Sunday, September 23, 2007

Al-Qur'an lebih membahayakan berbanding Bible Bahasa Melayu?

4
Oleh Muhammad Ibn 'Az

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan Sekelian alam zahir, ghaib dan alam-alam yang tak pernah diketahui dan dikenali manusia. Selawat dan salam bagi baginda Rasulullah s.a.w. Rahmatan lil 'alamin yang tercinta dan doa kesejahteraan bagi semua Ahlul Bait, para sahabat, Tabi'in, syuhada, alim ulama', mereka-mereka yang disayangi, dicintai dan diberkati Allah s.w.t. termasuk semua makhluk-makhluknya yang sentiasa bertasbih dan patuh kepada semua perintah Allah.

Beberapa ketika yang lalu, singgah sebuah email ke dalam kotak masuk dalam akaun email, ditengah-tengah kalut dan ribut mengenai masalah murtad dan kes mahkamah berkenaan seorang gadis malang yang terpesong akidahnya. Pengirim yang menghantarkannya memilih tajuk yang boleh membuat semua hati yang mengucapkan syahadah bergelora dengan ombak duka dan marah.

500 tahun yang lalu ketika dipijak dan diludahi berbagai bangsa penjajah, dari hidung yang berparuh hinggalah yang katik, boleh dibilang dengan jari mereka-mereka yang meninggalkan agama Allah ini. Diacukan senapang, dipijak dengan boot, diterajang dan dipancung sekalipun, syahadah tetap dipegang. Kukuh dan erat tersemat biarpun jasad dan nyawa habis dicincang.

Apakah malang yang menimpa ketika bangsa ini merdeka, berbondong-bondong pula mereka yang meninggalkan keselamatan jiwa hanya kerana mengejar dunia? Apakah kemerdekaan ini hanya satu gula-gula yang diselitkan candu dunia oleh mereka? Apakah seribu tahun menjadi crusader tidak meninggalkan sekelumit pun perasaan dendam, iri hati dan perancangan jahat kepada bangsa-bangsa yang Islam agamanya? Senang benar kita diredhai mereka sehingga menimbulkan satu pertanyaan dalam jiwa mengenai satu Firman Allah s.w.t. :

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Al Baqarah ayat 120)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. (Ali Imran ayat 100)

Musnahnya Uthmaniah di tangan SEeKor ULAR bertopengkan agama progressif yang dijana oleh salibin, secara tidak langsung membuka ruang yang luas kepada mereka untuk memecahkan daulah Islamiah di bawah satu khalifah yang bersatu. Sering kita diingatkan bahawa jemaah itu penting. Sembahyang jemaah itu juga penting. Daulah Islamiah dalam satu jemaah juga sangat penting. Tapi di mana dia khalifah? di mana dia Amirul Mukminin!!!? Apakah kita telah buta dan dibutakan?

Tiba-tiba dalam keserabutan jiwa memikirkan persoalan tersebut, hati yang gundah disergah dengan akal yang menerjah. 'Hoi mangkuk! Carilah mukmin barulah kau cari Amirnya!'.

Ada betulnya sergahan akal itu. Bagaimana hendak ber-Amir jika mukminnya tiada? Dicari mukmin itu merata-rata tapi hanya sikit saja berjumpa. Di surau dan masjid, mukminnya rata-rata sudah di penghujung terminal menunggu panggilanNya. Di mana mereka semasa muda remaja, hanya Allah saja yang MengetahuiNya. Sekurang-kurangnya masjid dan surau-surau itu diimarahkan mereka. Mana pula mukmin yang perlu berusaha? Mana dia mukmin-mukmin yang muda? Yang ternampak hanya Muslim dijalanraya, bermotosikal bertayar dua, tapi hanya satu digunakannya. Yang banyak dibicara muslimah yang klip videonya tersebar merata-rata. Yang bersepah muslimin dan muslimat yang bercita-cita memenuhi pentas hiburan fantasia. Dihari biasa, bangun dari tidur pada petang pukul tiga. Di hari ujibakat, sebelum pagi pukul lima, dia qiam tanpa bergerak dalam satu jemaah panjang, mengalahkan qiam seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang dicabut anak panah dari lututnya semasa sembahyangnya.

Yang masih berasa belia pula, dalam dangdut dan disko, dialah Travolta. Dicucuknya langit, bumi dan juga wanita. Di karaoke pula dialah Sinatra dan Marantika, biarpun sumbang berpadu suara. Tak cukup dengan itu, maka kini jelaslah apa kesan ‘gula-gula merdeka’ kepada bangsa yang separuh merdeka ini. Kini kita sudah ada Hartina, Aishah dan Azlina yang gumbira. Yang terakhir paling berani mencabar kuasa. Pasti dibelakangnya salibin, munafikin, musyrikin dan mereka yang berbucu enam bintangnya. Bintang yang dibina dari dua segitiga, satu menegak dan satu terbalik kedudukannya.

Apa yang menyebabkan masalah ini semua? Rempit, sumbang mahram, bunuh, rogol, menipu, merompak, meragut dan bohsia, kenapa kita yang menjadi juaranya? Semua ini mencapai kemuncak bila mereka ini meninggalkan agama? Apakah sebenar puncanya?









Apakah mereka ini semua telah membaca Bible Bahasa Melayu yang sedang disebarkan? Tidak…. Tidak sama sekali.. Bible berbahasa Melayu itu bukan puncanya mereka berkelakuan demikian dan meninggalkan agama. Puncanya ialah ajaran-ajaran dan ayat-ayat Al-Qur'an!!!
Benar! Puncanya ialah Al-Qur'an. Tapi kenapa pula Al-Qur'an? Bukankah Al-Qur'an itu dari Allah Tuhan Alam Semesta yang benar segala isikandungannya?

Benar!!!! Memang puncanya Al-Qur'an. Yang berpuluh tahun tersimpan dalam almari perhiasan dan tak pernah menjadi tatapan. Benar.. puncanya ialah Al-Qur'an yang hanya dijadikan barang hantaran perkahwinan dan tak pernah dibuka dan dibaca sehingga pengantin itu tadi dikafankan. Benar…. puncanya ialah Al-Qur'an yang menjadi bacaan tapi sepatah ayat pun tak difahamkan. Puncanya memang Al-Qur'an yang diletakkan di depan, semasa menjadi tunggak sebuah perhimpunan tahunan. Dengan jambul tertonjol ke depan, sehabisnya lakonan, kembali Al-Qur'annya ke almari perhiasan. Ya.. memang benar Al-Qur'an itu membahyakan jika ia ditinggalkan.

Bukanlah Bible itu boleh memudaratkan… Demi Allah…aku telah membacanya. Bukan saja Bible, malah Veda, Purana dan Dhammapada juga sedang diteliti dan dibaca… Demi Allah… buka saja kandungannya serta merta hasil kerja tangan manusia jelas terlihat. Yang ternampak hanyalah hikayat-hikayat serta cerita-cerita caca marba dengan ribuan kesalahan fakta, sains dan bahasa. Serta merta apabila membacanya, terlintas di hati perasaan syukur dilahirkan sebagai Islam menguasai dada. Hebatnya Al-Qur'an akan lebih jelas kelihatan jika difahami makna dan maksudnya. Jika mendengar saja ayat yang dibaca oleh Qari yang hebat, bergetar
jiwa rasa sayu dan asyik dengan bait-bait ayat dan lagunya yang mencengkam jiwa biarpun kepada yang tidak memahaminya. Memahaminya pula membuka satu ruang kejutan yang amat hebat dan melahirkan keyakinan paling tinggi bahawa Al-Qur'an itu memang mukjizat yang dikurniakan Allah kepada seluruh umat. Bersyukurlah kita dilahirkan sebagai orang Islam dan mempunyai Al-Qur'an yang tiada kecacat-celaan. Bersyukurlah kerana Al-Qur'an ditangan kita tidak mampu disogokkan dengan segala karut marut animisme dan kepercayaan pagan yang dimasukkan dan dituduh sebagai kitabullah oleh mereka yang sesat.

Ingatlah jika Al-Qur'an itu ditinggalkan, kitab Veda, Dhammapada, Doraemon, Origin Of Species dan Straits Times pun boleh memurtadkan. Tak perlu risau akan kitab-kitab mereka dalam Bahasa Melayu. Lupakah mereka yang terdapat jutaan umat Islam di dunia yang berbahasa ibundakan bahasa Inggeris. Apakah perlu juga Bible dalam Bahasa Inggeris diharamkan supaya tidak memudaratkan masyarakat Islam di sana? Bukankah ramai juga antara anak-anak kita fasih juga bahasa Inggerisnya? Sebenarnya ketakutan itu dicetuskan oleh mereka yang tidak bersedia. Bukanlah dengan mengharamkannya akan menyebabkan semua umat Islam
terselamat dari gejala murtad. Tapi yang perlu diperbetulkan ialah cara kita mendidik anak-anak kita berkenaan agama dan membuang sikap tak apa yang menguasai budaya kita. Ingatlah bahawa semua masalah sosial yang berlaku bukanlah berpunca dari kitab yang dialih bahasa, tapi berpunca dari sikap sambil lewa kita semua terhadap didikan agama yang sebenarnya.Bible, ianya langsung tidak memudaratkan bagi yang beriman. Hanya sekadar dongeng-dongengan dan bahasa-bahasa dan cerita penuh kelucahan. Tak percaya…? Kajilah sendiri, tapi perlu ingat, sebelum mengkaji, fahami isi kandungan Al-Qur'an dulu supaya mendidik akal supaya menjadi bijak. Bukanlah seorang yang bijak jika seorang Doktor meyembah patung yang diukir manusia dirumahnya. Bukanlah bijak bagi seorang saintis yang meyakini bahawa datuknya dulu ialah beruk. Tidakkah dia terfikir yang beruk yang wujud sekarang ni datuk siapa? Kenapa masih wujud beruk jika ianya berevolusi? Bijakkah sedemikian rupa? Teringat satu teori bagaimana burung berevolusi dari dinosaur. Diceritakan saintis yang membuat teori tersebut bahawa burung itu berasal dari dinosaur yang melompat-lompat mengejar serangga terbang yang ingin dijadikan makanannya. Dari situlah mula tumbuh bulu pelepah dan badannya berevolusi dan berubah struktur menjadi sedikit demi sedikit sebagai seekor burung pula. Apakah ianya satu lawak jenaka atau cuba membodohkan minda dengan teori sebegini? Jika benar apa yang dikatakan oleh teori saintis tersebut, maka pada waktu sekarang ini tentulah Kareem Abdul Jabbar, Magic Johnson, Shaqquille O' Neal dan Michael Jordan sudah tumbuh paling kurang pun sehelai bulu pelepah tersebut. Ya lah… kan diorang sudah mula melompat dari waktu tadika lagi. Takkan tak tumbuh lagi? Mungkin ada yang menyatakan untuk menafikan kembali bahawa proses evolusi mengambil masa yang berjuta tahun lamanya. Jadi, ini bermakna jika mengikut teori mereka, anak cucu Michael jordan nanti akan dipenuhi bulu pelepah dan boleh terbang kerana datuknya dulu suka melompat. Siapa yang nak percaya? Tanyakan kepada saintis itu kembali jika dia benar yakin dengan teorinya tersebut. Apakah anak cucu Michael Jordan akan ditumbuhi bulu pelepah dan boleh terbang? Pastinya dia akan mengatakan tidak.

Begitu juga dengan perbuatan mencukur kening. Biarpun Islam mengharamkannya, tetapi ramai muslim jumaat dan ramadhan melakukannya juga. Ianya telah dilakukan sejak ribuan tahun dulu. Rekod terawal menyatakan wanita mesir di zaman firaun juga mencukur kening. Jika setiap spesis mempunyai keupayaan untuk berevolusi menjadi satu spesis yang lain, kenapa pula manusia sehingga sekarang ini gagal menumbuhkan keningnya mengikut suka? Mengapa masih perlu dicukur selepas beribu-ribu tahun berbuat demikian? Mereka-mereka ini sanggup beriman dengan akal dan teori dangkal mereka.

Satu-satunya manusia yang boleh terbang ialah Superman ciptaan mereka. Itupun dia masih bodoh kerana memakai seluar dalam di sebelah luar. Malu la sikit… Itu bagi yang suka melompat, bagi yang suka tidur dan berbaring, anak cucu mereka nanti akan menjadi beruang Koala, mentibang dan lipan. Apakah ini yang disogokkan ke dalam minda ahli sains dan terus mereka percaya? Kenapa sesuatu yang memperbodohkan minda terus mereka percaya tetapi apa saja yang berkaitan dengan Pencipta, mentah-mentah ditolak mereka? Ini kerana kitab agama mereka yang berada ditangan mereka tak dapat langsung memberikan jawapan kepada semua persoalan yang sering mereka tanya. Jadi apa saja yang tak mampu dijelaskan dalam agama mereka akan dianggap sebagai suatu misteri dan wajib beriman kepadanya tanpa perlu memahaminya. Bukankah ini satu penindasan kepada keintelektualan minda manusia. Tapi ini semua tidak berlaku kepada Islam dan Al-Qur'an.

Tak perlu dirisaukan tentang kitab mereka. Tiada yang istimewa. Apa yang perlu dirisaukan ialah anak-anak melayu yang tak memahami Al-Qur'an. Yang perlu dirisaukan, ibu bapa yang tak mengambil peduli langsung tentang pengukuhan akidah anak-anak mereka yang dipertanggungjawabkan Tuhan.

"Tapi kami hantarkan anak-anak kami mengaji Al-Qur'an setiap petang? Takkan itu pun tak cukup?" Pasti ini bentuk soalan yang terpacul dari minda mereka yang berasa mereka sudah pun berusaha. Tapi lupakah mereka dengan Aishah yang berpendidikan agama dan Azlina yang gumbira yang juga selalu mengaji Al-Qur'an itu. Bukankah tanggungjawab ibubapa memperkasakan diri dengan agama sebelum melayari bahtera rumahtangga.

Tidak akan timbul masalah untuk membentuk anak-anak jika diri sendiri sudah terbentuk dengan acuan agama. Bila Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa membaca Al-Qur'an itu mendatangkan pahala dan digandakan lagi sepuluh kali bila sedang berpuasa di bulan yang sangat mulia ini, lupakah kita bahawa waktu baginda s.a.w. berbicara itu, baginda berbicara dengan para sahabatnya yang Arab bangsa mereka dan bahasa Arab pula lidah ibunda mereka? Maksud membaca Al-Qur'an bagi mereka ialah membaca dan faham maksudnya. Ini kerana mereka faham akan apa yang dibacakan kerana itu adalah bahasa ibunda mereka. Bagi kita yang Ajam (bukan Arab) yang berbahasa Melayu, India, Cina, Pakistan, Banjar dan Jawa, haruslah kita bekerja keras untuk membaca dan sekaligus memahami maknanya. Mungkin bagi sesetengah pihak, perkara ini sangat menyusahkan dan tak sempat dilakukan, tambah-tambah pula Ramadhan hanyalah sebulan. Manakan sempat hendak bertadarus dan kemudian membaca tafsiran. Janganlah berebut sebegitu…..

Sedangkan Al-Qur'an mengambil masa 23 tahun diturunkan, dan hanya dilengkapkan Allah s.w.t. pada ketika hampirnya wafat baginda s.a.w. Baginda wafat selepas sembilan hari ayat terakhir diwahyukan. Apakah semua sahabat berkesempatan bertadarus penuh di bulan Ramadhan semasa hayat baginda s.a.w.? Tidak sama sekali. Lakukan sedikit demi sedikit dengan memahami ayat yang di baca satu persatu. Itulah cara Al-Qur'an diturunkan dan diajarkan kepada Rasulullah s.a.w. dan Sahabat baginda.

Apa yang ditekankan Rasulullah s.a.w. ialah memahami isikandungan Al-Qur'an. Sebab itulah Allah s.w.t. mewahyukan Al-Qur'an bersama manusia yang akan menjadi contoh bagaimana Al-Qur'an itu dipraktikkan. Bukankah Al-Qur'an itu akhlak Rasulullah s.a.w.? Tengok saja apa saja bentuk perintah Allah kepadanya, semua baginda s.a.w. lakukan tanpa bantahan. DisuruhNya beribadat, bagindalah yang paling kuat mengerjakannya. DisuruhNya taubat, baginda bertaubat seratus kali lebih setiap hari biarpun dirinya dipelihara Allah dari melakukan dosa. DisuruhNya berperang menentang yang mungkar dan penindasan, baginda s.a.w.lah yang paling terkehadapan. DisuruhNya bersedekah, habis semua harta benda baginda sedekahkan sehinggakan terpaksa mengikat perut dengan batu-batu kelikir bagi menahan kelaparan. Sahabat melihat baginda dengan tangisan, begitu hebat pengorbanannya semata-mata ingin bersyukur dan mendapatkan keredhaan Tuhan. Sedangkan bagindalah kekasihNya. Kekasih siapa pula kita? Apakah nafsu atau syaitan? Na'uzubillah.. semoga Allah sentiasa memelihara kita semua dari perkara dan perbuatan-perbuatan yang dibenciNya.

Ingatlah dari enam rukun iman, hanya satu saja yang kita nampak, dapat sentuh, rasa, pegang dan baca serta menghayati kehebatannya. Yang satunya itu ialah Al-Qur'an. Bukankah kepercayaan kepada kitab itu sebahagian dari rukun iman. Lima lagi yang menjadi tonggak rukun iman, kita yang hidup di dunia ini takkan nampak. Allah s.w.t. hanya akan memperlihatkan DiriNya kepada semua makhluk-makhlukNya yang beriman di syurga nanti. Betapa kerinduan yang terlalu mendalam ini kepadaNya akan terubat di sana. Betapa pada setiap ketika namaNya di sebut bagi merintih masalah, berkongsi duka, bersyukur dan bermohon doa akan terubat dengan nama kita pula disebut olehNya sebagai hambaNya yang bertakwa dan disayangiNya di syurga. Jika hadir ke Mekah saja hati yang keras menjadi luluh, berhambur air mata bila terasa dekat denganNya, apatah lagi pada ketika dengan kita Dia bersemuka. Indahnya saat itu tak tergambarkan. Tak mahu ditukarkan biarpun di tawar sejuta dunia dengan sejuta kemewahan. Tapi, persoalannya layakkah kita ke sana dengan penuh redha dariNya? Bukankah syarat untuk ke sana ialah dengan beriman kepadaNya.

Para malaikat yang wajib kita beriman dengan mereka juga tak pernah kita lihat. Begitu juga dengan para nabi dan Rasul, yang terakhir melihat golongan mereka ialah para Sahabat serta umat yang akan berperang menentang Dajjal bersama Nabi Isa a.s. nanti. Qada' dan Qadar juga sesuatu yang kita tidak nampak dan hanya menyakini dan beriman dengannya kerana Al-Qur'an dan Rasulullah s.a.w. menyatakannya. Hari kiamat pula hanya akan disaksikan oleh manusia akhir zaman yang tidak bertuhan dan golongan ini bukanlah dari kalangan mereka yang beriman. Jadi kesimpulan yang dapat di buat di sini ialah, bagaimana hendak mengaku beriman dengan segala perkara yang tidak nampak sedangkan satu-satunya rukun iman yang nampak dibuat-buat tak nampak? Bagaimana hendak mengukuhkan iman kepada semua perkara yang tak nampak sekiranya kita tidak menghayati serta memahami satu-satunya rukun iman yang nampak? Mulakan dari sekarang. Jika tidak memiliki tafsir Al-Qur'an di rumah, segeralah membelinya. Jika sudah membelinya bacalah satu persatu ayatnya, paling baik dengan ustaz atau guru yang bertauliah supaya dapat kita fahami dengan lebih jelas lagi apa maksud ayat-ayat tersebut. Jika ingin memilikinya secara percuma dalam bentuk file .chm (tafsiran dalam bahasa Inggeris) yang boleh diakses databasenya untuk mencari ayat-ayat tertentu klik saja di sini. Bermula Ramadhan tahun ini, apa kata kita sama-sama mulakan bertadarus dan dalam masa yang sama membaca dan memahami maknanya. Lakukan sedikit-demi sedikit dahulu. Ingatlah, membaca dan memahami maknanya lebih besar ganjarannya untuk kita dan menguatkan lagi akidah dan keimanan kita. Tiada apa pun dapat menggugat iman yang kukuh dengan apa saja bentuk dugaan dan godaan kecuali dengan mendapat IzinNya. Sebelum dapat kita membina ummah yang terdiri dari mukmin itu sendiri, kita haruslah bermula dengan memperbaiki diri kita sendiri, kemudian membentuk keluarga-keluarga yang akan bergabung membentuk komuniti yang akan menjadi tunjang kepada kekuatan sesebuah Daulah Islamiah yang kuat yang digeruni musuh-musuh Islam. Ingatlah pesan Allah dalam surah Ali Imran ayat 111:

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

Kini kita dihinakan kerana kita sendiri yang memilih jalan demikian, membelakangkan peraturan dan hukum-hukum Tuhan dan hidup dalam kepura-puraan. Langkah dimulakan dengan niat, mulakan hidup baru dengan memahami isikandungan Al-Qur’an kerana di situlah jalan penyelesaian, keamanan dan masa depan.


Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Agama menyebabkan manusia berperang, bermusuh-musuhan dan berpuak-puak… Benarkah begitu? Bahagian II sedang disiapkan begitu juga dengan jawapan bagi Shahrul berkenaan Yahudi dan pandangan yang diminta oleh Asparagus. InsyaAllah, jika tiada halangan, saya akan updatekan dalam minggu ini. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

4 comments:

Anonymous said...

Salaam alaikum

Syabas, suatu blog yang amat menarik sekali. Ana akan letak link saudara di blog Hikmah. Jazaakallahu khoirol jazaa'

:)

satuhala said...

Waalaikum salam warahmatullah..
Terima kasih di atas sokongan saudara.. sbg frequenter hikmah, saya amat bersyukur di atas kesudian saudara meletakkan link blog ini di sana.. semoga Allah merahmati kita semua...

Jazaakallahu khoirol jazaa'

Anonymous said...

Salam..

Terima kasih atas penulisan yang baik. Semoga semakin membuka mata-mata yg membaca nya. Saya berminat dengan novel SGA. Bagaimana saya boleh memperolehinya.

yang benar,
siti zubaidah
siti860211@yahoo.com

Anonymous said...

Memang bagi generasi seperti kita tiada masalah dengan Bible ini. Sebab kita ada pengetahuan agama. Masalahnya bagaimana generasi muda yg tiada didikan agama. Ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi.