Monday, August 22, 2011

Al Fatihah & Terima Kasih Tuan

0

oleh M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem. Terus terang, saya bukanlah peminat tegar sastera. Saya menggemari pembacaan serius yang memberi nilai tambah kepada diri yang sentiasa kurang dari segala aspek kehidupan. Saya sangat jarang membaca novel. Hanya jika sesuatu novel itu dicadangkan dengan serius kepada saya, barulah saya mengambil inisiatif membacanya.


Umum mengenali penulisan Ustaz Azizi Abdullah melalui novel-novel tulisannya yang hebat. Tetapi saya harus mengakui bahawa perkenalan saya dengan karya tulisannya tidak bermula dengan novel-novel hebat tersebut. Tetapi ianya bermula dengan sebuah buku bertajuk Jiwa Hamba yang merupakan satu bentuk penulisan diisi padat dengan kritikan sosial terhadap orang-orang Melayu Islam yang terlalu merendah diri dan takut untuk bengkit duduk sama tinggi di dalam masyarakat. Saya sangat menggemarinya dan tertunggu-tunggu penulisan yang serupa untuk dihasilkan lagi. Ia  sangat kena dengan rentak, ritma serta cara saya berfikir.

Novelnya yang pertama saya baca bertajuk Ayahanda. Itu pun kerana ia dicadangkan oleh salah seorang sahabat pengunjung blog ini yang menggunakan nama samaran Irdina Khan. Karya yang membuatkan saya meninggalkan segala pembacaan serius selama lebih seminggu hanya kerana terpaut dan dirasuk magnet kekuatan Allahyarham Ustaz Azizi, mengolah sebuah penghidupan ke dalam cerita tersebut. Saya terlalu skeptikal terhadap novel-novel melayu sebelum saya membaca Ayahanda. Ia suatu yang berbeza. Ia sangat dekat dengan kehidupan. Nilai kasih sayang keluarga di dalam sebuah catatan kehidupan yang indah digarapnya dengan alunan rentak penulisan yang sangat membuai jiwa. Nilai yang sudah semakin terhakis disekeliling kita. Selesai pembacaan saya mencari Seorang Tua di Kaki Gunung. Malang sekali ia tidak lagi dijual ketika saya mencarinya. Tetapi saya tetap berusaha. Akhirnya saya ketemui naskhah tersebut di sebuah perpustakaan dan meminjamnya.  Subhanallah. Begitu hebat bakat penulisan kurniaan Allah kepada penulis istimewa ini. Saya mengaguminya tetapi segan untuk mendekatinya kerana berasakan bahawa apa yang telah dicapainya melalui karya-karya penulisannya merupakan sesuatu yang hebat dan tak mampu untuk saya lakukan. Di dalam hati memang terdapat keinginan yang menebal untuk dekat dengan insan dengat bakat hebat kurniaan Allah ini.


Pengunjung Setia Blog Satuhala
Tidak sangka pula saya apabila blog saya yang tidak seberapa ini, menjadi perhatian penulis yang hebat seperti beliau. Rupa-rupanya, di dalam sejumlah pengunjung blog ini kecil, terselit kunjungan beberapa nama besar di dalam bidang mereka masing-masing. Salah seorang daripadanya ialah Ustaz Azizi Abdullah. Saya mengetahuinya apabila saya menerima email dari Ustaz Azizi pada suatu petang di penghujung tahun 2009. Saya pernah menulis tentangnya di sini


Beliau menyatakan hasrat untuk menggunakan beberapa penulisan yang saya muatkan di dalam blog satuhala ini yang bernada kritikan, untuk dimuatkan di dalam Utusan Pengguna. Saya tidak berfikir dua kali untuk bersetuju hanya kerana yang memintanya ialah Ustaz Azizi. Dia ada memarahi saya kerana memanggilnya sebagai tuan di awal perkenalan. Lalu panggilan Ustaz Azizi lebih disenangi beliau. Saya menyangka beliau seorang yang serius, tetapi hakikatnya dia seorang yang kelakar di dalam serius. Sangat mesra dan tidak pernah meninggi diri.

Beliau jugalah yang selalu mengetuk saya supaya bergerak dan terus menulis tidak kira apa jua rintangan yang tersedia dihadapan. Pada suatu ketika, saya menghentikan penulisan di blog ini di atas beberapa masalah terutamanya masa penulisan yang terhad akibat kesibukan tugas termasuk akibat ibu saya menjalani rawatan kanser. Dia menasihati saya supaya mendahulukan apa yang perlu didahulukan dan memastikan semua kekalutan yang saya hadapi diselesaikan terlebih dahulu sebelum menumpukan perhatian kepada penulisan kembali.

PTS
Kali terakhir saya berhubung dengannya ialah apabila dia merisik tentang syarikat PTS yang menerbitkan novel kecil saya Syahadah Gadis Ateis. Dia bertanyakan tentang komitmen editor, samada PTS bersikap professional dalam menerbitkan karya, samada isikandungan penulisan diganggu oleh editor atau pun tidak. Saya menyatakan kepadanya bahawa pengalaman saya berurusan dengan PTS adalah menyenangkan. Yang paling menyenangkan saya ialah apabila editor yang dilantik mereka tidak mengganggu kandungan kreativiti asal asalkan ianya bertepatan dengan syariah. Saya merasakan bahawa beliau mungkin sedang dirisik PTS pada ketika itu.



Perj Tu de Nu
Cuma satu perkara yang saya rasakan sangat ralat dengan berita pemergian beliau semalam. Saya telah berjanji untuk memberikan kepadanya naskah terawal sebuah buku yang sedang saya hasilkan sebaik ianya siap. Perj Tu de Nu, sebuah penulisan serius sebagaimana yang Ustaz Azizi pernah nasihatkan saya untuk diberikan fokus, merupakan sebuah projek penulisan saya yang telah diusahakan sejak 2006. Perancangan awal buku tersebut akan siap menjelang Januari 2012. Manusia merancang, Tuhan sahaja yang menentukan. Hasrat saya untuk memberikan sebuah naskhah usaha berat saya sebagai tanda terima kasih kepadanya akhirnya tidak kesampaian. Allah s.w.t. lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap seorang dari hamba-hambanya.

Dengan pemergiannya, saya kehilangan seorang pengkritik dan pendorong semangat yang sentiasa memberikan saya satu bentuk kekuatan ekstra untuk bersemangat kembali menulis. Seolah terdapat satu ruang kosong kini. Di dalam ruang singkat perkenalan saya dengan Ustaz Azizi, dia merupakan seorang yang sangat menyenangkan dan amat supportive walau pun di dalam keadaan kesihatan dirinya yang agak merosot sejak kebelakangan ini. Semoga keluarganya tabah, sabar dan kuat dalam menerima ketentuan Allah ini. Doa dan harapan semua yang mengenalinya agar Ustaz Azizi ditempatkan bersama orang-orang yang mendapat redha Allah di akhirat nanti. InsyaAllah. Ustaz, harap dapat kita bertemu lagi di bawah payung redha Allah di akhirat nanti. Pemergian ustaz adalah satu kehilangan buat saya. Al fatihah.


© 2011 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.



Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: