Thursday, October 25, 2007

Memperbetulkan Persepsi Salah Cara Pengurusan Jenazah Yahudi...

14

oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamualaikum w.r.t., otaiRock77 (nama user name yang digunakan) telah menghantar satu email yang pernah saya terima satu ketika dulu melalui yahoogroups. Email ini berkisar tentang cara pengkebumian yang dipraktikkan oleh golongan Yahudi. Cuba baca kandungan email tersebut di bawah :

Oleh ****k Y**

Dalam pekerjaan saya, saya terpaksa berkecimpung dan bertemu dengan segala macam manusia dari segala macam bangsa dan ugama. Timbul pula satu kesempatan saya berbual2 dengan seorang lelaki yang berugama Yahudi. Dia rajin pergi ke synagogue-nya seperti kebanyakan orang kita juga rajin ke mesjid. Saya bertanya kepadanya bagaimana mayat seorang Yahudi dikebumikan. Di bawah ini adalah keterangannya:


Kebanyakan orang Yahudi tidak menyimpan mayatnya berhari-hari seperti mayat2 ugama Keristian, Buddhist, Hindu, dan lain penganut ugama kafir. Ada yang menyimpan mayatnya hanya sehari dan ada juga yang menyimpan mayatnya sampai tiga hari. Kematian seorang Yahudi merupakan "family affair" saja dan amat jarang diumumkan di suratkabar untuk pengetahuan sahabat-handai atau masyarakat sekelilingnya (kecuali kalau si mati itu adalah seorang pembesar synagogue atau pembesar negara). Begitu juga pengebumian mayat itu merupakan
"family affair" yang sangat private.

Bila mayat akan kebumikan, disiapkan sebuah lemari cermin yang berdiri, tidak sebuah peti mayat (coffin) seperti ugama2 lain. Mayat ini dibersihkan dan diberi pakaian yang bagus dan didandankan: rambutnya disikat rapi dan dibedakkan supaya wangi baunya. Mayat di-injek dengan obat yang mengeraskan tubuhnya. Selepas itu mayat itu di-berdiri-kan di dalam lemari cermin itu dan diikat di beberapa bagian tubuhnya supaya tubuh mayat dapat berdiri tegak dalam lemari cermin itu. Jadi, mayat Yahudi tidak dibaringkan dalam "coffin" seperti mayat2 ugama lain.

Di tanah perkuburan Yahudi sudah digali sebuah lobang empat persegi dengan lebar kira2 dua kaki setengah (two and half feet square) dan dalamnya kira2 enam kaki. (Tidak seperti kubur Islam yang biasanya (rectangle) panjangnya 6 kaki, lebarnya sekitar 3 kaki dan dalamnya kira2 enam kaki.) Ini kerana cermin lemari yang digunakan sebagai "peti mayat" itu akan ditanam berdiri tegak. Waktu meng-kuburkan mayat biasanya pada waktu senja (kalau kita ?kira2 waktu maghrib) apabila matahari hampir akan terbenam ? tidak begitu terang dan tidak pula terlalu gelap. Mayat dibawa ke tanah perkuburan dengan "special trailer" yang dapat mengangkut lemari mayat itu dengan keadaan "berdiri" (maksudnya tidak perlu "dibaringkan" walaupun dalam kereta mayat. Apabila lemari mayat tiba di tanah perkuburan, lemari itu di-transfer ke sebuah trolley (beroda dua) dengan keadaan lemari itu berdiri. (Trolley ini sama seperti kita kadang2 melihat pekerja2 Pepsi atau Cocacola menolak trolley minuman dari lori masuk ke kedai). Apabila tiba di lobang kubur, lemari cermin itu dimasukkan ke dalam lobang "vertical" itu dengan menggunakan tali. Yang memasukkan mayat ke dalam lobang adalah anggota keluarga saja.

Setelah lemari cermin itu dapat berdiri tegak dalam lobang, maka disendalkan tanah2 agar lemari itu tidak memiring ke mana2 apabila lobang itu ditimbus dengan! tanah. Kerja2 mengebumikan mayat ini semuanya dilakukan dalam keadaan cahaya samar2, tidak terang dan tidak begitu gelap. Biasanya tidak sampai satu jam, bereslah urusan pengebumian ini. Yang ikut menghantar mayat ke kuburan hanya anggota keluarga. Mereka yang tidak ada hubungan darah dengan si mati tidak digalakkan ikut bersama. Ini agar sikap "family affair" dalam urusan mayat dapat terpelihara.

Jadi, dalam upacara mengebumikan mayat Yahudi, tidak banyak yang ikut ke cemetary. Biasanya tidak lebih dari 10 orang, dan tidak ada rabbi (bunyinya "rabai" paderi Yahudi) yang mengantarinya ke kubur. Maka tidak adalah do'a mantera yang dibacakan Setelah selesai pengebumian mayat, anggota keluarga pulang ke rumah. Mereka duduk di kursi dalam bentuk "circle" dan bertafakkur mengingatkan mayat yang di dalam kubur dan nasibnya di dalam kubur. Biasanya tafakkur ini berlaku sepanjang malam dari saat mayat dikebumikan sampailah hari esoknya. Mereka yang bertafakkur tidak tidur sepanjang malam. Mereka semua duduk diam membisu tanpa ada pembacaan mantera. Impression: Sangkaan saya (repeat hanya "sangkaan"), kaum Yahudi sangat takut diketahui orang apabila seorang daripadanya mati kerana masyarakat Yahudi menjadi kurang seorang akibat kematian itu.
Kenapa mayat Yahudi ditanam berdiri mungkin melambangkan "enggan tunduk" kepada Tuhan Allah walaupun sudah habis hayatnya di dunia. Apakah ini satu "kesombongan melulu" terpulanglah kepada yang ingin men-interpretasikan .

Wallahu a'lam.


Sumbangan artikel daripada: ****k Y**
Pada mulanya, saya membaca email tersebut sekadar untuk mengambil tahu isikandungannya. Langsung saya tiada niat untuk mempercayai atau pun tidak percaya. Bagi saya, ini cuma artikel yang disumbangkan saudara seagama yang ingin berkongsi cerita. Tak apa lah, tetapi apabila saya mendapat satu lagi email yang serupa dari Zach, yang meminta pendapat saya mengenai perkara tersebut, lalu saya membalas emailnya dengan menyatakan bahawa saya tak akan memberikan apa-apa komen tentang perkara yang saya tiada pengetahuan mengenainya. Kemudian apabila posting saya berkenaan pembohongan audio azab kubur diterbitkan, Sasha Kowalski (nama yang diguna pakai olehnya) pula menghantar email yang sama kepada saya. Lalu, saya pun mula terfikir untuk mencari kepastian. Saya membuka beberapa buku, kitab tanakh, Talmud dan membuat carian di internet bagi mendapatkan maklumat. Terlalu sukar untuk mendapatkan maklumat bergambar untuk dijadikan bukti bagi mengesahkan atau menafikan kandungan email tersebut. Entah kenapa, jika maklumat mengenai perkara lain sangat mudah diperolehi, tetapi maklumat bergambar mengenai cara pengurusan jenazah Yahudi inilah yang paling sukar untuk saya perolehi. Berjam-jam saya menghabiskan masa mencari maklumat, akhirnya usaha tersebut diubati dengan berbagai informasi yang tiba-tiba muncul sebaik saja saya hampir mengambil keputusan untuk menghentikan carian pada hari tersebut.
Alhamdulillah, akhirnya informasi yang saya perlukan dan fakta-fakta tepat bersama gambar-gambar cara pengendalian jenazah Yahudi akhirnya saya perolehi. Berikut merupakan cara bagaimana kaum Yahudi menguruskan satu-satu kes kematian dikalangan mereka.


Ketika seorang Yahudi menghampiri atau berada dalam sakaratul maut, orang-orang disekelilingnya dinasihatkan supaya mengajarnya lafaz taubat dan doa persaksian (sebagai orang Islam, kita biasanya akan mengajar lafaz dua kalimah Syahadah iaitu persaksian Tiada Tuhan Yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah). Lafaz taubat dan doa persaksian diajarkan sambil membaca doa dari Book of Psalms 23. Lafaz taubat dan persaksian itu berbunyi seperti di bawah :


Sh’ma Yisrael Adonai Eloheinu, Adonai Ehchad.
Terjemahan Inggerisnya
Hear, O Israel, the Eternal One is our God, the Eternal God Alone.
Terjemahan Bahasa Melayunya,
Dengarlah Wahai Israel, Satu-Satunya yang Kekal ialah Tuhan, Tuhan Yang Kekal dan Bersendiri.


Bunyinya lebih kurang lafaz Syahadah pertama bagi umat Islam. Amalan mengajarkan kalimah persaksian ini dikenali sebagai Viddui.


Golongan Yahudi juga mempunyai ‘khairat kematian’ bagi masyarakat mereka sendiri. Golongan yang dilantik menguruskan khairat kematian ini digelarkan sebagai Chevrah Kaddisha. Mereka inilah yang akan menguruskan segala aspek tradisi pengkebumian dan adat-adat yang perlu dipatuhi.


Sebaik Sahaja terjadi Kematian: SHMIRAH – menemani mayat si mati
Sebaik sahaja terjadi kematian, mengikut tradisi Yahudi, mayat si mati tersebut hendaklah ditemani oleh seorang atau beberapa peneman yang digelarkan sebagai Shomer atau juga Shomrim dari masa kematiannya sehingga ke waktu ianya dikuburkan. Biasanya Shomer ini adalah di kalangan ahli keluarga si mati itu sendiri. Mayat ini tidak langsung boleh ditinggalkan walaupun seketika. Shomer-shomer ini akan mengambil giliran menemani mayat tersebut sambil membaca kandungan Book of Psalms dalam kitab mereka sepanjang menemani mayat tersebut. Mengikut hukum yang telah ditetapkan, mayat seorang Yahudi harus segera dikebumikan tidak kira masa kematiannya. Lebih elok dikebumikan dengan seberapa segera.


TAHARAH Memandikan dan membersihkan mayat
Hanya individu yang mempunyai jantina yang sama dengan si mati boleh menguruskan urusan pemandian mayat atau lebih dikenali sebagai Taharah ini. Ini sebagai simbolik kepada si mati agar dia dapat meninggalkan dunia ini dengan cara yang sama dia dilahirkan iaitu bersih dan suci. 

TACHRICHIM - Kafan
Mayat seorang Yahudi diharamkan daripada diawet atau dilakukan bedah siasat ke atasnya. Pendermaan organ si mati adalah diharamkan dalam agama Yahudi ini (kecuali bagi pengikut Yahudi Reformis). Mayat si mati juga tidak boleh diubah bentuk samada dari segi kosmetik atau pembedahan atau disuntik bagi mengeraskannya. Pengawetan mayat diharamkan kerana ia melambatkan proses pereputan mayat untuk menjadi tanah. Dalam tradisi yang diamalkan oleh golongan Yahudi lebih 2000 tahun lamanya, mayat seorang Yahudi akan dipakaikan pakaian yang diperbuat dari kain linen putih atau kain kapas putih yang sederhana sebagai symbol yang menunjukkan bahawa semua manusia itu tidak kira miskin atau kaya adalah sama di depan Allah. Selepas siap proses Taharah (penyucian atau pemandian mayat), mayat tersebut kemudiannya dikafankan menggunakan tachrichim (sejenis kain kafan) dan kemudiannya mayat tersebut dimasukkan ke dalam keranda dan keranda tersebut terus saja ditutup dan akan kekal ditutup kecuali jika ada keperluan mendesak bagi tujuan pengecaman oleh waris. Membuka keranda dan mempamerkan mayat di dalamnya merupakan satu tindakan yang dianggap sebagai tidak menghormati si mati, keluarganya dan Chevrah Kaddisha yang menguruskan mayat terbabit.

ARON - Keranda
Undang-undang dan hukum-hukum Yahudi menetapkan bahawa badan mayat tersebut hendaklah dikembalikan ke dalam tanah seberapa segera yang boleh, jadi keranda yang boleh digunapakai ialah dari jenis kayu yang paling mudah reput. Tiada keranda logam, plastik dan kaca dibenarkan kerana semua bahan ini sangat lambat proses pereputannya dan ini sangat bertentangan dengan ayat yang di ambil dari Five Book of Moses iaitu Taurat
Genesis fasal 3 ayat 19

..for dust thou art, and unto dust shalt thou return.
Terjemahannya

…Dari tanah asalmu, dan kepada tanah kamu harus kembali.
Keranda yang diperbuat dari kayu yang mudah reput ini, dilubangi pada beberapa tempat dibahagian bawahnya supaya mudah tanah meresap masuk dan menghancurkan mayat.

LEVAYAHMenyembahyangkan mayat
Upacara ini kebiasaannya dilakukan di synagogue atau rumah pengurusan mayat atau di tapak perkuburan. Upacara ini biasanya dilakukan dengan sederhana dan sambil melaungkan Eyl Malei Rahamim (Tuhan Yang Maha Mengasihani). Jambangan bunga dan permainan alat muzik amat tidak digalakkan.

PALL dan PALLBEARERS – Pengusung keranda
Kebiasaannya Pallbearers ini dilantik dikalangan saudara mara (bukan ahli keluarga paling dekat si mati) si mati. Enam hingga lapan orang akan ditugaskan mengusung keranda sehingga ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

K'VURAH - Pengkebumian
Hukum-hukum Yahudi menetapkan bahawa mayat tersebut hendaklah segera dikebumikan tanpa berlengah. Sepatutnya pengkebumian dilakukan segera dalam tempoh 24 jam selepas kematian. Pengkebumian diharamkan daripada dilakukan pada hari-hari kebesaran Yahudi seperti Sabbat, Yom Kippur dan hari-hari suci Yahudi yang lain. Kebiasaannya keranda akan diturunkan ke dalam kubur yang telah sedia di gali dan kemudian, ahli-ahli keluarga si mati dan mereka yang hadir pada pengkebumian tersebut bersama-sama memenuhkan liang yang di gali tersebut dengan tanah untuk menimbuskannya sebagai penghormatan terakhir kepadanya. Menurut tradisi, sebaik melakukan perkara tersebut dan menuju pulang, mereka digalakkan membasuh tangan sebagai symbol mereka inginkan kehidupan selepas berurusan dengan kematian tadi.



SE'UDAT HAVRA'AH - Jamuan Sejurus Pulang Dari Pengkebumian
Ini merupakan makanan pertama yang dijamah sebaik pulang dari pengkebumian di tanah perkuburan. Menurut tradisi, makanan yang melibatkan daging haruslah dielakkan. Kebiasaannya mereka akan dijamukan dengan telur goreng atau apa saja makanan dalam bentuk bulat sebagai simbolik kepada roda kehidupan yang sentiasa berterusan berputar.

SHEVAH - Berkabung Seminggu
Dalam hukum Yahudi, tujuh (7) orang ahli keluarga terdekat si mati dikehendaki mematuhi perkabungan yang dinamakan Shevah ini.Mereka ini ialah ibu bapa si mati, anak isteri atau suami si mati, adik abang si mati. Dalam tempoh perkabungan, mereka tidak dibenarkan memakai kasut yang diperbuat dari kulit, bersolek, memakai wangi-wangian, mandi, bercukur, menggunting rambut dan mempunyai hubungan kelamin. Semua cermin di dalam rumah mereka yang terlibat dengan perkabungan ini akan ditutup. Semua yang terlibat dengan perkabungan ini juga hanya akan duduk di atas kerusi yang rendah atau duduk di atas lantai sahaja sepanjang tujuh hari perkabungan ini. Mereka juga tidak dibenarkan bekerja dalam tempoh ini. Perbuatan berkabung selama tujuh hari ini di gelar sebagai Shevah , atau bermaksud tujuh dalam bahasa Hebrew. Ini kerana mereka akan berkabung dalam tempoh tujuh hari selepas pengkebumian si mati. Pada waktu Shevah ini, mereka yang terlibat dengannya, iaitu 7 orang yang dimaksudkan tadi hanya akan menunggu dirumah. Mereka ini akan dilawati oleh pelawat-pelawat yang akan menyampaikan ucapan takziah kepada mereka. Mereka tidak dibenarkan menyediakan apa-apa pun kepada mana-mana tetamu yang menziarahi mereka, sebaliknya tetamu-tetamu dan masyarakat Yahudi disekelilingnyalah yang dipertanggungjawabkan untuk membantu mereka menyediakannya. Sebagai mengingati si mati, sejenis lilin khas akan di nyalakan sepanjang tempoh perkabungan ini. Perkabungan ini dimulakan pada hari pengkebumian.

K'RIAHMemakai pakaian perkabungan
Mereka yang terlibat dengan perkabungan ini, satu ketika dulu akan mengoyakkan bahagian baju mereka (kebiasaannya pada bahagian lengan sebelah kiri) atau memakai pakaian yang lama atau buruk. Pemakaian perkabungan ini dilakukan sepanjang tempoh Shevah kecuali pada Hari Sabbat dan hari-hari kebesaran Yahudi yang lain. Dalam tradisi yang lebih moden pula, mereka yang terlibat dengan perkabungan ini akan memakai riben berwarna hitam yang disematkan menggunakan pin ke pakaian mereka. Bagi ibu bapa si mati, riben hitam tersebut akan disematkan ke bahagian jantung dan bagi selainnya pada bahagian kanan pakaian mereka dan kemudiannya riben itu di potong atau dikoyakkan sebagai mengikut simbolik tradisi lama. Doa selamat akan dibacakan semasa K'riah ini dipraktikkan, kebiasaannya ianya dilakukan sejurus sebelum upacara pengkebumian dan di bawah seliaan Rabbi atau mana-mana orang yang dipertanggungjawabkan melakukannya.

MINYAN dan KADDISH - Pembacaan Doa
Setiap hari dalam tempoh Shevah ini, sekumpulan lelaki (lebih kurang sepuluh orang) Yahudi yang sudah mencapai akil baligh (13 tahun ke atas menurut tradisi Yahudi) yang dikenali sebagai minyan akan menziarahi keluarga ini bagi membantu keluarga ini dalam membaca Kaddish iaitu doa dari Book of Psalms, sehingga tempoh Shevah ini selesai. Pembacaan Kaddsih ini sebagai menghormati pemergian si mati. Ianya menjadi tanggungjawab bagi kariah tersebut untuk membantu meringankan beban keluarga si mati (jika kumpulan minyan ini tidak hadir, keluarga si mati di mestikan membaca Kaddish bersama kumpulan minyan yang ada di Synagogue terdekat). Sekurang-kurangnya minyan ini akan diadakan sehari sekali dirumah keluar si mati.


NICHUM AVEILIM - Membantu Ahli Keluarga Yang Berkabung
Ianya menjadi satu yang amat digalakkan kepada masyarakat Yahudi di sekelilingnya untuk melawat keluarga yang berada dalam tempoh Shevah ini kecuali pada hari Sabbat biarpun keluarga tersebut kurang dikenali jiran-jirannya.


Selepas selesai menghiburkan hati keluarga si mati yang sedang berkabung dengan lawatan yang dilakukan, menjadi satu tradisi dalam Yahudi untuk mengucapkan perkataan berikut sebelum meminta diri untuk pulang:


Ha-makom y'nakhem etkhem b'tokh sh'ar avelei Tziyon Virushalayim.
Terjemahannya, Semoga Tuhan memberikan kelapangan dan ketenangan kepada kamu dan juga semua yang berkabung seperti kamu di Zion dan Jerusalem.

Tradisi ini bagi mengingatkan mereka dengan asal mereka dari Israel dan semua yang seagama dan sebangsa dengan mereka adalah bersaudara dan akan sentiasa sedia membantu mereka dalam kesusahan.

TZEDAKAH - Amal Kebajikan dan Sedekah
Tradisi Yahudi tidak menggalakkan penghantaran bunga sebagai ucapan takziah apabila adanya kematian. Apa yang digalakkan oleh tradisi Yahudi ialah bersedekah kepada badan-badan amal kebajikan, rumah-rumah anak yatim, sekolah, hospital-hospital dan mana-mana prtubuhan kebajikan di atas nama si mati sebagai simbol penghormatan dan cara yang paling positif dalam mengingati si mati.


Perkabungan Selepas Tempoh SHIVAH
Kaddish akan terus di baca selama sebulan selepas hari pengkebumian (11 bulan tempoh yang dibaca oleh ibu bapa si mati pula)


SHLOSHIM – Perkabungan 30 hari selepas Shevah
Shloshim yang membawa maksud tiga puluh dalam bahasa Hebrew, juga membawa maksud perkabungan 30 hari bermula dari hari si mati dikebumikan. Selepas Shevah iaitu tujuh hari pertama perkabungan, Shloshim ini sebagai satu simbolik bagi keluarga yang berkabung tadi utnuk kembali kepada aktiviti kehidupan asal mereka. Inilah ketikanya mereka yang berkabung kembali ke sekolah, kerja dan melakukan semua aktiviti biasa dan kembali tinggal bersama mereka yang disayangi setelah mereka setelah berkabung selama tujuh hari. Cuma sewaktu perkabungan dalam tempoh Shloshim ini, keluarga si mati tadi akan mengelakkan sebarang aktiviti yang melibatkan muzik, hiburan atau perayaan.


YAHRZEIT – Ulang Tahun Pemergian si Mati
Ulang tahun pemergian si mati dikenali sebagai Yarzheit dan dikira menggunakan calendar Hebrew. Ulangtahun ini disambut dengan menyalakan sejenis lilin yang dapat bertahan 24 jam. Lilin ini mula dinyalakan pada petang sebelum tarikh Yarzheit. Kaddish dibaca sewaktu sambutan ini. Jemaah sewaktu Sabbat di kariah tersebut akan diperingatkan dengan menyebut nama si mati dan Yarzheitnya yang menghampiri berdekatan dengan hari Sabbat tersebut.


MELETAKKAN BATU NISAN atau MATZAVA
walaupun tidak ada dalam mana-mana tradisi Yahudi yang menggalakkan mengadakan apa-apa upacara semasa meletakkan batu nisan, kebanyakan Yahudi akan mengadakan sedikit upacara sebagai penghormatan semasa meletakkan batu penanda atau batu nisan. Yahudi diwajibkan meletakkan batu nisan sebagai penanda kubur dan menurut tradisi mereka, waktu yang berdekatan dengan Yarzheit merupakan waktu paling sesuai untuk meletakkan batu nisan. Tetapi bagi kebiasaannya, sehabis tempoh Shloshim (30 hari perkabungan) batu nisan itu sudah pun diletakkan. Batu Nizan atau Matzava ini seharusnya dibuat sesederhana mungkin dan dituliskan nama si mati dalam bahasa Hebrew bersama dengan tarikh lahir dan matinya.


Setelah puas melakukan rujukan dengan berbagai-bagai jenis upacara dan cara seorang menguruskan satu-satu kematian di kalangan Yahudi, maka semua yang di atas ini merupakan cara dan upacara standard bagi mana golongan Yahudi.


Sekarang kita bandingkan cara pengurusan mayat yahudi ini dengan kandungan email tadi.
1. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Kebanyakan orang Yahudi tidak menyimpan mayatnya berhari-hari seperti mayat2 ugama Keristian, Buddhist, Hindu, dan lain penganut ugama kafir.


Kenyataan penulis artikel tersebut adalah benar kerana sememangnya Yahudi tidak akan menunggu lama untuk mengebumikan si mati dari kalangan mereka.


2. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Kematian seorang Yahudi merupakan "family affair" saja dan amat jarang diumumkan di suratkabar untuk pengetahuan sahabat-handai atau masyarakat sekelilingnya (kecuali kalau si mati itu adalah seorang pembesar synagogue atau pembesar negara). Begitu juga pengebumian mayat itu merupakan "family affair" yang sangat private.

Kenyataan ini tidak mengandungi kebenaran kerana masyarakat Yahudi disekelilingnya dipertanggungjawabkan untuk membantu keluarga yang baru menghadapi peristiwa kematian ahli keluarga mereka. Seluruh kariah mereka akan bekerjasama bagi membantu semua urusan berkaitan kematian tersebut.


3. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Bila mayat akan kebumikan, disiapkan sebuah lemari cermin yang berdiri, tidak sebuah peti mayat (coffin) seperti ugama2 lain.


Kenyataan ini tidak mengandungi kebenaran kerana agama Yahudi melarang keras sebarang penggunaan material yang lambat mereput sebagai bahan buatan keranda mereka. Ini termasuklah penggunaan keranda kaca kerana keranda dari jenis ini sangat lambat proses pereputannya.

4. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Mayat ini dibersihkan dan diberi pakaian yang bagus dan didandankan: rambutnya disikat rapi dan dibedakkan supaya wangi baunya.

Kenyataan ini ada kebenarannya dan ada yang tidak benarnya. Pertama, yang benar, mayat Yahudi tersebut memang wajib dibersihkan dengan memandikannya. Proses ini dikenali sebagai Taharah. Kedua, yang tidak benarnya ialah, penulis tersebut mengatakan bahawa mayat tersebut akan didandankan, diberi pakaian yang bagus dan dibedakkan supaya wangi. Perkara sebegini amat dilarang dalam tradisi dan agama Yahudi dan perbuatan mendandan atau menyolek mayat si mati amat dilarang sama sekali. Pakaian yang dipakai hanyalah baju biasa dari kain kapas atau linen berwarna putih yang hanya dipakai oleh si mati dan dipakai oleh semua golongan tak kira samada kaya atau miskin dan kemudian mayat tersebut akan dikafankan dengan Tachrichim. Cara mayat dikafankan dan dimandikan adalah sama dengan cara bagaimana Islam menguruskan, memandikan dan mengkafankan mayat. Rujuk video di atas.

5. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Mayat di-injek dengan obat yang mengeraskan tubuhnya.
Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Perbuatan sebegini diharamkan oleh agama Yahudi kerana ianya melambatkan proses pereputan mayat sebagaimana yang dikehendaki agama mereka.

6. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Di tanah perkuburan Yahudi sudah digali sebuah lobang empat persegi dengan lebar kira2 dua kaki setengah (two and half feet square) dan dalamnya kira2 enam kaki. (Tidak seperti kubur Islam yang biasanya (rectangle) panjangnya 6 kaki, lebarnya sekitar 3 kaki dan dalamnya kira2 enam kaki.) Ini kerana cermin lemari yang digunakan sebagai "peti mayat" itu akan ditanam berdiri tegak

Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Kubur seorang Yahudi digali sebagaimana kubur seorang Islam digali. Si mati Yahudi ini akan ditanam dengan cara yang sama seorang Islam di tanam. Rujuk video. Jika ada sumber sahih yang menyatakan mereka di tanam secara menegak dan ada bukti bergambar menunjukkan perbuatan tersebut, sila emailkan kepada saya.

7. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Waktu meng-kuburkan mayat biasanya pada waktu senja (kalau kita ?kira2 waktu maghrib) apabila matahari hampir akan terbenam ? tidak begitu terang dan tidak pula terlalu gelap.

Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Seorang yahudi akan ditanam tidak kira masa samda gelap, samar-samar atau pun cerah. Yang penting bagi mereka ialah mayat itu ditanam seberapa segera yang boleh. Cuma mereka dilarang menanam mayat pada hari Sabbat dan hari-hari kebesaran Yahudi.

8. Penulis artikel tersebut menyatakan :
Mayat dibawa ke tanah perkuburan dengan "special trailer" yang dapat mengangkut lemari mayat itu dengan keadaan "berdiri" (maksudnya tidak perlu "dibaringkan" walaupun dalam kereta mayat. Apabila lemari mayat tiba di tanah perkuburan, lemari itu di-transfer ke sebuah trolley (beroda dua) dengan keadaan lemari itu berdiri. (Trolley ini sama seperti kita kadang2 melihat pekerja2 Pepsi atau Cocacola menolak trolley minuman dari lori masuk ke kedai). Apabila tiba di lobang kubur, lemari cermin itu dimasukkan ke dalam lobang "vertical" itu dengan menggunakan tali. Yang memasukkan mayat ke dalam lobang adalah anggota keluarga saja.


Kenyataan ini tidak ada kebenarannya. Mayat seorang yahudi akan diusung oleh 6 hingga lapan orang yang digelar sebagai PallBearer. Baca penjelasan di atas berkenaan dengan Pallbearer.

9. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Biasanya tidak sampai satu jam, bereslah urusan pengebumian ini.


Kenyataan ini memang benar kerana mereka digalakkan melakukan proses pengkebumian ini sesederhana yang mungkin.

10. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Yang ikut menghantar mayat ke kuburan hanya anggota keluarga. Mereka yang tidak ada hubungan darah dengan si mati tidak digalakkan ikut bersama. Ini agar sikap "family affair" dalam urusan mayat dapat terpelihara.


Kenyataan ini ini tidak benar kerana mereka digalakkan mengikut Pallbearer tersebut dibelakangnya sebagai tanda penghormatan terakhir kepada si mati dengan berjalan kaki mengiringinya ke tanah perkuburan.

11. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Jadi, dalam upacara mengebumikan mayat Yahudi, tidak banyak yang ikut ke cemetary. Biasanya tidak lebih dari 10 orang, dan tidak ada rabbi (bunyinya "rabai" paderi Yahudi) yang mengantarinya ke kubur. Maka tidak adalah do'a mantera yang dibacakan Setelah selesai pengebumian mayat, anggota keluarga pulang ke rumah..


Kenyataan ini ini tidak benar kerana mereka digalakkan mengikut Pallbearer tersebut dibelakangnya sebagai tanda penghormatan terakhir kepada si mati dengan berjalan kaki mengiringinya ke tanah perkuburan.

12. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Setelah selesai pengebumian mayat, anggota keluarga pulang ke rumah. Mereka duduk di kursi dalam bentuk "circle" dan bertafakkur mengingatkan mayat yang di dalam kubur dan nasibnya di dalam kubur.


Kenyataan ini adalah benar kerana mereka diharuskan duduk di dalam rumah tanpa melakukan apa-apa bentuk aktiviti kecuali membaca Kaddish dan berkabung. Mereka ini diharuskan untuk duduk di atas kerusi bulat yang rendah kedudukannya atau pun duduk hanya di atas lantai sebagai menghormati tempoh Shevah.

13. Penulis artikel tersebut menyatakan :

Biasanya tafakkur ini berlaku sepanjang malam dari saat mayat dikebumikan sampailah hari esoknya. Mereka yang bertafakkur tidak tidur sepanjang malam. Mereka semua duduk diam membisu tanpa ada pembacaan mantera.


Kenyataan ini adalah tidak benar kerana mereka diharuskan duduk di dalam rumah tanpa melakukan apa-apa bentuk aktiviti kecuali membaca Kaddish dan berkabung serta menerima tetamu yang melawat.

Hanya itu sahajalah pencerahan mengenai perkara ini. Barangkali mungkin ada pengunjung diluar sana bertanya kenapa disibukkan memperbetulkan kenyataan silap yang dibuat dalam email tersebut sedangkan yang diperkatakan itu hanyalah mengenai cara pengurusan jenazah Yahudi. Tetapi kita seharusnya ingat bahawa Allah s.w.t. memanggil mereka ini dengan gelaran Ahli Kitab dalam Al-Qur’an. Ahli kitab bermakna mereka ini merupakan golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah melalui kitab-kitab yang Allah turunkan kepada Nabi-Nabi di kalangan mereka yang wajib bagi kita sebagai umat Islam imani. Sayangnya banyak perkara telah mereka selewengkan. Tetapi dalam perihal pengurusan jenazah ini, kelihatan hampir 80% cara yang digunakan mereka hampir menyamai apa yang dipraktikkan oleh umat Islam. Menuduh mereka melakukan yang bukan-bukan seperti dikebumikan secara berdiri, samalah juga memfitnah mereka sedangkan Nabi s.a.w. juga bangun memberikan penghormatan terakhir semasa satu mayat Yahudi yang meninggal dunia melalui tempat baginda berehat bersama para sahabat. Jangan kita dengan senang menuduh apa saja yang dilakukan mereka tidak betul atau memberikan apa-apa persepsi sebelum kita sendiri mempunyai pengetahuan mengenainya, takut-takut apa yang kita katakan dan cela-kan itu merupakan ibadat-ibadat atau cara-cara khusus yang Allah s.w.t. perintahkan kepada mereka yang masih mereka amalkan sehingga kini walaupun banyak juga kesesatan yang telah dicampur adukkan. Saya juga menjawabnya disini disebabkan oleh pertanyaan oleh beberapa pengunjung ke email saya. Saya harap Zach, otairock77, Sasha Kowalski dan anda semua berpuashati dengan penjelasan yang diberikan. Jika masih ragu-ragu, bolehlah membuat pencarian sendiri bagi memuaskan hati yang gusar supaya diisi ketenangan dan keyakinan. Kebenaran itu akan datang bila di cari... memasukkan Wallahua’lam dalam sesuatu posting bukan satu tiket disclaimer untuk menyelamatkan diri apabila fakta dan apa yang diperkatakan itu tidak benar... wallahua’lam hanya diucapkan setelah kita berusaha mencari kebenaran dan menyerahkan kembali pengetahuan tersebut kepada Yang Maha Mengetahui kerana Dia saja yang Mengetahui Mengenai segala-galanya...

Wassalam

© Oktober 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

14 comments:

Anonymous said...

assalamu'alaikum

terima kasih banyak² :-) rajin hang buat homework :-) keep up the good work :-)

Kak Pah

azzad said...

Bagus! Kita memang tak harus percaya bulat-bulat apa bentuk maklumat yang datang, lebih-lebih lagi email berantai.

Langkah mengenalpasti penulisan yang benar atau sebaliknya amat berguna untuk semua. Yang membimbangkan disini, mengapa ada pihak yang perlu berhabis tenaga untuk menyebar kepalsuan atas dasar benci?

Dalam beragama, sejak bila kita bisa mendabik dada mengatakan orang lain serong dan kebenaran itu hanya pada kita?

Apa jadi pada kehidupan yang sengaja dibentuk berpuak-puak & berwarna warni supaya kita boleh belajar dari satu sama lain?

Salam.

satuhala said...

Wa'alaikumsalam Kak Pah & Maggot.. terima kasih atas support.. semoga Allah merahmati...

Anonymous said...

alhamdulillah...anda dianugerahkan masa utk mencari kebenaran...langkah yg amat dialu-alukan. bukan apa...kadang kala, segelintir daripada kita mudah sangat forwardkan benda2 yg berunsur fitnah yang mereka sendiri tidak pasti...keep up the good work...

ken

satuhala said...

Terima kasih ken... support anda menguatkan semangat saya lagi.. ada juga yang menghentam.. tetapi itulah lumrah... sebenarnya saya sendiri tiada masa.. tetapi teringatkan pesan bapa saya yang mengatakan masa itu ada jika kita mencarinya, maka saya pun mencuri masa sedikit demi sedikit di mana-mana saya mempunyai kelapangan untuk menyiapkan sesuatu posting.. terima kasih kerana menghargainya.. wassalam..

Unknown said...

Assalamwalaikum

Shalom Alechem

Saya Rabbi Yaakov Baruch dari Indonesian Jewish Community, thanks atas penjelasannya sehingga fitnah2 yg sering ditujukan pada kaum kami dapat diluruskan, leluhur kita Yitzhak dan Yismael adalah saudara, mari jaga tali silahturami,

Regards,

Rabbi Yaakov Baruch

satuhala said...

Wa'alaikum Rabbi Yaakov Baruch..
Terima kasih kerana menghargai posting tersebut. Sebenarnya kita semua bersaudara semenjak Adam. Yishmael (dari Hagar) dan Yitzhak (dari Sarah) anak kepada Abram juga anak cucu Adam leluhur kita. Kita menyembah satu-satunya Tuhan Yang sama..
Allah berfirman dalam surah Al BAqarah ayat 62 (Al Qur'an 2 : 62) :
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
semoga landasan cara hidup kita menurut kepada kemahuan Allah s.w.t. Tuhan sekelian alam... selamat berkenalan... boleh saja menghubungi saya di satuhala@yahoo.com... terima kasih atas komen.

Regards,
Muhammad Ibn 'Az

Anonymous said...

Assalamu'alaikum

Shalom Alechem

Terima Kasih atas jawaban email anda, memang perlu ada pemahaman dari saudara kaum muslimin bahwa tidak semua umat Yahudi mendukung gerakan Zionisme, bahkan banyak Rabbi-Rabbi Yahudi Orthodox di USA dan Eropa tidak "mengakui" keberadaan Negara Israel, jadi sudah sepantasnya ada kesempatan untuk saling tukar-pikiran antara kaum Yahudi dan kaum Muslim sebagai sesama keturunan Avraham / Ibrahim. hampir semua syariat Kaum Yahudi mirip kaum Muslim, jadi sudah sepatutnya kita hidup sebagai saudara, semoga TUHAN YME Memberkati kita semua

Wasalam

Alechem Shalom

Warm Regards

Rabbi Yaakov Baruch

jemiro said...

13 perbedaan yah, sebuah presepsi, manusia berasal dari tanah, sepantasnya dia kembali ke tanah, :)
thx atas share infonya

kandar said...

terima kasih kepada saudara...sesungguhnya kita semua adalah berasal daripada leluhur yang sama....kita menyembah tuhan yg sama...yakni Allah yg Maha Esa, Maha Tinggi lg Berkuasa yg mentadbir langit dan bumi..cuma syariatnya sahaja yg sedikit berbeza antara kita org2 muslim dgn ahli kitab....sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yg kita tidak ketahui @ yg kita ketahui...sekurang2nya saudara menangkis fitnah keatas syariat Allah yg diturunkanNya kpd kaum2 terdahulu....

Anonymous said...

saya jumpa dlm ni..

http://www.youtube.com/watch?v=eLZWaZKFQnA

Anonymous said...

Assalam En. Muhammad.. maf nak tanya di mana dapatkan maklumat ini? ada tak bacaan khusus? saya sedang mencari info untuk asgment saya... harap en dapat membantu...
nor51279@yahoo.com.my

satuhala said...

Wa'alaikumsalam wrt Anon June 12, 2012 9:28 PM,

Rujuakn utama yang saya gunakan telah hilang. Ia ditulis pada 2007. Walaubagaimanapun buku-buku rujukan berikut boleh membantu. Terutamanya yang ditulis oleh Rabbi Mosha Eipstein.

Rujukan seperti berikut :

1. Jewish Insights on Death and Mourning Oleh Jack Riemer, Sherwin B. Nuland

2. Tahara Manual of Practices (Including Halacha Decision) oleh Rabbi Mosha Eipstein

dan laman web berikut mungkin dapat membantu :

http://www.chabad.org/library/article_cdo/aid/362514/jewish/The-Jewish-Mourners-Companion.htm

Semoga sukses, belajar kerana Allah dan kembali semula kepada masyarakat untuk membawa Islam dan umatnya memacu ketamadunan yang terkehadapan. Harap bantuan sedikit ini dapat membantu. Wassalam.

Anonymous said...

terima kasih kerana sudi berkongsi.. tetapi di penang masih ada ka org yahudi? saya nak lakukan temubual tentang pengurusan jenazah org yahudi dari aspek budget dan keperluan dalam menguruskan jenazah serta hala tuju selepas kematian...mohon bantuan encik untuk huraikan maklumat ini? Saya cari tetapi tidak dapat..sekarang saya buntu kerana pencarian org yahudi di penang masih tidak jumpa