Sunday, January 5, 2020

Konflik US-IRAN : “Strategic Patience”, Pendekatan Lebih Baik Untuk Iran

0


Perang Iran & US tidak akan berlaku sebagaimana yang digembargemburkan oleh media pada saat ini. Pada pemerhatian kami di Ihsan Strategic Research Center (ISR), Iran akan menggunakan pendekatan Strategic Patience bertahap pada ketika ini. Walaubagaimana pun, Iran pasti akan mendapat tekanan dari rakyat di dalam negara untuk menuntut bela. 
Iran dijangka akan menggunakan insiden ini untuk meletakkan tekanan dalam negara US ke atas Trump, dan isolasi dan antarabangsa ke atas US.

Respons dengan kekerasan melebihi tindakbalas yang sepatutnya hanya akan memburukkan keadaan. Trump tidak akan dibenarkan kongress untuk memulakan satu lagi perang yang panjang walaupun bajet Amerika sentiasa memperuntukkan keupayaan untuk hadapi 2 perang besar. (Kecuali trump tunduk kpd desakan Israel yg mahukan Bush Doctrine ‘pre empt & preventive war’ dijalankan).

Pentadbiran Trump telah lakukan kesilapan bila menarik diri dari Joint Comprehensive Plan Of Action (JCPOA) pada Mei 2018. Trump membatalkan komitmen US terhadap JCPOA atas alasan bahawa JCPOA tidak efektif untuk menghalang Iran dr memiliki senjata Nuklear. Alasannya, JCPOA membenarkan Iran membangunkan dengan bebas teknologi Nuklear selepas 15 tahun perjanjian. Malah mereka juga mempertikaikan JCPOA yang tidak mempunyai mekanisme dalam perjanjian tersebut untuk menghalang Iran dari membangunkan keupayaan peluru berpandu balistik.

Selepas menarik diri dari JCPOA, Trump cuba mengenakan tekanan-tekanan baru termasuk ekonomi terhadap Iran. Ini satu langkah yang ditentang Iran kerana mereka telah mematuihi semua ketetapan syarat JCPOA. 

International Atomic Energy Agency (IAEA) telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan bahawa Iran mematuhi dengan ketat syarat-syarat JCPOA. Pemerhati 

Malah Setiausaha Pertahan US di bawah pentadbiran Trump sebelum ini, turut mengeluarkan kenyataan bahawa JCPOA ialah salah satu instrumen terbaik bagi mengekang Iran dari memiliki persenjataan Nuklear.

Ketika Trump menarik diri dari perjanjian nuklear dengan Iran, pihak berkepentingan sama terhadap JCPOA tersebut seperti Kesatuan Eropah , United Kingdom, Peranchis, Jerman, Russia, & China, menentang tindakan Trump.

Bermula dari tekanan baru yang dikenakan ke atas Iran selepas US menarik diri dari JCPOA, Iran mula aktif mempertingkatkan keupayaan nuklear mereka melebihi had yang ditetapkan.

Iran Harus Elak Masuk Perangkap

Qassem Suleimeni bukanlah dari kalangan Ketua Turus tertinggi angkatan perang Iran seperti yang digembar gemburkan media. Masih ada pegawai-pegawai dengan ranking yang lebih tinggi di atas Qassem Suleimeni.

Tetapi Qassem amat popular di kalangan rakyat Iran. Pembunuhan Qassem sebenarnya dibuat untuk membangkit kemarahan rakyat Iran yang seterusnya akan bangkit mendesak Iran untuk membuat tindakan balas yang keras.

Inilah yang dimahukan oleh Amerika dan Israel. Suara-suara bantahan keras akan meletakkan pentadbiran Iran di dalam tekanan untuk menguruskan krisis ini dengan lebih rasional.

Iran sejak semalam, sudah mengumumkan bahawa insiden pembunuhan Qassem ini, menandakan bahawa JCPOA yang selama ini mereka patuhi, sudah tidak lagi relevan. Iran kini sedang mewar-warkan bahawa mereka akan meningkatkan keupayaan Nuklear tanpa peduli akan sekatan sebelum ini.

Inilah yang diumpan Amerika. Mereka mahu Iran menunjukkan wajah sebenar niat pembangunan teknologi nuklear. Jika Iran mengambil pendekatan ini, maka Iran telah pun termasuk ke dalam jerat yang dipasang Amerika. 

Golongan Hawkish dan Neo Con di Amerika sudah mula bercakap tentang kemungkinan Iran akan memperkayakan serta memberdayakan loji Nuklear Di Arak. Spekulasi tentang peningkatan usaha pengayaan uranium ke aras 20% yang membolehkan loji ini menghasilkan keupayaan persenjataan Nuklear sedang menjadi tajuk hangat perbincangan.

Kenyataan Iran bahawa mereka akan tidak akan lagi memberi komitmen kepada JCPOA dan akan melakukan pembangunan tanpa had dan sekatan termasuk di dalam kapasiti pengayaan uranium, jumlah kaji selidik nuklear dan tidak akan lagi mematuhi sekatan jumlah had pengempar (centrifuge) yang dikenakan ke atas mereka.

Kenyataan ini menimbulkan kebimbangan Rusia yang melihat Iran sedang mengambil langkah-langkah kurang cermat dan membuka ruang kepada Iran untuk termasuk di dalam perangkap provokasi Amerika. Rusia mahukan Iran tetap mematuhi JCPOA. Iran mengugut, untuk mencetuskan panik dan mahu negara berkepentingan dengan JCPOA untuk campurtangan dan mengenakan tekanan ke atas Amerika.

Weapon Of Mass Destruction atau Deflection

Iran sedang berada di dalam kedudukan yang memberikan kelebihan kepada mereka di atas tindak-tanduk agresif Amerika di bawah pentadbiran Trump. Menggunakan saluran diplomasi yang betul, Iran dapat menggunakan pengaruh negara-negara berkepentingan di dalam JCPOA. Pendekatan ‘strategic patience’ ini akan memberi tekanan kepada Amerika melalui negara-negara berkepentingan di dalam JCPOA seperti Rusia, China, Peranchis, United Kingdom dan Kesatuan Eropah.

Tekanan melalui saluran antarabangsa lain seperti Majlis Keselamatan PBB, mesti diusahakan supaya Amerika di bawah pentadbiran Trump akan mendapat kecaman dan isolasi dunia dalam tindakan unilateral mereka.

Trump bukanlah figura yang disenangi masyarakat dunia dan rakyat Amerika sendiri. Berhadapan dengan isu deep state pentadbirannya yang tidak berkesudahan, tindakan impeachment ke atasnya yang sedang diusahakan, maka Trump kedudukan Trump agak rapuh berbanding lawannya. 

Dalam tindakan ini, Trump dilihat oleh pemerhati-pemerhati geopolitik sedang menggunakan kad kuasa paling kuat di kala dia mempunyai keupayaan strategik dan strategi paling lemah.

Tetapi mampukah Iran untuk menahan diri dari membuat satu bentuk retaliasi yang bakal mengundang masalah lebih besar kepada mereka?

Terpulang pada Iran sama ada mahu tunduk kepada tekanan dalaman supaya bertindak keras, atau pun menggunakan pendekatan kesabaran strategik. Jika perlu menjalankan retaliasi, mereka harus memastikan ia berada di dalam kerangka yang dibenarkan undang-undang antarabangsa supaya Amerika Syraikat kekal terpulau dengan tindakan agresif mereka di atas tanah asing.



Mohd Aswanizam Bin Alias,
Pengarah,
Ihsan Strategic Research Centre (ISR)
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: