Oleh : Imran Haaz/M.I.A.
Seorang gadis malang di India telah dirogol
beramai-ramai. Seolah ia satu pesta yang mengasyikkan. Satu Pakatan dibuat antara pemandu bas dan
beberapa rakan buasnya. Puas merogol, gadis malang itu dibelasah dan
kemudiannya dilempar keluar dari bas yang seharusnya membawa dia pulang dengan
selamat ke kediaman keluarganya. Insiden malang ini mencetuskan kemarahan di
seluruh dunia. Kita yang membacanya di sini juga terbakar dengan perasaan marah. Kita marah apabila manusia hilang perikemanusiaan demi melampiaskan nafsu serakah yang
hanya menghinggap secara sementara ke dalam cetusan ghairah di atas manusia
dengan tingkah abnormal ini. Cakap-cakap di dalam berita menyatakan, kes rogol
dicatatkan setiap 22 minit di India.
Pantas, rusuhan bertukar menjadi wabak
pernyataan rasa serta ekspresi betapa marahnya khalayak umum dengan berita yang
tumbuh keluar di dada-dada akhbar dan media sosial. Kerajaan, sistem
perundangan, sistem kepolisan, sistem ambil tahu masyarakat, sistem pengangkutan,
kebebasan tanpa sekatan dan banyak lagi perkara ini diletakkan pada lapang
sasar untuk dibidik oleh mereka-mereka yang tidak berpuas hati dengan parah
luka kejadian tersebut.
Segala usaha ditumpukan kepada gerakan untuk
menyelamatkan mangsa. Lalu dia diterbangkan ke Singapura, sebuah negara yang
pernah mencatatkan kegagalan satu eksperimen perubatan tidak bertanggungjawab
untuk memisahkan kembar siam Ladan dan Laleh satu ketika dulu. Ladan dan Laleh
datang penuh ceria sebagai jasad yang bersatu, malang sekali mereka pulang sebagai
dua mayat yang terpisah.
Entah kenapa harapan diberikan seolah mangsa
rogol ini akan mendapat sentuhan magis di sana. India yang terkenal dengan
universiti-universiti serta kolej-kolej perubatannya yang gah bernama cemerlang
sebelum ini mungkin sudah tidak lagi percaya dengan harapan.
Malang sekali anak gadis tersebut tidak dapat
diselamatkan. Segala usaha telah dilakukan. Maka api kemarahan yang sebelum ini
sudah marak di India, bagaikan dicurahkan dengan minyak. Masing-masing
menjerit-jerit dijalanan dan merusuh. Masing-masing menuntut pelaku jenayah
kekejaman diluar norma batasan akal manusia dihukum dengan hukuman setimpal.
Setimpal? Apa maksud mereka dengan tuntutan hukuman setimpal sebenarnya?
Oh.. sebelum dari itu, kita kembali ke Malaysia
buat sementara waktu. Kes-kes sebegini juga bukanlah sesuatu yang asing di
negara ini. Malah ada yang lebih kejam perlakuannya pernah menggemparkan
penduduk Malaysia yang waras. Tidak perlu disebutkan nama-nama mangsa bagi mengelakkan
waris-waris mereka kembali bersedih dengan kehilangan mereka-mereka yang
tersayang. Umum sedia tahu tentang kes-kes melampaui batasan kemanusiaan.
Mangsanya dari anak kecil sehingga ke nenek yang sudah berusia. Setiap kali
berlakunya peristiwa seumpama dengan yang telah berlaku di India, maka rakyat
jelata terutamanya waris-waris terdekat dengan mangsa menuntut keadilan
diberikan kepada mereka.
Mereka melaung-laungkan supaya si pelaku jenayah
terbabit dikenakan hukuman yang setimpal. Dari pihak menteri sehingga ke rakyat
jelata dan ahli mesyuarat kedai kopi, ke semua mereka bersatu di dalam satu
nada yang mahukan hukuman setimpal diberikan kepada pelaku jenayah tersebut.
Setimpal? Apa maksud mereka dengan hukuman setimpal sebenarnya?
Ketika sebahagian dari dunia yang gempar dengan
tragedi abnormal yang normal berlaku di India ini, muncul pula golongan yang
mahu menangguk populariti seolah-olah mereka itu sangat mahu memperjuangkan
keadilan sejagat. Ketika anak-anak kecil dirogol, bunuh, seksa dan dicincang di
Malaysia, mereka hanya membuat pekak, tuli dan buta. Tiada demonstrasi apatah
lagi membazirkan wang untuk membeli sebatang lilin bagi tujuan melakukan
upacara vigil. Itu tidak penting kata mereka. Tetapi apabila isu dakwat
pilihanraya dan isu-isu berkenaan hak meliwat dan bersenggama ala binatang,
pantas mereka mencari lilin di dalam laci untuk segera diadakan vigil sebagai
tanda bahawa hak asasi manusia itu telah mati di Malaysia. Biar sampai terbakar
tangan dan basah dalam hujan, mereka sanggup berdiri demi memperjuangkan hak
berjimak antara jantan sesama jantan melalui jalan kebun yang tidak subur. Tidak pernah pun kelihatan mereka mengadakan
vigil untuk anak-anak mangsa rogol di bumi Malaysia sebelum ini.
Tiba-tiba baru-baru ini, mereka menyatakan mereka mahu mengadakan vigil untuk
memperingati mangsa rogol terbabit. Seolah-olah mereka amat peka dan
mengharapkan keadilan untuk segera diberikan kepada mangsa. Apakah hari ini
mereka kurang sihat dan mengalami halusinasi temporan 1 bahawa tindakan mereka itu turut memperjuangkan hak
dan keadilan kepada si mangsa? Mereka menuntut keadilan, tetapi apakah keadilan
itu sebagaimana yang dimahukan oleh keluarga si mangsa?
Keluarga mangsa dan mereka-mereka yang
bersimpati dengan tragedi yang menimpa mangsa menuntut satu bentuk hukuman
setimpal diputuskan ke atas binatang-binatang yang menyarung jasad manusia
terbabit. Mereka mahukan hukuman setimpal. Setimpal? Apa maksud mereka dengan
hukuman setimpal sebenarnya?
Kanun Keseksaan bagi undang-undang jenayah
negara kita merupakan undang-undang yang dibentuk bedasarkan kepada Kanun
Keseksaan India (1860) yang dirangka oleh Suruhanjaya Undang-Undang India yang
diketuai oleh Lord Macaulay. Manakala perlembagaan dan kanun acara jenayah di
India pula merupakan satu adaptasi common law dan kanun acara jenayah yang
digunakan di British. Kedua-dua India dan Malaysia merupakan negara Komanwel.
Kelab negara dijajah kata Tun Mahathir satu ketika dulu.
Dalam kedua-dua negara, terdapat peruntukan
undang-undang bagi hukuman mati untuk kesalahan-kesalahan tertentu seperti
membunuh dan melancarkan mutini. Cuma lewat ini, muncul manusia-manusia yang
mengalami halusinasi temporan yang mahukan peruntukan bagi hukuman mati
dihapuskan sama sekali bagi semua jenis kesalahan terutamanya di Malaysia.
Kebanyakan dari mereka dan yang kuat menjuarai agenda menghapuskan samasekali
hukuman mati untuk semua kesalahan di Malaysia ini terdiri dari peguam yang
merangkap aktivis dan ahli politik yang kini bernaung di bawah Parti KeAdilan
Rakyat (PKR). Mereka kini galak mendesak kerajaan supaya semua bentuk hukuman
mati dihapuskan dari sistem undang-undang Malaysia.
Baru-baru ini, Naib Presiden parti, N. Surrendaran di
bawah kapasitinya sebagai pengasas kepada Lawyer For Liberty menyatakan serta mendesak pihak kerajaan supaya menghapuskan
semua bentuk hukuman mati di dalam sistem perundangan negara. Beberapa pihak
turut sama mendesak perkara yang sama atas satu alasan goyah bahawa hukuman
mati tidak akan menghalang pelaku jenayah dari melakukan jenayah. Keratan akhbar
mengenai perkara tersebut disertakan di bawah.
Democratic Action Party (DAP) pula merupakan
ahli kepada pertubuhan Socialist International (SI). SI merupakan sebuah pertubuhan yang turut bersekutu dengan World Labour Zionist Movement (WLZM) & Jewish Labour Bund (JLB). SI sebuah pertubuhan yang
antara lain memusatkan tumpuan kepada pembatalan semua bentuk hukuman mati dan
usaha-usaha ke arah itu di seluruh dunia. Alasan sama seperti yang dimainkan
sebelum ini iaitu hukuman mati tidak akan menghalang pelaku jenayah dari
melakukan jenayah. Bagi yang masih dibuai mimpi bahawa hukuman hudud akan dilaksanakan entiti-entiti ini bilamana mereka mendapat kuasa, maka bolehlah mula mengesat lelehan air liur basi untuk segera sedar dan bangun dari mamai yang berlanjutan begitu lama.
Keahlian Sedunia SI.(Klik)
Komitmen SI untuk menghapuskan semua bentuk hukuman mati (Klik sini)
Teks-teks perundangan sentiasa meletakkan neraca
keadilan seharusnya memenuhi fungsi-fungsi keadilan dengan harapan yang
berikut.Setiap undang-undang mengenai hukuman kepada jenayah perlu secara
kolektif mencapai maksud-maksud berikut :
i) Memenuhi hak-hak serta prinsip-prinsip
keadilan untuk si tertuduh.
ii) Memelihara struktur kestabilan
dan keamanan sosial di dalam masyarakat melalui jalan berikut:
a.
Menjadikan bentuk hukuman untuk
kesalahan jenayah mencapai maksud pencegahan (deterrence) untuk masyarakat.
b.
Pengelakan (prevention) dan menghilangupaya/pelumpuhan
(Incapacitation) bagi memastikan si
pelaku jenayah tidak dapat mengulangi lagi perlakuannya ke atas masyarakat.
c.
Pembaikan (Rehabilitation)
- mengenalpasti sisi-sisi perkara yang
mencetuskan jenayah tersebut dilakukan dan memperbaiki keupayaan diri si pelaku
jenayah untuk mempunyai ketahanan diri daripada mengulangi perlakuan yang
serupa.
d.
Pengutukan (Denunciation) –
menjadikan jenayah yang dilakukan mendiami sisi buruk di dalam persepsi
masyarakat supaya perlakuan tersebut sentiasa dianggap sesagai sesuatu yang
salah dan tidak dapat diterima oleh masyarakat manusia yang berfikiran normal.
e.
Pemulihan (Restoration) –
memastikan si pelaku jenayah tersebut, selepas menjalani tempoh hukuman atau
sebarang bentuk hukuman yang dikenakan ke atas mereka, akan keluar kepada
masyarakat sebagai seorang manusia yang tidak lagi menjadi ancaman serta
membahayakan kepada system sosial masyarakat.
Tetapi,
jarang sekali teks perundangan ciptaan manusia pada lewat ini memberi perhatian
kepada sisi psikologi, kesan trauma dan merawat rasa marah yang membara dan
mula membakar di dalam jiwa serta pemikiran mangsa dan keluarga mangsa.
Maka
atas sebab itulah timbulnya gesaan demi gesaan menghapuskan hukuman mati dari
mereka-mereka yang mendakwa diri mereka memahami undang-undang. Tetapi pada
hakikatnya gagal untuk memahami sisi psikologi dan kesan trauma yang terpaksa
dilalui oleh mangsa dan keluarga mangsa. Mereka seolah-olah menafikan fakta
bahawa api di dalam sekam itu lebih membahayakan jika tidak dipadam lebih awal.
Mereka juga seolah-olah gagal memahami bahawa jika ketidakpuasan hati mangsa
dan keluarga mangsa timbul kepada sistem keadilan yang dirasakan langsung tidak
memberikan keadilan kepada pihak mereka, pilihan membalas dendam dengan
mengambil inisiatif sendiri untuk memuaskan rasa tidak berpuas hati itu akan
tercetus. Lihat sahaja petikan akhbar berikut yang menyiarkan percubaan
mereka-mereka yang merasakan keadilan tidak akan dapat ditegakkan melalui
sistem keadilan India. Akan terdapat mereka-mereka yang menuntut bela atas
kematian tersebut. Tindakan lebih
ekstrem seperti cubaan mengebom rumah salah seorang pemangsa telah dikesan cuba
dilakukan. Jadi, sistem perundangan dan keadilan juga harus mengambilkira hati dan
perasaan golongan seperti ini yang perlu ditenteramkan melalui satu bentuk
hukuman yang akan melepaskan hati dan perasaan mereka dari dendam yang sedang
membakar dengan marak.
Selain
dari percubaan mengebom rumah suspek, kita melihat saban hari, semakin ramai
manusia di India mula mengeluarkan sisi-sisi emosi yang selama ini dipendam
mereka mengenai kegagalan sistem keadilan dan keselamatan sosial masyarakat
mereka. Mereka kini secara beramai-ramai mula mendesak hukuman mati, kasi dan
sebagainya dikenakan ke atas enam yang tertuduh tersebut. Lihat sahaja petikan
gambar di dalam keratan akhbar berikut.
Mereka mahukan hukuman setimpal. Bagi
mereka hukuman mati itu walaupun tidak setimpal, sekurang-kurangnya ia tetap
perlu dilaksanakan. Ini kerana hanya itulah sahaja pilihan yang ditawarkan
sistem perundangan ciptaan manusia yang lemah. Jika mahu tahu apakah definisi
hukuman setimpal yang dimahukan atau dimaksudkan, maka hendaklah keluarga
mangsa tersebut ditanyai tentang apa hasrat mereka berkenaan nasib manusia-manusia
yang telah merogol tanpa belas, memukul serta mengakibatkan kematian anak gadis
yang menjadi harapan kepada masa depan bahagia mereka. Pastinya hukuman mati
melalui hukuman gantung bukanlah hukuman setimpal yang mereka maksudkan. Mereka
pasti mahukan hukuman di dalam bentuk bunuh dengan perlakuan balas atau Qisas
seperti di dalam sistem keadilan Islam.
Wahai
orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas"
(balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu:
orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan
dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari
saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu)
mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula)
hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang
demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat
kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam
pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman
Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran,
supaya kamu bertaqwa. (al Baqarah ayat 178 hingga 179)
An eye
for an eye, tooth for a tooth seperti di dalam hukuman Allah di dalam agama
Islam sejak di zaman Bani Israel.
"Dan
Kami tetapkan atas mereka di dalamnya (Taurat) bahwa jiwa dibalas dengan jiwa,
mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan
gigi, dan luka luka pun ada Qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan hak Qisas,
maka melepaskan hak itu jadi penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan
perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang yang
zalim." [Al Maa-idah:45]
But
if there is serious injury, you are to take life for life, eye for eye, tooth
for tooth, hand for hand, foot for foot, burn for burn, wound for wound, bruise
for bruise. (Exodus fasal 21 ayat 23 hingga 25)
Adalah
menjadi sesuatu yang sangat normal di dalam memadamkan api dendam supaya tidak
melarat sekiranya hukuman setimpal sepertimana di dalam Qisas diberikan
pilihan. Dalam hal peruntukan Qisas ini, nasib kepada pelaku jenayah tersebut
jika telah dibuktikan bersalah oleh hakim, akan diserahkan kepada keluarga si
mangsa samada mahu dilaksanakan hukuman bunuh balas atau pun mengarahkan wang
tebusan darah dibayar atau pun mengambil pilihan yang lebih dekat dengan
keuntungan yang lebih iaitu dengan memberi keampunan kepada mereka-mereka yang
telah melakukan kesalahan. Pilihan tetap diberikan kepada keluarga mangsa untuk
diputuskan nasib pelaku-pelaku jenayah tersebut. Inilah hukuman setimpal yang diinginkan oleh
mana-mana keluarga mangsa yang dimangsai oleh apa sahaja perlakuan jenayah. Ia
suatu perkara normal yang cuba dinafikan. Lihat sahaja kepada contoh satu kes
penculikan yang pernah diselesaikan di Amerika Syarikat dan komentar keluarga
mangsa culik setelah ditanyai mereka berkenaan hukuman penjara yang diputuskan.
Laporan di sebelah ialah berkenaan kes penculikan
bayi kepada pasangan Tyson yang berlaku pada 1987. Bayi mereka yang pada ketika
itu berusia 3 minggu telah diculik oleh Ann Pettway yang mengalami masalah
kemurungan akibat beberapa kali keguguran. Menyamar sebagai seorang jururawat,
Pettway menceroboh masuk ke hospital dan menculik bayi tersebut untuk dijadikan
anaknya. Peristiwa tersebut benar-benar menghancurkan hati pasangan Tyson. Ibu
bapa mana yang dapat hidup tenteram jika anak mereka yang baru berusia 3 minggu
hilang secara tiba-tiba tanpa diketahui apa nasib yang menimpa bayi tersebut. Setelah
lebih dua dekad berlalu, bayi tersebut yang kini telah dewasa merasakan
terdapat kejanggalan mengenai akar darahnya dan asal usul dirinya. Lalu dia
mengambil keputusan untuk menghubungi National Centre For Missing and Exploited
Children. Dari sana dia mengambil keputusan untuk menjalani ujian DNA bagi
mencari keluarga sebenarnya. Dengan bantuan sistem rekod yang efisien, hasilnya
ibu bapa biologinya berjaya ditemui. Pettway kemudian ditahan dan kemudian
dibicarakan. Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan menculik.
Tetapi hukuman tersebut, masih belum dapat membalut luka serta trauma yang
mengahntui pasangan Tyson selama 23 tahun. Walaupun Carlina White, anak yang
diculik tersebut telah kembali ke pangkuan mereka, anak tersebut masih belum
dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan persekitaran keluarga yang baru.
Kata-kata ibu dan bapa Carlina White benar-benar menunjukkan sisi luka dan
trauma yang masih lagi menghantui hidup mereka. ‘Jiwa saya telah hancur kepada berjuta pecahan. Walaupun anak saya
telah pulang, hakikatnya dia masih belum sepenuhnya kembali.’ Joy White,
ibu kepada anak tersebut cuba menjelaskan luka dihatinya. ‘Selama 23 tahun kamu menyebabkan saya hidup di dalam kesengsaraan.
(perbuatan) Kamu telah menggantikan hati saya dengan seketul batu.’ Carl
Tyson, bapa kepada bayi tersebut menjelaskan pula sengsara yang dilaluinya. ‘Saya mahukan dia dipenjarakan selama 23 tahun.’
Bagi Carl Tyson, hukuman penjara 12
tahun yang dihukumkan ke atas Ann Pettway tidak cukup untuk dia menganggapnya
sebagai setimpal dengan apa yang telah dilakukan Ann ke atas keluarga mereka.
Jelas hukuman dalam bentuk keadilan ciptaan manusia tidak akan dapat memberikan
keadilan sebenar dan tidak akan dapat merawat luka kepada mereka-mereka yang
dimangsai. Ann Pettway bernasib baik kerana keluarga Tyson masih dapat mengawal
kemarahan mereka dengan sistem perundangan yang dirasakan tidak akan memberikan
keadilan kepada keluarga mereka. Perhatikan pula kes di bawah ini.
Kes ini melibatkan perasaan marah seorang ayah di
Jerman yang tidak terbendung. Peristiwa itu berlaku apabila dia mendapat
panggilan yang menyatakan bahawa seorang datuk kepada rakan sekelas anaknya,
meniduri anaknya sejak beberapa bulan yang berlalu. Marah dengan apa yang
berlaku, dia membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil
ke atas lelaki berusia 58 itu. Malang sekali apabila pihak polis menyampaikan
kepadanya bahawa mengikut undang-undang ciptaan manusia yang dikuatkuasakan di
sana, lelaki berusia 58 tahun yang meniduri anak perempuannya, secara
teknikalnya, tidak melakukan apa-apa bentuk kesalahan. Marah dengan keadaan
itu, dia mangambil keputusan untuk mendapatkan keadilan dan menjalankan
undang-undang sendiri yang dirasakannya bakal memberikan keadilan kepadanya.
Dengan bantuan beberapa rakan, dia menceroboh masuk ke kediaman lelaki
tersebut, membelasah dan seterusnya mengikat kaki dan tangan lelaki terbabit.
Ianya tidak habis di situ.
Bapa kepada anak gadis tersebut kemudiannya
mengeluarkan skalpel (pisau bedah) dan kemudian mengambil tindakan memotong
testikel lelaki terbabit. Setelah puas
melihat testikel lelaki terbabit dipotong, dia kemudiannya menghubungi ambulans.
Dia kemudian ditangkap dan dibicarakan. Amat jelas, tindakan yang dilakukannya
itu adalah berpunca salah satunya dari sifat undang-undang ciptaan manusia yang
tidak dapat memberikan keadilan dengan hukuman setimpal yang dituntut oleh keluarga
mangsa.
Melihat semua ini, di manakah lojik gesaan dari
beberapa pertubuhan peguam, Majlis Peguam dan NGO-NGO yang mahu semua bentuk
hukuman mati di negara ini dihapuskan. Jika hukuman mati dihapuskan, apakah
bentuk hukuman yang mereka rasakan paling adil untuk diberikan kepada
mereka-mereka yang menjadi tertuduh di dalam kes belasah, rogol dan bunuh yang
menjadi topik bualan panas di India dan serata dunia ini? Cukupkah menghukum
mereka dengan hukuman penjara dan sebat? Adilkah mereka-mereka yang telah
menghancurkan impian sepasang ibu bapa untuk melihat anak gadisnya berjaya di
dalam kehidupan hanya dipenjarakan dan disebat setelah mereka memperlakukan
perlakuan yang lebih buas dari binatang ke atas mangsa?
Malang sekali hukuman sebat ke atas semua
perlakuan jenayah juga kini berada di dalam radar serta gesaan untuk turut
dihapuskan sama sekali dari sistem perundangan negara. Hukuman sebat tidak
berperikemanusiaan kata Majlis Peguam. Jika hukuman sebat itu tidak
berperikemanusiaan dan perlu dihapuskan dari sistem perundangan negara, jadi
hukuman dalam bentuk apa yang sesuai untuk perogol dan pembunuh seperti dalam
kes yang berlaku di India tersebut? Tolong beritahukan kepada kami yang mahu
tahu apakah bentuk hukuman setimpal yang boleh dijatuhkan ke atas mereka-mereka
yang melakukan jenayah seperti yang berlaku di India tersebut? Pilihan apa yang
masih ada untuk diberikan sebagai hukuman jika hukuman mati dan sebat telah
dihapuskan? Sister In Islam.. boleh beritahu kami, apa bentuk hukuman yang boleh
memberikan keadilan kepada perasaan keluarga mangsa yang kini hancur? Kami
tidak mahu mendengar retorik pandangan yang hanya mahu memberikan penumpuan
kepada aspek didikan tetapi sisi keselamatan sosial, kawalan pergaulan,
kekuatan undang-undang pencegahan dan ketegasan undang-undang hukuman yang
membentuk perlindungan holistik kepada wanita dan orang awam dinafikan begitu
sahaja.
Jadi, apa bentuk hukuman yang sesuai kepada
mereka-mereka yang didapati bersalah di dalam kes seumpama kes tersebut?
Penjara 6,000 tahun? Hanya hakim yang mempunyai pemikiran tidak waras akan
memenjarakan seorang manusia yang mempunyai jangka hayat tidak lebih dari 120
tahun dengan hukuman penjara 6,000 tahun. Ini bukan keadilan, tapi rasa diri
cerdik yang terbit dari sistem caturan aritmetik otak terhasil dari pemikiran lojik
yang rosak.
Jika dihukumkan mereka dengan hukuman penjara
30,000 tahun atau 30 Billion tahun sekalipun, mereka tetap hanya akan menjalani sebahagian kecil dari
tempoh yang telah ditetapkan ke atas mereka oleh hakim yang telah hilang
keupayaan pemikiran yang waras.
Apakah adil hanya dengan memenjarakan mereka
yang terlibat dengan perlakuan jenayah berat sedemikian rupa? Bayangkan situasi
ini yang pernah saya berikan contohnya di dalam novel Syahadah Gadis Ateis.
Bayangkan jika perogol dan pembunuh anak gadis tersebut hanya diberikan hukuman
penjara seumur hidup. Sudah tentunya bentuk hukuman sebegini akan menimbulkan
rasa tidak puas hati yang sangat mendalam yang bakal menghiris hati keluarga
mangsa. Lebih malang lagi apabila bapa, ibu dan ahli keluarga yang lain merupakan
golongan yang tidak pernah culas di dalam menunaikan tanggungjawab mereka
membayar cukai kepada kerajaan India. Kenapa saya katakan isu pembayaran cukai oleh
keluarga mangsa ini dikatakan bakal menjadikan kedukaan keluarga tersebut
menjadi berlipat kali ganda?
Untuk memenjarakan mana-mana banduan untuk
tempoh masa yang tertentu, ia melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi oleh
mana-mana kerajaan di dalam dunia. Banduan yang dihukum penjara perlu diberikan
tempat tidur, pakaian, alat kebersihan diri, sistem kebersihan penjara, sistem
elektrik, air serta kumbahan penjara. Mereka-mereka ini juga wajib diberikan
makanan dan minuman, masa beriadah, kursus-kursus kemahiran dan pemulihan dan
banyak perkara lagi. Semua ini melibatkan kos yang bukan sahaja tinggi, malah
ia membebankan sistem kewangan mana-mana kerajaan. Dari mana pula kerajaan
mendapatkan dana pembiayaan untuk memastikan sistem penjara dapat diuruskan
dengan betul dan selamat? Tentu sahaja ia diambil dari hasil cukai yang dikutip
di dalam negara termasuk cukai perniagaan dan pendapatan rakyat. Maka bermula
di sinilah episod paling malang dalam sistem keadilan ciptaan manusia ini
menampakkan kepincangannya. Bayangkan situasi
contoh dalam senario berikut di mana ibu, bapa dan sanak saudara mangsa rogol
dan bunuh tersebut merupakan pembayar cukai yang setia.
Disebabkan oleh sistem
keadilan manusia itu telah tunduk dengan desakan Majlis Peguam India,
Suruhanjaya Hak Asasi India, Sekretariat Tuntutan Pilihanraya Bersih India dan
Parti Keadilan India untuk menghapuskan hukuman mati dan sebat ke atas
mana-mana kesalahan jenayah, maka satu-satu pilihan hukuman yang ada ialah
hukuman penjara seumur hidup.
Lalu di dalam senario tersebut, kesemua tertuduh
kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Lalu kesemua mereka
dihantar ke penjara untuk menjalani tempoh hukuman. Mereka diberikan makan,
pakai, katil, tilam, aktiviti riadah dan segala keperluan tanpa perlu mereka mengeluarkan
wang hatta untuk satu sen sekalipun. Jadi siapa yang membiayai kehidupan serta
keperluan mereka di dalam penjara? Tidak lain dan tidak bukan, keluarga
mangsalah yang menanggung semua kos hidup perogol ganas dan pembunuh anak gadis
mereka secara tidak langsung melalui cukai yang dibayar oleh mereka dengan wang
titik peluh serta jerit payah mereka mencari nafkah. Jadi di dalam situasi dan senario
demikian, siapa yang dihukum sebenarnya? Perogol-perogol tersebut atau keluarga
mangsa rogol? Apakah mereka redha sekiranya wang hasil titik peluh mereka yang
perlu mereka bayar sebagai cukai kemudiannya digunakan untuk memastikan semua
hak-hak kemanusiaan seorang banduan dipenuhi? Apakah ini yang dinamakan
keadilan? Apakah adil bilamana hak mangsa sebagai seorang manusia dinafikan
perogol-perogol terbabit tetapi hak si perogol sebagai banduan pula perlu
menjadi tanggungan dan bebanan keluarga mangsa? Siapakah yang dihukum
sebenarnya di dalam situasi seperti ini? Perogol atau keluarga mangsa?
Itu belum lagi mengambil kira senario tuntutan
pihak-pihak di dalam negara yang mahukan pihak kerajaan melakukan perbelanjaan
berhemah. Maka apabila mana-mana kerajaan mahu mengetatkan belanjawan, beberapa
potongan kepada bahagian-bahagian keperluan yang dilihat tidak begitu mendesak
akan mula dicadangkan. Maka cadangan-cadangan penjimatan akan mula dikemukakan.
Tidak dinafikan perbelanjaan kerajaan di dalam menguruskan sistem penjara
merupakan sesuatu yang sangat membebankan dan besar jumlahnya. Lalu timbullah
idea untuk memperkenalkan sistem parol yang membenarkan banduan-banduan yang
masih belum tamat tempoh hukuman untuk dilepaskan dengan bersyarat. Mana-mana
banduan yang menunjukkan prestasi kelakuan yang baik akan dibenarkan menjalani
parol. Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa melalui sistem ini, hampir 20,000
tahanan yang bersamaan dengan 2/3 dari jumlah banduan di dalam negara akan
layak untuk dibebaskan dengan syarat parol. Kerajaan menurut laporan yang
dilampirkan di bawah menyatakan bahawa sistem parol yang bakal diperkenalkan
tersebut akan memberikan penjimatan sehingga RM 700,000.00 sehari atau
bersamaan RM 21 juta sebulan. (Artikel penuh di sini. klik)
Maka, cuba pula bayangkan senario imaginari berikut,
setelah semua hukuman mati dan sebat dihapuskan, banduan-banduan yang merogol
dan membunuh itu kemudiannya setelah puas disara keluarga mangsa melalui cukai
yang dibayar mereka, mereka kemudiannya dibebaskan dengan parol beberapa tahun
lebih awal dari tempoh maksimum hukuman penjara mereka kerana mereka telah
berkelakuan baik di penjara. Apakah ini boleh dianggap sebagai keadilan itu
tertegak dengan sistem ciptaan manusia ini? Pastinya tidak sama sekali.
Justeru itu, satu nasihat ingin saya berikan
kepada peguam yang merancang untuk mengadakan vigil di Singapura kerana simpati
dengan nasib yang menimpa gadis malang tersebut. Saya mahu dia menukar lokasi
dan mengadakan vigil di hadapan pejabat majlis peguam dan kemudian dihadapan
ibu pejabat pkr dan seterusnya vigil sehari semalam
dihadapan mana-mana wakil parti yang terlibat dengan Socialist Internationl supaya
memastikan tiada seorang dari mereka akan meneruskan rancangan mereka untuk
mendesak hukuman mati dan sebat dari dihapuskan dari sistem perundangan negara.
Melihat semua ini, amatlah jelas keadilan itu
hanya boleh tertegak dengan seluruh dunia kembali kepada undang-undang yang
telah ditetapkan Allah. Kita semua perlu bergerak ke arah itu. Samada laju atau
perlahan, yang penting kita harus terus bergerak dan saya konsisten tentang
perkara ini sejak dari awal menulis di dalam blog ini lagi. Wallahua’lam.
Nota kaki :
1. Halusinasi Temporan =
Tidak perlu untuk google atau mendapatkan kamus untuk mencari maksud
kepada terma ini. Ia sebuah terma yang
saya wujudkan . Ia merujuk sikap bodoh sombong yang disengajakan bagi tujuan mendapatkan
perbatuan politik dan apa sahaja perkara yang beoleh memenuhkan tembolok ketamakan mereka.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda