Friday, July 12, 2013

Antara Tatih & Rebut

Oleh : Imran Haaz

Ramadhan ini bulan yang mulia. Sebuah nikmat kurniaan Allah kepada umat manusia. Bulan yang dirindukan. Bulan yang ditunggu-tunggukan. Bulan di mana manusia mahu kembali dekat dan ingat kepada Tuhan mereka. Bulan di mana manusia kembali bertatih dan berebut demi Tuhan dan bukan yang lain. 

Ramadhan kita jangan dihantui dongeng dan perebutan di luar tabii ibadah yang lurus. Hanya yang Lurus itu akan melorongkan tulus. Hanya bilamana tulus itu dikecapi, barulah itu membuahkan nikmat yang menular di dalam denyutan setiap rongga pembuluh darah. Bekas arus laluan lebuh raya yang dikosongkan syaitan di dalam tubuh anak-anak Adam.

Kita memandang Ramadhan sebagai sebuah perlumbaan. Kita melakoni watak persis malaikat sepurnama di dalam tahun hitungan sang suria. Ke mana pula sifat malaikat kita selepas tenggelam mentari hari Ramadhan terakhir pada hitungannya yang terkadang 29 dan terkadang pula 30.




Semoga semua yang diperlakukan suci di  bulan mulia ini, tidak berakhir dengan jelmaan tiba-tiba rupa paras sebenar kita yang telah terantai kerana berlaparan sebulan. Jangan kita bermula dengan semangat dan berakhir dengan jiwa yang kembali kotor.

Ramadhan itu titik perubahan. Bukanlah ia sebuah fragmen representasi satu sisi sementara kewujudan jasad dan ruh yang dapat bertenang terhadap godaan sang dunia. Tetapi jadikan ia sebagai satu titik mula kepada perubahan yang berakar kukuh di jiwa.

Mari kita menjadikan Ramadhan ini medan untuk kita singkirkan nanah-nanah jiwa. Kita bergerak dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain yang lebih baik. Allah tidak menuntut kita berubah 180 darjah di dalam sekelip mata. Manusia tidak disuruh Allah mencari hakikat hidup bertuhan dengan menggarap diri untuk melalui perubahan yang melulu. Lakukan ia dengan bertenang.

Nenda kita, Adam a.s.,  diuji Allah dengan hanya satu ujian permulaan sebagai manusia pertama. Jangan menjamah buah Khuldi. Adam a.s., hidupnya berkeliling dengan makhluk-makhluk Allah yang taat dan hebat di dalam perlakuan ibadah. Baginda  melihat kedudukannya sebagai tidak melakukan sesuatu yang cukup untuk menandingi ibadah para malaikat. Lalu ibadah malaikat kepada Allah dicemburui. Sedangkan perbandingan itu, dilaraskan pengiraannya kepada perhitungan aras tuntutan ibadah yang tidak sama.Manusia harus beribadah seperti manusia. Malaikat seperti malaikat. Justeru kerana mahu merebut redha Allah dalam kepantasan yang singkat, Adam a.s. mendedahkan dirinya kepada tipu daya licik sang Iblis. Adam a.s. tidak bersalah. Dia hanya melakukan apa yang dia percaya bakal mendekatkan dirinya lebih dekat kepada cinta Allah. Cinta kepada Allah membuatkannya terpesona dengan janji dusta si penipu licik. Lalu perubahan mahu dilakukan baginda di dalam satu pelompatan aras lebih tinggi dari yang dituntut Allah dari manusia.

Allah hanya menuntut Adam a.s., melakukan satu ritual ibadah mudah, tetapi ianya tergagal dilakukan kerana merebutkan sesuatu yang lebih besar. Lebih besar dari upaya yang dituntut Allah dari makhlukNya yang bernama manusia. Berakhirlah kita semua di sini, di luar dari Jannah bagi menjalani pilihan yang telah ditetapkan ke atas kita.

Ingatlah, perubahan harus dilakukan bertingkat-tingkat. Melompat aras mengundang kegoncangan kepada fondasi kekuatan diri.

Nasihat ini, ialah kepada diri sendiri. Bukanlah apa yang ditulis di dalam penulisan ini dapat diangkat kepada sebuah kompendium yang merangkumi semua jalan-jalan usaha berubah diri mengambil kesempatan sempena Ramadhan. Ia hanya sebuah peringatan kepada diri yang sentiasa merasa kerdil bila berkeliling dengan mereka-mereka yang lebih hebat dan keras di dalam perlumbaan mengejar peluang-peluang ibadah di dalam bulan yang mulia ini. Terkadang itu, apa yang dilakukan insan-insan hebat ini, terlihat mustahil untuk dicapai dengan segala kekangan yang sentiasa menawarkan diri sebagai alasan halangan. Jiwa memberontak mahu melompati semua halangan tersebut dengan sekali lompatan. Tetapi, setiap perubahan harus dilakukan dengan sedar diri akan keupayaan untuk menjalankannya tanpa timbul kemungkinan rasa mahu menyerah kalah yang dipatuk picunya separuh jalan. Tanpa tilikan yang menyuluh keupayaan sebenar, berkemungkinan tingkat perubahan yang cuba dijalankan, akan rontok dari kekuatan ruh sebaik tamat Ramadhan.


Biar diri bertatih perlahan, semoga apa yang ditatihkan itu dapat dipertahan. Allah tidak menghitung bilangan dengan redha yang lapang. Tetapi Allah menghitung istiqamah yang kerdil berbanding ibadah yang dibilang-bilang. Kepada Allah jua kita meminta kekuatan, dan kepadaNya jualah kita meminta jiwa dan ruh yang dikuasai keteguhan. Semoga kita semua istiqamah dalam semua perubahan positif yang dilakukan di dalam bulan mulia ini. Yang terbaik sentiasa dari Allah..

© 2007 - 2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email