Friday, August 12, 2011

Bakar al Qur'an?

5
Oleh M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Isu beberapa orang paderi Kristian di Amerika, Australia dan Eropah mengugut untuk membakar al Qur’an dan kemudiannya benar-benar membakar kitab suci tersebut merupakan isu yang agak menarik untuk diberikan perhatian. Oleh kerana blog ini ‘berhibernasi’ semasa perkara tersebut berlaku, perkara ini dicatatkan supaya disentuh apabila saya kembali menulis nanti.


Perlakuan mereka ini tidak memberikan hatta sekelumit pun impak negatif kepada imej Islam. Tetapi perlakuan mereka ini merupakan antara perlakuan yang memakan diri sendiri. Shoot oneself in the foot kata pepatah Inggeris. Menconteng arang ke muka sendiri kata Karam Singh Walia.

 

Saya percaya secara purata, saya membaca dan memberi perhatian kepada pengkajian Bible melebihi apa yang dilakukan oleh penganut biasa agama itu sendiri. Saya juga percaya, saya memiliki sejumlah Bible yang sentiasa saya baca dan kaji melebihi jumlah Bible yang tersimpan di dalam mana-mana rumah penganut biasa agama itu.

 

Tetapi untuk melakukan penghinaan terhadap kitab yang dianggap suci oleh penganut Yahudi dan Kristian itu, ia merupakan sesuatu yang tidak langsung tergamak saya melakukannya. Bagaimana mungkin saya dapat melakukannya sekiranya agama Islam yang indah yang mahu dipeluk dengan kemas dan erat oleh saya ini tidak membenarkannya dilakukan. Bagaimana mungkin saya mahu melakukan tindakan yang serupa jika sebahagian dari rukun iman yang membentuk sahsiah kedudukan iman seorang mukmin itu menetapkan bahawa tidak lengkap iman seorang muslim selagi dia tidak memperakui Taurat, Zabur dan Injil merupakan kitab-kitab yang pernah diwahyukan Allah sebelum al Qur’an?


Taurat, Zabur & Injil

Benar Taurat, Zabur dan Injil telah tercemar dengan perlakuan ahli kitab yang mengubah, menyembunyikan serta mengadakan yang tiada di dalam kitab-kitab tersebut kini. Tetapi ia bukanlah satu alasan untuk mengatakan kitab-kitab tersebut salah dan tidak benar keseluruhannya lalu boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

 

Masih terdapat ayat-ayat Allah yang masih terpelihara di dalam jumlah yang cukup untuk tujuan-tujuan tertentu di dalam kitab-kitab tersebut. Ada yang masih belum tercemar dan dipelihara Allah atas tujuan-tujuan tertentu. Ia dapat dikenalpasti dengan mudah dengan muslim yang beriman kemas dengan al Qur’an. Tetapi ia kabur dari penglihatan orang-orang biasa. Jadi untuk melakukan sesuatu yang dianggap sebagai sacrilegious act sebagaimana yang dilakukan oleh paderi-paderi Kristian tersebut ke atas kitab al Qur’an, mana mungkin seorang muslim yang faham dan beriman kepada agamanya tergamak melakukannya kepada kitab mereka untuk bertindak balas.

 

Provokasi vs Retaliasi?

Islam melarang penganutnya melakukan provokasi atau membalas provokasi tidak bertamadun dengan cara yang tidak bertamadun. Islam, sebuah agama yang menjadi catalyst yang pernah dan sedang menganjak dunia untuk berubah dari zaman manusia berfikiran kolot kepada kemajuan dan ketamadunan berasaskan akidah dan pencapaian sains, perlakuan tidak bertamadun paderi-paderi Kristian tersebut tidak dapat diterima mana-mana manusia dengan akal dan daya intelektual waras.


Muslim Juga Membakar al Qur'an?

Benar, muslim juga membakar al Qur’an. Tetapi al Qur’an yang dibakar itu merupakan al Qur’an yang sudah lusuh dan rosak. Manakala tujuan pembakarannya dengan tertib-tertib tertentu ialah bagi tujuan menjaga kesuciannya dari tercemar dengan cara pelupusan yang tidak betul. Berbeza dengan perbuatan Father Terry Jones dan sekutu-sekutunya. Tujuan mereka membakar al Qur’an ialah bagi tujuan penghinaan.

 

Beriman Dengan Kitab-Kitab Sebelumnya..

Al Qur’an yang dipegang, dibakar dan dihinakan mereka itu, pada bukaan muka suratnya yang pertama di dalam kitab itu menyatakan dengan jelas bahawa antara ciri manusia-manusia yang bertakwa kepada Allah ialah muslim yang beriman kepada al Qur’an dan kitab-kitab yang diwahyukan sebelumnya. Ayat ke empat surah al Baqarah ini sendiri menunjukkan bagaimana rasa hormat harus diberikan kepada kitab-kitab lain.


Al Baqarah ayat 2 hingga 4
2. Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
 3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
 4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Qur'an" yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).


Tidak semua penganut Kristian bersikap buruk dan tidak rasional seperti paderi-paderi seperti di dalam video di atas. Ramai yang berhati mulia dan bersikap sederhana di dalam aturan kehidupan mereka. Malah kebanyakan bible yang dimiliki saya merupakan bible-bible yang di dapati melalui hubungan saya dengan beberapa individu Kristian yang saya kenali. Cuma malang bagi mereka apabila tindakan paderi-paderi Kristian seperti Jones itu, menconteng arang kepada pihak mereka. Ia seolah-olah menunjukkan paderi-paderi tersebut yang seharusnya dekat dengan agama mereka, mempromosikan agama mereka sebagai sebuah agama yang tiada toleransi dan rasa hormat kepada manusia dan pegangan agama lain selain daripada mereka. Lihat sahaja dengan kes yang berlaku di Malaysia ini. Sebagai contoh kes tersebaru berkenaan dengan serbuan JAIS ke atas sebuah gereja yang dikatakan cuba memurtadkan orang-orang Islam. Perbuatan mereka-mereka ini sebenarnya memberikan satu tanda tanya kepada ramai pihak di luar sana, apakah Kristian ini sebuah agama yang menggalakkan penganutnya untuk melanggar undang-undang? Sedangkan sudah termaktub jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor bahawa terdapat peraturan dan undang-undang yang dibuat untuk menyekat apa-apa aktiviti pengembangan iktikad agama selain Islam kepada orang Islam. Jelas, perbuatan kumpulan Kristian ini seolah-olah menunjukkan mereka tidak tahu menghormati undang-undang walau di mana jua mereka berada. Ini termasuklah perbuatan membakar al Qur'an dari paderi-paderi Kristian di Amerika, Eropah dan Australia.

 

Jadi, oleh kerana Islam mengajar kita semua untuk menghormati kitab-kitab suci agama lain, maka bible-bible yang berada di dalam simpanan saya dirumah akan tetap kekal diletakkan ditempat yang elok, bersih dan tersusun. Itu adalah perbezaan antara sikap kita dan mereka yang ekstrem. Di bawah ini merupakan sebahagian dari kitab-kitab Bible dan penulisan berkenaan Kristian dalam pelbagai mazhab yang saya simpan dengan elok dan penuh hormat di dalam perpustakaan kecil rumah saya. Biarlah mereka menembak kaki sendiri, yang untung kita juga nanti. InsyaAllah...




© 2011 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

5 comments:

Mohd. Razi said...

Assalamualaikum…
Menarik penulisan saudara kali ini. Merujuk kepada pembacaan kita kalangan muslim terhadap bible ni, saudara mesti pernah mendengar ‘tuduhan’ yang dilemparkan di kalangan kalangan alim ulama kita yang mengatakan tidak boleh membaca bible, sebab nanti terpesong akidah lah, sebab bible tu ada kuasa untuk menyuruh seseorang murtad dan pelbagai lagi tuduhan dan statement untuk menakutkan orang Islam untuk menyentuh apatah lagi membaca bible yang ada sekarang. Padahal tujuan sebenar tidak lain selain sebagai pembacaan maklumat dan untuk tujuan akademik semata? Kalau ditakutkan terus macam tu, mana mungkin kita tahu fitnah “cerita nabi Nuh mabuk” –sebagai contoh lah kan?Bagaimana kah harus kita untuk menjawab kepada golongan “alim” seperti ini? Seperti cerita hantu cina tahun2 80an yang takut apabila melihat tangkal oleh tok sami pulak ibaratnya. Rasa kelakar pun ada. Akidah tauhid islam kita telah jelas iaitu tidak menyekutukan Allah dengan apa sifat sekalipun. Jadi masakan bible itu begitu berkuasa keramat sekali seperti dakwaan “orang alim” ini? Kadang2 saya agak kesal golongan macam ni lah yang akan menyebabkan kalangan umat Islam kita bersikap defensif dan jumud. Apakah nasihat sesuai dari saudara?

satuhala said...

Wa'alaikumsalam Mohd Razi. TQ atas komen. Dari komentar yg dilontarkn saudara, ianya menunjukkan keprihatinan saudara trhadap isu sebegini. Sebenarnya apa yang saudara katakan itu ada kebenarannya. Bible secara sendirinya tidak akan dapat memesongkan akidah umat Islam. Tetapi apa yang dinyatakan oleh alim ulama itu juga ada betulnya sekiranya kita memahami kegusaran mereka di dalam konteks yg tepat. Saya sendiri tidak akn mengesyorkan Bible dibaca oleh orang2 Islam yang tidak mempunyai asas kuat al Qur'an, As sunnah.

Antara sebab saya mengatakan begini ialah kerana di dalam Bible terdapat beberapa ayat yg hampir sama maksudnya dengan al Qur'an. Jika kita tidak dapat memahami perbezaan maksudnya dengan betul, takut timbul pula kekeliruan.

Ulama' berkata demikian mungkin berpandukan beberapa hadis yg menunjukkan larangan Rasulullah s.a.w. ke atas para sahabat utk mendengar bacaan Taurat dan membaca Taurat. Tetapi hadis itu perlu difahami dengan konteks yg betul. Bahawa pada ketika larangan dikeluarkan Rasulullah s.a.w., al Qur'an masih belum diwahyukan sepenuhnya. Antara fungsi al Qur'an ialah kitab suci ia menjadi pembeza antara yang benar dan salah dan sebaik lengkap ianya boleh dijadikan panduan untuk menilaikan serta mengenalpasti kepalsuan2 yg ada di dalam Taurat dan Injil (Bible) ahli-ahli kitab. Oleh kerana al Qur'an masih belum lengkap diwahyukan pada zaman tersebut, Rasulullah melarang para sahabat membacanya, takut2 para sahabat mengatakan sesuatu yg diluar pengetahuan sebenar mereka. Kerana itulah rasulullah berpesan di dalam sebuah hadis,

"Kalian jangan membenarkan Ahli Kitab, dan jangan mendustakan mereka. Namun ucapkanlah, ‘Kami beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami dan diturunkan kepada kalian, Tuhan kita, dan Tuhan kalian adalah satu, dan kita menyerahkan diri kepada-Nya'." (Diriwayatkan Al-Bukhari).

Saudara Razi, tiada siapa pun sebenarnya tahu setakat mana kukuhnya akidah yg terpahat dalam diri sesiapa pun termasuk diri kita sendiri. Terkadang jika diuji dengan suatu ujian yg berat dan spt. tidak tertanggung, akidah yg dirasakan kukuh sebelum ini mungkin juga boleh bergoyang. Ketika ianya bergoyang, segala yg boleh difikirkannya secara rasional, akan mula berkecamuk. Ia ibarat org sedang kelemasan. Hanya dgn asas al Qur'an dan sunnah yang kukuh, ia menjadi benteng kpd iman supaya tidak mudah diterobos masuk oleh anasir tidak elok.

Jika ada kesempatan, saya cuba tunjukkan melalui penulisan di blog ini bagaimana kekeliruan boleh berlaku sekiranya seseorang membaca Bible tanpa mempunyai asas al Qur'an dan sunnah yang agak baik.

samb. dibawah...

satuhala said...

samb. dr. atas...


Nasihat para ulama' itu tidak akan menjadikan umat Islam terlalu defensif dan jumud. Saya sendiri membesar dikhutbahkan dgn perkara yg sama. Nasihat mereka jika kita fahami ditujukan kepada sebahagian besar umat Islam yg langsung tidak mempunyai asas al Qur'an dan sunnah. Bagi mereka yg ada asas, teguran dan nasihat sebegitu tidak ditujukan kepada mereka. Para ulama' harus dihormati setakat mana mereka masih berada di dalam lingkungan manusia2 yg memegang amanah Allah untuk membimbing umat dgn betul.

Kegusaran mereka ialah, kenapa perlu muslim yang tidak mempunyai asas al Qur'an dan tidak membaca al Qur'an tiba2 sahaja mahu membaca bible. Ia sesuatu yg menggusarkan.

Contoh yg dibawakan saudara brkenaan Nabi Nuh dikatakan mabuk mabuk dan kemudian berzina dgn anak perempuannya di dalam Bible itu, mudah untuk kita sebagai muslim mengenalpastinya sebagai kepalsuan yg dimasukkan walaupun tanpa asas al Qur'an dan sunnah . Tetapi ada ayat2 di dalam Bible dimana kepalsuan dan kekeliruan itu terselindung dan terkadang nampak seperti benar tetapi hakikatnya tidak. Saya akan jelaskan dgn mengambil contoh perbandingan sebuah fasal di dalam Bible dgn ayat2 al Qur'an nanti. Melalui penulisan itu nanti, insyaAllah, saya, saudara dan mereka2 yg membacanya akan ada sedikit idea kenapa para ulama' menegah pembacaan bible tanpa sebarang asas al Qur'an dan sunnah.

Nasihat saya, perkukuhkan asas al Qur'an dan pengajian sunnah terlebih dahulu sebelum memulakan pengkajian Bible. Tidak salah membacanya jika kita melengkapi syarat yg diperlukan. Saya percaya jika ramai lagi muslim seperti saudara yg ambil berat pasal isu ini dan tahu membezakan antara yg benar dan salah, tidak ramai umat Islam akan terpesong dgn dakyah songsang dari mana2 pihak. TQ atas komen membina saudara. Harap penjelasan ini cukup utk memenuhi keperluan permintaan saudara tersebut. Semoga kita semua sentiasa diberikan rahmat dan perlindungan oleh Allah s.w.t.. Amin

Mohd. Razi said...

Alhamdulillah.. Penerangan seperti saudara berikan inilah yang benar-benar melegakan berbanding mereka yang cuma mengatakan "jangan" "tak boleh" dan lain-lain tegahan tanpa memberikan rasional nya. Saya sangat menghargai dan berasa bersyukur sangat dengan penjelasan saudara. Sepatutnya, semua perkara ada penjelasan yang sebegini, maka jadilah agama Islam yang kita anuti ini mudah didekati dan tidak disalaherti lagi. Betul kan?

Saya tak sabar menunggu penulisan saudara berkisarkan fakta-fakta yang 'sama' dalam bible dan al-Quran yang boleh mengelirukan itu. Saya harap, penjelasan saudara nanti akan dapat membantu banyak pihak termasuk saya sendiri.

satuhala said...

Mohd Razi.. segala puji bagi Allah.. InsyaAllah saya akan masukkan dlm blog .. tapi ia mengambil sedikit waktu.. TQ sekali lagi..