Thursday, September 20, 2007

Agama menyebabkan manusia berperang, bermusuh-musuhan dan berpuak-puak… Benarkah begitu?

2
Oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamuaalaikum warahmatullah buat semua pengunjung wilayah ini dan selamat sejahtera diucapkan juga kepada mereka yang bukan Islam yang juga mengikuti garapan akal ini saban hari… terima kasih di atas semua email yang menyokong usaha ini terutamanya dari student-student dan warga Malaysia di luar negara yang mendoakan supaya apa yang dibuat di sini dirahmati Allah dan mendapat bimbinganNya pada setiap saat dan masa. Email-email saudara dan saudari dari Amerika, Afrika, Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Korea saya hargai semuanya. Tak lupa juga kepada warga Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura yang kerap singgah ke sini. Terima kasih semua…

Baru-baru ini, sebuah email singgah ke dalam kotak masuk saya. Hangat nampaknya debat yang berlangsung dalam sebuah group hasil provokasi seorang yang mendakwa dirinya mantan Islam. Tahniah diucapkan kepada semua saudara yang berusaha memperbetulkan persepsi dangkal dan provokasi yang dilakukannya dengan cara ilmiah dan cara paling berhemah. Walaupun ada juga yang marah-marah, tapi itulah lumrah jika menganggu sekumpulan manusia dengan kecintaan yang sama. Tidak semua manusia itu sama, ada yang boleh bersabar dan ada pula yang pantang dicabar. Terpaksalah si pencetus kontroversi berhadapan dengan semua peringkat dan jenis manusia yang akan memberi tindak balas. Jika berani membuat provokasi tentulah bersedia dan perlu berani menerima segala bentuk balasan dari semua peringkat dan jenis manusia.

Salah satu dari perkara yang dituduhnya ialah agama itu ciptaan manusia. Biarkanlah dia dengan tuduhannya yang tiada asas kerana dia tidak dapat berhujah untuk membuktikan dakwaannya. Jika menuduh tanpa bukti yang jelas di mahkamah, tentulah ianya tidak akan diambilkira. Rata-rata semua orang Islam percaya dan yakin bahawa agama Islam ini datangnya dari Allah.

Persoalannya mengapa perlu beragama jika agama yang ada hanya mencetus permusuhan, menyebabkan manusia berperang dan menjadi berpuak-puak? Ini sudah sangat biasa kita dengar dari mulut mereka yang menganuti dogma yang menafikan kewujudan Tuhan pencipta seluruh alam ini. Teringat dengan bait dari lagu Imagine dari John Lennon, dia membayangkan jika dunia ini tanpa ada agama, tentulah akan aman sejahtera. Begitu juga sekiranya kita berbicara dengan mana-mana individu yang cuba menafikan kewujudan Tuhan dan tidak percaya kepada agama, jika ditanya kepada mereka, apakah yang menyebabkan mereka tidak mahu mempercayai mana-mana agama, lantas jawapan sebegini akan terpacul dari mulut mereka. Agamalah yang menyebabkan manusia bersengketa, berperang, bermusuh-musuhan dan hidup berpuak-puak. Alasan dangkal ini adalah sangat tidak masuk akal untuk dijadikan hujah mengapa mereka menolak untuk beragama.

Sungguh golongan yang mendukung fahaman sebegini bukanlah satu golongan yang suka memerhatikan sekeliling mereka dan berfikir matang sebagaimana yang mereka dakwa. Apakah mereka tidak memerhatikan disekeliling mereka?

Jika anda seringkali dan gemar menonton rencana Discovery dan National Geographic, pastinya anda akan ketemui rencana atau pun dokumentari yang memaparkan kehidupan binatang liar dan buas di serata dunia. Binatang-binatang ini hidup berpuak-puak meskipun dari spesis yang sama. Antara satu puak dengan satu puak yang lain pula seringkali tercetus pergaduhan bagi merebut kawasan jajahan dan berebut makanan. Yang paling mengejutkan ialah pernah satu hari saya menyaksikan rancangan National Geographic yang memaparkan kehidupan sekumpulan chimpanzee yang diketuai seekor chimpanzee jantan. Kalau tak silap saya, tajuknya lebih kurang begini, 'Darkside Of The Chimps'. Dalam salah satu episod dokumentari tersebut memaparkan satu perbuatan yang tidak terjangka oleh mereka-mereka memfilemkan kehidupan kumpulan chimpanzee ini. Entah kenapa tiba-tiba pada suatu pagi yang awal, kelihatan seakan-akan kumpulan chimpanzee ini bersiap-siap dan berkumpul untuk bergerak. Maka krew filem tersebut menyusuri perjalanan yang dibuat oleh kumpulan chimpanzee tersebut sejauh beberapa kilometer. Apa yang berlaku seterusnya amatlah mengejutkan, rupanya tujuan perjalanan yang dibuat itu bukanlah untuk mencari makan atau kawasan tempat tinggal yang baru, tapi semata-mata untuk membuat satu serangan terancang ke atas satu lagi puak chimpanzee yang bermusuhan. Selepas puas menghalau dan bergaduh, kumpulan chimpanzee tersebut pulang ke kawasan asal mereka.

Nah! Jika benar agamalah yang mencetus permusuhan, maka agama apakah yang dianuti kumpulan chimpanzee itu tadi? Apakah pula agama yang dianuti oleh binatang-binatang lain yang sentiasa juga bergaduh, hidup berpuak-puak dan saling serang menyerang antara satu sama lain? Kitab apakah yang mereka baca yang menyuruh mereka bertindak sedemikian rupa? Tak perlu pergi jauh untuk menyaksikan semua ini, sekumpulan anjing liar di taman perumahan juga bermusuhan dengan sekumpulan anjing liar dari tempat yang lain. Jika anda membela kucing, tentulah anda tahu bagaimana kucing tersebut menandakan kawasan jajahannya dengan kencing di merata-rata. Sekiranya ada kucing lain yang masuk ke jajahannya, maka berperanglah kedua ekor itu jawabnya. Entah apalah kitab agama yang dibaca oleh kucing itu tadi sehingga menghasut ia supaya bermusuh-musuhan antara satu sama lain. Bukankah bodoh bagi orang yang mendakwa bahawa agama itulah yang mencetus sengketa, padahal kekejaman, permusuhan, peperangan, pergaduhan, merebut kawasan dan semua bentuk keganasan ini sebenarnya merupakan satu sifat lahiriah yang ada pada setiap makhluk yang dibekalkan dengan nafsu oleh Yang Maha Pencipta.

Agamalah yang mengekang permusuhan dan mengarahkan persaudaraan :

Agama itu sebenarnya bertujuan mengekang perilaku buruk dan permusuhan serta mendidik manusia supaya tidak berperilaku seperti binatang. Tiada banyak bezanya antara manusia dengan seekor anjing. Seekor anjing jika ia lapar, ia akan keluar mencari makan. Begitu juga dengan manusia yang bekerja untuk mencari makan. Seekor anjing apabila tiba waktu ia berkumuh, maka ia akan mencari tempat yang sesuai dan melepaskan hajatnya. Begitu juga dengan manusia. Seekor anjing jika ia di dorong ransangan seksual, serta merta ia mencari pasangan. Begitu juga dengan manusia, ransangan seksual juga sebahagian dari lumrah diri kita sebagai manusia. Cuma kita tidak melakukannya secara terbuka dan suka-suka. Lumrah itu disalurkan melalui cara yang diredha dan dihalalkan oleh Yang Maha Pencipta. Bagi yang melakukannya dengan suka-suka di tempat terbuka tanpa memikirkan pahala dan dosa serta banyak pula pasangannya, mungkin menyedari dia tergolong dalam kumpulan mana. Seekor anjing jika ia bermusuh ia akan terus saja bergaduh. Tapi bagi manusia yang bermusuh, dia dikekang oleh agamanya untuk tidak meneruskannya dan mencari jalan penyelesaian paling berhemah supaya masalah tersebut boleh diselesaikan tanpa ada pertumpahan darah. Yang membezakan manusia dengan haiwan ialah agamanya. Manusia itu beragama dan tidak boleh suka-suka melakukan apa saja mengikut kata hatinya, atau dalam bahasa kasarnya 'suka hati mak bapak dia'. Berlainan dengan haiwan, mereka boleh melakukan apa saja menurut kemahuan nafsu yang sudah ditetapkan ke atas mereka. Maka tiada bezanya manusia yang tidak beragama dengan haiwan kecuali manusia itu dikurniakan akal untuk menilai tapi tidak digunakannya.

Kenapa pula manusia perlu beragama sedangkan haiwan tidak pula?

Persoalan ini pastinya dicetuskan pula oleh mereka yang mendukung doktrin dan dogma yang menafikan agama. Memang sangat wajar manusia itu beragama. Ini kerana dalam jutaan makhluknya yang wujud di muka bumi ini, hanya jin dan manusia saja Allah s.w.t. kurniakan akal. Sifat akal pula perlu dikawal kerana ianya boleh memudahkan dan dalam masa yang sama ianya juga boleh memudaratkan. Kemusnahan yang diakibatkan oleh persengketaan di alam haiwan tidak memberikan kesan langsung kepada bumi tempat kita tinggal ini. Tapi jika persengketaan berlaku antara dua golongan manusia pula, bumi boleh jadi hancur kerananya. Jadi untuk memastikan akal yang dikurniakan Allah s.w.t. itu tidak digunakan untuk memudaratkan mana-mana pihak dan menghancurkan satu-satunya planet yang boleh didiami dalam sistem suria kita ini, manusia di didik Allah dengan agama. Tujuan utama bagi agama ialah untuk kita mengenal Pencipta kita dan mengetahui apa tujuan sebenar kita diciptakan. Ini akan dihuraikan dalam bahagian II nanti.

Mengapa perlu kepada agama sedangkan kita memiliki undang-undang untuk mengekang segala kebobrokan yang akan dilakukan manusia?

Ramai sebenarnya terlupa dengan mengemukakan hujah seperti ini. Undang-undang terawal direkodkan sejarah melalui bukti arkeologi ialah Kod Hammurabi di Babylon. Hammurabi yang merupakan Raja Amorite pada 1800 BC menggubal hukum-hukum dalam kod Hammurabi ini sebagai memenuhi janjinya kepada tuhan Marduk untuk berbuat demikian.

Pada gambar yang diukir pada tiang-tiang yang memaparkan Kod tersebut, terukir gambar tuhan Babylon yang bernama Shamash, iaitu tuhan matahari, yang digambarkan menyerahkan kalung dan cincin kepada Hammurabi sebagai metafora kepada asal undang-undang ini. Maka, undang-undang tertua mengikut bukti dari kajian arkeologi dengan tiada syaknya mengaitkan aspek ketuhanan sebagai asal kepada sumbernya. Menurut ramai pengkaji barat, mereka pula menyatakan bahawa hukum-hukum dalam Torah (iaitu ayat-ayat dari kitab Taurat) merupakan undang-undang yang tertua. Undang-undang ini juga berasal dari Tuhan.

Dalam Islam undang-undang pertama yang terawal dikenakan ke atas manusia ialah undang-undang yang dikenakan Allah s.w.t. ke atas Nabi Adam a.s. supaya tidak menghampiri dan memakan buah khuldi di dalam syurga. Atas dasar cintanya kepada Allah s.w.t. dan kerana ingin beribadat selama-lamanya untuk bersyukur tanpa henti-henti kepada Allah yang menciptakannya, baginda a.s. pun memakannya hasil pujuk rayu isterinya Hawa. Rupanya apa yang dikata oleh sang Iblis itu tipu daya semata. Sehinggakan menyebabkan mereka berdua dikeluarkan dari syurga.

Undang-undang seterusnya diwahyukan Allah s.w.t. melalui pesuruh-pesuruhnya yang dilantik bagi membawa keterangan-keterangan dan peraturan bagi membolehkan manusia itu hidup dengan aman dan sentosa. Perlulah diingat bahwa undang-undang bukanlah bagi tujuan menghukum, tapi bagi tujuan memelihara dan membela supaya tiada insan yang dimangsai dan dikejami. Ini kerana kekejaman manusia itu lebih buruk daripada binatang. Lihat saja apa yang dilakukan binatang haram jadah bertopengkan manusia ini ke atas kanak-kanak yang tak berdosa ini. Syaitan apakah yang merasuknya untuk berbuat sedemikian rupa. Apakah dosa yang dilakukan mangsa sehingga selayak itu diperlakukannya. Tanyalah siapa saja.. Melayu, Cina dan India. Jika diberikan peluang melalui undang-undang, pasti mereka ingin turut serta merejam dengan batu sehingga mati si bangsat berhati syaitan ini, pasti juga mereka akan dengan sukarela dan sukahati akan melakukannya. Entahlah.. rasanya taligantung bukan jawapan terbaik untuknya. Mengapa mesti memudahkan baginya untuk kembali sedangkan si mangsanya di seksa sedemikian rupa sebelum si mangsa dikembalikan kepada Pencipta!!! Semoga Allah menghukumnya di dunia dan terus menghukumnya dengan seksaan paling berat dalam neraka.

Berbalik kepada persoalan tadi, wahyu-wahyu yang Allah s.w.t. sampaikan kepada manusia inilah yang menjadi asas kepada undang-undang yang membentuk cara hidup sosial dalam masyarakat. Undang-undang yang sedia ada hari ini merupakan cedokan dari hukum-hukum Tuhan yang telah dirasionalkan secara bangang oleh mereka-mereka yang merasakan diri mereka sebagai orang-orang yang berperikemanusiaan dan adil. Adilkah kes seperti yang menimpa adik kita di atas hanya dihukum dengan tali gantung? Apakah undang-undang yang sedia ada ini ingin membela si mangsa atau membela si ahli neraka? Cukupkah hukuman gantung? Bukankah lebih adil kepada si mangsa jika si pelakunya disula sebagaimana dilakukannya kepada simangsa dan kemudian direjam sampai mati!!!!! Sukar untuk melupakan wajah kanak-kanak tersebut, seksaan yang dialaminya menghantui setiap kali dipejamkan mata. Terbayang-bayang di setiap saat dan ketika. Sehingga mengganggu emosi dan cara kerja. Semoga Allah memberikan kesabaran kepada ibu bapanya, kita semua dan menghukumnya dengan seazab-azab hukuman di dunia dan di neraka. Maafkan saya kerana terbawa-bawa dengan cerita derita kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Berbalik kita sekali lagi kepada hujah bagi persoalan tadi. Sebagaimana kita maklum, Common Law itu sendiri berasal dari hukum-hukum yang digarap sedikit demi sedikit dari kitab Bible. Walau pun Thomas Jefferson dan ramai cendiakawan barat menafikan kaitannya dengan Kristian, tapi Common Law itu sendiri berubah dengan asimilasi pengaruh budaya dan agama Kristian ke dalam undang-undang yang berasal dari perundangan yang diamalkan oleh golongan Anglo-Saxon, bangsa dari satu puak Jerman yang menakluk dan menguasai England yang merampasnya dari bangsa Celtic. Sebab itulah dalam Common Law, wanita disana dianggap sebagai barang pemilikan sehinggalah gerakan liberasi feminisme berleluasa. (baca artikel ini)

Dalam kerajaan Melayu Melaka juga sehingga sebelum merdeka, tanahair ini diperintah di bawah kesultanan yang menggunakan undang-undang Syariah sebagai undang-undang utama. Sehinggalah para keturunan salibin itu menggubal perlembagaan baru bagi negara. Syukur seorang panelnya daripada dua yang Islam, Hakim Abdul Hamid, memasukkan artikel 3. Jika tidak apalah nasib bangsa ini nanti. Amat malang bagi sebuah negara merdeka apabila nasib pribuminya ditentukan oleh bangsa asing yang tiada kena mengena malah merupakan bekas penjajah. Apakah pribumi tidak layak menentukan nasib mereka sendiri? Biarpun suruhanjaya tersebut menerima 131 memorandum dari pelbagai pertubuhan politik, bukan politik dan individu yang memberi input kepada asas yang dimahukan, tetapi keputusan akhirnya yang dibuat oleh panel tersebut masih ditentukan dengan kata putus cadangan yang dibuat suruhanjaya terbabit setelah diperiksa dengan teliti oleh Jawatankuasa Bekerja (Working Committee) yang dianggotai 4 wakil Raja Melayu, Pesuruhjaya Tinggi British, Ketua Setiausaha, 4 orang wakil dari Parti Perikatan dan peguam negara. Tun Ahmad Fairuz baru-baru ini juga mencadangkan agar perundangan negara tidak lagi berkiblatkan Common Law dari United Kingdom kerana menurutnya, keupayaan badan perundangan negara kini sudah cukup matang dan bersedia untuk menggubal mana-mana undang-undang dengan sendirinya. Cadangan ini yang membuka sinar harapan baru bagaimanapun dibantah oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Itulah namanya perjuangan, pasti ada tentangan, tapi tentangan itulah yang menjadi manisan bagi kejayaan yang dicapai. Ibarat seorang yang tak pernah jatuh, manakan dia tahu nikmatnya dapat berdiri. Hanya bagi mereka yang seringkali jatuh, apabila berjaya dia berdiri, maka nikmat itu akan dirasakan penuh kemanisan.

Maka perkara yang dapat disimpulkan disini ialah, semua undang-undang yang wujud dalam dunia ini adalah berasal dari perundangan agama yang kemudian digubah sedikit demi sedikit oleh manusia kecuali undang-undang Allah s.w.t. Maka hujah sedemikian iaitu agama tidak diperlukan kerana kita mempunyai undang-undang adalah tidak berasas sama sekali. Wallahua'lam.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua.

Persoalan yang lebih panas mengenai tuduhan-tuduhan serta salah anggap terhadap Islam ada dimuatkan dan dihuraikan di dalam eNovel Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, sila KLIK SINI>>


Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

2 comments:

Anonymous said...

hanya org yg diberi kelebihan shj yg akan nampak bahawa SEMUA agama asalnya rekaan manusia,ada juga dgn pertolongan jin yg dtg 'menurun' berlakun seperti malaikat dipanggil wahyu..
jika tulisan kitab dtgnya wahyu tuhan manusia tak mungkin ingkar,sebab tidak ada satupun ciptaannya yg ingkar,lihatlah betapa teraturnya kejadian angkasa dan perjalanan bulan,bintang,galaksi berjalan ikut peraturan yg ditetapkan yg ilahi...
percaya tuhan bukan 'agama' yg sememangnya rekaan manusia.
jgn emosi kaji sendiri tulisan yg ikhlas ini..

satuhala said...

Hanya satu agama dari Tuhan dan ianya dinamakan Islam.. hanya yang bijak menggunakan akal dalam membuat perbandingan dan pemerhatian akan mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah lantas kekal dia di dalam Islam.. kepada yang tidak nampak dan merasakan kebutaan mereka itu satu keistimewaan.. bukankah sangat pelik seseorang tidak percaya kepada kewujudan tuhan tetapi percaya pula kepada kewujudan Jin, sedangkan kewujudan Jin itu diterangkan melalui kitab-kitab dari Allah.. haha.. semoga Allah memberikan kamu dan golongan kamu lorong hidayah.. termasuk kepada kamu Anonymous.. entah kenapa takut menyiarkan identiti sendiri.. mungkin tidak yakin dengan apa yang dirasakan diyakini sebelum ini... memang sangat ironi.