Friday, September 28, 2007

Pluralism : Apakah benar semua agama itu sama? Bhg. I

2

oleh Muhammad Ibn Az

Lewat ini, kita sering disogokkan dengan idea-idea yang menghina kekuatan akal manusia yang dikurniakan Allah s.w.t. Gerakan-gerakan yang bermula dari dakyah barat yang cuba membuka satu ruang dimensi penentangan yang berlainan rupa tapi berisikan sama dengan motif perjuangan salibin, mula menerjah negara kita secara mendadak dan bertubi-tubi.

Lebih malang lagi, gerakan seumpama ini seringkali ditunjangi oleh mereka-mereka yang ditunggangi akal dangkal dan golongan yang mengambil kesempatan. Baru-baru ini seorang pengunjung laman ini, saudara farith firdaus, menghantarkan sebuah email kepada saya yang mana isikandungannya mengandungi sebuah cerita mengenai potret pluralism yang bukan setakat diuar-uarkan oleh si penyanjungnya, malah dipraktikkan kini sebagai tanda sokongan terhadap apa yang dianutinya itu. Malang seribu kali malang, seorang pemimpin yang amat saya kagumi dan sentiasa saya doakan kesejahteraannya menjadi mangsa kepada anutan darah dagingnya sendiri.

Darah dagingnya yang merupakan antara orang terpenting beberapa NGO telah dengan dengan secara terbuka melakukan suatu perkara yang boleh kita tafsirkan sebagai sokongannya terhadap pluralism dalam beragama.

Mungkin ramai yang telah menerima email ini. Bagi yang tidak menerimanya, di sini saya berikan sedikit gambaran tentang apa yang berlaku. Seorang anak kepada seorang pemimpin yang disegani telah menjemput rakyat dan rakan-rakannya yang pelbagai agama untuk menghadiri satu majlis bacaan doa bagi mendoakan kesihatan ayahandanya yang tercinta. Cintanya kepada ayahandanya memang sesuatu yang fitrah dan sangat dituntut dilaksanakan dalam Islam. Mendoakan kesejahteraan dan kesihatan ayahandanya merupakan satu perkara terbaik yang boleh dilakukan seorang anak yang bertanggungjawab. Tapi setiap apa yang dilaksanakan hendaklah berlandaskan kepada syariat Islam yang telah jelas garis panduannya. Malangnya niat yang suci itu tadi dipalitkan dengan perbuatan yang memberikan gambaran bahawa terdapat masalah dalam perjanjiannya dulu dengan Rabbul 'Alamiin. Dulu dia pernah berjanji dengan Allah s.w.t. dengan janjinya 'La ila ha illallah' yang membawa maksud 'Tiada Tuhan Yang Disembah Selain Allah'. Ini ungkapan kalimah pertama dalam perjanjiannya dengan Tuhan Pencipta, Pemilik dan Pentadbir sekelian alam.

Tetapi program yang dilakukan sempena pembacaan doa selamat yang ditujukan kepada ayahandanya itu membawa gambaran yang menunjukkan program tersebut tergelincir dari perjanjian awalnya iaitu Tiada Tuhan Melainkan Allah. Program tersebut dimulakan dengan solat maghrib yang di ketuai oleh seorang imam dan kemudiannya diteruskan dengan program bacaan doa selamat oleh tokoh-tokoh ketua agama lain dan diakhiri oleh bacaan doa oleh seorang Imam. Jika niatnya untuk berdakwah dengan menunjukkan perbezaan antara amalan Islam dengan agama lainnya dalam cara berdoa, dan dapat membuka hati penganut agama lain untuk tertarik hati dengan cara sesuatu itu dilakukan dalam Islam, maka perbuatannya itu bolehlah dianggap sebahagian dari dakwah. Tetapi jika niatnya semata-mata bagi membolehkan ayahandanya didoakan oleh pelbagai manusia yang menyembah pelbagai tuhan bagi membolehkan ayahandanya cepat sembuh, maka dia telah melanggar janjinya yang pertama sebagai orang-orang yang berserah diri kepada Allah s.w.t.

Dengan menjemput atas kehendak diri sendiri para sami Buddha, pundit dan swami Hindu, paderi dan beberapa kafir tegar (kekal kafir dan belum kembali kepada Islam.. di masa depan hanya Allah sahaja yang tahu), ini secara tidak langsung membawa kepada pengiktirafan bahawa ada tuhan lain yang mendengar dan akan memakbulkan doa bagi yang meminta selain kepada Allah, pendek kata 'Ada tuhan lain selain Allah'… Na'uzubillah… maka perbuatan seperti itu seumpama mengiktiraf Vishnu, Brahma, Krishna, Buddha (perlu diingat, tiada konsep ketuhanan terdapat dalam agama buddha. Penganut Buddha yang menganggap Buddha sebagai tuhan hanyalah melakukannya secara ikut-ikutan dan tidak mengikut ajaran yang ditegaskan dalam Tipitaka iaitu kitab ajaran Buddha) dan Jesus (iaitu anak tuhan seperti yang diyakini golongan Katolik dan sebahagian besar penganut Kristian, dan bukanlah Nabi Isa a.s. sebagai mana yang wajib kita orang Islam beriman dengannya) mempunyai kuasa yang sama dengan Allah untuk mendengar rintihan dan doa-doa yang ditujukan kepada mereka dan sekaligus memakbulkannya. Perbuatan mengiktiraf seumpama ini amat melanggar syahadah kita yang pertama sebagai Muslim iaitu Tiada Tuhan Melainkan Allah. Padahal semua objek dan tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah itu tidak langsung boleh mendatangkan apa-apa manfaat dan kemudaratan kepada kepada mereka.

Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: "Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan." (Yunus 18)

Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri. Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat. (Al A'raf 198)

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al Hajj ayat 73 :

Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

Membaca saja ayat 73 surah Al Hajj ini membuatkan hati berasa kagum dengan perumpamaan yang digunakan Allah s.w.t. supaya menyedarkan manusia-manusia yang sesat. Bayangkan seekor lalat mencuri sesuatu dari berhala-berhala tersebut dan berhala-berhala itu tak dapat berbuat apa-apa pun! Jika untuk mempertahankan diri dari lalat yang merompak pun tak boleh, masakan semua berhala itu dapat memakbulkan doa manusia?

Dalam hal ini, jelas perbuatan menjemput swami, sami dan paderi untuk turut serta berdoa merupakan satu perbuatan yang meletakkan Brahma, Vishnu, Krishna, Jesus dan Buddha pada kedudukan yang setaraf dengan Allah s.w.t… Na'uzubillah.

Apakah telah hilang keyakinannya dan percayanya kepada Allah sehingga diperlukan tuhan-tuhan tambahan supaya dapat memastikan salah satu dari doa yang dipohonkan itu dimakbulkan? Atau mungkinkah penyakit pluralism yang bersarang di otak kini mula diterjemahkan melalui perbuatan?

Pluralism di zaman Rasulullah s.a.w. :

Konsep pluralism yang cuba diketengahkan kepada orang-orang Islam bukanlah satu perkara yang baru. Ianya bermula semasa zaman Rasulullah s.a.w. itu sendiri. Bentuknya sama dengan apa yang cuba diketengahkan golongan kafir yang tak pernah berputus asa semenjak 1400 tahun yang lalu. Yang menyedihkan pula, kini terdapat ramai orang Islam yang berpendidikan tinggi terpengaruh dengan idea pluralism ini. Di zaman Rasulullah s.a.w., kaum musyrikin Mekah pernah datang dan berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. berkenaan tawaran supaya baginda menghentikan kegiatan dakwahnya serta berhenti mengatakan perkara yang tidak disenangi mereka mengenai berhala yang disembah mereka. Mereka menawarkan segala bentuk kemewahan dan wanita-wanita tercantik untuk dihadiahkan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai balasan jika Rasulullah s.a.w. menghentikan kegiatan dakwahnya. Rasulullah s.a.w. menolak tawaran tersebut mentah-mentah. Lalu mereka-mereka ini yang masih tidak berputus asa, bertemu Rasulullah s.a.w. sekali lagi untuk memujuk baginda dengan satu bentuk tawaran dalam bentuk lain. Bentuk yang dimaksudkan tersebut ialah bentuk pluralism dalam beragama. Musyrikin Mekah berkata kepada Rasulullah s.a.w. :

"Hai Muhammad, kemarilah, mari kamu sembah apa yang kami sembah, maka kami pun akan sembah Tuhan yang kamu sembah dan marilah kita bersama-sama bersekutu antara kami dan kamu dalam perkara ini secara keseluruhan,"

Mereka ini mempelawa Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyembah berhala mereka selama setahun dan kemudian pada tahun berikutnya pula, mereka menyembah pula Allah sebagai balasan selama satu tahun. Dan ini akan dilakukan secara berselang seli dari satu tahun ke satu tahun. Nabi Muhammad s.a.w. tidak terus menjawab pelawaan mereka. Baginda hanya mengatakan tunggulah putusan yang diberikan Rabb-ku nanti.

Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan ayat 64 surah Az Zumar kepada baginda :

Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: "Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?"

Dan surah Al Kafiruun juga diwahyukan Allah memberi putusan mengenai pelawaan mereka ini.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. "Dan aku tidak akan menyembah dengan cara kamu menyembah. "Dan kamu pula tidak mahu menyembah dengan cara aku menyembah. "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku". (Al kafiruun ayat 1-6)

Mungkin akan ada yang cuba membela dengan mengatakan bahawa mereka melakukan pembacaan doa mengikut cara agama masing-masing, Islam dengan cara Islam, Hindu dengan cara Hindu, Kristian dengan cara Kristian dan Buddha dengan cara Buddha. Pastinya mereka akan mengatakan bahawa apa yang dilakukan mereka adalah selari dengan apa yang diwahyukan Allah dalam surah Al Kafiruun ini pada ayat "Dan aku tidak akan menyembah dengan cara kamu menyembah. "Dan kamu pula tidak mahu menyembah dengan cara aku menyembah.". Sebenarnya itu tidak benar. Perbuatan menjemput mereka-mereka yang menyembah tuhan selain Allah bererti memberikan satu pengiktirafan kepada kesesatan yang diamalkan mereka selama ini. Syahadah yang dilafazkan kita oleh umat Islam telah mengikat kita dengan satu janji suci dengan Allah dengan keimanan dalam memperakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Jadi apa saja perbuatan yang bertentangan dengan akujanji kita dengan Tuhan sekelian alam ini hendaklah dielakkan.

Sekiranya hendak berdoa, cukuplah kita berdoa kepada Allah s.w.t. sahaja. Tak perlulah dijemput mereka-mereka yang tidak beriman kepada Allah, kelak bukan pertolongan yang akan tiba tapi murka Allah pula kepada kita yang kita terima. Sekiranya mereka hendak melakukannya dengan sukarela, biarkanlah tapi jangan kita yang menginisiatifkannya, menjemput atau terlibat sama. Tidak mengiktiraf bukanlah membawa maksud sehingga mencerca-cerca berhala mereka, kerana itu dilarang oleh Allah s.w.t.:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Al An'aam ayat 108)

Pluralism di masa kini bertitik tolak dari fahaman yang mengatakan semua agama itu sama. Pada mereka, semua agama itu mengajak kepada perbuatan baik dan menjauhi perbuatan mungkar dan keji. Apakah apa yang dikatakan mereka ini betul dan benar? Sekiranya sama, maka bolehlah beribadat dan sembahyang dalam tempat yang sama dan dengan cara yang sama. Tapi apa yang dikatakan mereka itu adalah salah sama sekali. Dari aspek tauhid lagi ianya telah menunjukkan perbezaan ketara.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk". (Al An'aam 56)

Perbezaan Dari Aspek Tauhid

Dari aspek tauhid, kita semua orang Islam menyembah Allah Yang Maha Esa. Tanyakan saja kepada mana-mana orang Islam siapa Tuhan mereka. Pastinya hanya satu jawapan ini diberikan dengan penuh keyakinan iaitu Tuhan mereka ialah Allah s.w.t. Jika ditanyakan kepada seorang Yahudi siapakah Tuhan mereka? Maka pasti dia akan memberikan jawapan sebagai G-d, bukan God, tapi G-d. Kenapa G-d? Ini kerana mereka menyatakan bahawa transkrip asal Kitab-Kitab lama mereka telah diubahsuai banyak kali sehinggakan hilang dan tidak jelas apa nama Tuhan mereka sendiri. Jika ditanyakan pula perihal siapa tuhan yang disembah kepada mana-mana penganut Kristian dengan soalan siapa tuhan anda? Anda pasti akan mendapat berbagai-bagai jawapan dari mereka. Ada yang menyatakan Allah (biasa digunakan Kritian Arab dan Indonesia), ada juga yang menamakan Tuhan mereka sebagai Yahweh atau Jehovah dan ada yang akan menamakan Jesus Christ sebagai Tuhan mereka. Jika anda bertanya pula kepada penganut Hindu, siapakah Tuhan mereka? Pasti jawapan yang berbeza juga dengan 330 juta nama akan diberikan mereka dari seorang ke seorang. Tapi yang paling lazim ialah Brahma, Vishnu dan Krishna. Jadi, pada perkara yang sangat asas dalam beragama pun sudah timbul kekeliruan, maka bagaimana pula dengan hal-hal lain?

Itu baru pertanyaan mengenai Siapa yang harus disembah dalam kepercayaan mereka. Syukur kita punya kejelasan dalam mengenali Pencipta kita. Kemudian jika ditanyakan kepada semua penganut pelbagai agama, apakah yang disebut dalam kitab yang dikatakan diturunkan oleh Tuhan mereka yang menceritakan mengenai sifat Tuhan mereka?

Jika soalan ini dikemukakan kepada orang Islam, pastinya ayat Kursi ini antara yang menjadi pilihan sebagai jawapan lengkap untuk menggambarkan Siapa itu Allah.

Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (Darjat dan KemuliaanNya), lagi Maha Besar (Al Baqarah ayat 255)

Allah s.w.t. menggambarkan DiriNya segagai Yang Maha Hidup, tidak mengantuk malah tidak pernah tidur. Allah Maha Mengetahui dan tiada apa yang tersembunyi dari pengetahuanNya. Itu antara sifat yang dimiliki Allah sebagaimana yang dinyatakan olehNya sendiri dalam Al-Qur'an.

Tapi sifat Tuhan tidak demikian pula di dalam Bible, Tuhan dikatakan menyesal dengan penciptaan manusia yang banyak membuat kerosakan di muka bumi dan Dia akan memusnahkan kesemuanya disebabkan penyesalannya ini! Ini menunjukkan bahawa Tuhan yang digambarkan dalam Bible tidak mempunyai pengetahuan mengenai apa yang Dia sendiri ciptakan. Bukankah ini bertentangan dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui? Apakah boleh dianggap Tuhan yang digambarkan dalam Bible ini sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui dengan tidak kenal ciptaanNya sendiri?

{6:5} And GOD saw that the wickedness of man [was] great in the earth, and [that] every imagination of the thoughts of his heart [was] only evil continually. {6:6} And it repented the LORD that he had made man on the earth, and it grieved him at his heart. {6:7} And the LORD said, I will destroy man whom I have created from the face of the earth; both man, and beast, and the creeping thing, and the fowls of the air; for it repenteth me that I have made them. (Genesis 6 : 5 -7)

Terjemahannya : 6:5 Ketika dilihat TUHAN, bahwa kejahatan manusia di bumi dan bahwa segala kecenderungan hatinya selalu membuahkan kejahatan semata-mata, 6:6 maka menyesallah TUHAN, bahwa Ia telah menjadikan manusia di bumi, dan hal itu memilukan hati-Nya. 6:7 Berfirmanlah TUHAN: "Aku akan menghapuskan manusia yang telah Kuciptakan itu dari muka bumi, baik manusia maupun hewan dan binatang-binatang melata dan burung-burung di udara, sebab Aku menyesal, bahwa Aku telah menjadikan mereka."

Apakah adil bagi Tuhan yang menyesali tindakannya menciptakan manusia, lalu dihapuskan serta dimusnahkan semua manusia termasuk haiwan-haiwan yang tak berdosa?

:23 And when he was entered into a ship, his disciples followed him. 8:24 And, behold, there arose a great tempest in the sea, insomuch that the ship was covered with the waves: but he was asleep. 8:25 And his disciples came to him, and awoke him, saying, Lord, save us: we perish.

Terjemahannya : 8:23 Lalu Jesus naik ke dalam perahu dan pengikut-pengikut-Nya pun mengikuti-Nya. 8:24 Sekonyong-konyong mengamuklah angin ribut di danau itu, sehingga perahu itu ditimbus gelombang, tetapi Jesus sedang tidur. 8:25 Maka datanglah pengikut-pengikut-Nya membangunkan Dia, katanya: "Tuhan, tolonglah, kita binasa."

Apakah tidur itu sebahagian dari sifat Tuhan? Bukankah amat bertentangan sekali sifat yang ada pada Jesus yang dianggap sebagai Tuhan oleh majoriti umat Kristian. Syukur kita dilahirkan di dalam Islam kerana Allah sentiasa melindungi kita setiap masa kerana Dia tak pernah mengantuk apatah lagi tidur.

Di dalam epik Ramayana (Hikayat Seri Rama di Malaysia suatu ketika dulu) yang dianggap sebagai veda ke enam bagi penganut Hindu, Brahma telah melakukan satu kesilapan yang besar apabila dia menganugerahkan keistimewaan kepada Ravana, yang merupakan Rakshasa yang digambarkan sebagai memiliki sepuluh kepala dan 20 (dua puluh) tangan. Keistimewaan yang dimaksudkan tersebut ialah Ravana tidak akan sama sekali dapat dibunuh oleh mana-mana tuhan, syaitan atau roh. Brahma menganugerahkan keistimewaan tersebut kepada Ravana setelah Ravana bertaubat dan menjalani hukuman selama 10 ribu tahun dan mengabdikan dirinya dalam tempoh tersebut dengan berkelakuan baik. Disebabkan kelakuan ini, Brahma menganugerahkannya dengan keistimewaan tersebut. Setelah mendapat keistimewaan itu, Ravana melakukan onar di muka bumi dengan mengganggu manusia terutama golongan Brahmin dalam kehidupan mereka dan ibadat mereka. Oleh kerana Brahma tidak boleh menarik balik keistimewaan yang diberikan kepada Ravana sebagai memenuhi janjinya, Brahma meminta bantuan Vishnu, yang merupakan Tuhan juga dalam agama Hindu, supaya dapat menjelma ke dalam bentuk manusia dan turun ke bumi untuk memburu dan membunuh Ravana. Ini kerana dalam permintaan Ravana kepada Brahma dulu, dia hanya meminta supaya dia tidak dapat dibunuh oleh para tuhan, dewa, syaitan dan roh. Tapi Ravana tidak meminta perlindungan dari pembunuhan yang dilakukan manusia dan binatang. Oleh sebab terdapat peluang sedemikian, maka Vishnu pun turun ke dunia menjelma ke dalam bentuk manusia dan di kenali sebagai Rama. Dari cerita dalam epik Ramayana ini sendiri elah tergambar bahawa Brahma tidak sedar dan mengetahui apa yang bakal berlaku apabila perlindungan dan keistimewaan dia anugerahkan kepada Ravana. Bukankah ini juga bertentangan dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui? Jadi bolehkah disamakan Allah dengan figura-figura yang dikatakan sebagai tuhan tapi bersifat dengan berbagai sifat manusia yang perlukan tidur dan tidak mengetahui apa yang dilakukannya?


bersambung di bahagian 2 nanti... InsyaAllah.. (Untuk membaca bahagian 2, klik sini!)


Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua.

Sebahagian dari kupasan dalam artikel di atas di petik dan di olah dari eNovel Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, sila KLIK SINI>>

atau klik banner di bawah ini


Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

2 comments:

Anonymous said...

Encik Muhammad Ibn 'Az,

Saya sungguh kagum dengan penjelasan, keterangan dan pendapat anda yang amat terperinci.

Sedikit sebanyak, dapat juga saya menimba ilmu darinya.

Terima kasih.
zalin_lin@yahoo.com.sg

satuhala said...

Assalamualaikum Zalin,
Terima kasih atas sokongan, segalanya dari Allah dan Dia memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki. Dari alamat email anda, mungkin anda berasal dari Singapura, lama sudah saya tak ke sana. Kali terakhir tahun 2001 iaitu tahun terakhir saya bekerja di sana sebelum kembali ke Pulau Pinang. Semoga semua orang Islam Singapura sentiasa dalam peliharaan Allah dan mendapat Rahmat dariNya.. TQ sebab comment.. wassalam...