Wednesday, February 13, 2013

Berpakaian Tetapi Bertelanjang

16
Seorang wanita membawa sebiji epal. Ditangannya ada sebilah pisau. Dia mahu seorang rakan wanita yang dikenalinya merasai buah tersebut. Rasanya sedap. Dia mahu rakannya itu merasainya. Lalu dia berjalan menuju ke rumah sahabatnya. Dia mula mengetuk pintu.

Apabila sahabatnya membuka pintu dan menjemputnya masuk, lantas dia menghunus pisau tersebut dan diletakkan pada leher sahabatnya. ‘Makan buah itu cepat! Kalau tidak, kau akan mendapat masalah!’. Benar pada waktu itu si sahabat itu akan makan epal tersebut kerana terpaksa. Tetapi bukankah selepas itu, dia akan menjadi trauma setiap kali terpandang kepada buah epal? Niat mereka di dalam gambar di bawah ini baik, tetapi perlaksanaannya lebih banyak merosakkan dari memperbetulkan.



Kita semua perlu berhenti dari menjadi teroris! Sampaikan dakwah secara hikmah. Berikan berita baik terlebih dahulu dan kemudian bercakap tentang dua kesudahan yang menunggu diakhirat. Beritahukan secara hikmah dan kreatif yang mengundang rasa mahu berkenaan dengan kesudahan baik dan kesudahan yang buruk yang menanti diakhirat. Malah ayat-ayat menutup aurat di dalam al Qur’an juga memberi keutamaan penjelasan kepada aspek kebaikan perbuatan berbanding hukuman yang menanti diakhirat.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah An Nur ayat 31.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " Surah Al-Ahzab : Ayat 59

Perhatikan ayat-ayat di atas. Apakah kita mengikut garis panduan yang telah ditetapkan di dalam al Qur’an? Apakah tindakan kita itu sama dan selari dengan apa yang disebut dalam al Qur’an?

Ini tidak, belum suruh makan sudah diletakkan pisau dileher. Bukankah lebih baik jika pisau itu digunakan dengan cara baik, iaitu dengan membuang kulit epal itu terlebih dahulu, kemudian epal itu dipotong satu persatu dan dibuang biji-bijinya dan kemudian dihidangkan dengan kreativiti yang membolehkan sahabat tadi sangat terasa ingin menjamahnya?

Bukankah lebih baik jika kain rentang itu berbunyi. “Jagalah Batasan Aurat Kerana Ia Formula Kejayaan” atau “Tutuplah Aurat Kerana Ia Simbol Pembebasan Wanita,” atau mungkin seperti ini “Dengan Menutup Aurat Kami Tunduk Kepada Allah Dan Bukan Tunduk Kepada Kemahuan Lelaki,”.

Jadi, janganlah wanita comel dalam gambar ini mengulangi tindakan seumpama ini lagi. Boleh berdakwah. Tapi lakukanlah dengan cara hikmah. Ini kerana kita takut pada ketika kita merasakan tubuh zahir kita disaluti kain yang cukup dan tidak bertelanjang, tetapi hati kita tidak dipakaikan dengan pakaian takwa yang cukup sehingga menyebabkan hati dan keimanan kita bertelanjang. Maka jadilah semakin ramai umat Islam di akhir zaman ini, berpakaian tetapi bertelanjang. Tidak setakat bertelanjang pakaian zahir, malah pakaian takwa juga tertanggal dan terlondeh hanya kerana kita merasakan kita lebih baik dari orang-orang yang lain. Jangan kita lupa bagaimana tipu daya licik sang Iblis sehingga menyebabkan datuk kita semua iaitu Adam a.s. dan Hawa a.s. terhumban keluar dari Jannah.

Adam dan Hawa a.s. ketika menjamah buah khuldi, mereka melakukannya dengan niat untuk mendekatkan diri mereka lebih dekat kepada Allah. Pada fikir mereka yang telah diperdayakan iblis pada ketika itu, dengan memakan buah Khuldi, mereka akan dapat menjadi hebat dalam melakukan amal ibadat seperti para malaikat. Tanpa mereka tahu, Iblis menunggang semangat mahu beramal ibadat mereka kepada Allah dengan memasukkan tipu daya kepalsuan supaya mereka melakukan sesuatu yang Allah s.w.t. jelas larang. Maka terlucutlah pakaian mereka dan terkeluarlah mereka dari Jannah hanya kerana mereka tertipu dengan tipu daya Iblis ketika mereka cuba berusaha mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t.

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman. (al a’raaf ayat 26 hingga 27)

Kita semua perlu bermuhasabah. Hari ini mungkin kita berpakaian. Hari esok, Allah sahaja yang tahu. Sebaik-baik pakaian yang melindungi ialah pakaian takwa. Dengannya, Insya Allah, kita akan terlindung dari tergolong dalam golongan berpakaian tetapi bertelanjang di akhir zaman ini. Semoga Allah melindungi kita dari tipu daya licik syaitan. Ameen..


© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

16 comments:

Mie said...

mohon share tuan .. :)

rizal hass said...

assalamualaikum, pengamatan tuan sejelas gelas yang lahir daripada keihklasan hati tuan mengamati penyakit yang menimpa ummah di sekeliling kita, 'diri terasa baik apabila berpakaian dan bercampur dengan golongan yang kelihatan baik-baik saja'.
masalahanya baik di mata kita, tidak semestinya baik kepada Allah, wallahualam, semoga tuan dan kita semua hendaknya, dilindungi daripada fitnah akhir zaman, ameen ya rabbal alameen.
jika ianya pernah berlaku ke atas bapa kita Adam alahisalam, ianya tidak mustahil boleh malah sedang berlaku dikalangan kita!
nauzubillahhiminzaliq!

Anonymous said...

Salam saudara imran haaz, saya merupakan pminat setia novel y saudara terbitkan iaitu syahadah gadis ateis. saya menghormati penulisan saudara tapi tidak kali ini. benar2 tidak. hal ini kerana tindakan saudara benar2 telah menjatuhkan maruah individu y saudara tuduh itu. adakah saudara benar2 yakin, mereka y di dalam gambar itu tidak memperkenalkan kebaikan Islam dahulu baru tunjukkan banner itu? adakah hanya banner itu sahaja y dipamerkan n tiada banner y mnunjukkan keindahan menutup aurat? saya merupakan salah seorang peserta daripada program itu. saya merasa terguris sekali dgn penulisan saudara y saya kira sangat suudzhon. bersangka buruk tanpa bertanyakan kepada empunya "uploader" gambar tersebut, kenapa gambar ini diambil, adakah hanya gambar ini sahaja y menggambarkan keseluruhan program, apa y mereka sedang jalankan sebenarnya di dalam gambar ini. sepanjang saya join program mereka, mereka terlebih dahulu mdekatkan diri mreka dgn msyrkt dahulu. mreka dekati dahulu individu y xmnutup aurat itu, mnyapa dia dgn ramah sekali. kmudian barulh indvdu itu terlihat banner ini. n peranan mreka y bawa banner ini td adlh dgn mnerangkn kpd si dia y x tutup aurat itu knpa aurt y xdtutup djilat api nraka. mreka crita tntg klebihn tutup aurat sambil edar flyers bkenaan kempen tutup aurt. indvdu td faham n ucap trima ksh krn mberitahu dia. n rmai lg indvdu lain y mnunjukkn thumbs up dgn prgram y djalankn n trangkn kpd mreka knapa djilat api neraka. oleh itu di sini saya benar2 memohon agar saudara imran haaz MEMOHON MAAF d ats tindakan saudra y mnuduh secara melulu kpd mereka y d dalam gambar ini. bsangka baik itu tersangatlah penting. jangan sesekali jgn kita rasa hebat dgn penulisan kita padahal kita sdg mjatuhkn indvdu lain y nak sebarkan islam juga. jangan. perhalusi tindakan anda, akhi. saya mohon anda meminta maaf secara terbuka berkenaan tindakan saudara ini. saya mohon...

satuhala said...

Mie, Jika manfaatnya dirasakan melebihi mudaratnya, boleh sahaja dikongsi.

satuhala said...

Wa'alaikumsalam w.b.t. Tuan Rizal Hass,

Sebagaimana yang kita bincangkan selalu, umat ini ada penyakit yang belum didiagnosis. Mereka masih berfikir tentang putih itu putih dan hitam itu semestinya hitam tanpa mereka sedar indera itu menipu terutamanya di zaman-zaman akhir ini.

Manusia sudah tidak lagi mengenali tipu daya yang dimainkan Iblis. manusia sudah tidak lagi mengenali apa bentuk modus operandi Iblis. manusia juga sudah tidak lagi mengenali titik utama kelemahan manusia. Manusia kini membaca al Qur'an sebagai hiburan dan buku2 cerita. Jarang sekali manusia mahu mengambil pengajaran tentangnya.

Sebagaimana yang tuan risaukan, begitu jugalah saya. Mungkin subjek mengenai Adam a.s., Iblis 101 perlu ditulis. Ramai rupanya masih belum kenal modus operandi makhluk tersebut.

satuhala said...

Wa'alaikumsalam w.b.t. saudari Anon February 17, 2013 at 2:26 PM,

Apa yang diperlukan ialah penjelasan.

Husnu Dhzon bukan bermaksud ia harus dilakukan hanya pada sebelah pihak.

Sebelum saya menulis tentang perkara di atas, saya telah membuat beberapa rujukan tentang apa yang berlaku.

Saya telah melihat bunting dan banner2 yang digunakan. Saya juga melihat ia turut digunakan ditepi jalanraya untuk pemandu2 kereta yang melaluinya untuk dapat membacanya. Dalam kes banner yang dipegang ditepi jalanraya, banner dengan janji seksaan api neraka merupakan banner paling awal yang akan pemandu-pemandu kereta itu nampak. Mereka tidak diberikan peluang untuk melihat Islam sebagai satu agama rahmat pada kali pertama mereka terlihat kumpulan itu. Tetapi 1st impression yang mereka lihat pada kali pertama mereka terlihat kumpulan tersebut ialah, Islam ialah agama dengan sikap dan sifat menghukum. Ia bertentangan dengan cara ayat2 mengenai penjagaan aurat di dalam al Qur'an dinyatakan Allah.

Satu petikan dari seseorang yang tidak dikenali pernah berkata :

You never get a second chance to make a first impression.

Pada ketika mereka melalui banner/bunting kedua, ketiga dan seterusnya, persepsi mereka tentang Islam itu sudahpun ditetapkan. Malah kebanyakan(majoriti) daripada pemandu yang melalui kupulan tersebut tidak diberi kesempatan untuk diterangkan tentang kebenaran Islam, kelebihan menutup aurat dan dua kesudahan yang menanti mereka diakhirat nanti. Itu kes kumpulan ditepi jalanraya.

Ini pula pemerhatian untuk kes di dalam gambar di atas. Saya telah melakukan suntingan kepada gambar tersebut supaya ia tidak menunjukkan siapa, di mana dan kumpulan apa yang sedang memegang banner tersebut. Ia bagi tujuan menjaga identiti kumpulan atau orang yang ditegur dan supaya mereka dan hanya mereka tahu bahawa merekalah itu yang memegang banner tersebut. Jika saya berniat mahu menjatuhkan maruah, boleh sahaja pada bila-bila masa dan tidak membuang masa untuk melakukan suntingan, saya muatnaik gambar asal ke dalam penulisan. Jadi, sebagaimana yang telah saya jelaskan tadi, Husnu Dzon itu bukan suatu keharusan untuk sebelah pihak dan sebelah pihak lagi tidak dipertanggungjawabkan dengan perkara yang sama.

Ok. Kes seperti di dalam gambar di atas. Hanya jika orang yang mencetak banner tersebut dan menggunakannya di dalam program tersebut dapat berfikir lebih jauh dari ruang tempat dan waktu, pastinya dia mengetahui bahawa banner spesifik di atas tersebut, lebih banyak memberi kemudaratan kepada imej Islam dari membantu umat Islam Islam sedar untuk menutup aurat. Saudari Anonymous menjelaskan pada masa itu, pada ruang itu, pada ketika itu, pada lokasi itu, penjelasan-penjelasan serta pengetahuan-pengetahuan mengenai kelebihan dan kesudahan menutup aurat dijelaskan oleh kumpulan tersebut kepada mereka-mereka yang disasarkan.

samb. di bawah

satuhala said...

samb. dr atas...


Tetapi pernahkah terlintas di akal fikiran bahawa pada masa ini, pada ruang ini, pada ketika ini, pada lokasi pelbagai diseluruh dunia, dan pada masa depan yang panjang dan tanpa sempadan, gambar tersebut sedang berlegar-legar, dikongsi-kongsi tanpa henti dan sampai kepada khalayak manusia yang lebih ramai, tidak kira yang Islam atau bukan Islam, tanpa kumpulan yang menerbitkannya dapat hadir memberikan penjelasan dan menyampaikan pengetahuan sebenar Islam tentang arahan penutupan aurat dan kelebihan2nya?
Tahukah saudari bahawa hanya gambar ini sampai ke kotak email saya, ke akaun facebook saya dan ke telefon bimbit saya tanpa sesiapa dari kumpulan itu menjelaskan kepada para recipients termasuk saya tentang kelebihan menutup aurat, janji kebaikan dari Allah di dalam al Qur’an kepada mereka jika mereka menutup aurat dan sebagainya. Yang ada hanya sekeping gambar bisu yang menggambarkan Allah itu cepat dan pantas menghukum.

Seolah-olah ia memberikan gambaran bahawa Allah, Tuhan sekelian alam hanya cenderung menghukum dan pantas menghukum tanpa bersifat Rahman dan Rahim? Entah berapa ratus atau ribu gambar itu sedang dikongsi pada ketika ini. Entah berapa ratus atau ribu gambar itu sedang dikongsi pada hari esok.

Entah berapa ratus atau ribu gambar itu sedang dikongsi pada hari-hari mendatang. Semuanya yang menerimanya, mendapati Allah bersifat cepat menghukum. Di mana pula saudari dan rakan-rakan pada ketika gambar tersebut dikongsi dengan ribuan manusia pada setiap hari?

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah bersabda , "Ketika Allah menciptakan makhluk, Dia membuat ketentuan terhadap diri-Nya sendiri di dalam kitabNya yang berada di sisiNya, 'Sesungguhnya rahmatku melebihi murkaKu' "(Hadis riwayat Muslim)

Mampukah saudari dan kumpulan saudari menuruti jejak ke semua email dan perkongsian gambar tersebut bagi memperbetulkan semula persepsi pertama mereka tentang Allah bahawa rahmat Allah melebihi murkaNya dan bukan murka Allah melebihi rahmatNya? Jadi sentiasa berhati2 dengan setiap tindak tanduk. Usaha mendekati manusia lain untuk mendekatkan diri mereka kepada perintah Allah harus dipuji, tetapi lakukanlah dengan berhati-hati dan berfikir melangkaui ruang dan waktu pada masa hadapan. Jika teguran di atas tidak dapat diterima, saya memohon maaf kerana tidak dapat menyampaikannya dengan lebih baik supaya perkara mudah ini dapat difahami dengan lebih jelas.

Wallahua’lam.

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

abang memang hebat..bangga saya

Anonymous said...

Tuan.. kalau untuk melaknat golongan musyrik pun nabi tolak, kenapa pula kita cepat hendak menghantar orang Islam sedara kita ke neraka?

Abu Hurairah berkata bahawa seorang sahabat telah berkata kepada Nabi: “Wahai Rasulullah saw, mohonlah kepada Allah agar ditimpakan kebinasaan kepada orang-orang musyrik!” Nabi menjawab: “Aku tidak diutus sebagai pelaknat, sebaliknya aku diutus sebagai rahmat” (Shahih).

Anonymous said...

Salam abg Imran.

Dengan Firaun pun kena dakwah secara berlembut dan menunjukkan sisi rahmat Islam dahulu. Dosa dia bukan main besar. Ngaku dirinya sebagai tuhan. tu pun kita kena tetap berlembut untuk sampaikan dakwah. Tahaa ayat 41 sampai 44 buktinya.

41. "Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu."

42. Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat- mukjizat pengurniaanKu, dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.

43. "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

44. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut"

adi said...

Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu ‘anhuma meriwayatkan: “dua orang Sahabat menghadap Rasulullah (menanyakan tentang Fir’aun). Sabda Nabi s.a.w: “Malaikat Jibril menyumbat mulut Fir’aun dengan pasir, khuatir kalau-kalau Firaun akan mengucapkan: la ‘ilaha illa’l-lah”[1]

Jibril khuatir Rahmat Allah mendahului MurkaNya..

satuhala said...

Anon February 24, 2013 at 8:38 PM (Mohd Uzi ke?)..

Jangan memuji makhluk atas sesuatu yang dipinjamkan Allah kepadanya.. Segala puji dikembalikan kepada Allah yg memiliki segala kehebatan..

satuhala said...

Anon March 1, 2013 at 12:32 PM,

Itu masalahnya dengan sebahagian besar dr kita.. kita suka benar mahu menghumbankan laknat dan kecelakaan ke atas saudara seagama kita sendiri hanya kerana mereka tidak berubah ketika kita menyuruh mereka berubah..

seolah rukun menasihati itu termasuk memastikan org yg ditegur membuat perubahan atas teguran kita dalam sekelip mata... mereka lupa hidayah itu milik Allah utk diberikan kepada sesiapa sahaja..

dengan menyampaikan mengikut jalan sunnah yang ditunjukkan, kita sudah pun melakukan arahanAllah mengikut kehendakNya..

satuhala said...

Anon March 1, 2013 at 12:40 PM,

Suka saya dengan petikan Tahaa ayat 41 hingga 44.. ia sangat konsisten dgn apa yg saya telah jelaskan.. Alhamdulillah..

satuhala said...

Adi,

TQ atas perkongsian..

Penjelasanlanjut spt berikut supaya lebih cerah lg..

Jibril melakukannya kerana diperintah Allah.. Malaikat tidak melakukan sesuatu dengan keinginan sendiri sesuai dengan ayat Allah di dalam surah al Anbia' ayat 26 hingga 28 seperti berikut:

"...Sebenarnya (malaikat itu) adalah hamba hamba yang dimuliakan. Mereka itu tidak mendahului Allah dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka (malaikat) dan yang di belakang mereka dan mereka tidak memberi syafa'at melainkan kepada orang yang diredai oLeh Allah. Dan mereka itu selaiu berhati hati kerana takut kepada Nya." (An Nhal': 26 hingga 28)

dan juga ayat berikut di dalam an Nahl ayat 49 hingga 50 berikut :

"Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat sedang mereka (malaikat- malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya. Mereka takut kepada Tuhan mereka, yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan. (an Nahl ayat 49 hingga 50).

Fir'aun sebenarnya sempat mengucapkan La ilaha Illallah. Ia sesuai dengan ayat Allah di dalam surah Yunus ayat 90 hingga 91 spt di bawah:

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang- orang yang melakukan kerosakan? "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" (Yunus 90 hingga 92)

Persoalannya kenapa ucapan Syahadah Fir'aun ditolak Allah? Jawapannya ada dalam ayat 84 hingga 85 surah al Mu'min (juga disebut sesetengah kitab sebagai surah Ghafiir/at Thaul) spt berikut :

Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata: "Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan Kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik." Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.

Iman setelah melihat dengan jelas azab Allah adalah tertolak. Ini kerana pada ketika itu telah jelas terpampang di depan mata azab yang dijanjikan. Ia tidak lagi menjadi perkara ghaib dr pengetahuan tetapi telah menjadi sesuatu yang realiti dan dizahirkan. Kerana itu syahadah Firaun tertolak.

Firaun berulang2 kali mengucapkan syahadah tersebut, lantas Allah memerintahkan malaikat Jibril menyumbat lumpur ke dalam mulut firaun supaya diam kerana ia tidak lagi mempunyai apa-apa makna setelah azab kelihatan jelas. Rujukankepada peristiwa Jibril a.s. menyumbat lumpur ini adadisebut dlm Tafsir Jalallain..

Ini menunjukkan serta menegaskan sekali lg bahawa Rahmat Allah mengatasi murkaNya selagi belum diperlihatkan dengan jelas janji azab yang diamarankan. Malang sekali, ramai antara kita cepat benar mahu sebahagian dari kita dihukum ketika peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah masih terbuka dengan luas oleh Allah s.w.t.

TQ atas perkongsian yg meneguhkan lg apa yg telah dijelaskan. Jazakallahu Khairan Kathira..