Oleh M.I.A./Imran Haaz
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Sebagaimana yang diceritakan sebelum ini, hari ini saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri bertemu dengan beberapa orang lelaki Kristian yang cuba untuk menjalankan aktiviti dakwah mereka ke atas orang Islam. Pada petang saya mengambil gambar papan tanda jalan yang bertulis ‘Believe John 3:16’ di Pulau Tikus (Klik sini), saya kemudiannya terus memandu ke sebuah kompleks membeli belah yang terletak bersebelahan dengan sebuah sekolah perempuan.
Kompleks tersebut dikunjungi pelajar-pelajar perempuan sekolah tersebut selepas sesi persekolahan dan aktiviti kurikulum sekolah. Saya melihat ramai pelajar perempuan melayu berpakaian sekolah melepak membuang masa di kompleks terbabit. Ia agak merisaukan. Teringat saya dengan kata-kata ‘an idle mind is the devil's workshop’. Terlalu bersantai seolah-olah tiada apa yang perlu dikejar mereka untuk bersaing menempatkan diri di dalam dunia yang penuh mencabar ini. Jika saya seorang mubaligh kristian, tentu sahaja saya melihat mereka ini sasaran-sasaran mudah untuk dituai. Memang merisaukan. Mereka ini merupakan produk-produk dari sebuah keluarga yang terlalu sibuk mencari rezeki kerana rezeki yang diperolehi oleh ketua keluarga mereka tidak cukup untuk memastikan makan, pakai dan pelajaran anak-anak dapat dipenuhi. Lalu si ibu yang seharusnya menjadi pengurus rumahtangga juga perlu bekerja bagi mencukupkan keperluan keluarga. Anak-anak ini mula terabai dan mengharungi dunia menurut kepada kompas kehendak hati tanpa bimbingan dan kasih sayang yang cukup.
Saya hanya diberikan alamat sebuah kedai yang menjual Bible di dalam bahasa Hebrew dan Greek. Lalu saya menuju ke lokasi yang dimaksudkan. Mengambil lif untuk ke satu tingkat yang menempatkan beberapa kedai buku. Kompleks ini selalu saya kunjungi apabila rangkaian kedai Popular melakukan jualan potongan harga untuk buku-buku jualan mereka sehingga serendah 90%. Jika ditempat lain dan dikawasan majoriti Melayu, rangkaian kedai ini hanya membuat lelongan pada kadar paling rendah 70%, tetapi hanya dikompleks ini lelongannya akan mencapai 90% diskaun dari harga jualan.
Tetapi bukanlah lokasi jualan lelong itu yang saya mahu tujui. Minda telah dipusatkan untuk mendapatkan senaskhah Bible di dalam bahasa Hebrew dan Greek dan beberapa buah buku berkenaan kristian yang sudah lama saya cari tetapi belum temui. Menurut pemberi maklumat seharusnya kedai tersebut berada di tingkat tertentu.
Sampai sahaja lif yang dinaiki ke tingkat tersebut, kaki saya terus melangkah. Setelah berpusing-pusing mencari kedai yang dimaksudkan, saya ternampak kedai tersebut berada di deretan kedai di seksyen selatan kompleks. Saya terus menuju ke kedai tersebut.
Pintunya berkunci. Saya menekan loceng tetapi tiada sesiapa di dalam pada waktu itu. Saya menjenguk ke dalam kedai, memang tiada sesiapa di sana. Mungkin waktu itu tengahari dan si penjaga kedai tersebut sedang makan tengahari. Saya mengambil keputusan untuk merayau di dalam kompleks membeli belah tersebut sebelum kembali ke situ dalam waktu satu jam kemudian.
Seperti biasa, jika bukan kedai buku yang ditujui, saya akan mencari kedai muzik. Saya mencari-cari kedai muzik dikompleks tersebut, tetapi tidak ada. Yang ada cuma beberapa buah kedai yang menjual DVD. Masuk salah sebuah kedai menjual DVD tersebut untuk mencari DVD muzik. Tetapi tiada apa yang menarik perhatian. Video lucah dijual dengan agak terbuka di kedai ini seolah-olah pemilik premis sudah kebal dan tidak lagi takut dengan undang-undang. Saya masuk ke sebuah kedai lagi yang menjual DVD, keadaannya sama dengan kedai yang sebelum ini. Ia sebagai satu petanda yang menunjukkan penguatkuasaan undang-undang terlalu lemah di sini. Tiada ketegasan dan tiada siapa lagi di sini takut dengan pihak berkuasa. Pihak berkuasa harus bermuhasabah. Ketidakcekapan mereka juga menjadi faktor penyumbang kepada segala jenis masalah ini. Kompleks ini penuh dengan kebejatan sosial.
Saya bersembang-sembang dengan sekumpulan remaja lelaki semasa duduk berhampiran tangga masuk kompleks tersebut. Dari mereka saya difahamkan bahawa terdapat pusat pelacuran di tingkat tujuh dan pusat pelacuran homoseksual juga terdapat disitu. Ia membenarkan apa yang pernah disebut saya di dalam blog ini tidak lama dulu. Di mana sahaja tempat di mana kebejatan sosial itu berada di dalam tahap yang kronik, di sana jugalah gerakan kristian subur bertapak bagi menuai penganut-penganut baru.
Bersolat Jumaat di masjid Kelawai yang tidak jauh dari situ. Sesudah itu saya kembali ke kompleks tersebut. Kali ini, kelihatan pintu kedai yang dikatakan menjual Bible Hebrew dan Greek tersebut terbuka. Saya meneruskan langkah ke situ.
Masuk sahaja ke kedai tersebut, saya disapa oleh jurujual yang berada di kaunter. Seorang lelaki cina yang masih muda dan berkaca mata. Dari riak wajahnya saya tahu dia perasankan saya ini seorang muslim. Satu senyuman saya lemparkan.
‘Boleh saya bantu?, ’ sapanya di dalam bahasa Inggeris. Semuanya diterjemahkan bagi memudahkan pembacaan.
Saya menyatakan bahawa saya mencari beberapa kitab berikut, saya mengeluarkan senarai yang ditulis di atas sekeping resit yang dimpan dari poket. Saya bertanyakan kepadanya samada kedainya ada menjual Summa Theologica dari Thomas Aquinas, Confession oleh St. Augustine, Matthew Henry Commentary on the Whole Bible, Antiquities of the Jews dari Flavius Josephus Bible di dalam bahasa Hebrew dan Greek serta apa-apa buku berkenaan Hebrew Vocabulary, Lexicon dan Grammar.
Mungkin tidak dapat menahan perasaan, dia terus bertanyakan saya samada saya seorang muslim. Saya menjawab saya memang seorang muslim. Lalu dia bertanyakan untuk apa saya membaca semua bahan bacaan yang dicari saya itu. Saya menyatakan kepadanya bahawa agama yang saya anuti, Islam, menyuruh saya mencari pengetahuan dan sentiasa mencari kebenaran. Dia tersenyum lalu dia bertanyakan samada saya sudah menemui kebenaran atau pun tidak? Saya mengatakan kepadanya bahawa kebenaran hakiki telah saya temui dan ia berada pada agama Islam.
‘Jadi apa perlunya kamu masih mencari kebenaran sekiranya Islam itu kamu yakini sebagai benar?’ Tanya pemuda itu lagi.
Saya katakan kepadanya pencarian kebenaran itu sangat luas skopnya. Ia termasuk memberi perhatian kepada semua aspek kehidupan dan menilaikan serta memahami semua perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran tersebut. Bagaimana untuk bersyukur dengan kebenaran yang dipegang jika kita tidak tahu mengenai kepalsuan yang dihindari. Itu cara Islam mengajar umatnya untuk bersyukur dengan kebenaran.
Dia hanya mengangguk. Saya pasti dia kurang faham apa yang saya maksudkan. Saya juga tahu di dalam kepalanya berlegar-legar pemikirannya mengorbit kepada persoalan kenapa saya berada di kedainya dan mencari bahan-bahan bacaan kristian yang agak berat.
Tetapi satu sikap yang ada pada mereka ini ialah, mereka telah dilatih untuk bersopan dan bersedia membantu. Pemuda itu bersikap professional tetapi masih ada hasrat tersirat yang masih disembunyikan disebalik wajahnya yang agak relaks.
Dia keluar dari cubicle yang menempatkan kaunter tempat pembayaran. Dia membantu saya mencari bahan bacaan yang dicari. Selain dari Summa Theologica, Antiquities of the Jews dan Confessions, bahan bacaan yang saya cari semuanya ada. Untuk Antiquities of the Jews dia mencadangkan saya ke kedai MPH di Plaza Gurney kerana dia katakan baru-baru ini dia ternampak naskhah buku itu di sana.
Dia kemudiannya bertanyakan kepada saya kenapa saya mencari Bible di dalam bahasa Hebrew. Saya nyatakan kepadanya ianya hanya untuk rujukan kerana terjemahan Bible di dalam bahasa Inggeris yang ada, banyak yang menterjemah Bible dengan cara yang terdapat elemen manipulasi. Jadi saya perlu mengetahui apa sebenarnya yang disebut di dalam teks-teks asal yang menjadi rujukan bible-bible yang diterjemahkan.
Dia kemudiannya memberikan saya, bible beserta komentar oleh Matthew Henry seperti yang saya cari. Kemudian dia pergi ke bahagian rak paling belakang dan kemudian membawa kepada saya senaskhah Bible Hebrew dan Greek dan senaskhah buku Hebrew Vocabulary.
Kemudian seorang rakan wanitanya memasuki kedai. Berusia lewat 40 an dari penampilannya. Melihatkan saya memegang Bible Hebrew, dia bertanyakan kepada saya apakah saya seorang Pastor? Saya menafikannya. Dia bertanyakan kenapa mahukan Bible di dalam bahasa Hebrew sedangkan Jesus sudah pun dihantar tuhan untuk menghapuskan semua hukum-hukum di dalam Kitab Perjanjian Lama melalui penyalibannya.
Saya hanya menjawab itu hanya pendirian yang diambil oleh orang-orang Kristian. Sebagai muslim, saya diasuh oleh agama saya bahawa Jesus tidak pernah menghapuskan hukum-hukum Taurat tetapi memperbaiki serta memerintahkan orang-orang Yahudi untuk kembali mengamalkannya. Ia juga dinyatakan di dalam Kitab Perjanjian Baru mereka di dalam Mathhew fasal 5 ayat 17 hingga 19 seperti di bawah :
17Think not that I am come to destroy the law, or the prophets: I am not come to destroy, but to fulfil. 18For verily I say unto you, Till heaven and earth pass, one jot or one tittle shall in no wise pass from the law, till all be fulfilled. 19Whosoever therefore shall break one of these least commandments, and shall teach men so, he shall be called the least in the kingdom of heaven: but whosoever shall do and teach them, the same shall be called great in the kingdom of heaven. (Terjemahan :17. "Janganlah kamu menyangka, bahwa aku datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakannya, melainkan untuk menggenapinya. 18. Karena aku berkata kepadamu: Sesungguhnya selama belum lenyap langit dan bumi ini, satu iota atau satu titikpun tidak akan ditiadakan dari hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi. 19. Karena itu siapa yang meniadakan salah satu perintah hukum Taurat sekalipun yang paling kecil, dan mengajarkannya demikian kepada orang lain, ia akan menduduki tempat yang paling rendah di dalam Kerajaan Syurga; tetapi siapa yang melakukan dan mengajarkan segala perintah-perintah hukum Taurat, ia akan menduduki tempat yang tinggi di dalam Kerajaan Syurga.)
Begitu juga disebutkan di dalam al Qur’an bahawa kedatangan Isa a.s. adalah bagi menegakkan kembali hukum-hukum Taurat yang diubah ahli kitab Yahudi. Ia seprti yang dinyatakan di dalam surah Ali Imran ayat 50 hingga 51.
Dan (aku datang kepadamu) membenarkan Taurat yang datang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagimu sebagian yang telah diharamkan untukmu, dan aku datang kepadamu dengan membawa suatu tanda (mukjizat) daripada Tuhanmu. Karena itu bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Sesungguhnya Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, karena itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus".
Orang-orang Kristian percaya kepada doktrin palsu yang dimasukkan ke dalam agama itu oleh St. Paul yang menyatakan kematian Jesus itu merupakan satu pengorbanan dan tanda yang menunjukkan segala hukum Taurat telah diangkat dan dihapuskan melalui darah Jesus. Ia dinyatakan di dalam Roman fasal 10 ayat 4,
4For Christ is the end of the law for righteousness to every one that believeth.
Kerana itulah wanita itu mempersoalkan kesungguhan saya mahu mengkaji Kitab Perjanjian Lama mereka. Baginya apa perlu untuk menghabiskan masa mengkaji kitab tersebut sedangkan Jesus sudah pun mengorbankan dirinya bagi membatalkan semua hukum-hukum Taurat. Saya menyatakan kepadanya bahawa saya merupakan seorang muslim dan seorang muslim, sikapnya terhadap kitab-kitab yang diwahyukan Allah adalah berbeza dengan sikap yang diambiloleh orang-orang Kristian terhadap Perjanjian Lama dan sikap yang diambil oleh orang-orang Yahudi terhadap Perjanjian Baru. Apabila saya berkata demikian baharu dia sedar yang saya ini seorang muslim dan rakan sekerjanya mengiakan kenyataan itu.
Lalu dia bertanyakan apakah saya di dalam pencarian untuk memeluk agama Kristian. Saya menyatakan tidak. Dia pula bertanya apakah saya berminat dengan agama Kristian. Saya kata bahawa minat saya yang mendalam kepada al Qur’an membawa saya ke sana. Saya menyatakan bahawa al Qur’an mengajar umat Islam supaya menghormati agama lain dan al Qur’an juga menyatakan bahawa kitab-kitab agama Yahudi dan Kristian itu merupakan wahyu-wahyu Allah yang kini telah berubah wajah.
Dia hanya mengangguk dan masih lagi mempersoalkan minat saya untuk mengkaji Perjanjian Lama. Saya katakan bahawa saya sudah mengkaji Perjanjian Lama dan Baru di dalam terjemahan-terjemahan Bible, kini saya mahu mengkaji sendiri teks-teks yang didakwa sebagai teks asal Perjanjian Lama yang diambil dari teks Masoretic Yahudi. Sehabis pengkajian itu saya akan berusaha pula memulakan kajian Perjanjian baru di dalam bahasa Aramaic dan Greek. InsyaAllah.. itulah azam saya sejak beberapa tahun lepas. Jika sebelum ini saya bergantung kepada Bible Hebrew yang saya cetak secara online, dengan adanya Bible Hebrew saya tidak perlu membazirkan dakwat pencetak saya untuk mencetak setiap helaian Bible Hebrew. Jadi kertas-kertas kajian Bible Hebrew saya seperti di bawah ini akan menjadi sebahagian dari sejarah.
|
Bible Hebrew Yang Dikaji Secara Muat Turun |
|
Bible Hebrew Yang Saya Gunakan Kini |
|
Bible Hebrew Yang Saya Gunakan Kini |
Perbualan kami di dalam kedai itu didengari oleh seorang lelaki India. Saya perasan dia memerhatikan saya dari jauh. Mungkin dia terdengar butir-butir perbicaraan saya dengan kedua-dua staf kedai tersebut. Tetapi dia tidak menghampiri cuma mencuri-curi dengar dari jauh.
Lelaki cina itu kemudian bertanyakan saya sekiranya di dalam tempoh terdekat, dibukakan pintu hati saya untuk menerima ajaran Kristian, dia sanggup membantu. Begitu juga dengan wanita itu. Pantas mereka menawarkan bantuan tanpa was-was.
Selama-lamanya saya mahu kekal sebagai Muslim
Saya menyatakan dengan tegas kepada mereka bahawa saya dilahirkan sebagai Islam, menjalani kehidupan sebagai orang Islam dan selama-lamanya saya berdoa kepada Allah supaya saya kekal di dalam Islam sepanjang hayat saya dan mati sebagai orang Islam. Berminat untuk mengkaji Bible bukanlah bermaksud saya berminat untuk memeluk agama tersebut, tetapi memenuhi keperluan fardu kifayah supaya akan ada muslim yang mengambil berat tentang bidang pengkajian ini.
Jesus itu juruselamat manusia?
Lalu lelaki cina itu cuba memasukkan jarum aktiviti dakwahnya, dia bertanya kepada saya apakah saya tahu bahawa Islam mengiktiraf Jesus itu sebagai juruselamat yang akan menyelamatkan manusia di akhir zaman nanti? Saya berkata kepadanya bahawa Islam menegaskan Isa a.s. akan kembali ke dunia bukanlah untuk membawa doktrin kristian tetapi sebagai penegak Islam yang dibawakan oleh Rasulullah s.a.w.
Kedatangannya juga akan memperbetulkan kembali penipuan-penipuan yang dilakukan ahli kitab terhadapnya. Baginda juga hanya akan mengikut risalah Muhammad s.a.w. dan menjadi pengikutnya dan bukan membawa risalah baru. Seolah-olah mereka ini telah dilatih untuk bersedia untuk berdakwah dengan umat Islam yang secara spesifik menjadi target mereka.
Tahukah kamu yang Jesus disalib dan al Qur’an kamu membenarkannya?
Tidak berpuas hati dengan jawapan balas saya, dia cuba memasukkan jarum lagi. Dia menyatakan kepada saya bahawa al Qur’an sendiri menyatakan bahawa Jesus disalib dan terbunuh di atas salib tersebut. Saya bertanyakan kepadanya sumber ayat tersebut kerana sepanjang pengetahuan saya tidak pernah saya ketahui wujud ayat sedemikian di dalam al Qur’an.
Dia beritahu bahawa dia tidak ingat tetapi dia akan berikan saya rujukan tersebut. Lalu dia bergerak menghampiri laci pada bahagian cubicle yang menempatkan kaunter, lalu dibawa keluar seberkas buku-buku kecil yang diikat sekali. Jumlah buku-buku kecil tersebut banyak. Lalu dia mengeluarkan satu daripadanya dan memberikannya kepada saya.
Buku Akhirat
Di dalam mukasurat lapan buku tersebut, dia menunjukkan rujukan surah sepertimana yang dikatakannya mengatakan Jesus mati dibunuh. Dia merujuk kepada surah Ali Imran ayat 144. Tetapi ayat yang dinyatakan di dalam buku tersebut pelik sedikit bunyinya. Saya bukan penghafal al Qur’an tetapi ada perasaan pelik di dalam getus hati saya berkenaan ayat tersebut. Ia mencatatkan di dalam buku tersebut, terjemahannya seperti berikut:
“…Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul yang sudah didahului oleh beberapa orang rasul (yang telah mati terbunuh).”
Kenapa saya berasa pelik dengan terjemahan ayat tersebut. Ini kerana saya tahu dan saya pernah mengkaji perbezaan antara nabi dan rasul. Rasul tidak akan dibiarkan Allah kalah dan terbunuh di dalam perjuangan mereka, tetapi para nabi terkecuali dari jaminan ini. Ia dinyatakan Allah di dalam ayat 21 surah al Mujadalaah.
“Sesungguhnya Aku dan rasul-rasulKu pasti akan menang. Sesungguhnya Tuhan Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Terjemahan sebenar ayat 144 surah Ali Imran adalah seperti berikut:
Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, yang sebelumnya telah berlalu beberapa orang Rasul. Apakah apabila dia wafat atau terbunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad), barang siapa yang berbalik ke belakang, maka tidaklah ia memberi mudarat kepada Allah sedikit pun dan Allah akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur.
Lihat bagaimana mereka dengan biadap sesuka hati menukar ayat al Qur’an semata-mata untuk membenarkan ajaran Kristian yang terpesong dari akidah Islam yang sebenar.
Lalu saya menyatakan kepadanya tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan terjemahan ayat 144 surah Ali Imran yang diberikan. Oleh kerana saya bukanlah seorang yang diberikan kelebihan mampu menghafaz al Qur’an sebagaimana insan-insan hebat yang terpilih oleh Allah, hanya itu saya komenkan. Tetapi saya ada meminta kepadanya sekiranya terdapat naskah terjemahan al Qur’an yang tersimpan di dalam kedai tersebut. Saya mahu memeriksa terjemahan sebenar. Dia memberitahu bahawa dia tidak mempunyai terjemahan al Qur’an.
Saya juga turut mencadangkan supaya dia merujuk ayat 157 surah an Nisaa’ untuk membaca ayat di dalam al Qur’an yang menyatakan secara jelas bahawa Isa a.s. tidak dibunuh dan tidak disalib. Saya mencadangkan kepadanya supaya mencari terjemahan ayat tersebut diinternet apabila dia kelapangan nanti. Saya cuba menjelaskan konteks ayat tersebut, tetapi terjemahan sebenar perlu dirujuk kepada kitab Tafsir al Qur’an itu sendiri.
Jelas tidak senang dengan jawapan yang saya berikan, dia memberikan buku bertajuk Akhirat tersebut kepada saya untuk dibaca apabila pulang nanti. Wanita itu kemudiannya berkata sekiranya saya perlukan apa-apa bantuan untuk memahami kristian atau Islam secara lebih mendalam, dia boleh membantu. Benar-benar mereka berasa sangat yakin bahawa mereka sedang di dalam kejayaan untuk mendapatkan satu jiwa Islam untuk ‘diselamatkan’.
Pada ketika inilah kami dihampiri lelaki India yang memerhatikan dari tadi. Memperkenalkan dirinya sebagai Eric, dia menawarkan diri untuk membantu saya mendalami ajaran Kristian bersama seorang paderi yang dikenalinya. Dia memberikan saya nombor telefon di atas sekeping kertas. Kertas itu masih saya simpan sehingga hari ini dikepilkan bersama buku akhirat tersebut.
Mengatakan Tidak Dengan Berkata Ya...
Melihatkan kesungguhan mereka, saya hanya tersenyum. Oleh kerana berada ditempat mereka, rasa hormat kepada tuan rumah perlu dijaga. Saya menyatakan kepada Eric jika dia mahukan saya belajar mengenai Bible, saya rasa saya tidak perlukan pertolongan di dalam bentuk sebegitu. Ini kerana saya telah mengkaji kitab tersebut sejak saya berusia 15 tahun. Berkemungkinan apa yang mereka tahu, saya mengetahuinya di dalam lapisan-lapisan yang lebih mendalam. Saya berkatakan kepada mereka bahawa saya tidak berminat kerana tiada apa yang boleh ditawarkan mereka kepada saya yang menarik perhatian.
Eric kemudian bertanyakan bagaimana saya tahu yang pengetahuan saya mengenai Bible sama tingkatnya atau lebih berbanding mereka sehingga saya menyatakan saya tidak berminat dengan pelawaan tersebut. saya mengatakan bahawa bukan saya tidak berminat, tetapi kalau mereka boleh tawarkan sesuatu yang mempunya add-value tentu sahaja saya tidak menolak, tetapi untuk belajar Bible dari mereka saya menolaknya. Saya juga menyatakan sekiranya jika mereka boleh membaca atau berkomunikasi di dalam bahasa Hebrew atau mereka boleh membantu saya mendapatkan seseorang yang dapat berkomunikasi di dalam bahasa Hebrew untuk saya belajar, saya pasti tidak akan menolak pelawaan mereka. Ini kerana untuk belajar berkomunikasi, ia memerlukan dua pihak yang ingin belajar bertutur bahasa yang sama.
Mendengar jawapan tersebut mereka tersenyum sinis. Lalu saya mengambil Bible Hebrew yang diletakkan di atas kaunter tersebut, dan membuka kitab Bereishit dan membacakan petikan ayat 1 di dalam Bereishit (Genesis fasal 1) di dalam bahasa Hebrew.
בְּרֵאשִׁית, בָּרָא אֱלֹהִים, אֵת הַשָּׁמַיִם, וְאֵת הָאָרֶץ.
(Be-reishit Bara Elohym et Ha Shamayim we et Ha Arets. )
Melihat saya membacakan petikan Bible Hebrew di dalam bahasa Hebrew, mereka diam. Saya bertanya ada sesiapa di antara mereka boleh membantu saya mendalami bahasa Hebrew, mereka hanya diam. Lalu saya mengucapkan terima kasih atas masa yang mereka luangkan. Saya membayar kitab-kitab yang saya beli dan mengucapkan ucapan selamat kepada mereka.
Sebelum pulang, saya bertanyakan kepada lelaki cina tersebut samada dia mahukan buku Akhirat itu kembali. Dia menyatakan buku itu memang diberikan percuma kepada muslim-muslim yang perlu diselamatkan. ‘Semoga saudara menemui jalan selamat kepada Kristus,’ Ucapannya disambung dengan ucapan wanita terbabit, ‘May Jesus bless you,’. Sempat lagi berdakwah sampai minit terakhir.
Saya cuma katakan bahawa kepada mereka bahawa selamanya jika diizinkan Allah saya akan tetap menjadi muslim. Selamanya saya akan berpegang kepada agama Allah yang indah ini, kemudian saya ucapkan kepada mereka bertiga, ‘Semoa Allah memberikan petunjuk dan hidayat kepada kita semua menuju ke jalan yang benar. Amin.’
Disebabkan pengalaman sebeginilah saya berkeras menyatakan pendirian bahawa orang-orang Kristian di Malaysia, tiada keperluan mereka menggunakan nama Allah dan apa sahaja istilah yang berkait dengan Islam di dalam agama mereka. Lihat sahaja sejauh mana mereka melakukannya di dalam diam. Kewujudan manusia yang menggelarkan diri mereka ulama' tetapi persis kepada bersikap seperti ahli kitab di zaman nabi, memburukkan lagi situasi ini. Mereka berkiblatkan Putrajaya, pemberi rezeki mereka ialah pengundi dan mereka kronik dijangkiti penyakit wahan. Mereka-mereka inilah yang menjadi catalyst yang menggerakkan gerakan Kristian dengan lebih bebas dan mendapat sokongan orang-orang Islam sendiri. Saya berjuang menentang semua ini kerana saya sendiri telah melihat sejauh mana mereka akan pergi. selepas ini jangan pula terkejut jika mereka mahukan hak untuk menafsirkan al Qur'an mengikut konteks yang difahami dan disongsangkan mereka seperti di dalam penerbitan booklet akhirat yang diberikan kepada saya seperti di atas.
Cuma satu perkara yang merunsingkan saya sehingga hari ini. Seberkas ikatan yang berisi booklet-booklet akhirat di dalam jumlah yang banyak itu, berkemungkinan sudah luas disebarkan kepada orang-orang Islam diseluruh Nusantara. Ia dihasilkan oleh sebuah gerakan terancang yang tidak hanya berpusat di Pulau Pinang, tetapi sebuah gerakan yang mempunyai pengkalan-pengkalan di seluruh Asia Tenggara. Lihat sahaja mukasurat belakang booklet tersebut yang memberi peluang kepada mereka-mereka yang didakwahkan untuk membuat hubungan dengan gerakan mereka di negara Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Jadi kita harus berwaspada dan berterusan memberi peringatan, memperbaiki segala kelemahan kita kembali menyuburkan gerakan Islam di mana sahaja kita berada. Kita harus menghidupkan perbincangan tentang Islam di dalam setiap pertemuan kita di dalam komuniti dan rakan-rakan supaya minat untuk mendekati Islam itu disuburkan pada setiap saat dan masa. Untuk politikus-politikus yang bertuhankan kuasa pengundi, persetankan sahaja mereka. Mereka ialah golongan manusia yang sentiasa merasakan diri mereka mulia tetapi pada hakikatnya mereka adalah persis sekumpulan ahli kitab yang sangat-sangat memualkan. Yang penting kita semua harus pantas bergerak. Kuatkan kefahaman Islam dan terus menyampaikan kepada yang terdekat dengan kita. Harap kita semua dapat ambil pengajaran. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menghadapi dan mengatasi ujian ini. Amin.
© 2011 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.