Tuesday, August 9, 2011

Isu nama Allah : Misi Gerakan Penginjil

Oleh M.I.A.

Artikel ini merupakan sambungan kepada siri artikel berkenaan isu nama Allah dan gerakan Kristianisasi di Malaysia. Artikel sebelumnya boleh di baca dengan klik sini.


Serbuan yang dilakukan JAIS di Selangor tidaklah mengejutkan. Ia mungkin satu kemuncak kepada sesuatu yang telah lama diperhatikan. Tiada siapa tahu fakta sebenar. Ini kerana fakta keseluruhan kes tersebut belum didedahkan. Tetapi sejak 2008, terdapat suatu usaha yang tersangat galak bergerak kencang dikalangan mereka-mereka yang tidak tahu menghormati Perlembagaan Negara terutamanya pada berkenaan rasa hormat mereka kepada Artikel 11 perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. Jika apa yang didakwa Dr. Hassan Ali dan pihak JAIS itu benar, maka adalah jelas pihak yang melakukan perkara (memberikan bantuan dengan tujuan untuk memurtadkan muslim) ini merupakan mereka-mereka yang tidak tahu menghormati undang-undang Negara.


Perlembagaan Persekutuan
Artikel 11 perkara 1 Pelembagaan Persekutuan menyatakan perkara berikut:

Artikel 11
Fasal 1 : Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

Fasal 4 : Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Artikel 12
Fasal 3 : Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa ugama atau mengambil bahagian di dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri. 1

Di dalam Malaysia, hanya 4 buah negeri yang masih belum berbuat apa-apa untuk menguatkuasakan peruntukan di dalam artikel 11 Fasal  4. Antara ialah Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. 2  

Selangor, negeri di mana kejadian pemeriksaan JAIS ke atas gereja tersebut berlaku, merupakan salah sebuah negeri yang telah mewartakan peruntukan bagi menghalang aktiviti perkembangan agama lain ke atas umat Islam. Malangnya negeri kelahiran saya ini belum mewartakannya. Kerana itulah gerakan Kristianisasi di Pulau Pinang antara gerakan yang paling bebas menjalankan aktiviti dakwah mereka ke atas umat Islam. Saya bercakap mengenai pengalaman saya sendiri di dalam mengkaji sejarah gerakan mereka di Pulau Pinang. Saya tidak mahu menyentuh mengenai kes serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Damansara baru-baru ini. Ini kerana sebarang komen harus diutarakan sebaik semua fakta sebenar kejadian tersebut dinilai. Oleh kerana semua faktanya masih dibungkus di dalam selimut  pengetahuan, tiada siapa pun selayaknya boleh memberikan apa-apa pendapat kecuali mereka-mereka yang terlibat di dalam operasi itu sendiri. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui mengenai fakta kejadian sebenar. Tetapi sekiranya fakta sepertimana yang dikatakan JAIS itu benar, saya menyokong tindakan mereka seratus peratus. Persetankan saja ahli-ahli politik yang bertuhankan pengundi.

Oleh kerana penulisan-penulisan di blog satuhala ini sejak dari awal lagi sentiasa menyentuh mengenai gerakan Kristianisasi di dalam Negara, malah konsisten dalam menentang penggunaan nama Allah di dalam kitab Bible bahasa Melayu, maka beberapa pengetahuan yang terkumpul mengenai usaha-usaha gerakan ini perlu dikongsi dengan semua pengunjung blog ini bagi tujuan pengetahuan dan supaya ianya boleh dikongsi dengan pihak-pihak yang tidak berkunjung ke sini.

Gerakan Kristianisasi di Nusantara
Gerakan Kristianisasi di Nusantara bermula dengan serangan Portugis ke atas Melaka pada 1509. Tugasan yang dipikul oleh Lopez de Sequiera pada tahun tersebut gagal menawan Melaka. Ketika itu semua umat Islam di Melaka bersatu padu menentang Portugis. Kegagalan ini menyebabkan tugasan menakluk Melaka diberikan kepada wizurai Portugis di India, Alfonso de Albuqurque.

Malangnya perpecahan orang Islam di Melaka berlaku sebaik sebelum galeon-galeon Portugis sampai ke selat Melaka. Perpecahan yang kronik menyebabkan orang-orang Islam tidak lagi berada di dalam satu jemaah yang sama, tetapi mewujudkan jemaah-jemaah yang merupakan pecahan kepada sebuah kuasa yang bersatu padu satu ketika dulu. Kuasa yang dahulunya berjaya menghalau Portugis keluar dengan tergesa-gesa dengan galeon yang rosak teruk, kini (1511) mereka diambang kehancuran kerana bertelagah sesama sendiri dan berpecah. Bulan ini pada tanggal 24 Ogos 2011, genap 500 tahun penjajahan Portugis ke atas Melaka. Melaka tumbang setelah mengheret Portugis untuk berperang selama 40 hari.  Tarikh itu juga merupakan tarikh hari pertama di mana agama Kristian bertapak di Nusantara.

Kristian terawal sampai ke bumi Nusantara?
Maureen K.C. Chew, penulis buku The Journey of the Catholic Church in Malaysia mendakwa, orang-orang Kristian dari mazhab Nestorian merupakan orang-orang Kristian terawal sampai di bumi Nusantara. Ianya dinyatakan tanpa memberikan apa-apa rujukan bagi membuktikan kasahihan fakta tersebut. Menurutnya seawal abad ke 7 masihi sudah terdapat penempatan golongan Nestorian ini di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan Utara Sumatera. 3

Mazhab Nestorian
Mazhab Nestorian merupakan sebuah mazhab Kristian yang telah diberikan tindakan pengucilan (excommunication) dari gereja Katolik kerana dikatakan sesat dari doktrin agama mereka. Pengasas mazhab ini merupakan Nestorius yang dilantik menjadi Patriarch of Constantinople pada 428 masihi.  Antara perkara yang dikatakan diimani secara sesat oleh golongan Nestorian ialah perkara-perkara yang mengundang kutukan dan pengucilan gereja Katolik yang dibuat oleh Cyril of Alexandria di dalam Sidang Agung Ephesus (General Council of Ephesus) pada tahun 431 masihi. Cyril of Alexandria membawa kepada perhatian sidang tersebut berkenaan 3 pucuk surat mengenai penentangannya terhadap doktrin yang diimani Nestorius yang dibacakan dihadapan sidang tersebut. Intipati isi kandungan surat kedua yang dibacakan Cyril diterima oleh sidang itu. Di dalam kandungan surat kedua itu, Cyril menegaskanbahawa adalah bertentangan dengan doktrin Katolik sekiranya seseorang beriman dengan perkara seperti berikut :
  1. Tidak memperakui Virgin Mary sebagai Theotokos (ibu kepada Tuhan).
  2. Mengatakan Jesus itu secara umumnya manusia dan bukan Tuhan dan manusia di dalam satu jasad.


Isikandungan surat ketiganya dimuatkan 12 anathema (kutukan dan pengucilan gereja) yang ditujukan kepada Nestorius. Walaubagaimanapun pihak sidang tersebut tidak mengesahkan secara rasmi 12 anathema yang ditujukan kepada Nestorius kerana bimbang ianya akan disalah tafsir dikemudian hari. 12 anathema yang dimaksudkan seperti di dalam imbasan di bawah. 4

Terjemahan Bible Bahasa Melayu Pertama
Suatu fakta yang sangat menarik mengenai isu ini ialah bilamana kumpulan gereja dan gerakan mubaligh Kristian memberikan perhatian kepada usaha untuk menterjemahkan Bible ke dalam Melayu sejak dari kurun ke 16 masihi.

Selepas gerakan reformasi gereja Kristian bermula dengan Martin Luther sekitar abad ke 16, mazhab Protestant dilahirkan di dunia Kristian. Jika sebelum ini, apa jua terjemahan Bible ke dalam bahasa selain Latin dianggap sebagai suatu perkara sesat, kelahiran mazhab Protestant ini menghapuskan semua sekatan-sekatan untuk menterjemahkan Bible ke dalam bahasa-bahasa asing selain bahasa Latin.

Sewaktu gerakan penterjemahan ini galak dilakukan di Eropah pada abad ke 16, satu-satunya bahasa selain bahasa Eropah yang diberikan keutamaan untuk gerakan penterjemahan ialah Bahasa Melayu. Benar dan ianya merupakan satu fakta yang jelas bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa luar dari Eropah yang pertama diusahakan terjemahan Bible.

Pada 1612, tidak lama selepas penubuhan Kompeni Hindia Timur, Albert Cornelius Ruyl memulakan gerakan penterjemahan New Testament ke dalam Bahasa Melayu. Beliau sempat menterjemahkan Gospel of Mark dan Gospel of Matthews ke dalam Bahasa Melayu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Hasil kerjanya kemudian dihantar ke Enkhuysen pada 1629 untuk dicetak dan sekali lagi dihantar ke Amsterdam bagi tujuan cetakan pada 1638.

Pada 1646, usaha menterjemahkan Gospel of Luke dan Gospel of John ke Bahasa Melayu dijayakan oleh M. van Hassel. Pada 1668, keseluruhan New Testament di dalam Bahasa Melayu dicetak di Amsterdam. Bible lengkap di dalam Bahasa Melayu yang melibatkan terjemahan Old Testament & New Testament dicetak pada 1731 dan 1733 masihi di dalam karakter rumi. Pada 1758, keseluruhan terjemahan Bible di dalam Bahasa Melayu dicetak di Batavia (Jakarta kini). 5


Persoalannya, kenapakah diberikan perhatian terlalu serius bagi menerbitkan terjemahan Bible di dalam bahasa Melayu sejak dari awal lagi? Apa pentingnya umat di Nusantara ini dan kedudukan geografinya kepada gerakan mubaligh Kristian? Saya cuba menyiapkan sebuah buku dari siri beberapa buku yang diusahakan sejak 2006. Lebih dari 5 buah ke semuanya yang menyentuh topic-topik di dalam bidang yang berbeza antara satu sama lain. Salah sebuah buku yang membongkar tentang sesuatu perkara yang selama ini tersembunyi dari pengetahuan ramai pihak. Pengumpulan fakta yang dilakukan sejak 5 tahun lepas, kini telah siap dikumpulkan. Hanya menunggu kelapangan masa saya untuk menulis, menyusun atur teks dan grafik serta menyiapkannya dan menerbitkannya di dalam bentuk buku InsyaAllah sebelum Januari 2012. InsyaAllah, ianya suatu kejutan. Buat masa ini saya menamakan projek tersebut ‘Perj Tu de Nu’. Saya memang sangat-sangat berharap ianya akan diterbitkan sebelum Januari 2012. Di dalam buku itu nanti, terdapat bab yang menyentuh tentang apa yang ditakuti segelintir pihak berkenaan sebuah kebangkitan. Ia mengenai rahsia-rahsia yang dikuburkan secara terancang selama ini dari pengetahuan umat ini. InsyaAllah sebaik ia terbit, saya maklumkan di sini. Semoga Allah mempermudahkan urusan ini. Amin.

Berbalik kepada persoalan di atas tadi. Jawapannya ada kaitan dengan sumber kekuatan empayar Islam pada zaman itu. Setelah beberapa kali berperang dengan empayar Islam dan mengalami kekalahan teruk, pihak Kristian menghentikan ekpedisi peperangan secara berhadapan dengan kekuatan empayar Islam di Timur Tengah. Mereka mengkaji sumber akar kepada kekuatan empayar Islam yang menguasai bidang ilmu, ketenteraan dan pentadbiran yang kukuh.

Pihak mereka mendapati bahawa sumber kekuatan ekonomi yang menjana kekuatan empayar Islam di Timur Tengah berpunca dari penguasaan perdagangan mereka dengan negara-negara di timur. Lalu dilancarkan satu serangan ke atas Goa.

Sebelum sampai ke Goa, beberapa ekspedisi pengganas Portugis telah berjaya menakluk Cueta (1415 M), Medeira (1419 M), Azores (1427 M). Pada 1487 M, Bartholomew Diaz telah mengelilingi Tanjung Pengharapan. Walau bagaimanapun daerah laut yang menuju ke arah negara-negara rempah di timur masih belum diketahui.

Sehinggalah Vasco da Gama, pada tahun 1487 memulakan ekspedisinya dari Lisbon. Untuk ke timur dan daerah Negara-negara rempah, mereka menggunakan khidmat seorang pelayar Arab Muslim yang terkenal, Ahmad Ibn Majid untuk merentasi Lautan India. Ada pendapat lain yang menyatakan bukan Ahmad ibn Majid yang menjadi jurupandu da Gama, tetapi seorang lelaki dari Gujerat, India. Francesco de Almeida menggantikan kedudukan Vasco da Gama pada 1504. Beliau kemudiannya digantikan oleh Alfonso de Albuqurque pada 1509. 6

Bersambung. Esok saya akan memuatkan kisah bagaimana Alfonso de Albuqurque merancang untuk menjatuhkan empayar Islam seluruh dunia melalui pelbagai cara termasuk perancangannya untuk menyerbu masuk ke Madinah untuk membongkar makam Rasulullah dan menculik jasad baginda. InsyaAllah, saya akan muatkannya esok. (Klik sini untuk membacanya)


Rujukan :
  1. Perlembagaan Persekutuan, ILBS, 2006.
  2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.html
  3. Maureen K.C. Chew, JJ; The Journey of the Catholic Church in Malaysia, 1511 – 1996, Catholic Research Centre, Kuala Lumpur, m/s 50.
  4. J. Neuner SJ & J. Dupuis SJ; The Christian Faith : In the Doctrinal Documents of the Catholic Church; Theological Publications in India, m/s 140 – 141.
  5. Thomas Hartwell Horne, An introduction to the critical study of the Holy Scriptures; Desilver, Thomas & Co., Volume 2; m/s 50.
  6. Maruwiah Ahmat; Penjajahan Portugis dan Sepanyol Ke Atas Asia Tenggara : Satu Pengamatan Semula; Karisma Publications m/s 116
© 2011 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

5 comments:

kini imam2 islam perlu membenihi umat2 mereka seperti mana Rasul mentauladan melalui akhlak dan sirahnya. Alquran diumpamakan seperti gula, dan ekonomi pula adalah semutnya, maka kita sekali lagi menyenangi aidil fitri seperti hendakNya. Kembalilah kepada Alquran dan As sunnah seperti mana yg diwasiatkan oleh junjungan besar kita. Salam dan selawat atasnya.
 
bahayanya tindakan musuh2 islam
 
Salam Muhaimin. Benar apa yang diperkatakan. Tetapi ianya seharusnya dilakukan sejak dulu. Tiada yang dapat menyelamatkan kedudukan umat ini selain dari menuruti panduan yang telah ditetapkan melalui al Qur'an dan as Sunnah. Saudara sgt benar di dalam hal tersebut.
 
Salam Liza. Benar tindakan mereka memang sangat merbahaya. Tetapi mereka tidak akan berjaya mengapa-apakan kita sekiranya kita benar2 bersatu dan dalam masa yang sama kuat berpegang kepada al Qur'an dan As Sunnah. Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai motif mereka. Peranan terdekat kita ialah supaya semua ahli keluarga terdekat dengan kita perlu dipastikan kekuatan pegangan dan pemahaman Islam mereka. Itu yang paling minimum. Semoga kita semua dapat berubah semakin dekat ke arah jalan yang diredhai Allah. Amin.
 
sejarah....sejarah itu pengajaran...
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email