Monday, December 3, 2012

Abang, beli la kopi ni...

Oleh : Imran Haaz\M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem. Setiap orang melalui pelbagai liku dan jenis pengalaman dalam cuba memahami kedudukan kita di sisi Allah dalam agama Islam yang indah ini. Melalui pemerhatian dan sedikit pengalaman, saya melihat terdapat kecenderungan yang sangat menyesakkan hati dan perasaan apabila terdapat ramai di antara saudara-saudara seagama dengan kita menggunakan agama bagi mencapai motif-motif tertentu di dalam kehidupan mereka. Tidak cukup agama dilacurkan di dalam politik, agama kini sudah mula dilacurkan sebagai kemestian yang mesti disabitkan dengan segala perkara yang berkiblatkan keuntungan dunia. Ia supaya nanti akan dapat dicarak benak dan menjadi laris kerana si pembeli dihumbankan dengan perasaan serba salah jika tidak membeli produk hasil mereka tersebut.

Pengalaman saya di suatu petang yang sangat indah terganggu dengan perlakuan seorang jurujual kopi merangkap penceramah lantikan sendiri yang cuba menunjukkan jalan pantas ke syurga hanya dengan membeli kopi yang dijualnya. Saya seorang yang sangat mudah, mengambil jalan mudah dalam hal-hal yang seharusnya mudah dan tidak gemar berbicara. Saya sangat selesa ber T Shirt biasa dan berseluar jeans pada mana-mana tempat dan keadaan. Itu pakaian harian saya dan saya sangat selesa dengan keadaan ringkas sedemikian rupa. Pernah saya dileteri oleh seorang teroris masjid hanya kerana cara jawapan yang saya berikan akibat cara saya berpakaian.


‘Hoi, pakai la elok-elok kalau masuk masjid!’. Saya tercengang dan terbangang sebentar. Apa masalah  lelaki terbabit? Saya keluar menonton wayang dengan isteri saya pada suatu petang. Terpana dengan garapan M. Night Shmalayn di dalam Sixth Sense dan Sign, saya mengajak isteri saya menonton filem Lady in the Water selepas pulang dari kerja. Sewaktu itu, Mifthahul Jannah belum dilahirkan. 3 tahun berbulan madu, saya dengan bebas membawa kekasih, merangkap isteri dan teman hidup saya secara halal ke sana ke mari tanpa perlu risau. Sangat indah berjanjitemu selepas berkahwin. Malah setiap kali saya membahagiakannya dan membuat dia tersenyum, Allah menyediakan ganjaran pahala untuk saya diakhirat. Begitu juga dengan dia, dengan membuat saya tersenyum, lapang dan selesa, kantung pahalanya juga diisi dengan kencang dan deras. Islam itu mudah, Muslim yang menyukarkannya.

Sampai sahaja di kompleks membeli belah yang menempatkan Cineplex tersebut, saya terus ke kaunter tiket. Malang, rancangan saya untuk menonton tayangan 9.30 malam sudah kehabisan tiket. Tiket untuk couple seat  tayangan tengah malam juga sudah habis dijual. Hanya tayangan pada jam 7.30 malam masih berbaki. Saya berkira-kira samada mahu meneruskan niat menonton atau pun tidak. Ini kerana waktu maghrib sangat singkat dan permulaan filem tersebut dimulakan pada awal maghrib.

Teroris Masjid
Akhirnya setelah berkira-kira, saya ambil keputusan membeli tiket tayangan 7.30 malam. Oleh kerana surau di kompleks membeli belah itu tidak menyediakan ruang yang selesa bagi jemaah perempuan, selesai mendapatkan tiket, terus saya mengajak isteri saya ke masjid berdekatan untuk bersolat maghrib. Lebih baik terlepas permulaan filem dari terlepas bersolat. Habis berjemaah hampir jam 7.45 malam. Terus saya berjalan keluar dari masjid. Tiba-tiba saya ditegur secara kasar oleh seorang jemaah hanya kerana saya berseluar jeans dan ber t-shirt biasa.

Saya tanyakan kepadanya dimanakah salah saya? Dia berkata saya berpakaian seperti orang barat di tempat yang mulia. Saya nyatakan kepadanya bahawa apa yang saya pakai ini merupakan pakaian terbaik saya kerana saya memakainya untuk keluar berjanjitemu dengan isteri saya. Jadi pakaian terbaik ini jugalah yang saya pakai untuk menghadap Allah dalam keadaan dan situasi perancangan saya untuk menonton wayang. Dia masih tidak berpuas hati kerana saya menjawab balas. Saya menyatakan bahawa saya ada membawa sepasang kain pelikat dan baju melayu sebagaimana biasa di dalam kereta. Ianya bagi tujuan bilamana pakaian yang saya pakai, tidak saya yakini pakaian itu bersih. Jadi dalam keadaan situasi pada Maghrib tersebut, pakaian yang saya pakai masih baru dan saya yakin ianya tidak kotor, jadi buat apa saya membuang masa menyusahkan diri sendiri sedangkan Allah telah memberikan jalan termudah bagi Muslim untuk datang menghadapNya. Berpakaian bersih, menutup aurat, tidak mengganggu dan seharusnya yang terbaik sudah cukup.

Tetapi lelaki terbabit masih lagi berkeras dengan mengatakan saya berpakaian seperti  tidak menghormati masjid. Saya tahu ilmu agama saya tidak tinggi dan saya juga tahu bahawa saya tidak tahu di dalam banyak lagi perkara di dalam kehidupan sepertimana orang lain. 

Untuk perkara-perkara yang saya tidak tahu, saya lebih suka mendiamkan diri dan berterus terang saya tidak tahu, tapi bagi perkara yang saya tahu, saya akan cuba melakukannya dengan sehabis baik.

Tidak berpuas hati dengan  lelaki tersebut  saya menyatakan kepadanya bahawa apa yang saya pakai ini tidak ada salahnya. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengenakan pakaian berupa jubah Rom dan beberapa jubah lagi yang tidak berasal dari tanah Arab. Jadi apa salahnya saya ‘berjubah Rom’ juga kerana itulah paling selesa dalam situasi sedemikian. 

Tidak menjawab hujahan saya, dia menutup bicara dengan kata-kata berikut.  “Apa pun ana sudah menjalankan tanggungjawab ana untuk menegur anta.” Perghhhh! Terbaiklah. Niat dihatinya memang sangat bagus, tapi pelaksanaan perbuatannya amat menyakitkan hati. 

“Terima kasih Encik Ana.” Hanya itu jawapan termampu saya berikan dengan sedikit rencah sinis.

Sunnah Rasulullah pada objektif pelaksanaannya sentiasa disalah tafsir oleh golongan yang pada niat mereka yang mencintai baginda dengan hanya menyalin perlakuan tanpa memahami objektif pelaksanaannya. Tidak salah untuk ber’ana’ dan ‘anta’ dikalangan mereka yang berlidah Arab. Sedangkan intipati sunnah perbicaraan Rasulullah s.a.w. sentiasa menekankan supaya kita berbahasa dengan betul serta terbaik di dalam lidah ibunda kita. Jika bercakap sesama Arab, pastikan kita bercakap dengan cara yang terbaik di dalam berbahasa Arab. Tiada siapa dapat menyangkal penutur bahasa Arab terbaik ialah Rasulullah s.a.w. itu sendiri. Baginda tidak menggunakan ‘Aniy’atau ‘Anokhy’ sebagai ganti ‘Ana’ ketika membahasakan diri baginda sewaktu dikunjungi delegasi ahli kitab. Begitu juga ketika baginda mahu mengutus sahabat baginda kepada ahli kitab, diarahkan baginda Zaid bin Haritsah untuk mempelajari bahasa ahli kitab supaya memudahkan urusan dakwahnya kepada mereka. Pepatah Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Sunnah yang seharusnya mudah sebegini pun dikelirukan pemahaman perlaksanaannya.

Jadi, dikalangan orang-orang Melayu yang mempunyai lidah ibunda bahasa Melayu, sedapatnya berbicaralah dengan menggunakan tatabahasa Melayu sebaik mungkin. Itulah sunnah Rasulullah s.a.w. pada objektif perlaksanaannya dan bukan pada permukaan perlaksanaan sesuatu sunnah terbabit. Jika berada dikalangan rakan-rakan yang fasih berbahasa Arab atau Inggeris atau Mandarin, tiada salahnya untuk bercakap di dalam bahasa itu untuk mengukuhkan penguasaan pertuturan. Cuma apabila berada pada zon di mana subjek dihadapan anda tidak berkongsi kehebatan anda berbahasa asing, perlulah anda kembali berpijak di bumi yang nyata untuk mengamalkan sunnah Rasullullah s.a.w. dalam intipati pelaksanaannya yang sebenar. Sunnah baginda di dalam adab pertuturan pada intipati perlakuan baginda ialah dengan bertutur bahasa ibunda dengan lisan yang cemerlang dan sentiasa bercakap dengan subjek di dalam bahasa yang paling selesa difahami keduanya iaitu si penutur dan subjek yang mendengarnya.

Setelah disergah En. Ana, separuh jiwa saya hilang untuk tersenyum. Sakitnya hati itu terbawa-bawa sehingga sedikit sebanyak merosakkan mood janjitemu dengan isteri saya hari itu. Ditambah pula filem yang ditonton agak membosankan. Lady In The Water nyata antara garapan terburuk M. Night Shmalayn. Isteri saya tertidur dalam separuh perjalanan filem yang sangat membosankan itu. Mungkin petanda hilang hala tuju kreatif itu bermula selepas filem the Village. Tidak seperti Sixth Sense dan Sign. Atau mungkin dopamine di dalam otak saya sudah tidak lagi menjanjikan ganjaran-ganjaran yang cemerlang yang mungkin boleh dirasai dengan garapan M. Night Shmalayn. Lalu apabila ternampak sahaja namanya di belakang tadbir filem Happening dan The Last Air Bender, bajet menonton wayang itu ditukarkan kepada sesi menikmati pasembur di Padang Brown, Dato’ Keramat, Pulau Pinang. Orang-orang Tanjung menggelarkannya Padang Brom. Dari mana asal deviasi nama itu saya tidak tahu. Tetapi itulah yang digelarkan oleh orang-orang kampung saya di Tanjung. Sejak dari kecil lagi, itu antara tempat kegemaran makcik-makcik serta sepupu-sepupu saya. Lebih murah dan lebih sedap dan masih terasa di lidah baki keaslian pasembur Pulau Pinang di situ berbanding Padang Kota. Entah kenapa orang-orang luar Pulau Pinang bertumpu di Padang Kota sedangkan orang-orang Pulau Pinang sendiri semakin ramai tidak lagi ke situ.

Teori Evolusi Pasembur
Pulang ke kampung sesekali, topik ini terkadang menjadi topik perbualan. Orang Tanjung, subjek kegemaran mereka di dalam butir bicara biasanya mengorbit seputar topik makanan, politik dan cerita lawak. Apabila saya ajukan pertanyaan apa yang berlaku kepada sesetengah kedai Nasi Kandar dan pasembur di sini, lalu salah seorang sepupu tertua saya cuba bertindak seperti Charles Darwin dan Alfred Russel Wallace. Dia mengemukakan teori Evolusi Pasembur. Teorinya menyentuh mengenai deria rasa orang-orang Tanjung yang terbiasa semenjak lahir dengan makanan yang diperkayakan dengan rempah ratus yang dirancukan sehingga membangkit rasa pedas dan panas di dalam makanan. Bentuk makanan yang wujud dalam bentuk asalnya sebelum ini kurang digemari oleh orang-orang luar Pulau Pinang. Jadi untuk memboleh makanan seperti nasi kandar dan pasembur ini dinikmati oleh orang-orang Tanjung dan luar Tanjung, satu titik tengah di dalam sentuhan rasa dicari dan kemudian dihasilkan. Maka jadilah rasanya tidak terlalu pedas akibat rempah dan tidak terlalu pudar warna rasanya. Betul-betul ditengah-tengah. Cuma terkadangnya pendukung evolusi itu melangkah lebih jauh dari titik tengah yang seharusnya disentuh. Maka jadilah sepertimana kes-kes kedai-kedai Nasi Kandar dan Pasembur tidak lagi menarik untuk dikunjungi orang-orang Tanjung. Tetapi tidak semua orang mempunyai deria rasa yang sama. Untuk memaksa orang menerima apa yang kita sahaja mahu, itu perbuatan melampau dan tidak dapat meraikan perbezaan yang Allah s.w.t. ciptaan ke atas keinginan-keinginan manusia yang berbeza. Berbeza itu turut indah apabila dunia diwarnakan dengan kepelbagaian corak dan rasa. Cuma mungkin jika ada di antara tuan-tuan mahu ke Pulau Pinang dan merasa bagaimana rasa pasembur yang masih dekat dengan rasa lamanya sebelum atau diperingkat awal evolusi perubahan rasanya, bolehlah mencuba Pasembur yang disediakan di Padang Brown. Sampai Pulau Pinang, tanyakan di mana letaknya Padang Brom. Ia cuma dibuka bermula lewat petang hingga ke tengah malam.

Teori Sentuhan Rasa Pertama
Isteri saya pula mempunyai perbezaan pendapat tentang apa yang saya rasakan berlaku kepada makanan-makanan tradisi Pulau Pinang. Dia menyatakan lain orang, lain minat dan kegemaran rasanya. Kebiasaannya, seseorang itu akan mula membuat perbandingan dengan apa jua perkara atau makanan yang pertama kali dicuba dan dirasakan sedap.

Bagi yang biasa menikmati Nasi Kandar di Kuala Lumpur, dan pertama kali pula mereka merasakannya di sana dan mendapati ianya sedap, maka setiap kali mereka memasuki mana-mana restoran Nasi Kandar, mereka akan segera membuat perbandingan dengan apa yang pernah mereka rasakan pertama kali dulu. Sama juga kesnya dengan kebanyakan orang-orang Tanjung yang tidak gemar menjamu selera di kedai-kedai Nasi Kandar di luar Pulau Pinang. Mungkin kerana rasa pertama yang melekat di minda mereka menjadi pusat rujukan yang sentiasa mereka gunakan sebagai rujukan bagi menentukan tahap kesedapan sesuatu hidangan itu.

Lantas Teori Sentuhan Rasa Pertama yang dikemukakan isteri saya kelihatan lojik dan menjadi pelengkap kepada teori evolusi pasembur sepupu saya. Ia segera mengingatkan saya kepada sebuah filem animasi Ratatouille di mana watak Anton Ego, si pengkritik restoran, segera dibawa merentas masa di dalam sebuah kenangan yang membuai emosi semasa zaman kanak-kanaknya selepas merasai Ratatouille yang disediakan Remy, si Chef Tikus. Tentu sahaja Ratatouille yang paling sedap yang pernah dinikmati Anton Ego, merupakan Ratatouille pertama yang disediakan ibunya sendiri. Tanyakan sesiapa sahaja, apakah makanan yang paling sedap yang pernah dirasakan mereka? Saya percaya lebih 2/3 akan segera menyatakan masakan yang disediakan ibu mereka sebagai yang paling sedap dan tiada galang ganti. Walaupun hanya berlaukkan kicap dan ikan masin, masakan ibu itulah yang paling sedap. Ratatouille garapan Brad Bird ini seolah membenarkan teori sentuhan rasa pertama isteri saya.




Mengharap Syafaat Secawan Kopi
Jika tidak menghabiskan hujung minggu bersama keluarga ibu saya, saya akan membawa isteri saya pulang ke rumah keluarganya. Kalau boleh sekerap mungkin. Tetapi kesibukan kerja mengehadkan perancangan tersebut kepada jadual yang hanya boleh disusun sebanyak dua kali sebulan.

Selepas kelahiran Mifthahul Jannah, kebiasaan aktiviti pagi selepas matahari terbit di kampung isteri saya, saya akan menemaninya bermain di luar rumah sambil saya membaca buku di bawah pokok. Dia akan bermain dengan sepupu- sepupunya dan anak-anak jiran sambil saya memerhati dari jauh. Saya tidak pernah membiarkan dia bermain tanpa pengawasan. Jika tidak saya, isteri dan ahli keluarga yang lain akan memerhatikan. Tiada siapa tahu apa yang memerhati di luar sana. Sekurang-kurangnya kehadiran orang dewasa yang dekat dan rapat memberikan satu indikasi kepada ‘dubuk-dubuk’ pemangsa di luar bahawa kanak-kanak ini sentiasa diawasi oleh ‘sang gembala’.

Lalu pada suatu hari sedang saya menikmati peluang membaca buku dengan rasukan bauan pohon-pohon hijau dan rumput dan segar di waktu pagi, datang seseorang menyapa.
“Abang suka minum kopi?” sapanya sesudah memberikan salam.

Gayanya berbicara seperti kumpulan nasyid sedang membuat persembahan. Saya tersenyum lalu mengangguk. Tiada hari dalam hidup saya di mana hari itu dapat saya jalani dengan kecerdasan fikiran tanpa meneguk sekurang-kurangnya secawan kopi. Malah semua penulisan di dalam blog ini jika dihidu dengan dekat, ianya disalut bauan kopi yang menemani setiap penulisan bersama alunan muzik keras supaya akal memberikan tumpuan. Tanpa muzik keras, pergerakan saya sedikit perlahan kerana akan sentiasa terganggu dengan bisikan-bisikan akal yang cuba mengalihkan tumpuan.

“ Abang pernah cuba kopi ini?” lalu dia menghulurkan sepaket kopi, produk keluaran bumiputera. Alhamdulillah, usaha tersebut mengisi fardu kifayah. Jika dahulu, agak susah untuk mendapatkan kopi keluaran umat Islam di gedung-gedung membeli belah kecuali kopi cap Hang Tuah dan beberapa jenama lain. Tetapi kopi yang dibuat secara komersil tidak sesedap kopi-kopi buatan orang-orang kampung yang mempunyai sentuhan peribadi. Hitam, pekat dan pahit, itu sudah cukup merawat ketagihan kopi saya ini.

“Belum pernah adik.” Jawab saya ringkas. Satu jawapan yang sangat silap untuk pertanyaan mana-mana jurujual. Ibarat membuka pintu air di bendang, saya mendapat ceramah percuma pagi itu. Dia menceritakan kelebihan kopi ini yang diperbuat dari biji-biji kopi yang terpilih dari ladang yang terbaik serta melalui proses menggunakan teknologi-teknologi terkini. Mendengar dia berleter mahu menjual produknya, baru saya dapat faham kenapa Flying Dutchman dengan pantas menghantar kembali Spongebob Squarepants setelah bertekad untuk memperhambakan Spongebob di dalam Davvy Jones Locker buat selama-lamanya. Mr. Krab menjual pekerjanya yang setia hanya dengan harga 62 sen kepada Flying Dutchman untuk diperhambakan. Sepatutnya perhambaan di dalam Davvy Jones Locker itu berlangsung selama-lamanya. Tetapi Flying Dutchman tidak dapat bertahan hatta untuk dua minit dengan butir pertanyaan Spongebob yang tidak henti-henti seperti bertih jagung. Ia terdapat di dalam episode Born Again Crabs dalam siri Spongebob Squarepants. Saya tersenyum kepada jurujual itu kerana teringatkan nasib saya yang sama dengan Flying Dutchman tersebut. Episod Born Again Crab boleh ditonton pada pautan berikut (Born Again Crab)


“Maaf adik, abang tak berminat.” Saya cuba mendapatkan masa saya kembali untuk menghabiskan koleksi novel penulisan H.G. Wells yang sudah lama saya tangguh pembacaannya. Tetapi dia tidak mahu mengalah. Bagus sekali semangatnya untuk syarikat yang diwakilinya. Tetapi kesungguhannya itu kurang bagus kepada masa saya yang saya rasakan amat bernilai.



“Abang tahu tak, pekerja-pekerja yang terlibat mengilangkan kopi ini, diwajibkan mengambil wuduk pada seluruh sesi pekerjaan mereka?” Entah rukun membuat kopi mana yang syarikat itu ambil, saya pun tidak pasti. Belum habis menghadam fakta kemuliaan kopi itu yang disebutkan jurujual terbabit, dia mengemukakan pula fakta berikut.

“Abang tahu tak yang setiap pekerja yang ditugaskan memproses kopi ini diwajibkan mendirikan solat sunat terlebih dahulu bagi memastikan segala aspek fizikal dan rohani pembuatan kopi ini terjamin suci lagi membawa kemuliaan?”

Aduh, ingatkan ayah pin dan politikus tempatan sahaja yang menjaja agama bagi mendapatkan keuntungan dunia. Kini pengilang produk komersil juga turut menumpang semangkuk. Sejak bila pembuatan kopi memerlukan rukun wuduk dan solat sunat, sesungguhnya saya tidak pasti akan perkara tersebut. Lalu pertanyaan berikut saya ajukan kepada jurujual tadi.

“Wuduk dan solat sunat tu untuk apa adik?”

“Ia supaya memastikan produk yang dihasilkan syarikat kami benar-benar halal dan suci?” jawabnya dengan penuh yakin.

“Bagaimana dengan niat, apakah ia dilakukan kerana Allah, kerana mahu mensucikan produk, atas arahan majikan atau kesemuanya sekali atau salah satu daripadanya?” giliran saya pula menjadi ramah seperti Spongebob.

“Kerana Allah Abang,” Jawabnya dengan ketegasan suara serta karisma seorang Ketua Pengawas sekolah.

“Jadi apa perlunya dihebahkan serta dimasukkan perlakuan ibadah tersebut di dalam pamphlet dan promosi kopi ini?” Tanya saya lagi.

“Ia bagi memberi keyakinan kepada pengguna-pengguna kami yang selain dari prosesnya bersih, aspek kerohanian kopi itu turut suci dengan tindakan pekerja-pekerjanya yang sentiasa berwuduk dan mengamalkan solat sunat semasa proses penghasilan kopi tersebut,” jawabnya dengan kelihatan bulatan Halo di atas kepalanya dan sayap kemuliaan berkepak-kepak manja.

“Solat dilakukan atas kerelaan atau atas arahan majikan?” Tanya saya lagi.
“Atas arahan majikan pada awalnya, dan selepas itu, apabila terbiasa, lambat laun rasa ikhlas itu akan timbul.” Macam sudah diprogram dengan set-set jawapan mengikut skema standard.

“Kalau bercuti, diorang solat sunat dan berwuduk setiap masa tak?” Tanya saya lagi.
“Manalah saya tahu abang? Abang ni banyak tanyalah..,” Dia mula tidak senang dengan pertanyaan demi pertanyaan.

“Kalau majikan tak suruh, diorang buat tak?” tanya saya lagi.

“Abang nak beli ke tak nak kopi ni?” Dia hilang sabar.

“Bolehkah niat amal ibadat yang sepatutnya dikhususkan hanya kepada Allah turut dipersekutukan dengan niat untuk ‘mensucikan’ produk? Lalu digunakan pula perlakuan amal ibadat itu sebagai dalil untuk menunjukkan produk itu suci dan dipromosikan betapa mulianya pekerja-pekerja kilang itu dalam menjaga amal ibadat demi menghasilkan sebuah produk yang hebat ini? Persoalannya redha siapa yang mereka-mereka ini tagih? Redha Allah atau majikan atau biji kopi atau pelanggan? Bagaimana pula kalau sabitan semua perbuatan ini mencampakkan keseluruhan organisasi pembuat kopi terbabit dalam perbuatan menyekutukan Allah demi keuntungan produk?”

“Abang, kalau ada sepuluh orang lagi macam abang, entah macam mana la ekonomi bumiputera nak maju?” saya dihukum jumud oleh jurujual terbabit.

 “Dik, Starbuck boleh hantar berjuta-juta bantuan kepada Zionis tanpa majikan diorang menyuruh setiap pekerjanya menyembah Menorah setiap hari. Adik perlu ingat, garis antara menyekutukan Allah dan niat yang pada awalnya dirasakan suci itu sangat halus dan kelabu. Tak perlu sampai dipaksa semua pekerja melakukan solat sunat dan berwuduk pada setiap masa demi mengikut S.O.P. penghasilan produk. Apa yang perlu ialah, majikan sentiasa mengingatkan pekerja-pekerjanya tentang tanggungjawab mereka terhadap Allah, majikan dan pengguna pada setiap masa. Berikan ruang kebebasan untuk para pekerjanya mendirikan solat wajib pada waktunya dan solat sunat pada satu ruang masa yang ditetapkan tanpa sebarang paksaan. Ia bagi mengelakkan berlakunya kontaminasi terhadap niat yang seharusnya dipusatkan kepada Allah. Ingat Adik, syaitan menipu manusia melalui pelbagai cara. Dengan niat yang rosak, rosaklah seluruh perbuatan. Takut nanti pahala  yang diharap tidak muncul tepat pada masanya di hari pembalasan.”

“Abang kalau nak ceramah, pergi masjid!”

Walaupun wajah saya tersenyum dengan balasan jawapannya, tanpa dia tahu hati saya telah menyeru Doru Giran, si naga Gaban, untuk menukarkan saya kepada Polis Angkasa Gaban dalam masa 0.05 saat. Don Horror perlu dimusnahkan. Gaban Z Potong Dua…  Zass! Budak itu a.k.a. Don Horror terbelah dua dalam imaginasi saya. Padan muka saya dan dia.

“Oklah Dik, maaflah, abang tak mahu bersubahat. Abang nak baca buku sekejap. Assalamu'alaikum….” Senyuman dilemparkan dengan hati ketawa kecil membayang budak itu telah selamat dikerjakan Gaban.

Entah apalah nasib, pergi masjid kena halau keluar, duduk bawah pokok pula kena halau pergi masjid. Benar-benar terasa asing dalam dunia yang dipenuhi manusia-manusia yang menyatakan hanya diri mereka sahajalah yang Muslim.

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda

11 comments:

Salam, apa salahnya pakai T-shirt and jeans.asalkan kedua2nya tk ketat.and tk da perkataan lucah atau pelik yg menyalahi agama tertulis pada baju tu, yg lain ok saja.
dnt knw why jeans is considered so non-islamic..in fact dia pratical dan tahan lasak ..
 
"terima kasih encik ana" terbaeeeek!

teringat penulisan Mazlan Nordin, kolumnis utusan, org yg tahu cakap org putih terasa lebih intelek, yg tahu cakap arab terasa diri lebih warak...oh my malaysia
 
Wa'alaikumsalam w.r.t. IndaMarya,
Saya pernah bertanya soalan yang sama kepada datuk saya semasa remaja tentang perihal kenapa Jeans sentiasa disabitkan dgn sesuatu yg negatif.

Penjelasan yg diberikannya mudah. Pada suatu ketika dahulu, Jeans hanya dipakai oleh pekerja-pekerja bawahan termasuk bruh kasar yg mengangkat barang di pelabuhan. Kebanyakan dari mereka datang dari latar keluarga yg susah dan sentiasa berada di bawah perintah org lain. Malah ramai antara, tetapi tidak semua, mereka terlibat dgn masalah sosial kerana kebanyakannya merupakan org2 bujang yg ,merantau ke Malaysia kerana mencari rezeki.

Dari situ, Jeans sentiasa disabitkan dgn sesuatu yg tiada kelas dan menunjukkan asal pemakainya dari golongan masyarakat kelas lebih rendah.

Tetapi semua itu kini tidaklagi prktikal. Mgkin sentimen lama dr org dgn pemikiran lama masih sukar dikikis.

Saya sebenarnya tidak tahu samada ada kebenaran disebalik penjelasan Datuk saya itu. Tp. saya dapati penjelasannya agak lojik dan minda saya dpt menerimanya tanpa perlukan lagi soalan tambahan..

Benar kata IndaMarya, jeans itu practical dan tahan lasak.. saya juga selesa dengannya.
 
Saudara Tanpa Nama December 4, 2012 12:17 AM,

mazlan Nordin, seorang penulis yg saya ikuti kolumnya sehingga ke akhir hayatnya..

Quote darinya yang saudara petik tu sangat tepat dan benar refleksi kepada apa yg berlaku kepada masyarakat kita hari ini yg terjajah minda dr pelbagai sudut.

TQ atas petikan tersebut, saya kongsinya di facebook saya..
 
Seorang sahabat di facebook, Jumaatul Hadi, memberikan gambaran berikut kepada kisah En. Ana di atas.. perbuatannya diumpamakan sebagai 'makan kurma menggunakan tangan kiri'..

Saya mendapati ramai di antara kita juga 'makan kurma dengan tangan kiri' ketika kita merasakan setiap tindak tanduk kita dalam kehidupan seharian dan hubungan kita sesama Islam yang dilakukan dgn cara yg salah itu sebagai tindakan Islami dan sebagainya, hanya kerana facade kepada zahir perlakuan itu berada di dalam lingkungan kryptonite minda melayu muslim, tetapi sisi batinnya sangat merosakkan.
 
saya pernah menghadapi situasi dimana saya ingin solat di surau supermarket.. dlm surau tsebut saya melihat telekung hny tinggal kainnya shj.. memandangkan pakaian atas saya menutup aurat ttp bahagian dada agak ketat krn baju blouse bergetah.. sy dgn tawakal mohon agar solat saya diterima dgn keadaan yg serba kekurangan tsbt.. sy memakai kain telekung shj sekadar untuk menutup aurat kaki krn x pakai stokin.. ttp sbg manusia sy sedar sy diperhatikan oleh wanita lain yg spt mempertikaikan solat saya hny krn keadaan itu yg serba kekurangan..
 
Penulisan yang menarik & byk ilmu yg sy dapat.. terima kasih
 
Hasanah,
Biasanya saya akan sediakan pakaian gantian sekiranya pakaian yg sedang dipakai itu tidak sesuai untuk dibawa mendirikan solat.. saya percaya Hasanah juga berbuat demikian, cuma di dalam sesetengah situasi itu, perkara2 diluar jangka terkadang berlaku sehingga apa yg berlaku kepada Hasanah di dalam ruang solat wanita itu mewujudkan rasa tidak senang jemaah..

Mgkin mereka tidak faham dgn situasi genting yg dihadapi pd masa dan ketika itu.. tetapi usaha untuk istiqamah menjaga solat pada waktunya harus dipuji.. cuma mungkin di masa2 lain, kita boleh menggunakan pengalaman seperti ini sebagai panduan dan pengajaran..

Psikologi manusia, mereka akan berasa kurang senang dgn sesuatu yg dilihat diluar konteks adat biasa sesuatu tempat itu.. mungkin persediaan yg lebih baik boleh dibuat supaya situasi yg tidak menyenangkan kedua2 pihak dapat dielakkan pada masa hadapan..

Saya juga biasa pada mengalami situasi yg lebih kurang sama.. salah satu drpdnya ialah kisah berhadapan dgn En. Ana di atas.. kita perbaiki apa yg belum sempurna dan perindahkan yg sudah sempurna..
 
Segala Puji Bagi Allah Ms. Red Eva.. Jazakillah..
 
Askm...segala puji bagi Allah Tuhan yg membekalkan ilham kepada tuan utk terus-menerus berkongsi pendapat dgn kami semua...tuan pengalaman tuan berjumpa dgn mrka2 yg sy labelkan sebagai tin2 kosong...(kuat bunyinya...klu penuh berisi...sudah tentu bunyinya kurang menjengkelkan...)
Pemuda di masjid yg menegur tuan itu nampaknya terlupa pula untuk mengamalkan sunnah Nabi dlm menutur kata..apabila dia menyakitkan hati seorang muslim..muslim yg baik pula tu...
Pemuda kopi td nampaknya tidak berwuduk ketika itu(& mungkin juga terlupa solat sunat) kerana setan mudah membuatkannya hilang sabar kepada seseorang yg amat bersabar melayan sales talk aka dakwah kopinya yg semakin lama semakin tuan membuatkn dia sedar akan kebatilan dakwah td...sememangnya dia bukan seorang jurujual yg baik kerana menemplak prospek...dan sememang pemuda di mssjid itu td juga gagal sebagai pendakwah!
Teruskan usaha dakwah tuan, mengenali hati budi tuan, mata sy berkaca lewat membaca artikel ini..wallahualam



 
Wa'alaikumsalam sahabat Rizal Hass,
Mcm yg tuan sendiri sebut dalam sidang meja Char Kuew Teow di SP sebelum ni, ada ketikanya kita terpaksa membiarkan orang2 spt ini utk mengelakkan konflik. Tetapi tanggungjawab utk memperbetulkan perlu masuk melalui jalan lain spt yg tuan sebutkan..

Saya setuju dgn pendapat pd malam itu.. Allah mempunyai perancangan dan kita pula dipentas cuba memainkan peranan serapat mungkin dgn redhaNya.. Semua segala apa yg tuan usahakan diberikan Allah kepada tuan sekiranya itulah yang terbaik utk tuan dan semoga Allah menjauhkan segala apa yg tidak baik untuk tuan dan masa depan tuan.. Ameen..
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email