Oleh M.I.A./Imran Haaz
Pertama biar saya sebutkan kebaikan dari keputusan ini. Ia mungkin membolehkan setiap ibu bapa yang kiblat kehidupan mereka ialah pekerjaan mereka, dapat memastikan keselamatan serta di mana anak-anak mereka berada semasa dan selepas pulang dari sekolah. Jadi fungsi kepada telefon tersebut hanyalah kepada tujuan memudahkan komunikasi antara si ibubapa yang terlalu sibuk. Tiada siapa akan bersetuju jika telefon bimbit tersebut digunakan pada ketika sesi pembelajaran sedang dijalankan. Untuk tujuan selain dari itu, saya tidak nampak apa rasional keputusan tersebut mungkin dibenarkan. Ia sebenarnya lebih banyak mengundang masalah, kemudaratan serta beban kepada anak-anak itu sendiri dan ibubapa serta penjaga mereka.
Saya tidak pasti samada keputusan membenarkan
pelajar-pelajar sekolah membawa handphone serta gadget lain telah dibuat kajian
sepenuhnya atau pun tidak. Yang jelas, sebagai orang biasa yang tidak mempunyai
akses kepada kerta-kertas kajian tersebut, saya menulis bersandarkan kepada pemerhatian
saya sebagai bapa yang memerhatikan. Saya bukan seorang arkitek sosial yang
mana pandangan saya disokong oleh mana-mana kertas kajian yang dibayar untuk
menghasilkan sesuatu kesimpulan atau pun tidak. Ini hanya pandangan seorang
manusia lain yang sedikit risau dengan kesan-kesan luarjangka yang mungkin
sesetengah pihak terlepas pandang.
Pertama biar saya sebutkan kebaikan dari keputusan ini. Ia mungkin membolehkan setiap ibu bapa yang kiblat kehidupan mereka ialah pekerjaan mereka, dapat memastikan keselamatan serta di mana anak-anak mereka berada semasa dan selepas pulang dari sekolah. Jadi fungsi kepada telefon tersebut hanyalah kepada tujuan memudahkan komunikasi antara si ibubapa yang terlalu sibuk. Tiada siapa akan bersetuju jika telefon bimbit tersebut digunakan pada ketika sesi pembelajaran sedang dijalankan. Untuk tujuan selain dari itu, saya tidak nampak apa rasional keputusan tersebut mungkin dibenarkan. Ia sebenarnya lebih banyak mengundang masalah, kemudaratan serta beban kepada anak-anak itu sendiri dan ibubapa serta penjaga mereka.
Tekanan
Pengaruh Rakan Sebaya
Menilai sikap dan kekuatan akal fikiran remaja sekarang
melalui cara mereka bersembang, topik-topik yang dibincangkan, kecenderungan
mereka meminati sesuatu perkara, saya melihatkan majoriti daripada mereka,
tidak mempunyai kekuatan untuk menahan diri dari desakan tekanan pengaruh rakan
sebaya (peers pressure).
Saya melihat dengan
membenarkan para pelajar membawa peralatan telekomunikasi ke sekolah, ia akan
membangkit satu keresahan di kalangan para pelajar yang tidak berkemampuan
serta mereka yang berkemampuan.
Pertama, masalah tekanan bagi mereka yang tidak
berkemampuan. Kita semua tidak perlu sehingga menjadi seperti Einstein untuk
mengetahui tentang masalah yang bakal dihadapi golongan ini. Apabila setiap
seorang dari rakan sebaya mereka membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan
segera merasakan diri mereka ketinggalan, merasa rendah diri serta mula
menyalahkan ketidakmampuan keluarga mereka untuk menyediakan keperluan yang
sebenarnya langsung tidak perlu bagi mereka.
Perasaan rendah diri ini merupakan antara perkara yang akan
membantutkan kekuatan diri mereka untuk berjaya di dalam pelajaran. Sebagai manusia
yang sedang melalui fasa remaja, sifat rendah diri ini akan meletakkan jati
diri serta sistem pemikiran mereka di dalam kumpulan yang ‘sudah sedia kalah
sebelum bertanding’. Fokus minda mereka akan terbahagi kepada beberapa
penumpuan di sekolah.
Yang pertama bagaimana mahu menghadapi teman-teman yang
lebih terkehadapan di dalam pemilikan gajet di sekolah. Bagi yang kuat, mereka
boleh saja mengabaikan kekurangan mereka. Tetapi menilai remaja sekarang, saya
percaya hanya segelintir kecil yang mampu berbuat demikian. Kedua, kedudukan mereka yang dirasakan tidak seiring dengan arus yang dijalani rakan-rakan mereka. Ketiga, pembelajaran tidak lagi menjadi fokus yang diberikan tumpuan kerana sibuk mehu menampung kekurangan diri.
Bagi yang tidak kuat, mereka akan mencari jalan untuk duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kumpulan rakan-rakan mereka yang lebih
popular dan kelihatan ‘cool’. Jalan pertama, ialah dengan mendesak ibubapa
untuk menyediakan kehendak mereka. Mungkin sesetengah ibu bapa yang tidak
berkemampuan tetapi kuat di dalam ketegasan, mereka boleh menasihati anak-anak
mereka supaya memahami situasi ekonomi keluarga.
Tekanan
Kepada Keluarga
Bagi ibubapa yang tidak mampu menolak serta mengawal desakan
anak-anak mereka, wang simpanan (masih ada lagikah mereka-mereka dengan gaji di
bawah RM 3,000.00/bulan boleh menyimpan?) akan dikeluarkan bagi memenuhi
kehendak anak-anak mereka. Bagi yang tidak mempunyai simpanan, kerja lebih masa
perlu dilakukan bagi memastikan keperluan (yang tidak perlu) anak mereka
dipenuhi. Ibubapa mana yang mahu melihat anak mereka merasa rendah diri dan
terpencil di sekolah. Jadi dari peranan menyediakan makan pakai serta
persekolahan, ibu bapa kini dipertanggungjawabkan pula dengan peranan tambahan
untuk menyediakan anak-anak mereka supaya kekal berada di dalam arus yang
bergerak songsang dari tujuan membina anak-anak yang terpelajar.
Tabik hormat kepada bapa seperti Pak Engku, seorang caterer terkenal yang bertegas dengan
tidak membenarkan anak-anaknya mempunyai telefon bimbit walaupun dia sangat
berkemampuan menyediakannya. Saya pernah membaca tentang ketegasannya itu di
dalam sebuah majalah hiburan. (M.I.A. – InsyaAllah..
nanti saya muatkan keratan tersebut sebaik memunggah perpustakaan saya) Bukan
mudah untuk beristiqamah dengan ketegasan sedemikian rupa. Yang saya harap,
istiqamah dirinya kuat supaya boleh dijadikan ikutan oleh ibu bapa lain. Tidak memberi bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana mahu melahirkan generasi anak-anak yang
mampu menahan diri dari keinginan yang tidak perlu dan mengkhayalkan. Hanya ibu
bapa yang dapat bertegas dengan anak-anak akan dapat melahirkan satu generasi
yang lebih peka kepada keperluan sebenar dari keperluan yang tidak diperlukan
pada waktu itu sebenarnya.
Apabila sahaja ibu bapa terpaksa bekerja lebih masa dalam
menyediakan keperluan serta kehendak yang tidak perlu oleh anak-anak mereka,
maka masa mereka bersama keluarga semakin terhad. Waktu-waktu yang seharusnya
diluangkan bagi memastikan anak-anak membesar di depan mata di dalam satu garis
trajektori yang membawa mereka kepada jalan bahagia di dunia dan akhirat
semakin terhakis. Anak-anak akan mula membesar di dalam dunia mereka sendiri
tanpa pengaruh ibu bapa untuk menentukan apa yang terbaik di dalam kehidupan
awal remaja mereka. Panduan serta kiblat pemikiran mereka kini akan tertumpu
kepada apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka untuk meletakkan diri mereka
di dalam kategori remaja popular dan mendapat hormat. Mereka mula merujuk kitab
Facebook sebagai panduan dan nasihat. Jalan yang benar dan bahagia bagi mereka
akan difokuskan kepada perkara-perkara yang meletakkan diri mereka di dalam
perhatian rakan sebaya. Mereka tidak resah jika tidak bertemu ibu mereka
sehari-harian, tetapi mereka resah jika komen-komen mereka di dalam facebook
dan twitter tidak mendapat reaksi balasan. Mereka resah apabila respons yang
diharapkan mereka terhadap apa yang mereka perkatakan di dalam facebook dan
twitter tidak mendapat sambutan.
Pemberian telefon bimbit kepada remaja yang bersekolah bagi
keluarga yang tidak mampu bakal mencampakkan mereka ke dalam satu putaran yang
meletihkan serta merosakkan. Kosnya tentu sahaja kerosakan yang berkemungkinan
berlaku di dalam hubungan keluarga.
Apakah kehendak anak-anak itu terhenti setakat memiliki
telefon bimbit? Telefon bimbit kini bukanlah seperti telefon bodoh yang
digunakan saya. Telefon yang saya gunakan, jika jatuh dilenyek kereta pun masih
boleh membuatkan saya tersenyum panjang. Anak-anak muda tidak mahu telefon
seperti itu. Telefon seperti itu bagi mereka merupakan subjek yang menjadi bahan
kajian ahli arkeologi yang menggali tapak penempatan manusia purba. Bagi mereka,
hanya manusia Neanderthal menggunakan ‘batuan’ seperti itu untuk berkomunikasi.
Telefon bimbit seperti yang dimiliki saya, tidak terdapat dalam radar minda
mereka untuk ditafsirkan sebagai alat telekomunikasi yang dimahukan.Apabila
menyuarakan keinginan untuk memiliki telefon bimbit, mereka tidak bermaksudkan
telefon seperti yang saya miliki. Mereka mahukan smartphone. Apalah guna
mempunyai smartphone jika ia tidak dapat berfungsi secara sepenuhnya. Mereka mahukan
setiap fungsi di dalam smartphone mereka boleh digunakan. Tentu sahaja setiap
satu daripadanya datang dengan kos yang ditanggung oleh pencap duit yang
digelar Papa, Abah, Mummy dan sebagainya. Duit di dalam khayal mereka tumbuh bagai
dedaunan pohon yang rendang dengan dahan-dahan rendah yang membolehkan si
pencap duit tadi mencapainya dengan wajah yang tersenyum.
Anak-anak ini juga
tidak mahu caller ringtone mereka di dalam bunyi beep yang membosankan. Mereka mahukan
Justin Bieber dan penyanyi K-Pop sebagai penyambut setiap panggilan ke nombor
mereka. Justin Bieber juga tidak datang dengan percuma. Jika si perempuan
remaja yang menggilai Bieber dan K-Pop, saya tidak pelik. Tetapi bila si remaja
lelaki yang menggilai semua itu, harus sahaja saya menghantukkan kepala saya ke
dinding tidak percaya dengan kejatuhan paras testosterone di dalam rembesan
otak remaja lelaki seumpama itu.
Membenarkan mereka membawanya ke sekolah boleh juga disamakan ia sebagai satu perbuatan yang mencampakkan mereka yang menyokongnya ke dalam satu putaran yang ganas dan tidak akan habis dicantas. Itu
belum termasuk kos memperbaiki kerosakan dan sebagainya.
Bagi keluarga yang berkemampuan pula, pertukaran model
telefon pintar yang kerap dan terlalu pantas akan menyebabkan berlakunya
persaingan antara anak-anak mereka di sekolah. Hari ini model telefon pintar di
tangan anak mereka merupakan gajet yang paling canggih. Esok apabila sahaja
seorang rakannya membawa telefon dengan model yang baru dikeluarkan, secara
automatiknya, telefon hebatnya semalam telah terkebumi di bawah lebih dalam
dari lapisan stratigrafi yang diketahui sebagai lapisan di mana zaman permulaan tamadun
manusia dikesan. Mereka akan bersaing sesama mereka menguji kesabaran Papa si pencap
duit.
Bagaimana pula dengan keluarga yang tidak mampu memenuhi
kehendak anak-anak mereka dan gagal menasihati serta mengawal keinginan
anak-anak mereka? Amat menyedihkan apabila akhbar hari ini (Metro, 18 Julai
2012) menyiarkan pendedahan yang tidak langsung mengejutkan bagi yang telah
menjangkakan semua ini akan berlaku. Lihat sahaja keratan akhbar di bawah.
Lihat sahaja bagaimana tekanan pengaruh rakan sebaya menyebabkan anak-anak dari
keluarga yang tidak mampu menyediakan kemudahan yang diminta mereka berakhir
dengan menjual tubuh mereka untuk memastikan apa yang dihajati dapat
diperolehi. Ia dimuatkan sehari selepas berita mengenai cadangan membenarkan
pelajar-pelajar sekolah membawa telefon bimbit ke sekolah.
Itu remaja perempuan. Remaja lelaki pula yang boleh
dikategorikan di dalam kumpulan yang sama, berkemungkinan akan terjebak di
dalam perlakuan menjual tubuh yang serupa dan melakukan jenayah yang lain
termasuk meragut dan mencuri. Ia hanya untuk mendapatkan apa yang tidak boleh
mereka dapatkan dengan cara yang sah.
Ia menimbulkan masalah sosial ke dalam masyarakat. Kesemua mereka
akan meletakkan pusat pemikiran mereka, bahawa dengan mempunyai gajet itu
sebagai salah satu jalan bahagia dan tujuan fokus kehidupan mereka sebagai
remaja.
Itu belum lagi membicarakan penularan virus sosial dalam
rupabentuk perkongsian perkara-perkara tidak sepatutnya oleh pelajar-pelajar
ini. Boleh dikatakan majoriti dari rakyat negara ini menolak cadangan
membenarkan pelajar-pelajar ini membawa telefon bimbit ke sekolah. Pendapat-pendapat
yang menentang juga telah banyak disiarkan di dalam pelbagai media. Entahlah,
mungkin bahasa yang digunakan oleh pembuat serta mereka-mereka yang meluluskan
dasar di dalam kementerian terbabit, mungkin lain bunyinya dari bahasa-bahasa
yang digunakan oleh mereka-mereka yang mahu menolak cadangan ini.
Perkara ini, lebih banyak membawa keburukan berbanding
kebaikannya yang sempit. Ia hanya menguntung syarikat jualan peralatan
komunikasi serta pengendali sistem telekomunikasi dan tidak pelajar, ibu bapa
serta KPI kementerian itu sendiri. Kementerian boleh sahaja meneruskan hasrat
dengan memberikan lampu hijau kepada cadangan tersebut dan memilih untuk tidak
mendengar pendapat-pendapat awam, tetapi haruslah mereka ingat, hanya
orang-orang yang bijak melintas jalan selepas memandang ke kiri dan ke kanan.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.