Thursday, November 15, 2012

Socrates & Perjanjian Ruh

5

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Sebagaimana yang telah ditegaskan di dalam blog ini sebelum ini, penulisan yang menyentuh mengenai perjanjian Ruh ini dibuat bagi tujuan perbandingan serta menelusuri akar kepada agama yang satu yang kemudiannya berpecah-pecah kerana perselisihan yang berlaku.

Al Qur’an menyatakan dengan jelas bahawa manusia itu berasal dari satu umat yang berpegang kepada satu agama yang tunggal iaitu Islam.

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka) dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan pertunjuk kepada orang-orang y ang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi pertunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang di kehendakiNya ke jalan yang betul-lurus (menurut undang-undang peraturanNya). (al Baqarah ayat 213)

Kemudian manusia mula berpecah apabila timbulnya perselisihan. Maka agama Islam yang satu dan tunggal itu kemudiannya mengalami perpecahan. Perpecahan itu pula adalah akibat hasutan serta tipu daya syaitan. Syaitan-syaitan ini memusuhi serta membuat kacauganggu kepada risalah-risalah yang disampaikan oleh rasul-rasul terdahulu.

Demi Allah! Sesungguhnya Kami juga telah mengutus Rasul- rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu maka dialah menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (an Nahl ayat 63)

Syaitan yang terdiri dari kalangan Jin dan manusia sentiasa cuba memesongkan petunjuk-petunjuk yang telah Allah s.w.t. berikan.

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebagian mereka membisikkan kepada sebagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” (Al-An’am: 112)

Lalu menjadi tanggungjawab orang-orang Islam untuk membantu kumpulan-kumpulan manusia yang tersesat jalan di dalam pelbagai sistem kepercayaan serta agama yang wujud kini untuk kembali disedarkan tentang perselisihan demi perselisihan yang wujud di dalam sistem kepercayaan mereka. Ibarat menapis emas dari air berselut, satu persatu perkara yang tidak benar dan tidak betul yang disabitkan dengan Tuhan dan jalan tauhid sebenar perlu dibersihkan. Ia perlu dibersihkan sehingga mereka nampak apa isikandungan yang benar dan masih tinggal dan bersisa baki di dalam agama mereka. Dari sana, mereka akan mula menyedari bahawa mereka sebenarnya perlu kembali kepada jalan tauhid sebenar. Satu-satunya jalan tauhid sebenar yang tidak akan tercemar sehingga kiamat yang masih ada kini ialah agama Islam yang berakar kepada al Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w.


Cara untuk mengajak mereka untuk kembali kepada Islam bukanlah dengan cara memulakan usaha tersebut dengan konfrontasi. Tetapi melalui cara dakwah yang berhikmah.  Dakwah yang berhikmah sentiasa dimulai dengan cara yang ditunjukkan Allah di dalam al Qur’an. Caranya ada ditunjukkan Allah di dalam al Qur’an di dalam surah Ali Imran.

Agak mudah bagi mencari sisa dan baki ayat-ayat Allah di dalam agama seperti Yahudi dan Nasrani. Ia memerlukan satu usaha yang lebih keras untuk mengkaji serta membuat perbandingan bagi membantu umat-umat manusia dari lain sistem kepercayaan untuk kembali kepada agama Islam kini. Tetapi, kesukaran itu bukanlah halangan bagi yang mahu berusaha.

Jika al Qur’an menyatakan semua agama sebelum Islam dilengkapkan di zaman Rasulullah s.a.w. berasal dari agama yang satu, ia sesungguhnya merujuk kepada semua. Tidak separuh dan tidak sebahagian. Tugas kita untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imran ayat 64 menunjukkan cara terbaik untuk berdialog dan membawa mereka kepada medan perbincangan supaya dapat mereka kembali ke pangkal jalan.

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah (kepada mereka). "Saksikanlah bahawa kami adalah orang muslim." (Surah Ali Imran ayat 64)

Sunnah di dalam cara mengajak mereka untuk menilai persamaan yang masih berbaki di dalam kitab-kitab mereka dan apa yang mereka percaya dengan ciri-ciri agama yang diredhai Allah iaitu Islam. Sebagaimana yang telah disebutkan Allah di dalam surah an Nahl ayat 44 serta surah an Nahl ayat 63 hingga 64 di bawah :

An Nahl ayat 44
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

An Nahl ayat 63 hingga 64
63.   Demi Allah! Sesungguhnya Kami juga telah mengutus Rasul- rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu maka dialah menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

64.   Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya dan supaya menjadi pertunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Menjadi tugas orang-orang Islam untuk berusaha dengan segala upaya untuk mengembalikan semua manusia kembali menyembah Allah.

Al Maidah ayat 48
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

Kita telah lama menyempitkan pusat pemikiran kita dengan melihat serta menumpukan kepada teks-teks keagamaan yang dimiliki orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai sumber-sumber ajaran yang yang dikatakan memang berasal dari sumber Islam di zaman lampau. Tindakan ini menyebabkan berlaku keterlambatan di dalam usaha-usaha yang dijalankan golongan sarjana Islam untuk memberi tumpuan kepada teks-teks lain agama yang dikategorikan sebagai teks agama bukan samawi.

Gesaan ini tidak terkecuali dengan golongan yang berkiblatkan golongan sofis dan lain-lain agama yang selama ini dilabelkan sebagai agama bukan samawi. Penelitian yang dibuat selama ini ke atas sebahagian besar teks yang menjadi sandaran kepada rukun pemikiran mereka dibuat sebelum ini dibuat di dalam bentuk pendekatan yang menolak serta mengecam. Tetapi satu prinsip yang dianjurkan oleh al Qur’an di dalam mendekati teks-teks kepercayaan manusia-manusia yang merupakan pecahan serta serpihan kepada agama Islam yang lampau telah dilupakan. Samada disengajakan ataupun tidak disengajakan, prinsip menerangkan perselisihan serta menunjuk lantas menyuluh jalan yang benar sepertimana yang dianjurkan Allah di dalam ayat 64 surah an Nahl seolah-olah dilupakan. Penumpuan lebih diberikan kepada mengasingkan secara total serta melabelkan semua tindakan manusia-manusia Muslim yang cuba menjalankan tanggungjawab mereka menyahut serta menyambung tugas-tugas yang selama ini dijalankan oleh para nabi dan rasul dengan label serta kecaman yang memusnahkan.
Hasilnya, usaha yang cuba dilakukan tersebut terbantut kerana terpaksa menangani halangan yang datangnya dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri. Bukan sedikit masa yang diambil bagi memperbetulkan tanggapan yang salah dari orang-orang Islam itu sendiri serta menjelaskan mengenai keperluan perkara seumpama ini dijalankan. Terkadang ia menimbulkan perpecahan sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat berlapang dada di dalam membiarkan setiap pertikaian mereka ditentukan kembali oleh al Qur’an dan Sunnah. Emosi dan ego, musuh yang menundukkan Iblis ketika mendapat perintah Allah untuk sujud kepada Adam a.s. satu ketika dahulu, kerap kali menjangkiti ramai di kalangan kita lantas kita gagal menjadikan al Qur’an serta as Sunnah sebagai pemutus kepada peselisihan dan pertikaian sesame kita. Berlapang dada itu hanya milik manusia-manusia ikhlas yang benar-benar mahu seluruh kehidupannya menurut sebagaimana yang telah ditentukan Allah.

Allah s.w.t. secara terang dan jelas memberikan contoh-contoh bahawa terdapat sumber-sumber ajaran Islam yang lampau yang telah dipesongkan. Bagi yang masih wujud tetapi masih berkeadaan tercemar dengan hasil tangan manusia, menjadi tugas manusia-manusia Muslim itu sendiri untuk menilai, mengkaji dan menjelaskan setiap perselisihan yang terdapat di dalam teks tersebut. Banyak penulisan di dalam blog satuhala ini telah dibuat bagi menunjukkan bagaimana al Qur’an digunakan sebagai Furqan bagi membezakan antara yang benar dan yang tidak sebagaimana yang terdapat di dalam teks-teks agama lampau. Allah s.w.t. menyatakan dengan jelas di dalam surah ali Imran ayat 3 hingga 4 seperti berikut:

Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

Sebelum (Al-Qur’an diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

Bagi teks serta sumber-sumber ajaran Islam lampau yang telah hilang dan tidak dapat dikesan samasekali, Allah s.w.t. memuatkan kembali sari dan pati dari risalah tersebut dan dimuatkan semula ke dalam al Qur’an bagi tujuan peringatan dan pemuliharaan. 

Antaranya Suhuf Ibrahim a.s. dan Suhuf Musa a.s. .

Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara sepakat mempersetujui bahawa selain dari kitab-kitab yang diberikan kepada nabi dan rasul-rasul terdahulu, terdapat juga suhuf yang diturunkan kepada para nabi dan rasul.

Perbezaan antara kitab dan suhuf adalah sebagaimana berikut. Di dalam perbahasan rukun iman ke empat iaitu beriman kepada kitab, kitab sentiasa dirujuk sebagai kutubu al ilaahiah (kitab-kitab ketuhanan). Ia merupakan Kalamullah yang diwahyukan Allah kepada rasul-rasulNya yang mengandungi syariat dan ajaran agama. Kitab-kitab yang terbesar dari kitab-kitab ketuhanan yang juga disebutkan di dalam al Qur’an yang mana wajib bagi umat Islam ketahui dan beriman kepadanya dengan jalan tafsil (satu persatu) ialah seperti berikut. Zabur, Taurat, Injil dan al Qur’an. Dikalangan 4 yang dinamakan ini, hanya al Qur’an satu-satunya kitab yang masih kekal di dalam bentuk asal sebagaimana yang telah diwahyukan. Malah al Qur’an juga diberikan jaminan oleh Allah bahawa ianya tidak akan dicemari oleh apa jua makhluk dan keadaan sehingga hari kiamat. Ia kitab yang terpelihara dan turut juga digunakan untuk mengesahkan serta mengenalpasti perselisihan-perselisihan yang terdapat di dalam kitab-kitab yang sebelumnya. Kutubu al ilaahiyah tidak terhad kepada empat kitab utama seperti disebutkan di dalam al Qur’an. Bersandarkan jumlah nabi dan rasul yang ramai serta tidak disebutkan di dalam al Qur’an nama dan tempat di mana mereka dilantik, kita tidak menolak kemungkinan terdapat pelbagai kitab lagi yang ada dan mungkin pada masa kini masih lagi wujud tetapi bukan di dalam bentuk wahyunya yang asal. Cuma tidak harus bagi Muslim mensabitkan kitab-kitab tersebut kepada Allah. Paling jauh yang boleh dilakukan ialah menyatakan adanya kemungkinan ianya berasal dari ajaran tauhid dari agama Islam yang lampau. Itupun setelah semua ciri-ciri sebagaimana yang harus ada pada sesebuah kitab dari Allah seperti isikandungan yang menjelaskan tentang KeEsaan Allah, sifat-sifat Allah, jalan penetapan iktikad dan tauhid, mengingatkan manusia sebagai makhlukNya, jalan-jalan manusia menuju redhaNya, memperingatkan manusia kembali tentang perjanjian Ruh antara mereka dan Allah, mengandungi hukum-hukum, ajaran-ajaran, nasihat-nasihat, wa’ad dan wa’id (janji baik dan janji buruk), janji bahawa bumi akan diwarisi oleh orang-orang yang beriman serta beramal soleh, khabar yang menggembirakan dan yang menakutkan, penegasan bahawa tiada siapa boleh lepas dari azab Allah jika melakukan kejahatan, kisah-kisah umat terdahulu dan janji Allah untuk terus mengirimkan kitab sebagai petunjuk dan diarahkan mereka mengikutinya serta berita tentang kedatangan rasul terakhir yang akan mengesahkan kitab-kitab yang diimani mereka dan mereka diperintahkan menerimanya dikenalpasti dan tidak bercanggah dengan apa yang ditegaskan di dalam al Qur’an.

Berkenaan suhuf, ia merupakan Kalamulllah yang diwahyukanNya kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang tidak dikumpulkan dan dijadikan sebagai kitab yang khas. Ia biasanya hanyalah merupakan wahyu-wahyu yang termuat di dalam lembaran-lembaran ringkas seperti surat pekeliling dan catatan-catatan yang dimuatkan ke lembaran bertulis.
Jumlahnya disepakati tetapi tidak terhad kepada suhuf berikut:

  1. 10 Suhuf yang diturunkan kepada Adam a.s.
  2. 50 Suhuf yang diturunkan kepada Nabi Syith a.s.
  3. 10 Suhuf yang diturunkan kepada Nabi Idris a.s.
  4. 10 Suhuf yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim a.s.
  5. 10 Suhuf yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s.
Allah s.w.t. merekodkan di dalam al Qur’an isikandungan suhuf Ibrahim a.s. dan Musa a.s.. Suhuf-suhuf yang disepakati ulama’ sebagai telah hilang dan tidak lagi wujud pada masa kini. Isikandungan seperti berikut :

An Najm ayat 36 hingga 55
  1. Atau belumkah ia diberitahu akan apa yang terkandung dalam suhuf-suhuf Nabi Musa ;
  2. Dan juga (dalam suhuf-suhuf) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?
  3. (Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);
  4. Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;
  5. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak);
  6. Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna;
  7. Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara);
  8. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis;
  9. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan;
  10. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan, -
  11. Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);
  12. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati);
  13. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya tambahan yang boleh disimpan;
  14. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah Tuhan (Pencipta) "Bintang Syikra;
  15. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum "Aad" yang pertama (kaum Nabi Hud), -
  16. Dan kaum "Thamud" (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorangpun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup.
  17. Dan kaum Nabi Nuh sebelum itu (telah juga dibinasakan). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sangat zalim dan sangat melampaui batas.
  18. Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dia lah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi;
  19. Lalu (penduduk) bandar-bandar itu diliputi azab seksa yang meliputinya.
  20. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu (yang tidak terhingga itu) engkau ragu-ragukan (wahai manusia)?
Begitu juga dengan pengajaran dan peringatan yang dimuatkan Allah di dalam surah al A’laa yang disudahi dengan ayat berikut :

Al A’laa ayat 18 hingga 19
  1. Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan di dalam surah ini) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu, -
  2. Iaitu Suhuf Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.
Perjanjian Ruh di dalam teks Yunani
Jika sebelum ini, saya telah mengemukakan contoh di dalam ajaran Orphic bilamana topik mengenai Ruh, asal usulnya, kewujudannya sebelum jasad, perjanjian antara Ruh dan Pencipta, penggabungannya dengan jasad serta destinasi Ruh selepas kematian berlaku dibincangkan.

Penulisan kali ini masih lagi menumpukan subjek perjanjian Ruh yang ditemui masih berbaki di dalam ajaran-ajaran falsafah Yunani. Agama dikenali dengan pelbagai nama rujukan sejak dari zaman Adam a.s. Ia dirujuk dengan gelaran yang pelbagai sejak kemunculan manusia di dalam dunia.

Pada zaman keagungan peradaban Yunani, ia dikenali sebagai falsafah. Sepertimana nasib yang dialami oleh Bani Israel dan Nasrani, teks peradaban mereka juga telah dicemari dengan unsur-unsur yang menjauhkan ia dari maksud-maksud asal. Tetapi bukanlah sukar untuk menelusuri akar ajaran falsafah Yunani. Syaratnya, segala-galanya perlu dilihat dari perspektif al Qur’an dan as Sunnah. Ia sangat memudahkan bagi membolehkan tapisan demi tapisan dapat dibuat sehingga apa yang sebenarnya mungkin disebut oleh tokoh-tokoh falsafah Yunani dikenalpasti maksud sebenarnya.

Di dalam Phaedo, sebuah teks yang memuatkan dialog di antara Socrates dan seorang pengikutnya yang menyusup masuk ke penjara yang menempatkannya. Socrates dipenjarakan kerana dia mengajarkan kepada manusia-manusia di Athens supaya menyembah Tuhan yang Esa. Bagi yang gagal memahami permainan bahasa Socrates sebagaimana yang dicatatkan oleh Plato, anak muridnya, mereka akan segera menyabitkan Socrates dan ajarannya dengan pantheism Greek. Tetapi pada hakikatnya, Socrates pada setiap masa di dalam kehidupannya sentiasa mengajak umat manusia di Greek pada ketika itu untuk meninggalkan kebodohan dan mula menggunakan akal untuk menilai serta mempersoalkan setiap perkara yang mereka lakukan sebagai ikut-ikutan dari amalan nenek moyang mereka.

Apabila dibicarakan dan diputuskan hukuman bunuh ke atasnya, Socrates lantas menyatakan kepada Meletus sebab-sebab Meletus membuat pertuduhan ke atasnya. Socrates menyatakan bahawa terdapat hanya tiga sebab yang membuat dia dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan. Yang pertama ialah kerana Meletus menuduh Socrates menghina tuhan-tuhan yang disembah orang-orang Greek. Kedua kerana Meletus menyatakan bahawa Socrates merosakkan pemikiran anak-anak muda Greek dengan fahaman dan pemikirannya. Ketiga kerana Socrates mengamalkan sebuah agama yang melibatkan perkara-perkara ghaib.

Kisah konflik yang dimulakan Meletus ini terhadap Socrates terdapat di dalam teks Apology yang disusun oleh Plato. Meletus salah seorang sasterawan dan penyair Greek bersama dengan Anytus si ahli politik merangkap tukang dan Lycon si pemidato membuat satu pakatan untuk menjatuhkan serta menghapuskan Socrates samasekali dari bumi Greek. Ia bersabit bangkit rasa tidak berpuas hati golongan-golongan yang diwakili mereka apabila status kebijaksanaan mereka menjadi subjek pertikaiaan dan sessi soaljawab dengan Socrates.

Socrates tidak mendakwa dirinya bijak. Dia cuma mahu membuktikan kata-kata Oracle of Delphi menyatakan kepada sahabatnya bahawa di dalam Greek, tiada manusia yang lebih bijak dan hebat cara pemikirannya melainkan Socrates. Bermula dari situ, Socrates mencari-cari semua orang yang dianggap bijak oleh masyarakat Athens bagi melihat dan mengukur kebijaksaan mereka. Ia bagi membolehkan dirinya kembali kepada mereka-mereka yang mengagungkan pemikirannya untuk menunjukkan bahawa Oracle of Delphi itu silap dengan menunjukkan kepada mereka bahawa di Athens, ada lebih ramai manusia yang lebih bijak dari dirinya.

Lalu Socrates mengelilingi Athens untuk mencari ‘orang-orang yang dianggap bijak’ tersebut. Bermula dengan berdialog dan bersoaljawab dengan golongan ahli politik, kemudian Socrates mencari golongan penulis, sasterawan dan penulis persembahan. Golongan terakhir yang ditemuinya untuk bersoaljawab ialah golongan tukang.  Tukang-tukang di Athens bukanlah tukang-tukang biasa. Mereka ialah Pembina ketamadunan serta bangunan-bangunan hebat yang hingga kini masih utuh wujud dan dapat dilihat generasi pada hari ini. Tindakan Socrates inilah yang menyebabkan timbulnya rasa tidak berpuas hati dikalangan para penyair, pemidato, ahli potik dan tukang-tukang yang sentiasa dipandang tinggi di dalam masyarakat Greek.

Menurut katanya, Socrates hanya mahu membuktikan dirinya sendiri tidak sebijak yang Oracle of Delphi katakan. Tetapi, di dalam pencarian untuk meenemui manusia-manusia yang lebih bijak dari dirinya, dia mendapati bahawa manusia-manusia yang ditemuinya itu tidak sebijak sepertimana yang digambarkan. Kerapkali, apabila bersoaljawab dengan Socrates, mereka sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang mereka rasakan tahu. Inilah yang menyebabkan Socrates membuat kesimpulan berikut bahawa dia, Socrates, berada di dalam kedudukan pemikiran yang lebih baik berbanding mereka-mereka yang dikatakan serta sering dianggap sebagai bijak yang ditemuinya. Sekurang-kurangnya bagi Socrates, dia tahu bahawa dia tidak tahu. Untuk perkara-perkara yang dia sendiri tiada pengetahuan mengenainya, dia dengan tegas menyatakan dia tidak tahu. Manakala untuk perkara-perkara yang dia tahu, dia mempertahankannya sehingga nyawanya menjadi taruhan. Socrates sentiasa mengingatkan kepada mereka-mereka yang didebatkannya tentang hikmah nasihat yang diukir pada gerbang Kuil Apollo di Delphi yang berbunyi seperti berikut : gnōthi seauton yang membawa maksud ‘Kenali Dirimu’ (Know Thyself). 
Bukanlah kerana dia beriman dengan pernyataan tersebut, tetapi mempersoalkan kewajaran mereka-mereka yang mendakwa diri mereka bijak dan sentiasa mendabik dada mengatakan mereka memegang dengan prinsip agama anutan awam di sana yang tidak seiring dengan sifat dan perlakuan yang ada pada diri mereka sendiri. Jika tidak tahu, bagi Socrates, mengaku sahaja tidak tahu dan tidak perlu memandai.

Kerap kali apabila sesi dialog dan tanya jawab yang dilakukan oleh Socrates terhadap semua personaliti tersebut, sesi tersebut akan turut disaksikan para anak muda dan orang ramai yang seronok menyaksikan tokoh-tokoh yang dipandang tinggi oleh masyarakat mereka berhadapan dengan soaljawab dengan Socrates. Kerap kali juga apabila mereka gagal untuk berhujah dengan Socrates, mereka terasa seperti diri mereka ditertawakan oleh anak-anak muda yang mengekori Socrates ke mana sahaja dia berjalan. Mereka merasakan reputasi mereka mula terancam dengan tindakan Socrates. Bilangan yang mengikuti Socrates mulai bertambah dengan banyaknya. Kebanyakan dari golongan biasa yang tiada sebab untuk berasa terancam dengan ‘agama baru’ yang dibawa oleh Socrates.

Lalu, apabila setiap kali Socrates berdialog dengan lebih ramai dari golongan penyair, penulis persembahan, politikus dan tukang-tukang yang hebat di Greek, maka setiap kali itu jugalah Socrates merasakan tindakannya di dalam mencari dan menyampaikan kebenaran mengundang lebih banyak musuh kepada dirinya. Kemuncaknya ialah apabila Meletus, Anytus dan Lycon membuat satu pakatan untuk mengheret Socrates ke muka pengadilan bagi tujuan memusnahkannya sama sekali. Mereka merekasaya 3 pertuduhan sepertimana yang telah dijelaskan di atas kepada Socrates.

Untuk pertuduhan pertama, iaitu Socrates menghina tuhan-tuhan sembahan orang-orang Greek dan Socrates dikatakan tidak percaya dengan kewujudan Tuhan, berikut jawapan Socrates kepada para penuduhnya. Socrates menyatakan bahawa bukanlah dia seorang ateis yang tidak menyembah mana-mana Tuhan. Tetapi jika perkataan ateis yang disabitkan kepadanya kerana dia menolak untuk menyembah bulan dan matahari sebagai tuhan, maka dia rela digelarkan sebagai seorang ateis.

Socrates seorang yang bijak bermain bahasa dan logik. Ketika Meletus berkeras menyatakan bahawa Socrates menolak untuk mengatakan bulan dan matahari sebagai tuhan dan menyatakan matahari dan bulan itu hanyalah batuan dan objek ciptaan, maka Socrates mula mempamerkan kehebatannya untuk mengalihkan pertuduhan tersebut ke atas sistem pemerintahan Greek kerana membiarkan buku-buku tulisan Anaxagoras dari Clazomenae dijual dan disebarkan di dalam pasaran. Socrates menyatakan bahawa untuk menuduh dia yang membawa ajaran bahawa matahari dan bulan itu bukan Tuhan sebagaimana yang didakwa Meletus, perbuatan itu baginya merupakan satu pertuduhan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab. Malah menurut Socrates, ajaran Anaxagoras telah tersebar meluas di kalangan masyarakat Greek dan adalah sangat melucukan sekiranya dia mengaku yang doktrin bulan dan matahari itu bukan Tuhan sebagai doktrin ciptaannya. Baginya semua orang tahu bahawa doktrin itu dipopularkan oleh Anaxagoras. 
Jadi tuduhan pertama yang menyatakan Socrates sebagai seorang ateis disangkalnya dengan pernyataan bahawa dia memang tidak menyembah tuhan-tuhan yang disabitkan dengan sifat-sifat kelemahan makhluk, tetapi dia menyembah Tuhan yang Esa yang mempunyai ciri-ciri selain dari tuhan yang dipopularkan di dalam pantheism Greek.

Untuk pertuduhan kedua bahawa dia merosakkan pemikiran dan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak muda dengan gaya, cara dan ajarannya yang menjauhkan mereka dari doktrin anutan awam, Socrates berhujah seperti berikut. Jika benar ada wujudnya seseorang yang boleh merosakkan dan mendatangkan kemudaratan, tentu sahaja orang ramai akan menjauhi figura tersebut kerana takut akan kemudaratan yang boleh menimpa mereka sekiranya mereka bersama dengannya. Dia mengatakan bahawa orang-orang jahat, tentu sahaja akan memberikan kesan jahat kepada mereka-mereka yang berada di sekeliling mereka. Tetapi perkara itu tidak berlaku kepada dirinya dan mereka-mereka yang semakin ramai menjadi pengikutnya. Lagi pula menurut Socrates, sekiranya pun benar ajaran-ajaran atau perlakuannya mendatangkan kesan buruk kepada orang-orang disekelilingnya, maka menurut undang-undang di Greek, perkara seumpama itu tidak boleh dibawa ke muka pengadilan di dalam mahkamah. Adalah menjadi kewajiban di dalam masyarakat tersebut untuk menegur secara berhadapan dan tertutup dari pengetahuan awam supaya kesalahan tersebut dapat ditegur dan diperbetulkan. Cara sebegini membolehkan mereka-mereka yang bersalah ditegur dengan cara yang berhemah dan tidak memalukan tanpa perlu membawa perkara seumpama ini ke mahkamah untuk dijadikan perhatian awam. Jadi, pertuduhan kedua ini tidak sah menurut Socrates. Bukan sahaja ia sekadar pertuduhan malah cara isu itu ditangani juga tidak mengikut norma aturan yang telah menjadi budaya masyarakat di sana.

Untuk pertuduhan ketiga bahawa Socrates mengajarkan kepada anak-anak muda tentang perkara-perkara ghaib, Socrates mempertahankan dirinya dengan berkata mana mungkin boleh wujud manusia yang percaya kepada bunyian seruling tanpa dirinya meyakini bahawa wujudnya si peniup seruling. Dia juga memberikan beberapa contoh lain yang menunjukkan bahawa alam ghaib itu wujud dan adalah satu bentuk kebodohan bagi mana-mana manusia menafikan kewujudannya. Kemudian Socrates bertanyakan kepada Meletus, apakah lojik disebalik pertuduhan ketiga ini sekiranya perkara ghaib yang diajarkan Socrates itu merujuk kepada kewujudan Tuhan. Sedangkan di dalam tuduhan Meletus yang pertama, Meletus menyatakan bahawa Socrates merupakan seorang ateis. 
Jadi, pertuduhan ketiga ini sendirinya boleh terbatal jika tuduhan pertama itu dianggap benar.

Setelah berdialog dan berhujah dengan hujah yang tidak terlawan sepertimana yang dimuatkan di dalam Apology, Socrates tetap dijatuhkan hukuman sebagai bersalah dan dihukum meminum racun pohon Hemlock. Socrates tidak terkejut dengan keputusan tersebut. Dia menjangkakan jumlah juri yang akan menetapkan hukuman mati ke atasnya lebih ramai dan keputusan tersebut akan menjadi berat sebelah. Tetapi tanpa disangkanya, hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya hanya melibatkan perbezaan 30 undi. Ia sesuatu yang berada di luar jangkaan Socrates.

Seorang insan yang hebat bagi Socrates ialah insan yang tidak akan berganjak daripada segala apa yang dia percaya telah kemas terpahat kukuh di dalam dirinya. Sekalipun nyawa menjadi taruhan, sekali seorang lelaki atau insan yang telah memegang dengan kukuh terhadap apa yang dia percaya, dia akan terus berpegang teguh kepada kepercayaannya itu. Bukan seperti politikus bacul tempatan, tidak kira apa jua objek yang diletakkan di atas kepala mereka, mereka menyembah pengundi bagaikan tuhan, seolah-olah hidup mati mereka ditentukan oleh manusia-manusia yang bakal mengundi mereka.

Walaupun undang-undang Greek membenarkan rayuan dibuat, tetapi Socrates menolak untuk melakukan perkara demikian. Dia menyatakan kepada para juri, memang benar dia mempunyai ahli keluarga dan bukanlah dia wujud dan muncul ke dunia secara sendirinya sepertimana di dalam mitos Homer bilamana manusia dapat muncul dari pokok Oak ataupun batu. Tetapi dia tidak akan bertindak sama seperti manusia-manusia lain yang pengecut dengan mengheret anak-anak dan isterinya ke hadapan para juri bagi meminta simpati. Dia tidak akan merayu. Malah baginya dengan merayu supaya hukuman tersebut diringankan atau memohon supaya dia dibebaskan, ia samalah dengan suatu perbuatan manusia pengecut. Dia telah redha dengan kehendak Tuhan yang telah mengaturkan dia dihukum bagi membuka ruang kepada para pengikutnya untuk bangkit nanti. Tidak mungkin sesuatu perancangan Tuhan itu buruk bagi dirinya.

Mati bagi Socrates ialah sesuatu yang sangat didambakan. Baginya, kematian kerana berjuang di atas kehendak Tuhan ialah kunci kepada permulaan kebahagiaan. Baginya lagi, mana mungkin seseorang yang telah secara dasarnya dan dalam akar kepercayaannya percaya bahawa kematian di dalam perjuangan itu. Malah Socrates menyatakan secara terang dan jelas kepada para juri dihadapannya, ‘Apalah yang hendak ditakutkan dengan kematian jika seseorang itu telah yakin bahawa perkara terbaik yang boleh mendatangi manusia di dalam hayatnya ialah bila kematian menjemputnya untuk kembali. Tetapi malang sekali apabila manusia-manusia yang tertipu, mempunyai perasaan takut kepada kematian.’ Ketakutan yang langsung tiada asasnya kecuali kepada golongan yang terpesona dengan dunia.

Lalu Socrates menyatakan dengan tegas kepada para juri tersebut, alasan kedua dia tidak membuat rayuan ialah kerana tindakannya itu akan menyebabkan para juri yang telah membuat keputusan awal, seolah-olah kelihatan tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah. Ini kerana, mereka telah diamanahkan oleh pemerintah untuk berada di sana bagi mendengar, membuat penilaian, kemudian pertimbangan dan akhir sekali menetapkan hukuman yang dirasakan paling adil. Maka sekiranya, Socrates membuat rayuan dan didapati terdapat perubahan kepada keputusan awal, ia bermakna para juri semasa membuat keputusan awal tidak melaksanakan amanah dengan jujur. 
Dari sebab itu, dia menyatakan bahawa sepanjang hidupnya dia telah berjuang dan mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan sudah semestinya pada masa-masa yang berbaki di dalam hidupnya itu dia tidak mahu menyuruh dan meletakkan para juri yang telah menghukumnya di dalam satu keadaan yang memungkinkan mereka tidak menjalankan amanah mereka dengan jujur. Sindiran tajam Socrates difahami oleh mereka yang memahaminya. Bagi Meletus dan sekutu mereka, ia satu kejayaan apabila Socrates dihukum bunuh. Tetapi tidak mereka tahu bahawa Socrates sangat senang dengan keputusan itu. Ini kerana jauh disudut akar hatinya, dia tahu pengorbanannya tidak dipersia-siakan Tuhan.

Apabila dia dipenjarakan, beberapa pengikutnya menyusup masuk ke dalam penjara menawarkan kepadanya peluang untuk melarikan diri. Segalanya telah disiapkan. Hanya memerlukan persetujuan Socrates untuk berkata ya kepada pelan melarikan diri. Socrates bukanlah seperti politikus proksi dajjal pengecut tempatan apabila dipenjarakan. Dia tidak bersungut tentang dinding bercat arsenik, patah tengkuk, sakit belakang yang mengakibatkannya tidak mampu goyang kepada rentak kopi dangdut dan sebagainya. 

Socrates menegur pengikutnya kerana mencadangkan dia melarikan diri.
Kisah penyeludupan masuk pengikutnya ke dalam penjara dicatatkan pula di dalam Crito bersempena dengan nama pengikutnya yang menyusup masuk ke sana. Mendengar cadangan tersebut, Socrates menolak. Crito membantah penolakan Socrates dengan mengatakan Socrates perlu memikirkan tentang pengikut-pengikutnya yang amat menyayangi dirinya. Antara mereka termasuk Crito yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan keupayaan dalam mengatur rancangan untuk membawa Socrates keluar. Crito merayu supaya Socrates mempertimbangkan apa nanti kata pengikut-pengikut Socrates yang lain sekiranya Crito gagal membawa pulang Socrates. Socrates tetap menolak dan mengatakan bahawa dia tidak akan melawan takdir yang telah ditetapkan Tuhan ke atasnya pada hari tersebut. Dan dia menyatakan bahawa tindakannya itu tidak dihalang oleh suara ghaib yang selalu mendatanganinya setiap kali dia berkemungkinan tersilap langkah. Kata Socrates, suara itu yang digelarkannya sebagai Daemon (I.H – lebih kepada bersifat dengan sifat malaikat dan jangan disalahtafsir sebagai demon, syaitan dan sebagainya) tidak pernah gagal mendatanginya bilamana dia hampir melakukan sebarang tindakan silap. Socrates menyatakan seumur hidupnya, suara itu akan sentiasa mendatanginya untuk menghalanginya daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Dari situlah Socrates mengenali perbuatan-perbuatan baik dan sepatutnya dilakukan dan perbuatan yang harus dielakkan.

Dan apabila Socrates mahu keluar kediamannya bagi menghadiri perbicaraan yang telah ditetapkan ke atasnya sebelum ini, suara daemon tidak hadir bagi menghalangnya. Socrates tahu bahawa apa yang bakal dilakukannya dan dihadirinya pada hari itu merupakan perkara yang betul dan telah ditakdirkan Tuhan ke atasnya untuk melaluinya. Ini kerana suara Daemon tidak datang untuk menghalangnya. Dari situ Socrates tahu bahawa tindakannya betul dan dia melakukan perkara yang telah ditakdirkan ke atasnya.

Semasa mula Crito menyusup masuk ke dalam sel yang menempatkan Socrates, dia melihat Socrates sedang tidur nyenyak dan penuh ketenangan. Tidak seperti mana-mana banduan yang bakal dihukum bunuh pada keesokan harinya, Socrates dilihat Crito dirahmati dengan perasaan tenang dan mendapat tidur yang sangat nyenyak. Lalu Crito mengambil keputusan untuk menunggu Socrates hingga terbangun sendiri. Apabila Socrates bangun pada tengah malam, dia terkejut melihat Crito berada di dalam sel penjaranya. Socrates menceritakan bahawa dia bermimpi seorang wanita cantik mendatanganinya dan memberitahu kepada Socrates bahawa mereka akan berjumpa pada sekian-sekian hari di sebuah tempat nanti. Dari mimpi itu, Socrates mengetahui tarikh bilamana hukuman mati ke atasnya bakal dijalankan.


Semasa sedang di dalam proses memujuk Socrates untuk mengikutinya melarikan diri, Socrates dan Crito berdialog dan memeneliti persoalan halatuju manusia selepas mati. Ini kerana Socrates mahu Crito memahami bahawa apa yang bakal berlaku kepada dirinya nanti bukanlah suatu perkara yang buruk tetapi perkara terbaik di dalam hidupnya.
Bermula dari dialog itu muncullah soal kewujudan ruh disentuh di dalam dialog Socrates apabila Socrates cuba meyakinkan Crito bahawa manusia itu terdiri dari jasad dan ruh. Kematian itu hanya melibatkan penghantaran jasad kembali ke tempat asalnya iaitu tanah dan ruh kembali kepada Tuhannya. Socrates menyatakan ruh mengenali Tuhannya. Yang sering melupakan Tuhan ialah manusia yang merupakan campuran jasad dan ruh.
Crito menjadi bingung dengan pernyataan Socrates bahawa Ruh kenal Tuhannya dan tahu mengenai janji-janjinya dengan Tuhan. Tetapi kenapa manusia sepertinya dan yang lain-lain yang berada di Greek tidak mengingati tentang perjanjian yang pernah dibuat antara Ruh dengan Tuhan. Lalu Socrates menjelaskan bahawa butir perjanjian itu tidak diingati manusia kerana terdapat beza yang jelas antara dunia ruh dan dunia jasad. Ruh semasa ia berada di alamnya yang sendiri, melihat, menilai serta merasa menggunakan keupayaan asalnya tanpa melalui medium tertentu yang menjejaskan penilaiannya. Alam ruh dan jasad itu tidak sama. Tetapi bagi tujuan melahirkan makhluk yang bernama manusia, ruh dan jasad digabungkan.

Kelupaan itu berlaku apabila ruh itu tidak lagi melihat, mendengar dan merasa menggunakan keupayaannya sendiri, tetapi menggunakan indera yang dimiliki jasad zahir yang ditumpanginya. Penyesuaian yang cuba dilakukan untuk melihat dunia melalui indera zahir yang panca, menjadikan sesuatu perkara yang selama ini dapat difahami dengan sekali lihat, dengar dan rasa, berubah kepada sesuatu yang asing dan tidak sama seperti sebelumnya di alam ruh. Maka kekeliruan itu berlaku dan penumpuan ruh untuk mengingati perjanjiannya dengan Tuhan yang menciptakannya tertumpu pula kepada usahanya untuk menyesuaikan diri bergerak, mendengar, melihat dan merasa. Dari sini kelupaan itu berlaku. Dan manusia-manusia yang terlupa perlu diperingatkan kembali akan peranan ruh dan destinasi ruh yang akan kembali kepada Tuhannya selepas kematian.

Penelitian saya sendiri ke atas teks Crito dan dibandingkan kembali dengan al Qur’an dan As Sunnah berkenaan ruh, menyaksikan bahawa selepas sahaja dialog Socrates menjelaskan bagaimana kekeliruan serta kelupaan yang berlaku ke atas ruh, ternampak jelas ada suntingan atau kemasukan unsur-unsur asing yang merosakkan keaslian teks asal sebagaimana ianya dicatatkan di zaman Plato.

Selepas sahaja teks mengenai penjelasan bagaimana Socrates menjelaskan tentang kekeliruan ruh supaya manusia tidak terlupa tentang asal usul, janji serta jalan pulang ruh kepada Tuhannya, teks-teks klasik tersebut tercemar dengan idea-idea alam barzakh yang berasal dari kitab Mahabharata di dalam agama Hindu.


Kenapa pernyataan sedemikian dinyatakan? Ini kerana penelitian dan pengamatan yang dilakukan ke atas hampir semua teks yang melibatkan watak Socrates bermula dari Plato, Xenophon dan malah Aristophanes yang mempersendakan karakter Socrates di dalam The Clouds, tidak mempertikaikan pendirian Socrates yang menyatakan dia tidak akan bercakap atau berbicara tentang perkara-perkara yang tidak diketahuinya. Sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam penulisan pada bahagian di atas, Socrates menyatakan dengan jelas, bahawa kebijaksanaan yang sentiasa cuba disabitkan oleh orang-orang di Athens ke atasnya hanyalah kerana dia tahu yang dia tidak tahu.

Begitu juga dengan keadaannya apabila teks Crito mulai meneroka persoalan-persoalan yang menjauhi dasar yang dipegang Socrates iaitu untuk tidak berbicara perkara yang dia sendiri tidak tahu. Malah di dalam Phaedo dan Crito itu sendiri pada permulaannya, Socrates menyatakan bahawa persoalan mengenai Ruh ialah persoalan yang manusia tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenainya. Apabila teks Crito mula berbicara tentang nasib ruh dan perkara-perkara yang akan menimpa ruh di atas kesalahan-kesalahan mereka di dunia, saya dapat menghidu ianya bukan teks atau cerita asal yang boleh dikaitkan dengan Socrates. Saya juga menolak ianya dicatatkan oleh Plato. Tetapi terdapat kemungkinan ianya dimasukkan oleh catatan-catatan komentar atau masukan idea-idea asing oleh mereka-mereka yang melakukan suntingan ke atas teks-teks tersebut.

Amat jelas bahawa di dalam teks berjudul Phaedo sebaik sahaja Socrates menjelaskan kepada Cebes tentang keperluan bagi manusia untuk diperingatkan kembali tentang perjanjian ruh antara mereka dengan Tuhan, berlakunya perubahan trajektori watak Socrates yang sebelum ini yang tidak akan menyentuh perihal perkara-perkara yang tidak diketahuinya. Selepas dialog dengan Crito di dalam penjara yang dicatatkan di dalam Crito, Socrates dicatatkan berdialog dengan Crito, Simmias, Cebes dan Phaedo menjelang perlaksaan hukuman mati ke atasnya. Ia dicatatkan bersandarkan cerita lisan yang disampaikan Phaedo apabila persoalan kenapa hukuman mati ke atas Socrates terlewat beberapa hari dari yang telah ditetapkan.

Socrates kemudian digambarkan sebagai menjelaskan kepada kesemua mereka tentang nasib yang akan menimpa ruh bersandarkan kelakuan dan perbuatan gabungan mereka dengan jasad di dunia. Bermula pada saat penjelasan itu diberikan, jelas ternampak pengaruh elemen bicara teks Hindu apabila ruh dikatakan bakal dijelmakan semula di dalam bentuk binatang-binatang tertentu mengikut amal perbuatan mereka di dunia.
Sebagai contoh di dalam Phaedo, dicatatkan bahawa Socrates mengatakan sekiranya di dalam kehidupan, manusia mengamalkan kehidupan tamak haloba, menjadi hamba nafsu dan hidup dalam kemabukan, maka mereka akan dibangkitkan kembali seperti seekor keldai atau haiwan-haiwan yang seumpamanya.

Sekiranya mereka hidup sebagai manusia yang melakukan ketidakadilan, perompakan dan kezaliman, ruh kepada manusia-manusia di dalam kategori ini akan dihidupkan kembali sebagai burung pemangsa, serigala dan seumpamanya.

Bagaimana pula dikatakan ia bukan perkataan Socrates dan diceduk idea-idea tersebut dari kitab-kitab Hindu? Amat jelas, idea reinkarnasi yang menjelaskan hubungan nasib ruh selepas terhapusnya jasad merupakan idea utama di dalam putaran Karma agama Hindu.

Saya pernah menulis di dalam artikel ‘Cinta, biar ia kekal selamanya’ tentang bagaimana halatuju nasib seseorang manusia sepertimana yang diimani di dalam agama Hindu. Ia yang sangat bergantung kepada perlakuannya di dunia. Dalam penulisan tersebut saya memetik sebuah kisah tanya jawab yang menjelaskan masalah reinkarnasi sepertimana yang dimuatkan di dalam kitab Shanti Parva (Kitab ke 12), Mahabharata bilamana Bhishma menjawab pertanyaan demi pertanyaan Raja Yudishthira.
Salah satu soalannya ialah berkenaan nasib yang bakal menimpa golongan manusia pendusta. Kesudahan dan pengakhiran kepada manusia yang bersikap seperti pembangkai yang sentiasa mengambil kesempatan dengan mencari keuntungan melalui jalan penipuan di dalam hidupnya, selepas mati nanti, mereka akan dihidupkan kembali di dalam jasad burung-burung pembangkai dan pemangsa seperti gagak dan burung hering. Ia dicatatkan di dalam seksyen 109 Shanti Parva (kitab ke 12) Mahabhrata.1
Amat jelas bagi yang meneliti teks Phaedo dan memahami perwatakan Socrates, apa yang disabitkan sebagai keluar dari mulut Socrates berkenaan destinasi ruh sepertimana yang dicatatkan di dalam teks Phaedo merupakan suatu manipulasi teks yang memasukkan perkataan serta idea-idea asing. Ia secara pastinya bukan berasal dari Socrates tetapi pencemaran teks yang mungkin disengajakan atau tidak disengajakan berlaku di dalam proses menyalin dan menyunting teks yang dilakukan di dalam sela masa melebihi ribuan tahun yang lalu.
Beberapa penelitian yang lebih mendalam saya jalankan bagi mendapatkan kepastian samada pendapat saya ini berkenaan pencemaran teks tulisan Plato berkenaan Socrates dengan elemen reinkarnasi di dalam teks-teks Hindu mempunyai asas ataupun tidak.
Pertama saya mendapati pendapat Walter Kaufmann di dalam Plato to Nietzsche, menyatakan seperti berikut :
It is difficult to separate the ideas of Plato from those of his teacher, Socrates. In virtually all of Plato’s dialogues, Socrates is the main character, and it is possible that in the earlier dialogues Plato is recording his teacher’s actual words. But in the later dialogues, “Socrates” gives Plato’s views -- views that, in some cases, in fact, the historical Socrates denied. 2 
Kaufmann mengatakan bahawa adalah sukar untuk membezakan antara idea-idea asli yang berasal dari Plato dan gurunya Socrates. Ini kerana boleh dikatakan di dalam majoriti daripada penulisan Plato, Socrates merupakan watak utama kecuali di dalam beberapa penulisan akhir di mana idea-idea yang cuba disabitkan dengan perwatakan Socrates, tidak menggambarkan Socrates sebagaimana dia dan perwatakannya yang dapat difahami melalui teks-teks yang lebih awal.
Pendapat Kaufmann ini menunjukkan bahawa memang terdapat kejanggalan di dalam teks-teks dialog yang melibatkan Socrates di dalam teks yang terkemudian terutamanya di dalam Phaedo. Beliau sekali lagi menambah seperti berikut:
The moving account of Socrates’ death is given at the end of Phaedo... there is common agreement that this dialogue was written much latter than the other three (Eutyphro, Apology, Crito) and that the earlier part of the dialogue, with its Platonic doctrine of Forms and immortality, uses “Socrates” as a vehicle for Plato’s own idea.
Tetapi, berbeza dengan Kaufmann, saya mendapati bahagian awal Phaedo lebih menepati sifat dan ciri-ciri yang ada pada Socrates berbanding bahagian di mana dialog tersebut menyentuh perihal perkara yang akan menimpa ruh selepas mati. Oleh kerana saya pernah membaca dan meneliti beberapa teks agama Hindu, di dapati terdapat beberapa persamaan dengan apa yang cuba disampaikan di dalam teks Phaedo dengan idea reinkarnasi agama Hindu.

Cuma, yang menjadi masalah ialah, bagaimana pandangan yang menunjukkan bahawa terdapat campuraduk  elemen idea reinkarnasi agama Hindu sepertimana yang termuat di dalam teks Mahabharata boleh diberikan justifikasi. Ini kerana Plato dan segala idea dan penulisannya ditulis di Greek yang berada pada lokasi yang sangat jauh dari ketamadunan Hindu.

Penelitian kemudian dibuat kepada aspek yang melingkari kehidupan Plato itu sendiri bagi menyiasat elemen pengaruh idea reinkarnasi Hindu yang telah dimasukkan ke dalam karya-karyanya.

Selepas kematian Socrates, Plato dikatakan berguru pula dengan Euclid, salah seorang anak murid Socrates yang hebat di dalam bidang argumentasi lojik. Selepas itu dia berguru pula tentang ilmu matematik dengan Theodorus di Cyrene. Dari Cyrene dia mengembara ke Selatan Itali dan berguru pula dengan tiga orang sarjana Pythagorean berkenaan sains nombor. Selepas itu dia dikatakan mengembara ke Parsi dan Babylon. Malah dia dikatakan meneruskan pengembaraannya sehingga ke muara Ganges di India sebelum dia kembali semual ke Athens pada tahun 371 S.M. 3.

India bukanlah suatu tempat yang asing dari ketamadunan Greek. Melalui pelayar Arab dan Melayu, ketamadunan India sampai ke Greek melalui jalan perdagangan laut. Tanah Melayu sudah pun dikenali orang-orang Greek sejak zaman Homer lagi. Justerus itu, tidaklah menghairankan sekiranya terdapat idea-idea berkenaan elemen idea-idea ketamadunan Hindu meresap masuk kedalam idea-idea falsafah Yunani atau Greek.
Malah Pythagoras, salah seorang ahli falsafah Greek yang mempunyai ikutan yang ramai turut pernah mendalami ilmu Geometri di India sebelum kembali ke Greek. Jadi adalah idak mustahil, elemen-elemen idea reinkarnasi ruh yang berputar di dalam rantaian samsara sepertimana yang disebut-sebutkan di dalam kitab Hindu, samada secara sengaja atau pun tidak disengajakan, telah menyusup masuk ke dalam Teks  Phaedo lalu disabitkan perkara tersebut dengan Socrates. Terdapat kemungkinan, idea berkenaan reinkarnasi ruh sepertimana yang dimuatkan di dalam Phaedo itu bermula sebagai sebuah komentar pengkaji atau mereka-mereka yang mempelajari teks tersebut yang kemudiannya disalin semula dan kemudiannya dianggap sebagai sebahagian dari teks asal yang ditulis oleh Plato.

Perkara ini bukan pertama kali berlaku. Kesilapan penyalin teks dan sidang redaksi yang dipertanggungjawabkan untuk menyalin teks-teks asal sesuatu kitab itu, kerapkali samada secara sengaja atau tidak disengajakan, memasukkan elemen-elemen asing ke dalam teks yang asli lantas mencemarkannya dengan idea-idea yang tidak selari dengan kehendak asal teks. Ia telah berlaku kepada Kitab Taurat, Zabur dan Injil dan ia tidak mustahil berlaku ke atas teks-teks atau kitab-kitab lain kecuali kitab al Qur’an yang mendapat jaminan dari Allah.

Maka tinggallah al Qur’an menjadi sebagai satu-satunya sumber yang boleh digunakan bagi menjelaskan segala kekeliruan yang berlaku berkenaan ke atas teks-teks awal tersebut dan menunjukkan di mana perselisihan itu berlaku dan apa sebenarnya isikandungan asal kitab-kitab yang telah menyeleweng dan di mana sikap diam perlu diambil dan di mana pula berdiam diri itu tidak dibenarkan.

Firman Allah di dalam an Nahl ayat 63 hingga 64 di bawah :

An Nahl ayat 63 hingga 64
63.   Demi Allah! Sesungguhnya Kami juga telah mengutus Rasul- rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu maka dialah menjadi pemimpin mereka pada hari ini dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

64.   Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya dan supaya menjadi pertunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Maka melalui perspektif al Qur’an jugalah kita melihat, mengamati, menyelidik serta meneliti teks-teks ini supaya semua perselisihan yang terdapat di dalamnya dapat dikenalpasti dan sikap terhadap teks-teks dan persepsi yang terbentuk sebelum ini diperbetulkan kembali selari dengan panduan terakhir yang diberikan Allah kepada umat manusia. Kita sebagai muslim sangat beruntung, tetapi janganlah kita berpeluk tubuh membiarkan manusia lain tersesat hanya kerana kita gagal menggunakan panduan ini untuk membimbing mereka kembali kepada jalan yang benar dan beriman kepada kitab yang terakhir iaitu al Qur’an.



Rujukan :
1)   Krihna-Dwaipayana Vyasa, The Mahabhrata of Krishna-Dwaipayana Vyasa, Shanti-Parva (Book 12), Section CVIII to CXI., Translated into English Prose from Sanskrit by Kisari Mohan Ganguli (1883 -1896).
2)  Walter Kaufmann & Forrest E. Baird (Editor), From Plato to Nietzsche, (1997), Prentice Hall, Inc., New Jersey, m/s 5
3)  Will Durant,  The Story of Philosophy (The Lives Opinions Of The Greater Philosopher), (1933), Time Inc.,  m/s 16
4)   Prof. Dr. HAMKA, Tafsir al Azhar, PT Pustaka Panjimas, Jakarta.
5)   Jalalludin al Mahali & Jalalludin as Suyuthi, Tafsir Jalallain, (2002), Sinar Baru Algesindo, Bandung.
6)  James Adam, The Religious Teacher of Greece (Being Gifford Lectures On Natural Religion Delivered At Aberdeen), 1965, Reference Book Publishers, Inc., New Jersey.
7)   Edward McNall Burns, Western Civilizations (Fourth Edition) Their History & Their Culture, Rutgers University.
8)  Bertrand Russel, History of Western Philosophy (& Its Connection With Political And Social Circumstances From The Earliest Times to Present Day).
9)   Sri Swami Sivananda, All About Hinduism Sixth Edition, (1997), The Divine Life Society, m/s 50.
10)   John Bowker, Oxford Dictionary of World Religions, Oxford University Press, 1997.
12) Haji Said Haji Ibrahim, Aqidah Ahli Sunnah WalJama'ah, (1996), Darul Ma'rifah, Gong Badak, Kuala Terengganu.
11)   Dennis Hill, Vedanta Lexicon (Softcopy)


© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

5 comments:

shamsadis said...

berat bacaan nie sebab kene baca rujukan dia juga

...Juwita Maya... said...

ala...lama x baca blog nih disebabkan oleh kesibukan yang melampau2..banyaknya artikel yg x dibaca lagi and so excited nak baca! :)

satuhala said...

Shamsadis,
Kalau boleh rujuk apa yg telah disebut.. ia mungkin lebih mudah dihadam..

satuhala said...

Juwita..
Kesibukan tu satu lumrah dlm kehidupan.. baca pelan2.. TQ atas sokongan..

Anonymous said...

Salam Encik. Ya memang bila saya baca post ini, memang jelas En betul mengkaji dialog Socrates. Saya sendiri penterjemah karya plato dan saya nampak kesinambungan hujah En. Falsafah sendiri adalah hikmah dari Tuhan. Saya harap di luar sana juga nampak Falsafah sepertimana apa sebenarnya, dan bukan sesat atau seumpamanya. Saya suka untuk menyebut di sini. Falsafah adalah ubat bagi jiwa, kata Plato, jadi sesiapa yang diberi ilmu hikmah mendapat kebaikan yang paling baik sekali.


JJ. Pelajar Falsafah.