Seorang wanita membawa sebiji epal. Ditangannya ada sebilah
pisau. Dia mahu seorang rakan wanita yang dikenalinya merasai buah tersebut.
Rasanya sedap. Dia mahu rakannya itu merasainya. Lalu dia berjalan menuju ke
rumah sahabatnya. Dia mula mengetuk pintu.
Apabila sahabatnya membuka pintu dan menjemputnya masuk,
lantas dia menghunus pisau tersebut dan diletakkan pada leher sahabatnya. ‘Makan
buah itu cepat! Kalau tidak, kau akan mendapat masalah!’. Benar pada waktu itu
si sahabat itu akan makan epal tersebut kerana terpaksa. Tetapi bukankah
selepas itu, dia akan menjadi trauma setiap kali terpandang kepada buah epal?
Niat mereka di dalam gambar di bawah ini baik, tetapi perlaksanaannya lebih
banyak merosakkan dari memperbetulkan.
Kita semua perlu berhenti dari menjadi teroris! Sampaikan dakwah
secara hikmah. Berikan berita baik terlebih dahulu dan kemudian bercakap
tentang dua kesudahan yang menunggu diakhirat. Beritahukan secara hikmah dan
kreatif yang mengundang rasa mahu berkenaan dengan kesudahan baik dan kesudahan
yang buruk yang menanti diakhirat. Malah ayat-ayat menutup aurat di dalam al
Qur’an juga memberi keutamaan penjelasan kepada aspek kebaikan perbuatan
berbanding hukuman yang menanti diakhirat.
Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan
mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau
anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka,
atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan
kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat
perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan
apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian
kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah An Nur
ayat 31.
"Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan
yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah
adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " Surah Al-Ahzab :
Ayat 59
Perhatikan ayat-ayat di atas.
Apakah kita mengikut garis panduan yang telah ditetapkan di dalam al Qur’an?
Apakah tindakan kita itu sama dan selari dengan apa yang disebut dalam al Qur’an?
Ini tidak, belum suruh makan sudah diletakkan pisau dileher.
Bukankah lebih baik jika pisau itu digunakan dengan cara baik, iaitu dengan
membuang kulit epal itu terlebih dahulu, kemudian epal itu dipotong satu
persatu dan dibuang biji-bijinya dan kemudian dihidangkan dengan kreativiti
yang membolehkan sahabat tadi sangat terasa ingin menjamahnya?
Bukankah lebih baik jika kain rentang itu berbunyi. “Jagalah
Batasan Aurat Kerana Ia Formula Kejayaan” atau “Tutuplah Aurat Kerana Ia Simbol
Pembebasan Wanita,” atau mungkin seperti ini “Dengan Menutup Aurat Kami Tunduk Kepada Allah Dan Bukan Tunduk Kepada Kemahuan Lelaki,”.
Jadi, janganlah wanita comel dalam gambar ini mengulangi
tindakan seumpama ini lagi. Boleh berdakwah. Tapi lakukanlah dengan cara
hikmah. Ini kerana kita takut pada ketika kita merasakan tubuh zahir kita disaluti
kain yang cukup dan tidak bertelanjang, tetapi hati kita tidak dipakaikan
dengan pakaian takwa yang cukup sehingga menyebabkan hati dan keimanan kita
bertelanjang. Maka jadilah semakin ramai umat Islam di akhir zaman ini,
berpakaian tetapi bertelanjang. Tidak setakat bertelanjang pakaian zahir, malah
pakaian takwa juga tertanggal dan terlondeh hanya kerana kita merasakan kita
lebih baik dari orang-orang yang lain. Jangan kita lupa bagaimana tipu daya
licik sang Iblis sehingga menyebabkan datuk kita semua iaitu Adam a.s. dan Hawa
a.s. terhumban keluar dari Jannah.
Adam dan Hawa a.s. ketika menjamah buah khuldi, mereka
melakukannya dengan niat untuk mendekatkan diri mereka lebih dekat kepada
Allah. Pada fikir mereka yang telah diperdayakan iblis pada ketika itu, dengan
memakan buah Khuldi, mereka akan dapat menjadi hebat dalam melakukan amal ibadat
seperti para malaikat. Tanpa mereka tahu, Iblis menunggang semangat mahu
beramal ibadat mereka kepada Allah dengan memasukkan tipu daya kepalsuan supaya
mereka melakukan sesuatu yang Allah s.w.t. jelas larang. Maka terlucutlah
pakaian mereka dan terkeluarlah mereka dari Jannah hanya kerana mereka tertipu
dengan tipu daya Iblis ketika mereka cuba berusaha mendekatkan diri mereka
kepada Allah s.w.t.
Wahai
anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan
untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang
berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari
tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya
mereka mengenangnya (dan bersyukur). Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu
diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu
dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk
memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).
Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak
dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu
teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman. (al a’raaf ayat 26 hingga 27)
Kita semua perlu bermuhasabah. Hari ini mungkin kita berpakaian. Hari esok, Allah sahaja yang tahu. Sebaik-baik pakaian yang melindungi ialah pakaian takwa. Dengannya, Insya Allah, kita akan terlindung dari tergolong dalam golongan berpakaian tetapi bertelanjang di akhir zaman ini. Semoga Allah melindungi kita dari tipu daya licik syaitan. Ameen..
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.