Wednesday, June 18, 2014

Evolusi Sang Politikus Bernama Khalid Samad

0
Siapa boleh lupa dengan peringatan tentang ancaman Kristianisasi yang diucapkan Khalid Samad pada 7 Ogos 1987 di Parit Amal, Johor. Sewaktu itu, beliau menjawat jawatan Setiausaha Pemuda PAS Pusat.



Kata-katanya dimuatkan di dalam  laporan kertas putih Parlimen 1988, Kertas Perintah 14, Tahun 1988, bertajuk Ke Arah Memelihara Keselamatan Negara. Tuan A Karim Omar pernah menulis tentangnya di sini

Kata Khalid Samad:

“ … seluruh Malaysia akan dikristiankan selewat-lewatnya pada tahun 2000 …”

Dua Puluh Satu kemudian, pada 2008,  berlaku Tsunami Politik. PAS mendapat beberapa negeri hasil kerjasama mereka dengan DAP. Bukan memerintah. Tetapi berterusan menurut perintah. Tetapi, bukan itu yang mahu dibicarakan dalam penulisan ini.

Apa yang mahu dibicarakan ialah, sebaik Tsunami itu berlaku, tiada lagi kata-kata penuh bersemangat dari seorang pemuda pejuang Islam yang satu ketika dahulu, tidak jemu-jemu mengingatkan masyarakat Malaysia bahawa ancaman Kristian itu benar-benar ada. Kata orang-orang tua, sekali air bah, sekali pantai berubah.

Media sosial mula memaparkan wajah-wajah Khalid Samad di tempat-tempat baru. Khalid yang dulu bukanlah yang sekarang. Dia kini dengan politik baru. Khalid mula bercakap tentang gereja dan memasuki gereja. Jika dulu evangelis Kristian adalah ancaman, tetapi sekarang evangelis Kristian adalah kawanan yang tidak boleh dicuitkan.




Selesa dengan Politik Baru, Khalid Samad sudah tidak janggal lagi melakukan sesuatu yang amat Tabu kepada sistem pemikiran politik PAS satu ketika dulu. Dulu PAS cukup ‘kolot’, tetapi kini aras kemodenan Islam Moderate PAS sudah mencapai tahap yang telah dicapai oleh Anwar Ibrahim.

Khalid mula dilihat melepak, minum dan makan di tempat-tempat yang dikira janggal untuk pemimpin PAS melepak sebelum demam politik baru ini.


Tahun 2010, dia menyertai sahabatnya untuk gerakan Fund Raiser yang diadakan di Restoran Mutiara Palace Damansara. Asyik dengan kesedapan hidangan Restoran Mutiara Palace Damansara, Khalid terlepas peluang beraksi untuk bergambar sebagaimana seorang Lebai politik semeja dengannya sedang berposing.


Sebentar tadi, sekali lagi Khalid Samad mencuri tumpuan media dengan gaya Politik Barunya. Kali ini, isu melibatkan rampasan Bible di Selangor. Kenyataannya boleh ditonton di bawah :



Ramai yang menggelengkan kepala. Tetapi, jika anda mengikuti perkembangan politik Khalid Samad dan membaca catatan ini dengan bersabar, anda semua pasti tidaklah terkejut sangat.

1987 hingga 2014, tempohnya 27 tahun. Ada manusia berubah. Ada manusia tidak berubah.  
Jika ada yang merasakan kuasa itu datang melalui peti-peti undi kepada manusia, jelas mereka mengambil jalan kefahaman yang salah.

Suka saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat pengunjung satuhala dengan ayat berikut..

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". (Ali Imran ayat 26 - 27)

Undi manusia tidak akan mengangkat manusia ke puncak kuasa. Allah-lah yang akan melakukannya.


Ya.. Allah Tuhan Yang Maha Esa. Bukan Tuhan Satu Dalam Tiga.
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: