Tuesday, May 29, 2012

Terlewat 1400 Tahun : Hak Untuk Memiliki Identiti

9
Oleh Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem..

Ketika barat sibuk meneropong serta mewar-warkan kepada dunia akan nasib ‘malang’ untuk insan-insan yang digelarkan sebagai muslimah, mereka sentiasa terlupa akan kedudukan cermin yang lebih dekat dengan rumah mereka sendiri untuk disuluh.

Bagi mereka, wanita Islam merupakan manusia-manusia yang tertindas hanya kerana mereka memilih untuk mengikut kehendak Allah dan mengenepikan kehendak manusia terutamanya golongan lelaki. Mereka hanya akan mematuhi kehendak manusia apabila ia merupakan arahan Allah untuk mereka berbuat demikian. Mereka menolak kehendak manusia apabila Allah mengarahkan mereka berbuat demikian. Menutup aurat bagi gerakan liberasi dan feminisme barat merupakan satu simbol penindasan. Tetapi mereka gagal memahami liberasi dan emansipasi kepada keupayaan wanita yang dicetus dengan peraturan aurat ini.

Saya telah menjelaskan contoh emansipasi atau gerakan pembebasan muslimah melalui peraturan aurat ini di dalam Syahadah Gadis Ateis. Olahan dari sumber yang sama telah saya muatkan di dalam bentuk artikel di dalam blog ini pada 2007 di bawah tajuk Aurat Muslimah : Penindasan atau Pembebasan. (Klik sini untuk membacanya

Selain dari hujahan mereka mengenai peraturan aurat yang dikatakan menindas wanita-wanita muslimah, mereka tiada hujahan lain yang boleh dijadikan sandaran untuk memberikan mereka legitimasi kepada apa yang cuba diusahakan mereka bagi memesongkan pemikiran golongan muslimah. Hanya wanita-wanita bernama Islam tetapi mempunyai keupayaan pemikiran yang lemah sahaja akan terpedaya dengan dakyah yang direkasaya serta diadunkan secara separuh masak. Saya amat tertarik dengan petikan tulisan saudari Juwita di dalam blog peribadinya, apabila dia menyatakan seperti berikut :

Bila kita berhijab, kita ada kuasa  untuk memilih. Kita memilih untuk menjaga diri kita, rambut kita dari pandangan orang yang tidak berhak memandangnya. We cover our head, not our mind. 

Ketika wanita-wanita yang terasuk puaka liberasi barat sedang sibuk mengepit kaki kerana takut seluar dalamnya diintai semasa sedang makan dengan memakai skirt pendek, ketika wanita yang terasuk puaka liberasi barat sedang makan dengan sebelah tangan, kerana sebelah lagi tangannya sibuk membetulkan bajunya yang singkat yang dia mahukan supaya baju itu mampu menutupi bahagian punggungnya yang ditutupi jeans dengan cawat super low-cut, ketika wanita-wanita yang dirasuk puaka liberasi barat dalam keadaan teragak-agak dan takut untuk membeli sayur kerana takut ketiaknya yang sedikit hitam itu diintai disebabkan dia memilih untuk memakai baju tanpa lengan, wanita-wanita muslim yang menutup aurat bebas makan di mana sahaja tanpa perlu risau akan mata-mata yang memerhatikan aset mereka tanpa mendapat keizinan. Mereka mempunyai hak untuk memilih siapa boleh melihat apa pada diri mereka mengikut syariat.

 Mereka bebas dalam erti kata yang sebenar tanpa perlu takut kepada pandangan lelaki. Aurat dijaga, kebersihan dan kecantikan diri turut dijaga, cuma bezanya, mereka ibarat permata mahal yang tersimpan kemas di balik kaca pameran. Permata yang hanya boleh dilihat dan disentuh oleh mereka-mereka yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga, hidup susah dan senang dengan mereka, dari saat mereka masih cantik dan kekal cantik di mata pasangannya ke akhir hayat mereka. Mereka ini telah diselamatkan Allah dari diperlakukan seperti barangan yang dilonggokkan di tepi-tepi jalan oleh peniaga-peniaga kaki lima. Mereka diselamatkan dari menjadi seperti barangan yang boleh dilihat, disentuh dan diusik-usik oleh sesiapa sahaja. Melayu, Cina, India, Bangla, Vietnam dan segala macam rupa manusia bebas untuk meneliti dan mengambil nikmat percuma menilaikan mereka tanpa mereka mempunyai kuasa untuk menghalangi. Hak mereka untuk berkata tidak telah pun mereka serahkan dan kuburkan. Tiada apa-apa lagi yang ada pada mereka yang boleh ditafsirkan sebagai hak untuk mengelak diri dari diperhatikan kecuali terpaksa rela di dalam keterpaksaan.

Teringat pula saya dengan hasil seni seorang sahabat, Rizal Hass, yang pernah dia pamerkan. Dia meluahkan seperti berikut:

Tengok atas nampak bawah, tengok bawah nampak atas ..

Bila ditanyakan apa yang mencetuskan getusan rasa sehingga ayat-ayat itu diluahkan, dia hanya merujuk kepada ceritanya menuju sebuah premis perniagaan di KLCC. Menaiki escalator, tidak boleh pandang atas, nanti nampak apa yang ‘di bawah’. Turun escalator tidak boleh memandang ke bawah, nanti ternampak apa yang ada sepatutnya tertutup tapi terdedah dibahagian ‘atas’. Pernyataan itu telah dimuatkan di dalam sebuah penulisan bertajuk Aku Cari Kamu. Rizal Hass, seorang sahabat, jiran sebelah meja di sekolah dan rakan bersembang yang boleh diajak beragumentasi tentang ideologi, falsafah dan perbandingan agama sejak usia kami di dalam belasan tahun. Blog sajak dan puisinya telah diresusitasikan sejak awal tahun lalu, dan blog Islam1stnya, telah direinkarnasikan baru-baru ini.

Begitulah gerakan liberasi feminisme barat, satu jari bengkok dituding kepada pihak Islam, beratus jari berbalik tuding kepada mereka. Jika para sahabat mengikuti penulisan di blog satuhala ini sejak dari 2007, anda akan memahami apa yang saya maksudkan ratusan tudingan jari kembali kepada mereka.
Penulisan kali ini akan menjelaskan tentang salah satu fakta yang saya gunakan di dalam dialog yang dilangsungkan dengan Timbalan Pengarang Akhbar berbahasa Inggeris yang menjadi sayap media agen kepada agen gerakan dajjal di Malaysia ini. Dialog saya dengan pihaknya berpunca dari persembahan Beyonće yang mahu dibawa masuk ke negara pada 2009.

Dalam pertukaran dialog tersebut, saya ada menyebut bahawa orang-orang Islam tidak menolak Beyonće atas kapasiti dia sebagai insan, tidak menolak dirinya atas kecintaannya terhadap seni muzik dan tidak menolak dia sebagai wanita barat, malah sebagai orang Islam,kita hanya menolaknya kerana representasi dirinya di sini membawa bersama imej dan penindasan kejam dunia liberasi feminisme barat ke atas wanita. Beyonće adalah simbol dan representasi kepada penindasan ini.


Muslim tidak menentang perjuangan hak asasi manusia di barat selagi hak yang diperjuangkan itu tidak bercanggah dengan had yang telah disempadankan Allah sebagai hak yang boleh dikecapi dan dinikmati setiap manusia. Setiap satu perkara mempunyai sempadannya. Yang menjadi masalah ialah apabila mereka melanggar sempadan yang telah ditetapkan, dan menggunakan pelanggaran sempadan itu untuk memaksa muslim pula untuk tunduk kepada kehendak mereka yang tidak mendapat petunjuk. Itulah titik permulaan yang memisahkan sokongan Muslim ke atas perjuangan mereka. Muslim boleh bersama mereka di dalam perjuangan bagi memelihara alam, memberikan hak untuk hidup kepada setiap manusia dan pelbagai perjuangan hak yang lain yang berada di dalam sempadan yang digariskan Allah melalui al Qur'an dan sunnah.


Muslim tidak memandang barat sebagai musuh secara total. Tetapi mereka dianggap sebagai lawan apabila mereka cuba membawa pemikiran serta perlakuan yang merosakkan ke atas sistem dan umat Islam itu sendiri. Banyak perkara serta perjuangan yang baik juga berasal dari barat. Mereka telah memainkan peranan yang seharusnya dimainkan oleh orang-orang Islam setelah orang-orang Islam sibuk bergaduh sesama sendiri. Muslim juga bagi saya seharusnya mencontohi semangat dan ketekunan orang-orang barat di dalam kehebatan mereka di dalam bidang ilmu dan penghasilan teknologi. Benar mereka telah meniru sikap orang-orang Islam yang ditemui mereka sebelum zaman Renaissance. Lalu, sunnah sikap orang-orang Islam terhadap ilmu ditiru mereka dan digigit mereka dengan gigi geraham. Sayang sekali apabila orang-orang Islam meninggalkan sikap terbabit dan menumpukan perhatian kepada bergaduh sesama sendiri. Dalam banyak keadaan, keadaan, sikap serta peribadi orang-orang barat lebih terpuji berbanding sikap sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia.


Tetapi itu semua bukanlah memberi legitimasi kepada mereka untuk memaksa orang-orang Islam menerima nilai-nilai serta perkara-perkara yang melampaui had dan sempadan yang telah ditetapkan Allah dan RasulNya. Ini kerana orang-orang Islam yakin bahawa dengan berbuat demikian, perkara itu hanya akan mencampakkan mereka ke dalam lembah kehancuran dan kerosakan yang tidak terubat. Disitulah kelemahan perjuangan hak asasi barat. Mereka tidak tahu di mana had sempadan hak dan setakat mana hak-hak asasi itu boleh diperjuangkan.

Kerana itulah, tidak cukup dibogelkan demi sesuap nasi, wanita barat di dalam emansipasi yang dikejar-kejar mereka ditindas di dalam setiap aspek dan sudut pandang diri mereka. Bermula dari hari mereka dilahirkan sehinggalah kepada hari di mana mereka menghembuskan nafas terakhir, mereka sentiasa ditindas tanpa mereka sendiri sedar. Jadi tidak hairanlah apabila revert yang kembali kepada agama Islam di negara barat, lebih ramai wanita dari lelaki. Lebih ramai wanita di barat tertarik kepada Islam dan memeluk agama itu setelah memahami bagaimana agama tersebut memberikan hak serta keselamatan kepada wanita Islam. Jika benar wanita Islam ditindas sebagaimana yang sentiasa didakwa orang-orang barat, jadi kenapa pula wanita-wanita di barat berebut-rebut meninggalkan agama mereka yang menjadi asas kenegaraan barat dan memilih untuk memeluk Islam?

Dalam dialog antara saya dengan Timbalan Pengarang Akhbar berbahasa Inggeris tersebut, saya ada menyebut tentang hak untuk memiliki identiti yang dinafikan kepada wanita-wanita di barat dan mereka-mereka yang cuba meniru sistem mereka. Seorang wanita, semenjak dari zaman dahulu lagi, telah menjadi satu praktis yang tersebar diluas di negara-negara barat dan negara-negara yang meniru mereka, apabila mereka mendirikan perkahwinan, nama keluarga dan nama mereka sendiri yang membentuk identiti diri mereka akan dipadamkan. Mereka kini setelah mendirikan rumahtangga, akan dinafikan hak untuk memiliki identiti sendiri dan akan mula dinamakan mereka atas nama suami dan nama keluarga suami mereka. Seolah-olah mereka itu objek yang boleh dipindah milik, tanpa mereka mempunyai hak ke atas identiti diri mereka sendiri.

Ia sama praktisnya dengan apa yang berlaku di zaman perhambaan orang-orang Kulit Hitam di barat satu ketika dulu. Pada ketika itu, nama keluarga (surname) mereka akan diberikan bersandarkan kepada siapa pemilik atau tuan mereka. Jika tuan di mana ladang tempat mereka diperhambakan ialah Washington, maka nama itu juga akan diberikan kepada mereka sebagai simbol mereka telah merupakan hak milik keluarga Washington. Walaupun ada kes-kes tertentu di mana apabila dibebaskan, sebahagian daripada mereka menggunakan nama keluarga bersandarkan tred pekerjaan mereka suatu ketika dahulu. Jika dia pernah diperhambakan atas tujuan untuk menjadi gembala kambing sebelum ini, maka dia mengambil nama Sheperd seabgai nama keluarganya selepas dibebaskan dari perhambaan. Ada juga yang tidak mahu menyabitkan nama keluarga mereka dengan sebarang kaitan tentang tuan-tuan mereka yang dahulu. Lalu nama seperti Freeman dan Freedman diambil. Tetapi praktis yang meluas pada ketika itu, ialah dengan menggunakan keluarga tuan-tuan mereka sebagai lambang mereka menjadi objek pemilikan tuan-tuan tanah tersebut.


Begitu juga dengan hak wanita yang berkahwin untuk mengekalkan identiti mereka sendiri. Mereka tanpa sedar telah dinafikan hak untuk menjadi diri mereka sendiri dan mengekalkan nama keluarga mereka sendiri. Tanpa mereka sedar, mereka telah dijadikan seperti objek pemilikan oleh suami mereka. Tidak ubah sama seperti praktis di dalam sistem perhambaan.

1400 tahun setelah Islam membebaskan para wanita daripada menjadi objek pemilikan dan barang dagangan, wanita-wanita barat masih lagi ditindas dengan hak asasi paling asas. Antara hak asasi yang paling asas ialah hak untuk menjadi diri mereka sendiri. Lihat sahaja petikan akhbar di bawah, apabila Johnny Depp menggunakan alasan paling tidak munasabah untuk mengelakkan dirinya dari mengahwini kekasihnya. Dia seolah cuba lari dari mengambil tanggungjawab sebagai suami yang seharusnya akan kekal bersama isterinya dan melalui kehidupan bersama tidak kira susah dan senang atas alasan yang tidak munasabah.

Johnny Depp menolak untuk mengahwini kekasihnya, Vanessa Paradis, yang telah bersama dengannya selama 12 tahun hanya dengan satu alasan, dia tidak mahu nama keluarga kekasihnya Paradis ditukar kepada nama keluarganya Depp. Ramai di barat sedar tentang perkara ini, tetapi malangnya gerakan liberasi feminisme mereka terlalu sibuk mengintai dan mencemburui hak-hak wanita yang dikecapi orang-orang Islam. Lalu mereka memperlekehkan wanita-wanita Islam tetapi di dalam masa yang sama, mereka melupakan tanggungjawab mereka untuk membebaskan wanita-wanita mereka dari sistem perhambaan tanpa sedar.


Lebih pelik pula bila ada orang-orang Melayu Islam, meniru-niru pula perbuatan pelik ini hanya kerana terkesima dengan segala yang boleh disabitkan dengan barat dan orang putih. Kasihan mereka.

Dunia mula sedar akan sistem keluarga yang digunakan secara meluas di barat mempunyai terlalu banyak masalah dan telah gagal. Maka satu persatu negara yang satu ketika dulu terkesima dengan segala yang barat dan berwajah Caucassian sehingga ke tahap meniru kebiasaan yang menjadi amali di barat, kini mula meninggalkannya sedikit demi sedikit dan mendekati sistem yang lebih dekat kepada sistem kebebasan muslimah Islam.

Lihat sahaja petikan akhbar di bawah yang saya simpan sejak 2009, apabila negara Jepun terbangkit dari khayal dan mula sedar. Pihak kerajaan Jepun berusaha untuk mengubah undang-undang yang dikenali sebagai Kod Sivil 1947 bagi membolehkan wanita-wanita Jepun, apabila mereka berumahtangga nanti, mereka akan dibenarkan mengekalkan identiti, nama serta nama keluarga mereka dan tidak lagi dipaksa menggunakan nama keluarga suami mereka setelah berkahwin. Undang-undang yang menindas hak asasi wanita ini akhirnya akan dilupuskan dan diubah setelah ianya dikuatkuasakan sejak sekian lama. Walaupun sedar terlewat lebih daripada 1,400 tahun dari hak yang telah dinikmati sejak sekian lama oleh wanita-wanita Islam, itu adalah lebih baik daripada tidak sedar langsung. Malang bagi Vanessa Paradis, dia terpaksa menunggu lebih lama dari wanita-wanita Jepun untuk gerakan liberasi feminisme barat tersedar dari lamunan dan basahan mimpi hak asasi tidak ke mana yang mereka perjuangkan, sebelum Depp mahu menyuntingnya sebagai isteri setelah menangguhkannya atas alasan yang paling tidak masuk dek akal.



Untung benar menjadi muslimah. Ketika wanita-wanita lain teraba-raba dalam perjuangan hak mereka, wanita-wanita Islam sudah lama menghirup udara kebebasan sejak ribuan tahun lamanya. 


Agaknya akibat terlalu gembira dengan berita wanita Jepun diberikan hak untuk memiliki identiti menghampiri wanita-wanita Islam, lelaki di bawah ini lantas mengalami kecelaruan dan ingin juga menikmati nikmat-nikmat kebebasan seperimana yang baru diberikan kepada kaum wanita mereka.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.





Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

9 comments:

Anonymous said...

Assalammualaikum wbt tuan, saya sangat2 bersetuju dan redha dengan arahan penutupan aurat ini. Bukan sahaja ia melindungi diri sendiri malah melindungi kaum wanita seluruhnya. Jika semua aurat ditutup mengikut syariat tidak akan terjadinya 'rating' seperti nasi lemak 20sen, 50sen atau 1 ringgit. Sangat menyakitkan hati adakah kita yang 'mould' untuk jadi macam tu. Sungguhla belajar agama itu satu perkara, faham agama itu satu perkara yang lain. Semoga Allah bagi faham dan hidayah kepada semua muslimat.
adila_alim

rizal hass said...

assalamualaikum..
gerakan feminisme di barat lahir secara berperingkat...feminisme di barat berevolusi secara sihat...didebat sesama feminis yang berlainan ide...sehinggalah menjerumus menjadi anti wanita...fahaman yang pada mulanya mahu membantu wanita-wanita barat daripada ditindas....mereka tidak ada Islam untuk mengiktiraf kedudukan mereka dalam struktur masyarakat mereka (dua contoh..wanita swiss mula mengundi pada tahun 1971 dan pada tahun 1985, satu referendum diadakan untuk mengubah perlembagaan untuk memberikan hak sama rata antara lelaki dan wanita swiss.malah wanita barat berkerjaya juga sering mendapat gaji yang lebih rendah daripada rakan sejawatan dsb, ini berlaku di kebanyakkan negara barat yang kononnya mendukung hak-hak wanita sehingga kini!), betapa beruntungnya wanita muslim!
Siri-siri penindasan yang berterusan inilah yang menjadi pencetus kepada gerakan feminisme barat.
Dalam dunia Islam ianya telah bermula lebih awal..Khadijah ra, isteri Rasullulah saw adalah seorang peniaganita yang sangat berjaya...sokongan (baik dalam bentuk, nasihat, kasih sayang ataupun kewangan) tidak berbelah bagi sebagai isteri yang beliau berikan kepada nabi Muhammad saw adalah contoh terbaik feminisme dunia Islam yang patut menjadi acuan kepada gerakan wanita muslim di seluruh dunia...tidak perlulah kita menjerit terpekik-terlolong macam pelesit datang bulan bila kita sudah melakukan kezaliman melanggar perimeters seorang guru ragbi seperti yang berlaku di petaling jaya tempoh hari.sebagai lelaki saya bangga kerana ahli keluarga wanita saya tidak terlibat.sebagai muslim saya malu dan marah dengan penindasan yang dilakukan mereka yang kononnya marching untuk meraikan hari wanita sedunia...ada pula dikalangan mereka peguam dan ahli majlis yang sering menjerit tentang keadilan untuk semua...yang jelas anak-anak yang berlatih ragbi dengan guru mereka ditindas hak mereka.dan malunya kerana kebanyakkan penindas adalah golongan wanita dan ibu-ibu.video malaysiakini boleh didapatkan di youtube, cuba...koyak rabak meroyan...amaran keras...memang memualkan...
feminisme di barat sangat aktif menentang beauty pageants kerana didakwa mereka mempromosi pornografi...ini tidak berlaku di sini...feminis di malaysia sibuk menggalakan wanita melakukan mungkar..wanita yang baik-baik dilabel mereka sebagai ditindas as oppose to mereka yang berhak kangkang sana-sini (ini digelar lipstick feminisme-wanita itu berhak bermekap, berpakaian dan berkelakuan menggoda)macam seorang pemimpin wanita di selangor sekarang ini dengan disokong pula oleh mereka yang bertudung labuh tetapi tertutup hati-hati mereka dek takkabur, perasan maksom dan ahli syurga...sesungguhnya Allah swt menegur dengan cara yang tidak kita sangka-sangka...wallahualam

rizal hass said...

inside deep throat yang saya tonton beberapa tahun lalu menyingkap tentang fenomeno filem porno deep throat yang menjadi kegilaan setiap lelaki di Amerika Syarikat suatu ketika dulu..filem itu 'pecah panggung' tetapi heroin filem tersebut menyatakan dia tidak dibayar sesen pun.semua wang diambil oleh suami aka bapak ayam aka pengurus karier linda lovelace (stage name).
wanita yang kemudiaannya denounce pornografi dengan terlibat secara aktif bercakap menentang industri tersebut juga mendakwa bahawa beliau telah didera, dipukul, diberi dadah, dipaksa melakukan adegan porno dengan pistol diajukan ke kepala,
beliau juga mendakwa dirogol oleh lima lelaki serentak kerana lelaki yang sama..sila baca wikipedia untuk membaca pengalamannya yang amat menyedihkan...menonton dokumentari tersebut membuatkan saya bersimpati dengan linda lovelace (ramai yang meanggap beliau menipu..tetapi ujian polygraph yang diambil membuktikan sebaliknya)dan wanita barat amnya...mereka helpless...kalau tidak berpacaran mereka akan dituduh lesbo seperti yang pernah dilemparkan kepada alicia keys di permulaan karier nyanyiannya yang cemerlang kerana masih single...kalau gemuk macam aishwarya rai akan dikutuk suratkhabar seluruh dunia sebab menidakkan konsep ratu cantik universe yang menggiurkan...kalau tidak mahu bergambar dengan lelaki macam siti nurhaliza akan diboikot sesetengah wartawan hiburan sebab bos mereka marah sebab tidak boleh guna siti untuk melariskan majalah separuh porno(lihat saja mngga) mereka pada ketika itu...the fact remains siti sells dan beliau berjaya mengubah budaya matching lelaki dan perempuan untuk cover majalah singlehandedly di Malaysia.
begitu juga dengan hak ibu-ibu untuk melihat anak-anak perempuan (dan lelaki) mereka berumah-tangga dan mempunyai anak hanya kerana mereka memilih ellen degeneres sebagai idola...semuanya atas nama hak dan feminisme...
harap-harap semua ini dijauhkan Allah swt daripada berlaku di Malaysia...amin ya rabbal alamin...tuan pengarang..enough about me...dan terima kasih, hari ni trafik islam1st.org meriah sikit...heran bin ajaib juga ana tadi...baca post ante barulah unta paham why?

Anonymous said...

Assalam..

emm..perlu dihebohkan artikel dlm blog ini.

war2kan..

cetakan

jual atau tidak bukan isu

tp umum perlu dibuka mata begini..

maukah tuan tanah jika ada yg sudi..

kita buat cara betul

register kdn dan segala

keluarkan cuma sekali sebulan

hanya 4 mukasurat pon tak apa la

dapat print 1000 dulu pon tak apa la

tp tuan tanah sudikah utk publicise secara fizikal...

satuhala said...

Wa'alaikumsalam wrt Adilla,
Benar kata Adila, Belajar, mengajar serta faham agama itu merupakan perkara yg berbeza.

Muslim di negara ini sedang dalam proses membuang semua kebodohan yang dipaksakan ke atas sistem pemikiran mereka akibat terlalu lama dijajah.

Kita sama-sama berusaha. Label-label tersebut dibuat oleh manusia-manusia yang tumpuan kehidupannya membelek manusia yg lain. malang sekali apabila org2 sebegini, tidak pula mahu meilhat kekurangan mereka dalam sistem pemikiran yang hanya mahu menilai seorang wanita lain dan mengkategorikan wanita lain melalui pemerhatian aset tubuh.

Ramai golongan sebegini dalam masyarakat, maka rosaklah masa depan masyarakat tersebut untuk maju ke hadapan.

Kita perlu mendidik anak-anak kita supaya pemikiran mereka tidak akan menjadi seperti manusia-manusia tersebut. Sama-sama kita berusaha. TQ.

satuhala said...

Wa'alaikumsalam w.r.t. Rizal Hass,
Benar perjuangan kump feminisme Malaysia ini hanya sekadar lipstick feminisme spt yg tuan kata.

Mereka lembab dan lumpuh bila berdepan dengan isu kebejatan sosial. Tetapi, bila muslim mencadangkan remedi kepada kebejatan tersebut, merekalah yang paling awal menonjolkan muka untuk menentang perkara tersebut.

Perjuangan yang tidak ada kelas samasekali. Hakikat kewujudan mereka di bumi Malaysia ini hanyalah bagi tujuan mencampakkan golongan wanita ke satu tahap yang lebih rendah dan bawah dari kedudukan mereka sebagai wanita-wanita terhormat sediada.

Tetapi, sesuatu yang terlalu ralat, tiada pula perjuangan dari NGO-NGO wanita Muslim yang agresif menentang mereka-mereka ini. Yang ada cuma mahu sibuk bermain isu apabila sesuatu yang diperjuangkan itu memebri mileage politic kepada kumpulan yang didokong mereka. Tinggal kita dan individu2 muslim yang lain membuat hingar dalam blog untuk menyedarkan tentang apa yang sedang berlaku.

apa pun, itu bukan alasan untuk kita tidak bergerak. Kita akan terus bergerak atas kapasiti yang mampu kita lakukan. InsyaAllah, jika kita ikhlas, kita kejayaan akan datang apabila Allah mengizinkannya berlaku. InsyaAllah.

satuhala said...

Wa'alaikumsalam wrt Anon June 1, 2012 10:32 PM;

Terima kasih atas pelawaan. Saya telah pun mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang untuk setiap penulisa dalam blog ini dan akaun facebook milik saya. InsyaAllah saya akan jalankan mengikut kemampuan dan keupayaan yang diberikan Allah nanti.

Bukan menolak cadangan tuan, tetapi saya harus mengutamakan apa yang telah dirancangkan sejak sekian lama. Mungkin ada rezeki di masa akan datang kita boleh bekerjasama dalam bentuk-bentuk yang boileh memberi keuntungan kepada perjuangan Islam. InsyaAllah.

ude.azeela said...

Assalamualaikum...
Bagaimana pendapat saudara mengenai undang-undang di Arab Saudi di mana wanita-wanita di sana bukan sahaja tidak boleh mengundi malah tidak boleh berfikir. Jauh sekali untuk memandu kereta. Tidakkah ianya juga dilihat seolah-olah meletakkan wanita ke tahap kedudukan yang rendah dan tidak berupaya untuk bergerak bagi memajukan diri?

satuhala said...

Wa'alaikumsalam w.r.b.t. udee.azeela,
Saya muatkan jawapan kepada komen saudari dalam post 'Hak Bersuara Bagi Muslimah di Dalam Negara Islam'.. kerana ruang komen agak sempit untuk dimuatkan keseluruhan penjelasan ringkas tersebut.. semoga ia memenuhi permintaan saudari. TQ.