bantuan wahyu dari malaikat dan suhuf-suhuf yang tidak dikumpulkan menjadi kitab, bermula dari zaman Musa a.s. , kitab Taurat diwahyukan Allah kepadanya dan Bani Israil. Musa berhadapan dengan keluarga angkatnya, Firaun dan kaumnya yang degil. Sesudah Musa, Bani Israil dipimpin hakim-hakim dari kalangan pendita yang kemudiannya diganti oleh nabi-nabi yang diutuskan sehingga sampai kepada Isa a.s.

Isa diutus untuk memperbetulkan kembali jalan-jalan agama yang telah dibengkokkan oleh ahli-ahli kitab. Berbeza dengan generasi nabi dan rasul sebelum Musa, generasi nabi dan rasul selepas Musa a.s. berhadapan pula dengan tentangan masyarakat, pemerintah dan golongan ahli kitab Yahudi yang mengaku diri mereka sebagai pakar agama tetapi memesongkan ajaran tersebut supaya sentiasa menyebelahi mereka dalam mendapatkan laba dunia akibat dijangkiti penyakit wahan. Isa merupakan rasul terakhir diutus kepada Bani Israil sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w.

Jika Isa a.s. berhadapan dengan tugas berat menghadapi masyarakat, pemerintah dan ahli kitab dari kalangan Yahudi. Nabi Muhammad s.a.w. pula berhadapan satu lagi tingkat kesukaran apabila baginda harus berhadapan dengan kaumnya dari golongan musyrik, ahli kitab dari kalangan Yahudi dan juga ahli kitab dari kalangan orang-orang Nasrani (Kristian). Rasulullah ialah rahmat buat sekelian alam. 

Dianugerahkan kelahirannya kepada kita sebagai umat Islam supaya memberi jalan kepada kita menjadi sebuah umat yang diiktiraf Allah sebagai sebuah umat yang dapat menjaga diri mereka sendiri tanpa kehadiran seorang nabi dan rasul disisi. Kerana itulah kita dicabar Allah untuk menghadapi perjuangan yang sama sepertimana yang dilalui umat-umat Islam sejak zaman Adam a.s. dan ditambah satu lagi halangan yang perlu dihadapi oleh kita dalam mencari kebenaran dan redha Allah di dalam dunia. Apa dia halangan yang dimaksudkan tersebut?

Kita merupakan umat yang ditakdirkan Allah bakal melihat bunga-bunga kepada peristiwa kiamat. Manakala peristiwa kiamat itu sendiri, hanya akan disaksikan bilamana tiada lagi manusia di dalam dunia ini menyembah Allah. Tiada siapa tahu bila kiamat akan berlaku. Bunga-bungaannya sudah mula terhidu sejak sekian lama. Tanda-tanda kecilnya telah lengkap dipenuhi. Tanda-tanda besar sepertimana yang telah diberi amaran sebelum ini, akan menyusul dalam sela masa yang tidak terlalu lama. Kita diakhir zaman ini juga telah diberitahukan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa kita akan menghadapi satu lagi jenis ahli kitab dari spesis kita sendiri. Sepertimana Rasulullah s.a.w., kita akan menghadapi tentangan dari golongan musyrik, ateis, ahli kitab dari kalangan Yahudi, ahli kitab dari kalangan Nasrani dan tambahan satu lagi iaitu ahli kitab dari kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai 'pewaris nabi'. Jika kita terikat di dalam pemikiran yang sentiasa melihat kepada persepsi yang dibentuk melalui perhatian kepada perkara yang zahir, kita akan tertipu dengan golongan ini.

Ini merupakan siri-siri penulisan yang cuba menilai jejak serta perlakuan segolongan manusia yang ditelah diberitakan Rasululla s.a.w. bakal muncul menjelang akhir zaman nanti. Golongan manusia bertopeng agama yang dijangkiti wahn, penyakit cinta dunia dan takut mati. Simptomnya mudah dikenali. Untuk mendiagnos masalah ini, ia memerlukan sedikit asas al Qur’an, sunnah dan athar sahabah. Siri-siri penulisan ini akan membawa yang menulis dan membacanya mengenali satu bentuk pemerhatian yang dibuat dengan menggunakan akal dan mengenepikan penipuan indera.

Dalam ruang masa yang diizinkan Allah, siri penulisan ini akan membawa yang menulis dan yang membacanya menilai manusia melalui zahir perbuatan dan perlakuan dan bukan kepada apa yang dipakai, bahasa dan slogan yang digunakan serta dengan kumpulan mana mereka bercampur. Ia pahit yang harus ditelan. InsyaAllah, satu persatu kita akan melihat bagaimana kulit yang melapisi façade ketrampilan mereka dibuka untuk mendedahkan siapa mereka ini sebenarnya. Semoga Allah mempermudahkan urusan ini.

InsyaAllah, saya akan menyambung penulisan ini pada 17 September 2012 tepat jam 11:30 malam.

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 



Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: