Monday, June 15, 2015

Tosei, Lori & Ekonomi...

0

Sementara menunggu jem untuk ke ofis, sempat membaca Business Insider pagi ini.

Segera teringat kepada Arwah Pak Halim. Tiada jawatan tinggi, hanya sebagai seorang pekerja am di ofis lama. Setiap kali dia datang membersihkan ruang pejabat saya, saya akan mengajak dia bersarapan setiap pagi.

Hanya dia teman sarapan saya. Tosei lembut satu dan segelas teh tarik. Sama menu kami berdua.

Setiap pagi, dia berceloteh, saya cuma mendengar. Tekun mendengar sebenarnya.

Ketika awal perkahwinan, agak lambat saya mendapat zuriat, dia selalu berpesan supaya rileks. "Allah bagi peluang untuk Nizam berhoney moon dulu, kenal mengenal antara satu sama lain"

Kerap saya berdating dengan isteri selepas habis kerja. Makan, tonton wayang, berkelah sambil membaca, berjalan-jalan dan sebagainya.

4 tahun kemudian, Alhamdulillah, Mifthahul Jannah dilahirkan. Begitu juga selang 4 tahun kemudiannya, Fatihah pula menyusul.

Walaupun rutin hariannya membersihkan pejabat, tapi nasihat-nasihat dan buah fikirannya tajam dan tak pernah perlukan roket sains untuk menjelaskan sesuatu perkara yang kompleks.

Membaca Business Insider pagi ini mengingatkan saya pada pendapatnya tentang kedudukan ekonomi negara pada suatu pagi hampir sedekad lepas.

Semua tercetus bila dia melihat tajuk akhbar di mana pemimpin politik negara sedang bersungguh menyatakan ekonomi Malaysia tidak bermasalah pada ketika itu.

"Pak Cik kurang yakin dengan kebenaran cakap menteri tu"

Saya tanya kenapa?

Pak Cik Halim jelaskan, setiap pagi sebelum dia ke pejabat, dia perlu lalui simpang empat di hadapan padang bandaran Butterworth. Simpang empat yang sentiasa sibuk dengan lori yang keluar masuk ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Sebelum ini, agak lambat untuk lepas dari simpang lampu isyarat disebabkan banyak lori di situ.

Tetapi lewat 3 hingga 4 bulan pada ketika itu, sangat jarang kelihatan lori beratur panjang di waktu pagi sewaktu dia ke pejabat saya.

Jadi, melalui pemerhatian jumlah lori di simpang itu, dia membuat kesimpulan yang ekonomi pada ketika itu tidak sekuat yang cuba dikosmetikkan oleh kenyataan menteri.

Saya mengangguk dan rasa bersetuju. Rupanya, apa yang dia katakan tu, turut dipersetujui oleh pakar ekonomi sebagai satu indikator mudah untuk menilai tahap kesihatan ekonomi sesebuah negara.

Walaupun seorang pembersih pejabat, tetapi pemikirannya dalam bab indikator mudah ini, setanding Warren Buffet.

Sudah lama dia meninggal dunia. Selepas ketiadaannya, sarapan saya hanya ditemani 3 surat khabar setiap pagi sehinggalah saya berkenalan pula dengan Mr Yap (bukan nama sebenar), seorang lelaki Cina berusia 50 an yang saya suspek dia seorang agen perisik asing yang muncul entah dari mana dan terus menyapa saya dan bertanya apa yang saya tahu tentang MH370. Hahah..

Tapi itu cerita lain.

Al fatihah utk Pak Halim dan semua arwah umat Islam yg kembali kepada Allah dengan keistimewaan masing2.



Penulisan Asal Di Sini.
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: