Wednesday, November 6, 2013

Orang Lain Sudah Melupakan Bulan..

6
Oleh : Imran Haaz

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Pagi ini satu berita dimuatkan. India melancarkan pesawat angkasa yang akan ditugaskan mengorbit planet Marikh. Russia telah mencuba. China juga telah mencuba tetapi gagal. Jepun juga tidak ketinggalan. Mereka gagal. Tetapi mereka tetap di dalam kedudukan telah mencuba. Mereka akan terus mencuba kerana itu sifat dan jati diri mereka yang mendambakan kemajuan.



Di mana pula kita dan Negara-negara Islam yang lain? Masih berbunuh dan bergaduh sesama sendiri kerana ada yang merasakan diri lebih Islamik dari manusia Islam yang lain? Masih lagi bergelak tawa suka tersenyum dan tersengih mendengar hukum air mani, hisap susu isteri ketika anak sendiri sudah masuk universiti dan bakal berumahtangga di dalam ceramah-ceramah agama? Sepatutnya mereka semua sudah tahu tentang itu semua sebelum mendirikan rumahtangga. Ini sangat pelik. Banyak yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Banyak yang sangat tidak kena dengan sistem pendidikan agama kita. Banyak yang sangat tidak kena dengan golongan ‘berpakaian agama’ kita. Banyak yang sangat tidak kena dengan sistem pemikiran kita semua sendiri.

Sex sells, di mana pun ia diungkapkan. Bukan setakat filem, majalah, drama, dokumentari, akhbar dan iklan-iklan kapitalis, malah sex turut sells di dalam ceramah-ceramah agama berorientasikan jumlah pendengar dan bukan kualiti ilmu yang disampaikan kepada pendengar. Bukan sedikit golongan ‘berpakaian agama’ yang menjadi hartawan menjaja hukum-hukum berbaur konotasi seksual popular di dalam ceramah-ceramah mereka.

“Ini hukum. Ia mesti disampaikan,” Come on la Syeikh. Kalau yang disampaikan hukum tersebut merupakan anak-anak remaja yang perlu belajar tentang hukum-hukum tersebut dan bakal-bakal pengantin, itu memang kena dengan tempatnya. Di dalam ceramah terbuka yang dihadiri bapa-bapa dan tok-tok wan orang yang sudah beranak pinak dan bercicit piut, dan subjek ini merupakan subjek utama yang dipalugendangkan, tidak dapat tidak, kita tertanya, apakah hanya setakat itu sahaja yang kita mampu gali keluar dari agama ini untuk dihidangkan kepada manusia-manusia muslim yang dahagakan ilmu dan kehebatan? Apakah hanya subjek itu sahaja yang mahu didengari khalayak muslim? Jika itu kecenderungan mereka, maka umat ini merupakan umat yang sangat berpenyakit.

“Bukan saya yang nak sebut, orang dah Tanya, saya jawab saja,” Ungkapan klise umpama rekod rosak berulang-ulang yang tak pernah gagal untuk menjinakkan mana-mana pihak yang mempersoalkan kecenderungan kandungan seksual di dalam ceramah agama. Tanpa kandungan seksual terbabit, 40% dari hasil tabung kutipan tentu sahaja berkurang. Orang Melayu sukakan segalanya tentang seks. Kerana itu Hukum Kanun Melaka dipenuhi undang-undang yang dibuat bagi mengekang kecenderungan serta kebuasan seksual golongan-golongan tertentu di dalam negeri Melayu. Ia supaya manusia di alam Melayu dapat hidup aman, damai dan tenteram dan menghormati hak antara satu sama lain. Kerana sultan yang buas nafsu seksualnya itu jugalah Melaka runtuh dan tidak bangkit kembali sehingga hari ini.

Mereka menepis dengan mengatakan mereka hanya menjawab soalan yang ditanyakan. Entah siapa yang bertanya kita pun tidak pasti sebenarnya. Diri sendiri, orang sendiri atau memang benar ia ditanya, Allah sahaja yang mengetahui. Bertahun memantau gerakan televangelis Kristian di luar Negara, saya melihat kecenderungan yang sama sedang menjangkiti ‘golongan berpakaian agama’ kita. Kitajuga sudah maju. Kita juga tidak kurang hebatnya dengan televangelis dan youtubevangelis kita sendiri. Menarik sekali filem Leap Of Faith lakonan Steve Martin. Modus Operandi ‘golongan berpakaian agama’ mencari untung disebalik topeng agama dilondehkan secara santai di dalam sebuah persembahan komedi.



Berbalik kepada real time di bumi Nusantara.

Jang masih tidak ke mana. Jika dulu omaknya bersungut orang lain sudah ke bulan dan dia masih berkhayal tentang cinta dan tidak berbuat apa-apa. Hari ini, tentu sahaja omak Jang terpaksa menggelengkan kepala sekali lagi kerana terpaksa menukar lirik.

“Orang ke Marikh, Ekau di mano?”

Sawah sudah dijual kepada bekas golongan imigran yang membuat harta dan kaya raya di bumi sendiri. Tapi Jang masih khayal dengan cinta, lagu cinta, novel cinta, filem cinta segala-galanya cinta. Hari-hari cinta. Patutlah Jang tidak ke mana. Dijejali dosis cinta melampau saban hari dari bangun tidur hingga ke tempat tidur kembali, dari apa yang dilihat, dirasa dan dibaca, menjadikan pemikiran lojik Jang tertutup sepenuhnya.

“Love not only blind but makes you stupid,” 1 itu kata-kata Prof. Robin Dunbar. Seorang pakar evolusi psikologi di Universiti Oxford. Dia mengatakan dosis cinta menyebabkan prefrontal cortex manusia tertutup fungsinya ketika perasaan manusia berbunga-bunga.


Tidak cukup dengan itu, laman web Medical Daily kemudiannya memaparkan kajian saintifik yang dijalankan oleh Prof. Semi Zekir berkenaan fungsi otak yang ‘melumpuh’ kerana cinta. Semi Zekir merupakan Professor Neuro-Aesthetics di University College London 2. Dia menyatakan penemuan yang sama. Pre Frontal cortex manusia akan tertutup dan menipu manusia tatkala diri terlalu memuja seseorang manusia. Tidak terhad kepada cinta kepada wanita, taksub kepada pemimpin dan keluarga terdekat juga menutup fungsi ini dari berfungsi dengan baik.


Bukankah Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam al Qur’an bahawa bahagian pre frontal cortex manusia itulah yang menyebabkan manusia tertipu dan menipu diri sendiri sehingga menolak hidayah.

Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), Ubun-ubun yang berdusta, yang bersalah! (al Alaq ayat 15 hingga 16)

Ayat yang menceritakan mengenai golongan manusia yang mahukan orang-orang Islam tercampak  keluar dari sisi rahmat Allah. Secara spesifik, ia berkenaan dengan kisah Abu Jahal yang menghalang Rasulullah s.a.w. dari melakukan amal ibadat. Kejahilan serta perbuatan-perbuatannya menyebabkan dirinya digelarkan dengan nama Abu Jahal. Dia menghalang dirinya sendiri dari memikirkan tentang kebenaran yang disampaikan Rasulullah s.a.w. ketaksubannya kepada apa yang dia tahu palsu menyebabkan ubun-ubunnya (pre frontal lobe-nya) tertutup rapat. Mindanya langsung tertutup. Mata hatinya juga kemudian tertutup. Dan Allah merakamkan penyakit mindanya kerana perbuatannya sendiri. 

Hanya kini, penyakit di dalam minda Abu Jahal diakui betul oleh sains sebagaimana yang dinyatakan di dalam al Qur’an 1400 tahun yang lampau. Kita tidak memerlukan sains untuk percaya apa yang ada di dalam al Qur'an. Sains tetap selamanya akan berada dibelakang al Qur'an dari segi ilmu dan pencapaian. Cuma malangnya kita tidak mahu meneroka ilmu-ilmu hebat di dalam al Qur'an. Kita hanya suka dengan candu yang menyeronokkan.

Doktor cinta, Prof. Cinta, Pakar Cinta, Laskar Cinta, Kapten Cinta, Korporal Cinta, Leftenen Cinta, Ustaz Cinta, Pembantu Ustaz Cinta, Rabbi Cinta, Wali Agung Cinta, Almarhum Cinta, Encik Cinta, Juruteknik Cinta bla bla bla bla blab la bla bla bla bla bla bla. Semua mahu jadi pakar cinta di dunia sebelah sini. Maka kekallah Jang ternga-nga ketika mendongak langit mencari kalimah Allah pada gumpal awan untuk terkejut dan kagum kepada kebesaran Allah, ketika awan tanpa kewujudan kalimah  itu sendiri merupakan kebesaran Allah yang sangat nyata.  

Salahkah bercinta? Sedikit dosis Cinta itu sepatutnya membawa kebaikan. Jika perlu berbicara tentang cinta, halakan ia kepada cinta-cinta yang menuju kepada redha Allah. Ustaz Kazim melakukannya dengan baik. Ia satu contoh ikutan yang baik. Begitu juga dengan beberapa orang ustaz dan ustazah lain yang tahu bagaimana menggunakan subjek cinta untuk memacu kehendak manusia untuk menggunakan cinta bagi mendekati Allah. Tetapi jika 247365 cinta tidak habis-habis dari bangun tidur hingga tidur kembali dan bangun tidur balik dengan dosis cinta tanpa henti, maka tidak hairanlah kenapa kita gagal melangkah maju ke hadapan kerana sedap terbuai dengan candu cinta tanpa henti dan tanpa sempadan.

Berbalik sekali lagi kepada real time di bumi Nusantara.

Jang yang tadi tercandu, sudah setapak maju. Apa kurangnya dengan Jang. Jang sudah mencapai bulan. Ya, benar. Jang sudah mencapai bulan dengan bersemangat mengangkat bulan dikain berkibar dihujung runcing buluh panjatan musim pergaduhan politik.

Itu sahaja yang kita tahu? Bergaduh sesama sendiri tanpa henti? Kekallah kita dengan bulan pada kain rabak di atas pokok pinang, pada ketika manusia lain sedang sibuk bersatu memburu tempat di Marikh.

Bukankah kita yang sepatutnya berada di tempat mereka? Bukankah al Qur’an itu diturunkan kepada kita? Bukankah al Qur’an itu panduan untuk umat manusia menjadi selamat dan maju di dunia dan akhirat? Bukankah al Qur’an itu sepatutnya memacu kita menjadi umat manusia paling maju, digeruni kerana persaudaraan kita yang kukuh dan menjadikan kita sebagai golongan yang menguasai dunia sepenuhnya?
Jadi kenapa kita dipandang lekeh, malas, suka bergaduh, bodoh, cepat percaya perkara tahyul Kitab apa yang kita baca sebenarnya selama ini?

Al Qur’an itu tidak pernah silap. Yang silap ialah golongan yang bertanggungjawab menyampaikannya, menyampaikannya dengan penuh tidak bertanggungjawab. Yang silap ialah golongan pemerintah, yang perlu bertanggungjawab memastikannya disampaikan, menyampaikannya dengan kadar melepaskan batuk di tepi tangga. Yang silap, ialah kita sebagai ibubapa, tidak tahu dan tidak mampu untuk memperkasakan pengetahuan al Qur’an secara first hand kepada anak-anak kita sendiri. Mereka mendapat input-input yang membosankan tentang al Qur’an. Mereka mendapat input-input yang mereka tafsirkan pelajaran al Qur’an itu sesuatu yang membebankan serta membosankan. Kenapa ia jadi sedemikian rupa?

Apakah kerana mahu orang ramai mendengar ilmu-ilmu agama maka suntikan perkara berbau seksual dan hilai ketawa sehingga menyeringai bunyinya diperlukan kita?

Seorang pelawak apabila ia hanya bermodalkan lawak lucah, double meaning dan mencela kekurangan manusia lain ialah pelawak korup dari golongan dengan keupayaan minda terendah yang tidak dapat menawarkan apa-apa kecuali hiburan kosong dan korup kepada manusia.

Seorang penyanyi apabila ia hanya bermodalkan kisah kontroversi lucah, lagu lucah  dan pergerakan tarian berbau seksual ialah penyanyi korup dari golongan dengan keupayaan minda terendah yang tidak dapat menawarkan apa-apa kecuali hiburan kosong dan korup kepada manusia.

Seorang pelakon apabila ia hanya bermodalkan kisah kontroversi lucah, gambar-gambar seksi  dan sikap dan perangai ting tong ialah pelakon korup dari golongan dengan keupayaan minda terendah yang tidak dapat menawarkan apa-apa kecuali hiburan kosong dan korup kepada manusia.

Bagaimana pula dengan golongan ‘berpakaian agama’ yang melakukan perkara yang serupa? Apakah pakaian yang dipakai mereka menghalang diri mereka daripada dikritik manusia lainnya? Apakah jubah yang dipakai itu jubah hikmat yang menepis semua manusia dari berani melemparkan kritikan kepada perbuatan mereka yang merosakkan imej golongan agama dan minda khalayak yang menonton mereka? 

Apakah kerana yakin mempunyai ramai peminat taksub dan tegar menyebabkan mereka boleh terus menerus melakukannya kerana faham bila pre frontal cortex manusia tertutup, mereka akan berterusan menyokong secara menyondol tanpa fikir? INilah dia yang selama ini disebut berkali-kali di dalam blog ini. Inilah dia Kryptonite Minda Muslim. Kryponite yang melumpuhkan pemikiran lojik manusia Islam di muka bumi sebelah sini sehingga menyebabkan kita berterusan bergaduh kerana sepotong tanah di bumi ketika manusia lain meneroka permukaan planet lain.

Orang lain sudah ke Marikh. Kita pula bila mahu berhijrah sikap? Kita mesti kembali kepada al Qur’an dan Sunnah sebagaimana ianya ditinggalkan kepada kita sebagai panduan. Semoga golongan agama yang ikhlas berjuang demi Allah akan kembali ramai menenggelamkan golongan yang merosakkan agama dari dalam. Itu harapan yang disertai doa dan usaha. Tanpa golongan ini, kita akan berterusan bergaduh sesama sendiri.

Tiada Negara Islam Madinah Tanpa Hijrah,
Tiada Hijrah Tanpa Perpaduan dan Persaudaraan Sesama Islam,
Tiada Perpaduan tanpa ilmu dan kesabaran,
Dan Ilmu dan Kesabaran itu diperolehi setelah sedekad Umat Islam menahan ujian bersama Rasulullah s.a.w di Makkah.

Sahabat kita di Brunei telah melangkah kerana suara umat Islam di sana bergetar di dalam satu suara. Kita bila lagi mahu menyediakan platform dan mangkin supaya penghijrahan sistem pemerintahan itu dapat dilaksanakan dgn cepat dan dekat? Tanpa perpaduan umat Islam, jangan harap ia akan berlaku dekat. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan sunnahnya. Cuma kita membutakan mata kerana gagal mengekang nafsu permusuhan sesama kita.

Semoga tahun baru ini, membuka lembaran yang semakin positif di dalam pembinaan landasan menuju perpaduan umat Islam. Itu dulu, yang lain akan menyusul kemudian. Kita akan melangkau lebih jauh dari Marikh ketika semua ini berlaku. In Sya Allah..


Rujukan :


2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

6 comments:

...Juwita Maya... said...

Saudara Imran,
Secara peribadinya saya sangat menyukai segala yg ditulis oleh saudara di sini. Cara penyampaian dan bahasanya saya fahami dengan sekali baca sahaja berbanding dengan beberapa artikel di sini (tak semua lah) yg saya perlu baca beberapa kali untuk betul2 memahaminya.

Anonymous said...

Salam IH,

ya..kami ni pun sedang menunggu gergasa gergasi politik untuk buang yg keruh, ambil yg jernih..

Mantapkan agama n ekonomi..sampai bila nak "memperkasakan bangsa M"..tak perkasa pun..laungan meluap2..implementation mcm 'tut'



adila_alim said...

Assalammualaikum wbt tuan,
Adakalanya pernah saya terfikir kenapa terdapat ceramah ada je yang berbau seks, rimas saya, tidak perasankah penceramah audiens yang hadir bukan sahaja para suami isteri tapi ada juga remaja belasan tahun. Lagi saya terfikir bila remaja itu pun turut tertawa, apakah yang dibayangkan oleh mereka, adakah mereka tertawa kerana ikut tertawa atau memang mereka faham apa yang dimaksudkannya? Bertambah fikir saya, berapa berat masalah remaja sekarang seks sudah menjadi ruji dalam kehidupan kita. Mungkin penceramah dah disuntik dengan ubat bila nak mengubati rasa bosan adalah dengan mencuit bab itu. Penceramah semakin tidak kreatif atau daya fikir kita yang semakin melayu.

satuhala said...

Juwita Maya..
Segala puji bg Allah. Blog ini ada berbagai jenis sahabat dgn kecenderungan minat yg pelbagai yg mengunjunginya.

Ada yg suka dgn penulisan pendek, ada yg suka dgn penulisan detail dan panjang berjela dan ada yang menyukai penulisan dgn teguran santai seperti di atas.

Perbezaan kecenderungan ini ialah satu rahmat buat kita semua.

Muslim ibarat warna-warna pelangi dengan setiap seorang dr mereka mempunyai warna yang berbeza. Ketika kesemua mereka bersatu dalam satuhala jalan menuju Allah, maka Islam itu akan kelihatan putih semula sama seperti gabungan warna2 tersebut yang membentuk cahaya putih apabila disatukan bersama. Semoga Islam kembali putih dgn penyatuan umat Islam satu hari nanti.

satuhala said...

Tanpa nama November 9, 2013 at 12:46 AM,
Saya juga tertunggu dgn perkara yg serupa.

satuhala said...

Wa'alaikumsalam Adilla-alim,
Benar perhatian Adilla. Terlalu bergantung kpd lawak berbaur seks utk menghidupkan suasana ceramah dan pengajaran, menumpulkan akal bukan sahaja si penceramah dan pengajar, malah anak2 murid yg sedang menerima pelajaran. malang sekali, mereka tidak sedar bhw dgn menggunakan lawak sedemikian, mereka merendah-rendah daya intelektual mrk yang seharusnya dipandang tinggi oleh masyarakat. Mrk tidk kisah langsung dgn sensitiviti audiens. Malah audiens yg tidak senang dgn pendekatan mrk sentiasa mendapat sindiran sebagai mrk2 yg tidak terbuka dgn pendekatan lucah di bawah kopiah terbabit. Selagi agama kita diajarkan oleh golongan pelucah di bawah topen kopiah ini, selagi itu kita tidak boleh mengharapkan akan berlakukan anjakan pemikiran dikalangan umat Islam dalam tempoh terdekat.