Monday, August 6, 2012

Cerita Nuzul Qur’an Yang Tidak Pernah Diceritakan Sejak 1400 Tahun Dulu.

3

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem..  saban tahun apabila tibanya tarikh 17 Ramadhan, setiap muslim yang jiwanya terikat dengan cinta yang terlalu mendalam kepada Kalamullah menyambutnya dengan rasa paling bersyukur. Penulisan ini merupakan sambungan kepada penulisan bertajuk ‘Muhammad dan Sahabah di dalam Bible bhg. 3’. Ini merupakan bahagian ke empat dari siri penulisan tersebut.

Tajuknya sengaja ditukar bagi menunjukkan betapa penulisan ini selari dengan peristiwa besar yang berlaku pada hari indah ini. 17 Ramadhan merupakan tarikh di mana 2 peristiwa besar telah berlaku di dalam sejarah perkembangan Islam. 17 Ramadhan mencatatkan berlakunya peristiwa wahyu pertama disampaikan kepada Muhammad s.a.w. dan berlakukan perang Badar. Kedua-dua peristiwa berlaku di bulan mulia tersebut membawa kepada kesudahan yang membawa cahaya kebenaran menang di atas kegelapan dan kejahilan.


Kita sentiasa diperingatkan mengenai kedua-dua kisah ini setiap tahun apabila menjelangnya tarikh 17 Ramadhan. Tentu sahaja kisah berkenaan wahyu pertama lebih banyak mendominasi ceramah-ceramah serta kuliah-kuliah yang diadakan bagi memperingati tarikh ini berbanding kisah perang Badar. Sedangkan keduanya mempunyai signifikasi yang besar di dalam menyuluh suluhan yang terang kepada dunia yang sedang lemas di dalam kegelapan berupa jahiliah.

Kisah bagaimana Muhammad s.a.w., ketika usianya menjelang 40 tahun, berasa tidak tenteram dengan segala apa yang berlaku disekelilingnya. Lalu baginda memilih untuk memencilkan diri dalam beberapa waktu yang dijalankan di dalam jeda masa yang telah ditentukan. Muhammad s.a.w. sentiasa dibantu oleh isterinya yang setia dan banyak berkorban untuk insan yang dikasihi oleh Allah dan dirinya sendiri setiap kali baginda memencilkan diri di dalam Gua Hira’ di atas bukit yang diberkati, Bukit Nur.

Sehinggalah tiba ketikanya apabila semua perancangan yang telah Allah tetapkan akan berlaku dizahirkan melalui kemunculan Jibril a.s., penghulu kepada segala malaikat, makhluk mulia yang tidak pernah membantah dan makhluk yang setiap masa menurut dengan patuh setiap arahan Allah kepada mereka.

Kita dihidangkan dengan cerita ini saban tahun dan kita sangat teruja dengannya. Kita melihat bagaimana insan yang amat kita cintai ini melalui pengalaman-pengalaman getir sejak hari itu dalam memastikan Islam sampai kepada kita. Ada yang menyatakan 23 tahun lamanya dan ada yang menyatakan perjuangan Muhammad s.a.w. mengambil masa 26 tahun lamanya.

Dalam memastikan Islam sampai kepada kita pada hari ini, terlalu banyak perkara yang dilalui Muhammad s.a.w. bersama para sahabahnya. Dari seksaan, penghinaan, pemulauan, pembunuhan, pengusiran dan segala apa yang buruk sehingga pernah dilemparkan najis dan diletakkan perut unta ke atas tubuh mulianya yang sedang sujud menghadap Allah dihadapan Kaabah, Muhammad s.a.w. melalui itu semua untuk kita. Kita sentiasa diperingatkan tentang semua pengorbanan ini, malang sekali amat sedikit dari kita yang bersyukur. Rasulullah s.a.w., nabi dan rasul terakhir ini pernah menyatakan bahawa di akhirat nanti, dia berasa gembira apabila melihat umatnya merupakan umat yang terbanyak berbanding nabi dan rasul yang lain. Malang sekali apabila tiba di zaman ini, terdapat segolongan manusia yang berpakaian mengikut sunnah nabi, berbahasa dengan bahasa nabi, menggunakan terma-terma dan slogan-slogan seolah-olah menunjukkan diri mereka pewaris nabi dengan semudah hati melancarkan kata-kata dari lisan mereka seolah-olah anak panah yang keluar lancar dari busur menikam hati dan perasaan saudara seagama mereka yang lain dengan kata-kata yang melukakan. Mereka wujud di sini bukanlah bagi tujuan mahu memastikan umat Islam semakin kuat di dalam kuantiti dan kualiti, tetapi lisan-lisan dan hati perasaan mereka telah terbentuk untuk menghukum dan menjadikan umat Islamsemakin sedikit dengan pelbagai label dan hukum yang dilempari mereka kepada kumpulan yang tidak bersama menyokong aspirasi berkiblatkan keuntungan dunia mereka yang disalut facade Islami.

Suka atau tidak, itulah hakikatnya dengan dunia yang sedang kita hadapi. Jika Nuh a.s. dan Musa a.s.hanya berhadapan dengan golongan kafir, Isa a.s. pula berhadapan dengan golongan kafir di dalam bentuk kerajaan Pagan Rom dan ahli kitab Yahudi. Sampai kepada masa Muhammad s.a.w., beban tugasan baginda bertambah apabila baginda bukan sahaja berhadapan dengan kaum musyrikin Mekah, malah baginda perlu berhadapan dengan ancaman kaum Majusi dari Parsi dan ahli kitab Yahudi serta ahli Kitab Nasrani yang kini dinaungi kerajaan Rom dan kaum munafik. Tentu sahaja cabaran yang harus dipikul oleh manusia-manusia muslim selepas zaman Rasulullah s.a.w. dan khulafa ar Rasyidin yang mahu menyambung penyampaian amanah ini bakal bertambah. Mereka kini bukan sahaja dihimpit oleh golongan-golongan yang sama sepertimana yang dihadapai Rasulullah s.a.w., malah yang turut menjadi ancaman kepada survival mereka ialah penentangan sekumpulan Muslim yang bersikap dan bersifat sangat hampir dengan apa yang pernah berlaku kepada ahli kitab Yahudi dan Nasrani satu ketika dahulu. Dunia muslim ketika menjelang akhir zaman akan menghadapi masalah dengan kemunculan satu golongan yang berpakaian, berbahasa, berbicara serta beperwatakan zahir mereka seperti nabi, malah tanpa segan silu mendakwa diri mereka mewarisi gerakan yang memperjuangkan jalan yang dirintis nabi, tetapi perbuatan dan perlakuan mereka sangat  jauh daripada apa yang pernah diperjuangkan oleh nabi. Mereka inilah golongan yang boleh disamakan seperti golongan ahli kitab dikalangan Muslim. Kitab al Qur’an ditangan mereka adalah bagi tujuan untuk dimanipulasikan untuk dilaraskan sesuai dengan perjuangan mereka. Rasulullah s.a.w. memberikan amaran kepada kita tentang kemunculan golongan ini pada latar zaman yang sangat mirip dengan zaman yang sedang dilalui kita kini.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkat : Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)

Saya akan jelaskan di dalam blog ini, bagaimana kita dapat menilai dan mengesan samada insan-insan yang hadir di hadapan kita di dalam perhiasan yang dipakejkan sebagai seorang yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pewaris nabi’ tetapi hakikat diri mereka sebenarnya menepati insan-insan yang disebut Rasulullah s.a.w. di dalam hadis dari Abu Sa’id al Khudri di atas. InsyaAllah, ianya akan dilakukan satu persatu melalui siri-siri penulisan yang akan dimuatkan di dalam blog ini.

Berbalik kepada kisah bagaimana wahyu pertama sampai kepada Rasulullah s.a.w.

Disebalik semua kisah yang dipaparkan dan diceritakan sejak hari pertama Rasulullah s.a.w. menerima wahyu berupaya ayat-ayat al Qur’an ayat 1 hingga 5 surah al Alaq, terdapat satu golongan manusia telah menyembunyikan sebuah cerita yang seharusnya mereka sendiri tahu bakal mengesahkan bahawa Muhammad s.a.w. itu, nabi dan rasul terakhir yang telah dijanjikan Allah kepada mereka dan seluruh manusia.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (al Alaq ayat 1 hingga 5)

Ia merupakan sebuah cerita yang seharusnya dicatatkan dengan kemas di dalam kitab mereka. sehinggalah mereka merubah ayat-ayat di dalam kitab tersebut supaya apa yang disebutkan, tidak menggambarkan apa yang seharusnya dimaksudkan.

Selama lebih 1443 tahun dari hari turunnya wahyu yang pertama, kisah ini telah disembunyikan melalui permainan bahasa yang telah mengubah konteks ayat yang terkandung di dalam Bible milik mereka. Tetapi, sekiranya Allah s.w.t. mahu ianya timbul semula dan diperkatakan, tiada sesiapa pun dapat menghalang kehendakNya. Allah s.w.t. memberikan pengetahuan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan menarik balik pengetahuan daripada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.

Beberapa individu muslim telah diberikan Allah pengetahuan semasa mereka melakukan penelitian ke atas kitab Bible mendapati bahawa kisah berkenaan turunnya wahyu pertama kepada Muhammad s.a.w. ada dicatatkan di dalam Bible. Walaupun telah beberapa kali disanggah secara longgar oleh golongan Yahudi dan Kristian, ianya masih tidak dapat menggoyahkan penemuan terhadap persembunyian fakta dan kisah berkenaan wahyu pertama yang dilakukan golongan ahli kitab sejak ribuan tahun yang lalu. Penulisan saya di sini hanya sekadar menyambung kepada usaha-usaha yang telah dirintis lebih awal dengan memberikan hujah-hujah yang lebih kuat dan dapat menunjukkan bahawa apa yang tegas diperkatakan sebelum ini bahawa peristiwa penurunan wahyu yang pertama kepada Rasulullah s.a.w. memang ada tercatat di dalam Bible.

Benar, di dalam Bible yang wujud pada hari ini, masih terdapat sisa kerosakan yang dijalankan ahli kitab tentang kisah bagaimana peritiwa wahyu pertama diturunkan kepada Muhammad s.a.w.

Ianya disebut di dalam kitab Isaiah fasal 29 ayat 11 hingga 12. Jika di dalam penulisan bahagian 2 dan 3 di bawah tajuk Muhammad dan Sahabah di dalam Bible  sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa, telah dijanjikan kepada Musa a.s. (Moses) di dalam kitab Deuteronomy fasal 18 ayat 19, amat jelas, apabila disebutkan di dalam Deuteronomy fasal 18 ayat 18 hingga 19 bahawa rasul dan nabi yang djanjikan itu akan datang membawa ajaran serta perintah-perintah Tuhan di atas nama Tuhan itu sendiri. Berkenaan dengan nama Tuhan yang akan digunakan oleh nabi tersebut, telah saya jelaskan tentang perkara tersebut di dalam penulisan Muhammad dan Sahabah di dalam Bible bhg. 2.

Iqra’ : Ayat Pertama kepada Kitab Penutup Segala Kenabian & Kitab Terakhir Dari Allah  Kepada Manusia

Lebih menarik lagi apabila berbicara tentang berita sepertimana yang termuat di dalam Deuteronomy fasal 18 ayat 18 hingga 19, wahyu pertama yang disampaikan melalui perantaraan Jibril a.s. kepada Muhammad s.a.w. dimulakan dengan ayat perintah supaya Muhammad s.a.w. membaca di atas nama Tuhan yang menciptakan.

Perintah ini bukanlah menyuruh Rasulullah s.a.w. pergi belajar membaca atau sebagainya, ini kerana Muhammad s.a.w. sebaik habis dipeluk Jibril a.s., secara langsung diajarkan kepadanya ayat 1 hingga 5 surah al Alaq  yang merupakan wahyu Allah yang pertama kepadanya. Muhammad s.a.w. diajarkan tentang ilmu, hikmah dan petunjuk secara langsung dari Allah. Berhadapan keadaan ini pada hari pertama tersebut, baginda lantas pulang ketakutan mencari kepastian tentang apa yang berlaku kepada baginda pada hari itu.

Sesuatu yang telah disembunyikan dari pengetahuan ramai berkenaan peristiwa ini ialah, apabila sahaja Jibril a.s. menghadirkan dirinya dalam rupabentuk seorang lelaki dan mengarahkan Muhammad s.a.w. untuk membaca dengan ayat perintah Iqra’ !, ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu petanda betapa pada hari itu, di dalam Gua Hira’ di atas Bukit Nur yang mulia, nabi terakhir bersama kitab penutup kepada segala kenabian telah diwahyukan Allah sepertimana yang telah Allah janjikan kepada ahli-ahli kitab dari kalangan orang-orang Yahudi. Mereka mengetahuinya lantas mereka menyembunyikannya melalui pelbagai tipu helah yang mereka jalankan.

Peristiwa yang berlaku di dalam Gua Hira’ tersebut ada disebut bakal berlaku sepertimana yang disebut di dalam Kitab Isaiah fasal 29 ayat 11 hingga 12 seperti di bawah:

11 And the vision of all this is become unto you as the words of a writing that is sealed, which men deliver to one that is learned, saying: 'Read this, I pray thee'; and he saith: 'I cannot, for it is sealed';
12 and the writing is delivered to him that is not learned, saying: 'Read this, I pray thee'; and he saith: 'I am not learned.'

Sebelum itu, konteks ayat di dalam Isaiah fasal 29 perlu ditelitikan supaya gambaran penuh yang lebih adil dapat disimpulkan.

Konteks Ayat Isaiah fasal 29 ayat 1 hingga 12.

Konteks ayat di dalam Isaiah fasal 29 menceritakan tentang Ariel yang merupakan nama kriptik yang merujuk kepada Jerusalem. Jerusalem telah diramalkan bakal dimusnahkan kerana mereka menolak untuk patuh kepada perintah Tuhan. Walaubagaimanapun, Tuhan akan menolong Kota Suci itu dengan memusnahkan musuh-musuh yang cuba melakukan serangan sekiranya mereka kembali mematuhi arahan serta perintah Tuhan. Musuh-musuh Kota Suci itu adalah termasuk golongan yang tidak beriman kepada Tuhan yang telah mencemarkan Kota Suci tersebut dengan perbuatan-perbuatan mereka melanggar arahan Tuhan. Tiada musuh yang akan berjaya menumpaskan Jerusalem sekiranya Tuhan memilih untuk bersama dengan mereka. Untuk Tuhan bersama dengan mereka, haruslah mereka memenuhi tuntutan Tuhan. Semua yang merosakkan kesucian Kota Jerusalem akan dimusnahkan.

Disebabkan kedegilan Bani Israel, Tuhan akan mematikan hati mereka. Keadaan ini dinamakan sebagai mereka bakal mengalami satu tidur (spiritual) yang sangat mendalam. Mereka seolah-olah manusia yang tidak lagi hidup dengan pedoman. Lalu mereka digambarkan sebagai manusia-manusia yang kelihatan mabuk tetapi tidak disebabkan oleh minuman keras. Mereka juga digambarkan sebagai manusia yang sentiasa terhuyung-hayang sedangkan mereka tidak mabuk kerana arak.

Tiba keadaan ini nanti, Tuhan akan menutupi mata para Nabi Bani Israel dan pendita-penditanya yang diberikan karamah. Ia bermaksud bahawa, keistimewaan Bani Israel sebagai satu umat yang sentiasa diperintah oleh kalangan nabi-nabi akan ditarik balik. Keadaan ini bakal berlaku pada ketika berlakunya satu peristiwa di mana sebuah 'Kitab yang tertutup' diberikan kepada lelaki yang berpengetahuan tetapi tidak boleh membaca. Diberikan juga kitab tersebut kepada lelaki yang tidak mempunyai pengetahuan tentang kitab-kitab yang berada di dalam tangan mereka dan dia tidak dapat membaca.

For the LORD hath poured out upon you the spirit of deep sleep, and hath closed your eyes: the prophets and your rulers, the seers hath he covered.  And the vision of all is become unto you as the words of a book that is sealed, which men deliver to one that is learned, saying, Read this, I pray thee: and he saith, I cannot; for it is sealed: And the book is delivered to him that is not learned, saying, Read this, I pray thee: and he saith, I am not learned.
Terjemahannya : Kerana Tuhan akan menyebabkan kamu mengantuk dan tidur lena; (Dia) akan menutup mata nabi-nabimu dan pemimpin-pemimpinmu, begitu juga Dia akan menudungi mata para peramal. Dan segalanya akan kelihatan pada matamu sepertimana sebuah Kitab yang telah dimeterai, yang dibawa kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan, dengan berkata, Bacalah, aku merayu, dan dia berkata, Aku tidak dapat membaca; kerana ianya telah dimeterai: Kemudian Kitab itu akan dibawakan kepada seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan, dengan berkata: Bacalah, aku merayu; dan dia berkata; Aku tidak tahu membaca.

Terjemahan King James yang dipetik di atas merupakan ayat yang diambil dari Kitab Isaiah fasal 29 ayat 10 hingga 12. Untuk mendapatkan maksud yang lebih jelas, kita harus kembali kepada teks di dalam Bahasa Hebrew seperti di bawah untuk dilakukan penilaian.



Ia diterjemahkan seperti berikut :

Akan ditunjukkan kepada kamu, segala yang menyerupai ayat-ayat ini di dalam Ha Sefer He Khatum, yang mana mereka berikan kepada dia yang berpengetahuan tentang tulisan Kitab ini,  dan Kami katakan padanya, Bacalah, maka dia berkata : Aku tidak mampu, kerana kitab itu tertutup.

Lalu diberikan Sefer tersebut kepada dia yang tidak mempunyai pengetahuan, lalu dikatakan kepadanya: Bacalah, maka dia berkata : Aku tidak tahu membaca.

Muslim yang biasa dengan kisah bagaimana wahyu pertama disampaikan akan segera menyedari bahawa terdapat kemungkinan apa yang disebutkan oleh Isaiah di dalam Kitab Isaiah fasal 29 ayat 10 hingga 11 seperti yang saya terjemahkan di atas, merujuk kepada peristiwa yang bakal berlaku di Gua Hira’. Ia memerlukan keterangan-keterangan serta bukti-bukti tambahan untuk membolehkan ianya dipastikan bahawa ia sememangnya merujuk kepada peristiwa di Gua Hira’ yang dinyatakan bakal berlaku 1,300 tahun lebih dari zaman Isaiah. Ia telah disebutkan kepada Bani Israel lebih 1,300 tahun lamanya sebelum kemunculan Muhammad s.a.w.. Selama lebih 1,400 tahun lamanya pula mereka cuba menyembunyikan perkara ini dari pengetahuan manusia. Penulisan ini merupakan satu usaha untuk membongkar rahsia yang menyelubungi perkara yang berusia hampir 3,000 tahun ini.

Beberapa hujah hasil penelitian yang telah saya lakukan sebelum ini akan saya muatkan bagi menyokong keterangan yang menyatakan Isaiah fasal 29 ayat 11 dan 12 di atas merujuk kepada kepada peristiwa di Gua Hira’.

Oleh kerana terdapat sedikit masalah teknikal untuk muatnaik video berkenaan Sealed Scroll, InsyaAllah, penulisan akan saya sambung sebelum 14 Ogos 2012 jam 11:30 malam. Saya cuba atasi masalah ini sebelum esok.. InsyaAllah (update : 13 Ogos 2012)
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

3 comments:

Ryuji Asada said...

Mintak kebenaran share artikel dr blog ni untuk d panjangkn dlm email,tq

satuhala said...

Tiada masalah saudara Ryuji Asada.. boleh sahaja.. semoga manfaatnya lebih meluas dari perkongsian yang dibuat.. TQ.

Anonymous said...

kamu seolah2 mengatakan tentang jemaah dakwah