Monday, December 17, 2012

Telefonlah Tuhan Dengan Aplikasi Ini...(?)

0

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Kita melihat dengan jelas pada hari ini, hampir majoriti besar daripada manusia telah diprogramkan untuk melihat dunia di dalam satu dimensi sahaja. Dimensi zahir seolah bagi semua manusia ini menjelaskan segala-galanya. Untuk itu, sebarang perkara yang berkaitan dengan sesuatu yang tidak tercapai oleh capaian indera yang panca, maka perkara itu akan ditolak dengan pantas dan tegas oleh majoriti manusia-manusia ini.

Mereka-mereka ini telah diprogramkan untuk mempercayai dan meyakini bahawa kemuncak tertinggi yang boleh dicapai oleh pemikiran manusia ialah dengan beriman dengan kepercayaan bahawa semua perkara ghaib dan tidak tercapai oleh capaian indera itu adalah perkara tahyul dan tidak masuk akal belaka.


Mereka percaya dengan meniru perbuatan ini, maka mereka akan tergolong di dalam satu kumpulan manusia intelek yang bakal menempatkan mereka pada mercu kedudukan manusia-manusia paling bijak yang mendahului pemikiran manusia secara majoritinya. Apa yang mereka harapkan itu hanyalah sangkaan belaka.

Fakta, kemajuan sains dan teknologi yang menolak kewujudan elemen ghaib serta matra-matra terlindung  sebenarnya merupakan satu bentuk pemikiran yang terhad serta mempunyai sempadan haus intelek yang sangat dekat. Kemajuan pemikiran di dalam bentuk sebegini akan segara haus lalu meninggalkan ruang-ruang kosong yang lebih luas yang tidak diteroka. Sedangkan apa yang dipercayai mereka sebagai puncak kepada matangnya pemikiran itu sebenarnya mengehadkan keupayaan sebenar yang lebih luas yang boleh dicapai manusia.

Jadi, hanya manusia-manusia pemikir yang beriman dengan perkara-perkara ghaib sahajalah yang menjadi harapan dan sandaran untuk umat manusia terus maju setelah manusia dari golongan mata zahir telah mencapai kehausan intelek. Perbatuan intelek mereka-mereka yang beriman kepada perkara ghaib sentiasa jauh dan maju ke depan. Lihat sahaja senarai mereka yang memenangi hadiah Nobel sains. Bukankah kebanyakan daripada mereka mengkaji perkara-perkara yang tidak tercapai oleh capaian indera yang panca oleh umat manusia biasa. Saya pernah menulis tentang perkara ini dalam penulisan bertajuk “Seeing Is Believing,” (Klik siniuntuk membacanya.)


Suratkhabar pada pagi ini memaparkan satu lagi bentuk produk kepada hilangnya keupayaan minda kerana segolongan manusia telah diprogramkan untuk menyembah Tuhan di dalam cara yang hanya akan menguntungkan orang tengah yang cuba menjadi perantara antara manusia dengan Tuhan. Satu aplikasi telefon mudahalih telah dicipta di Taiwan bagi membolehkan manusia berhubung serta mendapatkan khidmat nasihat dan panduan daripada tuhan atau dewa-dewa ketuhanan. Mereka faham bahawa manusia itu sentiasa di dalam setiap masa dan ketika memerlukan panduan untuk memahami serta menempatkan sisi kahadiran mereka di dunia ini. Dasar paling dalam di dalam hati setiap manusia sentiasa tercari-cari jawapan kepada persoalan kenapa mereka ditempatkan ke dunia ini dan perlu menghadapi setiap perkara yang dilalui di dalam kehidupan. Kehidupan ini sebenarnya menyesakkan bagi manusia-manusia dengan hati yang tidak terisi dengan santapan kerohanian yang tepat dan benar. Maka, atas kelemahan manusia-manusia ini, aplikasi telefon tersebut dicipta dan dijangkakan mereka bakal mendapat sambutan. Cuma, apa yang malang bagi mereka-mereka yang menggunakan aplikasi tersebut ialah, mereka tidak mengetahui bahawa semua panduan serta sumber ketenangan hati tersebut boleh diperolehi mereka tanpa sebarang caj dan menggunakan alat telekomunikasi canggih yang mahal harganya. Kasihan kepada mereka-mereka yang miskin dan papa sekiranya tuhan hanya boleh dihubungi dengan aplikasi serta telefon-telefon tertentu dan hanya memakbulkan doa ditempat-tempat tertentu sahaja. Begitu juga perasaan kasihan ini kepada mereka-mereka ini yang pada ketika ini merasakan diri serta kelihatan mampu untuk memiliki alat hubungan dan menggunakan sistem komunikasi tersebut. Mereka pada suatu hari nanti akan terbeban dengan kos naiktaraf dan kos perkhidmatan telekomunikasi yang sentiasa mendaki puncak harga perkhidmatan yang diberikan mereka. Bagaimana dengan panduan serta keadaan mereka apabila tuhan mengenakan caj tambahan untuk berhubung dengannya? Satu penulisan saya yang pernah dimuatkan di sini pernah menyentuh perkara tersebut apabila melihat objek-objek yang digunakan di dalam ritual ibadat-ibadat tertentu dinaikkan harga sebanyak 40% kerana kos bahan mentah telah meningkat. Bila Tuhan Mengenakan Caj Tambahan merupakan penulisan yang boleh dicapai di sini.(Klik)

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), “Aku itu dekat”. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al Baqarah: 186)

Syukur kepada Allah kerana melahirkan kita serta menjadikan kita sebagai umat Islam. Kita tidak memerlukan telefon, kredit panggilan atau aplikasi-aplikasi tertentu untuk menghubungkan kita dengan bantuan Allah. Kita tidak dibebankan dengan keperluan memiliki peralatan komunikasi canggih semata-mata untuk mendapatkan hidayah dan petunjuk jalan dari Allah Yang Maha Esa. Siapa sahaja kita dan di mana jua kita berada, Allah sentiasa dekat mendengar dan memahami apa yang hamba-hambaNya yang dikasihiNya perlukan.

Setiap doa kita akan dimakbulkan dan Allah sentiasa memakbulkan doa kita dengan memberikan kepada kita apa yang kita perlu dan bukanlah apa yang kita mahu. Saya pernah menulis tentangnya di dalam Syahadah Gadis Ateis berkenaan analogi galah dan buah. Saya juga pernah menulis catatan ringkas tentang Allah memakbulkan setiap doa kita dengan memberikan kepada kita apa yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu di dalam penulisan bertajuk  "Jangan Sesekali Berputus Asa.' (Klik sini untukmembacanya.)

Kita simpati kepada mereka-mereka yang mungkin benar-benar percaya kepada kewujudan Allah tetapi masih mencari-cari jalan yang boleh mempertemukan mereka dengan Tuhan yang sebenar yang mana tiada Tuhan lain melainkan Dia. Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk memperbaiki diri sendiri dan menunjukkan contoh tauladan yang baik supaya cahaya Islam itu terang dan benderang supaya ia dapat menyuluh jalan yang terang kepada mereka-mereka yang teraba-raba di dalam lemas kegelapan .Mereka ini boleh diibaratkan kapal-kapal yang telah lama belayar mencari daratan. ‘Kapal-kapal’ ini cuba mengesan cahaya yang terpancar dari rumah-rumah api yang menunjukkan di mana terdapatnya daratan yang boleh dijadikan tempat berlindung yang selamat. Jadikanlah diri kita seperti cahaya rumah api yang menunjukkan kepada mereka-mereka ini, bahawa dengan mendekati kita, mereka seterusnya akan ketemui Islam. Dengan bertemu dengan Islam, mereka akhirnya bertemu ‘daratan subur’ yang dicari-cari selama ini oleh mereka. Bantulah memperbaiki diri sendiri supaya kita dapat membantu mereka mendekati Islam. Wallahua’lam. 

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda
.

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: