Monday, July 30, 2012

Belas, Sekeping Roti & Syahadah

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Seorang pekedai Muslim telah dirompak. Lantas, sepertimana tindakan refleks yang biasa, dia mengeluarkan senjata untuk mempertahankan dirinya. Mendapati perompak itu tidak dapat mengancam keselamatannya, perasaan takut berbaur marahnya berubah menjadi simpati apabila melihat perompak tadi mulai menangis.

Perompak itu mula merayu supaya diberi belas kasihan. Dia menyatakan bahawa dia tidak mempunyai pekerjaan dan berada di dalam keadaan terlalu lapar. Simpati tetapi masih berhati-hati dengan situasi tersebut, si pekedai tadi memaafkan perbuatan lelaki itu. Dia mencapai sedikit wang di dalam mesin tunai kedai miliknya yang cuba dirompak tadi. Jika tadi, wang itu cuba diperolehi dengan cara paksa oleh si perompak, tetapi kini wang yang mahu diperolehinya dengan cara kekerasan, diberikan oleh bakal mangsanya atas rasa belas kepada manusia lain yang menghadapi masalah.



Tidak cukup dengan wang, pekedai Muslim tersebut kemudiannya mengambil sekeping roti lalu menghulurkannya kepada lelaki tersebut bagi mengisi perutnya yang lapar. Terkejut dengan perbuatan baik yang menjadi balasan kepada perlakuan tidak elok yang cuba dilakukannya ke atas pekedai tadi, si lelaki tersebut tidak meninggalkan kedai tersebut. Dengan tidak semena-mena, dia menyatakan kepada pekedai tersebut bahawa dia mahu memeluk agama Islam. Kebaikan yang ditunjukkan pekedai tadi merupakan sesuatu yang diluar batasan akal lojik pada pemikiran lelaki yang pada mulanya mahu merompak kedai itu. Tidak perlu berbuih mulut mengikuti rombongan ceramah demi mengembang pecahan Islam politik, dengan hanya menunjukkan rasa belas dan sekeping roti, seorang bukan Islam yang pada awalnya merupakan satu ancaman kepada sistem sosial masyarakatnya, berubah hati dan tertarik lalu lantas mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam kedai di mana dia cuba melakukan kejahatan di atas niat awalnya. Dia melangkah masuk ke kedai tersebut sebagai seorang yang cuba melakukan kejahatan, tetapi keluar dari kedai itu seputih bayi yang baru lahir tanpa sebarang calitan dosa.

Tidak perlu mengisi borang parti politik tertentu untuk menunjukkan diri sebagai pejuang yang memperjuangkan Islam, cukup hanya bertindak serta berakhlak sepertimana seorang Muslim harus bertindak dan berakhlak di dalam setiap sudut dan situasi yang dihadapi dalam kehidupan.

Kisah yang diceritakan itu merupakan sesuatu yang benar berlaku dan dirakamkan di dalam CCTV kedai terbabit. Tak perlu mempertikaikan keIslaman lelaki yang pada mulanya cuba merompak kedai itu. Lafaz Syahadah yang diucapkan itu sudah cukup. Malah di dalam jihad sekalipun, ucapan syahadah musuh tidak akan dipertikaikan. Perhatikan hadis berikut:


Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda, “Isa anak Maryam melihat seorang lelaki mencuri, lalu dikatakannya kepada lelaki tersebut. “Engkau mencuri?” Kata lelaki tersebut ; “Tidak, demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia!” Kata Isa: “Saya percaya kepada Allah dan saya dustakan mata saya.” (Sahih Bukhary.)

Sama seperti apa yang dinasihatkan Rasulullah di dalam sebuah hadis mengenai situasi di dalam peperangan di mana para sahabat bertanyakan kepada baginda, apa yang perlu mereka lakukan jika musuh mereka yang hampir ditewaskan dan hampir dibunuh itu mengucapkan persaksian terhadap Allah dan RasulNya? Lalu baginda menyatakan kepada mereka supaya dihentikan niat untuk membunuh orang tersebut. Lalu, para sahabat mempersoalkan keimanan yang dipamerkan itu mungkin di atas dasar untuk melepaskan diri dari terbunuh, tetapi Rasulullah s.a.w. tetap bertegas melarang mereka membunuh mana-mana musuh yang melakukan persaksian sedemikian. Ia dinyatakan di dalam sebuah hadis dari Miqdad r.a. :

Dari Miqdad bin Amr al Kindi r.a., dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Bagaimana pendapat tuan jika saya menemui seorang dikalangan orang-orang kafir, lalu kami bertempur? Lalu dipukulnya salah satu tangan  saya dengan pedang sehingga terputus. Kemudian dia bersembunyi dari saya pada sebatang pohon,lalu dia berkata : "Saya Islam kerana Allah." Bolehkah saya membunuhnya wahai Rasulullah, sesudah dia mengucapkan yang demikian itu?" Rasulullah s.a.w. bersabda : "Jangan engkau bunuh dia!", Kata Miqdad : "Wahai Rasulullah! Dia mengucapkan yang demikian sesudah salah satu tangan saya dipotongnya," Rasulullah s.a.w. bersabda : "Janganlah engkau bunuh! Jika engkau bunuh, maka keadaannya sama dengan keadaan engkau sebelumnya (sebelum Islam) dan keadaan engkau sama dengan dia sebelum dia mengucapkan kalimah yang diucapkannya itu (semasa dia berkeadaan kafir)," (Hadis Riwayat Bukhari)
Begitu juga dengan sebuah hadis yang dicatatkan di dalam Sahih Muslim seperti di bawah ini:

Dari Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a. katanya : “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pergi berperang ke Huraqah, termasuk perkampungan Juhainah. Kami menyerang mereka pada waktu subuh dan dapat memukul mundur mereka. Aku dan seorang sahabat dari golongan Ansar dapat mengejar seorang perajurit mereka. Ketika perajurit itu kami todong, tiba-tiba dia mengucapkan kalimah, “La ilaha illallah” (Tiada Tuhan melainkan Allah). Sahabatku orang Ansar serta merta menarik senjatanya sedangkan aku terus sahaja menikamkan panahku kepada perajurit itu sehingga dia tewas. Kata Usamah melanjutkan, “Ketika kami tiba kembali ke Madinah, berita mengenai peristiwa itu telah sampai ke pengetahuan Nabi s.a.w.,” Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku, “Hai Usamah! Kenapa engkau membunuh perajurit itu padahal dia telah mengucapkan La ilaha illallah?” jawabku, “Dia mengucapkannya kerana hendak melindungi diri dari senjata aku.” Tanya aku. “Kenapa kamu membunuhnya setelah dia mengucapkan La ilaha illallah?” Rasulullah sentiasa mengulang-ulangkan pertanyaan itu sehinggakan aku merasakan bahawa aku belum masuk Islam sebelum hari itu.” (Hadis Riwayat Muslim).


Video kepada peristiwa itu sepertimana yang dipaparkan di bawah. Islam itu indah jika semua umat Islam berkelakuan sepertimana yang harus bagi seorang Islam itu berkelakuan. Jika kehadiran kita sehari-hari di tengah-tengah orang bukan Islam, tidak dapat melahirkan rasa minat diri mereka untuk mendekati Islam, maka ketahuilah, bahawa terdapat masalah sebenarnya dengan diri kita yang menyebabkan Islam itu bersinar di dalam cahaya yang sirna ditempat tersebut. Ramadhan ini, sama-sama kita memperbaiki diri. Wallahua'lam.



© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 



6 comments:

Wallahua'lam.
 
MasyaAllah. Beautiful. Pasal mengucap dua khalimah syahadah tu memang an eye opener, kita selalu sangsi dengan keikhlasan orang (termasuk diri sendiri)...mungkin selalu sangat terikut dengan adu domba syaitan...
 
Rizal Hass, entah knp Syahadah saudara seagama kita yg lain disangsikan oleh mrk yg mendabik diri sebagai pejuang Islam.. ada sesuatu yang tidak kena dgn kumpulan ini.
 
Yang barisan tu memang dah xbleh kata apadah, cuma panjatkan doa supaya depa semua disedarkan dari slumber...wallhualam
 
Benar Rizal Hass,
Usaha untuk memperbetulkan dan doa yang tak putus-putus perlu dipanjatkan supaya keadaan segera pulih.
 
Salam Tuan,

Dalam surah an Nisaa' ayat juga diwahyukan prkara brikut ayat 94

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi di jalan Allah, hendaklah kamu tabayyun (meneliti dan memastikan) dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan “salam” kepadamu: “Kamu bukan seorang mukmin”. (Surah An-Nisaa, 4: 94)
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email