Oleh Imran Haaz/M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem..
Ketika barat sibuk meneropong serta mewar-warkan
kepada dunia akan nasib ‘malang’ untuk insan-insan yang digelarkan sebagai
muslimah, mereka sentiasa terlupa akan kedudukan cermin yang lebih dekat dengan
rumah mereka sendiri untuk disuluh.
Bagi mereka, wanita Islam merupakan
manusia-manusia yang tertindas hanya kerana mereka memilih untuk mengikut
kehendak Allah dan mengenepikan kehendak manusia terutamanya golongan lelaki. Mereka
hanya akan mematuhi kehendak manusia apabila ia merupakan arahan Allah untuk
mereka berbuat demikian. Mereka menolak kehendak manusia apabila Allah
mengarahkan mereka berbuat demikian. Menutup aurat bagi gerakan liberasi dan
feminisme barat merupakan satu simbol penindasan. Tetapi mereka gagal memahami
liberasi dan emansipasi kepada keupayaan wanita yang dicetus dengan peraturan
aurat ini.
Saya telah menjelaskan contoh emansipasi atau
gerakan pembebasan muslimah melalui peraturan aurat ini di dalam Syahadah Gadis
Ateis. Olahan dari sumber yang sama telah saya muatkan di dalam bentuk artikel
di dalam blog ini pada 2007 di bawah tajuk Aurat Muslimah : Penindasan atau
Pembebasan. (Klik sini untuk membacanya)
Selain dari hujahan mereka mengenai peraturan
aurat yang dikatakan menindas wanita-wanita muslimah, mereka tiada hujahan lain
yang boleh dijadikan sandaran untuk memberikan mereka legitimasi kepada apa
yang cuba diusahakan mereka bagi memesongkan pemikiran golongan muslimah. Hanya
wanita-wanita bernama Islam tetapi mempunyai keupayaan pemikiran yang lemah
sahaja akan terpedaya dengan dakyah yang direkasaya serta diadunkan secara
separuh masak. Saya amat tertarik dengan petikan tulisan saudari Juwita di
dalam blog peribadinya, apabila dia menyatakan seperti berikut :
Bila kita berhijab, kita ada kuasa untuk memilih. Kita
memilih untuk menjaga diri kita, rambut kita dari pandangan orang yang tidak
berhak memandangnya. We cover our head, not our mind.
Ketika wanita-wanita yang terasuk puaka liberasi
barat sedang sibuk mengepit kaki kerana takut seluar dalamnya diintai semasa
sedang makan dengan memakai skirt pendek, ketika wanita yang terasuk puaka
liberasi barat sedang makan dengan sebelah tangan, kerana sebelah lagi tangannya
sibuk membetulkan bajunya yang singkat yang dia mahukan supaya baju itu mampu menutupi
bahagian punggungnya yang ditutupi jeans dengan cawat super low-cut, ketika
wanita-wanita yang dirasuk puaka liberasi barat dalam keadaan teragak-agak dan
takut untuk membeli sayur kerana takut ketiaknya yang sedikit hitam itu diintai
disebabkan dia memilih untuk memakai baju tanpa lengan, wanita-wanita muslim
yang menutup aurat bebas makan di mana sahaja tanpa perlu risau akan mata-mata
yang memerhatikan aset mereka tanpa mendapat keizinan. Mereka mempunyai hak
untuk memilih siapa boleh melihat apa pada diri mereka mengikut syariat.
Mereka bebas
dalam erti kata yang sebenar tanpa perlu takut kepada pandangan lelaki. Aurat
dijaga, kebersihan dan kecantikan diri turut dijaga, cuma bezanya, mereka
ibarat permata mahal yang tersimpan kemas di balik kaca pameran. Permata yang
hanya boleh dilihat dan disentuh oleh mereka-mereka yang sanggup mengorbankan
jiwa dan raga, hidup susah dan senang dengan mereka, dari saat mereka masih
cantik dan kekal cantik di mata pasangannya ke akhir hayat mereka. Mereka ini
telah diselamatkan Allah dari diperlakukan seperti barangan yang dilonggokkan
di tepi-tepi jalan oleh peniaga-peniaga kaki lima. Mereka diselamatkan dari
menjadi seperti barangan yang boleh dilihat, disentuh dan diusik-usik oleh
sesiapa sahaja. Melayu, Cina, India, Bangla, Vietnam dan segala macam rupa
manusia bebas untuk meneliti dan mengambil nikmat percuma menilaikan mereka
tanpa mereka mempunyai kuasa untuk menghalangi. Hak mereka untuk berkata tidak
telah pun mereka serahkan dan kuburkan. Tiada apa-apa lagi yang ada pada mereka
yang boleh ditafsirkan sebagai hak untuk mengelak diri dari diperhatikan kecuali
terpaksa rela di dalam keterpaksaan.
Teringat pula saya dengan hasil seni seorang
sahabat, Rizal Hass, yang pernah dia pamerkan. Dia meluahkan seperti berikut:
Tengok
atas nampak bawah, tengok bawah nampak atas ..
Bila ditanyakan apa yang mencetuskan getusan
rasa sehingga ayat-ayat itu diluahkan, dia hanya merujuk kepada ceritanya
menuju sebuah premis perniagaan di KLCC. Menaiki escalator, tidak boleh pandang
atas, nanti nampak apa yang ‘di bawah’. Turun escalator tidak boleh memandang
ke bawah, nanti ternampak apa yang ada sepatutnya tertutup tapi terdedah
dibahagian ‘atas’. Pernyataan itu telah dimuatkan di dalam sebuah penulisan bertajuk Aku Cari Kamu. Rizal Hass, seorang sahabat, jiran sebelah meja di sekolah dan
rakan bersembang yang boleh diajak beragumentasi tentang ideologi, falsafah dan
perbandingan agama sejak usia kami di dalam belasan tahun. Blog sajak dan puisinya telah
diresusitasikan sejak awal tahun lalu, dan blog Islam1stnya, telah
direinkarnasikan baru-baru ini.
Begitulah gerakan liberasi feminisme barat, satu
jari bengkok dituding kepada pihak Islam, beratus jari berbalik tuding kepada
mereka. Jika para sahabat mengikuti penulisan di blog satuhala ini sejak dari
2007, anda akan memahami apa yang saya maksudkan ratusan tudingan jari kembali
kepada mereka.
Penulisan kali ini akan menjelaskan tentang
salah satu fakta yang saya gunakan di dalam dialog yang dilangsungkan dengan
Timbalan Pengarang Akhbar berbahasa Inggeris yang menjadi sayap media agen kepada
agen gerakan dajjal di Malaysia ini. Dialog saya dengan pihaknya berpunca dari
persembahan Beyonće yang mahu dibawa masuk ke negara pada 2009.
Dalam pertukaran dialog tersebut, saya ada
menyebut bahawa orang-orang Islam tidak menolak Beyonće atas kapasiti dia
sebagai insan, tidak menolak dirinya atas kecintaannya terhadap seni muzik dan
tidak menolak dia sebagai wanita barat, malah sebagai orang Islam,kita hanya menolaknya kerana
representasi dirinya di sini membawa bersama imej dan penindasan kejam dunia
liberasi feminisme barat ke atas wanita. Beyonće adalah simbol dan representasi
kepada penindasan ini.
Muslim tidak menentang perjuangan hak asasi manusia di barat selagi hak yang diperjuangkan itu tidak bercanggah dengan had yang telah disempadankan Allah sebagai hak yang boleh dikecapi dan dinikmati setiap manusia. Setiap satu perkara mempunyai sempadannya. Yang menjadi masalah ialah apabila mereka melanggar sempadan yang telah ditetapkan, dan menggunakan pelanggaran sempadan itu untuk memaksa muslim pula untuk tunduk kepada kehendak mereka yang tidak mendapat petunjuk. Itulah titik permulaan yang memisahkan sokongan Muslim ke atas perjuangan mereka. Muslim boleh bersama mereka di dalam perjuangan bagi memelihara alam, memberikan hak untuk hidup kepada setiap manusia dan pelbagai perjuangan hak yang lain yang berada di dalam sempadan yang digariskan Allah melalui al Qur'an dan sunnah.
Muslim tidak memandang barat sebagai musuh secara total. Tetapi mereka dianggap sebagai lawan apabila mereka cuba membawa pemikiran serta perlakuan yang merosakkan ke atas sistem dan umat Islam itu sendiri. Banyak perkara serta perjuangan yang baik juga berasal dari barat. Mereka telah memainkan peranan yang seharusnya dimainkan oleh orang-orang Islam setelah orang-orang Islam sibuk bergaduh sesama sendiri. Muslim juga bagi saya seharusnya mencontohi semangat dan ketekunan orang-orang barat di dalam kehebatan mereka di dalam bidang ilmu dan penghasilan teknologi. Benar mereka telah meniru sikap orang-orang Islam yang ditemui mereka sebelum zaman Renaissance. Lalu, sunnah sikap orang-orang Islam terhadap ilmu ditiru mereka dan digigit mereka dengan gigi geraham. Sayang sekali apabila orang-orang Islam meninggalkan sikap terbabit dan menumpukan perhatian kepada bergaduh sesama sendiri. Dalam banyak keadaan, keadaan, sikap serta peribadi orang-orang barat lebih terpuji berbanding sikap sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia.
Tetapi itu semua bukanlah memberi legitimasi kepada mereka untuk memaksa orang-orang Islam menerima nilai-nilai serta perkara-perkara yang melampaui had dan sempadan yang telah ditetapkan Allah dan RasulNya. Ini kerana orang-orang Islam yakin bahawa dengan berbuat demikian, perkara itu hanya akan mencampakkan mereka ke dalam lembah kehancuran dan kerosakan yang tidak terubat. Disitulah kelemahan perjuangan hak asasi barat. Mereka tidak tahu di mana had sempadan hak dan setakat mana hak-hak asasi itu boleh diperjuangkan.
Kerana itulah, tidak cukup dibogelkan demi sesuap nasi, wanita
barat di dalam emansipasi yang dikejar-kejar mereka ditindas di dalam setiap
aspek dan sudut pandang diri mereka. Bermula dari hari mereka dilahirkan
sehinggalah kepada hari di mana mereka menghembuskan nafas terakhir, mereka
sentiasa ditindas tanpa mereka sendiri sedar. Jadi tidak hairanlah apabila
revert yang kembali kepada agama Islam di negara barat, lebih ramai wanita dari
lelaki. Lebih ramai wanita di barat tertarik kepada Islam dan memeluk agama itu
setelah memahami bagaimana agama tersebut memberikan hak serta keselamatan
kepada wanita Islam. Jika benar wanita Islam ditindas sebagaimana yang sentiasa
didakwa orang-orang barat, jadi kenapa pula wanita-wanita di barat berebut-rebut
meninggalkan agama mereka yang menjadi asas kenegaraan barat dan memilih untuk
memeluk Islam?
Dalam dialog antara saya dengan Timbalan
Pengarang Akhbar berbahasa Inggeris tersebut, saya ada menyebut tentang hak
untuk memiliki identiti yang dinafikan kepada wanita-wanita di barat dan
mereka-mereka yang cuba meniru sistem mereka. Seorang wanita, semenjak dari zaman
dahulu lagi, telah menjadi satu praktis yang tersebar diluas di negara-negara
barat dan negara-negara yang meniru mereka, apabila mereka mendirikan
perkahwinan, nama keluarga dan nama mereka sendiri yang membentuk identiti diri
mereka akan dipadamkan. Mereka kini setelah mendirikan rumahtangga, akan
dinafikan hak untuk memiliki identiti sendiri dan akan mula dinamakan mereka
atas nama suami dan nama keluarga suami mereka. Seolah-olah mereka itu objek
yang boleh dipindah milik, tanpa mereka mempunyai hak ke atas identiti diri
mereka sendiri.
Ia sama praktisnya dengan apa yang berlaku di
zaman perhambaan orang-orang Kulit Hitam di barat satu ketika dulu. Pada ketika
itu, nama keluarga (surname) mereka
akan diberikan bersandarkan kepada siapa pemilik atau tuan mereka. Jika tuan di
mana ladang tempat mereka diperhambakan ialah Washington, maka nama itu juga
akan diberikan kepada mereka sebagai simbol mereka telah merupakan hak milik
keluarga Washington. Walaupun ada kes-kes tertentu di mana apabila dibebaskan, sebahagian
daripada mereka menggunakan nama keluarga bersandarkan tred pekerjaan mereka
suatu ketika dahulu. Jika dia pernah diperhambakan atas tujuan untuk menjadi
gembala kambing sebelum ini, maka dia mengambil nama Sheperd seabgai nama
keluarganya selepas dibebaskan dari perhambaan. Ada juga yang tidak mahu
menyabitkan nama keluarga mereka dengan sebarang kaitan tentang tuan-tuan
mereka yang dahulu. Lalu nama seperti Freeman dan Freedman diambil. Tetapi praktis
yang meluas pada ketika itu, ialah dengan menggunakan keluarga tuan-tuan mereka
sebagai lambang mereka menjadi objek pemilikan tuan-tuan tanah tersebut.
Begitu juga dengan hak wanita yang berkahwin
untuk mengekalkan identiti mereka sendiri. Mereka tanpa sedar telah dinafikan
hak untuk menjadi diri mereka sendiri dan mengekalkan nama keluarga mereka
sendiri. Tanpa mereka sedar, mereka telah dijadikan seperti objek pemilikan
oleh suami mereka. Tidak ubah sama seperti praktis di dalam sistem perhambaan.
1400 tahun setelah Islam membebaskan para wanita
daripada menjadi objek pemilikan dan barang dagangan, wanita-wanita barat masih
lagi ditindas dengan hak asasi paling asas. Antara hak asasi yang paling asas ialah hak untuk menjadi diri mereka
sendiri. Lihat sahaja petikan akhbar di bawah, apabila Johnny Depp menggunakan
alasan paling tidak munasabah untuk mengelakkan dirinya dari mengahwini
kekasihnya. Dia seolah cuba lari dari mengambil tanggungjawab sebagai suami yang seharusnya akan kekal bersama
isterinya dan melalui kehidupan bersama tidak kira susah dan senang atas alasan yang tidak munasabah.
Johnny Depp menolak untuk mengahwini kekasihnya,
Vanessa Paradis, yang telah bersama dengannya selama 12 tahun hanya dengan satu
alasan, dia tidak mahu nama keluarga kekasihnya Paradis ditukar kepada nama
keluarganya Depp. Ramai di barat sedar tentang perkara ini, tetapi malangnya
gerakan liberasi feminisme mereka terlalu sibuk mengintai dan mencemburui
hak-hak wanita yang dikecapi orang-orang Islam. Lalu mereka memperlekehkan
wanita-wanita Islam tetapi di dalam masa yang sama, mereka melupakan tanggungjawab
mereka untuk membebaskan wanita-wanita mereka dari sistem perhambaan tanpa
sedar.
Lebih pelik pula bila ada orang-orang Melayu
Islam, meniru-niru pula perbuatan pelik ini hanya kerana terkesima dengan
segala yang boleh disabitkan dengan barat dan orang putih. Kasihan mereka.
Dunia mula sedar akan sistem keluarga yang
digunakan secara meluas di barat mempunyai terlalu banyak masalah dan telah
gagal. Maka satu persatu negara yang satu ketika dulu terkesima dengan segala
yang barat dan berwajah Caucassian sehingga ke tahap meniru kebiasaan yang
menjadi amali di barat, kini mula meninggalkannya sedikit demi sedikit dan
mendekati sistem yang lebih dekat kepada sistem kebebasan muslimah Islam.
Lihat sahaja petikan akhbar di bawah yang saya
simpan sejak 2009, apabila negara Jepun terbangkit dari khayal dan mula sedar. Pihak
kerajaan Jepun berusaha untuk mengubah undang-undang yang dikenali sebagai Kod
Sivil 1947 bagi membolehkan wanita-wanita Jepun, apabila mereka berumahtangga
nanti, mereka akan dibenarkan mengekalkan identiti, nama serta nama keluarga
mereka dan tidak lagi dipaksa menggunakan nama keluarga suami mereka setelah
berkahwin. Undang-undang yang menindas hak asasi wanita ini akhirnya akan
dilupuskan dan diubah setelah ianya dikuatkuasakan sejak sekian lama. Walaupun sedar
terlewat lebih daripada 1,400 tahun dari hak yang telah dinikmati sejak sekian
lama oleh wanita-wanita Islam, itu adalah lebih baik daripada tidak sedar
langsung. Malang bagi Vanessa Paradis, dia terpaksa menunggu lebih lama dari
wanita-wanita Jepun untuk gerakan liberasi feminisme barat tersedar dari
lamunan dan basahan mimpi hak asasi tidak ke mana yang mereka perjuangkan,
sebelum Depp mahu menyuntingnya sebagai isteri setelah menangguhkannya atas alasan
yang paling tidak masuk dek akal.
Untung benar menjadi muslimah. Ketika
wanita-wanita lain teraba-raba dalam perjuangan hak mereka, wanita-wanita Islam
sudah lama menghirup udara kebebasan sejak ribuan tahun lamanya.
Agaknya akibat terlalu gembira dengan berita wanita Jepun diberikan hak untuk memiliki identiti menghampiri wanita-wanita Islam, lelaki di bawah ini lantas mengalami kecelaruan dan ingin juga menikmati nikmat-nikmat kebebasan seperimana yang baru diberikan kepada kaum wanita mereka.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.