Oleh : Imran Haaz/M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Satu masalah dengan penulisan yang
dimuatkan di dalam alam siber ialah, terdapat kecenderungan untuk sumber utama
itu hilang tanpa ia memberikan amaran terlebih dahulu.
Tidak lama dahulu, saya pernah terbaca penulisan seorang bekas
wartawan di dalam laman webnya www.mggpillai .com, mengenai satu peristiwa yang
pernah berlaku di Bukit Batok Singapura. Ia melibatkan kecekapan Unit Tindakan Khas negara . Malang
sekali, setelah kematian M.G.G. Pillai, laman web yang memuatkan penulisannya
telah berkubur dan pautan kepada artikel tulisannya itu turut hilang. Agak
merimaskan apabila penulisan yang telah saya rancangkan untuk dimuatkan ke
dalam blog ini pada 31 Julai tahun ini, tidak dapat disandarkan kepada sumber
asal dari mana cerita itu diperolehi.
Sehingga hampir tengah malam semalam saya mencari artikel
tersebut. Saya percaya maklumat, screenshot
dan segala yang berkaitan dengan apa yang saya rancangkan berada di dalam
Laptop merangkap hamba abdi lama saya yang telah rosak.
Kisah tersebut berkenaan dengan bagaimana negara jiran, bekas
sebuah naungan Kerajaan Melayu yang kini berubah tangan kepada mereka yang
tidak berkaitan dengan akar buminya, menguji kesabaran pihak keselamatan negara ini dengan provokasi bertali arus mereka.
MGG Pillai menyatakan di dalam penulisan tersebut, suatu ketika dahulu,
negara jiran di selatan tanahair kerap menguji kesabaran pasukan keselamatan
kita dengan memperolok-olokkan sistem pertahanan. Malah antara tindakan mereka
pada ketika itu termasuklah menceroboh ruang angkasa kita sehingga ke ruang
udara Terengganu dan Kelantan. Jet-jet penceroboh ini akan segera mengungsi ke
ruang udara perairan antarabangsa sebaik jet-jet Tentera Udara Malaysia
digerakkan dari pengkalan di Kuantan.
Walaubagaimanapun, MGG Pillai menyatakan bahawa, penghinaan itu
tidak dibiarkan begitu sahaja oleh pasukan keselamatan negara. Pernah di dalam
satu peristiwa, maruah pasukan tentera di negara pulau terbabit dikejutkan
dengan satu tindakan yang dijalankan oleh unit komando Malaysia dengan sebuah
penghinaan yang sangat mengejutkan. Diberitakan di dalam penulisannya bahawa
unit komando Malaysia telah memasuki salah sebuah markas tentera yang terdapat
di Bukit Batok dan menampalkan setem-setem Malaysia pada kepala peluru-peluru
berpandu dan turut menukarkan bendera republik tersebut dengan bendera Malaysia
di atas meja pegawai pemerintah markas tersebut. Terkejut dengan tindakan tipping-point tersebut yang langsung
tidak dapat dikesan, beberapa pegawai yang
bertanggungjawab dengan markas tersebut telah ditukarkan, berhenti kerja
dan diturunkan pangkat. Malah menurut MGG Pillai, orang yang bertanggungjawab
dalam melaksanakan misi penuh gaya tersebut yang hanya dikenali dengan nama
samaran Sam, masih ada lagi dan masih menjalankan tugasnya.
Cerita tersebut pada asalnya dimuatkan di dalam pautan berikut
yang tidak aktif lagi setelah kematian mendiang MGG Pillai.
Walaubagaimanapun, setelah puas mencari, saya dapat mengesan
artikel tersebut yang dimuatkan kembali di dalam beberapa blog yang
membincangkan soal ketenteraan. Boleh klik sini , sini dan sini untuk membacanya serta komentar-komentar positif dan negatifyang dibuat mengenai peristiwa tersebut. Ia membuktikan bahawa penulisan MGG Pillai itu memang pernah wujud, cuma kelemahan saya dalam menyimpan salinannya menyebabkan saya tidak dapat memuatkannya di sini.
Malah, pernah ketika saya mengikuti kursus Keselamatan & Kesihatan
Untuk Pekerjaan Industri Pembinaan semasa awal bekerja dengan pihak konsultan
pengurusan projek, saya meluangkan masa rehat berbual dengan salah seorang
tenaga pengajar yang berupa seorang bekas pegawai tinggi tentera. Dia
menceritakan sebuah cerita yang pada saya hampir mirip dengan cerita James Bond.
Dia menceritakan bagaimana seorang tentera elit negara ini ditugaskan untuk
mendapatkan dokumen penting secara sulit dari kerajaan Filipina. Diberikan
latihan intensif untuk menjalankan misinya. Dengan gaya ala James Bond dengan
menggunakan daya tarikan pada dirinya untuk mendekati salah seorang anak
perempuan orang yang penting dan dekat dengan dokumen terbabit. Dia berjaya
memperolehi dokumen tersebut dan melengkap misi itu penuh jaya. Saya tidak
dapat mengesahkan cerita ini samada benar atau tidak. Ia hanya sebuah cerita
lisan yang pertama kali saya dengar dari bekas pegawai tinggi tersebut dan beberapa
tahun sesudah itu dari seorang anggota tentera yang saya pernah berbual
dengannya di sebuah lokasi di utara. Ia sudah menjadi seperticerita lagenda
yang popular disampaikan dari mulut ke mulut para anggota tentera. Ia mungkin
benar dan mungkin juga telah ditokok tambah. Saya percaya mereka yang
menceritakannya ikhlas dan yakin perkara tersebut berlaku. Saya juga yakin
mereka tidak menipu. Cuma mungkin sesiapa yang membaca penulisan di sini boleh
membantu untuk mengesahkan samada benar atau tidak cerita misi di Filipina ini
pernah berlaku ataupun tidak. Ia supaya ianya dapat disahkan.
Satu lagi cerita yang direkodkan secara rasmi ialah mengenai beberpa misi rahsia (covert) yang dijalankan bagi membantutkan cita-cita Marcos untuk merampas Sabah dan dijadikan sebagai wilayah Filipina. Pada 1968, di tahun-tahun kemuncak konfrontasi termasuk dengan Filipina, Marcos telah menyediakan sepasukan 14 hingga 16 anggota tentera Muslim Filipina yang diperdaya untuk melaksanakan kerja sabotaj bagi menimbulkan masalah kepada Malaysia. Walaubagaimanapun, berlaku satu 'misteri' di mana, semasa sedang berkhemah di Pulau Corregidor, pasukan tersebut didapati telah dibunuh. Marcos mengesyaki pembelotan telah berlaku. Pelbagai alasan dikemukakan antaranya termasuk ketidakpuasan berkenaan upah kerja, arahan berperang dengan saudara seagama dan sebagainya bagi memberi justifikasi kepada pembunuhan yang dikenali sebagai Jabidah Massacre 1. Tetapi, terdapat berita yang menyatakan bahawa pembunuhan yang berlaku tersebut merupakan tindakan sabotaj yang dijalankan oleh misi rahsia komando yang berkhidmat untuk Malaysia yang menyusup masuk sebagai sebahagian pasukan yang dibentuk Marcos. Projek yang dinamakan Projek Merdeka yang dilancarkan Marcos ini gagal bukan hanya melalui pembunuhan tersebut, malah terdapat hampir 20 orang bersenjata dari Filipina yang dikesan lalu ditahan kerana memasuki negeri Sabah bagi menjalankan tindakan sabotaj.Tun Mustapha membidas perancangan Marcos. Malaysia kemudiannya memboikot semua aktiviti antarabangsa yang melibatkan hubungan dengan Filipina 2. Terdapat satu lagi penjelasan yang dikatakan diperolehi dari mereka yang terselamat di dalam insiden di Pulau Corregidor, Luzon. Diceritakan bahawa, pasukan tentera Muslim Filipina yang dibentuk untuk Operation Merdeka tersebut, berkeras menolak untuk melaksanakan kerja sabotaj bagi melaga-lagakan kesultanan Sulu dengan kerajaan Malaysia serta melakukan porak peranda di Sabah. Ini kerana mereka menolak untuk berperang dengan saudara seagama mereka di Malaysia. Melihat keadaan ini yang dianggap sebagai pengkhianatan, pihak tentera Filipina membunuh hampir semua di dalam pasukan tersebut bagi menutup rahsia operasi 3.
Banyak lagi cerita yang ada, tetapi tidak dapat disahkan kerana segalanya dikelabukan dari fakta sebenar. Ini hanya sebahagian kecil yang boleh diceritakan. Walaubagaimanapun hebat cerita-cerita tersebut, tetapi kes-kes
seperti kehilangan enjin jet pesawat pejuang, isu keselamatan pesawat pejuang
dan pengangkut negara, penjualan tanah-tanah lokasi strategik milik ATM dan
beberapa kes lagi, sedikit sebanyak mencalarkan reputasi pasukan dengan rekod baik
ini. Mohon supaya perkara seumpama ini tidak lagi berlaku di dalam kalendar
perjuang mereka di dalam tahun-tahun mendatang.
Untuk abang ipar saya yang sedang berkorban masa meninggalkan
keluarga dan dalam misi operasi di Sabah, sahabat saya, seorang peguam yang
meninggalkan profession demi kegilaannya kepada pasukan komando dan semua yang
bersengkang mata, tenaga dan menggadai nyawa untuk memastikan kami selesa di
sini, semoga kebaikan dan jasa anda semua di balas Allah dengan ganjaran
terbaik di dunia dan akhirat. Kita berusaha sehabis daya, ketentuan Allah jua
yang menentukan salah satu dari dua kesudahan baik yang dijanjikan, samada
syahid atau menang, harapan kita ialah mencari redha Allah di dalam kehidupan
yang serba mencabar ini.
Untuk cerita MGG Pillai di atas, ia bersumber kepada apa yang
dinyatakan bekas wartawan terbabit di dalam laman webnya yang telah ditutup
selepas kematian mendiang.
Untuk cerita misi ala James Bond tentera elit Malaysia di
Filipina, ia hanya diambil dari cerita mulut ke mulut yang disampaikan kepada
saya. Jangan digunakan sebagai fakta sebelum sesuatu yang lebih kukuh dapat
disandarkan untuk menyokong cerita terbabit. Beberapa tahun saya menyimpan
cerita ini dan tidak ditulis di sini kerana saya tidak dapat mengesahkannya.
Saya cuba mencari sumber yang lebih kukuh untuk disandarkan sebagai sokongan,
tetapi yang berjaya saya perolehi ialah sumber-sumber lisan yang diceritakan
oleh beberapa orang yang berbeza yang pernah terlibat serta sedang terlibat di
dalam bidang ketenteraan. Saya berkongsi di sini hanya sebagai sebuah cerita.
Mungkin ada di antara yang membacanya di sini boleh membantu dengan pengetahuan
lanjut yang ada. Segala pengetahuan yang benar adalah milik Allah.
Rujukan :
1. Zachary Abuza, Militant Islam In Southeast Asia : Crucible of Terror, (2003), Lynne Rienner Publishers, Colorado, m/s 37.
2. Isagani de Castro, Jr, Edited by N. Ganesan & Ramses Amer, International Relations In Southeast Asia Between Bilateralism & Multilateralism, ISEAS, Singapore, m/s 228 hingga 231.
3. Chuck Wadd, To Live & Die In The Philliphines, (2002), iUniverse, Inc. United States, m/s 29.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.