Friday, August 10, 2012

Gandhi, Lisan dan Pesan Rasulullah s.a.w.


Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Penulisan ini merupakan penulisan yang pernah dimuatkan di dalam ruangan komen akaun facebook saya sebelum ini. Dikongsikan kembali di sini supaya luas capaiannya.

Bismillahir Rahmanir Raheem..


Mahatma Gandhi pernah menulis tentang penjagaan lisan.

Proneness to exaggerate, to suppress or modify the truth, wittingly or unwittingly, is a natural weakness of man, silence is necessary in order to surmount it ~ Gandhi. {1}

Gandhi menyedari tentang keburukan bercakap tanpa mempunyai pengetahuan, dalam keadaan tidak memahami isu serta dalam keadaan tidak bersedia setelah dia mengalami pengalaman gagal memberikan ucapan yang baik ketika diminta berbuat demikian semasa majlis perpisahannya di Restoran Holborn (Vegetarian) di England. Dia berkata, pada awalnya dia menyesali ketidakmampuan dirinya untuk berdiri dan berucap dengan bersahaja tanpa sebarang persediaan. Tetapi, apabila usianya meningkat, kelemahan tersebut nyata pada dirinya telah menyelamatkan dirinya daripada melakukan pelbagai perkara dan bercakap serta menulis perkara-perkara yang mungkin dia akan sesali jika berbuat demikian. 



Kemudian dia berkata, "A man of few words, will rarely be thoughtless in his speech; he will measure every word. (But) We find so many people impatient to talk." 
Dia melihat semua ini melalui pengalaman yang dilalui. Jika membaca autobiografi yang ditulisnya, kita melihat Gandhi sentiasa cuba mencari panduan dan belajar sesuatu dari cermin dirinya dalam kehidupan. 

Gandhi tidak bernasib baik kerana terpaksa belajar melalui jerit perih ujian-ujian yang dilalui dalam kehidupan. Dia tidak mempunyai panduan yang lengkap bagi membolehkan dirinya mengenal masalah, mengenal tentang keburukan serta menjalani hidup melalui panduan yang boleh digunakan untuk menyuluh jalan.

Hanya jika dia mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah memberikan nasihat kepada manusia supaya sentiasa menjaga mulut dan perkataan. Perhatikan hadis di dalam riwayat Muslim seperti di bawah :

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata yang baik atau diam”. (HR. Bukhari Muslim)"

Malah di dalam hadis-hadis berikut Rasulullah s.a.w. bersabda :

Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak sembahyang, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap tetangga-tetangganya”. Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, “Sungguh ia termasuk ahli neraka”. Kemudian lelaki itu berkata lagi, “Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit sembahyang, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya.” Maka Rasulullah SAW berkata, ” Sungguh ia termasuk ahli syurga . “(HR.Muslim)

Perhatikan rakan-rakan facebook, twitter dan lain-lain media sosial yang lain. Betapa pantas mereka memberikan komen, herdikan, cercaan serta penghinaan kepada seseorang atau sesuatu isu itu, hanya sedetik setelah membaca apa yang dikongsi oleh rakan mereka di dalam media sosial terbabit. Tambah-tambah pula apabila melibatkan sentimen puak dan politik. Kenapa tidak mengambil pendirian untuk diam sebelum mengetahui sepenuhnya isu tersebut? Kenapa harus disambut dengan komen yang pantas dan membiarkan sentimen kebencian menguasai diri lantas papan kekunci diketuk tanpa menahan diri untuk membenarkan satu ruang pencarian kebenaran dibuat terlebih dahulu?

Pelik benar dengan manusia bernama muslim pada hari ini. Lebih-lebih lagi dengan golongan yang sentiasa mendakwa diri mereka lebih mulia dari orang-orang Islam yang lain. Jika Gandhi yang bukan Islam, terpaksa berhempas pulas memperbaiki dirinya melalui pengalaman hidup boleh menahan diri dari berbicara perkara yang tidak membawa manfaat, kenapakah majoriti daripada kita orang-orang Islam pada hari ini, yang telah diberikan panduan untuk menjalani hidup oleh Allah dan RasulNya tidak dapat memanfaatkan panduan tersebut untuk mengelakkan diri dari terjerumus di dalam perbuatan yang sia-sia.
Nenek moyang kita meninggalkan kita dengan pesan yang indah.. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain”. (HR.Muslim).

Bersedia untuk muflis di akhirat? Jika tidak, ikutlah panduan dan segera displinkan lisan melalui lidah dan jari jemari supaya tidak pantas berkata-kata sebelum memahami dan mengetahui sepenuhnya kenapa sesuatu perkara itu berlaku.

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al Baqarah ayat 216).

Selain dari perang dan jihad di medan tempur menegakkan yang hak dan menguburkan yang batil, berperang dan berjihad melawan kehendak nafsu yang mahu menjalankan keburukan melalui lisan lidah dan tangan juga merupakan sebahagian daripada yang Allah tuntut di dalam al Qur'an.

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta tanggung jawab atasnya.” (al Isra ayat 36).

Ingat pesan Allah di dalam ayat 216 al Baqarah, "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Kita diberikan panduan dan akal untuk memilih. Jika Gandhi yang bukan Islam pun dapat melihat keburukan berbicara dengan sembrono tanpa pengetahuan, apatah lagi kita sebagai umat Islam, seharusnya kitalah yang lebih pantas menjaga lisan, perbuatan serta butir bicara kita kerana kita mempunyai panduan. Terpulanglah, muflis di dunia masih lagi kita dapat hidup merempat. Tetapi muflis diakhirat, kesudahannya teramatlah buruk. Semoga kita semua dijauhkan Allah dari kesudahan yang buruk seumpama ini. Amin.

Rujukan :

{1}M.K. Gandhi, An Autobiography or My Experiment With Truth,(2006), Navajivan Publishing House, Ahmedabad, m/s 58 .
{2} Ibid.

3 comments:

salam ramadhan tuan.. sempena bulan ramadhan yang mulia ini spt yg diketahui turunnya wahyu yg pertama ayat al-Quran ke bumi, boleh tak tuan ceritakan bagaimana al-quran dikumpul & dibukukan dan bagaimana penyusunan semula al-quran tersebut..?? maksud saya knp al-quran tidak dimulakan dengan surah al-alaq pada permulaan ayat.. harap tuan sudi untuk berkongsi ilmu.. sekian..
 
Wa'alaikumsalam w.r.b.t. Hasanah,
InsyaAllah saya usahakan dan garapkan seringkas mungkin.. nanti saya muatkan, samada diruang komen ini atau di dalam artikel baru mengikut saiz penulisan..
 
Assalamu'alaikum Hasanah,
Request Hasanah sudah saya muatkn ke dalam post 5 Okt 2012.
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email