Oleh M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Saya berhutang pencerahan ini kepada seorang blogger yang menamakan dirinya Dark-Half. Maaf saudara, blog ini umpama komet Haley. Ia datang dan pergi sesuka hati bergantung kepada kesibukan dan segala masalah yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu. Menulis memerlukan ketenangan. Saya boleh menulis dan membaca di dalam suasana yang bising tetapi bila sahaja akal fikiran dibisingkan dengan pelbagai perkara yang harus difikirkan, saya menjadi kaku. Hari ini ketenangan itu datang dan saya sempat menulis segala yang saya berhutang dengan pihak-pihak yang mengambil berat dan pernah singgah ke sini.
Seeing is believing. Frasa umpama rekod rosak yang diulang-ulang oleh manusia-manusia bermentaliti di bawah tahap keupayaan minda ultra minimum. Kerana itu semua entri di dalam blog ini saya masukkan di bawah satu himpunan penulisan di bawah tajuk ‘Nukilan Dari Akal Yang Memerhati’. Dark-half sedang berada di medan perang (MIA – semasa dia menghubungi saya beberapa bulan yang lalu.. maaf saudara.), yang menyerangnya pula hanya sekadar menggunakan peluru getah mengulangi kokokan orang-orang Rumi yang menjadi kiblat mereka.
Ia segera mengingatkan saya kepada suatu petang yang panas tanpa hujan. Seharusnya musim piama itu datang menjengah Seberang Jaya, Pulau Pinang. Tetapi hujan tetap tidak turun disebabkan cuaca yang semakin menggila disebabkan hasil tangan manusia. Sekurang-kurangnya dengan keadaan ini, stesen kabel yang dimonopoli oleh sebuah syarikat yang terpaksa dilanggan tanpa diberikan pilihan dapat saya ikuti siarannya. Jika stesen kabel monopoli ini sudah ada sejak zaman filem Melayu di studio Jalan Ampas, tentu sahaja dialog Pendekar Mustar di dalam satu adegan filem Pendekar Bujang Lapok seperti di dalam video di bawah dapat diubah menjadi sebegini, ‘Erni.. angkat kain dijemuran, Asterro dah padam...’.
Untuk memberi ketenangan kepada hati yang sedikit marah di atas kualiti siaran pihak tersebut, saya mengambil kekurangan itu sebagai sesuatu yang positif. Sekurang-kurangnya dekoder stesen tv berbayar di rumah saya itu, boleh berfungsi dengan dwi fungsi. Setiap kali mahu keluar berjogging di petang hari, bila sahaja siarannya mula terpadam, ia merupakan petunjuk hujan lebat akan turun. Maka, dekoder tersebut dapat bertindak sebagai weatherman di dalam rumah dan dapat menghalang saya dari lencun dibasahi hujan semasa berjogging.
Suatu petang di dalam sebuah program bual bicara yang diulang entah untuk berapa kalinya di dalam sebuah siaran kabel monopoli itu, seorang bekas pengarah atau pengurus besar stesen radio berkata,
‘Saya tidak dapat membayangkan sekiranya diri saya pekak. Saya seorang yang sangat meminati muzik. Hari-hari saya diwarnai dengan alunan muzik dari pelbagai genre dan perkara ini sangat membahagiakan saya. Jika saya pekak, bagaimana mungkin saya dapat menikmati segala nikmat ini. Saya tidak dapat bayangkan kehidupan saya tanpa alunan muzik.’
Wah.. sampai begitu sekali saya menokok tambah. Inti pati ucapannya hanya sekadar menyatakan bahawa hidupnya dikelilingi muzik dan dia tidak dapat membayangkan jika takdir pekak itu jatuh menimpanya. Dialog itu hanya sebuah bias ingatan (recall bias) kerana ia sudah lama berlalu. Tetapi intipati kata-katanya masih saya ingat.
Dia hanya meminati muzik tetapi minat dan cintanya kepada dunia muzik masih berada pada tahap yang paling rendah. Suka saya bawakan kisah malang tetapi ajaib bagi yang tidak tahu akan keupayaan akal manusia. Ludvig Van Beethoven, satu nama yang tidak asing bagi penggemar komposisi muzik klasik menjalani hidup yang malang. Dia seorang peminat muzik yang tegar. Melaluinya, Allah di atas sifat Rahman-Nya mengilhamkan idea-idea komposisi indah yang kekal dikumandangkan oleh umat manusia sehingga ke saat ini. Segala yang indah itu dari Allah.
Beethoven sangat mencintai muzik. Cintanya terhadap muzik menjadikan dirinya seperti seorang manusia dengan keupayaan yang luar biasa. Tidak ramai yang tahu bahawa karya-karya extraordinaire-nya dihasilkan ketika dia mula mengalami masalah pendengaran. Beberapa karya seperti Missa Solemnis dan Simfoni ke 9 dihasilkan dan disiapkan komposisinya ketika dia telah menjadi pekak sepenuhnya. Cuma malang apabila karya hebat seperti Missa Solemnis diberikan pengisian lirik yang tidak bersandarkan jalan tauhid yang benar.
Bagi orang-orang biasa dan yang sering mendakwa diri mereka intellektual tetapi hakikatnya mereka kaum dari hierarki intelektual murba, perkara sebegini terletak jauh dari capaian akal mereka. Bagaimana mungkin seseorang dapat mencipta sebuah komposisi muzik yang indah tanpa dia sendiri dapat mendengarnya? Itulah kehebatan akal manusia. Keupayaan sebegini tidak dinikmati oleh kaum yang mengucap dan beriman dengan kalimah persaksian seeing is believing. Bagi kaum yang sedar, mereka tahu bahawa segala indera itu hanya menjadi sebagai penyalur maklumat-maklumat yang kemudiannya akan diproses oleh keupayaan minda berdasarkan kepada tingkat keupayaan diri masing-masing.
Terencat sangatkah kata-kata atau tagline supercool seeing is believing itu? Ok, perhatikan contoh berikut. Sebuah magnet diletakkan bersebelahan sebatang jarum di atas sebuah meja. Maka dijemput seorang penganut tegar dogma atau agama SIB (seeing is believing) untuk bersama memberikan pendapat.
Penganut SIB bertuhankan kepada apa yang nampak. Jadi tiada apa yang istimewa yang ada pada dogma sedemikian rupa, malah dogma tersebut lebih teruk dan lebih hina dari keupayaan pelbagai jenis satwa di dalam keupayaan mereka untuk melihat dunia.
Jarum & Magnet
Diberikan contoh jarum di atas meja dan magnet ini adalah untuk menunjukkan keupayaan terbatas penganut dogma ini di dalam keupayaan akal mereka untuk bergerak lebih jauh dari kekangan pancaindera.
Seorang yang kukuh beriman dengan dogma sebegini, hanya berupaya untuk menyatakan bahawa magnet tersebut berupaya menarik jarum ke arahnya. Lalu ditanyakan kepadanya, apakah perkara yang menyebabkan berlakunya pergerakan sedemikian rupa? Lalu dengan hidung yang kembang kuncup pantas dia menjawab, daya tarikan magnetlah yang menyebabkan berlakunya perkara sedemikian rupa.
Mendengar jawapannya membuatkan kita tersenyum. Manakan tidak, ibarat meludah ke langit, ludahannya itu kembali menimpa mukanya sendiri. Lalu ditanyakan kepadanya sekali lagi, kenapa air liur yang diludahnya ke langit menimpa wajahnya kembali, dengan yakin dia menjawab, ‘Ia disebabkan oleh tarikan graviti?’. Mendengar jawapannya kita kembali tersenyum.
Anugerah Nobel
Bagaikan sebuah hiburan percuma apabila melihat penganut dogma SIB ini, yang sentiasa di dalam hati mereka mendakwa mereka setaraf Albert Einstein di dalam pencapaian minda dan akal. Mereka mendakwa bahawa mereka percayakan sains yang memerlukan bukti empirikal untuk membicarakan segalanya tentang langit dan bumi.
Tetapi tanpa mereka sedar, anugerah tertinggi yang sentiasa menjadi rebutan para saintis dunia iaitu anugerah Nobel, sejak dari penganugerahannya yang pertama untuk bidang fizik, menganugerahkan pencapaian Nobel untuk saintis-saintis yang hasil kerja mereka membicarakan tentang sesuatu yang tidak nampak kepada pancaindera manusia biasa. Bahawa bukti-bukti yang diperolehi melalui data-data empirikal itu, hanya diperolehi melalui pemerhatian tindak tanduk relatif yang menunjukkan kewujudan sesuatu yang tidak dapat dlihat dengan mata kasar, tetapi kewujudannya dapat diketahui melalui tindakbalas relatif.
Yang meletakkan para saintis ini pada kedudukan pencapaian Nobel ialah keupayaan akal mereka yang tidak terkongkong dengan kekangan indera yang terbatas. Keupayaan minda mereka untuk bergerak jauh meneroka matra-matra yang terlindung memberikan mereka kedudukan yang tinggi di dalam pencapaian ilmu sains manusia yang terhad.
Rujuk laman di bawah untuk menilai sendiri hal ini. Perhatikan, hampir keseluruhan pemenang Nobel bagi fizik, bidang kajian mereka membicarakan sesuatu yang tidak nampak pada mata kasar manusia. Keupayaan akal mereka untuk melihat disebalik tabir pancaindera itu memberi mereka kedudukan yang tinggi di dalam sains.
Kejuruteraan Minda
Kerana itulah di dalam rukun iman, 5 dari 6 rukun yang meletakkan seorang muslim pada kedudukan mukmin merupakan rukun yang meletakkan struktur persiapan minda muslim untuk memberi perhatian yang kemas kepada alam ghaib. Begitu juga dengan bukaan muka surat pertama al Qur’an pada ayat ketiga surah al Baqarah. Orang-orang yang bertakwa ialah orang-orang yang beriman kepada perkara ghaib.
Al Baqarah ayat 2 hingga 3
2. Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Ia sebuah masterpiece kejuruteraan minda yang hebat dari perancangan Rabbul ‘Alamin. Keupayaan minda untuk menyentuh, memahami, mendekati dan merasai kehadiran Tuhan yang ghaib dari penglihatan merupakan sebuah perancangan Allah untuk menjadikan setiap mukmin itu manusia-manusia yang super hebat di dalam pencapaian minda.
Bagi yang memiliki Syahadah Gadis Ateis, tentu sahaja sedar bahawa saya menyentuh secara ringkas dan santai mengenai keupayaan minda dan betapa 5/6 dari rukun iman itu menekankan muslim untuk yakin dan percaya kepada perkara yang ghaib. Sebuah novel santai yang disasarkan kepada golongan yang sedang berkemas untuk bergerak memulakan jihad kehidupan di dalam alam yang penuh pancaroba ini.
Menilai ini semua, satu kemusykilan pasti timbul di dalam minda kita. Jika benar perancangan Allah itu hebat untuk membentuk mukmin menjadi manusia-manusia dengan keupayaan minda yang super, kenapakah majoriti orang-orang Islam yang paling mundur, tertekan, tertindas dan terlalu kolot dalam pemikiran mereka?
Perancangan Allah tidak pernah silap, yang silap hanya muslim itu sendiri yang tidak mahu menggunakan segala panduan dan petunjuk yang telah Allah berikan kepada mereka sejak ribuan tahun lamanya.
Apa buktinya perancangan Allah tidak silap? Buktinya, lihat sahaja pada waktu kemunculan Islam. Sebuah agama indah yang diberikan kepada suatu bangsa yang dikenali dengan kejahilan mereka. Bangsa ini tinggalnya mereka ditengah-tengah kewujudan dua buah empayar hebat, Rom dan Parsi. Sebaik manusia-manusia dari bangsa tersebut beriman secara total kepada apa yang diberikan kepada mereka oleh Allah, kedua buah empayar tersebut menjadi goyang dan kemudiannya runtuh.
Di dalam salinan generasi yang terdekat dengan Rasulullah s.a.w., muslim-muslim terawal yang benar-benar beriman dengan petunjuk dari Allah, telah meletakkan kedudukan Islam di atas segala ketamadunan yang pernah wujud dimuka bumi. Sains hari ini banyak terhutang dengan hasil kerja awal umat Islam yang tidak terkongkong dengan limitasi indera.
Malang sekali, apabila muslim mula bergaduh sesama sendiri, mereka mula dijajah. Penjajahan selama berabad lamanya melontarkan muslim kembali ke zaman minda yang kolot. Muslim sejak beratus tahun lamanya telah diajar untuk berfikir secara ringkas cukup sekadar untuk mencari makan.
Jadi bahu untuk kesalahan ini diletakkan, tetap berada di atas bahu orang-orang Islam yang membiarkan diri mereka bergelumang dengan segala kekolotan akibat tidak mahu menggunakan petunjuk dari Allah.
Berbalik kepada contoh jarum dan magnet tadi, perhatikan antara keupayaan seorang penganut SIB dan keupayaan seseorang yang tidak terkongkong dengan kekangan pancaindera memberikan penjelasan berkenaan perihal tersebut.
Seorang penganut SIB tidak akan berupaya menjelaskan perkara tersebut tanpa dia menyebut tentang daya magnet. Sebaik dia menyebut tentang daya magnet, dia sebenarnya melanggar prinsip seeing is believing yang diimaninya.
Sebaliknya pula dengan seorang yang tidak terkongkong dengan prinsip SIB. Dia bebas menjelaskan apa yang difahaminya melalui pergerakan jarum yang ditarik ke atas bila didekatkan dengan magnet. Dia boleh menjelaskan prinsip medan magnet, perbezaan material paramagnetik, ferromagnetik dan antiferromagnetik. Dia juga boleh menunjukkan bahawa medan magnet yang dihasilkan magnet itu tadi lebih kuat dari daya tarikan graviti. Kesemua itu merupakan perkara yang tidak nampak dan hanya kelihatan pada daya akal melalui perbandingan relatif.
Jadi bukankah sebagai Muslim, kita telah lama merdeka dari kekangan pancaindera dan menggunakan kekuatan akal untuk mencerap rahsia disebalik alam fizik menerokai kuasa-kuasa ghaib yang terselindung disekeliling kita?
Allah telah lama memerdekakan kita. Persoalannya, apakah kita sendiri yang tidak mahu merdeka? Wallahua’lam..
P/S : Untuk Dark-half, maaf kerana ianya ditulis sangat lewat.
© 2007 - 2010 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.