oleh : Imran Haaz/M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem..
Sebelum ini, telah saya ceritakan bagaimana saya
sendiri cuba didakwahkan oleh beberapa orang Kristian di Pulau Pinang.
Ceritanya pernah saya muatkan di dalam blog pada Ogos 2011. Saya telah menulis
dan memberi amaran tentang semua ini sejak dari 2008. Baru-baru ini, timbul semula
isu ini. Ia timbul bilamana pendakwah Kristian menunggu diluar sekolah untuk memberikan secara percuma kepada
pelajar-pelajar sekolah naskah Kitab Psalm. Kitab Psalm atau Mazmur merupakan
sebahagian dari kitab Bible di dalam bahagian Perjanjian Lama. Asalnya ia
merupakan sebahagian dari kitab Zabur Nabi Daud. Tetapi ianya telah diubah dan
disunting sehingga peratusan ayat-ayat Allah di dalamnya menjadi kecil. Terlalu
kecil dan hanya dapat dikesan oleh minda-minda yang terlatih. Bahagiannya yang
selebihnya, hanya memesongkan kitab asal tersebut dari tujuannya yang asal
semasa diberikan kepada Nabi Daud. Kitab Psalm biasa digunakan untuk nyanyian
dan upacara sembahyang serta doa-doa di dalam gereja.
Kitab yang diberikan kepada pelajar-pelajar termasuk
yang Islam di Pulau Pinang baru-baru ini amat mudah dikesan dan diketahui apa tujuan
pemberiannya. Ia jelas dan ternampak dari segi zahir penampilannya, sebuah
kitab Kristian yang jelas dan tidak lagi berselindung disebalik apa-apa bentuk
penyamaran yang lain. Bentuk kitab sebegini amat mudah untuk dikenalpasti dan
ditolak oleh mereka-mereka yang mengenalinya. Tetapi gerakan mereka, tidaklah
bodoh dan kurang bijak seperti yang berlaku baru-baru ini di Jelutong. Mungkin
mereka tersilap dan menghabiskan wang peruntukan yang diberikan untuk gerakan
mereka dengan mengupah orang-orang yang langsung tidak sofistikated di dalam
berdakwah sepertimana yang terperangkap di dalam radar perhatian muslim seperti
yang berlaku di Jelutong, Pulau Pinang. Kita tidak risau dengan kumpulan yang
kurang bijak seperti itu, tetapi kita sedikit rimas apabila sebahagian besar dari gerakan terancang yang lebih halus gagal dikesan oleh majoriti daripada kita.
Seorang kenalan dan sahabat yang biasa
berkunjung di blog ini yang meperkenalkan namanya sebagai Chik249, pernah
menceritakan mengenai pengalamannya sendiri. Dia menceritakan bagaimana salah
seorang saudaranya dihampiri di jeti perkhidmatan Feri Pulau Pinang oleh
seorang perempuan Cina pada 2010. Modus Operandinya begini. Perempuan cina
tersebut menghampiri saudara kepada Chik249. Pada mulanya, perempuan cina tersebut
bertanyakan arah dan lokasi tempat. Sesudah melihat kemesraan dan peluang yang
terhidang, lantas perempuan cina tersebut menyerahkan sebuah buku. Sekali imbas
seolah buku yang sesuai dijadikan hadiah untuk kanak-kanak. Sekali imbas sekali
lagi, tiada apa yang tidak kena dengan buku tersebut. Ia hanya buku grafik yang
mempunyai cerita tentang ikan.
Lalu buku tersebut dibawa pulang. Tiada apa yang
hendak disyakkan. Apalah sangat buku yang dipenuhi dengan grafik ikan dan wajah
kanak-kanak yang sedang gembira di dalamnya. Ia disimpan di rumah tanpa ada
sesiapa pun mengesyakki ianya sebuah buku bagi pendidikan awal Kristian. Tiada kalimah
Allah digunakan didalamnya, hanya semua isikandungannya ditulis di dalam bahasa
Melayu.
Ianya kekal tidak disedari sehinggalah hamba
Allah bernama Chik249 ini mengunjungi kediaman saudaranya. Kunjungan bersama
keluarga yang disertai anak ke rumah saudaranya itu kemudiannya membongkar apa
isikandungan buku tersebut. Pada mulanya saudaranya memberikan buku tersebut
kepada anaknya. Satu kebiasaan bagi mana-mana anak kecil, mereka akan teruja
melihat buku dengan pelbagai lakaran grafik menarik. Kemudian buku tersebut
diambil oleh Chik249 untuk dibelek isikandungannya. Dia merasakan ada sesuatu
yang amat janggal dengan buku tersebut. Lalu dibelek-beleknya lagi buku tersebut. Melihat
petikan Matius yang termuat di dalam buku tersebut, dia lantas menyedari bahawa
buku tersebut merupakan buku yang disasarkan untuk orang-orang Kristian. Dia
menyatakan bahawa dia mengetahui tentang perkara tersebut setelah terbaca
penulisan yang dimuatkan di dalam blog satuhala ini.
Komennya yang dimuatkan di dalam blog ini pada
2011 di dalam penulisan Misi Gerakan Penginjil Pulau Pinang II boleh dibaca disini. Hanya pada tahun ini, Chik249 mengirimkan kepada saya melalui akaun
facebook imbasan buku tersebut setelah isu nama Allah sekali lagi timbul. Isu
nama Allah ini sekali lagi timbul tahun ini setelah ianya cuba dipersundalkan
oleh sundal politik tempatan. Mujur mereka segera disergah semasa baru sahaja
keluar dari ‘kedai pajak gadai’ setelah baru sahaja menggadaikan kalimah
tersebut untuk digunakan oleh golongan Kristian. Mujur masih ada golongan ulama’
yang sedikit berbaki dikalangan mereka. Tetapi apa yang sangat merisaukan
ialah, golongan ulama’ yang berpegang teguh kepada al Qur’an dan Sunnah di dalam
entiti terbabit semakin berusia dan ramai dikalangan mereka kini berada di
dalam usia yang semakin tua. Apa masa depan Islam di dalam entiti tersebut
sekiranya mereka-mereka ini tiada nanti? Saya melihat sesuatu yang amat
memusnahkan sedang terhidang dihadapan. Semoga umur mereka panjang dan
diberikan kesempatan untuk memperbetulkan semula trajektori hala tuju umat
Islam di negara ini dan kita semua dapat bersatu di dalam satu jemaah dalam
waktu terdekat nanti. In sya Allah.
Imbasan beberapa muka dari buku tersebut boleh
dilihat di bawah ini. :
Ikan,
kenapa ikan?
Biar saya jelaskan apa maksud yang cuba
disampaikan secara halus di dalam buku tersebut. Kenapa topik ikan dipilih? Bagi
yang tidak memahami Kristian, mereka tidak akan sedar mengenai apa yang sedang
mahu disampaikan secara halus di dalam buku itu. Ikan di dalam tradisi Kristian
sentiasa merujuk kepada figura Jesus Christ itu sendiri. Lambang dan logo ikan
sentiasa digunakan oleh orang-orang Kristian untuk menggambarkan Jesus. Malah golongan
closet Christian atau golongan muslim
murtad di mana-mana negara, menggantikan salib pada rantai mereka dan menggunakan
lambang ikan pada rantai dan objek perhiasan dan sembahan dirumah mereka. Perhatikan
dengan dekat mereka-mereka yang bernama Islam tetapi keras memperjuangkan
hak-hak asasi manusia yang mirip kepada kebebasan menyebarkan agama lain kepada
muslim dan hak untuk muslim bebas keluar dari Islam. Perhatikan samada mereka menggunakan
lambang ikan pada rantai yang digunakan bagi mengalungi leher mereka,
simbol-simbol gerakan mereka dan simbol-simbol perjuangan mereka. Selain ikan,
lambang matahari naik, tiga bulatan bergabung (mewakili Trinity) dan beberapa
lambang lain juga sering digunakan mereka untuk mewakili simbol Jesus Christ
dan akidah yang dipercayai Kristian. Lihat sahaja lambang seumpama ini
disekeliling anda. Ia sentiasa disampaikan secara halus di dalam kaca-kaca tv melalui
iklan hiburan, perkhidmatan, peralatan dapur dan sebagainya.
Malah Jesus sendiri dikatakan di dalam
kepercayaan mereka sentiasa menggunakan contoh pendakwah ialah seumpama seorang
nelayan yang berusaha menjala ikan dilaut. Contoh paling dekat ialah peristiwa
bilamana Jesus di dalam Bible bertemu buat pertama kalinya dengan empat orang
pengikutnya di tepi pantai. Ke empat-empat mereka merupakan nelayan. Pada ketika
mereka pertama kali bertemu Jesus, mereka sedang bersedia untuk turun ke Tasik
Galilee menangkap ikan. Jesus dicatatkan bertemu Simon dan Andrew di Tasik Galilee
dan berkata, “Ikutilah aku, nescaya aku akan ajarkan kepadamu cara untuk
memancing jiwa manusia.” Serentak itu, mereka mengikuti Jesus. Kemudian Jesus
bertemu pula dengan James dan John, anak kepada Zabedee. Kepada mereka juga
Jesus menyatakan perkara yang sama. Lalu mereka meninggalkan bapa mereka dan
menuruti Jesus untuk ‘memancing jiwa-jiwa manusia.’ 1
Tajuk buku tersebut secara jelas memperakui
tujuan buku tersebut dihasilkan. Walaupun cuba dikelabukan dengan
lakaran-lakaran grafik ikan bersisik dan bersirip di dalam buku tersebut,
tetapi apa yang mahu ia sampaikan di dalam buku tersebut ialah, mengenai jemaah
manusia yang diterima tuhan sebagaimana yang dipercayai di dalam agama
Kristian. Malah dengan jelas, di dalam buku itu, dipetik ayat dari Kitab
Matthews (Matius) fasal 13 ayat 47 hingga 50 seperti di bawah:
13:47 "Demikian
pula hal Kerajaan Sorga itu seumpama pukat yang
dilabuhkan di laut, lalu mengumpulkan berbagai-bagai jenis ikan. 13:48 Setelah
penuh, pukat itupun diseret orang ke pantai, lalu duduklah mereka dan
mengumpulkan ikan yang baik ke dalam pasu dan ikan yang tidak baik mereka
buang. 13:49 Demikianlah
juga pada akhir zaman: Malaikat-malaikat akan datang memisahkan orang jahat
dari orang benar 13:50 lalu
mencampakkan orang jahat ke dalam dapur api; di sanalah akan terdapat ratapan
dan kertakan gigi.
Ikan yang dimaksudkan akan dimasukkan ke dalam
pasu ialah manusia-manusia yang bakal dibawa memeluk Kristian. Sangat jelas
maksud yang mahu disampaikan. Apabila lakaran grafik di bawah ini yang
menunjukkan dialog antara seorang cucu dengan datuknya yang berkata, “Saya amat
gembira. Atuk dan saya berjalan-jalan di pantai. Kami akan mencari beberapa
jenis ikan,”. Ketahuilah, bukanlah dialog itu dimaksudkan secara literal
melainkan ia bermaksud kedua-dua generasi perlu terus berusaha untuk terus
memancing jiwa-jiwa manusia untuk dibawa memeluk agama Kristian.
Berbanding kitab Psalm yang diberikan di Jelutong
baru-baru ini, buku-buku dakwah dalam bentuk sebegini berkemungkinan tidak akan
ditolak pada kali pertama dihulurkan kepada sasaran. Mereka yang merangka dan
menerbitkannya lebih sofistikated berbanding pendakwah ala ‘bulldozer’ di Jelutong
pada tempohari. Malah mereka juga bijak mengenai program minda bawah sedar kepada
manusia seawal usia kanak-kanak. Perhatikan, walaupun sukar dan mungkin tidak
difahami, nama YHWH (יהוה) dicatatkan pada hampir setiap mukasurat di dalam buku
tersebut. Mereka-mereka ini jelas faham bahawa, walaupun mata tidak memberi
tumpuan kepada kalimah YHWH (יהוה) yang dicetak tersebut, tetapi bahagian otak yang
mengawal aktiviti bawah sedar merakamkannya tanpa tuan punya badan menyedari
tentang hakikat tersebut. Jika akan biasa dengan tajuk program minda bawah
sedar dan psikologi, anda akan memahami apa signifikansi meletakkan sesuatu
yang berkemungkinan tidak dibaca tetapi dicatatkan secara berulang-ulang pada
lokasi hampir sama di setiap mukasurat.
Kita tidak mempunyai masalah jika orang-orang
Kristian mahu menggunakan buku-buku grafik sedemikian rupa untuk tujuan
pendidikan awal anak-anak mereka. Kita juga tidak ada sebarang masalah
sekiranya isikandungan buku-buku sedemikian rupa tidak menghina Allah, Muhammad
s.a.w. dan Islam secara umumnya. Kita juga tidak mempunyai masalah sekiranya
nama Tuhan yang digunakan bagi menggambarkan Tuhan yang disembah oleh orang Kristian
di dalam buku seumpama itu dengan nama Elohim. Yang menjadi masalah kepada kita
ialah, kenapakah buku yang sepatutnya dan seharusnya cuma beredar dikalangan
umat Kristian, diberikan dengan niat yang sengaja kepada golongan Muslim? Apakah
gerakan pendakwah Kristian di Malaysia suka jika mereka dilabelkan sebagai
penentang undang-undang negara? Sukakah mereka jika orang-orang yang dipandang
tinggi di dalam agama mereka dipandang sebagai mereka yang buruk disisi
undang-undang negara ini?
Lupakah mereka dengan pesan Jesus di dalam kitab
mereka tentang berikan pipi kiri pula apabila pipi kanan mereka ditampar dan
bukannya melawan apabila pipi kanan mereka ditampar? Lupakah mereka dengan
pesan Jesus kepada mereka bahawa dalam apa jua keadaan, mereka seharusnya
mengelakkan konfrontasi? 2
Lupakah mereka dengan pesan Jesus semasa kaum
Yahudi bertanyakan kepada Jesus tentang apa perlukah mereka mematuhi
undang-undang pemerintah sedangkan pemerintah itu tidak seiring dengan kehendak
mereka? Lupakah mereka dengan kisah syiling Caesar, bilamana Jesus
memerintahkan mereka untuk mematuhi peraturan pemerintah dalam kes membayar
cukai? Lupakah mereka bahawa ianya bukanlah ayat yang hanya spesifik kepada
perintah membayar cukai, tetapi merupakan perintah Jesus yang mahukan mereka menjadi
warga yang tidak menimbulkan sebarang masalah dan konfrontasi dengan pihak
pemerintah? 3
Tidak malukah umat Kristian apabila modus
operandi dalam bentuk penipuan, baling batu sembunyi tangan dan pembohongan
sebegini digunakan untuk berdakwah? Tidak malukah umat Kristian di Malaysia
apabila kerja-kerja dakwah mereka perlu dilakukan dengan gaya tipu muslihat
sebegini?
Jika selama ini umat Islam dan Kristian dapat
hidup secara harmoni tanpa sebarang masalah, kenapa mereka membiarkan
sebahagian dari sundal-sundal politik menggunakan diri mereka untuk
menlancarkan konfrontasi dengan umat Islam atas suatu perjuangan yang langsung
tiada kena mengena dengan agama mereka? Dan yang amat memusykilkan ialah,
kenapa mereka memilih jalan konfrontasi dengan undang-undang pemerintah sedangkan
pada hakikatnya Jesus yang disembah mereka sendiri melarang ianya dari
dilakukan? Lupakah mereka tentang peringatan yang diberikan
Jesus di dalam kitab mereka tentang golongan agamawan yang mengambil
kesempatan?
... Orang
banyak yang berada di Rumah Tuhan itu senang mendengar Yesus mengajar. 12:38 Ia
berkata kepada mereka, "Hati-hatilah terhadap guru-guru agama. Mereka suka
berjalan-jalan dengan jubah yang panjang dan suka dihormati di pasar-pasar. 12:39
Mereka suka tempat-tempat yang terhormat di dalam rumah ibadat dan di
pesta-pesta. 12:40 Mereka menipu janda-janda dan merampas rumahnya. Dan untuk
menutupi kejahatan mereka itu, mereka berdoa panjang-panjang. Hukuman mereka
nanti berat!" (Markus (Mark) fasal 12 ayat 37 hingga 40)
Pesan di dalam Markus fasal 12 ayat 37 hingga 40 itu hampir sama dengan apa yang dipesankan Rasulullah s.a.w. kepada kami mengenai golongan yang mendakwa diri mereka sebagai agamawan, tetapi hakikatnya mereka itu ibarat serigala yang sangat lapar.
Dari Ibnu Abbas r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kelak akan datang di akhir zaman segolongan manusia, di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala yang buas, tidak ada sedikit pun di hati mereka belas kasihan. Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak pernah berhenti dari melakukan kekejian. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu. Akan tetapi apabila kamu menghindar dari mereka, maka mereka akan mencela kamu. Apabila berbicara dengan kamu, maka mereka akan membohongi kamu. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, maka mereka akan mengkhianati kepercayaan yang kamu berikan. Anak kecil mereka bodoh, pemuda mereka licik, sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang mungkar. Mereka itu sentiasa membanggakan diri dalam kehinaan. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan. Orang yang sopan-santun di tengah mereka adalah sesat, dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh, orang beriman di kalangan mereka adalah lemah, sedangkan orang fasik menjadi mulia. Sunnah di tengah mereka menjadi bidaah, sedangkan bidaah itu sendiri adalah sunnah. Maka ketika itulah mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.” (Riwayat Thabrani)
Dari Abu
Hurairah Ra. ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda. “Akan keluar di akhir zaman
orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka
berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat dari kulit kambing
(berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang banyak, dan
perkataan mereka lebih manis dari gula. Padahal hati mereka adalah hati
serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang buruk). Allah s.w.t. berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu
dengan kelembutan-Ku ? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepada-Ku? Demi
kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan
mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung
(dengan sebab fitnah itu).” (HR. Tirmizi)
Janji Allah amat benar dan kita melihat ianya berlaku dihadapan mata kita kini. Pihak yang menjualkan agama untuk keuntungan dunia yang sedikit akan ditimpakan Allah dengan satu fitnah yang mana fitnah itu akan membingungkan sehingga orang-orang 'alim dikalangan golongan tersebut menjadi bingung.
Kepada penganut Kristian, anda bebas untuk mengamalkan agama anda dalam apa jua bentuk di sini kecuali
dengan cara dan jalan-jalan yang bakal menimbulkan konflik dan masalah dengan
Islam dan lain-lain agama. Ingat, Perlembagaan Persekutuan pada Artikel 11 Fasal
4 dan Artikel 12 fasal 3 sangat terang menyatakan larangan-larangan tersebut
wujud.
Perlembagaan
Persekutuan
Artikel 11 perkara
1 Pelembagaan Persekutuan menyatakan perkara berikut:
Artikel 11
Fasal 1 :
Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk
kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.
Fasal 4 :
Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat
pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang
menganuti ugama Islam.
Artikel 12
Fasal 3 : Tiada
sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa ugama atau
mengambil bahagian di dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu ugama yang
lain daripada Agamanya sendiri. 4
Saya
telah menulis tentangnya di sini sedikit masa dahulu. Benar, Pulau Pinang belum
menguatkuasakan peruntukan yang membolehkan undang-undang sepertimana yang
disebut di dalam Artikel 11 fasal 4 Perlembagaan Persekutuan.
Kita telah letih menunggu Mat Sabu untuk
menasihatkan Lim Guan Eng supaya membentangkan cadangan untuk mewartakan
undang-undang tersebut di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Kita letih
sebagaimana letihnya orang-orang PAS menunggu apa hasil perbincangan yang
diadakan antara Mat Sabu dan Lim Guan Eng bagi membincangkan kedudukan politik
PAS di Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Entah apa yang dinasihatkan Sabu kepada
Guan Eng sehingga najis hama kerusi Exco Pulau Pinang pun Adun Permatang Pasir yang saya undi, satu-satunya Adun PAS di Pulau Pinang, tidak dapat
sentuh. Sehingga ke akhir hayat beliau terpinggir dari sebarang jawatan. Entah apa yang dibisikkan antara mereka berdua di dalam gambar di bawah, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Bagaimana
untuk melakukan perubahan yang lebih besar kepada Perlembagaan Persekutuan
sedangkan perkara-perkara yang digalakkan di dalam Perlembagaan sendiri tidak
mampu ditegakkan?
Maka terpaksalah manusia-manusia yang langsung
tidak berminat dengan permainan politik itu bertungkus lumus berusaha
memastikan umat Islam di Pulau Pinang tidak dijadikan sasaran mudah dan mangsa
percaturan politik situasi kalah-kalah dinegeri yang mana orang Islam membentuk
majoriti ini. Perjuangan tetap akan diteruskan walaupun dilakukan dengan tenaga empat kerat sendiri, dengan wang sendiri, dengan masa yang dkorbankan tanpa sebarang bayaran dan segala penat lelah sendiri. Ini kerana hanya sedikit yang mahu mengambil tahu mengenai masa depan negeri ini. Tetapi mereka secara umumnya lupa bahawa Pulau Pinang ialah Microcosm masa depan negara Malaysia. Itulah yang sering saya peringatkan di dalam penulisan di dalam blog ini. Kita terus bergerak walaupun atas kapasiti sendiri. Kerana sendiri itu terkadangnya boleh menyelamatkan kita dari terlibat dari persundalan agama demi kepentingan duniawi. Semoga Allah melindungi niat dan setiap langkah yang diatur supaya tidak terjerumus ke lembah yang hina. Ameen.
Rujukan :
1)
Mark fasal 1 ayat 14 hingga 19
2)
Matthew fasal 5 ayat 38 hingga
42.
3)
Mark fasal 12 ayat 17
4)
Perlembagaan Persekutuan, ILBS, 2006.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.