Oleh : Imran Haaz
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Pagi ini satu berita
dimuatkan. India melancarkan pesawat angkasa yang akan ditugaskan mengorbit planet
Marikh. Russia telah mencuba. China juga telah mencuba tetapi gagal. Jepun juga
tidak ketinggalan. Mereka gagal. Tetapi mereka tetap di dalam kedudukan telah mencuba. Mereka akan
terus mencuba kerana itu sifat dan jati diri mereka yang mendambakan kemajuan.
Di mana pula kita dan Negara-negara Islam yang lain? Masih
berbunuh dan bergaduh sesama sendiri kerana ada yang merasakan diri lebih
Islamik dari manusia Islam yang lain? Masih lagi bergelak tawa suka tersenyum
dan tersengih mendengar hukum air mani, hisap susu isteri ketika anak sendiri
sudah masuk universiti dan bakal berumahtangga di dalam ceramah-ceramah agama? Sepatutnya
mereka semua sudah tahu tentang itu semua sebelum mendirikan rumahtangga. Ini
sangat pelik. Banyak yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Banyak yang
sangat tidak kena dengan sistem pendidikan agama kita. Banyak yang sangat tidak
kena dengan golongan ‘berpakaian agama’ kita. Banyak yang sangat tidak kena dengan sistem pemikiran kita semua sendiri.
Sex
sells, di mana pun ia diungkapkan. Bukan setakat filem, majalah, drama,
dokumentari, akhbar dan iklan-iklan kapitalis, malah sex turut sells di dalam
ceramah-ceramah agama berorientasikan jumlah pendengar dan bukan kualiti ilmu
yang disampaikan kepada pendengar. Bukan sedikit golongan ‘berpakaian agama’
yang menjadi hartawan menjaja hukum-hukum berbaur konotasi seksual popular di
dalam ceramah-ceramah mereka.
“Ini
hukum. Ia mesti disampaikan,” Come on la Syeikh. Kalau yang disampaikan hukum tersebut merupakan
anak-anak remaja yang perlu belajar tentang hukum-hukum tersebut dan
bakal-bakal pengantin, itu memang kena dengan tempatnya. Di dalam ceramah
terbuka yang dihadiri bapa-bapa dan tok-tok wan orang yang sudah beranak pinak
dan bercicit piut, dan subjek ini merupakan subjek utama yang dipalugendangkan,
tidak dapat tidak, kita tertanya, apakah hanya setakat itu sahaja yang kita
mampu gali keluar dari agama ini untuk dihidangkan kepada manusia-manusia
muslim yang dahagakan ilmu dan kehebatan? Apakah hanya subjek itu sahaja yang
mahu didengari khalayak muslim? Jika itu kecenderungan mereka, maka umat ini
merupakan umat yang sangat berpenyakit.
“Bukan
saya yang nak sebut, orang dah Tanya, saya jawab saja,” Ungkapan
klise umpama rekod rosak berulang-ulang yang tak pernah gagal untuk menjinakkan
mana-mana pihak yang mempersoalkan kecenderungan kandungan seksual di dalam
ceramah agama. Tanpa kandungan seksual terbabit, 40% dari hasil tabung kutipan
tentu sahaja berkurang. Orang Melayu sukakan segalanya tentang seks. Kerana itu
Hukum Kanun Melaka dipenuhi undang-undang yang dibuat bagi mengekang kecenderungan
serta kebuasan seksual golongan-golongan tertentu di dalam negeri Melayu. Ia supaya
manusia di alam Melayu dapat hidup aman, damai dan tenteram dan menghormati hak
antara satu sama lain. Kerana sultan yang buas nafsu seksualnya itu jugalah
Melaka runtuh dan tidak bangkit kembali sehingga hari ini.
Mereka menepis dengan mengatakan mereka hanya menjawab
soalan yang ditanyakan. Entah siapa yang bertanya kita pun tidak pasti
sebenarnya. Diri sendiri, orang sendiri atau memang benar ia ditanya, Allah
sahaja yang mengetahui. Bertahun memantau gerakan televangelis Kristian di luar
Negara, saya melihat kecenderungan yang sama sedang menjangkiti ‘golongan berpakaian
agama’ kita. Kitajuga sudah maju. Kita juga tidak kurang hebatnya dengan
televangelis dan youtubevangelis kita sendiri. Menarik sekali filem Leap Of
Faith lakonan Steve Martin. Modus Operandi ‘golongan berpakaian agama’ mencari
untung disebalik topeng agama dilondehkan secara santai di dalam sebuah
persembahan komedi.
Berbalik kepada real
time di bumi Nusantara.
Jang masih tidak ke mana. Jika dulu omaknya bersungut orang
lain sudah ke bulan dan dia masih berkhayal tentang cinta dan tidak berbuat
apa-apa. Hari ini, tentu sahaja omak Jang terpaksa menggelengkan kepala sekali
lagi kerana terpaksa menukar lirik.
“Orang ke Marikh, Ekau di mano?”
Sawah sudah dijual kepada bekas golongan imigran yang membuat harta dan kaya
raya di bumi sendiri. Tapi Jang masih khayal dengan cinta, lagu cinta, novel
cinta, filem cinta segala-galanya cinta. Hari-hari cinta. Patutlah Jang tidak
ke mana. Dijejali dosis cinta melampau saban hari dari bangun tidur hingga ke
tempat tidur kembali, dari apa yang dilihat, dirasa dan dibaca, menjadikan
pemikiran lojik Jang tertutup sepenuhnya.
“Love not only blind but makes you stupid,” 1
itu kata-kata Prof. Robin Dunbar. Seorang pakar evolusi psikologi di Universiti
Oxford. Dia mengatakan dosis cinta menyebabkan prefrontal cortex manusia tertutup
fungsinya ketika perasaan manusia berbunga-bunga.
Tidak cukup dengan itu, laman web Medical Daily kemudiannya
memaparkan kajian saintifik yang dijalankan oleh Prof. Semi Zekir berkenaan
fungsi otak yang ‘melumpuh’ kerana cinta. Semi Zekir merupakan Professor
Neuro-Aesthetics di University College London 2. Dia menyatakan penemuan yang sama. Pre Frontal cortex
manusia akan tertutup dan menipu manusia tatkala diri terlalu memuja seseorang
manusia. Tidak terhad kepada cinta kepada wanita, taksub kepada pemimpin dan
keluarga terdekat juga menutup fungsi ini dari berfungsi dengan baik.
Bukankah Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam al Qur’an
bahawa bahagian pre frontal cortex
manusia itulah yang menyebabkan manusia tertipu dan menipu diri sendiri
sehingga menolak hidayah.
Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak
berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap
ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), Ubun-ubun yang berdusta, yang
bersalah! (al Alaq ayat 15 hingga 16)
Ayat yang menceritakan
mengenai golongan manusia yang mahukan orang-orang Islam tercampak keluar dari sisi rahmat Allah. Secara
spesifik, ia berkenaan dengan kisah Abu Jahal yang menghalang Rasulullah s.a.w.
dari melakukan amal ibadat. Kejahilan serta perbuatan-perbuatannya menyebabkan
dirinya digelarkan dengan nama Abu Jahal. Dia menghalang dirinya sendiri dari
memikirkan tentang kebenaran yang disampaikan Rasulullah s.a.w. ketaksubannya
kepada apa yang dia tahu palsu menyebabkan ubun-ubunnya (pre frontal lobe-nya)
tertutup rapat. Mindanya langsung tertutup. Mata hatinya juga kemudian
tertutup. Dan Allah merakamkan penyakit mindanya kerana perbuatannya sendiri.
Hanya
kini, penyakit di dalam minda Abu Jahal diakui betul oleh sains sebagaimana
yang dinyatakan di dalam al Qur’an 1400 tahun yang lampau. Kita tidak memerlukan sains untuk percaya apa yang ada di dalam al Qur'an. Sains tetap selamanya akan berada dibelakang al Qur'an dari segi ilmu dan pencapaian. Cuma malangnya kita tidak mahu meneroka ilmu-ilmu hebat di dalam al Qur'an. Kita hanya suka dengan candu yang menyeronokkan.
Doktor cinta, Prof. Cinta, Pakar Cinta, Laskar Cinta, Kapten
Cinta, Korporal Cinta, Leftenen Cinta, Ustaz Cinta, Pembantu Ustaz Cinta, Rabbi
Cinta, Wali Agung Cinta, Almarhum Cinta, Encik Cinta, Juruteknik Cinta bla bla bla bla blab la bla bla bla bla bla bla.
Semua mahu jadi pakar cinta di dunia sebelah sini. Maka kekallah Jang
ternga-nga ketika mendongak langit mencari kalimah Allah pada gumpal awan untuk
terkejut dan kagum kepada kebesaran Allah, ketika awan tanpa kewujudan kalimah itu sendiri merupakan kebesaran Allah yang
sangat nyata.
Salahkah bercinta? Sedikit dosis Cinta itu sepatutnya
membawa kebaikan. Jika perlu berbicara tentang cinta, halakan ia kepada cinta-cinta yang menuju kepada redha Allah. Ustaz Kazim melakukannya dengan baik. Ia satu contoh ikutan yang baik. Begitu juga dengan beberapa orang ustaz dan ustazah lain yang tahu bagaimana menggunakan subjek cinta untuk memacu kehendak manusia untuk menggunakan cinta bagi mendekati Allah. Tetapi jika 247365 cinta tidak habis-habis dari bangun tidur
hingga tidur kembali dan bangun tidur balik dengan dosis cinta tanpa henti,
maka tidak hairanlah kenapa kita gagal melangkah maju ke hadapan kerana sedap
terbuai dengan candu cinta tanpa henti dan tanpa sempadan.
Berbalik sekali lagi kepada real time di bumi Nusantara.
Jang yang tadi tercandu, sudah setapak maju. Apa kurangnya
dengan Jang. Jang sudah mencapai bulan. Ya, benar. Jang sudah mencapai bulan
dengan bersemangat mengangkat bulan dikain berkibar dihujung runcing buluh
panjatan musim pergaduhan politik.
Itu sahaja yang kita tahu? Bergaduh sesama sendiri tanpa
henti? Kekallah kita dengan bulan pada kain rabak di atas pokok pinang, pada
ketika manusia lain sedang sibuk bersatu memburu tempat di Marikh.
Bukankah kita yang sepatutnya berada di tempat mereka? Bukankah
al Qur’an itu diturunkan kepada kita? Bukankah al Qur’an itu panduan untuk umat
manusia menjadi selamat dan maju di dunia dan akhirat? Bukankah al Qur’an itu
sepatutnya memacu kita menjadi umat manusia paling maju, digeruni kerana
persaudaraan kita yang kukuh dan menjadikan kita sebagai golongan yang
menguasai dunia sepenuhnya?
Jadi kenapa kita dipandang lekeh, malas, suka bergaduh, bodoh,
cepat percaya perkara tahyul Kitab apa yang kita baca sebenarnya selama ini?
Al Qur’an itu tidak pernah silap. Yang silap ialah golongan
yang bertanggungjawab menyampaikannya, menyampaikannya dengan penuh tidak
bertanggungjawab. Yang silap ialah golongan pemerintah, yang perlu
bertanggungjawab memastikannya disampaikan, menyampaikannya dengan kadar melepaskan
batuk di tepi tangga. Yang silap, ialah kita sebagai ibubapa, tidak tahu dan
tidak mampu untuk memperkasakan pengetahuan al Qur’an secara first hand kepada
anak-anak kita sendiri. Mereka mendapat input-input yang membosankan tentang al
Qur’an. Mereka mendapat input-input yang mereka tafsirkan pelajaran al Qur’an
itu sesuatu yang membebankan serta membosankan. Kenapa ia jadi sedemikian rupa?
Apakah kerana mahu orang ramai mendengar ilmu-ilmu agama maka suntikan perkara
berbau seksual dan hilai ketawa sehingga menyeringai bunyinya diperlukan kita?
Seorang pelawak apabila ia hanya bermodalkan lawak lucah,
double meaning dan mencela kekurangan manusia lain ialah pelawak korup dari golongan dengan keupayaan
minda terendah yang tidak dapat menawarkan apa-apa kecuali hiburan kosong dan korup kepada
manusia.
Seorang penyanyi apabila ia hanya bermodalkan kisah
kontroversi lucah, lagu lucah dan pergerakan
tarian berbau seksual ialah penyanyi korup dari golongan dengan keupayaan minda
terendah yang tidak dapat menawarkan apa-apa kecuali hiburan kosong dan korup kepada
manusia.
Seorang pelakon apabila ia hanya bermodalkan kisah
kontroversi lucah, gambar-gambar seksi dan sikap dan perangai ting tong ialah pelakon korup dari golongan dengan keupayaan minda terendah yang tidak dapat menawarkan
apa-apa kecuali hiburan kosong dan korup kepada manusia.
Bagaimana pula dengan golongan ‘berpakaian agama’ yang
melakukan perkara yang serupa? Apakah pakaian yang dipakai mereka menghalang
diri mereka daripada dikritik manusia lainnya? Apakah jubah yang dipakai itu
jubah hikmat yang menepis semua manusia dari berani melemparkan kritikan kepada
perbuatan mereka yang merosakkan imej golongan agama dan minda khalayak yang
menonton mereka?
Apakah kerana yakin mempunyai ramai peminat taksub dan tegar
menyebabkan mereka boleh terus menerus melakukannya kerana faham bila pre
frontal cortex manusia tertutup, mereka akan berterusan menyokong secara
menyondol tanpa fikir? INilah dia yang selama ini disebut berkali-kali di dalam
blog ini. Inilah dia Kryptonite Minda Muslim. Kryponite yang melumpuhkan
pemikiran lojik manusia Islam di muka bumi sebelah sini sehingga menyebabkan
kita berterusan bergaduh kerana sepotong tanah di bumi ketika manusia lain
meneroka permukaan planet lain.
Orang lain sudah ke Marikh. Kita pula bila mahu berhijrah
sikap? Kita mesti kembali kepada al Qur’an dan Sunnah sebagaimana ianya
ditinggalkan kepada kita sebagai panduan. Semoga golongan agama yang ikhlas
berjuang demi Allah akan kembali ramai menenggelamkan golongan yang merosakkan
agama dari dalam. Itu harapan yang disertai doa dan usaha. Tanpa golongan ini,
kita akan berterusan bergaduh sesama sendiri.
Tiada
Negara Islam Madinah Tanpa Hijrah,
Tiada Hijrah Tanpa
Perpaduan dan Persaudaraan Sesama Islam,
Tiada Perpaduan
tanpa ilmu dan kesabaran,
Dan Ilmu dan
Kesabaran itu diperolehi setelah sedekad Umat Islam menahan ujian bersama
Rasulullah s.a.w di Makkah.
Sahabat kita di
Brunei telah melangkah kerana suara umat Islam di sana bergetar di dalam satu
suara. Kita bila lagi mahu menyediakan platform dan mangkin supaya penghijrahan
sistem pemerintahan itu dapat dilaksanakan dgn cepat dan dekat? Tanpa perpaduan
umat Islam, jangan harap ia akan berlaku dekat. Rasulullah s.a.w. telah
menunjukkan sunnahnya. Cuma kita membutakan mata kerana gagal mengekang nafsu
permusuhan sesama kita.
Semoga tahun baru
ini, membuka lembaran yang semakin positif di dalam pembinaan landasan menuju
perpaduan umat Islam. Itu dulu, yang lain akan menyusul kemudian. Kita akan
melangkau lebih jauh dari Marikh ketika semua ini berlaku. In Sya Allah..
Rujukan :
2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.