Oleh : Imran Haaz
Isu nama Allah timbul lagi. Perkara ini telah
dijangka akan berlaku. Aritmetik manusia di dalam membuat kiraan peluang
mendapat undi berpotensi dari Sabah dan Sarawak telah dijadikan kayu ukur untuk
isu ini berputar 180⁰ dari trajektori
perjuangan asal. Tetapi, barangkali mereka lupa bahawa bukanlah pengundi yang
menentukan siapa akan berkuasa di mana sahaja lokasinya di dunia milik Allah
ini. Allah memberikan kuasa kepada siapa sahaja yang dikehendakinya walaupun
tanpa faktor kira-kira manusia.
Kita, orang-orang Islam berasa senak hati dan
jiwa melihatkan kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. Seolah-olah ada
‘besi’ yang memaksa si fulan membuat kenyataan menggunakan skrip tulisan yang
pernah digunakan Anuar sebelum ini bagi memberikan justifikasi berkenaan. Rujuk semula transkrip lama di bawah yang digunakan sebagai dialog yang menghalalkan
penggunaan nama Allah kepada kumpulan Kristian yang bukan berketurunan Arab di
Malaysia yang pernah diterbitkan di dalam sebuah akhbar antarabangsa.
Tetapi, usahlah gusar dengan apa yang telah
berlaku pada hari ini. Mereka-mereka yang mengumumkannya tidak berada dipuncak
kuasa. Puncak kuasa itu diamanahkan kepada pihak lain yang masih berpegang
teguh dengan amanah kuasa yang dipinjamkan Allah. Segala puji bagi Allah yang
Maha Mengetahui tentang segala apa yang dirancangkan makhluk-makhlukNya.
Saya telah menulis tentang isu nama Allah sejak
bertahun-tahun lamanya. Saya konsisten menentang penggunaannnya oleh kumpulan
Kristian di Malaysia. Apa kelulusan saya untuk bercakap tentang hal ini
sedangkan latar pendidikan saya hanya dari bidang kejuruteraan dan sains?
Barangkali lisan berapi yang membakar maruah Cikgu Non al Afghani juga akan
turut dihamburkan kepada insan-insan yang menentang mereka. Entahlah,
barangkali manusia itu mudah lupa apabila terlalu dipuja-puja. Barangkali
mereka terlupa dengan kisah Iblis yang satu ketika dulu sangat hebat sehingga
menjadi pujian penduduk langit. Hanya kerana takbur, selamanya dia hidup dalam
keadaan terlaknat oleh Allah.
Barangkali mereka juga lupa peristiwa Musa a.s.
dan Khidr a.s. Ketika Musa a.s. cuba menilai samada bagindalah yang paling
berilmu dikalangan manusia, lalu Allah mengarahkannya untuk mencari Khidr a.s.
untuk belajar tingkat-tingkat ilmu Allah yang Allah berikan kepada sesiapa
sahaja yang Dia kehendaki. Musa a.s. tidak menghinanya hanya kerana pangkatnya
sebagai nabi dan bukan rasul seperti Musa a.s. Malah Musa a.s. tidak
mempertikaikan Khidr a.s. yang tidak diberikan kitab panduan sepertimana Allah
memberikan kepadanya dan Bani Israel. Manusia yang beriman dengan kitabullah
yakin bahawa sesiapa sahaja boleh belajar apa sahaja,tetapi tingkat kefahaman
itu milik Allah untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan meskipun
tidak menurut jalan biasa yang dirasakan normal yang harus ditempuh.
....Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa
yang Kami kehendaki dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi
diatasnya yang lebih mengetahui. (Yusuf ayat 76)
Begitu juga dengan hadis dari riwayat Ath Thabrani (hadis ini hasan menurut Asy Syaikh al Albany) berikut :
Dari Abdullah bin Abbas ra dari Rasulullah s.a.w. bersabda, “Benar-benar akan tampak jelas keimanan itu, sehingga kekufuran akan dikembalikan ke tempat-tempatnya. Dan sungguh-sungguh akan diperbincangkan lautan itu dengan Islam. Dan benar-benar akan datang suatu masa atas manusia, yang pada masa tersebut mereka akan mempelajari al Qur’an, mereka mempelajari dan membacanya, kemudian mereka akan berkata, "Sungguh-sungguh kami telah membaca dan mengetahui, maka siapakah orang yang lebih baik dari kami? Maka apakah pada mereka itu ada kebaikan?”. Mereka bertanya, “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?”. Beliau menjawab, “Mereka itu adalah termasuk kalian dan mereka itu adalah bahan bakarnya api neraka”.
Benar ramai yang kecewa. Mungkin terlalu
mengejar yang belum tentu dapat, mungkin segala yang dikendung mereka akan
keciciran.
Untuk menghalalkan tindakan tersebut, saya
melihat beberapa hujah berikut cuba dikemukakan.
1. Musyrik Arab Telah Lama
Menggunakan Nama Allah sebelum Islam
Ini merupakan pernyataan yang
tidak benar. Mereka yang berhujah dengan hujah tersebut, gagal melihat perkara
ini di dalam konteks sebenar yang turut melibatkan aspek sejarah bagaimana nama
Allah mula digunakan bangsa Arab dan bila ianya mula dipersekutukan.
Bangsa Arab merupakan keturunan
Ibrahim a.s. melalui anaknya Ismail a.s. Islam merupakan agama anutan manusia dari
kalangan bangsa ini sejak dari zaman Ibrahim a.s. Kaabah dan seterusnya Kota
Mekah dibangunkan mereka. Allah merupakan satunya-satunya Tuhan yang disembah dan
tidak pernah ia dipersekutukan dengan segala apa yang lain. Kota Mekah
mengalami jatuh bangun disepanjang sejarah. Tetapi Allah tetap menjadi
satu-satunya Tuhan yang disembah tanpa Dia dipersekutukan dengan segala
sesuatu.
Sehinggalah berlalu padanya
satu zaman di mana muncul seorang figura bernama Amr bin Luhal. Beliau
merupakan dari kalangan agamawan di Kota Mekah. Dia dan ahli keluarganya
sentiasa menjadi menjadi tempat rujukan penduduk Mekah. Sehinggalah pada suatu
hari apabila dia ke Syam, dia terpesona dengan kegiatan penyembahan berhala
bernama Hubal di sana. Lantas dia mengambil keputusan untuk membeli salah
sebuah patung yang disembah dan kemudian membawanya pulang ke Mekah. Sampai
sahaja di Mekah, dia mengumumkan bahawa Hubal merupakan Tuhan yang perlu
disembah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sepertimana kaum Nuh a.s. yang
disesatkan kerana ketaksuban mereka kepada golongan yang dianggap sebagai
golongan beriman, begitulah juga yang berlaku kepada penduduk Mekah di dalam
kes Amr bin Luhal. Bermula dari saat itu, satu persatu berhala dibawa masuk ke
Mekah untuk disembah disamping Allah 1. Ia sehinggakan dicatatkan
terdapat lebih dari 360 berhala terdapat berhampiran Kaabah itu sendiri yang
disembah penduduk Mekah. Oleh kerana tiada lagi agamawan yang boleh dipercayai
di Mekah, maka penduduknya hanyut di dalam dunia syirik kecuali untuk
sekumpulan kecil manusia yang masih lagi berpegang teguh dengan agama Hanif,
iaitu jalan lurus yang ditunjukkan oleh Ibrahim a.s. ribuan tahun sebelum itu. Antara
mereka yang tetap berpegang teguh dengan kalimah La ilaha illallah ialah Amr
bin Nufail dan Abu Dzarr al Ghifari. Ayat
17 hingga 18 di dalam surah Az Zumar menyebut tentang kemuliaan serta kesihatan
akal mereka yang sempura.
Dan
orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut, serta
mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita
yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu
gembirakanlah hamba-hambaKu - Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang
sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada
segi hukum ugama) mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah pertunjuk oleh
Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Az Zumar ayat 17
hingga 18)
Mereka-mereka ini, termasuk
juga Salman al Farisi yang mengembara mencari hidayah Allah dari Parsi hingga
berjumpa dengan nabi. Majoriti penduduk Mekah dan tanah arab pada ketika itu
mensyirikkan Allah. Persoalannya, apakah Allah redha dengan perbuatan
menyekutukan Allah dengan berhala-berhala tersebut? Jawapannya tidak sama
sekali. Kerana itulah Muhammad s.a.w. diutuskan bagi memperbetulkan semua
kesalahan yang telah berlaku ini.
Kemudian ayat-ayat seperti al Ankabut ayat 63 cuba dibawakan sebagai hujah
bahawa al Qur’an tidak melarang penggunaan nama Allah oleh golongan musyrik. Perhatikan
ayat-ayat di bawah.
Dan
sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik)
itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan
dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka
akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad):
"Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang
demikian, bahkan kebanyakkan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan
pengertian syirik). (al Ankabut ayat 63)
Benarkah ayat di atas
menunjukkan bahawa golongan musyrik mendapat lampu hijau total untuk
menggunakan nama Allah dengan sesuka hati mereka? Benarkah begitu? Jawapannya
tidak. Perhatikan ayat di atas, hanya apabila nama Allah disabitkan dengan
sifat-sifat Allah yang tidak bertentangan dengan sifat-sifat Dia sebagai Tuhan
seperti yang menciptakan langit dan bumi, yang memberikan rezeki, yang menurunkan
hujan dari langit dan bumi, yang berkuasa di atas segala sesuatu, barulah kita
sebagai muslim dianjurkan untuk mengucapkan Alhamdulillah.
Tetapi bagaimana pula jika
golongan musyrik mensabitkan Allah sebagai lembu, berhala, tuhan yang diperanak
dan memperanakkan dan segala sifat yang bertentangan dengan sifat Dia sebagai
Tuhan? Apakah boleh juga diucapkan Alhamdulillah? Hanya muslim dengan akal
fikiran yang tidak sempurna atau takutkan ‘besi’ akan berkata sedemikian.
Perhatikan az Zumar ayat 38 di
bawah. Apabila Allah s.w.t. disabitkan dengan sekutu dan segala sifat yang
bertentangan dengan sifatNya sebagai Tuhan, maka orang-orang Islam perlu
mendekati mereka dan berhujah dengan mereka supaya mereka mendapat akses kepada
kebenaran sebenar dan bukan hanya membiarkan mereka. Az Zumar bermula ayat 1
hingga terakhir merupakan hujah-hujah untuk mengembalikan kesedaran kepada
golongan yang keliru dan terlibat dalam perbuatan mensyirikkan Allah. Berhujah dengan
mereka dan bukannya meredhai tindakan mereka.
Dan demi
sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang
musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu
mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka):
"Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain
dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya,
dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu atau jika Allah
hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?"
Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku)
kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (az
Zumar ayat 38)
Bagaimana pula
sekiranya, setelah berhujah mereka masih berdegil untuk terus mempersekutukan
Allah dengan sekutu-sekutu yang lain. Panduannya dijelaskan di dalam ayat 87
hingga 89 surah az Zukhruf berikut. Ayat-ayat ini biasanya dipetik setakat ayat
87 oleh golongan bermotif politik untuk menyembunyikan ayat seterusnya yang
tidak menguntungkan cita-cita politik mereka. Perhatikan ayat di bawah.
Dan demi
sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka:
"Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab:
"Allah". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari
menyembah dan mengesakanNya)? Dan (Dialah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi
Muhammad) yang berkata: "Wahai
Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka
terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!" (Tuhan menjawab rayuannya
dengan berfirman): "Jika
demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katalah:
`Selamat tingallah!` Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat
keingkarannya)!" (Az Zukhruf
ayat 87 hingga 89)
Maka apabila segala kebenaran
telah disampaikan dan mereka masih lagi berdegil untuk mempersekutukan Allah,
adalah sangat jelas di dalam ayat di atas, Allah s.w.t. mengarahkan kita untuk meninggalkan
mereka sama sekali dan bukanlah untuk terus bersama dengan mereka untuk terus
berpeluk-pelukan antara satu sama lain dan membuat sidang akhbar untuk membela
kedegilan mereka!
Malah Allah s.w.t. telah
memberikan ultimatum yang jelas di dalam surah an Nisa’ ayat 171 bahawa
perbuatan mensabitkan Allah sebagai bapa kepada Jesus dan salah satu Tuhan dari
3 aknum perlu dihentikan.
Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam
perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah
melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang
pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan
(ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah
kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang
demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah
Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal
(Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). (An Nisaa’ ayat 171)
Apakah
ayat di atas menyuruh kita mengatakan kepada golongan Kristian yang kekal
berdegil setelah dijelaskan beberapa kali bahawa Allah itu bukan salah satu
Tuhan di dalam Trinity bahawa mereka
boleh terus menggunakan nama Allah tanpa halangan dan bantahan dari umat Islam?
Apakah ayat di atas tersebut menyuruh kita mengatakan ‘Ya, boleh teruskan,’
dengan tindakan mahu mensabitkan sekutu-sekutu makhluk kepada Allah yang Maha
Esa? Amat jelas di dalam ayat tersebut, Allah menyuruh perbuatan tersebut
dihentikan.
Seriusnya kesalahan yang
dilakukan oleh ahli kitab tersebut sehinggakan Isa a.s. sendiri akan ditanyakan
oleh Allah s.w.t. diakhirat samada baginda yang membenarkan perkara tersebut
berlaku. Perhatikan ayat dari surah al Maidah ayat 116 hingga 118 berikut
Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Hai
Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: "Jadikanlah aku
dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?". Isa menjawab: "Maha Suci
Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya).
Jika aku pernah mengatakan maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada
diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya
Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib". Aku tidak pernah
mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku
(mengatakan)nya yaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan
adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka.
Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau
adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. Jika Engkau menyiksa
mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau
mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana. (al Maidah ayat 116 hingga 118)
Jelas dan mudah bukan isu ini?
jadi kenapa perlu ‘beating around the bush’
untuk mengelakkan dari menyatakan
yang hak? Kurang perbatuan politik? Takut tercerai bini talak tiga kerana lawan
parti? Sayang bini atau sayang Tuhan?
2.
Lagu negeri juga menggunakan
nama Allah
Perlukah dijawab hujah ini?
Menghabiskan beras Yahudi dan benar-benar memalukan Alma Mater dan prestij
mana-mana pusat pengajian yang pernah disinggahi.
3.
Kitab Bible Arab Juga
menggunakan nama Allah
Apakah mereka-mereka di Borneo
itu yang menganut Kristian berketurunan Arab? Jika tidak, apakah relevannya
hujah ini?
4.
Sembelihan Ahli Kitab Halal
DiMakan Jadi Seharusnya Mereka Juga Boleh Menggunakan Nama Allah
Jadi, apakah tuan yang
menggunakan hujah ini turut menyatakan bahawa sembelihan Lim Guan Eng dan Rev.
Murphy Pakiam di bawah ini halal dimakan?
Tolong jangan berdolak dalik. Jelaskan
kepada umum apakah mereka-mereka ini selayaknya dianggap sebagai ahli kitab
atau golongan kafir dari kalangan ahli kitab? Jangan kerana politik segalanya
mahu dihalalkan.
Bukan sewenang-wenangnya
sebarang label kafir boleh diberikan kepada orang bukan Islam. Hanya mereka
yang bukan Islam yang telah disampaikan kepada mereka kebenaran Islam dan
berkeras menolaknya sahaja boleh dilabelkan sebagai kafir 2. Tolong jelaskan kepada umum, apakah sembelihan mereka ini halal di makan?
Jadi, mereka yang berkeras mahu
menyatakan Isa .a.s. sebagai anak Allah setelah berkali-kali disampaikan
kebenaran Islam kepada mereka, maka golongan inilah yang termasuk ke dalam
golongan yang dinyatakan di dalam ayat-ayat di bawah:
Demi sesungguhnya, kafirlah
orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam)
katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah
yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu
membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di
muka bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan
langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua
yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Al Maidah ayat 17.
Demi sesungguhnya! Telah
kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni
Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil!
Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan
Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya
Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun
bagi orang-orang yang berlaku zalim". Al Maidah ayat 72.
Demi sesungguhnya telah
kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu
dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka
katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan
azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Al Maidah ayat 73.
5.
Bible Terjemahan Melayu Hanya Merujuk
Tuhan Sebagai Allah.
Benarkah begitu? Tahukah mereka
berhala lembu di Jeroboam dan Dan turut dinamakan sebagai Allah di dalam Bible
terjemahan Melayu?
Tahukah mereka bahawa lain-lain
berhala dan Tuhan-Tuhan palsu Mesir juga dinamakan dengan nama Allah di dalam Bible?
6.
Membenarkan nama Allah
digunakan Kristian akan mempermudahkan kerja dakwah
Saya belum pernah terjumpa
daie-daie yang pemalas. Majoriti dari pendakwah yang saya jumpa bekerja keras
untuk menyampaikan dakwah. Luka dan calar balar perjuangan itu suatu yang
lumrah bagi mereka. kenyataan dengan hujah di atas benar-benar memalukan.
Apakah segalanya mahu disuapkan sampai ke rongga tekak baru mahu berdakwah? Patutlah
Islam lambat berkembang di Malaysia.
Saya sangat-sangat berharap,
golongan ulama’ yang masih berbaki di kedua-dua belah pihak bersuara dengan segera.
Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada
kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang
pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka
datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari
orang-orang yang benar". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya telah tetaplah
kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak
berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu
menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang
membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga
dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu". (Al A’raf 70-71)
Wallahua’lam.
Rujukan :
1)
Saifur Rahman al Mubarakpuri, Ar Raheeq al Makhtum, (2002),
Darussalam, hlmn. 45 hingga 50.
2)
Haji Said Haji Ibrahim, Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, (1996),
Darul Ma’rifah, Kuala Lumpur, hlmn. 143
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda