Bismillahir Rahmanir Raheem. Setiap orang melalui pelbagai
liku dan jenis pengalaman dalam cuba memahami kedudukan kita di sisi Allah dalam
agama Islam yang indah ini. Melalui pemerhatian dan sedikit pengalaman, saya
melihat terdapat kecenderungan yang sangat menyesakkan hati dan perasaan
apabila terdapat ramai di antara saudara-saudara seagama dengan kita
menggunakan agama bagi mencapai motif-motif tertentu di dalam kehidupan mereka.
Tidak cukup agama dilacurkan di dalam politik, agama kini sudah mula dilacurkan
sebagai kemestian yang mesti disabitkan dengan segala perkara yang berkiblatkan keuntungan dunia. Ia supaya nanti akan dapat dicarak
benak dan menjadi laris kerana si pembeli dihumbankan dengan perasaan serba
salah jika tidak membeli produk hasil mereka tersebut.
Pengalaman saya di suatu petang yang sangat indah terganggu
dengan perlakuan seorang jurujual kopi merangkap penceramah lantikan sendiri
yang cuba menunjukkan jalan pantas ke syurga hanya dengan membeli kopi yang
dijualnya. Saya seorang yang sangat mudah, mengambil jalan mudah dalam hal-hal
yang seharusnya mudah dan tidak gemar berbicara. Saya sangat selesa ber T Shirt
biasa dan berseluar jeans pada mana-mana tempat dan keadaan. Itu pakaian harian
saya dan saya sangat selesa dengan keadaan ringkas sedemikian rupa. Pernah saya
dileteri oleh seorang teroris masjid hanya kerana cara jawapan yang saya
berikan akibat cara saya berpakaian.
‘Hoi, pakai la elok-elok kalau masuk masjid!’. Saya
tercengang dan terbangang sebentar. Apa masalah lelaki terbabit? Saya keluar menonton wayang
dengan isteri saya pada suatu petang. Terpana dengan garapan M. Night Shmalayn
di dalam Sixth Sense dan Sign, saya mengajak isteri saya menonton filem Lady in
the Water selepas pulang dari kerja. Sewaktu itu, Mifthahul Jannah belum
dilahirkan. 3 tahun berbulan madu, saya dengan bebas membawa kekasih, merangkap
isteri dan teman hidup saya secara halal ke sana ke mari tanpa perlu risau.
Sangat indah berjanjitemu selepas berkahwin. Malah setiap kali saya
membahagiakannya dan membuat dia tersenyum, Allah menyediakan ganjaran pahala
untuk saya diakhirat. Begitu juga dengan dia, dengan membuat saya tersenyum, lapang
dan selesa, kantung pahalanya juga diisi dengan kencang dan deras. Islam itu
mudah, Muslim yang menyukarkannya.
Sampai sahaja di kompleks membeli belah yang menempatkan
Cineplex tersebut, saya terus ke kaunter tiket. Malang, rancangan saya untuk
menonton tayangan 9.30 malam sudah kehabisan tiket. Tiket untuk couple seat tayangan tengah malam juga sudah habis
dijual. Hanya tayangan pada jam 7.30 malam masih berbaki. Saya berkira-kira
samada mahu meneruskan niat menonton atau pun tidak. Ini kerana waktu maghrib
sangat singkat dan permulaan filem tersebut dimulakan pada awal maghrib.
Teroris Masjid
Akhirnya setelah berkira-kira, saya ambil keputusan membeli
tiket tayangan 7.30 malam. Oleh kerana surau di kompleks membeli belah itu
tidak menyediakan ruang yang selesa bagi jemaah perempuan, selesai mendapatkan
tiket, terus saya mengajak isteri saya ke masjid berdekatan untuk bersolat
maghrib. Lebih baik terlepas permulaan filem dari terlepas bersolat. Habis
berjemaah hampir jam 7.45 malam. Terus saya berjalan keluar dari masjid.
Tiba-tiba saya ditegur secara kasar oleh seorang jemaah hanya kerana saya
berseluar jeans dan ber t-shirt biasa.
Saya tanyakan kepadanya dimanakah salah saya? Dia berkata
saya berpakaian seperti orang barat di tempat yang mulia. Saya nyatakan
kepadanya bahawa apa yang saya pakai ini merupakan pakaian terbaik saya kerana
saya memakainya untuk keluar berjanjitemu dengan isteri saya. Jadi pakaian
terbaik ini jugalah yang saya pakai untuk menghadap Allah dalam keadaan dan
situasi perancangan saya untuk menonton wayang. Dia masih tidak berpuas hati
kerana saya menjawab balas. Saya menyatakan bahawa saya ada membawa sepasang
kain pelikat dan baju melayu sebagaimana biasa di dalam kereta. Ianya bagi
tujuan bilamana pakaian yang saya pakai, tidak saya yakini pakaian itu bersih.
Jadi dalam keadaan situasi pada Maghrib tersebut, pakaian yang saya pakai masih
baru dan saya yakin ianya tidak kotor, jadi buat apa saya membuang masa
menyusahkan diri sendiri sedangkan Allah telah memberikan jalan termudah bagi Muslim
untuk datang menghadapNya. Berpakaian bersih, menutup aurat, tidak mengganggu
dan seharusnya yang terbaik sudah cukup.
Tetapi lelaki terbabit masih lagi berkeras dengan mengatakan
saya berpakaian seperti tidak
menghormati masjid. Saya tahu ilmu agama saya tidak tinggi dan saya juga tahu
bahawa saya tidak tahu di dalam banyak lagi perkara di dalam kehidupan
sepertimana orang lain.
Untuk perkara-perkara yang saya tidak tahu, saya lebih
suka mendiamkan diri dan berterus terang saya tidak tahu, tapi bagi perkara
yang saya tahu, saya akan cuba melakukannya dengan sehabis baik.
Tidak berpuas hati dengan lelaki tersebut saya menyatakan kepadanya bahawa apa yang saya
pakai ini tidak ada salahnya. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengenakan
pakaian berupa jubah Rom dan beberapa jubah lagi yang tidak berasal dari tanah
Arab. Jadi apa salahnya saya ‘berjubah Rom’ juga kerana itulah paling selesa
dalam situasi sedemikian.
Tidak menjawab hujahan saya, dia menutup bicara
dengan kata-kata berikut. “Apa pun ana sudah menjalankan tanggungjawab ana untuk menegur anta.” Perghhhh! Terbaiklah. Niat dihatinya memang sangat bagus,
tapi pelaksanaan perbuatannya amat menyakitkan hati.
“Terima kasih Encik Ana.”
Hanya itu jawapan termampu saya berikan dengan sedikit rencah sinis.
Sunnah Rasulullah pada objektif pelaksanaannya sentiasa
disalah tafsir oleh golongan yang pada niat mereka yang mencintai baginda dengan
hanya menyalin perlakuan tanpa memahami objektif pelaksanaannya. Tidak salah
untuk ber’ana’ dan ‘anta’ dikalangan mereka yang berlidah
Arab. Sedangkan intipati sunnah perbicaraan Rasulullah s.a.w. sentiasa
menekankan supaya kita berbahasa dengan betul serta terbaik di dalam lidah
ibunda kita. Jika bercakap sesama Arab, pastikan kita bercakap dengan cara yang
terbaik di dalam berbahasa Arab. Tiada siapa dapat menyangkal penutur bahasa
Arab terbaik ialah Rasulullah s.a.w. itu sendiri. Baginda tidak menggunakan
‘Aniy’atau ‘Anokhy’ sebagai ganti ‘Ana’ ketika membahasakan diri baginda sewaktu
dikunjungi delegasi ahli kitab. Begitu juga ketika baginda mahu mengutus
sahabat baginda kepada ahli kitab, diarahkan baginda Zaid bin Haritsah untuk
mempelajari bahasa ahli kitab supaya memudahkan urusan dakwahnya kepada mereka.
Pepatah Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Sunnah yang seharusnya mudah sebegini pun dikelirukan pemahaman perlaksanaannya.
Jadi, dikalangan orang-orang Melayu yang mempunyai lidah
ibunda bahasa Melayu, sedapatnya berbicaralah dengan menggunakan tatabahasa
Melayu sebaik mungkin. Itulah sunnah Rasulullah s.a.w. pada objektif
perlaksanaannya dan bukan pada permukaan perlaksanaan sesuatu sunnah terbabit. Jika
berada dikalangan rakan-rakan yang fasih berbahasa Arab atau Inggeris atau
Mandarin, tiada salahnya untuk bercakap di dalam bahasa itu untuk mengukuhkan
penguasaan pertuturan. Cuma apabila berada pada zon di mana subjek dihadapan
anda tidak berkongsi kehebatan anda berbahasa asing, perlulah anda kembali
berpijak di bumi yang nyata untuk mengamalkan sunnah Rasullullah s.a.w. dalam intipati
pelaksanaannya yang sebenar. Sunnah baginda di dalam adab pertuturan pada intipati
perlakuan baginda ialah dengan bertutur bahasa ibunda dengan lisan yang
cemerlang dan sentiasa bercakap dengan subjek di dalam bahasa yang paling
selesa difahami keduanya iaitu si penutur dan subjek yang mendengarnya.
Setelah disergah En. Ana, separuh jiwa saya hilang untuk
tersenyum. Sakitnya hati itu terbawa-bawa sehingga sedikit sebanyak merosakkan
mood janjitemu dengan isteri saya hari itu. Ditambah pula filem yang ditonton
agak membosankan. Lady In The Water
nyata antara garapan terburuk M. Night Shmalayn. Isteri saya tertidur dalam
separuh perjalanan filem yang sangat membosankan itu. Mungkin petanda hilang
hala tuju kreatif itu bermula selepas filem the
Village. Tidak seperti Sixth Sense
dan Sign. Atau mungkin dopamine di dalam otak saya sudah tidak
lagi menjanjikan ganjaran-ganjaran yang cemerlang yang mungkin boleh dirasai
dengan garapan M. Night Shmalayn. Lalu apabila ternampak sahaja namanya di
belakang tadbir filem Happening dan The Last Air Bender, bajet menonton
wayang itu ditukarkan kepada sesi menikmati pasembur di Padang Brown, Dato’
Keramat, Pulau Pinang. Orang-orang Tanjung menggelarkannya Padang Brom. Dari
mana asal deviasi nama itu saya tidak
tahu. Tetapi itulah yang digelarkan oleh orang-orang kampung saya di Tanjung. Sejak
dari kecil lagi, itu antara tempat kegemaran makcik-makcik serta sepupu-sepupu
saya. Lebih murah dan lebih sedap dan masih terasa di lidah baki keaslian
pasembur Pulau Pinang di situ berbanding Padang Kota. Entah kenapa orang-orang
luar Pulau Pinang bertumpu di Padang Kota sedangkan orang-orang Pulau Pinang
sendiri semakin ramai tidak lagi ke situ.
Teori Evolusi
Pasembur
Pulang ke kampung sesekali, topik ini terkadang menjadi
topik perbualan. Orang Tanjung, subjek kegemaran mereka di dalam butir bicara
biasanya mengorbit seputar topik makanan, politik dan cerita lawak. Apabila
saya ajukan pertanyaan apa yang berlaku kepada sesetengah kedai Nasi Kandar dan
pasembur di sini, lalu salah seorang sepupu tertua saya cuba bertindak seperti
Charles Darwin dan Alfred Russel Wallace. Dia mengemukakan teori Evolusi
Pasembur. Teorinya menyentuh mengenai deria rasa orang-orang Tanjung yang
terbiasa semenjak lahir dengan makanan yang diperkayakan dengan rempah ratus
yang dirancukan sehingga membangkit rasa pedas dan panas di dalam makanan.
Bentuk makanan yang wujud dalam bentuk asalnya sebelum ini kurang digemari oleh
orang-orang luar Pulau Pinang. Jadi untuk memboleh makanan seperti nasi kandar
dan pasembur ini dinikmati oleh orang-orang Tanjung dan luar Tanjung, satu
titik tengah di dalam sentuhan rasa dicari dan kemudian dihasilkan. Maka
jadilah rasanya tidak terlalu pedas akibat rempah dan tidak terlalu pudar warna
rasanya. Betul-betul ditengah-tengah. Cuma terkadangnya pendukung evolusi itu
melangkah lebih jauh dari titik tengah yang seharusnya disentuh. Maka jadilah
sepertimana kes-kes kedai-kedai Nasi Kandar dan Pasembur tidak lagi menarik
untuk dikunjungi orang-orang Tanjung. Tetapi tidak semua orang mempunyai deria
rasa yang sama. Untuk memaksa orang menerima apa yang kita sahaja mahu, itu
perbuatan melampau dan tidak dapat meraikan perbezaan yang Allah s.w.t. ciptaan
ke atas keinginan-keinginan manusia yang berbeza. Berbeza itu turut indah
apabila dunia diwarnakan dengan kepelbagaian corak dan rasa. Cuma mungkin jika
ada di antara tuan-tuan mahu ke Pulau Pinang dan merasa bagaimana rasa pasembur
yang masih dekat dengan rasa lamanya sebelum atau diperingkat awal evolusi
perubahan rasanya, bolehlah mencuba Pasembur yang disediakan di Padang Brown.
Sampai Pulau Pinang, tanyakan di mana letaknya Padang Brom. Ia cuma dibuka
bermula lewat petang hingga ke tengah malam.
Teori Sentuhan Rasa
Pertama
Isteri saya pula mempunyai perbezaan pendapat tentang apa
yang saya rasakan berlaku kepada makanan-makanan tradisi Pulau Pinang. Dia
menyatakan lain orang, lain minat dan kegemaran rasanya. Kebiasaannya,
seseorang itu akan mula membuat perbandingan dengan apa jua perkara atau
makanan yang pertama kali dicuba dan dirasakan sedap.
Bagi yang biasa menikmati Nasi Kandar di Kuala Lumpur, dan
pertama kali pula mereka merasakannya di sana dan mendapati ianya sedap, maka
setiap kali mereka memasuki mana-mana restoran Nasi Kandar, mereka akan segera
membuat perbandingan dengan apa yang pernah mereka rasakan pertama kali dulu.
Sama juga kesnya dengan kebanyakan orang-orang Tanjung yang tidak gemar menjamu
selera di kedai-kedai Nasi Kandar di luar Pulau Pinang. Mungkin kerana rasa
pertama yang melekat di minda mereka menjadi pusat rujukan yang sentiasa mereka
gunakan sebagai rujukan bagi menentukan tahap kesedapan sesuatu hidangan itu.
Lantas Teori Sentuhan Rasa Pertama yang dikemukakan isteri
saya kelihatan lojik dan menjadi pelengkap kepada teori evolusi pasembur sepupu
saya. Ia segera mengingatkan saya kepada sebuah filem animasi Ratatouille di
mana watak Anton Ego, si pengkritik restoran, segera dibawa merentas masa di
dalam sebuah kenangan yang membuai emosi semasa zaman kanak-kanaknya selepas
merasai Ratatouille yang disediakan Remy, si Chef Tikus. Tentu sahaja
Ratatouille yang paling sedap yang pernah dinikmati Anton Ego, merupakan
Ratatouille pertama yang disediakan ibunya sendiri. Tanyakan sesiapa sahaja,
apakah makanan yang paling sedap yang pernah dirasakan mereka? Saya percaya
lebih 2/3 akan segera menyatakan masakan yang disediakan ibu mereka sebagai
yang paling sedap dan tiada galang ganti. Walaupun hanya berlaukkan kicap dan
ikan masin, masakan ibu itulah yang paling sedap. Ratatouille garapan Brad Bird
ini seolah membenarkan teori sentuhan rasa pertama isteri saya.
Mengharap Syafaat
Secawan Kopi
Jika tidak menghabiskan hujung minggu bersama keluarga ibu
saya, saya akan membawa isteri saya pulang ke rumah keluarganya. Kalau boleh
sekerap mungkin. Tetapi kesibukan kerja mengehadkan perancangan tersebut kepada
jadual yang hanya boleh disusun sebanyak dua kali sebulan.
Selepas kelahiran Mifthahul Jannah, kebiasaan aktiviti pagi
selepas matahari terbit di kampung isteri saya, saya akan menemaninya bermain
di luar rumah sambil saya membaca buku di bawah pokok. Dia akan bermain dengan
sepupu- sepupunya dan anak-anak jiran sambil saya memerhati dari jauh. Saya
tidak pernah membiarkan dia bermain tanpa pengawasan. Jika tidak saya, isteri
dan ahli keluarga yang lain akan memerhatikan. Tiada siapa tahu apa yang
memerhati di luar sana. Sekurang-kurangnya kehadiran orang dewasa yang dekat
dan rapat memberikan satu indikasi kepada ‘dubuk-dubuk’ pemangsa di luar bahawa
kanak-kanak ini sentiasa diawasi oleh ‘sang gembala’.
Lalu pada suatu hari sedang saya menikmati peluang membaca
buku dengan rasukan bauan pohon-pohon hijau dan rumput dan segar di waktu pagi,
datang seseorang menyapa.
“Abang suka minum kopi?” sapanya sesudah memberikan salam.
Gayanya berbicara seperti kumpulan nasyid sedang membuat
persembahan. Saya tersenyum lalu mengangguk. Tiada hari dalam hidup saya di
mana hari itu dapat saya jalani dengan kecerdasan fikiran tanpa meneguk
sekurang-kurangnya secawan kopi. Malah semua penulisan di dalam blog ini jika
dihidu dengan dekat, ianya disalut bauan kopi yang menemani setiap penulisan
bersama alunan muzik keras supaya akal memberikan tumpuan. Tanpa muzik keras,
pergerakan saya sedikit perlahan kerana akan sentiasa terganggu dengan
bisikan-bisikan akal yang cuba mengalihkan tumpuan.
“ Abang pernah cuba kopi ini?” lalu dia menghulurkan sepaket
kopi, produk keluaran bumiputera. Alhamdulillah, usaha tersebut mengisi fardu
kifayah. Jika dahulu, agak susah untuk mendapatkan kopi keluaran umat Islam di
gedung-gedung membeli belah kecuali kopi cap Hang Tuah dan beberapa jenama lain.
Tetapi kopi yang dibuat secara komersil tidak sesedap kopi-kopi buatan
orang-orang kampung yang mempunyai sentuhan peribadi. Hitam, pekat dan pahit,
itu sudah cukup merawat ketagihan kopi saya ini.
“Belum pernah adik.” Jawab saya ringkas. Satu jawapan yang
sangat silap untuk pertanyaan mana-mana jurujual. Ibarat membuka pintu air di
bendang, saya mendapat ceramah percuma pagi itu. Dia menceritakan kelebihan
kopi ini yang diperbuat dari biji-biji kopi yang terpilih dari ladang yang
terbaik serta melalui proses menggunakan teknologi-teknologi terkini. Mendengar
dia berleter mahu menjual produknya, baru saya dapat faham kenapa Flying Dutchman
dengan pantas menghantar kembali Spongebob Squarepants setelah bertekad untuk
memperhambakan Spongebob di dalam Davvy Jones Locker buat selama-lamanya. Mr.
Krab menjual pekerjanya yang setia hanya dengan harga 62 sen kepada Flying
Dutchman untuk diperhambakan. Sepatutnya perhambaan di dalam Davvy Jones Locker
itu berlangsung selama-lamanya. Tetapi Flying Dutchman tidak dapat bertahan hatta
untuk dua minit dengan butir pertanyaan Spongebob yang tidak henti-henti
seperti bertih jagung. Ia terdapat di dalam episode Born Again Crabs dalam siri
Spongebob Squarepants. Saya tersenyum kepada jurujual itu kerana teringatkan
nasib saya yang sama dengan Flying Dutchman tersebut. Episod Born Again Crab boleh ditonton pada pautan berikut (Born Again Crab)
“Maaf adik, abang tak berminat.” Saya cuba mendapatkan masa
saya kembali untuk menghabiskan koleksi novel penulisan H.G. Wells yang sudah
lama saya tangguh pembacaannya. Tetapi dia tidak mahu mengalah. Bagus sekali
semangatnya untuk syarikat yang diwakilinya. Tetapi kesungguhannya itu kurang
bagus kepada masa saya yang saya rasakan amat bernilai.
“Abang tahu tak, pekerja-pekerja yang terlibat mengilangkan
kopi ini, diwajibkan mengambil wuduk pada seluruh sesi pekerjaan mereka?” Entah
rukun membuat kopi mana yang syarikat itu ambil, saya pun tidak pasti. Belum
habis menghadam fakta kemuliaan kopi itu yang disebutkan jurujual terbabit, dia
mengemukakan pula fakta berikut.
“Abang tahu tak yang setiap pekerja yang ditugaskan
memproses kopi ini diwajibkan mendirikan solat sunat terlebih dahulu bagi
memastikan segala aspek fizikal dan rohani pembuatan kopi ini terjamin suci
lagi membawa kemuliaan?”
Aduh, ingatkan ayah pin dan politikus tempatan sahaja yang
menjaja agama bagi mendapatkan keuntungan dunia. Kini pengilang produk komersil
juga turut menumpang semangkuk. Sejak bila pembuatan kopi memerlukan rukun
wuduk dan solat sunat, sesungguhnya saya tidak pasti akan perkara tersebut.
Lalu pertanyaan berikut saya ajukan kepada jurujual tadi.
“Wuduk dan solat sunat tu untuk apa adik?”
“Ia supaya memastikan produk yang dihasilkan syarikat kami
benar-benar halal dan suci?” jawabnya dengan penuh yakin.
“Bagaimana dengan niat, apakah ia dilakukan kerana Allah,
kerana mahu mensucikan produk, atas arahan majikan atau kesemuanya sekali atau
salah satu daripadanya?” giliran saya pula menjadi ramah seperti Spongebob.
“Kerana Allah Abang,” Jawabnya dengan ketegasan suara serta
karisma seorang Ketua Pengawas sekolah.
“Jadi apa perlunya dihebahkan serta dimasukkan perlakuan ibadah
tersebut di dalam pamphlet dan promosi kopi ini?” Tanya saya lagi.
“Ia bagi memberi keyakinan kepada pengguna-pengguna kami
yang selain dari prosesnya bersih, aspek kerohanian kopi itu turut suci dengan
tindakan pekerja-pekerjanya yang sentiasa berwuduk dan mengamalkan solat sunat semasa
proses penghasilan kopi tersebut,” jawabnya dengan kelihatan bulatan Halo di
atas kepalanya dan sayap kemuliaan berkepak-kepak manja.
“Solat dilakukan atas kerelaan atau atas arahan majikan?”
Tanya saya lagi.
“Atas arahan majikan pada awalnya, dan selepas itu, apabila
terbiasa, lambat laun rasa ikhlas itu akan timbul.” Macam sudah diprogram
dengan set-set jawapan mengikut skema standard.
“Kalau bercuti, diorang solat sunat dan berwuduk setiap masa
tak?” Tanya saya lagi.
“Manalah saya tahu abang? Abang ni banyak tanyalah..,” Dia
mula tidak senang dengan pertanyaan demi pertanyaan.
“Kalau majikan tak suruh, diorang buat tak?” tanya saya
lagi.
“Abang nak beli ke tak nak kopi ni?” Dia hilang sabar.
“Bolehkah niat amal ibadat yang sepatutnya dikhususkan hanya
kepada Allah turut dipersekutukan dengan niat untuk ‘mensucikan’ produk? Lalu
digunakan pula perlakuan amal ibadat itu sebagai dalil untuk menunjukkan produk
itu suci dan dipromosikan betapa mulianya pekerja-pekerja kilang itu dalam
menjaga amal ibadat demi menghasilkan sebuah produk yang hebat ini? Persoalannya
redha siapa yang mereka-mereka ini tagih? Redha Allah atau majikan atau biji
kopi atau pelanggan? Bagaimana pula kalau sabitan semua perbuatan ini
mencampakkan keseluruhan organisasi pembuat kopi terbabit dalam perbuatan
menyekutukan Allah demi keuntungan produk?”
“Abang, kalau ada sepuluh orang lagi macam abang, entah
macam mana la ekonomi bumiputera nak maju?” saya dihukum jumud oleh jurujual
terbabit.
“Dik, Starbuck boleh
hantar berjuta-juta bantuan kepada Zionis tanpa majikan diorang menyuruh setiap
pekerjanya menyembah Menorah setiap hari. Adik perlu ingat, garis antara
menyekutukan Allah dan niat yang pada awalnya dirasakan suci itu sangat halus
dan kelabu. Tak perlu sampai dipaksa semua pekerja melakukan solat sunat dan
berwuduk pada setiap masa demi mengikut S.O.P. penghasilan produk. Apa yang
perlu ialah, majikan sentiasa mengingatkan pekerja-pekerjanya tentang
tanggungjawab mereka terhadap Allah, majikan dan pengguna pada setiap masa.
Berikan ruang kebebasan untuk para pekerjanya mendirikan solat wajib pada
waktunya dan solat sunat pada satu ruang masa yang ditetapkan tanpa sebarang
paksaan. Ia bagi mengelakkan berlakunya kontaminasi terhadap niat yang
seharusnya dipusatkan kepada Allah. Ingat Adik, syaitan menipu manusia melalui pelbagai
cara. Dengan niat yang rosak, rosaklah seluruh perbuatan. Takut nanti pahala yang diharap tidak muncul tepat pada masanya
di hari pembalasan.”
“Abang kalau nak ceramah, pergi masjid!”
Walaupun wajah saya tersenyum dengan balasan jawapannya,
tanpa dia tahu hati saya telah menyeru Doru Giran, si naga Gaban, untuk
menukarkan saya kepada Polis Angkasa Gaban dalam masa 0.05 saat. Don Horror
perlu dimusnahkan. Gaban Z Potong Dua…
Zass! Budak itu a.k.a. Don Horror terbelah dua dalam imaginasi saya.
Padan muka saya dan dia.
“Oklah Dik, maaflah, abang tak mahu bersubahat. Abang nak
baca buku sekejap. Assalamu'alaikum….” Senyuman dilemparkan dengan hati ketawa kecil
membayang budak itu telah selamat dikerjakan Gaban.
Entah apalah nasib, pergi masjid kena halau keluar, duduk
bawah pokok pula kena halau pergi masjid. Benar-benar terasa asing dalam dunia
yang dipenuhi manusia-manusia yang menyatakan hanya diri mereka sahajalah yang Muslim.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda
Salam, apa salahnya pakai T-shirt and jeans.asalkan kedua2nya tk ketat.and tk da perkataan lucah atau pelik yg menyalahi agama tertulis pada baju tu, yg lain ok saja. dnt knw why jeans is considered so non-islamic..in fact dia pratical dan tahan lasak ..
teringat penulisan Mazlan Nordin, kolumnis utusan, org yg tahu cakap org putih terasa lebih intelek, yg tahu cakap arab terasa diri lebih warak...oh my malaysia
Wa'alaikumsalam w.r.t. IndaMarya, Saya pernah bertanya soalan yang sama kepada datuk saya semasa remaja tentang perihal kenapa Jeans sentiasa disabitkan dgn sesuatu yg negatif.
Penjelasan yg diberikannya mudah. Pada suatu ketika dahulu, Jeans hanya dipakai oleh pekerja-pekerja bawahan termasuk bruh kasar yg mengangkat barang di pelabuhan. Kebanyakan dari mereka datang dari latar keluarga yg susah dan sentiasa berada di bawah perintah org lain. Malah ramai antara, tetapi tidak semua, mereka terlibat dgn masalah sosial kerana kebanyakannya merupakan org2 bujang yg ,merantau ke Malaysia kerana mencari rezeki.
Dari situ, Jeans sentiasa disabitkan dgn sesuatu yg tiada kelas dan menunjukkan asal pemakainya dari golongan masyarakat kelas lebih rendah.
Tetapi semua itu kini tidaklagi prktikal. Mgkin sentimen lama dr org dgn pemikiran lama masih sukar dikikis.
Saya sebenarnya tidak tahu samada ada kebenaran disebalik penjelasan Datuk saya itu. Tp. saya dapati penjelasannya agak lojik dan minda saya dpt menerimanya tanpa perlukan lagi soalan tambahan..
Benar kata IndaMarya, jeans itu practical dan tahan lasak.. saya juga selesa dengannya.
mazlan Nordin, seorang penulis yg saya ikuti kolumnya sehingga ke akhir hayatnya..
Quote darinya yang saudara petik tu sangat tepat dan benar refleksi kepada apa yg berlaku kepada masyarakat kita hari ini yg terjajah minda dr pelbagai sudut.
TQ atas petikan tersebut, saya kongsinya di facebook saya..
Seorang sahabat di facebook, Jumaatul Hadi, memberikan gambaran berikut kepada kisah En. Ana di atas.. perbuatannya diumpamakan sebagai 'makan kurma menggunakan tangan kiri'..
Saya mendapati ramai di antara kita juga 'makan kurma dengan tangan kiri' ketika kita merasakan setiap tindak tanduk kita dalam kehidupan seharian dan hubungan kita sesama Islam yang dilakukan dgn cara yg salah itu sebagai tindakan Islami dan sebagainya, hanya kerana facade kepada zahir perlakuan itu berada di dalam lingkungan kryptonite minda melayu muslim, tetapi sisi batinnya sangat merosakkan.
saya pernah menghadapi situasi dimana saya ingin solat di surau supermarket.. dlm surau tsebut saya melihat telekung hny tinggal kainnya shj.. memandangkan pakaian atas saya menutup aurat ttp bahagian dada agak ketat krn baju blouse bergetah.. sy dgn tawakal mohon agar solat saya diterima dgn keadaan yg serba kekurangan tsbt.. sy memakai kain telekung shj sekadar untuk menutup aurat kaki krn x pakai stokin.. ttp sbg manusia sy sedar sy diperhatikan oleh wanita lain yg spt mempertikaikan solat saya hny krn keadaan itu yg serba kekurangan..
Hasanah, Biasanya saya akan sediakan pakaian gantian sekiranya pakaian yg sedang dipakai itu tidak sesuai untuk dibawa mendirikan solat.. saya percaya Hasanah juga berbuat demikian, cuma di dalam sesetengah situasi itu, perkara2 diluar jangka terkadang berlaku sehingga apa yg berlaku kepada Hasanah di dalam ruang solat wanita itu mewujudkan rasa tidak senang jemaah..
Mgkin mereka tidak faham dgn situasi genting yg dihadapi pd masa dan ketika itu.. tetapi usaha untuk istiqamah menjaga solat pada waktunya harus dipuji.. cuma mungkin di masa2 lain, kita boleh menggunakan pengalaman seperti ini sebagai panduan dan pengajaran..
Psikologi manusia, mereka akan berasa kurang senang dgn sesuatu yg dilihat diluar konteks adat biasa sesuatu tempat itu.. mungkin persediaan yg lebih baik boleh dibuat supaya situasi yg tidak menyenangkan kedua2 pihak dapat dielakkan pada masa hadapan..
Saya juga biasa pada mengalami situasi yg lebih kurang sama.. salah satu drpdnya ialah kisah berhadapan dgn En. Ana di atas.. kita perbaiki apa yg belum sempurna dan perindahkan yg sudah sempurna..
Askm...segala puji bagi Allah Tuhan yg membekalkan ilham kepada tuan utk terus-menerus berkongsi pendapat dgn kami semua...tuan pengalaman tuan berjumpa dgn mrka2 yg sy labelkan sebagai tin2 kosong...(kuat bunyinya...klu penuh berisi...sudah tentu bunyinya kurang menjengkelkan...) Pemuda di masjid yg menegur tuan itu nampaknya terlupa pula untuk mengamalkan sunnah Nabi dlm menutur kata..apabila dia menyakitkan hati seorang muslim..muslim yg baik pula tu... Pemuda kopi td nampaknya tidak berwuduk ketika itu(& mungkin juga terlupa solat sunat) kerana setan mudah membuatkannya hilang sabar kepada seseorang yg amat bersabar melayan sales talk aka dakwah kopinya yg semakin lama semakin tuan membuatkn dia sedar akan kebatilan dakwah td...sememangnya dia bukan seorang jurujual yg baik kerana menemplak prospek...dan sememang pemuda di mssjid itu td juga gagal sebagai pendakwah! Teruskan usaha dakwah tuan, mengenali hati budi tuan, mata sy berkaca lewat membaca artikel ini..wallahualam
Wa'alaikumsalam sahabat Rizal Hass, Mcm yg tuan sendiri sebut dalam sidang meja Char Kuew Teow di SP sebelum ni, ada ketikanya kita terpaksa membiarkan orang2 spt ini utk mengelakkan konflik. Tetapi tanggungjawab utk memperbetulkan perlu masuk melalui jalan lain spt yg tuan sebutkan..
Saya setuju dgn pendapat pd malam itu.. Allah mempunyai perancangan dan kita pula dipentas cuba memainkan peranan serapat mungkin dgn redhaNya.. Semua segala apa yg tuan usahakan diberikan Allah kepada tuan sekiranya itulah yang terbaik utk tuan dan semoga Allah menjauhkan segala apa yg tidak baik untuk tuan dan masa depan tuan.. Ameen..